Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, May 30, 2009

Kau Penggerak Ummah!


Laju jari-jemari Faiz menari di papan kekunci laptopnya. Assignment Ulum Al-Quran yang baru diberi oleh Ustaz Zamri tadi telah dimulakannya.

“Oi Faiz! Kau buat apa tu?” Kedengaran suara Hamdi, merangkap teman sebilik dan juga sekelasnya melaung dari muka pintu.

Faiz menoleh sekilas.

“Assignment” Jawabnya ringkas.

“Assignment Ustaz Zamri tu ke?” Hamdi melangkah masuk, meletakkan dirinya di sisi Faiz.

“Ha ah”

Terbeliak mata Hamdi melihat Faiz telah siap menaip satu muka surat penuh.

“Fulamak! Skema la kau. Awal betul buat, kan kena hantar minggu depan. Enjoy la beb!” Bahu Faiz ditepuk kasar.

Faiz menghela nafas berat. Hamdi memang terkenal dengan sikap sambil lewanya.

“Aku banyak kerja lain lagi nak kena buat. Lagi pun, program-program dakwah dan tarbiyyah banyak minggu ni.Aku tak nak sebab program-program tu amanah aku sebagai mahasiswa terabai. Nanti jadi fitnah pada Islam” Faiz cuba menjawab setenang mungkin.

Hamdi tergelak. Tubuhnya dihempas ke atas katil.

“Apa la kau ni Faiz,asal aku cakap je kau mula lah nak berceramah. Kau ni asyik program sana program sini, macam tak ada life! Ha, tadi Ayu kirim salam kat kau. Kesian la budak tu, kau buat tak layan je. Kau jangan jual mahal sangat Faiz.”

Faiz tergamam. Ayu. Nama itu tidak asing lagi buat dirinya, semenjak dirinya di semester satu lagi Ayu telah cuba mendekati. Bukan Ayu sahaja malahan beberapa wanita lain lagi. Namun, Ayu yang paling ketara.

Faiz menghela nafas berat. Di manakah dia pewaris Ummahatul Mukminin?

“Woi! Kau berangan apa lagi tu? Ha lagi satu Ayu pesan, balas surat ni.”

Hamdi bangun dan meletakkan sekeping kertas di sebelah laptop Acer Aspire 4530 Amir lantas berlalu ke bilik air.

Faiz diam merenung kertas putih itu. Hatinya masih berbelah bahagi.

Perlu ke aku baca surat ni?

Perlahan-lahan tangannya mencapai kertas putih itu dan dibuka lipatannya. Faiz menelan air liur. Tulisan tangan yang kemas di atas kertas itu dibaca.

Assalamualaikum..
Maaf andai surat ini mengganggu ketenangan Iz. Dah lama Ayu perhatikan Iz,makin lama hati Ayu makin terpaut pada Iz. Iz je yang jual mahal. Harap Iz balas surat Ayu ni. Ayu tunggu…

Pecah kaca,
Pecah gelas,
Sudah baca,
Harap balas.

“Astarghfirullah.” Spontan, istighfar itu meluncur laju daripada mulut Faiz. Dadanya senak. Lantas kertas itu digumpal-gumpal menjadi sebentuk bola dan dicampakkannya ke dalam tong sampah.

Faiz bungkam.

Ya Allah, apa lagi yang perlu aku lakukan? Bukankah Hawa itu tercipta daripada tulang rusuk lelaki yang bengkok. Andai kekerasan yang digunakan, maka akan patahlah tulang itu.

Faiz baring di atas katilnya yang berwarna biru. Kedua-dua tangannya disilangkan di atas dahi. Panorama biliknya yang sederhana besar pada petang itu seolah-olah membungkamkan lagi hatinya.

+ Jadi, aku harus membimbing dia?
- Jangan! Nanti lain jadinya.
+ Jadi apa tindakan terbaik? Carikan dia seorang pembimbing daripada kalangan muslimah!
- Tapi siapa pula?

“Arghh!” Spontan, Faiz menjerit kecil. Tersedar akan keterlanjurannya, Faiz beristighfar. Ditukar pula posisi daripada baring ke duduk.

Hatinya yang berkecamuk diulit dengan zikrullah. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’.

Aku tidak perlu mengikut nafsu syaitan!
* * *
“Faiz!”

Laungan suara daripada belakang membuatkan pergerakan kaki Faiz yang baru keluar dari kelas terhenti. Faiz menoleh.

“MasyaAllah, akhi! Lama tak nampak?” Faiz mengukir senyuman apabila melihat sekujur tubuh Uwais yang tegap,senior yang dikenalinya semenjak sesi taa’ruf di kolejnya, seorang yang banyak benar membantunya daripada sudut rohani dan jasmani.

“Ha, tu lah enta, sibuk mengalahkan Perdana Menteri sampai tak sempat nak menjenguk ana di bilik. Kat masjid pun boleh tak perasan ana.”

Uwais menggeleng-geleng kepala.Tangan dihulur dan Faiz menyambut.

“Allah… ‘afwan, ana bukan sengaja tak perasan tapi enta tu kecik sangat.”

Uwais tergelak.

“Ha, dah alang-alang jumpa ni, marilah minum sama-sama. Enta ada kelas lagi ke lepas ni?”

“Alhamdulillah, tak ada dah. Bolehlah nak duduk berbual dengan enta. Lama betul tak berbual.”

“Jomlah”
* * *
“Enta apa khabar? Dah makin cengkung ana tengok. Ada masalah ke?” Uwais memulakan pertanyaan. Teh O ais yang berada di depan mata di hirup sedikit.

Faiz melepaskan satu keluhan berat.

“Ana nak cakap pun, malu..”

“Sejak bila pula enta pandai nak malu-malu dengan ana ni?”

“Macam ni..”

Faiz menarik nafas panjang. Uwais menanti tenang.

“Ana sering diganggu.”

“Dengan makhluk halus?” Uwais bertanya seraya menghirup Teh O ais di hadapan matanya.

“Bukan. Dengan muslimah!”

Hampir-hampir sahaja air Teh O ais tersembur daripada mulut Uwais. Uwais tersedak-sedak akibat air yang tidak ditelan secara sempurna.

“Ana dah agak, enta mesti gelakkan ana” Faiz menunduk malu.

“Bukan, enta jangan salah faham, ana terkejut aje. Wah, bertuahlah enta ye.” Uwais tersengih.

Faiz mencebik.

“Kalau enta rasa apa yang ana rasa, baru enta tau bertuah tak bertuahnya ana ni” Faiz membalas separuh hati.

Uwais tergelak.

“Enta dah berterus terang?”

Angguk.

“Banyak kali. Tapi seolah-olah tak bermakna langsung penerangan ana”

“Sabarlah Faiz, Allah sedang berbicara dengan enta. Dia tahu enta mampu hadapi ujian ni, sebab tu Dia tak turunkan kat ana. Apa-apa pun, enta berserahlah kepada Allah. Hidup di dunia ni memang banyak dugaannya. Berdoalah agar enta terhindar daripada fitnah dunia. Teringat ana pada sabda Rasululullah s.a.w bahawa wanita itu adalah aurat, maka apabila dia keluar syaitan akan menghiasinya.Jadi andai enta dah berusaha, maka bertawakallah. Kalau enta perlu pertolongan, cari sahaja ana.”

Faiz tersengih.

“Ha, yang enta tersengih-sengih ni kenapa?”

“Muka enta waktu serius kelakar juga ya”

“Faiz!”
* * *
Eh, tu macam Hamdi.

Berkerut-kerut kening Faiz untuk memastikan insan yang hanya jauh beberapa meter di hadapannya itu benar-benar sahabatnya.

Sah!

Faiz beristighfar di dalam hati. Kakinya mula dihayun menuju ke tempat di mana Hamdi sedang rancak berbual dengan seorang muslimah. Sakit benar hatinya melihat Hamdi bergelak-ketawa dengan yang bukan ajnabi, bukan kerana cemburu tetapi kerana rasa kasih yang teramat sangat pada Pencipta Sekalian Manusia. Rasa cinta pada Allah yang mengurniakan cinta.

Hanya beberapa meter sahaja lagi untuk sampai kepada Hamdi, Faiz mematikan langkah. Tiba-tiba dia teringat pesanan Ustaz Hamzah pada seminar ‘Mencari Seorang Da’ie’ minggu lepas.

Manusia mana yang suka didekati secara kasar? Begitu juga mad’u kita. Kadang-kadang kita fikir menegur mad’u di khalayak ramai merupakan sesuatu yang hebat. Setelah menghentam mad’u dengan segala perkataan yang terbuku di dalam hati, kita akan melangkah pergi dengan gah tanpa kita sedari ada air muka yang telah kita kotori, ada hati yang telah kita lukai. Itu salah. Pertama sekali dalam berdakwah antum haruslah mendekati mad’u dan selepas itu peganglah hatinya dengan berhikmah. Jangan buat mereka berdendam pada kita.

Faiz melihat sekeliling. Ramai. Kakinya dihayun kembali menuju ke asrama.
* * *
‘Kreek’

Bunyi pintu bilik yang terbuka membuat Faiz berhenti daripada menyusun buku-bukunya pada rak buku. Berdebar hati Faiz melihat sekujur tubuh Hamdi masuk dengan muka kepenatan.

“Baru balik Di?” Faiz bertanya ramah.

“Ha ah. Discussion tadi”

Hamdi mencampakkan begnya di atas katil dan duduk di kerusi yang berada berdekatan meja belajar Faiz. Matanya meliar.

“Kau buat apa ni Iz?Bersepah semua”

“Aku nak kemas sikit buku-buku ni. Dah nak bersawang rak buku aku ni”

Senyum.

“Erm, Di aku nak cakap sikit boleh?” Faiz berbelah bahagi.

“Sejak bila kalau nak bercakap kena minta izin daripada aku?” Hamdi berseloroh.

Faiz bangun daripada posisinya yang sedang bersila di atas lantai dan mengambil kerusi lantas diletakkan di hadapan Hamdi lalu dilabuhkan punggungnya dengan selesa.

“Di..”

“Apa dia? Cakaplah.”

Faiz memandang mata Hamdi. Kelakuan mad’u ketika dia sedang bercakap harus diambil kira kerana segala kelakuannya merupakan satu komunikasi bukan verbal yang harus difahami oleh seorang da’ie.

Faiz menarik nafas panjang.

“Macam ni Di, aku nak tanyalah…” Faiz mencapai buku yang baru sahaja di bacanya. Satu bab di buka dan tertera tajuk batas-batas pergaulan dalam Islam.

“Ni ha, aku tak berapa faham ayat dia. Putar-belit. Antara lelaki dan perempuan apa batas-batas dia?” Jari telunjuk Faiz menunjuk ke arah tajuk yang tertera.

“Bak sini buku tu”

Faiz menghulur.

“La.. kacang je, apa yang kau tak faham. Lelaki kena tundukkan pandangan apabila berhadapan dengan wanita yang bukan muhrim, begitu juga dengan wanita. Kedua-duanya harus menundukkan pandangan untuk mengelak fitnah dan penyakit di dalam hati.” Lancar Hamdi menerangkan.

“Jadi kalau ada discussion?”

“Bincang yang penting-pentinglah, tapi janganlah berdua sahaja nanti syaitan pula jadi yang ketiga. Yang perempuan tak boleh melunak-lunakkan suara, lelaki kena pandailah kawal diri.”

“Kalau berbual berdua di khalayak ramai?”

Hamdi mendengus.

“Tak boleh juga. Lagi bahaya sebab nanti bakal menimbulkan fitnah. Ala, pasangan kekasih kalau di khalayak ramai pun tak malu nak buat maksiat! Kalau lelaki perempuan dalam satu kumpulan nak bergurau senda pun kena juga berpada, jangan sampai menyumbang kepada pergaulan bebas.”

“Di..” Faiz memanggil perlahan.

“Apa lagi kau nak tanya?”

“Tadi, aku ternampak kau bergelak-ketawa berdua dengan seorang muslimah” Faiz menembak tepat pada sasaran.

Hamdi diam, baru tersedar jawapannya tadi itu bakal memakan dirinya sendiri. Dalam tidak sedar, mindanya memikirkan kebenaran kata-katanya sendiri!
* * *
Sudah tersebar fitnah itu. Fitnah yang mengatakan bahawa Faiz sering keluar dating bersama Ayu. Fitnah yang disertakan dengan gambar-gambar super impose Ayu dan Faiz benar-benar menggigit sanubari Faiz.

Faiz bungkam. Mindanya masih memikirkan tentang kejadian sebentar tadi.

Eh kenapa semua orang tengok aku ni

Faiz bingung memikirkan mengapa setiap langkahan kakinya di sertai dengan mata-mata yang tajam melihat.

“Eleh, nampak je alim. Pura-puralah tu”

Telinga Faiz menangkap suara seseorang namun kepalanya tidak berani menoleh.

“MasyaAllah, Faiz” Bahunya ditepuk seseorang. Faiz menoleh, dan terasa ingin dipeluk sahaja batang tubuh Uwais di hadapannya.

“Uwais, tolong ana, ana tak tahu kenapa hari ni semua orang macam nak telan ana”

“Ikut ana”

Faiz mengekori langkah Uwais yang akhirnya tiba di sebuah kelas kosong. Uwais membuka beg laptopnya dan mencari rangkaian internet. Emailnya dibuka.

“Faiz” Uwais memanggil.

“Ya”

“Mari sini sekejap.”

Faiz melangkahkan kakinya merapati Uwais. Uwais menghalang Faiz daripada melihat ke arah laptopnya.

“Nanti. Ana harap enta bersabar banyak-banyak. Ini ujian Allah”

“Kenapa ni?” Faiz gelisah.

“Ni...” Uwais menunjukkan emailnya.

Faiz hampir-hampir rebah melihat semua gambarnya bersama Ayu. Jijik.
* * *
Hamdi mundar-mandir di dalam bilik. Sesekali matanya menjeling tubuh Faiz yang asyik berselubung di atas katil. Sudah dua minggu Faiz begitu, rutin hidupnya yang selalu sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyah kini bertukar 360 darjah!

Faiz hanya pergi ke kelas dan kemudian balik ke bilik. Wajahnya pula semakin cengkung dek kerana kurang makan.

Hamdi mendengus. Hidupnya mula terasa bosan tanpa ceramah percuma dan teguran daripada Faiz. Matanya menjeling lagi tubuh Faiz yang semakin tidak terurus.

Ni tak boleh jadi!

Pantas kakinya dihayun dan berdiri di sebelah katil Faiz.

“Faiz” Hamdi memanggil. Tegas.

Diam.

“Faiz!" Suaranya ditinggikan sedikit.

Diam.

Hamdi berang. Pantas tangannya memegang bahu Faiz dan mendudukkannya.

“Kau nak apa ni Di....” Faiz bersuara lesu.

“Kau tanya aku nak apa? Kau ni dah kenapa Faiz? Mana Faiz yang dulu?” Hamdi membetulkan posisinya agar duduk berhadapan dengan Faiz. Faiz harus disedarkan!

“Kau tak nampak ke, satu universiti dah tak suka kat aku. Nama aku dah busuk Di, aku malu..” Faiz mula mengalirkan air mata. Wajahnya yang mula cengkung ditambah pula dengan deraian air mata dan rambut yang agak kusut benar-benar menyentuh sanubari Hamdi.

“Faiz, kau lupa ke maksud nama kau apa? Pemenang. Seorang pemenang tak boleh cepat mengalah macam ni. Seorang pemenang akan bertungkus-lumus mengalahkan lawan. Kau nak biar nama kau busuk sampai bila? Kalau kau sendiri tak bangkit, siapa lagi nak perbaiki keadaan? Bukankah Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasibnya sendiri?”

“Tapi aku tak tahu nak buat apa..”

“Tu alasan,Faiz. Allah dah janji, setiap masalah ada jalan penyelasaiannya. Kau lagi arif daripada aku. Bangkitlah Faiz, kau tak boleh terus macam ni, kau penggerak ummah! Kalau kau lemah, apa jadi kat ummah? Faiz, kalau kau tak kesian kat diri kau sendiri, kesianlah kat ummah yang dah semakin parah. Aku rindu pada Faiz yang tidak pernah tinggal untuk solat berjemaah di masjid hatta sakit sekali pun!”

Faiz tidak menjawab. Terhenggut-henggut badannya menahan tangis yang semakin menderas. Hamdi menepuk-nepuk bahu Faiz. Matanya turut digenangi air, memikirkan beban yang dipikul Faiz. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

“Tinggalkan aku sendiri, Di...”

Hamdi akur, kakinya mula melangkah keluar bilik. Air matanya tumpah jua, terbayang kembali bagaimana sikapnya terhadap wanita, terasa hina kerana biar pun dirinya yang terlibat dalam pergaulan bebas, Allah memilih Faiz untuk ditunjukkan kasih sayangNya.Hidayah Allah seolah-olah telah meresap dalam hatinya.

Faiz, semoga kau tabah dan sabar. Aku rindu Faiz yang dulu... Aku janji lepas ni aku akan teman kau menjadi penggerak ummah!
* * *
Hamdi membuka pintu bilik perlahan-lahan, bimbang akan mengganggu Faiz dan sebaik sahaja pintu bilik terbuka, kornea mata Hamdi menangkap imej Faiz yang sedang khusyuk berdoa sambil menangis. Hamdi membiarkan. Tubuhnya dicampak ke atas katil. Matanya dipejamkan.

“Di..”

Oh Allah, rindunya aku pada suara itu yang sentiasa menasihatiku.

“Di...”

Ya Allah, ubatilah rinduku ini..

“Di!”

Hamdi membuka matanya. Terpinga-pinga dia sebentar tatkala melihat batang tubuh Faiz berdiri tegak di sebelah katilnya. Matanya digosok-gosok seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

Faiz tersenyum.

“Kenapa Di?” Faiz kehairanan melihat Hamdi yang tidak keruan.

“Er, takde, aku ingat aku berangan tadi dengar suara kau”

Faiz tergelak kecil dan melangkah ke lockernya. Sehelai jubah baru berwarna hijau lembut diambil dan disarung ke tubuhnya. Rambutnya disisir rapi.

“Kau nak ke mana ni?” Hamdi bertanya cemas.

“Aku nak jumpa Uwais.”

“Buat apa?”

“Di, aku pemenang!” Faiz menjawab ringkas dan berlalu meninggalkan Hamdi yang terpinga-pinga.
* * *
“Em, lamanya.” Faiz mengeluh, sesekali jam ditangannya dikerling. Raut kegelisahan jelas terpamer di wajahnya.

“Sabarlah Faiz, berzikir dahulu, selepas ni kita tidak tahu apa yang akan berlaku.” Uwais di sebelah menasihati.

Pertemuan antara Ayu dan Faiz di wakaf yang terletak di Taman Ilmu yang sengaja diatur oleh Uwais untuk menyelesaikan segala-galanya jelas mengundang kegelisahan buat diri Faiz. Uwais tenang. Jam casio di tangan di kerling sekilas.

“Hm, janji pukul 2 ni dah 2.30. Dia datang ke tak ni” Faiz mengeluh lagi.

“Faiz, duduklah, apa-apa pun ingatlah kita nak selesaikan masalah dengan cara berhikmah.”
Faiz akur dan mengambil tempat di sebelah Uwais. Hatinya mengalunkan zikir.

“Ha tu dia” Uwais menyenggol siku Faiz.

Faiz gelisah.

“Assalamualaikum” Ayu memulakan kalam, wajahnya kelihatan berseri.

“Waalaikumsalam” Serentak Uwais dan Faiz menjawab.

“Ada apa panggil Ayu ke sini?” Ayu bertanya tanpa menampakkan walau sedikit pun rasa bersalah.

“Beginilah ukhti, ana tak pandai nak berkias-kias, ana cuma nak penjelasan daripada enti tentang penyebaran gambar palsu ana dan enti” Faiz bersuara. Tegas.

Wajah Ayu berubah cemas.

“Mana Ayu tahu apa-apa”

“Ukhti, Allah lebih tahu apa yang enti lakukan. Takutlah pada Allah.”

Mata Ayu mula digenangi air mata. Faiz menundukkan pandangan, tidak tegar dia melihat air mata wanita yang mampu melumpuhkan iman lelaki.

“Ayu... Ayu terlalu sayangkan Faiz!” Akhirnya Ayu bersuara,jujur..

“Ana hargai rasa sayang pemberian Allah tu, rasa sayang yang suci tidak harus enti kotori dengan fitnah mainan syaitan. Rasa sayang yang suci tidak harus membutakan mata enti daripada melihat kebenaran dan kebatilan dan rasa sayang yang suci tidak harus membuatkan enti tunduk pada tuntutan nafsu.Bukan begini caranya enti menyalurkan rasa sayang tu, yang mana tindakan enti telah membusukkan nama ana...”

Ayu menangis.

“Maafkan Ayu, Ayu tak sangka jadi begini...”

“Enti, berginilah. Ana tidak mahu panjang-panjangkan kes ni, Ana cuma nak enti bersihkan kembali nama ana. Ana berjuang di jalan Allah,susah untuk ana berhadapan dengan mad’u yang mencerca ana atas maksiat yang tidak pernah ana lakukan. Mad’u ana yang dahulu pun sudah semakin jauh daripada ana dan Islam. Ana harap enti fikir-fikirkanlah.Jika enti tak mahu, ana terpaksa bawa kes ni kepada pihak atasan. Perbualan kita telah pun sahabat ana rekod melalui handphonenya.”

Ayu memandang Uwais. Uwais mengangguk.

“Jadilah mawar berduri yang berkembang mekar mengharungi arus dunia yang semakin kejam.Katakanlah yang benar walau pahit.”

Faiz mematikan ayatnya dan melangkah pergi bersama Uwais.
* * *
“Faiz! Tahniah, Ayu dah buat pengakuan. Memo-memo dah ditampal menyatakan kemaafan pada kau”

Hamdi tersenyum girang menyatakan berita itu kepada Faiz yang sedang duduk berteleku di meja belajarnya. Bagaikan masih kelihatan memo yang dibacanya di papan-papan notis menyatakan maaf pada Faiz.

Faiz tersenyum.

“Alhamdulillah, lapang dada ana... Syukur ya Allah.” Sebak dada Faiz memikirkan pertolongan daripada Allah yang tidak pernah berhenti.

“Di, syukran....” Faiz memeluk erat tubuh Hamdi, menyatakan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah menyedarkannya.

Hamdi membalas pelukan itu.

“Uhibbuka fillah” Faiz bersuara sebak.

“Uhibbuka fillah aidhon”

Faiz melepaskan pelukan, dilihatnya mata Hamdi dipenuhi air.

“Eh, Di kau menangis?”

“Mana ada, mata aku masuk habuk.” Hamdi mengesat matanya yang memerah.

“Eleh sudahlah. Ada hikmahnya Allah turunkan ujian ni, dapat aku tengok air mata kau.” Faiz masih mahu mengusik.

Sejenak, mindanya teringatkan Uwais. Lantas, handphonenya dicapai dan dia mula menaip.

Salam ya akhi, syukran atas segalanya. Hanya Allah yang dapat membalas jasamu.

“Faiz” Hamdi memanggil, perlahan.

“Ya”

“Aku.. Aku nak jadi penggerak ummah juga”

Faiz terpana.

“Boleh sahabatku...”

Sekali lagi, Faiz memeluk erat tubuh Hamdi, seerat janji yang dipatri, seutuh ikatan yang dibina...

Read More......

Friday, May 29, 2009

Tips Menghafal :)


Minggu peperiksaan pertengahan semester sedang berlangsung. Ana hampir-hampir menangis kerana terlalu tension untuk menghafal subjek-subjek di mana waktu peperiksaannya berderet-deret.

Sabtu : Pengantar Psikologi Islam
Rabu : Introduction to business
Khamis : Tarikh Tasyrii' (Sejarah Perundangan Islam)

Semua itu memerlukan tahap hafalan yang tinggi. Tambah-tambah lagi masih ada assignment yang berbaki.

Ana terus sahaja teringat pada syair Al-Imam As-Syafie;

"Kuadukan kepada Waqi' kelemahan ingatanku. Beliau menyarankan daku agar meninggalkan maksiat. Kekuatan ingatan adalah kurniaan Ilahi. Sedangkan kurnia Ilahi tidak diberikan kepada orang yang berbuat maksiat."

Imam Malik juga pernah menasihati Imam Syafie lantaran beliau tersangat kagum dengan kecerdasan dan ketinggian minda Imam Syafie. Imam Malik berkata "Sesungguhnya saya melihat Allah mengurniakan sinar di dalam hatimu, maka janganlah engkau memadamkannya dengan maksiat."

Jadi kepada para sahabat seperjuanganku, jangan gundah. Ikutlah nasihat Imam besar itu. Tinggalkan maksiat agar hatimu mudah menyerap ilmu.

"Enti, kadang-kadang maksiat kita tak perasan terbuat. tak ada tips lain ke?"

Ada.

Beginilah, mengikut kajian ketika kita hendak tidur akan keluar satu gelombang yang bernama Delta, di mana gelombang itu akan membantu kita untuk mengingat.

Konklusinya, bacalah ketika hendak tidur, selepas baca tu terus tidur. Bila kita tidur semua maklumat itu akan disusun kemas di dalam otak kita.

Tak Percaya?

Cubalah! :)

Oh ya, jangan lupa, hanya kepada Dia kita bertawakal. Jadi, jangan lupa untuk berdoa, solat hajat, qiamullail dan usaha! Itu penting kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan dia mengubah nasibnya sendiri.

Hm, jangan pula kita biadap dengan guru kita. Tidak kiralah lecturer, cikgu, ustazah. Asalkan dia mengajar kita, hatta satu huruf sekalipun maka hormatilah. Bukankah Imam syafie itu apabila tidur tidak pernah melunjurkan kaki ke arah rumah gurunya lantaran hormatkan mereka?

Fikir-fikirkanlah.

Tips lain?

Hm, apa kata baca doa sebelum dan sesudah memulakan bacaan dan pastikan ketika hendak membaca itu anda berwudhu'. insyaAllah, Allah menyayangi hambaNya yang sentiasa mahu dekat denganNya.

Ana ini bukanlah siapa-siapa mahu memberi tips-tips yang hebat, namun segala yang tercoret di atas hanyalah untuk peringatan kepada diri ana dan perkongsian buat antum.

Semoga sama-sama mendapat manfaat. Doakan kejayaan ana dan rakan-rakan di sini :)

Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung." (At-Taubah : 129)

Wallahu'alam.


Read More......

Thursday, May 28, 2009

Siapa Kita Pada PandanganNya?


"Allah, baiknya..anak siapa ni?" Tegur seorang rakan sebaik sahaja ana melangkah keluar dari tempat solat wanita semalam.

Ana diam.Bukan tidak menghargai pujiannya, bahkan ana terfikir satu perkara;

SIAPA KITA PADA PANDANGANNYA?

Bukankah Allah itu sebaik-baik penilai? Dia Yang Maha Mengetahui,baik yang dizahirkan mahu pun disembunyikan,

Lantas, SIAPA KITA PADA PANDANGANNYA?

Coretan ini merupakan satu peringatan buat ana yang ingin dikongsi kepada teman-teman sekalian, moga kita semua terjaga daripada terus lemas dalam arus yang menyesakkan.

Manusia menilai kita melalui apa yang kita zahirkan, meski pun hati kita berbicara buruk, namun manusia tetap tidak mengetahui.

Tetapi mana mungkin kita yang dhoif mampu untuk membohongi Allah, pencipta sekalian manusia? Allah tahu apa yang tersirat dalam hati kita.

Kita berburuk sangka, mengutuk, mengkeji bahkan mungkin hati kita sudah dipenuhi dengan noda-noda hitam, tiada siapa yang mengetahui melainkan Dia.

Jadi, perlu kah kita bangga andai manusia yang menjadi penilainya?

"Hm, hari ni aku baca Al-Quran tak macam Joyah tu tak baca Al-Quran"
"Hm, hari ni aku solat sunat banyak tak macam Minah tu"
"Hm, hari ni aku banyak tolong orang"

Dalam tidak sedar rupanya kita tidak mampu untuk membersihkan rasa ujub itu di dalam hati. Lantas, andai manusia menilai kita sebagai baik, mungkinkah Allah juga suka melihat kita?

Ana terpana. Tidak mampu berkata apa kerana lumrahnya sifat manusia itu suka pada sesuatu yang baik dan cantik. Bukankah pujian itu merupakan satu benda yang baik? Tetapi jangan kita lupa yang baik itu tidak semestinya baik pada keseluruhannya bahkan mungkin jua mampu memakan diri kita sendiri.

"Ish, apa ni teruknya perempuan ni. Tak tutup aurat, pegang-pegang tangan pula dengan pakwe dia"

Mungkin jua kita pernah mengutuk di dalam hati tanpa kita sedar rupanya Allah sedang menguji kita. Berapa banyak kali kita menukar ayat di atas kepada :

"Astarghfirullah, Allah indahnya hidayahMu. Kau kurniakanlah hidayah itu kepada dia"

Banyak sungguh noda di dalam hati tapi kita selalu bangga dengan diri sendiri.

Hinanya kita... yakinnya kita bahawa ibadat kita diterima Allah...

Dapatkah kita melihat wajahNya di akhirat nanti???

Allah, siapakah aku di hadapanMu........................


Read More......

Monday, May 25, 2009

Kita Berhak Diuji.



PAM!

Berdentum pintu biliknya akibat dihempas dengan kuat. Naimah pergi ke katilnya, di situ terhambur segala tangisan yang cuba disimpan kemas di dalam hati. Tercalar sudah sebuah keegoan milik seorang wanita, hancur semua lakonan ketabahannya tadi.
Bagaikan terngiang-ngiang suara doktor berbicara…

“Puan Naimah, kami sudah tiada jalan penyelesaian yang lain. Puan Naimah menghidap penyakit kencing manis yang kronik. Sebab tulah luka di kaki Puan Naimah susah untuk sembuh dan dah semakin membusuk. Kami terpaksa memotong kaki Puan.”

Naimah diam. Tangan suaminya di sebelah digenggam kemas. Naimah buntu, baru sahaja jari kakinya dipotong atas sebab yang sama.

Oh Tuhan.. Dugaan apakah ini….Apakah suamiku redha dengan ketentuanMu?

Naimah menangis lagi. Bimbang andai dirinya bakal menyusahkan orang lain, terutama suaminya.

‘Kreeek’

Pintu bilik dibuka seseorang, pantas Naimah memejamkan mata. Berpura-pura tidur.
“Sayang….” Terdengar suara suaminya memanggil lembut. Naimah diam.

Tangan suci milik suaminya pantas membelai rambutnya dengan penuh kasih sayang.

“Sayang, abang tak pernah menyesal mengambil sayang menjadi suri dalam hidup abang, abang redha dengan ketentuan Allah dan abang harap sayang pun redha…”

Air mata Naimah mengalir deras.
* * *
“Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam” Helwani menjenguk ke luar tingkap. Kelihatan di halaman rumah,sesusuk tubuh milik Maisarah, gadis yang dijaganya sejak kecil yang juga menjadi anak angkat keluarganya .

“Masuklah” Pantas Helwani membuka pintu. Senyum.

“Nah, ni ada sikit buah tangan, penat Mai buat tadi tau!”

“Amboi, rajin adik akak ni buat, ada apa-apa ke?” Helwani mengusik nakal sebaik melihat sebiji kek coklat di dalam tupperware. Serentak, tangan Maisarah mencubit pinggang Helwani.

“Akak ni asal orang buat baik je mulalah anggap bukan-bukan. Cuba husnu zon sikit” Maisarah mencebik.

“Yelah ustazah!”

“Akak, emak macam mana? Ok ke?” wajah Maisarah bertukar serius. Kelihatan kerut-kerut di dahi, bimbang benar dia pada Puan Naimah-seorang wanita yang telah dianggap seperti ibunya sendiri.

“Hm.. Macam tulah dik, risau juga akak, abah pun dah tak ceria macam selalu… Ada juga makmum kat masjid tu cakap kat akak,abah banyak kali tersasul masa mengimamkan solat..” Mata Helwani mula berkaca-kaca.

“Hari tu pun masa jari mak nak kena potong, mak jerit-jerit sebut nama anak-anak. Akak pesan kat mak, sebut nama Allah…” Helwani mula mengelap hujung matanya dengan kain tudung yang dipakai.

Hati Maisarah mula sayu. Fikirannya mula menerawang mencari seraut wajah bersih milik Puan Naimah, rindunya dia pada senyuman wanita itu hanya Allah yang tahu..

“Akak…”

“Ye dik…”

“Mai nak tengok mak”

“Jom..”

Pantas Helwani bangun menuju ke bilik ibunya. Maisarah mengikutnya daripada belakang. Pintu bilik di buka dan kelihatanlah wajah sayu Puan Naimah yang duduk di atas katil.

“Emak…” Maisarah cuba mengawal hiba di dada.

Puan Naimah berpaling dan cuba mengukir senyuman.

“Mak, mak dah makan?”

“Dah, Mai,mak kena makan ubat… banyak.. Mai tengok lah” Tangan Puan Naimah mencapai sebekas ubat-ubatan hariannya.

Hati Maisarah bertambah hiba.

“Ya Mak, Mai tahu… Mak makanlah, nanti mak sihat, kita boleh masak sama-sama lagi kan? Mai rindu masakan mak…”

“Mai…” Puan Naimah memanggil. Sayu.

“Ya Mak..”

“Mana mak boleh sembuh lagi.. Mak dah takde jari..” Puan Naimah menjulurkan kakinya yang berbalut. Helwani bingkas bangun dan keluar, tidak sanggup dia menanti bicara seterusnya daripada Puan Naimah, bimbang andai dia menangis. Puan Naimah harus diberi kekuatan, bukan didedahkan dengan sikap-sikap lemah sebegitu.

“Tak mak, mak boleh sembuh. insyaAllah. Percayalah mak…” Maisarah cuba memujuk.
Puan Naimah hanya menunduk.

“Mak, Mai pergi dapur sekejap ya? Mai nak tengok Kak Wani tu buat apa. Nanti dia susah-susah je nak hidangkan Mai makanan. Sekejap lagi Mai datang lagi ya?” Maisarah cuba menahan air matanya daripada jatuh.

Puan Naimah mengangguk.
* * *
“Assalamualaikum. Patutlah rumah riuh je daripada tadi, Mai datang rupanya.” Encik Muhammad mengukir senyuman.Maisarah membalas.

“Biasalah abah, kalau Mai tak datang abah rindu pula.” Maisarah cuba berjenaka
biarpun hatinya penuh tanda tanya. Bagaikan ada kekurangan pada senyuman ayah angkatnya. Tidak seperti biasa.

“Mai ni kalau tak kena kan abah tak boleh agaknya. Dah makan belum ni?”

“Dah. Abah baru balik masjid ke?”

“A ah. Banyak urusan kat masjid tadi.” Encik Muhammad menghirup air teh yang dihidangkan Helwani.

“Yelah, abah kan imam masjid yang bekaliber” Maisarah mencebik.

“Pandailah tu. Oklah, abah nak tengok mak sekejap.” Pantas, Encik Muhammad bingkas dan bergerak menuju ke biliknya.
* * *
“Assalamualaikum”

Puan Naimah menoleh ke pintu. Senyuman diberikan kepada suaminya.

“Waalaikumsalam, abang baru balik? Penat ke abang?” Bertalu-talu soalan keluar dari bibir mungil itu.

“Tadi penatlah, tengok muka sayang je terus jadi tak penat” Encik Muhammad melabuhkan punggungnya di sisi isterinya. Puan Naimah tersenyum.

“Sayang dah makan?”

Angguk.

“Kenapa abang balik lambat?”

“Tadi ada hal sikit dekat masjid. Abang nak pergi mandi sekejap ya?” Encik Muhammad tersenyum senang.

Puan Naimah diam membatu.
* * *
“Akak, macam mana progres kaki emak? Jadi ke nak potong?” Tanya Maisarah cemas.
Petang yang hening itu membawa seribu macam kedukaan dalam dua keping hati itu.

Maisarah dan Helwani berat berfikir.

“Ntahlah Mai, nampak gaya macam abah tak bagi…”

“Kenapa kak?”

“Abah takut mak jadi rendah diri pula, orang lain ada kaki dia tak ada.”

Bunyi kereta memasuki perkarangan rumah menarik perhatian Maisarah dan Helwani. Pantas, kedua-keduanya bangun dan menuju ke pintu.

Kereta Suzuki Swift berwarna silver bergerak megah memasuki perkarangan rumah Helwani.

“Eh, macam Abang Aiman baliklah” Helwani bersorak riang.

Maisarah tersenyum, terbayang-bayang di wajahnya 2 orang anak kecil milik Abang Aiman dan Kak Shariza yang comel. Akmal dan Imfitah, sungguh menghiburkan.

“KAK MAIIIIIIII !!!!!!!!!!!!”

Akmal yang berusia 5 tahun dan Imfitah yang berusia 3 tahun berlari terkedek-kedek menuju ke arah Maisarah sebaik sahaja turun daripada kereta.

Maisarah menyambut tenang. Kedua-dua pipi milik anak-anak kecil itu dikucup penuh kasih.

“Hai.. dah tukar makcik ke?” Tiba-tiba Helwani bersuara.

Maisarah tergelak.
* * *
Puan Naimah bersendirian di kaki lima rumahnya. Sejenak, matanya menangkap seorang yang kudung kedua-dua belah kaki mengengsot di tepi jalan untuk menuju ke destinasi.

Puan Naimah tergamam.

Insan yang kudung kedua-dua belah kakinya itu masih mampu mengukirkan senyuman tanpa terlihat bibit-bibit kerisauan di wajahnya.

Tiba-tiba titisan-titisan jernih yang lama berada di kelopak mata Puan Naimah menitik setitik demi setitik.

“Allah… Lemahnya hambaMu ini, maafkan aku kerana selalu merungut menyalahkan takdirMu”

Dan air mata itu terus-terusan mengalir bagaikan tidak mahu lagi untuk berhenti….
* * *
“Mai…” Helwani bersuara lemah.

Maisarah yang sedang bermain dengan Akmal dan Imfitah menoleh sekilah.

“Kenapa kak?”

Akmal dan Imfitah tertawa riang. Masing-masing cuba mengambil tempat di atas ribaan Maisarah. Maisarah tersenyum senang.

“Akak risau…”

“Hm? Risau apa kak?” berkerut-kerut dahi Maisarah memikirkan ayat yang dilontar Helwani.

“Mak…” Helwani tunduk. Titik-titik jernih mula membasahi pipinya.

“Kenapa ni kak?”

Tangan Maisarah mula mengusap lembut belakang badan Helwani. Bergetar badan Helwani menahan tangis yang sudah mula deras.

“Mak… tadi, mak dah mula keluar najis hitam. Bukankah itu tandanya masa mak semakin hampir?” Mata Helwani yang merah akibat tangisan menatap sayu mata Maisarah.

Maisarah gamam. Dalam hatinya tidak henti-henti mengalunkan zikir sementara tangannya mengusap-usap lembut belakang badan Helwani.

“Kak Mai, kenapa Mak Su menangis?” Petah Akmal bertanya.

“Takde apa-apa sayang…”

Allah… Kuatkan hati kami dengan dugaanMu.
* * *
Bacaan Yasin jelas kedengaran.. Maisarah tersandar lemah. Baru sebentar tadi Helwani memeluknya.

“Mai, akak dah tak ada mak…”

Bagaikan terngiang-ngiang suara itu di telinganya.

Sekujur tubuh yang telah kaku di hadapannya di tatap. Fikirannya kosong.

Mak, cepat benar mak tinggalkan Mai. Tak sempat Mai nak tunjukkan kejayaan Mai pada mak.

Maisarah memandang ke arah dapur. Suara Imfitah yang menangis tidak henti-henti daripada tadi mencuri perhatiannya. Lantas, langkah diatur.

“Kak, kenapa Imfitah?” Maisarah bertanya. Kelihatan Kak Shariza yang gelisah.

“Ntahlah dik, dia tahu nenek dia dah tak ada kot.”

Maisarah tersentak dengan jawapan tersebut. Air matanya tumpah lagi…
* * *
Suara Encik Muhammad jelas kedengaran mengimamkan solat jenazah buat isterinya.

Selesai solat, Encik Muhammad pergi berdekatan dengan jenazah Puan Naimah.
Wajah arwah isterinya ditatap lama. Satu ciuman diberi.

“Sayang, abang redha dengan pemergian sayang. Bukankah sayang adalah hak milik Allah yang dipinjamkan kepada abang? Abang bersyukur kerana sayanglah sebaik-baik pinjaman. Abang redha dengan segala apa yang sayang buat. Sayang isteri yang terbaik. Semoga syurga menjadi milikmu.Sabarlah, nanti pasti abang akan menyusul.Abang pasti merinduimu.”

Satu ciuman lagi diberi.

Dan air mata Encik Muhammad gugur jua mengiringi isterinya…….


p/s: Al-Fatihah buat arwah ibu angkat ana, Puan Khadijah.

Read More......

Beginikah Kita?


Semakin jauh kakiku melangkah,

Semakin luas pemandangan mata anugerahNya,

Semakin pula aku terfikir,

‘Oh Allah, beginikah sikap hambaMu, umat di akhir zaman?’

Aku tidak mengerti…

Mengapa? Mengapa senang benar kita melanggar batas-batas syara’ yang telah ditetapkannya?

Mengapa senang benar kita menurut kata-kata syaitan laknatullah!

Pada saat mata disaji dengan hidangan yang berlanggar dengan ketentuanMu,
Hati ini merintih…

‘Oh Allah! Lemahnya hambaMu..”

Aku melihat insan yang bakal menggenggam segulung ijazah jurusan Agama disana…

Di tepi tembok, sedang berbual dengan wanita ajnabi dalam masa yang panjang…

Ya, dikau bijak mengatakan dikau melakukan perbincangan,

Ya, dikau bijak mengatakan dikau berbual berdua di hadapan semua orang,

Dikau memang sungguh bijak mempermainkan arahanNya.

Lupakah engkau?

Lupakah engkau pada pesan Rasulullah : ‘Apabila seorang lelaki dan seorang wanita itu bersama, syaitan adalah yang ketiga.’

Tidak kira engkau berada di mana, bukankah syaitan telah berjanji akan memperdayakanmu?
Aku juga melihat,

Di sana, ramai insan jurusan Agama yang semakin lelah dengan duniawi,

Dan di satu sudut lain…

Ada hati yang sedang merintih, mengharap di bawa ke dalam bahtera penyelamat,

Di sana…

Ada hati yang sedang memberontak minta dibantu.

Itukah kita?!

Itukah kita yang mengatakan ‘Aku hamba Allah’

Itukah kita?!

Itukah kita yang mengatakan ‘Aku cintakan Rasulullah!!!’

Itukah kita?!

Itukah kita yang mengatakan ‘Aku rela berkorban demi Islam tercinta’

Di mana buktinya?!

Ketika Allah mengatakan ‘TIDAK!’ dikau berusaha mencari penyebab mengatakan ‘YA’

Ketika Rasulullah mengatakan ‘JANGAN’ dikau manipulasi sehingga menjadi ‘YA’

Ketika Islam mengajarkan cara hidup terbaik, dikau lebih suka dengan cara hidupmu.

Lantas, pada siapa lagi engkau beriman?

Aku semakin kabur….

Di manakah dia insan unggul pengganti Salahudin Al-Ayubi untuk menawan kembali Baitul Maqdis?

Di manakah dia insan tabah setabah Ikramah untuk mempertahankan Islam tercinta?

Dan di mana dia syabab yang mampu menggantikan 4 orang sahabat Baginda?

Pada saat hati ini dipenuhi dengan amarah,

Ditambah pula dengan rasa sedih atas iman yang lemah,

Air mata itu senang benar jatuh berguguran menyembah bumi…

Sahabatku para harapan Agama,

Aku tidak marah padamu cuma aku marah pada syaitan yang menggodamu,

Aku tidak kecewa denganmu cuma aku kecewa dengan nafsu yang menggoda dirimu,

Aku tidak malu bersahabat denganmu cuma aku malu dengan tindakanmu…

Dan hakikatnya aku marah,kecewa dan malu pada kelemahan imanku yang tidak mampu
menegur secara terus…

Ayuh, ayuh kita bersama,

Ayuh kita berpimpin tangan,

Ayuh kita nasihat-menasihati,

Ayuh kita bersama-sama mencapai redhaNya,

Kerana..

Kerana diriku begitu teringin untuk menatap wajahNya,

Meski diri terasa terlalu hina….

Marilah kita bersama, melangkah menuju redhaNya!

Read More......

Tuesday, May 19, 2009

Sanah Helwa ya Habibati


Selamat Hari Lahir...

Semoga amalmu bertambah seiring dengan umurmu...
Hidup di dunia ini umpama satu perjalanan,
Dan alangkah beruntungnya diri ini,
Kerana dalam perjalanan itu diriku berpeluang untuk bertemu denganmu..

Moga mahabbah ini berpanjangan

Moga ukhwah ini berkekalan..

Dan moga dikau bahagia di samping anak-anak tersayang (eh?)
Moga dikau bahagia di samping suami tercinta (erk?)
Yang penting sekali,
Moga dikau bahagia dalam mengecapi nikmat Iman dan kasih sayangNya yang tidak berpenghujung...
Moga dirimu bahagia dalam mengejar cinta dan kasih sayang Allah..
Moga dirimu bahagia menempuh mehnah perjuangan lambang cintaNya..
Dan moga kita dapat bersama-sama berganding bahu demi menegakkan syiar Islam yang suci...

Maafkanlah salah silapku teman...
Maafkanlah andai ada gurauanku yang mengguris hati..
Maafkanlah andai tutur kataku tidak kau senangi..

Maafkanlah........

Uhibbuki Fillah, abadan abada., Nur Laili binti Mustafa..


Read More......

Antara sabar dan syukur



Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian…

Masih ingatkah kita pada firmanNya dalam surah Al-Ankabut ayat yang kedua :

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

Ana seringkali merenung diri, apatah lagi semalam berlaku satu peristiwa yang benar-benar menguji..

Dompet ana hilang semalam. Di dalam dompet itu mengandungi wang yang boleh tahan banyaknya bagi diri seorang pelajar dhoif seperti ana, kad bank Islam, kad pengenalan, lesen memandu, gambar sahibah-sahibah ana jua gambar umi dan abi yang sangat ana rindui…

Ana sendiri pelik, ke mana dompet itu pergi?

Ana memang menangis semahunya. Kelas yang dihadiri seolah-olah tidak bermakna kerana meskipun tubuh ana di dalam kelas,fikiran ana entah ke mana….

Selepas itu ana berfikir, untuk apa ana menangis? Bukankah dompet itu, wang itu malah segala barang yang ada di dalam dompet itu merupakan hak milik Allah, ana hanya meminjam, jika Allah mahukannya kembali mengapa ana perlu merungut sedangkan nikmat yang Allah beri sebelum ini sangat banyak, sehingga mungkin ana tidak sempat bersyukur…

Mungkin jua Dia mahu ana lebih mengerti apakah maksud SABAR dan SYUKUR…
Terima kasih padaNya kerana mengurniakan ana para sahibah yang solehah sehingga ana tidak merasa susah kehilangan dompet disebabkan mereka tidak berputus asa menyokong dan bersusah payah menolong ana.. Afwan ya sodiqoti….

Terima kasih jua padaNya kerana pada hari ini ana telah menemukan kembali dompet ana tanpa kehilangan apa-apa pun. Ana masih tidak mengetahui siapa yang menjumpainya,namun ana panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar kebaikan itu dibalas kebaikan jua hendaknya…

Sahabatku para pejuang Agama…

Pernahkah kita terfikir, sejauh mana kita mampu berSABAR dan sejauh mana kita mampu berSYUKUR?

“Enti apa beza sabar dan syukur tu?”

Begini, cuba bayangkan antum tidak mempunyai televisyen, antum mampu bersabar tidak menonton televisyen, tapi pada suatu hari antum telah mendapat satu cabutan bertuah dan memenangi sebuah televisyen berserta pemasangan Astro secara percuma. Sejauh manakah antum mampu bersyukur dengan tidak menonton rancangan-rancangan yang tidak berfaedah serta memandulkan iman?

DIA lebih tahu…

Bukankah orang yang bersyukur dengan nikmat Allah itu lebih baik daripada orang yang bersabar dengan dugaanNya..

“Eh, kenapa pula enti?”

Cuba kita sama-sama renungkan….. Andai kita susah, kita cari Allah, kita mampu bersabar dengan menangis dan mengadu kepada Allah, hati kita akan menjadi lebih dekat dengan Allah..

Tapi!

Andai kita senang, cepat benar kita lupa kepada Allah… jarang benar kita mengucapkan Alhamdulillah tanda terima kasih kita padaNya, susah benar kita hendak menangis, mengadu padaNya…

Allah merindui rintihan itu… Allah merindui suaramu mengadu padaNya… Allah rindu padamu…

Sahabatku sayang fillah…

Renung-renungkanlah, fikir-fikirkanlah, fahamilah apa itu SABAR, apa itu SYUKUR agar dirimu sentiasa merasai nikmat kasih sayangNya…

p/s: Sama-sama kita doakan untuk umi ukhti Mariena yang menghidap penyakit demam chikunya…. Moga umi enti cepat sembuh dan moga enti mengerti erti sabar dan syukur….

Read More......

Sunday, May 17, 2009

Duniawi vs Ukhrawi?


Sebak. Sedih. Pilu. Terkilan?

Ntahlah.. Susah nak digambarkan perasaan ini apabila berhadapan dengan insan-insan yang membeza-bezakan ilmu duniawi dan ukhrawi.

'Tak perlu kejar duniawi, kita kena kejar ukhrawi. Itu yang kekal'

Begitukah? Alangkah malang bagi sesiapa yang berfikiran begitu.

Ayuh soroti kisah-kisah umat sebelum kita.. Ibnu Sina dengan perubatan, Al-Khawarizmi unggul dalam bidang matematik dan Al-Farabi hebat sebagai ahli falsafah dan Ibnu Haitham banyak menyumbang dalam bidang fizik.

Jadi dimanakah hujah kita untuk menyatakan bahawa ilmu dunia itu tidak perlu, tidak penting.

Allah tidak menurunkan ilmu itu untuk disia-siakan, tetapi untuk dikaji. Di manakah dalil kita bahawa Allah hanya menyuruh kita mensoroti bidang keagamaan sedangkan dalam Al-Quran Allah telah menyatakan bahawa :

Bukankah Kami menciptakan kamu dari air yang hina?, kemudian Kami letakkan dia dalam tempat yang kukuh (rahim), sampai waktu yang ditentukan, lalu Kami tentukan (bentuknya), maka Kami-lah sebaik-baik yang menentukan. (Al-Mursalat : 20-23)

Jadi jika kita tidak mahu belajar subjek sains, siapakah yang mahu mengkaji apakah air yang hina? di manakah rahim? Bagaimanakah proses pembentukan bayi? Bagaimana persenyawaan boleh berlaku?

Sahabatku Para Pejuang Agama,

Dikau para pelapis Islam yang suci. Tidak sanggup ana membayangkan bagaimana nanti dikau sendiri yang memalukan Islam. Ingatlah, jalan dakwah ini tidak semudah yang disangka, jalan dakwah ini bukan menuntutmu untuk berhujah dengan orang Islam semata. Jalan dakwah ini menuntutmu menjadi orang yang berilmu!

"Kalau melakukan persutubuhan waktu haid anak jadi cacat"
"Minyak wangi tu semua haram! najis! ada alkohol dalam tu"
"Tak perlu belajar Bahasa Inggeris, bahasa orang kafir tu!"

Ana pernah berhadapan dengan ini semua, para agamawan yang memalukan diri mereka sendiri. Tidak sanggup ana mendengar dan ana lebih tidak sanggup lagi andai antum semua yang bakal berucap sebegitu nanti...

Bukankah ketika haid berlakunya pengguguran ovum? Bagaimana pula sperma mampu untuk menempel pada ovum yang sudah 'tua' dan gugur daripada fallopian tube? Oh para agamawan, dimanakah dalilmu untuk menyokong fitnah yang dicipta?!

"Enti, itu semua takdir Allah!!!!"

Begitukah? ya ana tidak nafikan kadangkala keajaiban berlaku, tapi bagaimana pula nanti antum mampu untuk berhujah dengan mereka yang bukan Islam yang menolak kewujudan Allah?

Benar, andai sesuatu yang memabukkan itu dicampur dalam cecair, maka cecair itu menjadi najis. Alkohol itu ada yang memabukkan, tapi bukan semua. Ethanol itu memabukkan. butanol, propanol tidak. Jadi adakah andai butanol dicampur ke dalam minyak wangi itu, minyak wangi bertukar menjadi najis juga?

Andai dirimu tidak menguasai bahasa, tidak kira bahasa apa sekali pun, mudahkah dikau untuk berdakwah kepada orang asing?

Di manakah hujahmu wahai Para Pembela Agama Islam???

Andai dikau menyangka jalan dakwah ini mudah, maka dikau telah tersilap besar... Para penentang Islam telah mencipta nuklear, bom, kapal terbang yang mampu terlindung daripada dikesan oleh radar...

Dan dirimu?

Dirimu masih di situ... Memperjuangkan bahawa ilmu ukhrawi itu yang perlu dituntut, lupakan yang duniawi...

Sedangkan...sedangkan dikau terlupa wahai sahabat fillahku... Dikau terlupa bahawa semua ilmu itu diasaskan oleh Allah... Dikau terlupa bahawa dengan ilmu itu maka nasib saudara-saudaramu akan terbela... Dikau terlupa bahawa dikau BOLEH mempelajari semua ilmu itu kerana Allah.

Andai dikau sakit, sanggupkah andai dirimu dirawat oleh mereka yang bukan Islam semata?

Rasa terjaminkah dirimu andai semua pengeluaran makanan di adakan oleh mereka yang bukan Islam sahaja?

Rancangan apakah yang bakal ditonton jika semua rancangan dikuasai oleh mereka yang tidak memahami Islam?

Jadi, masih ada perbezaankah ilmu duniawi dan ukhrawi itu?

Bukankah dunia ini merupakan jambatan ke akhirat??

Oh Allah, lindungi diriku daripada berasa penat berhadapan dengan insan-insan sebegini..
Lindungi diriku dan semua pembela agamaMu daripada berfikiran begini..

Berfikirlah para pejuang Agama... berfikirlah menggunakan mata hatimu jua akal fikiranmu...

Wallahualam.

Read More......

Friday, May 15, 2009

Tuntutlah Ilmu Kerana Allah..



“Ana taknak belajar!!! Tak nak!!! Ana nak duduk masjid, beribadat je sampai meninggal dunia!”

“Anta janganlah macam ni, marilah pergi kelas… kita kena belajar…”

“Taknak… tak nak… taknakkkkkkk”

Lalu bermulalah pertelingkahan antara dua pemuda tadi…

Sahabat-sahabat yang ana kasihi…

Nak dengar satu cerita tak? Tak nak? Takpe, ana nak cerita juga..

Pada suatu hari, Rasulullah nampak syaitan terngendap-ngendap depan masjid. Rasulullah pun tanya (lebih kurang)

“Hei syaitan, apa kau buat ni?”

“Sebenarnya aku nak masuk masjid untuk mengacau orang yang sedang solat tu, tapi aku takut pada pemuda yang sedang tidur berhampirannya.” Syaitan menjawab

“Kenapa kau tidak takut pada orang yang sedang bersembahyang sedangkan dia sedang dalam keadaan beribadat dan bermunajat kepada Allah. Kenapa kau takut pada orang yang sedang tidur sedangkan mereka dalam keadaan yang lalai?” Rasulullah bertanya kembali.

Lalu syaitan pun menjawab….

“Orang yang sedang bersolat itu merupakan orang yang jahil. Mudah sahaja bagi aku untuk mengganggunya, sedangkan orang yang tidur itu merupakan orang yang alim, aku bimbang andai dia terjaga dan membetulkan kesilapan orang yang sedang solat itu.”

Lihat… Tidur orang alim LEBIH BAIK daripada solat orang jahil.

“Mastura, enti ni daripada tadi asyik sebut alim,alim… alim tu apa?”

Ok, alim itu bermaksud orang yang berilmu… orang yang berilmu itu bermaksud orang yang rajin menuntut ilmu dan kita tidak akan mampu menuntut ilmu kalau kita ialah seorang yang malas! Tanpa ilmu, tidak bergunalah ibadat kita.

“Jadi, kami kena menuntut ilmu agama je la, ilmu fizik, matematik, biologi semua tak perlu?”

Bukan begitu duhai pemuda-pemudi harapan Islam!

Ana tahu, agak mustahil untuk kita menguasai semua ilmu Allah yang banyak.. tapi sekurang-kurangnya kita harus tahu walau sedikit setiap ilmu itu…. Jika kita tidak tahu, maka mudahlah kita ditipu… jika kita tidak tahu, siapa lagi yang mampu untuk memartabatkan nama Islam…

Antum jangan sewenang-wenangnya cakap doktor, engineer, arkitek, ahli perniagaan itu semua tak perlu… duniawi semata, yang perlu ilmu fiqh,ibadat, ulum Al-Quran.. tidak, salah persepsi begitu.. jika tiada orang Islam dalam bidang professional, senanglah orang-orang Islam diperkotak-katikkan…

“Apa ni enti, enti nak cakap pelajar bidang agama itu tidak professional ke?”

Bukan, bukan begitu maksud ana…

Beginilah, andai ilmu-ilmu yang cenderung kepada agama dan ilmu yang cenderung kepada dunia ini digabungkan, disatukan maka akan hebatlah orang-orang Islam… akan lahirlah doktor, engineer, arkitek, ahli perniagaan yang bertaqwa dan akan lahir jugalah ustaz dan ustazah yang berkaliber!

Bukankah begitu?

Tidakkah malu andai anda ingin menyampaikan ceramah, tapi power point pun masih belum tahu guna? Tidakkah malu andai anda berjaya merawat orang tapi baca surah masih tergagap-gagap?

Jadi, siapa kata ilmu itu tak penting? Semua ilmu itu penting, tersangat penting… untuk mendapat ibadat yang berkualiti juga memerlukan ilmu…

Jadi jangan bertangguh-tangguh untuk menuntut ilmu Allah, kerana menuntut ilmu kerana Allah juga adalah ibadat…

Seronok bukan?

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah Yang menerangi kebenaran.(Luqman:20)

“Oh, jomlah pergi kelas, ana nak beribadat sambil belajar, belajar sambil beribadat”

“Ha, macam tulah muslim sejati!”

Lalu,tamatlah pertelingkahan dua pemuda tadi…

Selamat menuntut ilmu Allah…. :)

Wallahu’alam…

Read More......

Thursday, May 14, 2009

Doakan Ketabahanku...


Semalam, banyak benar peristiwa yang berlaku sehingga ana hanya mampu melelapkan mata lewat jam 2 pagi.. Mujur, tiada kelas yang berlangsung pada hari ini, dapatlah ana merehatkan badan yang kian penat.. Alhamdulillah...

Mulanya ana tidak berhasrat untuk mencoret tentang diri sendiri dalam blog yang dhoif ini, apalah sangat hendak dibandingkan diri ini dengan perjuangan Islam yang sememangnya jauh lebih penting, namun semakin ana simpan semakin parah hati ini... izinkan ana mencoret sedikit kalam agar tersimpan menjadi memori...

Saat coretan ini ditaip, hati ana masih sebak.. Seolah-olah mahu mentiskan air mata agar tenang hati ini, tapi cukuplah... cukuplah hanya semalam air mata itu jatuh kerana ana tahu ana perlu kuat!

Ana masih ingat pesanan ini.... Kalau kita susah jangan bagitahu orang kita susah, tapi kalau kita senang, berkongsilah dengan orang lain... Justeru itu ana tidak mengkhabarkan peristiwa petang semalam kepada sahibah sekalian, meskipun roomate yang ana kasihi bertanyakan perkara itu (mungkin dia terdengar perbualan telefon ana), ana berkeras untuk berdiam, meski air mata seakan-akan mahu tumpah... Maafkan ku sahibah sayang... Enti sendiri masih belum pulih sepenuhnya daripada demam...

Petang semalam, ana mendapat khabar umi ana tersayang terlibat dengan kemalangan. Kereta yang dipandu umi berlanggar dengan motor yang datang dari arah bertentangan kerana motor itu tidak mematuhi lampu isyaratnya yang sudah bertukar merah. Akibat kemalangan itu, kereta umi rosak teruk sedangkan umi harus membawa adik bongsu ana ke hospital untuk rawatan... Alhamdulillah, umi dalam keadaan baik... Ana tidak tahu umi memberitahu dia baik-baik sahaja demi menyedapkan hati ana atau apa?

Allah... hati anak manakah yang tegar menerima perkhabaran seperti itu? Terasa ingin ana terbang ke sisi umi, pastinya umi masih terkejut dengan insiden itu....

Ana menangis sehingga tertidur. Fikiran ana berkecamuk. Azan Asar yang berkumandang pada jam 4.32 petang seolah-olah tidak menembusi gegendang telinga ana. Ana tidak mampu untuk bangun dan ana lewat menunaikan solat Asar-pada jam 5 petang.. Allah, maafkan kealpaanku... Sebaik ana bangun daripada tidur, jiwa ana seolah-olah kosong, dan ketika kaki melangkah masuk ke dalam bilik air, ana kembali teringatkan umi dan air mata itu gugur lagi...

Ana cuba bertahan,namun diri terasa sangat lemah. Ana hampir-hampir rebah dan barulah ana teringat ana hanya makan 2 keping popia pada hari itu. Ana menikmati nasi pada jam 6.43 petang... Terima Kasih Allah atas rezekimu yang tidak pernah putus...

Ana harus bangkit! Ana tahu ana harus kuat, tapi bagaimana?? Ana cuba ukirkan senyuman palsu dan ana mampu bergelak-ketawa dengan sahibah biarpun hati memberontak kesedihan, masakan ana tegar membiar sahibah berduka jua sedang mereka masih banyak yang perlu difikirkan?

Malam itu jua housemate ana mendapat berita bahawa datuknya sudah nazak... Allah, tegarkah ana menceritakan masalah yang ditanggung sedangkan di hadapan mata ana ketika itu, seorang sahibah sedang menitiskan air matanya? Dan Alhamdulillah, malam itu Allah kurniakan kegembiraan dalam diri ana,ana sendiri tidak tahu mengapa... Mungkin Allah mahu enti terhibur sahibahku...

Imtihan akan berlangsung esok (jumaat) dan ana bergelumang dengan kertas-kertas yang perlu dibaca. Ana tertidur. Bangun kembali, cuba menukar posisi. Ana duduk,mata menatap kertas tapi fikiran entah ke mana... Ana lihat jam, 1.45 pagi.Lantas ana mengambil wudhu' dan membaca surah Al-Mulk sebelum tidur. Saat kepala diletak ke atas bantal, ana hilang dalam gelap... Terima kasih Allah kerana masih memberiku nikmat berehat...

Doakan semuanya baik-baik sahaja....

Air mata, berhentilah mengalir...... Bukankah Allah meguji mengikut kemampuanmu?

Read More......

Tuesday, May 12, 2009

Masalah oh Masalah


“Aduh.. banyaknya masalah!!”

Manusia… sehebat mana pun seseorang manusia itu, pasti tidak akan pernah terhindar daripada masalah. Itulah fitrah. Fitrah yang menguatkan jiwa yang lemah, yang menebalkan iman yang nipis, yang mencekalkan jiwa yang goyah.

Kita boleh lari daripada masalah. Tapi ingatlah masalah tidak akan pernah berhenti daripada mengejar kita. Macam main polis entry want to jaga,polis mati pencuri jaga, polis tidak akan pernah berhenti mencari penjenayah. Sehinggalah tamat permainan, keputusan akan menunjukkan sama ada polis atau penjenayah yang menang. Polis itulah kita dan masalah itulah merupakan penjenayah dalam minda dan sanubari kita. Andai kita rela mati daripada menangkap penjenayah,maka tewaslah kita dalam kehinaan!

Pantang mati sebelum berlawan, pantang menyerah sebelum kalah. Seharusnya diri kita sentiasa bersedia dan berwaspada.

“Hei masalah! Mari sini biar aku selesaikan kau!!!”

Kita patut begitu, kita perlu berani dan seharusnya kita bijak dalam mengatur langkah, demi menyelesaikan masalah yang satu. Untuk mengatur langkah perlu ada strategi,bimbang tersalah langkah buruk padahnya. Dalam mengorak strategi yang bijak perlu ada cara, untuk tahu cara perlu ada kepandaian dan untuk ada kepandaian perlu ada ilmu.

Jadi siapa kata ilmu itu tidak penting? Ok itu cerita lain..

“Mastura, apa enti membebel daripada tadi, macam mana nak ada strategi tu?”

Baiklah.. begini, senang sahaja dan ini amat berkaitan dengan ilmu. Mengapa? Kerana dengan ilmu kita tahu bagaimana para sahabat nabi dan tokoh Islam mengatur strategi yang cantik. Dengan ilmu kita tahu bagaimana Allah mengajar kita untuk berhadapan dengan masalah.

Contohilah para ilmuwan dan tokoh-tokoh Islam yang sangat mewangi namanya ke seluruh pelosok dunia. Mereka tidak pernah tinggal solat malam bahkan hati-hati mereka sentiasa subur dengan cinta Allah. Apabila hati sudah mencintai Allah, masalah apa lagi yang tidak mampu diselesaikan? Jika Allah turunkan masalah, lagi mereka suka kerana itu tandanya Allah masih ingat pada mereka.

Subhanallah…

Mampukah kita jadi seperti mereka? Tetap sabar walau diuji, tetap tabah biarpun sendiri kerana di hati mereka ada Allah, cinta mereka tetap unggul biarpun rintangan melanda, biarpun badai menerpa…

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut:2)

“Aduh, mana kami mampu macam tu…”

Ya, ana faham kerana ana sendiri tidak mampu mencapai tahap itu….

Jadi bagaimana?

Ada masalah hati tak tenang. Makan tak lalu, tidur tak lena… macam mana?

Begini sahabat-sahabatku… renungilah firmanNya :

(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Al-Ra’d : 28)

Zikrullah tu apa? Zikrullah tu ingat pada Allah. Senang bukan? Ingat pada Allah, ingat pada kebesaranNya, ingat pada nikmatNya, ingat pada hikmah di sebalik setiap kejadian..tenteramlah hati kita….

Antum tahu tak, ketika antum ingat pada Allah, Allah pun ingat pada antum…

Seronok bukan? Hati tenang tambah lagi Allah ingat pada kita… bila hati dah tenang dan Allah ingat pada kita, insyaAllah mudah untuk kita memikirkan jalan keluar… seronok bukan?

Allahu Akbar!

Jadi itu lah gunanya ilmu, carilah ilmu sebanyak mungkin agar masalahmu tidak terbengkalai, agar semuanya selesai sebelum timbul masalah yang baru…

Selamat menyelesaikan masalah!

Wallahu’alam

p/s : nanti kita cerita pasal ilmu pula ye :)

Read More......

Monday, May 11, 2009

Sahabat Ukhwah Fillah?



“Mas, macam mana nak tahu orang tu berkawan dengan kita ukhwah fillah atau tak?” seorang sahibahku bertanya ketika kami sedang menikmati panorama di meja makan =)

Ukhwah Fillah. Hubungan kerana Allah. Manusia memang pandai berlakon dan kita bukannya wali atau sahabat Nabi yang bijak mengesan isi hati manusia. Kita ini adalah hamba Allah yang mungkin amat senang sekali diperdaya sama ada dengan syaitan yang nyata atau pun tidak..

Jadi bagaimana nak mengesan ukhwah fillah?

Pertama sekali, mari kita renung apa pesan Rasul Junjungan, Muhammad S.A.W ;

Seorang sahabat bertanya kepada nabi SAW, "Bagaimanakah ciri-ciri orang yg patut aku dampingi (untuk di jadikan teman)?" Nabi bersabda "Teman yg patut kamu dampingi ialah, apabila kamu melihatnya, kamu teringatkan Allah. Apabila mendengar kata-katanya, akan bertambah ilmumu dan apabila kamu melihat amalan-amalannya, kamu teringat akan negeri akhirat"

Justeru itu, beginilah caranya untuk memilih seorang sahabat. Tapi itu panduan untuk diri kita dalam memilih sahabat, bagaimana pula kita nak tahu mereka benar-benar ikhlas untuk berkawan dengan kita. Kerana Allah. Ukhwah Fillah.

Ana bukanlah sesiapa yang layak untuk memberi jawapan yang tepat, beginilah pandangan ana ;

1) Sahabat ukhwah fillah, kita senang bila dekat dengannya kerana Allah lebih mengetahui segala-galanya, yang tersurat dan tersirat. Justeru itu andai hati kita dan dia sudah sama-sama bertaut kerana Allah, pasti ketenangan ada di situ. Sesuai dengan janji Allah ;

Wajiblah cintaKu bagi orang-orang yang berkasih sayang keranaKu (Hadith Qudsi)

2) Sahabat ukhwah fillah akan sentiasa menegur kesilapan kita yang tidak sesuai dengan ketetapan syara’. Hal ini kerana masakan hati yang mencintai Allah dan bersahabat denganmu keranaNya semata tegar untuk melihat dirimu terus lena dibuai godaan syaitan laknatullah. Ingatlah, bukan mudah untuk seorang manusia menegur manusia yang lain, jadi andai sahabatmu menegurmu agar kamu menjadi lebih dekat denganNya, hargailah… kerana dia mencintaimu kerana Allah!

Rasulullah s.a.w bersabda : “Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain bagaikan bangunan yang saling mengikat dan menguatkan serta bagaikan jalinan jari-jemari (H.R Mutlafaqa’laih dari Abu Musa r.a)

3) Sahabat ukhwah fillah akan berusaha sedaya upaya untuk menutup keaibanmu. Ini penting, sahabat ukhwah fillah tidak akan sesekali menikammu dari belakang, seaib mana pun perlakuanmu akan cuba ditutup agar maruahmu terpelihara kerana dia menyayangimu kerana Allah dan dia tahu baik burukmu itu adalah dari Allah. Andai berjumpa dengan sahabat begini, bersyukurlah…

4) Sahabat ukhwah fillah akan gembira dengan kejayaanmu dan bersedih dengan kegagalanmu. Sekarang ini tidak ramai yang senang melihat orang lain lebih berjaya daripada dirinya. Terkadang ada sahabat yang sanggup merosakkan sahabat sendiri. Santau, bomoh, sudah menjadi perkara biasa bagi insan yang jahil tentang Islam. Jadi andai sahabatmu sentiasa di sisi dan menyokongmu tika saat jatuh dan bangunmu maka hargailah dia…

5) Sahabat ukhwah fillah akan selalu menghiburkanmu dengan janji-janji dan kalam-kalam Allah. Perkara no.5 ini berkait rapat dengan no.4 . mengapa? Kerana tika dirimu jatuh, sahabat ukhwah fillah akan menghiburkanmu dengan janji-janji Allah… Tika dirimu terlalu gembira, shabat ukhwah fillah akan mengingatkanmu tentang kebesaran-kebesaran Allah. sahabat ukhwah fillah tidak akan cuba menghiburkan dirimu dengan sajian dunia yang fana semata-mata bahkan diajaknya dirimu untuk mengejar akhirat yang kekal abadi…

6) Yang paling penting sekali… sahabat ukhwah fillah akan sentiasa mendoakan dirimu!

Ya Allah…. Hubungkan hati-hati kami agar ia bertaut keranaMu semata… Ya Allah, kau jagalah hati-hati kami agar hubungan yang dibina tidak berlandaskan duniawi melainkan untuk mencari redhaMu… Ya Allah Yang Maha Mendengar, kau peganglah hati-hati kami agar kami sentiasa memberi kekuatan di antara satu sama lain, agar kami dapat bersama-sama menegakkan kembali syiarmu di muka bumi ini… Amin Ya Rabbal Alamin…

Ingatlah sahabat-sahabatku sekalian, Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Sesungguhnya Allah Taala akan berkata di hari kiamat : Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana kebesaranKu? Pada hari ini, Aku akan melindungi mereka di bawah lindunganKu. Iaitu hari di mana tiada lindungan lain kecuali lindunganKu.” (Sahih Muslim)

Selamat berukhwah fillah! =)

Wallahu’alam…

Read More......

Sunday, May 10, 2009

Selamat Hari Ibu.. (Thank You Allah for My Mother)

Emak dan adik tersayang...

Who should I give my love to?
My respect and my honor to
Who should I pay good mind to?
After Allah
And Rasulullah

Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hold you
And clean you and clothes you
Who used to feed you?
And always be with you
When you were sick
Stay up all night
Holding you tight
That's right no other
My mother

Who should I take good care of?
Giving all my love
Who should I think the most of?
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hear you
Before you could talk
Who used to hold you?
Before you could walk
And when you fell who picked you up
Clean your cut
No one but your mother
My mother

Who should I say right close to?
Listen most to
Never say no to
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hug you
And buy you new clothes
Calm your heart
And blow your nose
And when you cry
Who wiped your tears?
Knows your fears
Who really cares?
My mother

Say Alhamdulillah
Thank you Allah
Thank you Allah
For my mother.

TERIMA KASIH EMAK,THANKS MOM, SYUKRAN YA UMI!!



Read More......

Saturday, May 9, 2009

Dalam Pahit Ada Manis...



“Kenapa orang Islam kalau solat ada arah dia sendiri? Bukankah dunia ini berbentuk sfera… menghadap ke mana-mana pun akan berjumpa juga dengan kaabah… Bukankah begitu?” Tulus suara Mei Lin bertanya. Sesekali wajahnya yang bujur sireh berkerut-kerut dek bahang panas mentari yang membakar wajahnya yang putih bersih itu.

Nurul Iman diam. Sungguh tidak disangka, Mei Lin sanggup menahan perjalannya ke kafetaria semata-mata untuk bertanya soalan itu.


“Mari kita pergi kafetaria dulu…” Nurul Iman cuba beradab semanis mungkin. Sejujurnya dia sendiri tidak tahan pada terik mentari yang lain benar hangatnya pada hari itu. Terdetik juga di fikirannya, bagaimanakah nanti tika di Padang Mahsyar sewaktu hari pembalasan, di mana telah digambarkan bahawa matahari hanya sejengkal sahaja daripada kepala manusia….

Fikiran Nurul Iman ligat beroperasi seiring dengan langkahan kakinya..

“Maaf ya Nurul… Saya betul-betul keliru tentang solat yang biasa dilakukan oleh orang Islam. Sebetulnya saya baru sahaja baca buku ni..” Tangan Mei Lin menghulurkan buku Panduan Solat Bagi Wanita kepada Nurul Iman. Nurul Iman menyambutnya, senyuman manis terukir di wajahnya yang bercahaya.

“Mana awak dapat buku ni?”

“Perpustakaan”

Berbunga hati Nurul Iman melihat progress rakannya yang satu ini. Kecenderungan Mei Lin terhadap Islam telah menarik minat Nurul Iman sehingga dia tidak pernah merasa bosan melayan karenah Mei Lin.

“Jom order air dulu…” Nurul Iman mempelawa sebaik sahaja kaki mereka berpijak di kafetaria Selera.

* * *

“Mei Lin, awak pernah tak tengok acara sukan lumba lari 200 meter?” Nurul Iman bersuara sebaik sahaja memabasahkan tekaknya dengan air barli ais.

“Pernah.. Kenapa?”

“Hm, dalam lumba lari tu semua kena berlari ke arah yang sama kan? Tidak boleh ada yang mengundur ke belakang, lari ke kanan atau ke kiri… tak boleh kan?”

“Mestilah Nurul! Itu kan peraturan… Peliknya kalau ada yang berlari mengundur ke belakang” Mei Lin tergelak kecil, cuba membayangkan peserta lumba lari berlari mengundur sedangkan peraturannya haruslah berlari maju ke hadapan.

“Tapi bukankah sama je, berlari mengundur ke belakang, ke tepi, ke kanan… 200 meter juga.”

“Nurul, I don’t know why you ask me this kind of question. You are a smart student, aren’t you? Whatever it is, rule is rule… Kucar-kacirlah nanti kalau semua lari ikut suka.” Mei Lin tidak dapat menahan ketawa. Semakin kecil matanya yang sudah semulajadi sepet.

“Begitu jugalah dengan solat. Allah telah menetapkan satu arah yang sama untuk menunjukkan bahawa setiap umat Islam itu harus bersatu dalam apa jua keadaan dan menunjukkan bahawa Islam itu merupakan satu agama yang mempunyai peraturan, atau dengan erti kata lainnya teratur..” ringkas tetapi padat penerangan Nurul Iman.

Mei Lin berhenti ketawa. Fikirannya ligat memikirkan kebenaran kata-kata Nurul Iman.

“Nurul… Solat itu wajib kan? 5 kali sehari kalau tak silap saya”

“Betul… Tepat sekali”

“Tapi kenapa room mate saya jarang-jarang je solat?”

Soalan itu seolah-olah satu tamparan hebat kepada Nurul Iman. Sel-sel darah merahnya pantas menyerbu wajahnya membuatkan wajah gadis itu menjadi merah. Nurul Iman menunduk ke bawah, malu dengan sikap saudara seagama sendiri…

“Hm, cuba kita lihat di kolej ini sendiri, berapa ramai sahaja yang mematuhi peraturan? Tengok sampah yang dibuang merata-rata. Hanya segelintir sahaja yang mampu menhan nafsu, membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan mereka itu adalah golongon yang dianggap ganjil, kan?”

“Ya”

“Begitu jugalah dengan orang Islam itu, tidak ramai yang mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Contohnya seperti solat. Jika di kolej ini tidak mematuhi peraturan mengenai pembuangan sampah akan menyebabkan kolej kotor tetapi bagi kami orang Islam, tidak mematuhi peraturan Allah akan mengotorkan hati. Sebab itulah kadang-kadang hidup jadi serba tak kena”

“Oh, patutlah room mate saya pernah mengugut nak bunuh diri sebab putus cinta”

Nurul Iman beristighfar di dalam hati…

Oh Allah, kurniakan kepadaku kesabaran….

* * *

“Yea!! Kak Nurul datang!!!” Girang suara kanak-kanak menyambut kedatangan Nurul Iman di Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang ditadbir oleh ibu angkatnya.

Nurul Iman memeluk dan mencium satu demi satu anak-anak kecil yang beumur sekitar 2 hingga 7 tahun itu. Kasihnya kepada mereka sudah seperti saudara kandung sendiri.

“Kak Nurul kenapa dah lama tak datang?” Haikal yang berumur 4 tahun memulakan pertanyaan.

“Kak Nurul sibuk sayang…” Nurul Iman mengusap-usap rambut Haikal.

“Kak Nurul sibuk buat apa?” Shahiza-anak kecil berumur 3 tahun itu pula bertanya.

“Akak belajar, kan akak nak ajar adik-adik akak ni… sebab tu akak kena belajar dulu.”

“Hei tak sempat Kak Nurul tu nak salam ibu ni haa” Terdengar suara Puan Khadijah daripada dapur.Puan Khadijah masih mampu bergerak aktif meskipun menghidap penyakit kencing manis yang kronik. Nurul Iman sungguh kagum pada wanita berusia itu.

“Ala….” Serentak, semua kanak-kanak di situ mengeluh.

“Sekejap ya, akak nak jumpa ibu. Sekejap lagi akak datang balik okey?”

“Janji?” Haris mengerdipkan matanya minta dikasihani.

“Janji!” Nurul Iman mengangkat tangan kanannya seperti berikrar, membuatkan semua kanak-kanak itu bersorak riang…

* * *

“Akak, tengoklah ni…” Haikal bersuara sebaik sahaja terlihat kelibat Nurul Iman yang telah keluar daripada dapur. Nurul Iman senyum dan melabuhkan punggungnya di sisi Haikal. Kanak-kanak lain turut berdampingan di sisi Nurul Iman. Tangan kanannya mengambil pamphlet yang dihulur Haikal.

GAZA MENANGIS

Nurul Iman membaca sebaris tajuk yang tertulis pada pamphlet tersebut.

“Mana Haikal dapat ni sayang?”

“Hari tu… Haikal jalan-jalan dengan Umi kat Jusco, lepas tu ada orang bagi ni… Umi cakap ni pasal saudara kita di Palestin. Haikal tak fahamlah Kak Nurul. Kenapa semua orang kena bunuh?”

Nurul Iman menghela nafas berat. Fikirannya ligat berputar. Bagaimanakah mahu menerangkan satu isu dunia yang berat pada kanak-kanak sekecil ini….

“Baiklah… nak dengar cerita tak?” Nurul Iman membuka bicara.

“Nakkkkkk!!!!” Semua kanak-kanak di situ menjerit.

“Kalau nak… semua duduk buat bulatan.”

Semua akur. Dalam masa yang sekejap, satu bulatan telah dibentuk dan mata-mata suci itu memandang wajah Nurul Iman menuntut janji yang dicipta…

“Ok.. semua orang tengok jari masing-masing.”

Serentak, semua mengangkat tangan untuk melihat jari-jari mereka.

“Semua orang Islam ni ibarat jari-jari yang ada kat tangan kita ni… Kalau satu jari kita hilang, susah tak kita nak buat kerja?” Nurul Iman cuba menarik perhatian mereka.

“Susah lah Kak Nurul.Nanti macam mana adik nak pegang botol susu.” Shahiza bersuara.

“Kalau ada jari kita yang luka, kita rasa sakit tak?”

“Sakit!! Hari tu Haziq tolong mama kat dapur,lepas tu terkena pisau kat jari… Darah, sakit…Mama letak ubat, tapi ada kesan lagi… Kak Nurul tengok ni..” Petah kanak-kanak berusia 6 tahun itu berbicara sambil menunjukkan jari telunjuknya yang berparut.

Nurul Iman mengusap lembut jari Haziq. “Syafakallah adikku.”

“Jadi, macam tulah kita dengan orang-orang Islam, bukan sahaja di Palestin, tapi di seluruh dunia. Haziq, Shahiza, Syahinda, Syafiqah,Haikal, Mu’az, Afiq, Taqwa, Kak Nurul… Semua bersaudara. Cuma saudara-saudara kita di Palestin tu dah teruk dibuli oleh Israel. Kalau diibaratkan macam jari tadi, dah nak hilang dah jari-jari kita ni…”

“Isk… Isk….” Shahiza mula menangis, membayangkan jari-jari yang hilang… Nurul Iman pantas mengesannya dan segera diambil Shahiza untuk duduk di pangkuannya. Rambut Shahiza dibelai lembut, Nurul Iman mencium penuh kasih pipi Shahiza yang mula dibasahi air mata.

Maafkan akak sayang, andai penerangan tadi terlalu berat untukmu…

“Macam mana kita nak tolong mereka Kak Nurul?” Taqwa yang dari tadi diam membatu mula bersuara.

“Hm, kita memang tak boleh pergi ke Palestin. Tapi kalau kita mampu untuk menderma, mendermalah sebab mereka sangat kekurangan keperluan asas. Selain tu, barang-barang yang bagi Israel duit,kita jangan belilah.. macam Milo, KFC, McD.”

“Ha? Tapi Mu’az suka Milo…” Sedih Ahmad Mu’az yang berusia 5 tahun bersuara..

“Takpe Mu’az, Mu’az boleh minum Vico. Sedap juga tau… kalau Mu’az tahan nafsu
sekarang semata-mata kerana Allah, nanti dapat pahala. Semua orang suka pahala kan?”

“Suka!! Ustazah kata siapa ada banyak pahala boleh masuk syurga.” Syahinda bersuara.

Nurul Iman menarik nafas lega. Tidak susah berbicara dengan kanak-kanak di situ kerana masing-masing telah mendapat pendidikan agama yang sempurna.

* * *

Nurul,we need to talk.

Ringkas tetapi padat mesej yang dihantar oleh Mei Lin kepada Nurul Iman.

Nurul Iman menarik nafas panjang.

Ok, you can come to my room now.

Tidak lama kemudian, terdengar pintu biliknya diketuk seseorang. Nurul Iman mengatur langkah dan sebaik sahaja tombol dipulas, retina mata Nurul Iman dapat melihat sesusuk tubuh Mei Lin.

“Jemput masuk” Nurul Iman membuka pintu luas-luas.

“Thanks Nurul, sorry for disturbing you. It’s just that I can’t sleep well thinking of this matter.” Serius wajah Mei Lin berbicara.

“What’s the matter, dear?”

“Macam ni Nurul.. Benarkah ajaran Islam itu mengajar kepada keganasan? Benarkah umat Islam itu disuruh melakukan keganasan? Benarkah umat Islam di Palestin itu merupakan pengganas?”

Nurul Iman diam berfikir…. Tangannya mencapai dua kotak air teh krisantimum dan salah satunya diserahkan kepada Mei Lin.

“Mei Lin, tidak ada satu agama pun dalam dunia ni yang mengajar perkara terkutuk..”

Nurul Iman diam seketika, cuba mencari jawapan yang mudah kepada soalan yang diajukan oleh Mei Lin.

“Cuma… ayat-ayat Al-Quran telah disalah tafsirkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Musuh-musuh Islam terlalu ramai,Mei Lin dan mereka tidak pernah akan berhenti memfitnah Islam selagi kami tidak mengikut telunjuk mereka. Jika Mei Lin nak tahu… Dahulu 2/3 daripada dunia ini dikuasai oleh orang Islam. Biarpun orang Islam berperang, tapi Allah telah tetapkan syarat bahawa wanita dan kanak-kanak serta mereka yang tidak berkemampuan tidak boleh dibunuh. Yang boleh dibunuh hanyalah mereka yang ada di medan perang itu sahaja.”

Nurul Iman menghirup sedikit air teh krisantimum untuk membasahkan tekaknya yang hampir kering.

“Tapi, jika Mei Lin lihat contoh di Palestin sekarang, banyak wajah-wajah yang tidak berdosa yang telah terkorban. Nasib mereka tidak terbela. Ibu-ibu di sana sudah menanamkan dalam hati, andai anak mereka keluar pada sebelah pagi,tidak mustahil anak-anak itu tidak akan pulang pada sebelah petang. Jadi apabila mereka ini bangkit untuk mempertahankan hak mereka, layakkah mereka itu digelar pengganas?”

“Mereka cuma mahu negara mereka dikembalikan. Mereka menjerit, mereka rindukan salahuddin Al-Ayubi, seorang tokoh Islam yang telah memerdekakan Palestin daripada cengkaman orang-orang yang kejam. Mereka rindukan keamanan. Dahulu Islam amat gemilang, tapi kerana umat Islam yang mudah leka dan mereka diasak oleh media dan persekitaran yang memandulkan sifat kemanusiaan, satu persatu negara Islam telah jatuh.”

“Sama juga hal nya jika kita belajar matematik tapi kita tidak mahu amalkan apa yang kita belajar. Waktu periksa kita mesti fail. Begitulah diibaratkan umat Islam sekarang yang Mei Lin tengok ramai yang rosak, mereka belajar tentang Islam tapi tidak mahu beramal dengannya. Tapi tidak semua begitu, Mei Lin rasa saya ni pengganas ke?” Nurul Iman cuba memancing Mei Lin yang sudah berkaca matanya.

“Tidak… Nurul, awak terlalu baik… awak selalu bersabar melayan soalan-soalan saya.” Suara Mei Lin sudah mula bertukar sebak.

“Mei Lin, Islam telah mengajar saya untuk bersabar dan berbuat baik kepada semua insan.”

Mei Lin memeluk erat Nurul Iman.

* * *

“Nurul, ibu tenat sekarang…” suara kakak angkatnya, Kak Sumayyah di corong telefon cukup untuk menyentap jantung Nurul Iman.

“Astargfirullahalazim… Kak, Nurul tak dapat datang hari ini. Jadual Nurul penuh. Esok insyaAllah Nurul datang. Akak jaga ibu baik-baik ya?” Nurul Iman cuba menahan sebak di dada. Terbayang-bayang wajah Puan Khadijah yang ceria, terbayang-bayang wajah Puan Khadijah yang terpaksa dipotong jari-jari kakinya kerana telah busuk.

“Ya Nurul. Nurul pun jaga diri baik-baik. Assalamualaikum”

“Waalaikumsalam” Setitik demi setitik air mata gadis yang bernama Nurul Iman jatuh jua menyembah bumi…

Ibu…

* * *

Telefon bimbit Sony Ericsson yang berbunyi nyaring pada jam 3 pagi mengejutkan Nurul Iman dari tidur.

Nama Kak Sumayyah terpampang di skrin telefon bimbitnya. Hati Nurul Iman berdegup kencang..

“Assalamualaikum…” Nurul Iman cuba bertenang..

“Waalaikumsalam dik…” Sebak suara di corong telefon itu.

“Ya kak.. ada apa?”

“Nurul… ibu… ibu dah takde dik… dia baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir pukul 2.30 tadi”

“Innalillah…… Kak, nanti Nurul datang ya kak… Akak tunggu Nurul, Nurul nak tengok wajah ibu… Akak tunggu Nurul ya?” Nurul Iman tidak dapat menyembunyikan tangisannya.

“Ya, akak tunggu Nurul…..”

* * *

Usai solat subuh, Nurul Iman bersiap-siap untuk pergi ke rumah arwah ibu angkatnya.

“Nurul, awak nak ke mana?”

Mei Lin yang hendak keluar membeli sarapan menegur Nurul Iman yang kelihatan gelisah.

“Mei Lin.. saya.. saya nak pergi rumah arwah ibu angkat saya… Dia.. dia dah meninggal.” Gugur lagi air mata milik gadis itu…

“Saya teman awak ya?”

Nurul Iman mengangguk.

* * *

Nurul Iman mencium penuh kasih jenazah Puan Khadijah. Sejuk. hampir-hampir sahaja air mata Nurul Iman gugur lagi, namun dia sempat menahannya.

Ibu… Nurul tak nak menangis pada jenazah ibu.. nanti ibu sakit…

Nurul Iman tidak tegar melihat jenazah itu lebih lama lagi. Bagaikan dirobek-robek hatinya. Nurul Iman menangis semahu-mahunya di bahu Mei Lin. Mei Lin mengusap lembut belakang Nurul Iman, biarpun dirinya sendiri sebak melihat Nurul Iman yang sudah lebam mata.

“Nurul….” Mei Lin memanggil lembut.

Nurul Iman tidak mampu menyahut. Esakannya kedengaran.

“Nurul, bukankah dahulu awak pernah cakap, Islam mengajar awak erti kesabaran?”

Nurul Iman mendengar. Dikesat air matanya. Wajah mulus itu memandang wajah Mei Lin.

“Terima kasih Mei Lin…”

“Nurul…” Mei Lin memanggil lagi.

“Ya..”

“Saya mahu memeluk Islam minggu depan. Ibu bapa saya tidak menghalang.”

Bersinar mata Nurul Iman mendengar perkhabaran itu. Bibirnya lantas mengukir senyum, tubuh Mei Lin dipeluk erat… seerat ukhwah yang dibina kerana Allah..

Hari ini Nurul Iman menerima dua berita, satu baik dan satu buruk....

Ya Allah… Indahnya aturanMu…

Read More......

Wednesday, May 6, 2009

Hari Ini Dalam Sejarah..



Lega rasanya sebaik sahaja kaki melangkah keluar daripada bilik interview yang terasa lebih sejuk daripada biasa...

Terkadang terbit kerisauan dalam diri... Betapa tegarnya ana untuk meninggalkan pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor demi mengejar cita-cita untuk menjadi seorang guru yang berwibawa.. Demi untuk menggenggam segulung ijazah perguruan...

Terkadang terbit kegusaran jauh di lubuk hati ana... Mampukah ana menjaga iman dan mendapatkan suasana Islam sebagaimana yang ana nikmati sekarang? Mampukah ana kekal sebagai diri ana sekarang?

Tadi... ketika sesi temu duga dijalankan, ana tidak tahu daripada mana datangnya idea-idea secara spontan sehingga ana bercakap tak henti-henti sampailah panel penemu duga memberhentikan percakapan ana dan bertanya soalan lain, dan perkara yang sama berulang.. ana bercakap tak henti-henti.... Seolah-olah mereka rakan ana.....

Ketika disoal tentang isu semasa, ana kemukakan isu Palestin... tapi dalam kepala terfikir "Er, aku nak cakap apa ni nanti.." Tapi subhanallah! biarpun fikiran ana berfikir hendak cakap apa, tapi mulut ana petah bercakap tentang kejamnya rejim Israel, pembinaan tembok dan sebagainya sehinggalah ana dikemukakan soalan lain....

Biarpun salah seorang panel seperti mahu melihat tahap kesabaran ana dengan bertanya yang bukan-bukan dan memperlekehkan segala jawapan ana, contohnya:
"Tell me about your family's background"

"Em, my name is mastura binti mohd yusuf...."

"I already call u Mastura so u dont need to mention it anymore"

Aduh!

"What do u do during your free times?"

"I love to read books, play computer..."

"You play with your computer or you play the computer games?"

Allah...

namun ana seperti tidak terasa apa-apa malah mampu tersenyum dan menjawab kembali dengan tenang.. alhamdulillah...

Sebaik kaki melangkah keluar daripada bilik tersebut... ana terfikir "Eh, kenapa tak rasa apa-apa eh?" Kemudian ana diarahkan untuk meminta pengesahan sijil daripada pensyarah di institut perguruan itu (sijil ana disahkan oleh ketua kampung, tidak diterima! T.T) Jadi terpaksalah ana terpinga-pinga mencari pejabat dan di sana ana 'diinterview' pula oleh HEP...

"Ok, nanti kau datang jadi cikgu tau!"

Itulah kata-kata terakhir HEP tersebut.. Ana terpinga-pinga... Moga doa kalian dimakbulkan....

Bangga? tidak, ana tidak berbangga cuma ana begitu takjub dengan kebesaran Allah... Terasa kerdil diri ini lantaran dosa yang menimbun namun masih diberi kesenangan oleh Allah... Semoga ia bukan istidraj... Terasa Agungnya Allah yang tidak putus-putus melimpahkan rahmatNya...Maka nikmat Tuhan yang manakah yang ana dustakan?

Ya Allah, inikah petandanya Engkau redha dengan keputusanku ini?

Oh Allah... Bantulah hambaMu...
Sesungguhnya ya Allah, aku tidak tahu kepada siapa lagi untuk aku mengadu..
Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala isi hati...
Hanya satu yang kuharap... Moga kubawa IMAN di dalam hati walau di mana sahaja diri ini berada.... Kabulkan permintaanku ini Allah...

Moga istikharahku terjawab......

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .