Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, February 26, 2010

Wahai Muslimahku...


Wanita itu...
Ayu wajahnya,
Manis senyumannya,
Cantik jalannya...

Subhanallah, sungguh diri ini takjub pada ciptaan Ilahi.

Namun...
Dalam ketakjuban itu,
Hatiku berbalut gusar,
Kalbuku diselubungi risau,
Lantas jiwaku bergelora,
Hati basah menangis,
Terluka! Dihiris!


Wanita itu....
Mengapa senyumannya melirik menarik perhatian sang arjuna?
Mengapa auratnya masih belum sempurna ditutup merangsang nafsu sang lelaki?
Mengapa duhai wanita..
Mengapa suruhan Allah masih diingkari,
Mengapa ajakan Nabi dikau perlekehkan?

Duhai bunga,
Dahulu dirimu ditutupi kuntuman nan indah,
Menghalang kelopakmu dari dilihat dan disentuh,
Tapi mengapa setelah kau mekar,
Enak sahaja tangan-tangan itu memetikmu,
Kecantikanmu hanya sementara,
Kerana dikau telah pun gugur menyembah bumi!

Duhai hawa,
Terciptamu daripada rusuk Adam nan bengkok,
Akalmu hanyala senipis bilahan rambut,
Nafsumu pula melebihi akal yang terbatas,
Apalah yang mahu dibanggakan andai perlakuanmu memalukan Agama,
Andai perihal aurat mampu dipandang enteng,
Andai pergaulan masih tidak mahu dibataskan,
Andai mata masih meliar mencari sang arjuna,
Andai diri masih tidak mahu mekar di taman larangan......

Aku semakin bimbang,
Memikirkan generasi akan datang,
Yang akan lahir dari rahim-rahim generasi sekarang
Satu generasi yang tegar melawan perintah Allah!

Muslimah itu....
Melihatnya menenangkan hati,
Memandangnya mengingatkan aku akan Ilahi,
Tutur katanya berhikmah,
Menyedarkan aku akan kekurangan diri,
Pakainnya melambangkan taqwa,
Hatinya diserahkan kepada Ilahi,
Dari sinar matanya ku nampak cinta pada ukhrawi,
Tangisnya mengenangkan dosa yang menggunung tinggi,
Lantas membangunkan aku dari lena yang membuai mimpi,

Aku tertanya-tanya sendirian,
Alangkah indahnya jika semua muslimah begitu,
Hadirnya mengundang tenang,
Ketiadaannya mengundang resah,
Bahkan kelak duduk bersama-sama di Jannah!
Menatap wajah Allah yang amat aku cintai,
Berjumpa Rasulullah yang amat aku rindui....

Duhai Muslimah, mahukah kita bersama??

Terlalu sayang,
Mastura Mohd Yusuf..


Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.(Az-Zukhruf:67)


Baca juga : sahabatku muslimah, wahai ukht muslimah




Read More......

Mari Mengingati Nabi...



'solallah 'ala Muhammad'

Bergema suara para hadirin ke segenap ruang udara, mengalunkan selawat kepada Rasulullah s.a.w... Seorang lelaki yang amat kita cintai, seorang penegak Agama yang agung, seorang yang amat mengambil berat akan umatnya.

Burung-burung terbang berkicauan, seolah-olah berselawat sama.

Awan mendung mengiringi, meneduhkan kami daripada terik mentari.

Subhanallah! Tiada kata yang lebih indah daripada itu...

Sejauh Mana Ingatan Kita


Rasulullah s.a.w mengingati kita setiap saat, setiap detik sepanjang hayatnya, hatta sehingga ke penghujung nafas baginda.. Tapi kita??

Mungkinkah hanya mengingati baginda ketika 12 Rabiul Awal sahaja atau lebih teruk lagi, 12 Rabiul Awal disambut kerana ikut-ikutan atau sebagai budaya sesuatu tempat sahaja.

Kita berarak...Mengalunkan selawat, sejauh mana selawat itu meresap ke dalam hati?

Ada yang bergelak tawa, main handphone sambil selawat... Seolah-olah selawat itu umpama satu lagu yang tiada maknanya.

Sedangkan, selawat itu satu puji-pujian terhadap lelaki yang sangat kita cintai, seorang lelaki yang akan memberi syafaat kepada kita...

Seorang lelaki yang terlalu ingin ana temui.............. :(

"Apa sambut maulidurrasul ni? bid'ah!!"

Ada pula golongan yang sewenang-wenangnya berkata, tanpa mengkaji...
Tidak mengapa jika tidak mahu melakukan, tetapi jangan teralu mudah menghukum mereka yang mahu melakukan.

Ana tidak berdaya lagi berbicara tentang bid'ah membid'ahkan orang ini..

Mari kita hayati satu catatan yang ana ambil dari sini

Mengapa Menaymbut Maulidurrasul?


Jika ada mereka yang bertanyakan mengapa menyambut maulidul rasul. Maka jawapannya begini :

1. Dalil-dalil umum dari Al Quran yang dijadikan hujjah oleh Ulamak yang membenarkan :


فَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِهِۦ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَٱتَّبَعُواْ ٱلنُّورَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ مَعَهُ ۥۤ‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (١٥٧)

Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.

(Surah al A’raf 157)

Di dalam ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang memuliakan RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang beruntung. Merayakan maulid Nabi termasuk dalam rangka memuliakannya.


ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَيۡتُمُ ٱلزَّڪَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرۡتُمُوهُمۡ وَأَقۡرَضۡتُمُ ٱللَّهَ قَرۡضًا حَسَنً۬ا لَّأُڪَفِّرَنَّ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَلَأُدۡخِلَنَّڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ‌ۚ

Bahawa Aku adalah berserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanKu) dan kamu muliakan mereka dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.

(Surah al Ma’idah ayat 12)

Erti “azzartumuhum” ialah “memuliakan mereka” (Tafsir Tabari, juz VI halaman 151) Orang yang memuliakan Nabi akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan menyambut Maulid Nabi adalah dalam rangka memuliakan Nabi.

2. Saya ingin menyemaikan perasaan cinta kepada RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam. Di kala ramai orang yang kini semakin jauh dari perasaan cinta kepada baginda. Bukankah rasuluLlah bersabda begini :


"Belum sempurna iman seseorang dari kamu. kecuali aku lebih dikasihinya berbanding dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya."

(Riwayat Muslim juz 11, hlm 15)

Ahh.. bukankah kita sendiri meraikan ulang tahun kelahiran sendiri ? Ibu dan ayah. Bahkan ada pula golongan yang meraikan kelahiran ‘mujaddid’ mereka sendiri ? Jika kita sendiri pun menyambut hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir diri dan juga orang lain. Mengapa kita tidak menyambut hari kelahiran manusia agung yang pengutusannya ke muka bumi ini memberi rahmat kepada sekalian alam ?

Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam :

“Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri”. Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata : “Tidak, wahai Umar. Sampai aku lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri.” Saidina Umar radiyaLlahu ‘anhu berkata, “Demi Allah subahanahu wa ta’ala, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Baginda sallaLlahu ‘alaihi wasallam berkata, “Sekarang wahai Umar.”

(Hadith Riwayat Bukhari, Sohih Bukhari, vol 6 hlmn 2445)

3. Maulidul Rasul itu tidak pernah dibuat oleh RasuluLLah dan ia bid'ah sesat ?

Ada dalil umum bagaimana RasuluLlah sendiri pernah menyebut mengenai hari-hari kebesaran contohnya :



Bahawasanya Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam datang ke Madinah, maka Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam mendapati di situ orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi bertanya kepada orang Yahudi itu: Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura ?

Jawab mereka : ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Fir’aun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami puasa kerana bersyukur kepada Tuhan. Maka RasuluLlah bersabda : Kami lebih patut menghormati Musa dibanding kamu”

(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Banyak sebenarnya perkara yang tidak pernah dibuat oleh RasuluLlah tetapi dilakukan oleh sahabat dan para salafussoleh melalui ijtihad mereka dalam perkara ibadah contoh yang senaraikan oleh bekas Mufti Iraq iaitu Sheikh Abdul Malik Abdul Rahman as Sa’adi :

1. Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah menyamakan (qiyas) hukum menunaikan haji dan berpuasa untuk seorang yang telah mati dengan hutang terhadap hamba ALlah yang ia wajib tunaikan. (Fath al Bari, jld 4, m.s 64)

Walaupun ini tidak dianggap hukum yang telah ditetapkan oleh qiyas tetapi dengan nas, kerana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam diberi kebenaran untuk mengeluarkan hukum, tetapi ini sebenarnya baginda telah membuka satu peluang atau laluan atau pintu kepada umatnya secara umum akan keharusan menggunakan qiyas. Terutama di dalam persoalan ibadah khusus kerana haji dan puasa adalah di antara bentuk ibadah.

2. Saidina Umar berpendapat bahawa tidak batal puasa seseorang yang berkucup dengan isterinya, kerana mengqiyaskan dengan berkumur-kumur ketika berpuasa. (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al Baihaqi).

3. Dalam menetapkan satu miqad baru iaitu Zatu Irq bagi jemaah Haji atau Umrah yang datang dari sebelah Iraq, Saidina Umar mengqiyaskannya dengan tempat yang setentang dengannya iaitu Qarn al Manazil. Sedangkan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam hanya menetapkan empat tempat sahaja sebagai miqat tetapi Saidina Umar menambah satu lagi iaitu Zatu Irq (menjadi lima). (Lihat al Mughni, jld 3, m.s 3 258 dan Fath al Bari m.s 389)

4. Saidina Uthman mewujudkan azan dua kali (pertama dan kedua) pada hari Jumaat diqiyaskan dengan azan 2 kali pada solat subuh dengan alasan bahawa azan yang pertama pada Solat Subuh disyariatkan pada zaman RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur, maka begitu juga azan yang pertama pada solat Jumaat untuk mengingatkan mereka yang sedang sibuk berniaga di pasar dan yang bekerja (Nailul al Authar : 3/322)

5. Jumhur ulama mengharuskan dua solat sunat yang bersebab pada waktu yang makruh diqiyaskan dengan solat sunat selepas Zohor yang diqadha' oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam selepas Solat Asar ( Lihat al Nawawi, Syarah sahih Muslim: 6/111)

6. Sebilangan besar pada ulama berpendapat, menyapu tangan sampai ke siku ketika tayammum adalah wajib diqiyaskan dengan membasuh kedua tangan ketika berwudhuk. (Lihat Mughni al Muhtaj:1/99 dan al Mughni: 1/204)

7. Bagi ulama yang berpendapat bahawa solat sunat sebelum Solat Jumaat adalah sunat muakkad mengqiyaskan dengan solat sunat sebelum Zohor. Manakala sebilangan ulama lain di antaranya Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpendapat bahaya ia adalah sunat (sunat mutlak bukannya sunat muakkad) mengqiyaskannya dengan solat sunat hari raya yang tidak ada solat sunat (muakkad) sebelum solat tersebut. ((Al Fatawa: 24/194)

8. Sesetengah ulama bermazhab Hanafi mengqiyaskan air yang banyak yang tidak terjejas apabila jatuh najis ke dalamnya dengan air laut dari segi banyaknya. (al Mushili, al Ikhtiyar: 1/14)

9. Para ulama bermazhab Hambali mengharuskan ganti dengan memberi makanan sebagai kaffarat bunuh (yang tidak sengaja), kerana mengqiyaskannya dengan kaffarat zihar dan kaffarat jimak pada siang hari Ramadhan (Al Mughni: 8/97)

10. Menurut Imam Ahmad dalam satu riwayat daripadanya, dibasuh setiap benda yang terkena najis sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air tanah, kerana beliau mengqiyaskannya dengan sesuatu yang terkena najis anjing atau babi (Al Mughni: 1/54-55)

11. Menurut Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, diwajibkan berdiri sekadar yang termampu bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan sempurna ketika solat samada kerana ketakutan atau kerana atap hendak roboh diqiyaskan dengan hukum berdiri seorang yang bongkok. (Al Mughni: 2/144)

12. Imam Malik berpendapat, diharuskan melewatkan solat bagi mereka yang ketiadaan air diqiyaskan dengan seorang perempuan yang kedatangan haid yang diharuskan melewatkan solatnya (al Mughni: 1/250)

13. Imam Abu Hanifah dan Imam asy Syafie berpendapat, sah tayammum bagi seorang yang berhadas besar dengan niat mengangkat hadas kecil diqiyaskan dengan sahnya wudhuk selepas membuang air kecil atau besar (walaupun tanpa niat untuk mengerjakan solat). (Al Mughni: 1/267)

14. Imam Malik membolehkan qadha' solat malam yang terluput, iaitu dikerjakannya selepas terbit fajar sebelum solat Subuh diqiyaskan dengan solat witir. Tetapi ini adalah salah satu pendapat Imam Malik berhubung dengan masalah ini. (al Mughni:2/120)

15. Imam Abu Hanifah, Ath Thauri dan Al Auza'ie membolehkan lewat solat bagi mereka yang tidak menemui air dan tanah sehinggalah menemuinya, kemudian mengqadha'nya diqiyaskan dengan melewatkan puasa bagi wanita yang kedatangan haid (Al Mughni: 1/267)

Ini hanya sebahagian kecil daripada sebilangan besar persoalan ibadah yang dikeluarkan hukumnya berdasarkan kaedah qiyas. Qiyas ini adalah ijtihad dan pandangan. Oleh itu, sesiapa yang melarang menggunakan qiyas di dalam ibadah secara mutlaq, maka pendapatnya tidak dapat diterima sebagaimana yang dinyatakan tadi.

Ibnu Umar radiyaLlahu anhu berpendapat, solat Sunah Dhuha tidak digalakkan di dalam syariat Islam melainkan bagi mereka yang tiba dalam permusafiran. Beliau hanya mengerjakannya ketika tiba di Masjid Quba. Ini diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Mauriq katanya :
"Aku pernah bertanya kepada Ibnu Umar RadiyaLlahu 'anhu." Adakah kamu bersolat Dhuha? Beliau menjawab "Tidak", Aku bertanya lagi "Adakah Umar mengerjakannya?" Beliau menjawab "Tidak". Aku bertanya lagi " Abu Bakar?" Jawabnya: "Tidak" Aku bertanya lagi: "RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam?" Jawabnya "Aku tidak pasti".

Menurut al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani:

"Sebab tawaqqufnya Ibnu Umar pada masalah itu kerana beliau pernah mendengar daripada orang lain bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah mengerjakannya tetapi beliau tidak begitu mempercayai perkara itu daripada seorang yang menyebut kepadanya.".

Maka, beliau menganggap solat Dhuha adalah di antara bid'ah yang baik sepertimana yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada beliau (Ibnu Umar).

Menurut Al A'raj:


“Aku pernah bertanya Ibnu Umar berkenaan Solat Sunah Dhuha? Beliau menjawab: “Ia adalah bid’ah dan sebaik-baik bid’ah”


. (Fath al Bari: 3/52)

Sepertimana yang telah dinyatakan daripada Ibnu Umar tadi, membuktikan bahawa perkara-perkara yang baharu diwujudkan dalam ibadah memang berlaku dan diakui oleh pada sahabat RadiyaLlahu ‘anhum sendiri.

4. Adakah contoh para salafussoleh yang menyambut maulidul Rasul ?

Prof Dr Ali Jum’ah iaitu Mufti Mesir menjawab begini :

Telah menjadi kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke 4 dan ke 5 merayakan peringatan maulid nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam yang agung. Mereka menghidupkan malam maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti memberi makan fakir miskin, membaca al Quran, berzikir, melantunkan puisi-puisi dan puji-pujian tentang rasuluLlah. Hal ini ditegaskan oleh sebilangan ulama seperti : Al Hafizh Ibnu Jauzi, Al Hafizh Ibnu Katsir, Al Hafizh Ibnu Dihyah, al Hafizh Al Hebatusi, Al Hafizh Ibnu Hajar dan Penutup Huffazh (para penghafaz hadith dalam jumlah yang sangat banyak) Jalaluddin Al Suyuthi.


5. Ulamak lain yang membenarkan ?

Dalam kitab al Madkhal, Ibnu Hajj menjelaskan dengan panjang lebar tentang keutamaan yang berkaitan dengan perayaan ini dan dia mengemukakan huraian penuh manfaat yang membuat lapang hati orang yang beriman.

Imam Jalaluddin al Suyuthi dalam bukunya ‘Husnul Maqshid fi Amalil Maulid’ memberikan penjelasan tentang Maulid Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam :

Menurutku, bahawa hukum dasar kegiatan maulid yang berupa berkumpulnya orang-orang yang banyak, membaca beberapa ayat-ayat al Quran, menyampaikan khabar-khabar yang diriwayatkan tentang awal perjalanan hidup Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam dan tanda-tanda kebesaran yang terjadi pada waktu kelahiran Baginda, kemudian dihidangkan makanan untuk mereka dan emreka pun makan bersama, lalu mereka pun berangkat pulang, tanpa ada tambahan kegiatan lain. Adalah termasuk bid’ah hasanah dan diberikan pahala bagi orang yang melakukannya. Imam para hafizh Abu Fadhl Ibnu Hajar telah menjelaskan dasar hukumnya sunnah.


Imam Abu Syamah berkata :

Suatu hal yang baik ialah apa yang dibuat pada tiap-tiap tahun bersetuju dengan hari maulud Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam memberi sedekah, membuat kebajikan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam membesarkan beliau, dan syukur kepada Tuhan atas kurniaanNya, yang telah mengirim seorang Rasul yang dirasulkan untuk kebahagiaan seluruh makhluk

(I’anatut Tholibin, juzu’ III, halaman 364) – Imam Abu Syamah adalah seorang ulamak besar Mazhab Syafie dan merupakan guru kepada Imam An Nawawi.

Ya Allah jadikanlah kami senantiasa menyintai Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam

Sumber rujukan :

1. Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

2. K.H Sirajuddin Abbas, 40 Masalah Agama, Pustaka Aman Press, Kelantan, Malaysia

3. As Shiekh al Hafiz Abu al Fadl AbduLlah al Siddiq al Ghumari, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, Cetakan 2007, Middle East Global (M) Sdn. Bhd, Selangor.

4. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

Wallahu'alam

Read More......

Friday, February 19, 2010

Gaza Al-Abiyah!!


Gaza tidak akan jatuh,
Kerana rakyatnya yang berjiwa tinggi,
Kerana Allah sentiasa bersama....


"Ibu.. kenapa mereka ingin merampas hak kita?"

Mata si ibu bergenang.

Ana tidak dapat menahan sebak menonton setiap adegan dalam animasi GAZA AL-ABIYAH (Gaza yang enggan tunduk).

Begitu juga dengan adegan bagaimana seorang bapa mengambil sedikit tanah dan meletakkannya ke atas tangan si anak sambil berkata ;

"Ini tanah tumpah darah kita. Andai ayah mati, kau mesti teruskan perjuangan ini... BERSABARLAH! PENJAJAHAN INI PASTI BERAKHIR"

Apa Khabar Palestin?

Sudah lama berita mengenai Palestin tidak menjengah ke telinga, begitu juga di dada-dada akhbar, tiada langsung walau sedikit coretan mengenai Palestin.

Apakah Palestin sudah semakin aman? Atau mungkin Palestin sudah mencapai kemerdekaan?

Tidak! Bahkan anak-anak kecil semakin galak berlari ke sana-sini mengekori si ibu mencari tempat perlindungan.

Tidak! Bahkan semakin ramai para syuhada' yang gugur ke bumi.

Tidak! Bahkan semakin ramai anak kecil bergelar yatim-piatu dan semakin ramai para wanita yang bergelar janda.

Apakah kita sudah tidak punya hati untuk memahami??

Ketika ana berada di kampung, senyuman adik-adik saudara ana membuatkan ana kembali terfikir....


Anak palestin

Wahai anak-anak Palestin, di manakah senyumanmu menghilang? Di sebalik peluru-peluru yang tidak bermata,atau telah pergi bersama ibu dan ayahmu ke langit sana...?

"Nak...bangun nak..serangan udara"

Si ibu mengejutkan anaknya yang sedang lena tidur berbantalkan lengan di Palestin.

Sejenak, ana teringat bagaimana berakhlaknya Rasulullah berperang. Orang awam tidak dikacau, bahkan dipesan.. Sesiapa yang duduk di rumah masing-masing tidak akan diganggu.

Tetapi...Zionis laknatullah sewenang-wenangnya melepaskan bom-bom mereka di kampung-kampung..

Membunuh mereka yang tidak berdosa!
Menghancurkan rumah tempat mereka berlindung!
Meranapkan sekolah tempat mereka belajar!

Di mana kita, wahai umat Islam... Dalam memperingati saudara kita di sana??

Sempurnakah Imanmu?


Masihkah kita ingat pada satu sabda Rasululullah s.a.w (mafhumnya); Tidak sempurna iman seseorang itu selagimana dia tidak mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.

Ayuh kita kembali muhasabah diri.... Sudah sempurnakah iman kita;

Tatkala isu boikot boleh dipandang remeh.
Tatkala tiada iringan doa buat saudara kita di Palestin.
Tatkala hati tidak teringat mereka di sana.

Kita tegar membeli KFC, Mc Donald, Maggi, Johnson&Johnson dan pelbagai lagi barangan yang perlu diboikot, sedangkan saudara kita di sana, merintih.. merayu minta dibela. Fatwa Dr. Yusuf Qardhawi(ulama' terkemuka): ” 1 Rial (Ringgit) Untuk Produk AS, Sama Dengan Satu Peluru Untuk Tubuh Saudaramu di Palestine”


Peluru yang menembusi badan bayi ini adalah hasil sumbangan kita.

Penat sahaja anak-anak kecil membaling batu ke arah kereta kebal zionis, kita pula menyumbang duit untuk memperbaiki kerosakan kereta kebal itu semula.


Adik-adik, maafkan kami!

Kejam!!

"Alah.. kalau enti nak boikot semua, tak perlulah pakai laptop.. intel tu israel"

Pernahkah kita dengar istilah 'darurat'?

Andai sesuatu barangan boikot itu,jika tidak dipakai boleh mendatangkan musibah kepada diri kita, maka pakailah dengan bersederhana.

Sama juga halnya; jika kita tidak punya apa-apa lagi makanan yang boleh dimakan, yang tinggal hanyalah khinzir, maka makanlah untuk mengalas perut sahaja.

Maka.... Jika tidak makan KFC boleh memudaratkan, jika tidak minum milo boleh menyebabkan kematian, silakan..belilah dan gunalah.

Selagi boleh jumpa dengan inisiatif lain, berjihadlah... Boikot barangan israel. Tidak mahukah kita berjihad bersama saudara kita di sana??

Apakah nanti jawapan yang bakal diberi, ketika di akhirat nanti tatkala rakyat Palestin bangun bersuara ; "Ketika kami ditimpa musibah, saudara kami tidak membantu."

Ingatlah sahabat, dunia ini hanya sementara... Di akhirat sana adalah tempat pengadilan yang tiada selindungnya.

Mari....kita rasai keperitan Palestin.
Mari....kita mujahadah demi kegemilangan Islam.
Mari....kita bantu saudara kita

Bersabarlah melawan nafsu untuk membeli barangan israel, jika rakyat Palestin mampu bersabar bertahun-tahun lamanya. Mengapa kita tidak?

Bukankah Allah sentiasa bersama dengan mereka yang sabar??

Hanya Takdir

Tiada lagi yang bertanya
Tiada lagi yang peduli
Malam dan siang serupa
Tiada bulan tiada mentari

Gelap gelita di sini
Sama gelitanya hati
Hidup hari ke sehari
Esok yang indah umpama mimpi

Bebunga yang baru berputik
Berguguran di setiap detik
Di mana tanda setia saudara
Di himpit derita tiada siapa
Sedia membela
ohh ohhhh.

Biar terbatas langkah
Tiada yang menyebelahi
Demi satu amanah
Semangat membara berapi

Biar tiap ruang darah mengalir
Perjuangan tak berakhir
Bukan dia bukan kuasa
Penentu segala hanyalah takdir

Wallahu'alam


Sebahagian daripada produk israel


Terkadang hati sedih,
Melihat manusia yang punya hati,
Tetapi tidak menggunakannya......

Read More......

Sunday, February 14, 2010

Sahabat... Allah itu baik bukan?


"Abah, dompet wawa hilang."

Ana bersuara. Meletakkan beg di satu sudut dan mula mencari objek empat segi berwarna hitam itu. Stesyen bas yang kian sesak ana biarkan.

"Cari perlahan-lahan" Abah menasihati. Ana masih mencari, tapi entah mengapa ana merasa terlalu tenang. Bagaikan tiada apa-apa yang berlaku.

Ana percaya, Allah itu baik...

Mencari Bas


Setelah puas mencari di setiap sudut beg, ana memutuskan untuk pergi semula ke bas yang telah membawa ana ke Johor Bahru. Abah menyertai.

Gelap malam yang pekat agak menyukarkan pergerakan, namun Alhamdulillah... Kami menemui bas tersebut.

"Maaf encik... ada tak dompet tertinggal?" Abah bersuara mendahului.

"Ha.. Ada.. Ada.. Kami tunggu kat sini, saya nak telefon, tak tahu. Maaflah ya saya buka dompet ni, nak tengok ada apa-apa maklumat tak." Pemandu bas membalas.

"Tak apa.. Terima kasih banyak ya."

Ana bersuara lega. Tiada satu apa pun yang hilang dari dompet ana.

Ana kembali muhasabah diri...

Peristiwa Dompet Hilang.. Mari Muhasabah


Ini bukan kali pertama dompet ana hilang, bahkan kali kedua. Kali pertama hilang ketika ana di kuis dahulu. (rujuk sini)

Namun. kedua-dua kalinya... Allah membantu... Bahkan ana tiada hilang walau satu sen pun. Subhanallah, tiba-tiba hati ana diruntun sebak... Setelah banyak dosa dilakukan, setelah banyak janji yang dimungkiri.. Allah masih mahu bagi nikmat, Allah masih mahu bantu... Allah, moga ini bukan istidraj..

Benar, ketika pertama kali dahulu.. Ana menangis seteruk-teruknya.. Jiwa kalut dan tidak tenteram.. Tetapi untuk kali kedua ini, ana sudah mampu bertenang kerana ana yakin Allah bersama, sahabat bagaimana pula?

Sahabat...

Mari kita muhasabah diri.. Selama ini.. berapa banyakkah nikmat Allah yang kita dustai? Allah bagi mata... Kita lihat maksiat.. Allah bagi lidah.. Kita guna untuk mencerca.. Allah bagi telinga.. Kita guna untuk perkara sia-sia.. Allah bagi kaki.. Kita guna untuk ke pesta dan konsert. Bahkan, Allah bagi duit... Kita lokek untuk bersedekah.

Sahabat... Selama ini, berapa kalikah kita merungut?? Seperti ana ketika pertama kali dompet hilang dahulu. Ana menangis,, tidak nampak akan hikmahnya... Dan kini baru ana sedar.. ujian-Nya dahulu adalah supaya ana lebih tabah sekarang, ujian-Nya dahulu mampu membuat ana tenang ketika dompet hilang kali kedua. Di tengah-tengah orang ramai.

Sahabat, Allah sangat baik kan?

"Selama ini aku buat baik pada Allah, tapi Allah selalu membuat hidup aku susah"

Sahabat, jangan berbicara demikian. Allah sayang kamu, lantaran ujian itu diturunkan agar kamu lebih tabah pada masa depan. Allah sayang kamu, lantaran itu Allah merindui suaramu mengadu pada-Nya. Allah sayang kamu, sungguh-sungguh menyayangi kamu.

Sahabat... Masihkah kamu tidak mahu percaya?

Ketika Nabi Muhammad s.a.w diturunkan banyak ujian.. Adakah itu tanda Allah benci padanya atau Allah terlalu mencintai-Nya?

"Ah, itu nabi"

Sahabat... lupakah kita pada sahabat nabi yang merintih kerana ujian tidak diturunkan. kerana bimbang Allah telah melupakannya??

Dunia ini penuh cabaran


Sahabat... Ana jua sedang diuji-Nya.. terkadang hati ana merintih, terkadang iman ana memberontak.. Tapi sahabat, ingatlah setiap titis air mata kita yang jatuh kerana Allah akan dihitung nanti.

Sahabat... ana amat teringin untuk bersamamu... Agar kita mampu untuk saling menguatkan, agar fikrah Islam kembali dipegang... Kerana ana jua hanyalah manusia biasa, yang sering terjatuh dan mengharapkan tangan-tangan yang mampu menarik ana untuk kembali berdiri, berjalan dan berlari...

Tapi.. Di mana dirimu sahabat? Mari kita berganding tangan.

Kerana

Allah itu Sangat Baik!


Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (Qaff : 16)


Ya Allah, aku memohon kepada-Mu untuk mencintai-Mu, mencintai siapa saja yang mencintai-Mu, serta mencintai perbuatan yang menghantarkan aku untuk mencintai-Mu.

Ameen!

Wallahu'alam :)

Read More......

Tuesday, February 9, 2010

Aku Rindu......


Allah...
Saat ini aku merasa lemah.. Tidak berdaya...
Mengapa ya Allah, murah benar air mata ini..
Menitik satu persatu bagaikan tiada harganya..

Ya Rabb...
Aku kini meniti titian kaca,
Sakit! Berdarah! Pedih!
Hati menangis minta dikembalikan kepada fitrahnya,
Iman memberontak minta dikasihani...

Allah...Allah...
Saat ini, pada ketika ini,
Adakah Engkau memandangku dengan penuh rasa marah?
Adakah Engkau mengaku bahawa aku ini hamba-Mu?,
Layakkah aku ya Allah...
Layakkah aku bergelar hamba-Mu andai...
Dosa masih ku lakukan,
Janji padaMu sering kuiingkari,
Kelalaian sering memanjai diri,
Dunia mengaburi hati nurani,
Bahkan lupa pada peringatan yang diberi!

Ya Rahman..
Aku ini hina!
Aku ini lemah!
Terkadang cemburu melihat burung yang riang berkicauan,
Juga pada semut yang mati dipijak,
Kerana hidupnya mereka bebas,
Matinya mereka tiada berhisab...

Aku takut ya Allah... Aku takut...
Pada hari tayangan kehidupanku di dunia,
Aku takut ya Allah...
Pada tayangan dosa-dosaku...
Aku gentar ya Allah..
Pada tayangan janji-janji yang ku mungkiri,
Bahkan aku malu ya Allah,
Pada Rasulullah yang amat ku cintai..........

Ya Rahim...
Aku rindu aku yang dahulu...
Yang tidurnya bertemankan Al-Quran,
Yang hatinya tidak putus mengingatiMu,
Yang ruhnya sentiasa mengabdikan diri kepadaMu,
Aku rindu ya Allah...
Pada kaki yang melangkah ke majlis-majlis ilmu,
Aku rindu ya Allah,
Pada hati yang amat sensitif pada kemungkaran-Mu,
Aku benar-benar rindu ya Allah,
Pada rasa malu yang menjadi sebahagian daripada IMAN!!

Ya Muhaimin...
Keingkaran kian berleluasa,
Ibarat barah yang merebak di dalam diri,
Memakan satu persatu organ dalaman,
Hingga akhirnya tiada yang tinggal..
Jagalah kami ya Allah..
Jagalah kami........

Ya Rasulullah....
Aku benar-benar rindu padamu,
Aku benar-benar cinta dirimu,
Layakkah aku untuk bertemu denganmu nanti?
Atau engkau akan palingkan muka,
Jijik melihatku.....

Ya Rasulullah...
Adakah engkau sedang menangis duhai kekasih Allah,
Melihat kami yang kian lalai ini?
Aku rindu ya Rasulullah pada air mata di munajat pada sepertiga malam terakhirNya...

Allah...
Kurniakan aku hati yang baru,
Yang lembut basah mengingatiMu semata.......


Read More......

Sunday, February 7, 2010

Di Mana Khalifah-Mu?


Langit kelam,
Awan menyepi,
Bumi menangis,
DI MANAKAH KHALIFAH MU YA ALLAH??


Sahabat...
Lihatlah, awan yang berarak,
Angin yang bertiup,
Pokok yang melambai...
Semuanya adalah kurniaan Allah..

Setiap detik, setiap saat mereka berzikir,
Memuji-muji Allah Yang Agong
Tapi kita?

Di mana kita sahabat...
Tatkala daun-daun berzikir memuji Allah,
Tatkala datang nikmat bayu menghembus menyapa pipi,
Tatkala awan berarak mematuhi perintah Allah...

Kita masih di sana,
Berteleku.. Bergelak tawa... Bersenda gurau,
Seolah-olah kita pasti esok kan menjelma lagi,
Seolah-olah kita tahu, bila ajal kan bertamu...

Hari-hari kita dipenuhi maksiat,
Sudahkah kita bertaubat?
Setiap jam kita dipenuhi dengan kelalaian,
Adakah kita sedar?
Setiap minit kita dipenuhi dengan kealpaan,
Adakah kita mengetahui?
Setiap saat kita dipenuhi dengan duniawi,
Adakah kita menyesali?

Hari ini, saat ini, ketika ini...
Sudahkah kita memuhasabah diri?
Merenung kembali jauh ke sudut hati..
Siapakah diriku di sisi Ilahi??

Lupakah kita sahabat,
Pada amanah yang tergalas di bahu?
Bergelar seorang khalifah tidak semudah yang disangka,
Lantaran itu, gunung pun menolak kerana takutkan Allah..
Tetapi sahabatku,
Mari kita mengingat kembali,
Pada tugas yang diamanahkan Ilahi,
PerintahNya, LaranganNya,
Adakah kita mematuhi??
Bumi ini,
Adakah ditadbir sesuka hati?

Kita bangga mendabik dada,
Bergelar seorang graduan berjaya,
Kita bangga mendabik dada,
Pada rumah dan kereta mewah,
Kita bangga mendabik dada,
Bergelar seorang pelajar terbaik...

Tetapi kita lupa,
Pada satu kejayaan yang hakiki,
Satu kejayaan di sisi Ilahi,
Mendapat keputusan cemerlang mengikut piawaian Ilahi,
Dan menerima buku amalan bukan dengan tangan kiri..

Jadi, apakah yang kamu banggakan dengan dunia,
Yang akan hancur seluruhnya?
Kejarlah dunia berpada-pada,
Kerana akhirat lebih utama.

Khalifah! Khalifah! Khalifah!
Ayuh bangkit berpimpin tangan,
Melangkah maju ke hadapan,
Menggenggam amanah jangan dilepas,
Di akhirat nanti pasti berbalas.


Wallahu'alam

Read More......

Thursday, February 4, 2010

Jagalah Diri


Wanita hiasan dunia..
Seindah hiasan adalah wanita solehah


Tangan mencapai broadband. Menyambungkannya ke laptop dan dalam beberapa minit, talian internet boleh diakses. Ana memandang laptop secara hambar. Menekan butang mozilla firefox untuk melayari laman-laman sesawang yang mentarbiyyah.

Tapi malang, bukan ketenangan yang ditemui. Malah kegusaran.

Benar, rangkaian internet tanpa sempadan boleh mendatangkan kebaikan, namun banyaknya kini adalah musibah!

Jaga Dirimu


Berkerut-kerut kening ana melihat foto-foto wanita dalam pelbagai gaya, malah ada yang di 'zoom' sehingga boleh lihat setiap jerawat yang ada. Apakah motifnya? Mengapa begini jadinya duhai muslimah yang amat ana kasihi??

Ana tidak tahu apakah motif wujudnya gambar-gambar tersebut. Facebook, friendster, myspace dan pelbagai lagi website yang melihatkan wanita dalam pelbagai gaya, malah kebanyakkannya adalah bertudung!
Sedih bercampur bimbang.....

Mungkin kita lupa bahawa ada lelaki yang akan menatap foto-foto itu. Bagi yang beriman, mungkin akan menundukkan pandangan dan beristighfar. Tetapi bagi yang kurang imannya, mungkin akan terus menatap dan melahirkan nafsu syahwat pula di dalam diri.. Seterusnya mengambil langkah untuk mendekati.

Teringat ana pada satu hadith;



Takutlah (berhati-hatilah) kalian dengan dunia dan takutlah kalian terhadap fitnah wanita, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa bani Israil adalah dalam urusan wanita.’ [Hadis Riwayat Muslim]


Wanita itu mampu menjadi sehebat-hebat fitnah. Justeru, Islam telah meletakkan garis-garis panduan dalam segala perbuatan yang ingin kita lakukan. Tujuannya apa? Semuanya adalah untuk kebaikan kita. Allah sayang pada kita, tetapi mengapa kita sendiri yang sering menzalimi diri??

Wahai wanita.. Tidakkah kamu sayang pada kaum Adam, yang diutuskan sebagai pentadbir.. Tidak mahukah kamu menolong kaum Adam dalam menegakkan kalimah LAILAHAILALLAH di muka bumi ini? Maka duhai wanita.... Jagalah dirimu, agar diri kaum Adam juga terjaga, kerana itulah buktinya sayang sesama saudara.

Aurat oh Aurat


Ana tidak tahu, ini kali ke berapa ana menulis tentang aurat. Tetapi ana tidak betah untuk tidak menulis tentangnya. Walaupun berkali-kali, kerana..ana bimbang masih ada yang tidak jelas akan isu ini..

Jumhur ulama' mengatakan bahawa aurat wanita adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan... Maka adalah wajib wanita menutupi seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan..

Apakah pula dimaksudkan dengan menutup aurat? Tudung haruslah dilabuhkan sehingga menutupi dada agar tidak mengganggu perasaan kaum lelaki yang melihat 'perhiasan' yang ada... Baju pula digunakan untuk MENUTUP bukan MEMBALUT tubuh.

Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya (An-Nur : 31)


Justeru, lewat kebelakangan ini... pelbagai maksiat dan jenayah semakin menjadi-jadi, maka tidak keterlaluan andai ana mengatakan bahawa wanita yang tidak mahu menjaga diri itu adalah puncanya!

Simpan.. Simpan kecantikan yang ada itu hanya untuk suamimu yang sah! Jangan kecewakan hati suami dengan memberi yang 'sisa-sisa' sahaja. Kecantikanmu, wajahmu, gayamu, malah auratmu telah pun di lihat umum. Maka apa yang tinggal untuk suami tercinta?

"Alah..perempuan yang menutup aurat pun dirogol juga!"

Baiklah, mari kita ambil contoh begini.... Pada suatu hari kamu berjalan, dan melalui restoran AYAMAS... Bau daripada ayam itu benar-benar menyelerakan, fikiran mula membayangkan keenakan ayam tersebut. Tangan diseluk ke dalam poket. Aduh.. Duit tidak cukup untuk membeli AYAMAS. Kamu pun berjalan lagi... Di fikiran masih terbayang-bayang akan keenakan ayam itu dan kamu melalui pula sebuah restoran yang terkenal dengan ayamnya, harganya sedikit murah daripada AYAMAS. Tetapi duit masih tidak mencukupi, dan akhirnya kamu tiba ke kawasan perumahan kamu. Di tepi jalan ada sebuah gerai,kamu lihat ada ayam. Kamu lihat duit, cukup. Dan kamu pun beli ayam tersebut... Cukuplah, buat pengganti AYAMAS tadi!

Begitulah diibaratkan. Mungkin juga disebabkan kamu yang tidak menutup aurat dengan sempurna, menggiurkan lelaki yang memandang, tapi insan lain yang menjadi mangsa kerana kamu pada ketika itu di khalayak ramai, lelaki itu tidak berani mendekati...

Mungkin juga kerana kamu yang meletakkan gambar-gambar pelbagai aksi menyebabkan lelaki terliur dan kemudiannya 'menyambar' sesiapa sahaja yang berdekatan kerana orang yang marah gagal mengawal diri... Begitu juga orang yang dibelenggu nafsu.

Kerana kamu insan lain mendapat dosa.
Kerana kamu insan lain menjadi mangsa

Tiadakah rasa bersalah??

Ayuh sayangku wanita.....
Jagalah dirimu..... Hiasi peribadimu dengan peribadi Rasulullah....

Wallahu'alam

Mencarimu mukminah,
Bagai mencari permata di sebalik ribuan kaca...


Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .