Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, October 29, 2009

Masa dan Kita


Hujan yang turun membasahi bumi,
Apakah mungkin hatiku turut membasah,
Atau kering kontang mengharapkan setitis belas?


Sudah lama jari-jemari ini tidak ana larikan di atas papan kekunci laptop kesayangan ana. Sesekali terpandang, terlihat selapis kepingan habuk di atas laptop. Ana hanya memandang hambar, mungkin mencari alasan mengapa dibiarkan laptop ini ditinggalkan sepi. Entah, mungkin sibuk. Relevankah alasan itu buat seorang insan kerdil ini?

Masa terus berlalu, berlari pantas tanpa menunggu kita. Terkadang terfikir, antara berjuta makhluk ciptaanNya yang bergelar manusia ini, berapa peratuskah yang benar-benar menghargai masa?

Masa itu emas. Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, masa akan memotong kita. Kita sedar semua itu, kita lantang berkata, berhujah itu dan ini.

Persoalannya : Adakah kita menghargai masa?

Beri sedikit ruang untuk hati


Entah mengapa kini terkadang hati terasa penat, terkadang terasa letih, terasa sakit sehingga merasakan tidak ada lagi penawar untuk hati. Mungkin sekarang tidak ada lagi insan yang selalu menegur setiap tingkah ana sehingga ana berasa begitu hampir dengannya... Sehingga terasa malu untuk melakukan maksiat.

Entah mengapa, ana seolah-olah membiarkan diri terus-terusan sibuk dengan urusan dunia, otak ligat mencari alasan atas kesibukan ini dan akhirnya ana terjelepok, menangis, merintih, menyedari bahawa hati ini dahagakan sesuatu. Dahagakan kasih sayangNya.. Allah, aku rindu padaMu....

Tatkala bersendirian, ana terfikir, adakah ana menghargai masa yang diberi sekarang ini? Adakah masa yang diberi digunakan sebaiknya, untuk mencari redhaNya, untuk mencicip secebis kasihNya, dan untuk mencari bekalan di sana kelak?

Memikirkan semua itu, hati ana kembali berkocak.. Allah, siapa aku di sisiMu?....

Masa Yang Terbuang


Perkara yang paling jauh daripada kita adalah masa yang lalu, begitulah pesanan insan tersohor -imam Al Ghazali.

Masa yang banyak dibazirkan, apakah dapat diulang semula?

Entahlah, buntu ana memikirkan semua ini... Peperiksaan pun semakin hampir, moga semuanya baik-baik sahaja...

Moga setiap nikmat yang diberi secara percuma, moga udara yang diberi secara percuma, moga segala yang dipinjamkan secara percuma dapat digunakan sebaiknya, semuanya kerana Allah.




Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman,
Bersinar indah, harum tersebar,
Bagai wanginya pusara Masyitah.


wallahu'alam...

Read More......

Friday, October 23, 2009

Jagalah Islam..


Mawar Berduri Itu Indah,
Apatah lagi berkembang mekar di taman larangan...


"Awak, apa ni?" Ana tersentak melihat figura seorang teman di dalam handphone teman yang lain duduk bersebelahan dengan lelaki dan saling berpandangan.

Serta-merta hati ana menjadi sebak, takungan air jernih di kelopak mata cuba ditahan meski dada berombak kencang. Allah... titipkan daku secebis sabar Siti Hajar...

"Bukan kita lah awak.. mana ada gambar kita sebelah budak lelaki." Ana menatap satu-persatu gambar yang ada. Benar, tidak ada gambarnya duduk bersebelahan pelajar lelaki. Hati ana bertambah gundah.

"Tulah kadang-kadang jadi hilang respect kat orang yang bertudung labuh"

Ana diam. Kata-kata itu ada benarnya, Namun,menjaga nama baik Islam bukanlah pada mereka yang bertudung labuh dan berkopiah sahaja, malahan ia adalah tanggungjawab setiap orang Islam, apatah lagi kepada mereka yang sedar dan mengaku sebagai 'full time muslim'

Beristiqamahlah dalam segala hal

Beristiqamah dalam membuat kebajikan, meskipun sedikit, itulah yang paling disukai Allah.

Sekejap menutup aurat,sekejap tidak bukanlah sesuatu yang baik. Apa maksud ana? Beginilah, andai pagi antunna memakai tudung yang elok rapi, menutup segala-galanya, lengkap dengan stokin dan stokin tangan, jangan pula petang- setelah menukar pakaian kepada yang lebih santai, tudung tadi berubah menjadi jarang dan stokin tidak dipakai, dan mungkin lebih teruk lagi andai bertudung labuh tetapi stokin tidak dipakai..

Perkara ini nampak remeh bagi kita, tapi percayalah, ini satu benda yang berat, yang seringkali terlupa untuk dititikberatkan.

"Kenapa Allah suruh kita tutup aurat?" Pernah sekali ana bertanya kepada seorang teman.

"Em.. sebab tak nak bagi lelaki tergoda" Dia menjawab tenang.

"Kurang tepat, Allah suruh kita tutup aurat sebab Allah sayang." Ana membalas. Terlihat kerut di wajahnya petanda kurang jelas dengan kenyataan ana.

"Macam ni.. Kalau kita sayang benda, mesti kita balut, kita simpan rapi-rapi... kan?"

Dia tersenyum dan mengangguk faham.

Sayangi Diri


Allah sayang pada kita, justeru turun arahan agar kita menutup aurat. Lupakah kita bahawa pada mula-mula arahan ini diturunkan, masyarakat arab ketika itu memotong langsir dan segalanya semata-mata untuk menyahut seruan Allah.

Tetapi kita?

Tudung ada,tapi tidak mahu pakai. Pakai tudung tapi nampak tengkuk.

Allah... Mengapa ya? Mengapa kita tidak sayang pada diri kita sendiri, sedangkan Allah begitu menyayangi kita, tidak mahu kita menjadi tontonan umum, tidak mahu kita diperagakan laksana barang yang tiada harganya...

Allah siap menawarkan kita tawaran untuk menjadi bidadari syurga tapi kenapa ya, kenapa kita masih juga memilih untuk menjadi bidadari dunia yang akan pudar kecantikannya..

Jagalah Islam, Allah pasti menjagamu..


Ingat tidak, ana pernah kata bahawa setiap orang Islam adalah duta Islam. Maka setiap apa yang kita lakukan akan menjadi penilaian di mata insan lain. Apatah lagi kita sebagai muslimah yang bertudung, seharusnya dihiasi dengan sifat lemah-lembut dan pemalu yang bertempat.

Jangan kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga. Jangan kerana kita seorang yang membuat silap, habis semua orang Islam dipandang serong.

Tanamlah dalam hati bahawa kita adalah duta Islam, kita tidak mahu menjadi fitnah kepada Islam. Kita harus jaga garis-garis syariat yang telah ditetapkan Allah kepada kita sebagai tanda kasihNya yang jitu.


Dalam satu hadis yang berbentuk futuristik (masa depan), Rasulullah SAW berpesan "Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak". Sahabat bertanya "Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?" "Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu,pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir balik." Sahabat bertanya lagi. "Mengapa begitu ya Rasullullah?" Rasullullah SAW menjawab, sebab dia jual agamanya dengan nilai dunia".



Janganlah sehingga satu hari nanti, orang Islam itu sendiri yang menghancurkan Islam... Sahabatku, sedarlah, bangkitlah.. Ayuh berpimpin tangan, berganding bahu mencari cintaNya yang satu...

Buatlah setiap perkara kerana Allah, agar dikau beristiqamah..

“Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)



Walau payah untuk ditempuh,
Tetapi indahnya mawar itu,
Yang berkembang mekar di tengah dunia fana....



Read More......

Monday, October 19, 2009

Persoalan Yang Tersimpan


Ramai Manusia Memuja Alam Semesta
Kerana Mudah Dinilai Oleh Dua Mata


ukhti seorang yang penakut.
JIKA ukhti tinggalkan kami di sini dan kembali ke tempat asal ukhti.

adakah ukhti mengerti bahawa rasul diturunkan Allah di tengah2 umat yang kesakitan menunggu sinar islam.

kami disini memerlukan orang mcm ukhti, tapi ukhti PENAKUT.

UKHTI PENAKUT!!

ukhti tinggalkan umat yang kesakitan semata-mata untuk bersama dalam suasama jamaah dengan rakan2 muslimah ukhti.

ukhti perlu sedar, kami memerlukan ramai orang seperti ukhti.

renungkanlah.

hamba Allah,



Komen ini ana tatap lama, terlalu lama. Hati ana tersentak, justeru membabitkan pelbagai perasaan saling bercampur baur. Entahlah.....

"Mas jangan pindah"

"Mas, berdoalah, andai suasana Islam itu yang diimpikan, maka lepas buat permohonan,berdoalah dan kemudian kembali positif kepada Allah"

Dua komen yang ana sering sahaja terima lewat kebelakangan ini. Tidak campur lagi dengan paksaan-paksaan 'kaunseling percuma' yang ana perlu dapatkan oleh pihak-pihak terbabit.

Ana kembali keliru, bercelaru malah kadangkala mahu menutup kedua-dua telinga. Tolong,beri ana sedikit ruang.. Hati ana sedang sakit,hati ana sedang parah....

Keputusan Berpindah


Keputusan untuk berpindah kampus tidak ana buat sewenang-wenangnya. Ana sudah timbangkan baik-buruknya. Ana tidak pernah terfikir langsung untuk meninggalkan semua sahabat di sini,bahkan itu mungkin satu perkara yang tidak mungkin ana lakukan. Ana mahu kita semua kembali kepada Islam, kembali kepada Allah, kembali menggapai kegemilangan Islam.. Tetapi...

Sebatang lidi andai dipatahkan,maka akan patahlah ia.

Ana mencari satu kekuatan,ana mencari sahabat-sahabat seperti Abu Bakar As-Siddiq, ana mencari sahabat seperti Saidina Ali, Saidina Umar,Saidina Uthman, Ikramah dan ramai lagi.. Ana mengimpikan sahabat-sahabat seperti yang Rasululullah pernah miliki, untuk bersama-sama ana mengembangkan syiar Islam, kerana ana bukanlah sesiapa, bahkan ilmu ana masih cetek. Terlalu cetek.

Jihad ini mengajak semua ke arah kebaikan. Jihad ini jihad melawan nafsu, dan jihad melawan nafsu itu lebih besar daripada berjihad di tengah medan perang untuk melawan musuh. Pernah terjadi satu sejarah, setelah tentera Islam penat masih disuruh untuk berperang dan akhirnya kalah di medan tempur. Begitulah perumpamaannya kini. Hati ana sedang tenat. Hati ana sedang penat melihat semuanya. Bahkan hati ana menangis apabila disuruh itu dan ini...... Sesuatu yang tidak ana redhai......

Merancang Strategi


Mara tidak semestinya menang,berundur tidak semestinya kalah.

Seperti dalam medan perang, semuanya memerlukan strategi. Justeru, ana berundur untuk merancang satu strategi baru dan kemudian kembali mara ke hadapan...


"Mas, berdoalah, andai suasana Islam itu yang diimpikan, maka lepas buat permohonan,berdoalah dan kemudian kembali positif kepada Allah"


Ana masih ingat pesanan ini,yang datangnya daripada akak halaqah yang ana amat sayangi ketika di KUIS dulu.. Ketahuilah duhai kakakku, diriku terlalu mencari tazkirah seperti yang lahir dari mulutmu suatu ketika dahulu T.T

Ana berusaha untuk pindah dan andai ketetapan Allah bahawa di sana tempat yang terbaik untuk ana,maka ana pergi, tetapi andai Allah sudah tetapkan bahawa di sini tempat yang terbaik buat ana, ana harus percaya bahawa DIA tahu apa yang terbaik.

Begitulah,positif terhadap Allah.

Begitulah perancangannya... Moga selepas ini tidak lagi timbul apa-apa persoalan.. Izinkan ana mendapat sedikit ruang untuk ketenteraman hati...

Satu yang ana harapkan, moga sahabat-sahabat di sini tidak menggantungkan pengharapan kepada ana atau sesiapa pun,gantungkan pengharapan hanya kepada Allah. Kepada Allah. Kerana sejarah telah tercipta bahawa setelah Rasululullah wafat,ramai orang Islam telah murtad,petanda mereka meletakkan pengharapan kepada Rasululullah.

Ana percaya,sahabat semua mampu melakukannya....


Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik, atau (jika tidak), diamlah . (HR. Bukhari dan Muslim)


Ana pohon maaf atas segalanya..

Wallahu'alam

Pujalah Tuhanmu
Ia Tak Mengecewakan
Cintailah Dia Kekal Tiada Sudahnya
Gunakanlah Segala-Galanya
Untuk Menyembah-Nya
Buat Apa Saja Selagi Benar Untuk Tuhan

Read More......

Thursday, October 15, 2009

Manusia dan Syukur


"Class, cukup tak masa satu jam 15 minit?" Lecturer ana bertanya santai sebaik sahaja ujian percubaan matematik akhir semester tamat.

Para pelajar menghela nafas berat.

"Rasa macam tak cukup kan? Rasa macam nak dua jam 15 minit." Ana berbisik perlahan pada sahibah yang duduk berdekatan.

"Kalau bagi 2 jam kang, nak 3 jam pulak, ye tak?"

Ana terdiam. Kata-kata itu ada benarnya.

Manusia dan Syukur

"Yea!! dapat markah tinggi" lonjak seorang mahasiswa setelah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Benar, manusia seringkali terlupa untuk bersyukur, terlupa untuk mengucap sebaris kalimah agung 'alhamdulillah' bahkan terlupa bahawa segala rezeki yang diperoleh adalah dariNya.

Tidak dapat tidak, ramai insan yang tidak merasa puas dengan apa yang ada. Ada seringgit mahu sepuluh ringgit, ada sepuluh ringgit mahu seratus pula. Ada kereta proton mahu kereta toyota, ada toyota mahu mercedes pula.

Begitulah... Manusia sukar untuk merasa puas dan seringkali pula cemburu dengan kemewahan insan lain, cemburu dengan kelebihan yang terdapat dalam diri insan lain... Sehingga.. Cara kotor pun mampu dilakukan untuk menghancurkan kehidupan insan yang dicemburui.

Duhai manusia, duhai khalifah Allah... Moga kita sama-sama sedar bahawa setiap kelebihan yang terdapat dalam diri insan lain itu adalah anugerah dari Allah, andai kita membenci kelebihan-kelebihan itu, bermakna kita membenci Allah. Tanya pada diri, siapa kita untuk membenci Allah?

Mengapa? Mengapa hati sering merasa tidak puas?

Hiduplah Dalam Angin Qana'ah

Ya, hidup dalam angin qana'ah adalah penyelesaiannya.

"Qana'ah tu apa ya ukhti?"

Qana'ah adalah merasa cukup dengan apa yang ada. Hiduplah dengan merasa cukup dengan apa yang ada...

Kita seringkali membandingkan diri kita dengan insan yang lebih baik.

"Dia hidup mewah, ada kereta besar... rumah besar... Aku ni, rumah kecik je.. kereta pun dah nak rosak"

Jarang sekali kita membandingkan diri kita dengan insan yang lebih teruk dugaan yang menimpa diri mereka.

"Rakyat di Palestin tu, nak cari makanan bukan main susah. Entah-entah rumah pun tak ada, dah kena bom"

Mengapa? mengapa kita sering merasa cemburu dengan nikmat yang diberikan Allah kepada insan lain? Mengapa kita jarang sekali memandang pada kesusahan insan lain. Yang seronok di mata, tidak semestinya seronok di hati. Begitulah sebaliknya..

Belajarlah Untuk Bersyukur

Orang-orang yang bersyukur itu lebih baik daripada orang-orang yang bersabar. Mengapa? Kerana Lumrah manusia...mereka yang diberi nikmat yang banyak, jarang sekali ingat pada Allah. TETAPI... sekali musibah menimpa, merangkak-rangkak kita mencari Allah...

Kita mampu bersabar.. Mampu untuk mengikat perut jika duit tidak mencukupi, tetapi jarang sekali kita bersyukur ketika ada duit, kita borong barang-barang sehingga nipis duit yang tebal tadi...

Jarang benar kita menyebut alhamdulillah. Susahkah? Marilah kita bertahmid bersama sebentar..

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...

Terima kasih Ilahi, kerana masih menyayangi kami.........

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, October 8, 2009

Kita Dan Islam



Kita dan Azan


Allahu Akbar.. Allahu Akbar

Azan berkumandang. Pelajar masih bercakap.

"Hey you should not talking, you should give some respect." Lecturer ana bersuara, dan kembali diam.

Ana tersentak, terpaku, terpana. Rasa malu meresap ke dalam pembuluh-pembuluh darah. Pandangan diarahkan keluar tingkap.

Lecturer ana bukanlah seorang muslimah, atau bukan jua seorang 'Full Time Muslim' yang seperti kita bangga-banggakan. Tidak, dia bukan beragama Islam, tetapi dia tahu bahawa azan itu harus dihormati, sedangkan pelajar-pelajar beragama Islam masih seronok berborak dan berhu-ha di sana sini.

Lecturer memandang pelik. Keliru barangkali, mengapa orang Islam sendiri tidak menghormati laungan keramat itu, sedang dia berusaha untuk senyap sebagai tanda hormat.

Ana menghela nafas berat.

Islam Dihina


Kita marah bila Islam dipandang rendah, kita naik angin bila ada yang menghina Islam.

Kita bangga berdemonstrasi di jalanan, berdebat di sana-sini, berhujah melawan musuh, Kita rasa bahawa kita sudah buat yang terbaik untuk Islam, tetapi rupa-rupanya kita terlupa pada satu perkara yang sering dipandang remeh.

Lupakah kita bahawa kita adalah duta Islam, kita membawa Islam ke mana sahaja kita pergi. Segala perbuatan yang kita lakukan akan dinilai, Justeru, ketika Islam dipandang hina dan dipijak-pijak, siapa yang harus kita salahkan?

Jari-jemari kita enak menuding ke arah insan lain, tanpa kita sedari seharusnya jari-jemari itu dituding ke arah diri kita sendiri. ya, diri sendiri.

Mudah Bukan Dipermudah


Allah itu baik, Islam itu mudah. Tapi, kita sebagai manusia yang BERAKAL ini telah dengan sengajanya mempermudahkan Islam itu.

"Ala, kalau tak ikhlas solat, baik tak payah solat" ujar seorang mahasiswi.

Kalau begitu, tak ikhlas pergi kelas, kenapa pergi juga? Tahu pula takut tidak dapat menduduki peperiksaan dan seterusnya gagal untuk memperoleh segulung ijazah. Manusia sering lupa, bahawa erti kejayaan sebenar adalah ketika kita menggenggam 'ijazah kelas pertama' dalam penilaian Allah S.W.T

"Ala, kan niat je dah dapat pahala, buat apa susah-susah buat baik."

Kalau begitu, jika lapar, niat sahaja mahu makan. Buat apa susah-susah pergi makan.

Kita sering tidak sedar, akal kita sering sahaja mahu MEMPERMUDAHKAN Islam, dengan cara yang tidak betul. Natijahnya ;

- Panas, tidak mahu menutup aurat. Bila ditegur, mulut enak mengatakan 'belum sampai seru'. Mahu tunggu seruan malaikat mautkah?

- Tidak mahu jadi terlalu baik, mahu jadi biasa-biasa. Tetapi, jika periksa sentiasa mahukan yang terbaik. Untuk menuntut satu markah tambahan sanggup memujuk rayu guru/pensyarah. Mengapa tidak mahu dapat yang biasa-biasa sahaja?

- Solat mampu diabaikan dengan tanpa rasa bersalah. Alasan 'boleh qada' sering kedengaran. Tahukah kita bahawa solat tidak boleh diqada' jika kita saja-saja, suka hati meninggalkan solat. "Alah, zohor nanti aku qada' lah waktu asar kang"

Memalukan!

Manusia Yang Pelupa

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah. Lumrahnya, manusia itu seringkali terlupa. Ana jua bukanlah seorang insan sempurna yang tidak melakukan dosa, itulah hikmahnya Allah bukakan pintu taubat seluas-luasnya.

Itulah jua hikmahnya Allah menciptakan kita untuk saling melengkapi, saling tegur-menegur... Bukankah semua orang Islam itu bersaudara?

Oleh itu sahabat-sahabatku sekalian. Jangan pandang remeh walaupun kepada sekecil-kecil perlakuan. Contohnya senyum. Apatah lagi sebesar-besar perlakuan seperti mengamalkan sifat mahmudah dalam diri.

Tegurlah ana andai tersilap, ana memerlukan sahabat semua untuk terus berada di jalan yang lurus. Terkadang kaki salah melangkah, terkadang terjatuh, terkadang tersilap jalan. Maka, pimpinlah tangan ana menuju ke jalan yang satu itu.... Menuju redhaNya yang satu!


Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.(Hadith Abu Musa)


Moga kita sentiasa di dalam rahmatNya. Amin..

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, October 4, 2009

Nota Untuk Hati


Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu



Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Kepentingan sendiri
Tiada diingini
Bahagia sejati
Saja yang diharapi

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia
hmm... hmm... hmm...

Untuk menjadi bukti
Kasih yang sejati
Itulah tandanya
Jika mahu diuji

Berkorban apa saja
Harta atau pun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia


Entah mengapa, lirik lagu Rabbani ini ana putarkan berkali-kali, bait-bait lirik ini seolah-olah meresap jauh ke lubuk hati ana, menghasilkan satu jenis perasaan yang amat sukar untuk ditafsirkan, entahkah gembira, entahkan sedih.. Atau mungkin sahaja kedua-dua perasaan itu bercampur baur, berpadu, menjadikan ana penasaran. Hati terlalu sakit, jantung berdegup kencang, bagaikan ingin pecah dada menahan rasa nan satu itu.

"Sabarlah, berkorban demi kawan-kawan awak di sana" Kata-kata yang lahirnya daripada mulut umi tercinta setelah ana mengadu sambil menangis teresak-esak, rasa stress yang melampau setelah pulang dari pejabat HEP ana hayati sedalam-dalamnya.

Berkorban demimu sahibah. Demi melihat dakyah Islam kembali gemilang, demi membuktikan bahawa peraturan Allah itu adalah yang terbaik dan demi melihat kita bersama beriringin dalam redhaNya.. Ya, pengorbanan itu hakikatnya manis bukan?

Jika tidak masakan golongan ansar sanggup berkorban segala-galanya untuk golongan muhajirin yang tidak pernah mereka kenali.

Jika tidak, masakan saidina Ali rela berkorban dengan tidur di tempat Rasulullah untuk mengelirukan musuh dan masakan para sahabat rela berkorban segala-galanya demi Islam jika pengorbanan itu pahit.

Namun duhai hati... Mengapa lemahnya kamu?

Baru dicubit sayang sedikit oleh Allah, telah melatah dan berduka. Lupakah dikau pada pengorbanan sumayyah dan seisi keluarganya, yang diseksa dengan teruk namun tetap berdiri teguh, mendakap ISLAM seeratnya hingga ke hembusan nafas yang terakhir..

Lupakah duhai hati... Pada Bilal bin Rabah yang dihempapkan batu besar ke dadanya, namun bibir tetap terus-menerus mengeluarkan kalimah "ahad, ahad,"

Duhai hati, apakah bukti kasih dan cintamu kepada Allah dan Rasulullah?

Mulut selalu sahaja berbicara rindu dan cinta kepada Allah dan Rasululullah, tetapi ujian baru ditimpakan sedikit sudah mahu berputus asa, hati terasa berkecai, gugur satu-persatu dan lenyap entah ke mana... Apakah bukti cinta dan rindu yang terlafaz? Apakah pengorbanan yang telah dilakukan demi menatap wajah Allah dan Rasulullah ketika di akhirat sana?

Lupakah dikau hati... Lupakah dikau pada pengorbanan Asiah isteri Firaun, yang kekal beriman meski suaminya dimurkai Allah atau mungkin dikau terlupa hati... Pada pengorbanan Zainab-puteri Rasulullah, yang rela meninggalkan suami tercinta yang masih belum beriman....

Hati oh hati..... Mengapa dikau sering terasa berat dengan ujian ini, sehingga mengakibatkan badan lemah serta tidak bermaya? Sedangkan di luar sana, terdapat ramai lagi insan yang lebih hebat ujiannya. Lupakah dikau duhai hati... Badan yang sihat itu penting agar dapat beribadat dengan aman dan selesa...

Duhai hati, sedarlah dikau,Allah sentiasa bersama dan pengorbanan yang dilakukan sekarang pastinya membuahkan manis di pengakhirannya!

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .