Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, December 31, 2010

Bersabarlah Walau Kesabaran Itu Hampir Tiada


Sabarlah..Allah bersama,
Acapkali pabila dirundung masalah,
Ayat itu yang selalu menerjah gegendang telinga,
Terkadang ingin aku berlari jauh,
Jauh ke hujung dunia,
Namun pantas pula aku tersedar,
Bukankah dahulu aku jua yang menuturkan ayat itu?

Bersabarlah,
Pasti ada hikmahnya,
Tatkala awan mendung berarak,
Dan mentari tak kunjung tiba,
Lantas,
Awan pekat hitam itu memberat,
Mengeluarkan titis-titis hujan yang berderetan,
Kita menangis,
Terkadang tersungkur,
Namun percayalah di hujung sana ada bahagia yang sedang menanti,
Jika kita terus-terusan bersabar.

Ah,
Berkata memang mudah,
Berbuat bagaimana pula?
Seorang da'ie itu pasti akan diuji atas setiap patah kata yang dilafazkan,
Justeru aku terpana,
Satu persatu dugaan itu seolah-olah merenggut senyumku pergi,
Ku pendam perasaan ini,
Hati yang berdarah ku ubati kembali,
Ah, susahnya bersabar ini,
Tatkala senyumku tiada lagi seri,
Sewaktu senyumku bukan lagi seikhlas hati,
Aku terduduk dan menangis,
Allah..ke mana kau bawa hatiku pergi?

Lantas aku merenung jauh ke sudut hati,
Wahai hati, janganlah begini,
Dugaan itu kan Allah yang beri,
Jika mahu menangis, menangislah pada Ilahi,
Jika mahu bercerita, berceritalah pada Rabbi,
Allah itu..Benar-benar merindui suaramu diri,
Merintih..Merayu...
Oh hati!
Pulanglah jangan kau tinggalkan ku lagi.....

Wahai sahabat,
Wahai taulan,
Jangan disangka da'ie itu tiada dugaan,
Jangan disangka semua da'ie berjiwa kental,
Hanya satu yang membezakan,
Hati da'ie itu berhubung terus kepada Tuhan,
Maka sahabat,
Sama-samalah kita menguatkan,
Berganding bahu jadikan amalan,
Agar yang susah menjadi mudah,
Agar yang terhiris tidak lagi terguris,
Agar kesabaran itu tidak semakin menipis...

Mari bersama,
Kita bersabar,
Menelusuri jalan ini bukannya mudah,
Hati akan sakit,
Jiwa menjadi perit,
Hanya sabar pengubat jiwa,
Menemani hati yang kian alpa,
Bahawa Allah itu ada, tidak pernah lupa!
Bersabarlah,Walau Kesabaran Itu Hampir Tiada

Sahabat..Doakan ana...

Wallahu'alam

Read More......

Monday, December 27, 2010

Ana Sayang.......

Entah, hari ini ana tak mahu tulis panjang-panjang.

Ana cuma merindui seseorang. Teramat rindu.





Walaupun terkadang ana menyakiti mereka, tapi mereka tak pernah marah. Mereka tetap tersenyum menyembunyikan duka.

Walau terkadang mereka membiarkan ana menangis sendiri, namun di penghujungnya mereka jua yang membahagiakan ana kembali.

Allah... besarnya nikmat yang Engkau beri, jarang benar aku syukuri..

Allah..banyaknya nikmat yang kau hulur, jarang benar aku tersedar.

Ana tak mampu balas jasa kedua ibu bapa ana. Takkan mampu. Satu yang ana harapkan, jika adalah pahala dari penulisan ana ini... Moga pahala itu Allah salurkan kepada kedua ibu bapa ana...Moga pahala itu menjadi pembela mereka di akhirat sana.

Ameen ya rabb...

Ketahuilah mak..abah..wawa sayang kalian sangat-sangat kerana Allah.

Ana sayang mereka. Kalian pula bagaimana? :)

Read More......

Friday, December 24, 2010

Buat Adik-Adik Lepasan PMR


Adik-adikku...

Akak tahu, semalam adik-adik semua baru dapat keputusan PMR,ada yang gembira.

Tidak kurang ada yang berduka.

Tapi ketahuilah adik-adikku..

Bagi yang mendapat keputusan cemerlang, tahniah akak ucapkan. Namun jangan dikau lupa untuk membelek kembali jauh ke sudut hati. Apakah nikmat yang Allah beri itu Allah beri dalam keadaan redha atau dalam keadaan murka?

Sudahkah dikau melakukan sujud syukur atas kurniaan Allah? Sudahkah dikau meminta ampun lantaran betapa dosamu banyak menggunung tapi Allah tidak pernah putus mahu memberikan nikmat.

Bagi adik-adik yang keputusannya kurang cemerlang, janganlah bersedih. Mungkin itu caranya Allah mentarbiyah hati. Allah tahu apa yang terbaik buatmu, sedang kita, manusia biasa yang tidak tahu apa maksud tersirat yang Allah beri... Jangan melihat semua peluang sudah tertutup. Hakikatnya apabila satu pintu tertutup, banyak lagi pintu yang boleh dibuka cuma kadangkala kita terlepas pandang kerana terlalu lama menghadap pintu yang tertutup itu. Berjalanlah dan teruslah melangkah dan yakinlah bahawa Allah tidak pernah membiarkan dirimu sendirian!

Lakukanlah sujud syukur, kerana pada ketika ini dikau masih mampu menyedut udara milik Allah... bersyukurlah kerana Allah ingin mentarbiyahmu dengan cara ini. Bukankah sahabat nabi menangis tatkala ujian tidak diturunkan ke atasnya kerana takut Allah telah melupakannya? Maka bersyukurlah kerana Allah masih mengingatimu. Jangan lupa juga untuk bertaubat kerana mungkin lantaran dosa yang dikau lakukan, Allah ingin menghapuskannya dengan cara ini.

Buat semua adik-adikku....

Ingatlah, hakikatnya yang menentukan kita lulus cemerlang atau tidak adalah lulus cemerlang pada piawaian Allah. Adakah kita mengambil buku amalan dengan tangan kanan atau kiri? Atau apakah kita dapat melihat wajah Allah? Atau mahukah Rasululullah mahu melihat kita?

Apakah akak bermaksud menyuruh adik-adik melupakan dunia? Tidak. Jika Allah mahu manusia melupakan dunia, maka Allah tidak akan menurunkan manusia ke bumi. Cuma kita ini orang Islam, kita harus sedar apa yang perlu dilakukan di dunia ini... Jangan terleka dengan dunia, jangan dipergunakan dunia tapi pergunakanlah dunia sebagai tapak semaian pahala kita yang akan dituai diakhirat sana.

Ketahuilah adik-adikku...

Jika dikau melihat dunia dari jendela akhirat, dikau pasti sedar bahawa tiada istilah main-main bagi orang mukmin kerana apabila mereka belajar, mereka belajar bersungguh-sungguh, apabila mereka bekerja, mereka bekerja bersungguh-sungguh dan apabila mereka bermain, mereka bermain bersungguh-sungguh.

Justeru, orang Islam yang dikau lihat sekarang ini banyak menjadi fitnah kepada Islam kerana matlamat yang tidak jelas. Pasakkan matlamatmu nan satu iaitu Allah. Jika dikau melihat segala yang dikau lakukan kerana Allah, pasti lapanglah hatimu..... Tuntutlah apa sahaja ilmu kerana Allah semata. Fahmilah, tiada satu ilmu pun di dunia ini yang bergelar ilmu keduniaan. Jika dikau memahami.. Matematik, sains, geografi, walau hakikatnya nampak seperti keduniaan, hakikatnya semua ilmu itu milik Allah, tiada yang berhak melainkan Allah.. Maka tuntutlah dengan rasa kasih dan cinta kerana itu adalah ilmu Allah yang boleh digunakan untuk Agama... Jadilah profesional dalam bidang dan cita-cita masing-masing, moga ia mampu menunjukkan Islam itu indah....

Bangkitlah adik-adikku... Islam sudah semakin tenat. Dikau pelapisnya. Bersungguhlah menjadi orang mukmin, agar nanti Islam kembali gemilang....

Teruskan langkahan kakimu, jangan pernah berhenti.

Allah...iringilah adik-adikku...

Salam sayang,

Kak Mastura.

Read More......

Friday, December 17, 2010

Senyumlah..Bahagia Di Hadapan


Kita ada banyak sebab untuk takbur, tapi Allah beri kita kekurangan agar kita sedar kita manusia tidak sempurna, yang sempurna...yang hebat hanyalah Allah.


Ana mulakan kalam dengan ayat daripada sahibah ana yang amat ana cintai dan kasihi.

Manusia.... punya banyak sebab untuk takbur. Lihat sahaja betapa banyak nikmat yang telah Allah beri dengan percuma, bertimbun-timbun sehingga kita tidak sedar, bahawa semua itu datangnya dari Allah.

Tapi...

Tapi Allah juga beri musibah, beri dugaan dan ujian, terkadang satu nikmatnya ditarik. Kita cepat pula melatah, mengutuk dan menyalahkan Allah, sedangkan Allah mahu kita sedar bahawa kita tidak sempurna, Allah mahu kita kembali mengingati diri yang kian alpa ditelan arus duniawi.

Tapi...Kita masih lagi tidak sedar bahawa Allah amat sayangkan kita.. Dengan penuh kasih sayang, Allah berfirman dalam sebuah hadith Qudsi ;

Jika hambaKu datang dalam keadaan berjalan padaKu, Aku akan datang dalam keadaan berlari kepadanya.


Allah... lekanya hambaMu ini....

Pandang Segalanya Daripada Allah

Ada seorang pelajar perempuan, yang seumur hidupnya, dalam peperiksaan besarnya tidak pernah walau sekali memperoleh kurang daripada B dalam senarai subjek yang diambil. Sejak sekolah rendah, dia selalu mendapat tempat pertama di dalam kelas.

Namun, ketentuan Allah penentu segalanya... ketika SPM, daripada 11 subjek, dia memperoleh 1C untuk subjek Kimia. Dia menangis sungguh-sungguh kerana tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini,Selama ini dia berada di atas, namun pada saat itu dia jatuh terhempas ke bumi. Betapa hancurnya hati melihat wajah ibu dan ayah yang seolah-olah dihancurkan hatinya....Dua hari dia tidak makan dan kemurungan sudah cukup menggambarkan hibanya hati...

Tapi dalam kesamaran jiwa itu,ada satu ayat menyedarkannya...

"Kenapa...Kenapa awak pandang 1 c tu sedangkan subjek di hadapannya berderet Allah beri yang terbaik."

Lantas dia tersedar, dalam kertas keputusannya sendiri, Allah telah tunjukkan, hanya 1 keburukan, yang lain semua adalah nikmat kasih sayang Allah.

Ketahuilah...pelajar itu adalah ana.

Ya, ana. Mastura binti Mohd Yusuf.

Ana juga pernah jatuh dan tersungkur, oleh sebab itu ana selalu mengingatkan jangan, jangan dan jangan bergantung harap kepada ana, kerana ana sama seperti kamu.. Satu insan yang sering alpa. Satu insan yang imannya punya turun dan naik, satu insan yang tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan.

Akhirnya, dengan keputusan itu, Allah letakkan ana di tempat yang terbaik, di satu tempat yang ana amat rasai ketenagan dan kedamaian hati.

Sungguh, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya..

Jika kita memandang segalanya daripada Allah, pasti akan tenanglah hati kerana tidak mungkin Allah saja-saja memberi kesusahan kepada kita. Tidak mungkin Allah sengaja menyakiti hati dan jiwa kita melainkan Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik.

Sama sahaja ketika kita berjalan di jalan tarbiyah ini.... Allah tidak menjanjikan sepanjang perjalanan kita dihiasi tawa riang, malah Allah beri duri dan debu untuk kita tempuhi dengan iman, namun di penghujung jalan, ada syurga yang menanti.

Benar, akar sabar itu amat pahit tapi buahnya amat manis :)

Jaga Tubuhmu...

Pernah suatu ketika, ana merasakan dunia seakan berputar. Entah kenapa, dengan izin Allah, kepala ana seolah-olah mahu pecah. Berdenyut-denyut. Ana menahan, ingin menyiapkan tugasan yang berbaki.

Namun akhirnya ana mengalah.... Tubuh terbaring lesu.. Dalam kesuraman cahaya, ada titis di penghujung mata ana. Entah kenapa, semester ini ana terlalu disibukkan dengan dunia.

Proposal.
Meetings.
Mid-term.
Assignment.
Liqa'.
Bermacam-macam persediaan.

Terkadang ana melihat jauh ke lubuk hati, bertanya ana sendiri...

"Allah sudah matikah hatiku ini sehingga sukar sekali untuk bangun di sepertiga malam terakhirMu...Jika sudah mati, berikan aku hati yang baru agar aku kekal berada di sampingMu"

Apabila ana kembali merenung ke dalam diri, ana menjadi semakin sedih. Selama ini, ana leka, ana tidak amanah pada tubuh pemberian Allah. Tidur selewat jam 2++ dan bangun selewat jam 6 cukup membuatkan tubuh ana sedikit lesu. Ditambah dengan tugasan yang menggunung sehingga ana melihat blog dengan pandangan hambar.

Bangun Qiamullail menjadi semakin payah, inilah padahnya apabila leka pada sebuah amanah.

Sahabat...Jagalah tubuhmu agar senang untuk dikau beribadat kepada Allah.

Teringat ana pada kisah Rabiatul Adawiyah, wanita suci terpuji... Dia selalu bangun untuk beribadat kepada Allah dan di pengakhiran ibadahnya, dia akan melakukan sujud syukur sambil berdoa, "Allah..Terima kasih kerana memberi peluang untuk aku beribadat."

Ya. Tanya kembali ke dalam diri, berapa banyak kali kita berterima kasih kepada Allah kerana memberi kita peluang untuk beribadat? Sekali Allah beri sakit, kita sudah tidak mampu lagi untuk beribadat dengan banyak...

Jagalah tubuhmu... Agar dikau senang dan selesa untuk beribadah.

Tersenyumlah... Di hadapan, Bahagia Menanti

Senyumlah.... Allah bukan memberi musibah untuk menyakitimu, tetapi Allah memberi musibah kerana Dia ingin memberikan ganjaran yang terbaik buatmu. Tidakkah dikau melihat pelangi yang cantik selepas hujan lebat itu berlalu?

Percayalah... Bahagia itu ada di situ, tetap di situ setelah musibah itu berlalu pergi. Jika kamu bersabar, jika kamu bersyukur maka termasuklah kamu ke dalam golongan orang-orang yang beruntung..

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman. (Al-Imran :139)


Doakan ana ye sahabat....

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, December 9, 2010

Risau Tak Kahwin?


"Risaunya kalau tak dapat pasangan sampai tua."

"Nanti kalau sampai tua tak kahwin macam mana."

"Eh, peliknya dah umur 20 takde pakwe?"

Rintihan demi rintihan lahir dari mulut para gadis solehah yang sedang mencari satu cinta hakiki.

Ana tersenyum sendiri. Itu fitrah, perasaan ingin mencari pasangan itu fitrah, bukankah Allah sendiri sudah berfirman dalam Al-Quran ;

dan Kami jadikan kamu berpasang-pasangan (An-Naba' : 78)


Maka fitrahnya lelaki akan mencari perempuan, perempuan akan mencari lelaki, justeru itu, apabila datang persoalan-persoalan itu mengetuk gegendang telinga ana, ana pasti tersenyum.

Syukur.... Mereka masih berada dalam landasan fitrah!

Teringat pula pada satu kisah di mana 2 sahabat pada ketika itu (maaf ana lupa namanya) salah satunya berkata kepada sahabat tercinta "Anak aku telah jatuh cinta kepada seorang perempuan!"

Sahabatnya tidak marah, malah berkata "Alhamdulillaaahhhh!"

Terkejut benar si sahabat yang mempunyai anak itu. Lantas dia berkata, "Mengapa engkau berkata Alhamdulillah?"

Maka sahabatnya pun membalas, "Anakmu mempunyai fitrah yang betul. Nikahilah dia.."

Berusaha

"Jadi Mas, macam mana nak kahwin kalau kita tak berusaha?"

Baik, izinkan ana bertanya.. Adakah usaha kita itu adalah usaha keluar berdating selalu untuk suai kenal?

Adakah usaha kita itu usaha berpegang-pegangan supaya lebih dalam pengetahuan tentang pasangan?

Adakah usaha kita itu usaha bergayut berjam-jam agar dapat diketahui sikap pasangan?

Dan..adakah dengan semua usaha itu, kita yakin bahawa si dia itu adalah pasangan hidup kita yang telah ditentukan Allah??



Sahabat..

Usaha memang perlu. Tetapi usaha di sini bukanlah dengan memperlakukan perkara-perkara yang disebutkan di atas, usaha di sini bermaksud usaha memperbaiki diri agar bersedia menempuhi alam perkahwinan yang penuh pancaroba.

Usaha yang dimaksudkan di sini adalah dengan memperbaik diri menjadi soleh/ah agar mendapat pasangan yang sama fikrahnya ;

dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). (An-Nur :26)


Kasihanlah suamimu yang sebenar, andai dia mengahwinimu, membayar duit hantaran dan mas kahwin namun hanya mendapat kamu yang sudah 'sisa-sisa' orang, sudah dipegang-pegang. Ah, kasihannya...

Para lelaki/wanita yang sudah melihat seorang calon yang sesuai, selidiki latar belakangnya dahulu, risik-risiklah khabar dengan orang terdekat.. Kemudian khabarkan kepada orang tuamu, dan khitbahlah si dia itu agar tenang hatimu...

Tidak perlu terlalu gopoh dan teruja mengorat sana-sini, yakinlah pada Allah, pasti Dia akan memudahkan jalannya...

Risau




"ish, risaulah mas... tengok semua orang dah ada pasangan."

Ana teringat pada satu kata-kata. Hakikatnya, hidup kita umpama satu jambatan... Di sepanjang jambatan itu telah termaktub nasib dan jodoh kita. Andai lambat jodohnya, maka itu bermakna laluan jambatan itu panjang..Allah lebih tahu.

"Takutlah, jadi anak dara tua." Bibirnya menggulum, memperlihatkan isi hatinya yang gundah.

"Mana lagi bagus, kahwin dapat suami yang entah apa-apa, atau nanti Allah kahwinkan dengan bidadara syurga?"

Diam.

Benar... Setiap seorang dari kita telah Allah tentukan jodohnya, cuma akhirnya terpulang pada kita untuk mendapatkannya dengan cara yang keji atau tidak. Jika jodoh tidak ada di dunia, Allah telah menetapkan yang terbaik di akhirat sana! :)

Allah Menjaga

Allah itu ada... Sentiasa Dia di situ memerhatikan setiap gerak-geri hambaNya. Tanpa bosan Dia akan mendengar rintihan suara hatimu, tanpa jemu Dia ingin terus mendengar suaramu..

Allah Mendengar..Maka berdoalah agar Allah pertemukan dengan jodoh yang baik-baik.
Allah Mengetahui.. Maka berdoalah agar jodohmu itu dari golongan yang baik-baik agar dikau kelak mampu melahirkan penolong Imam Mahdi seramai mungkin.

Jadi Penolong Imam Mahdi ye :)


Sahabat, kita sudah tidak ada masa lagi untuk buang masa. Dunia sudah semakin tenat. Maka pandang segalanya untuk Allah, hatta ingin mencari pasangan, carilah pasangan yang Allah redha agamaNya. Jangan bertangguh khabarkan pada kedua orang tuamu.

Akhirnya... Jangan terlalu khuatir, yakinlah, Allah sedang menjaga dia, sebagaimana Allah sedang menjagamu baik-baik.. :)

Wallahu'alam.

Read More......

Monday, December 6, 2010

Contohi Pemuda Ansar Ini


Hari ni ana nak bercerita.

Cerita biasa yang punya kuasa luar biasa.

Tentang seorang lelaki ansar biasa yang punya keimanan yang luar biasa.

Tentang satu tubuh yang biasa yang diresapi kepatuhan yang luar biasa

Ansar

Baiklah, pertamanya. Apakah dia golongan ansar? golongan yang mengikut Rasululullah ke madinah atau yang menunggu di madinah?

Ya. ya. betul. Ansar adalah golongan yang menunggu di madinah, menyambut golongan muhajirin dengan penuh berlapang dada


Pada suatu hari, Rasululullah pun bercerita mengenai syurga dan neraka.

"Syurga itu cantik... Ada sungai-sungai yang mengalir di bawahnya, neraka itu panas membara," Mungkin begitulah dialog Rasulullah.

Mereka yang mendengar merasa gembira saat Rasulullah bercerita mengenai syurga, apabila Rasulullah bercerita mengenai neraka, semua tunduk takut. Gerun.

Dari kejauhan, kelihatan seorang lelaki ansar yang berser-seri wajahnya, seolah-olah telah terlihat olehnya syurga yang sangat indah.

Lantas dia bangun dan berkata, "Wahai Rasululullah...Aku ingin sangat masuk syurga.. Ingin sangat."

Rasululullah tersenyum, terfikir oleh baginda untuk menguji lelaki ansar ini.

"Baiklah," Baginda berkata dan mengarahkan lelaki ansar tersebut untuk menghantar satu bungkusan ke satu tempat yang ditetapkan untuk menguji sifat amanah pemuda tersebut.

Lelaki ansar itu gembira. Disambut huluran bungkusan itu dengan girang sekali.

Lalu dia pun berjalan... Dan berjalan...

Berjalan sambil mentafsir..

Berjalan sambil menghayati keindahan alam ciptaan Allah. Dia melalui gunung yang meghijau, merasai angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa.. Memerhatikan gelagat burung yang riang menari di atas sana..

Oh! Lelaki ansar itu melalui pula sungai yang cantik aliran airnya... Permai, tenang, damai...

Tiba-tiba..

"Astarghfirullah!" Lelaki ansar itu beristighfar. Ketika asyik memerhatikan aliran air sungai, dia terpandang satu susuk tubuh wanita yang sedang mandi, yang tidak berpakaian sempurna.

Sekali sahaja pandangannya, dialihkan ke tempat yang lain.

Lelaki ansar itu gumam. "Allah...Maafkan aku ya Allah.. Aku tak sengaja ya Allah. Aku terpandang ya Allah, jangan kau bakar mata aku ini ya Allah..." Dia menangis, terasa malu yang amat pada Allah dan Rasululullah.

Lalu.. dia pun berlari, sehinggalah tiba di satu bukit antara mekah dan madinah. Dia bersembunyi di situ dan memohon ampun.

Rindu

Lumrahnya, apabila seseorang yang baik itu sudah lama tidak kelihatan kita akan merasa rindu. Contohnya, Zinnirah selalu datang halaqah, baik pekertinya, hormat pada orang lain. Tiba-tiba, sebulan tidak kelihatan wajahnya, pasti kita merasa rindu.

"Eh, mana zinnirah ye." Hati pasti tertanya-tanya.

Begitulah juga yang berlaku kepada Rasululullah. Lama sudah dia tidak melihat lelaki ansar tersebut hingga terbit rasa rindu yang amat sangat dalam hati baginda. Lalu baginda pun bertanya kepada sahabat, "Wahai sahabat, adakah kamu nampak lelaki ansar yang pergi untuk menghantar barang tempoh hari? Mengapa dia masih tidak pulang-pulang lagi?"

Sahabat diam. Mereka juga tidak tahu ke mana perginya lelaki ansar tersebut.

Malaikat Jibril pun turun dan berkata "Wahai Rasulullah, lelaki ansar tersebut berada di satu pergunungan antara Mekah dan Madinah."

Mendengar perkhabaran tersebut, Rasululullah lantas menyuruh para sahabat mencari lelaki ansar tersebut.

Sahabat Mencari

Para sahabat pun berjalan... Dan berjalan... Sehinggalah tiba di pergunungan tersebut.

Mereka terlihat seorang pengembala kambing sedang mengembala kambing-kambingnya. Lantas, kaki mereka melangkah menghampiri si Pengembala Kambing.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam."

"Wahai saudara, pernah tidak kamu terlihat seorang lelaki yang tingginya sekian, warna kulitnya sekian, rambutnya sekian." Sahabat bertanya.

"Oh, adakah orang yang kamu maksudkan itu adalah seorang yang sedang melarikan dirinya dari azab api neraka?" Si Pengembala Kambing menjawab dengan yakin.

Sahabat terkejut. "Eh, mana ada... Kamu salah orang ni.. orang yang kami cari ni baik orangnya... kamu salah orang ni, takpelah takpelah, kami tanya orang lain."

Sahabat pun berpaling dan ingin melangkah pergi.

"Nanti!" Pengembala kambing itu memanggil. "Aku tinggal berhampiran dengan pergunungan itu dan setiap malam aku mendengar seorang pemuda berkata : ya Allah, maafkan aku ya Allah, aku tak sengaja ya Allah, aku TER, jangan kau seksa aku ya Allah. Maka dengan sebab itu aku berkata pemuda tersebut sedang melarikan dirinya dari azab api neraka." Pengembala menyambung kata.

Sahabat semakin terkejut dan terus pergi ke tempat persenbunyian pemuda ansar itu. Puas dipujuk agar pemuda ansar itu pulang namun dia tetap berkeras.

"Aku malu pada Rasululullah... Allah pasti dah beritahu baginda akan dosa aku." Pemuda Ansar menangis.

"Tidak.. Bahkan baginda yang mengarahkan agar engkau pulang." Sahabat berkata. Mendengar itu satu arahan Rasululullah, pemuda ansar itu pun bersetuju untuk pulang.

Bertemu Rasululullah

Sebaik pemuda ansar itu bertemu Rasulullah, dia pun berkata, "ya Rasulullah, aku berdosa ya Allah. Mata aku ini tertengok aurat wanita. Aku tak sengaja ya Rasulullah. Aku tak sengaja."

Rasululullah pun bersabda, Pandangan pertama adalah rezeki dan yang kedua adalah dosa.

Ukhti! nanti! maknanya bolehlah ye kalau tengok sekali tapi tak berkelip- kelip. tengok lama-lama.

Tak boleh ye kawan-kawan, lepas dah tertengok, terus beristighfar dan pandang tempat lain. Kalau tengok lama-lama pun berdosa juga.


Pemuda ansar masih tidak berpuas hati. "ya Rasulullah, apakah Allah mengampunkan aku ya Rasululullah, aku takut ya Rasululullah."

"Tak apa, tak apa, kamu balik rumah baca surah Al-Baqarah ayat 201. insyaAllah Allah meredhai."

Lelaki ansar terus sahaja mahu pulang dan membaca surah Al-Baqarah.

"Nanti." Rasululullah memangil. "Dengar dahulu aku baca... Rabbana atina fiddunya hasanah. Wa fil akhirati hasanah, waqina azabannar."

Habis sahaja ayat tersebut, pemuda ansar itu pun pengsan.

Setelah dia tersedar kembali, Rasululullah bertanya, "Kenapa kamu pengsan."

Pemuda ansar menjawab, "Tadi ya Rasululullah.. Tadi engkau menyebut waqina azabannar (peliharalah kami dari azab api neraka). Kau sebut neraka ya Rasululullah, aku takut ya Rasululullah..."

Tiba saatnya

Cukup 8 hari pemuda itu pulang ke rumahnya, dia ditimpa sakit dan menanti ajal.

Rasululullah yang mendengar khabar itu lantas segera ke rumah pemuda ansar tersebut.

Ketika Rasululullah tiba, pemuda itu sudah benar-benar nazak. Sebagai tanda kasih, Rasululullah ingin meletakkan kepala pemuda itu di atas ribaannya.

"Jangan! jangan ya Rasululullah, jangan kau riba kepalaku ini." Pemuda ansar menghalang.

Rasululullah menjadi hairan,"Mengapa saudaraku? Selalunya sahabat gemar aku meriba kepala mereka sewaktu mereka sakit."

"Aku ini kotor ya Rasulullah..sedang engkau mulia."

Rasulullah berasa sebak."Lantas, apakah permintaanmu yang terakhir?"

"Ya Rasulullah.... tolong minta pada Allah agar diampunkan segala dosa-dosaku, dosa aku terlihat aurat wanita itu, adakah sudah diampunkan?" Tersekat-sekat dia bersuara.

Rasululullah pun berdoa dan Allah mengkhabarkan bahawa dosa pemuda itu telah pun diampunkan.

Malaikat datang

Sewaktu keranda diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, Rasululullah yang juga turut mengangkatnya bersama-sama para sahabat kelihatan berjalan terjingkit-jingkit. Sahabat yang melihat pun berkata, "ya Rasulullah, apakah kakimu tercucuk kaca, atau terkena ranting kayu? Jika ada, biarlah aku mencabutnya."

Rasululullah menjawab,"Tidak...Aku berjalan terjingkit-jingkit kerana aku melihat apa yang kamu semua tidak dapat lihat. Sewaktu ini, ketika ini, aku melihat banyak malaikat turut mengangkat keranda pemuda ini, sehingga aku terpaksa berjalan terjingkit-jingkit. Kerana itu jugalah, kamu merasa ringan mengangkatnya."

Ayuh Contohinya

Subhanallah...Subhanallah...

Betapa Allah meredhai pemuda ansar itu, nasib kita bagaimana pula?

Contohilah pemuda ansar itu, pandang dosa dengan pandangan yang berat. Hatta dosa yang kecil sekali pun, jika dikumpul akan jadi banyak juga.

Jangan pandang dosa dengan sambil lewa kerana sekali kita berbuat dosa, satu calit hitam ada pada hati... Sehinggalah akhirnya hati mati dan kita tidak rasa bersalah lagi berbuat dosa.

Apakah kita ingin kembali dalam keadaan diredhai atau dimurkai?

Pilihan di tangan kita. Pilihlah sebelum terlambat.

Wallahu'alam

Read More......

Sunday, December 5, 2010

Pernah tak...


Pernah tak....
Kita tahu kita buat dosa,
Kita sedar yang kita lakukan tu salah,
Terkadang kita menangis minta ampun,
Entah berapa kali,
Dan kita masih mengulangi..

Tapi....

Tapi...
Allah tak pernah bosan mendengar taubat kita,
Allah masih beri kita nikmat,
Hari-hari tanpa henti,
Allah masih beri kita peluang,
Allah kata ; kalau hambaKu berjalan menghampiriKu, Aku akan berlari kepadaNya,
Hebatnya Allah,
Baiknya Allah,
Pengampunnya Allah..

Tapi kita sedar tak...
Kita ini manusia ego!
Kita sombong!
Kita tak malu dengan Allah!
Saban waktu kita bergelumang dengan dosa dan noda,
Kita bergelak ketawa atas dosa yang kita lakukan,

Apabila ditegur,
Kita membantah keras,
Apa kita lupa,
Dunia ini milik Allah?

Apa kita lupa,
Suatu hari nanti segala amal kita akan ditayangkan?
Waktu itu...
Ketika itu...
Ketika satu-satu perbuatan kita ditayangkan di khalayak,
Di mana mahu diletakkan wajah itu?
Di mana, Di mana dia wajah yang bongkak itu?
Di mana dia hati yang tidak mahu tunduk kepada Ilahi?
Di mana??

Sahabat.....
Manusia semememangnya tidak akan pernah lepas dari dosa,
Tapi jangan pula kita lupa untuk bertaubat,
Allah sentiasa di situ..
Menanti kita saban waktu...
Tanpa bosan dan jemu...

Sahabat....
Pernah tak,
Kamu merasa amat kehilangan,
Tanpa kamu sedar,
Allah di situ,
Dekat dengan kamu....

Sahabat....
Mari sama-sama kita taubat,
Mari sama-sama kita kejar cinta Ilahi,
Dosa yang lalu tinggalkanlah,
Kenangan hitam itu lupakanlah,
Mari kita buka buku yang baru,
Satu buku yang bersih tanpa debu,
Mari kita bersama,
Bersama berpimpinan tangan menuju ke syurga.

"Mas, nanti ahli keluarga semua boleh masuk syurga sama-sama tak?" Sahibah bertanya.

"Boleh. Best kan kalau semua berkumpul semula dalam syurga." Hati ana bergetar. Allah, layakkah aku?

Sahabat,
Ayuh jangan dilengah lagi,
Bimbang waktu semakin menghampiri,
Sebelum tiba waktunya kita pergi,
Mari bersama kita menangisi,
Menyesali,
Segala debu yang mengotori diri......

Allah... himpunkan kami bersama di dalam syurgaMu yang indah... Kami tidak sabar melihat wajahMu.... T.T

Read More......

Tuesday, November 30, 2010

Jangan Berputus Asa


"Ah!! Tensionnya!"

"Banyaknya masalah"

"Ada tak orang yang hidup takde masalah?"

Satu demi satu persoalan mengetuk gegendang telinga ana, jika persoalan-persoalan itu mampu memberi kesan kepada gegendang telinga, pastinya gegendang telinga ana sudah berlubang sekarang! :)

manusia = masalah

Adakah manusia yang tak punya masalah?

Bertanya persoalan yang seperti itu, seolah-olah kita bertanya ; Adakah manusia hidup yang tidak bernafas?

Benar. Masalah sudah amat sinonim dengan diri seorang insan kerdil lagi hina bergelar manusia. Sedangkan Nabi dan para sahabat juga dicubit sayang oleh Allah, inikan pula kita manusia biasa...

Persoalannya bukan adakah manusia yang tidak ada masalah tapi lebih kepada bagaimana kita menghadapi permasalahan yang ada.

Jika kita cuba lari dari masalah percayalah masalah itu tidak akan pergi.
Berhadapanlah dengannya.

"Sebenarnya kan... Hidup bila tak ada masalah jadi mendatar, jadi tak ada kenangan yang nak dikenang.. Jadi hambar." Sahabat yang ana kasihi melontarkan nasihat.

"Tapi kan bila ada masalah jadi susah hati, jadi sedih..." Ana menyambung.

"Memanglah, mana ada orang ada masalah suka hati je..."

Ana ketawa. Benar, masalah itu menjadikan hati menjadi murung tapi di sebalik kemurungan itu akan terselit pula kebahagiaan.

Apabila masalah itu telah selesai, percayalah kita pasti mampu tersenyum malah tertawa sewaktu mengenangkannya.

Maka,jangan sesekati berkata oh Allah aku ada masalah yang besar tapi beraktalah;

Oh Masalah, Aku ada Allah yang Maha Besar!


Allah Pasti Akan Membantu

"Macam mana ni..." Matanya berair, berserta esakan yang perlahan. Hujung tudungnya diambil sedikit buat mengesat air mata yang kian mengalir. Ana gusar. Melihatnya mengalirkan air mata membuat ana tidak keruan.

"Sabar..Sabar.."

Sergahan ustaz tentang hafazan kami membuatkan hati sahabat-sahabat sekelas menjadi kecut. Ah, takut ujian yang diberi tak dapat dijawab dengan baik, takut hafazan tersekat di tengah-tengah.

Memandang sahabat yang sedang menangis itu, entah kenapa secara tiba-tiba ana berasa sedikit tenang, seolah-olah terdengar-dengar janji Allah ;

Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa, (Al-Hajj :22)


"Ok, cepat cepat!" Ustaz memanggil.

Sahabat ana nan satu itu ke hadapan, bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Beberapa minit berlalu....

Surah An-Naba' dan An-Naziat berjaya dilepasi.

Berjaya pula dia mendapat 10/10.

oh Allah, betapa Engkau tidak pernah mengecewakan hambaMu yang berusaha!

Jangan berputus asa

"Ana rasa masalah ana ni dah tak ada jalan penyelesaian dah. Buntu."

Ingatkah kita pada firmanNya ;

jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. (Yusuf : 87)


Jangan sesekali berputus asa. Masakan Allah menimpakan ujian dengan sia-sia, masakan Allah sengaja membuat kita sakit dan bersedih.

Sedangkan setiap penyakit itu ada ubatnya melainkan mati, masakan masalah yang kita hadapi langsung tidak punya jalan penyelesaian.

"Ana dah puas cuba macam-macam ukht, tapi...tapi..begini juga."

Nah, lihat kembali dalam diri.. Segala keputusan yang diambil, adakah dikembalikan kepada Allah. Maksud ana, adakah kita redha, adakah segala keputusan dan tindakan yang kita ambil kita bertawakal kepada Allah atau kita merasa yakin dengan diri kita sendiri?

Hakikatnya...Allah timpakan ujian agar kita memuhasabah diri. Allah beri sakit untuk kita menghapus dosa, Allah beri kesusahan agar kita kembali padaNya.

Jika kita menyombong diri...termasuklah kita dalam kalangan orang yang rugi.
Jika kita tidak kembali pada Allah... Terbengkalailah masalah kita dengan seribu persoalan.

Kembalilah...Allah menantimu.

Berusaha dan kemudian serahkan urusanmu pada Allah.

Sungguh, Dia lebih Mengetahui!

Bangunlah, Bangkitlah, Berdirilah..Walau kamu terasa payah, walau kamu terasa seksa.. Kerana hakikatnya Allah akan membantumu. Pasti. Jangan diragui.

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)


Wallahu'alam

Read More......

Friday, November 26, 2010

Amanah Bukan Perkara Remeh


"Apakah perkara paling berat?" Bagai terdengar-dengar suara imam Ghazali bertanya kepada anak muridnya.

"Besi!" Salah seorang muridnya menjawab.

"Gajah!" Yang lain tidak mahu kalah.

Imam Ghazali tenang, dibalasnya dengan jawapan yang mantap, "Semua jawapan itu benar, tetapi yang tepat adalah amanah."

Amanah.

Satu perkara yang terberat namun sering dipandang ringan.

Realiti Hidup

Manusia seringkali memberi alasan.

Dahulu...ketika di alam ruh, tatkala Allah mahu memberi amanah, kita terus sahaja bersetuju, sedangkan gunung-ganang pun menolak untuk memikul amanah yang amat berat itu. Menjadi seorang khalifah di muka bumi.

Ah.

Hebat benarkah kita, sehingga tegar memperdaya Allah? Berapa banyak amanah yang telah kita abaikan?

"Even if i do not see you, Allah see you." Pesan pensyarah ana tatkala dia mahu keluar sebentar, meninggalkan kami dengan kuiz yang ada.

Hati ana bergetar. Itu adalah amanah.

Jika ana melanggarinya, ana pasti akan dicari di akhirat kelak! Pasti.

"Na, tahu tak.. Setiap kali ada kuiz, ada test, setiap kali tu juga kita akan jadi takut sangat." Ana bersuara gusar.

"Kenapa?"

"Sebab, kita takut kalau kita meniru. Kita takut kalau ada orang tanya kita. Bukan kita taknak jawab, tapi kita takut nanti kat akhirat kita akan disoal."

oh Allah...

Lupa sudahkah hamba-hambaMu pada peringatan yang Engkau berikan?

Lupakah mereka, di padang mahsyar nanti anggota badan kesemuanya akan berbicara kecuali mulut.

Lupakah mereka ya Allah... Pada neraca timbangMu?

Lupakah mereka ya Allah... Pada tayangan yang akan dipertontonkan tanpa ada sedikit pun yang tercicir.

Lupakah mereka ya Allah... Bahawa Engkau Maha Melihat!

Bacaan lanjut : klik sini

Sahabat...Kembalilah

Sahabat, andai kita merasa bahawa Allah itu ada, andai kita benar-benar meletakkan Allah di tempat yang pertama, kita pasti sedar, setiap apa pun yang kita lakukan pasti akan disoal.

Jangan cuba menipu Allah kerana tidak ada satu daun pun yang gugur di dunia ini di luar pengetahuanNya.


dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (Al-An'am :59)


Sahabat....

Andai dirimu memandang amanah sebagai perkara enteng, ketahuilah bahawa dirimu telah tersilap besar.

Lihatlah betapa banyak masyarakat yang berpecah-belah kerana ketuanya yang pecah amanah.

Lihatlah betapa banyak negara yang kucar-kacir lantaran pemimpinnya pecah amanah.

Lihatlah betapa banyak anak-anak yang terbiar lantaran ibu bapanya pecah amanah.

Lihatlah sahabat! Lihatlah dengan mata hatimu!

Ana tidak mahu... Andai sebab yang sedikit, yang dikau pandang remeh, yang dikau nampak enteng menjadi penyebab penarikanmu dari syurga Allah.

Sahabat..Kembalilah.

Fitrah Islam itu indah, kerana Allah tidak akan menyuruh kita melakukan sesuatu yang sia-sia.

Wallahu'alam


Read More......

Thursday, November 25, 2010

Dari Mana Kita Datang?


Sahabat..
Dengarilah..
Allah itu satu dan tidak ada duanya,
Dia yang memberi keberkatan serta kenikmatan,
Dia yang menghadirkan ilham saat dikau buntu,
Dia yang terus-terusan memandangmu dengan pandangan kasih sayang
yang tiada tolok bandingannya..

Namun sahabat...
Mengapa,
Mengapa begini jadinya?
Mengapa saban waktu dikau menyulam dosa?
Engkau berdiri di situ,
Ego mendongakkan kepala,
Menerima segala nikmatNya yang tidak terhingga,
Sehingga mungkin engkau terfikir,
"Ah, berbuat maksiat juga Allah beri nikmat"
Tanpa kau sedari,
Allah memberi nikmatNya dengan penuh rasa marah dan kesal.

Sahabat...
Tidakkah dikau melihat,
Sesuatu yang datang pasti akan pulang,
Dari mana kita datang,
Mengapa kita didatangkan,
Ke mana kita akan pulang,
Pernahkah perkara itu menerjah ruangan fikiranmu itu?

Hakikatnya sahabat..
Tubuh kita,
Jasad kita,
Semuanya Allah beri pinjam.

Udara yang disedut,
Nikmat yang dicicip,
Semua itu pasti akan binasa.

Kita datang dari Allah,
Oh, mengapa,
Mengapa kita didatangkan,
Diturunkan ke dunia yang penuh pancaroba?
Sedang para malaikat berkata;
Wahai Allah! Mengapa mahu diciptakan manusia yang hanya akan membuat kerosakan di dunia?
Allah tenang menjawab ; Sesungguhnya Aku lebih mengetahui!

Mengapa ya sahabat,
Mengapa dalam berjuta sperma,
Allah pilih kita untuk bersatu dengan ovum yang satu?
Kerana Allah tahu,
Kita adalah juara dan mampu melakukan amanahNya;
Mentadbir dunia dengan baik dan beribadat hanya kepada Allah.

Tapi...
Saban waktu kita menjadi semakin lupa,
Kita seronok dengan hiasan dunia yang sementara,
Kita terlupa bahawa semuanya akan binasa,
Apabila datang peringatanNya,
Kita tersentak sebentar,
Namun kemudian kembali melupakannya....

Kita terlupa pada satu janji yang dipatri,
Kita tidak mahu beribadat kepadaNya,
Kita menjadi semakin ego dengan Allah,
Kita tidak mahu lagi mengikut syariatNya yang dianggap mengongkong,
Kita mahu bebas!
Bebas yang akhirnya meracun diri...

Sebagaimana para perantauan pulang ke kampung halaman,
Sebagaimana bangau kembali ke belakang badan kerbau,
Begitulah juga kita,
Yang datang dari Allah,
Dan akhirnya kembali kepada Allah,
Tentukanlah...
Mahu kembali dalam keadaan dosa dan noda,
Atau suci seperti kita mula-mula hadir ke dunia dahulu,
Semoga kita terhindar dari menjadi insan yang rugi....

Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) seksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata: "Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah." (An-Naba' :40)



Read More......

Sunday, November 21, 2010

Dedikasi : Umi



Jam sudah pun menunjukkan pukul 1 pagi. Lampu dapur masih terang-benderang. Ana musykil lantas kaki bergerak menuju ke arah dapur yang maih 'beroperasi'.

"Mak buat apa ni?" Ana bertanya, melihat umi yang sedang asyik merebus keledek.

"Lah.. kata kawan-kawan nak makan kuih keria?" Umi menjawab tenang. Baru ana teringat, ana ada menyuarakan keinginan kawan-kawan tentang kuih keria umi yang sedap jiddan :).

Hati ana menjadi sebak... Allah, umi selalu ingat, meskipun perkara itu tiada kepentingan untuknya.... Meski ana yang seharusnya ingat akan semua itu...

Seorang yang ana kagum setelah Rasulullah dan para sahabatnya. Seorang yang ana amat sayang setelah Allah dan Rasulnya...

Norani bt Idris.

Di bibirnya tidak pernah sekali mengeluh lesu. Harapan dan permintaan ana akan sedaya upaya ditunaikan meskipun badannya terasa letih. Tatkala kesabaran ana sudah semakin menipis, umi masih terus sabar melayan karenah. Tatkala ana sudah berputus asa mahu meneruskan langkah, umi masih gigih berusaha.

Semua itu bukan untuk dirinya.

Bahkan untuk ana, satu manusia yang sering alpa..

Umi....

Tatkala ana bersedih, umi diam seribu bicara. Umi tidak datang memujuk, tetapi umi akan sediakan makanan yang sedap-sedap sebagai pengganti bicaranya. Tatkala mulut ana petah berbicara, bercerita itu dan ini, umi menahan ngantuk meminjamkan telinga.

Tatkala ana menangis, umi kerisauan. Tatkala ana sakit, umi tidak keruan...

Perkataan apakah lagi yang sesuai untuk dilafazkan sebagai tanda cinta dan kasih ana terhadap umi?

Tatkala umi sibuk mengemas itu dan ini, ana mati punca. Umi seolah-olah berkata ;

"Biar mak buat"

Ah, seribu rasa bersalah meresapi relung-relung hati. Umi tidak pernah walau sekali mengkhianati rasa sayang anak-anaknya.

Umilah segalanya.

Teman, sahabat, kawan... Dalam diam, nasihat diberi. Umi selalu bersabar, meski kami selalu sahaja menyusahkan dirinya.

Terkadang ana menjadi pelik, bagaimanakah hati seorang umi ini? Apakah tidak punya hati yang mahu dilukai?

Tidak. Bahkan hati seorang umi penuh dengan rasa CINTA dan KASIH terhadap keluarga, apa yang membezakannya dengan hati kita adalah, hatinya penuh dengan sifat maaf dan tidak berkira.

Umi pernah memandu di waktu malam, diselubungi kabus yang tebal. Terlalu sukar untuk melihat pergerakan kereta yang lain, semata-mata untuk hantar ana berubat.

Umi pernah tidak tidur malam, semata-mata untuk memastikan ana sihat.

Umi tidak pernah.. Walau sekali menghampakan harapan anak-anaknya, meski umi terlalu penat....

Umi... :')

Ah, pernah sekali ana melihat air mata umi bergenang dengan air. Entah sedih entah gembira, tetapi di penghujungnya, umi tidak menitiskan walau satu titis air mata di hadapan kami.

ya ya.

Umi perlu tabah. umi perlu kuat, agar anak-anak tidak menjadi lemah. Allah... Moga Engkau menguatkan hati umi tercinta...

Umi.. Ketahuilah, wawa sayang mak sangat-sangat!

TERIMA KASIH UMI!



Read More......

Wednesday, November 17, 2010

Aku Bukan Manusia Terhebat



Aku bukan manusia terhebat,
Yang saban waktu menyulam pahala,
Bukan juga manusia terbilang,
Yang setiap detik mencipta nama,

Aku bukan manusia terhebat,
Yang seolah tidak punya hati dan perasaan,
Bukan juga manusia mulia,
Yang layak untuk kau puja,

Aku...
Hanya insan biasa,
Yang bila diluka jadi sakit,
Yang bila jatuh perlu didirikan,

Ah,
Aku bukan seperti yang kau sangka,
Saban waktu diiringi tawa,
Aku bukan juga seperti yang kau lihat,
Tersenyum atas setiap yang datang melanda.

Aku,
Punya hati yang berdarah,
Punya jiwa yang tercalar,
Punya perasaan yang bergelora,
Punya akal yang entah ke mana,

Aku,
Terkadang jua tersungkur,
Terkadang jua tergelincir,
Maka jangan pandang aku dengan pandangan yang tinggi,
Kerana yang paling tinggi itu hanyalah Allah.

Aku adalah insan yang terluka,
Tetapi mampu sembuh melihat kau ketawa,
Aku adalah sekeping hati yang tercalar,
Namun terubat melihat kau tersenyum,
Aku adalah jiwa yang bergelora,
Namun mampu tenang melihat kau gembira,

Maka teman,
Jangan dianggap aku insan tak punya masalah,
Jangan dirasa aku manusia mulia,
Jangan berubah kerana aku,
Jangan bergantung harapmu padaku,
Jangan sesekali berbuat begitu,
Kerana sekaliku futhur,
Kau pasti berpaling jauh..

Teman,
Ketahuilah...
Di bahuku punya beban yang tidak kau nampak,
Di hatiku punya perasaan yang tidak kau lihat,
Aku hanyalah seorang hamba yang masih mencari setitis cinta Ilahi,
Aku hanyalah hamba yang saban waktu menempah dosa,
Aku hanyalah hamba yang tidak tahu bila kan pulang padaNya,
Aku hanyalah seorang hamba yang hina di sisi Tuhan,

Aku...
Bukanlah manusia terhebat!
Maka andai ku tergelincir,
Tarik tanganku,
Usah dibiarkan aku menjunam terus ke dalam lembah yang curam,
Andai aku terjatuh,
Tariklah tanganku kembali ke lantai yang selamat,

Aku....
Masih lagi seorang hamba,
Yang dahagakan cinta pada Rabbku.

Aku....
Masih lagi seorang hamba yang keliru,
Yang mengharapkan Allah dalam setiap denyut nadiku....

Allah...Allah...Allah....

Read More......

Tuesday, November 16, 2010

Salam AidilAdha


Hari itu semakin hampir.

Hari Raya Aidiladha... Mengenang kembali peristiwa Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya Ismail a.s.

oh, Ana tidak mahu bercerita mengenai bagaimana si anak yang patuh.

Bagaimana Nabi Ibrahim menyembelih leher anaknya, pisau menjadi tumpul lalu turun malaikat menggantikan Ismail a.s dengan seekor kibas.

Tidak. Tidak.

Semua sudah tahu akan kisah itu, cuma ana tertarik pada kata-kata Nabi Ismail a.s

"Jika itu perintah Allah, maka lakukanlah!"

Nah, itulah dia erti pengorbanan sebenar. Mengorbankan nafsu yang menipu, mengorbankan masa untuk Allah, mengorbankan kesenangan dan keselsaan diri demi syurgaNya yang pasti kekal abadi.

Berapa ramaikah antara kita yang benar-benar memahami erti di sebalik 10 Zulhijjah ini.

Jika yang ternampak hanyalah yang tersurat - sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim dan Ismail, maka rugilah kita...

Hakikatnya, maksud tersiratnya jauh lebih banyak dan mendalam.

Berkorbanlah demi TuhanMu.. Lawan nafsu yang menipu demi kesejahteraanmu, semoga seperti Nabi Ibrahim yang diuji dengan perintah menyembelih anaknya sendiri, namun akhirnya Allah menggantikan penyembelihan itu dengan seekor kibas, Allah bakal juga menggantikan sesuatu yang kita korbankan demiNya dengan sesuatu yang lebih baik lagi.

insyaAllah.

"Jika itu perintah Allah, maka lakukanlah!"

Selamat Hari Raya AidilAdha.. Selamat mengorbankan nafsu yang menipu :)

Wallahu'alam

Read More......

Monday, November 15, 2010

Kenali Jahiliyyah



"Wah Mas! ni nak balik selama-lamanya ke apa ni?" Senior ana pada ketika itu tergelak melihat ana memasukkan baju-baju ke dalam beg besar sedangkan cuti hanyalah 3 hari.

"Er, tak tahu nak bawa balik apa. Rasa semua je kena bawa balik."

Ledakan tawa meletus. Ah, pertama kali tinggal di asrama benar-benar mengajar ana sesuatu yang ana tidak tahu.

Mengenalkan ana pada satu kejahilan yang ada pada diri sendiri. Namun setelah dikenal pasti kejahilan itu, sedikit demi sedikit ana memahami... Kalau balik setakat 3 hari tu, tak perlulah bawa balik semua. Baju kotor pun dah siap-siap basuh dulu. :)

Yang Palsu Itu Bukan Untuk Ditinggalkan

"Kamu tahu tak ada seorang imam dia disuruh oleh ayahnya untuk hafal sejumlah hadith. Dia pun ralit menghafal. Lepas dah hafal semua, dia pun pergi jumpa ayah dia dan bagitahu yang dia dah berjaya hafal semua. Lepas tu kamu tahu ayah dia jawab apa?"

Suara naqibah bergema. Soalan yang diaju dibalas dengan diam seribu bahasa.

"Ayah dia tenang menjawab... Semua yang kamu hafal itu adalah hadith palsu!"

Nah. Kenapa ayah Imam itu menyuruhnya menghafal semua hadith yang palsu belaka. Adakah untuk menguji atau mengenakan si Imam tersebut?

Tidak tidak. Ini bukan juga angkara April Fool yang sedang menjalar dalam masyarakat kini.

Justeru, apa?

Hakikatnya, ayah Imam yang soleh itu menyuruh anaknya menghafal kesemua hadith palsu adalah kerana si Ayah mahu si Anak mengenal yang mana palsu dan yang mana benar. Apabila Imam itu telah menghafal kesemua hadith yang palsu, maka segala hadith palsu yang hadir padanya mampu ditepis dengan mudah.

Jelas bukan?

Yang palsu, yang buruk, yang tidak betul itu bukan untuk kita tinggalkan.

Yang palsu, yang buruk, yang tidak betul itu tercipta untuk kita mengenali, untuk kita mengasah minda, untuk kita menggunakan kekuatan naluri dan pergantungan harap pada Ilahi dalam memilih.

Antara dua jalan itu ; benar dan palsu. Pilihan di tangan kita.

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya. (Qaf : 37)


Kenali Jahiliyah

Realiti masyarakat yang hanya punya Islam pada nama, yang tidak merasakan nikmat berada dalam Islam yang sebenarnya benar-benar merunsingkan semua insan yang punya hati yang hidup.

Islam dan jahiliyah kian bercampur aduk.

Manusia semakin tidak mengenali yang mana satu hak dan yang mana satu batil.

Dunia menjadi kucar-kacir. Kesemuanya mahu menegakkan pendapat tanpa mengira peraturan Allah.

Pengakhirnya, jalan penyelesaian seolah-olah tertutup lantaran manusia tidak berbalik kepada Rabbnya.

"Apa itu Jahiliyyah? Bagaimana cara hendak mengenalinya?"

Baiklah. Begini...

Setiap hari kita menyedut udara. Kita menyangka kita menyedut oksigen yang bersih. Tiba-tiba satu hari kita jatuh sakit, susah untuk bernafas. Kita pun terus ke klinik dan doktor mengatakan ;

"Kamu ni menyedut udara yang tidak bersih."

Aik? hairan.

"Udara yang kotor itu bagaimana? Bukankah di dalam udara itu ada oksigen. Ya ya. Oksigen untuk kita bernafas dan terus hidup."

Doktor pun tersenyum dan berkata.. "Tidak, dalam udara bukan hanya ada oksigen, tapi ada juga karbon dioksida, ada karbon moknosida, ada nitrogen dan bermacam lagi gas merbahaya yang tidak terlihat oleh mata."

Oh begitu.

Justeru itu sahabat, begitu jugalah jahiliyyah. Ia telah bercampur aduk dengan kebenaran sehingga terkadang kita tidak sedar, perkara yang kita lakukan itu adalah salah, tidak benar.

Jadi bagaimana cara untuk mengenal pasti? Adakah dengan hanya menunggu hati kita merasa mati dan sakit, sama seperti kesannya apabila kita menyedut udara yang kotor?

Tidak.

Kita harus mengenali jahiliyyah dengan mendekatinya. Mendekati bukan untuk mengikuti melainkan untuk mengenal pasti perkara-perkara jahiliyyah agar kita bisa mengelakkan diri.

Mendekati bukan bermakna ana menyuruh untuk melakukannya, tapi pelajarilah apa itu jahiliyyah sama seperti imam yang mempelajari hadith palsu.

Pelajarilah... Kerana kita kini sedang dikongkong dengan jahiliyyah yang amat teruk!

Apakah kamu tidak melihat orang-orang yang telah diberi bahagian dari Al Kitab (Taurat)? Mereka membeli (memilih) kesesatan (dengan petunjuk) dan mereka bermaksud supaya kamu tersesat (menyimpang) dari jalan (yang benar). (An-Nisa : 44)


Jahiliyyah Menurut Al-Quran

Mengapakah kini, orang Islam menolak hukum Allah dalam praktiknya?

Menurut Muhummad Qutb, jahiliyyah menurut Al-Quran adalah keadaan jiwa yang menolak Allah, penyusunan masyarakat yang menolak Allah, menghukum dengan bukan hukuman Allah serta melawan Islam dan iman.

Jika semua jahiliyyah adalah bergantung pada diri kita sendiri, maka itu sedikit mudah kerana kita mampu mengubahnya. Namun, apabila ia menular ke dalam masyarakat yang menolak Allah. Di sini akan berlaku kesulitan pada hati...

Ana pernah merasakannya. Sewaktu dikelilingi dengan peraturan yang bukan peraturan Allah, sewaktu memakai tudung labuh dianggap menyusahkan, memegang syariat diperlekehkan dan benarlah hadith Rasulullah s.a.w;

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".(H.R. Tirmizi)


Mengenggam bara api... dipegang sakit, dilepaskan ia akan padam. Tidak mengapa, bersakit-sakitlah sekarang... Kerana Allah pasti telah menyediakan tempat terbaik buatmu di syurga.



Ah, menulis hal ini benar-benar mengingatkan ana pada satu peristiwa yang benar-benar perit. Satu peristiwa yang benar-benar memberi impak besar pada kesihatan emosi dan fizikal ana sehingga beberapa kali ana keluar masuk hospital. Apabila ada yang bertanya tentang hal ini, hati ana seolah dirobek-robek. Bukan setakat menceritakannya bahkan mengingatinya sekalipun ana tidak mahu!

Rasa amat perit apabila syariat diperlekehkan dan ana terpaksa berada dalam sistem itu. Mereka bertanya... Mahukan ana bercerita tentang pengalaman silam.

Menceritakannya umpama ana menyiat hati ana sendiri, tapi ana sedar.. Itulah mahar yang ana harus bayar di atas kesenangan dan nikmat yang ana dapat sekarang. Ana menjadi redha dan tenang menceritakannya kerana ana pasti, Allah meletakkan ana sementara dalam sistem itu supaya ana sedar pada nikmatNya yang mungkin telah ana lupakan, bahkan mungkin juga pengalaman itu berguna buat saudara seIslam yang lain...

Benarlah, kita hanya akan mensyukuri nikmat setelah kita merasakan kehilangannya...

Bangkit dari Kesilapan

"Hish banyaknya bawa balik barang?" Ana tertawa, sengaja menyakat rakan yang mengalami keadaan 'jahiliyyah' seperti ana dahulu.

Dia tersenyum senang, memahami usikan ana.

Belajarlah dari kesilapan... Kerana orang mukmin tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.

Buat saudaraku... Kenalilah jahiliyyah nescaya dikau akan mengenali kebenaran.. Selepas itu, gengamlah 'bara api' itu, jangan sampai ia padam..

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, November 11, 2010

Allah Itu Baik


"Ah, kenapa ini semua berlaku." Katanya sambil meraup muka. Penat. Letih. Kecewa semuanya bercampur aduk membuahkan satu keluhan yang amat berat sekali.

"Allah menyayangimu..."

"Benarkah? Jadi mengapa ditimpakan kesusahan? Bukankah sayang itu bermakna kita akan menyenangkan hati orang yang disayangi?"

Diam.

Sayang = Senang Hati?

"Balik sebelum maghrib! Kalau tidak ibu rotan!" Si ibu memberi amaran keras pada anaknya yang ingin keluar bermain di taman.

Terkebil-kebil mata si anak memandang ibu yang tegas.

"Ah, kenapa harus dihalang kehendak hatiku. Mana cukup masa main andai sebelum maghrib sudah harus pulang. Sekurang-kurangnya, tunggulah dulu sehingga habis azan." Mungkin itulah bisikan hati si anak.

Dalam keterpaksaan, kakinya melangkah....

Itulah dia seorang ibu, yang diberikan dengan sedikit sifat AR-RAHMAN dan AR-RAHIM Allah. Seorang ibu yang benar-benar menyayangi anaknya, tidak mahu perkara buruk berlaku pada si kecil kesayangan, dihalangnya keinginan-keinginan hati si kecil sehingga terkadang terbit tangis dari bibir anaknya, namun si ibu tetap bertegas kerana dia tahu, andai dituruti keinginan hati si anak itu, ia bakal menghancurkan....

Itu seorang ibu, yang dalam hatinya ditempiaskan sedikit dengan sifat AR-RAHMAN dan AR-RAHIM.

Bagaimana pula Allah yang MAHA Pengasih dan Penyayang? Malah, DIA lebih mengetahui apa yang akan berlaku pada kita pada masa akan datang.

Justeru, DIA tidak mengikuti kemahuan hati kita, kerana DIA tahu kita akan hancur andai kemahuan itu dituruti. Diturunkannya ujian dan mehnah sehingga kita terduduk dan menangis, namun ALLAH tahu bahawa hanya dengan cara itu. ya, dengan cara itu sahaja kita mampu untuk terus berdiri dan melangkah di masa hadapan.

Ibarat batu yang perlu diberi tekanan yang tinggi untuk menjadi permata yang amat mahal harganya, begitulah juga hati. Penekanan yang diberi, segala sakit mehnah dan ujian bukanlah untuk menghancurkan kita bahkan untuk memupuk jiwa agar lebih tunduk dam mematuhi serta memahami apa yang Allah perintahkan.

Syariat itu...Bukan untuk menyusahkan bahkan memudahkan kita di masa hadapan.

Tidakkah pelangi itu hanya akan muncul selepas hujan?

Allah itu amat baik....

Maka janganlah bersangka buruk padaNya..

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Al-Baqarah :286)


Wallahu'alam

Read More......

Friday, November 5, 2010

Nikmat Selepas Nikmat



"Allah selamatkan kamu.. Allah selamatkan kamu.." Seperti yang dirancang, semua sahibah menyerbu masuk ke rumah ana tepat jam 12 a.m semalam, membuat kejutan buat teman sebilik ana yang tercinta.

Hari ini hari ulangtahun kelahirannya. Moga bertambah usianya seiring dengan umur yang semakin meningkat.

Moga sentiasa berjaya memperoleh hidayah dari Allah- satu hadiah yang tidak ternilai harganya.

Ah, airmata teman sebilik ana menitik satu-persatu mungkin terkejut dengan kejutan yang tak disangka-sangka. Moga air mata itu mengalir kerana Allah, sebagai pemadam api neraka yang dahsyat menyala-nyala.

Siti Mardhiana bt Mardy, moga Allah mengiringi setiap langkahan kakimu. Ameen.

Islam Itu Nikmat

"Islam itu benar-benar satu nikmat." Suara naqibah bergema di dalam bulatan usrah. Matanya memandang satu-persatu wajah-wajah di taman syurga itu sambil bibirnya mengukir senyuman, mengharapkan satu jawapan.

Semua yang ada diam. Khusyuk mendengar setiap patah yang keluar dari mulut naqibah. Kata-kata persis mutiara berharga, mana mungkin mampu diabaikan.

"Mengapa Islam itu nikmat?"

Islam itu mengajar kita memiliki kehidupan yang sempurna. Daripada sebelum tidur sehinggalah kita tidur kembali, Islam telah meletakkan garis-garis panduannya untuk kita turuti.

Semuanya adalah baik untuk kita dan berlandaskan syariat.

"Ah! syariat itu menyusahkan! saya rasa tidak bebas!" Oh ya ya, ana mendengar rintihan suara hatimu.

Syariat itu mengongkong, tetapi kongkongannya adalah untuk kebaikan kamu.

Cuba bayangkan seekor ikan di dalam akuarium. Pada satu hari, kamu berjalan penuh asyik ke akuarium tersebut, penutupnya di buka kerana ada sedikit makanan yang mahu diletakkan. Tiba-tiba, sang ikan melompat keluar kerana bosan dengan keadaan di dalam akuarium yang terlalu mengongkong. Sang ikan melompat-lompat di atas lantai. Ah kini aku bebas! Mungkin begitulah suara hatinya.

Tapi sahabat.... Adakah bebasnya sang ikan itu adalah yang terbaik baginya? Mampukah sang ikan untuk hidup tanpa air?

Begitulah manusia.... Hidupnya perlu pada syariat. Kita umpama ikan, dan air di dalam akuarium itu adalah syariat. Apabila kita mencuba untuk keluar daripada syariat, maka kita akan mati. ya ya, mungkin tidak secara lahiriah, tapi ketahuilah bahawa hati kita pasti mati tanpa syariat yang benar.

Apabila hati mati......

Pernahkah kita melihat seorang manusia yang seolah-olah tidak ada tujuan hidupnya? Seorang manusia yang cuba mencari keseronokan hatinya dengan berpeleseran di disko, menonggak arak, mundar-mandir ke sana-sini tetapi jiwanya masih kosong?

Kenapa?

Kerana hatinya mati. Hatinya dahagakan sesuatu. Hidup berpandu syariat. Hanya itu yang mampu mententeramkan hati yang dilanda gelisah...



Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. (Al-Jaatsiyah : 18)


Islam Melahirkan Nikmat

Allah itu baik. Allah itu baik sekali. Dia beri kita nikmat meski kita tidak pernah mensyukuri. Dia menunggu kita saban waktu, meski kita tidak pernah menyedari. Allah sentiasa mahu mengampuni hambaNya, meski kita tidak pernah meminta dan menghina diri.

Baiknya Allah sehingga banyak sekali nikmatnya yang diberi percuma.

Betapa bersabarnya Allah sehingga Rasulullah s.a.w bersabda ;

Tidak ada yang lebih sabar berbanding Allah


Allah adalah engineer manusia. Dia yang mencipta manusia maka seharusnya Dialah yang mengetahui apa yang baik dan buruk bagi manusia. Apa yang mampu menghidupkan manusia dengan kehidupan yang aman bahagia di dunia yang penuh pancaroba.

Maka, Allah turunkan syariat. Allah beri garis panduan hidup agar manusia sentiasa sedar... Mereka tidak pernah bersendirian.

Tapi sedarkah kita? Saban waktu yang terluang kita mengingkari Allah. Kita bergelak ketawa sehingga terlupa mengingati Allah. Ah, tapi Allah masih mahu menyayangi kita, bagi setiap manusia yang mematuhi syariatNya dan dapat merasa Islam itu nikmat, Allah kurniakan lagi nikmat. ya, nikmat yang melahirkan nikmat.

Nikmat apa yang tertinggi sekali selepas Islam?

Baik, mari berfikir sebentar....

Rasulullah s.a.w punya Allah sebagai 'sahabat' terapat. Baginda punya Jibril yang mampu menegurnya saban waktu. Tapi Allah masih mengurniakan baginda dengan Umar, Uthman, Abu Bakar dan Ali. Oh, Allah juga kurniakan baginda Ikramah, Hamzah dan banyakk lagi sahabat-sahabat terhebat yang sentiasa bangkit dan berada di sisi baginda.

Mengapa Allah kurniakan Rasulullah s.a.w dengan semua sahabat-sahabat yang hebat, sedangkan Allah mampu menjaga baginda?

Jawapannya : Kerana ukhwah kerana Allah adalah nikmat tertinggi selepas Islam.

Benar. Menurut carta nikmat, yang pertama sekali adalah Islam dan kedua adalah ukhwah fillah.

Kamu bersahabat tetapi tidak merasa kemanisannya? Maka telitilah kembali persahabatan kamu, benarkah kerana Allah semata atau terselit sedikit perihal dunia?

Sahabat fillah akan menjadi sangat telus dalam persahabatan. Persahabatannya bersih dari najis-najis duniawi. Persahabatannya adalah kerana mengharapkan redha Allah. Saban waktu, sahabatnya dipandang dengan penuh kasih sayang, dengan harapan supaya Allah juga menyayangi sahabtnya. Dia tidak mahu menjadi baik seorang diri kerana harapannya yang tertinggi adalah ke syurga bersama-sama sahabatnya itu!

Nah, di situ wujudnya kemanisan. Berpesan-pesan kerana Allah, memperingati antara satu sama lain. Yang susah menjadi senang, yang senang menjadi semakin senang. Dunia yang penuh pancaroba juga mampu menjadi manis dan lancar perjalanannya.

Siapakah di antara kita yang mampu hidup berseorangan di dunia ini?

Tidak ada. Ana amat pasti, insyaAllah.

Maka, carilah Islam yang sebenar dan kamu pasti akan dikurniakan nikmat selepas nikmat, iaitu sahabat di jalan Allah!

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?(Ar-Rahman : 55)

wallahu'alam

Read More......

Sunday, October 31, 2010

Awak Ingat Lagi Tak..


“Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yg telah dicari”- Saidina Ali

Ingat tak....
Awak...
Satu ketika dulu,
Kita sakit...
Tapi awak jaga kita.
Sungguh sungguh.
Awak selalu bawa nasi lemak untuk kita,
Masa awak sakit perut pulak,
Kita bagi awak air yang panas betul siap berasap-asap,
Kita cakap supaya awak cepat sembuh,
Tapi awak gelak,
Sebab panas sangat tak boleh nak minum,
Awak tahu tak..waktu tu kita risau sangat kat awak...

Waktu kita kena 'buli',
Awak selalu cakap,
"Mas, jangan lemah sangat! Pertahankan hak awak!"
Kita selalu cakap kita tak mampu,
Kita selalu cakap tak sampai hati,
Tapi..
Tapi awak selalu ada kat sisi kita,
Awak yang selalu 'back up' kita,
Awaklah pelengkap diri kita.
Tapi sekarang awak dah jauh,
Kita rasa seolah-olah diri kita tak lengkap..

Ingat lagi tak...
Kita selalu belajar sama-sama,
Kita selalu berlumba nak jadi yang terbaik,
Biarlah satu kelas cakap apa pun,
Tapi kita selalu rebut nak duduk depan kan..
Sampai satu saat,
Kawan-kawan sekelas siap sediakan tempat kita berdua kat barisan paling depan.

Awak tahu tak..
Sekarang kita dah ada kawan-kawan baru,
Diorang baik sangat, terlalu baik.
Diorang selalu ada di sisi kita waktu susah dan senang,
Kita harap awak pun macam tu,
Tapi awak nak tahu sesuatu?
Kita tetap tak dapat lupakan awak...

Awak tahu tak...
Entah kenapa hari ni kita rasa sungguh-sungguh rindu pada awak,
Rindu awak ambil air waktu kita nangis,
Rindu awak tegur kita,
Rindu nak tegur awak dan awak terima dengan redha,
Entah.
Kita rindu awak...

Harap-harapnya awak sihat selalu,
Biarlah kita sorang-sorang je yang rindu awak,
Sebab kita tak nak awak pun sedih..
Awak, jaga diri ya...
Harap-harapnya, kita berdua dapatlah jadi insan bertakwa sebab kita tak mahu bersama awak di dunia sahaja,
Tapi di akhirat juga....

Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.(Az-Zukhruf:67)


Maafkan segala kekurangan kita...
Moga ukhwah yang terbina adalah semata-mata ingin mengharapkan redhaNya.

Read More......

Wednesday, October 27, 2010

Bersyukur dan Bersabarlah..


"Laili sihat?" Entah kali ke berapa soalan itu terpacul keluar dari mulut sekalian sahibah yang ada.

Teman serumah ana sakit yang masih belum pulih.

"Sihat.." Katanya lemah, diiringi batuk yang masih belum jua mahu berhenti.

Allah.. Sayu melihatnya. Namun memikirkan semua itu adalah tanda kasih sayang Allah padanya, Ana kembali lega.

Laili.. Allah sayang laili. Sakit itu adalah satu nikmat, nikmat kafarah dosa.

Sakit itu adalah nikmat, jika kita semakin hampir denganNya.

Sakit itu sungguh benar adalah nikmat apabila kita memandangnya dengan pandangan iman.

Pandang Segalanya Dari Allah

Adakah mungkin Allah itu memberi sesuatu yang bakal menyakitkan hambaNya?

Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri. (Ar-Rum :9)


Setiap apa yang Allah turunkan pada kita, sama ada baik atau buruk semuanya itu adalah sesuatu yang baik bagi kita jika kita benar-benar berkeyakinan bahawa Allah lah penentu segalanya bagi seorang hamba....

Adakah kesenangan yang dikecapi saban hari itu merupakan satu nikmat dan sakit serta kesusahan yang menimpa merupakan satu penderitaan dan kezaliman yang diberi?

Tidak. Tidak.

Ingatkah kita pada kisah sahabat Nabi yang pada satu hari tidak ada satu kesusahan pun diturunkan padanya. Beliau berasa gelisah, apakah mungkin Allah sudah melupakannya? Segera, kakinya bergerak bertemu kekasih Allah- Rasulullah S.A.W.

"Ya Rasulullah! Hari ini aku berasa amat senang sekali, apakah Allah sudah melupakanku?"

Apa Rasulullah jawab?

Rasulullah tenang menjawab ;

Sesungguhnya kesenangan itu juga adalah satu ujian dariNya.


Ingatlah, orang yang bersyukur atas nikmatNya lebih sedikit beruntung dari orang yang bersabar atas kesusahan yang melanda.

Kenapa? Berapa ramai yang mampu mengingati Allah tatkala senang, berbanding dengan mengingati Allah tatkala susah?

Maka bersyukurlah...

Anggap kesusahan itu satu nikmat dan bersyukurlah... Moga darjatmu meningkat dari yang sebelumnya.

Bersabarlah

"Ustaz, macam mana mahu menghadapi ujian?" Seorang pelajar bertanya.

"Sabar" Ringkas ustaz menjawab.

"Kalau dah tak boleh sabar?"

"Sabar."

"Kalau betul-betul dah tak boleh sabar?"

"Sabar."

Benar, bersabarlah dengan segala ujian kerana akar bagi sabar itu sungguh amat pahit tetapi buahnya manis sekali.

Dan Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah : 249)


Apabila Allah telah berjanji, apakah lagi yang harus diragui? Bersabarlah biar di hadapan kelihatan gelap sahaja yang menanti, bersabarlah biar di hadapan duri-duri sedia mencucuki, bersabarlah biar di hadapan ada onak dan ranjau berduri.

Kerana ;

Allah menyukai orang-orang yang sabar.(Al-Imran : 146)


Jangan marah dengan situasi yang kelam kabut. Jangan marah dengan Allah atas ujian yang melanda. Ingatkah kita pada satu wasiat peninggalan Nabi ;

Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah. (Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari)


Bersabarlah... Dan janganlah marah kerana hakikatnya Allah sedang merancang yang terbaik untukmu.

Sakit Itu Tanda KasihNya

Terkadang... Dalam melangkah di dunia yang fana', kita tersadung dan tersungkur, kita terpesong dari landasan yang benar. Kita leka dari mengingati Allah, kita berjalan dan berjalan sehingga lupa padaNya.

Lalu, Allah yang sedar dan kasih pada kita hadirkan sakit. Hakikatnya Allah amat merindui kita.. Allah rindui rintihan hati kita, Allah rindu pengharapan kita, Allah rindu suara kita yang meminta padanya.

Allah hadirkan sakit, Allah hadirkan kesusahan, Allah amat suka apabila kita menyebut namaNya... Allah tahu bahawa kita manusia punya nafsu dan kita tersungkur seketika kerana tergoda dengan dunia. Atas dasar kasih, Allah mahu tarik kita ke jalan yang benar. Allah mahu kita sedar ;

"Wahai kamu! U-turnlah ke jalan yang benar. Aku menantimu."

Allah hadirkan ujian, Allah tidak mahu lagi kita melihat dengan mata biasa, Allah mahu kita pandang segalanya dengan mata hati.

Mata hati yang setulusnya. Yang bergantung pengharapan hanya pada Allah.

Ya! Ya! Allah rindu padamu.

Maka angkatlah tangan dan berdoa,

Allah rindu dan kasih padamu....

Laili, Allah sungguh-sungguh sayang Laili. Sabar ya sayang....

Moga cepat sembuh dan mampu beribadah dengan lebih baik.

Wallahu'alam.

Read More......

Thursday, October 21, 2010

Anak-Anak..Kembalilah..


"Wa,Dah habis ke barang?" Umi dan abi bertanya. Berpeluh mengangkat barang, membantu ana pindah masuk asrama.

"Ada lagi dalam stor." Umi tenang menjawab, "tak apalah, kita angkat sama-sama"

Ah, Satu rasa menyelinap ke dalam hati. Antara sayu dan terharu. Semuanya bercampur aduk membuatkan ana terpana. Ah, terasa ingin didakap erat tubuh umi dan abi.

Tidak mahu dilepaskan lagi.

Pengorbanan

Umi mengangkat baldi di tangan kanan, bakul di tangan kiri sementara ana terkial-kial mengangkat satu kotak yang penuh berisi buku. Abi menunggu di luar, ingin menyambut huluran barang dari kami.

Ah, basah sudah wajah dan tubuh umi dan abi. Semenjak siang menemani ana. Sejak dari pendaftaran kursus sehinggalah ke pengambilan kunci. Biarpun ada masalah sedikit, abi tetap berkata, "tak apa..sabar, sabar."

Kemarahan yang mahu meresap ke relung hati serta-merta hilang. Kepenatan yang ana lalui sedikit memuhasabah diri ; umi dan abi tentu lebih penat!

Situasi yang ana lalui, bukan sahaja dilalui oleh ana seorang. Apa yang dapat ana lihat, berduyun-duyun ibu bapa yang datang menghantar anak-anak memasuki semester baru. Mengangkat barang-barang yang berat biarpun terkial-kial. Namun senyuman tetap terukir di wajah biar badan letih lesu.

Ah.... Besarnya pengorbanan seorang ibu dan bapa.

Apakah anak-anak masih tidak mampu untuk melihat?

Saban hari, rumah-rumah orang tua semakin penuh terisi. Lupakah sudah si anak akan pengorbanan ibu dan bapa mereka?

Lupakah pada ibu yang mengandungkan 9 bulan, lupakah pada ayah yang bertungkus lumus mencari rezeki demi melihat hidup anaknya terbela.?

Anak vs ibu bapa

"Seorang ibu boleh jaga 10 orang anak tapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu." Abi bersuara di dalam kereta, menyatakan kekesalan pada anak-anak muda yang semakin lupa asal-usulnya.

Dalam diam ana mengiyakan. Betapa si ibu menatang anak-anaknya semenjak kecil. Mengasuh dengan kasih, tapi...Apabila si anak telah dewasa, berjumpa pula dengan kekasih hati... Mindanya terus tertutup untuk memikirkan pengorbanan si ibu semenjak dirinya kecil.

Hati ibu mana yang tidak terluka apabila anak-anaknya menengking-nengking, bercakap kasar, apatah lagi jika perbuatan buruk anaknya menjadi bualan mulut orang.

"Ah,Diorang tu memang suka cakap pasal orang lain! sibuk jaga hal orang! sibuk buat fitnah!" Katanya dengan ego.

Benar, benar sekali.. Dalam Islam kita dilarang menabur fitnah. Tapi harus diingat, Islam juga menyuruh kita agar melindungi diri daripada menjadi bahan fitnah.

Bagaimana?

Contohnya ; Tidak mahu difitnah melakukan bukan-bukan kerana pakaian yang tidak elok, maka pakailah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna.

Jika rasa dengan bermegah-megah dengan kelebihan mampu mendatangkan fitnah, maka merendah dirilah dalam segala hal.

Begitulah... Islam itu adil dan seimbang. Jika tidak mahu difitnah, jangan jadikan diri bahan fitnah.

Apabila orang sudah mula mengata, nilai kembali diri. Apakah mereka yang benar-benar salah, atau diri kita terlibat sama?

Yang mengata juga harus menilai diri. Jangan cepat benar menghukum. Hati manusia sungguh-sungguh tidak dapat ditembusi oleh minda manusia juga. Serahkan jagaannya pada Allah, pemilik seluruh alam..

Kembalilah...

Wahai anak-anak muda sekalian! Kembalilah menuju cintaNya. Kembalilah menggapai redhaNya dengan mendapatkan redha kedua ibu bapamu.

Apa ertinya hidup andai dipenuhi dengan benci dan dendam.
Apa ertinya hidup andai hati tidak tenteram.
Apa ertinya hidup andai diri sendiri tidak dapat memanusiakan diri.

"Jalan elok-elok. Jangan tidur masa drive." Ana memeluk erat umi dan abi. Sungguh ana sayang kalian sangat-sangat kerana Allah semata.

Maafkan segala kesalahan anakmu ini.....

Sahabat, kembalilah dalam dakapan ibu dan bapamu.

Biar hatimu pernah terguris.
Biar jiwamu hancur dihiris.

Selagimana suruhannya tidak melanggar perintah Allah, cubalah untuk taat.

Ingatlah.... Tanpa mereka, siapalah kita...

Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu- bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (al-Ankabut :8)


Wallahu'alam

Read More......

Thursday, October 14, 2010

Berhenti Menyesali Nasib



"Setiap yang berlaku pada diri kita, telah Allah tetapkan di Luh Mahfuz. Perjalanan hidup kita semuanya sudah tercatat di sana. Tapi, kita masih ada peluang untuk mengubahnya. Kita masih boleh berdoa agar diselisihkan daripada perkara yang tidak baik."

Ana meneliti setiap kata yang lahir dari ustaz yang berilmu itu. Benar sekali, Allah telah pun mengingatkan;

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd : 11)


Jangan Menyesali Nasib

"Ah, kenapa nasib aku begini."

"Ah, kenapa aku selalu ditimpa malang."

"Ah, tiada makna lagi aku hidup."

Apabila kita sudah selalu sangat merungut, akan timbul pula satu lagi idea baru iaitu untuk menyalahkan Allah. Minda di luar sedar yang dikuasai oleh emosi semata-mata akan mengeluarkan satu ayat nista, "Di mana Allah untuk membantuku?"

Selepas itu, bimbang pula iman menjadi goyah lantas berfikiran bahawa Allah tidak lagi menyayangi dan terus-terusan sahaja melakukan perkara yang Allah murka. Na'uzubillah.

Jangan, jangan sesekali menyesali nasib. Jika sesuatu yang kita minta itu tidak diperkenankan oleh Allah, berimanlah bahawa Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik lagi.

Ada Hikmahnya

Setiap yang berlaku itu, sungguh-sungguh ada hikmahnya. Yakinlah Allah itu tidak zalim bahkan setiap yang berlaku, walau tampak paling buruk di mata kita, ada terselit secebis cahaya yang bersinar.

“Sungguh pelik urusan orang mukmin, semua perkara baginya baik belaka, semua ini tidak didapati oleh orang lain kecuali orang mukmin: Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya, dan jika dia ditimpa kemudharatan, dia bersabar, maka itu baik baginya.”
(Hadith Riwayat Muslim)


Hayatilah satu kisah..

Seorang pemuda tekun menjaga kudanya. Satu-satunya kuda yang dia punya. Satu hari, atas izinNya, kudanya hilang tanpa dapat dicari. Pemuda itu berasa amat sedih, segera dia pulang dan memberitahu bapanya, "Ayah, kuda saya hilang." Hatinya seolah-olah berkecai seribu, ah! siapa yang bisa mengganti satu-satunya kuda yang dia punya.

Namun, ayah pemuda itu tersenyum, dan tenang menjawab, "Sabarlah nak.. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya" Pemuda itu berasa tertekan, "Hikmah apakah yang dimaksudkan? Satu-satunya kuda kesayanganku hilang, di mana hikmahnya?" Bisik pemuda itu di dalam hati.

Keesokan harinya, kuda pemuda itu pulang, tetapi kali ini, kuda itu membawa sekali beberapa ekor kuda liar yang lain! Pemuda itu berasa amat-amat seronok. "Ayah! Ayah! Lihatlah, kuda saya telah pulang, bahkan dibawanya sekali kuda liar yang lain." Ayah pemuda itu tenang. "Perkara ini tidak semestinya baik bagimu, namun setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya."

Ah, hikmah. balik-balik ayat itu yang dituturnya. Apakah yang cuba disampaikan?? Pemuda itu sedikit bosan. Masakan satu berita yang baik sebegitu mampu melukakan hati?

Si pemuda pun meneruskan aktivitinya iaitu menjaga kuda-kudanya. Satu hari yang hening, sedang dia ralit menjaga kuda-kuda peliharaannya, dia tergelincir, terjatuh lalu kakinya patah.

"Ayah....Mengapa malang sekali nasibku?" Pemuda itu menangis. Dengan kaki yang patah, pergerakannya menjadi terbatas. Ah, terkenang kembali saat berlarian dengan aman. "Sabarlah, setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya." Nasihat yang sama meluncur keluar dari mulut ayahnya. "Nasibku begitu malang sekali ayah, apa yang baik yang kamu lihat?" Pemuda itu sudah bosan. Bosan dengan nasihat ayahnya yang sama. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Di mana buktinya?!

Tidak berapa lama selepas itu, datang sekumpulan orang jahat menyerbu ke kampung tempat tinggal pemuda itu. Semua anak muda diambil untuk dilatih menjadi ahli kumpulan mereka. Ya, semua sekali diambil kecuali seorang pemuda...Benar, pemuda yang patah kaki itu terlepas dari cengkaman penjahat yang durjana.

Nah, di situlah hikmahnya... Dalam tangisan, pemuda itu mengakui kebenaran kata-kata ayahnya.

Sahabat sekalian.... Jika kamu benar-benar memerhati setiap nikmat yang Allah telah tetapkan untuk kamu, kamu pasti tidak mampu lagi untuk berlaku sombong dengan Allah.

Ingatlah, Allah tidak memberi apa yang kamu mahu, sebaliknya Allah memberi apa yang kamu perlu.

Bersyukurlah

"Cepat ni nak kena bid kalau tak terlepas pula." Ana bersemangat menghadap skrin komputer yang memaparkan laman web e-bay.

"Kalau ada rezeki tu adalah. Sabar. Sabar." Abang ana bersuara, sekaligus mengingatkan ana yang sedang dibuai nafsu.

Benar, Setiap rezeki kita telah ditetapkan oleh Allah. Lupakah kita pada kisah Nabi Sulaiman yang mengurung semut di dalam satu bekas, disediakannya makanan yang cukup sehingga tempoh baginda akan datang kembali kepada sang semut? Ya. Apabila baginda datang melawat sang semut, makanan itu masih belum habis. Justeru Nabi Sulaiman bertanya, "Wahai semut, kenapa kau tidak habiskan makanan itu? Bukankah aku telah berjanji bahawa aku akan datang kembali dan memberimu makanan?" Apa jawab sang semut? Tenang dia menjawab ;

"Wahai Nabi Allah! Ketika aku tidak dikurung, aku tidak kisah pasal makananku kerana aku yakin Allah telah mengaturkan rezeki buatku. Tetapi, apabila aku dikurung, walaupun kamu telah berjanji, boleh sahaja kamu terlupa, atau berlaku sesuatu ke atasmu. Maka aku meninggalkannya sedikit untuk bekalan."

Nah! Betapa hebatnya iman sang semut, tiada keyakinannya melainkan kepada Allah semata. Setelah kita berusaha, namun kita tidak mendapat apa yang diimpikan... Yakinlah hakikatnya itu bukan milik kita, bersyukur dan berimanlah bahawa Allah ingin memberi yang lebih baik.

Pasti.

Berhenti Menyesali Nasib

Orang mukmin, tidak pernah gentar dengan nasib yang menimpa diri, kerana dalam hatinya penuh rasa cinta terhadap Allah, maka segala apa yang terjadi padanya, dianggap sebagai sesuatu yang baik.

Jika dia diberi kebaikan, maka itu dianggap sebagai satu ujian melihat sejauh mana dia bersyukur.
Jika dia diberi keburukan, maka itu dianggap sebagai satu ujian untuk melihat sejauh mana dia bersabar.

Bukan mudah untuk bersyukur dan bersabar. Hanya yang benar-benar beriman mampu melepasinya.

Bersyukurlah.... Kerana Allah menyukai hambaNya yang bersyukur.
Bersabarlah..... Kerana Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar.

Moga dengan kesyukuran dan kesabaran, Allah mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka..

Moga rezeki yang diperoleh, bukanlah satu istidraj (kemewahan yang Allah beri supaya manusia lebih jauh dariNYA)

Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .