Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, June 25, 2010

Bersungguhkah Kita Terhadap Allah?


“Subhanallah, walhamdulillah..” Imam itu khusyuk berzikir.

Mata ana tidak semena-mena terpandang ke bawah, satu sudut di tempat muslimin. Bukan kerana tertarik dengan sesiapa, tetapi ana tertarik kepada satu insiden.

Satu insiden yang benar-benar meruntun jiwa, juga mampu mengingatkan mereka yang hatinya dekat kepada Allah..

Bersungguh


Seorang mahasiswa yang tidak mampu berjalan, dan ana menjangka dia salah seorang yang menaiki kerusi roda, berusaha masuk ke masjid.

Dia tidak mampu bangun dan berjalan, tapi masih berusaha.

Saat dirinya tiba di sof solat lelaki, imam telah pun memberi salam. Ana tidak pasti apakah dirinya kecewa, tapi dia masih mencuba untuk bangun. Matanya melihat seorang muslimin yang menjadi makmum masbuk sebentar tadi.

Dia bangkit, berjalan menggunakan lututnya, duduk sebentar. Bangun lagi, tangannya ditinggikan, berusaha sedaya mungkin menyentuh bahu muslimin yang dilihatnya sebentar tadi sebagai tanda ingin berjemaah.

Kemudian, dia duduk kembali, memulakan solatnya.

Entah kenapa, ana benar-benar tersentuh. Ditambah lagi dengan alunan zikir imam yang mendayu. Tidak semena-mena bertakung air jernih di kelopak mata ana.

Ya Allah... Betapa ana malu kepada hambaMu yang bersungguh itu.

Betapa seorang ‘dia’ bersungguh-sungguh dalam menunaikan solat. Ana pasti dia sedar ganjaran untuk solat berjemaah adalah berganda-ganda nilainya berbanding solat bersendirian.

Kita Bagaimana


“Allah hu Akbar... Allah hu Akbar!” Suara bilal lantang kedengaran dari corong speaker masjid.

Tapi kita masih lagi leka berbual, leka menghadap komputer, leka dengan tidur yang semuanya bisa menggelapkan hati. Ya, melengah-lengahkan solat merupakan satu gambaran bahawa di dalam hati tidak ada lagi rasa rindu untuk bertemu Ilahi.

Mengapa begitu?

Seorang suami yang berjauhan dengan isterinya dan hanya dapat berjumpa seminggu sekali sahaja pasti akan mekar perasaan rindu di dalam hati. Tak sabar ingin berjumpa, Bila berjumpa dan tiba saat untuk berjauhan kembali, pasti merasa sedih dan tidak sabar menghitung hari untuk bertemu lagi dengan isterinya.

“Saya sayang Allah.”
“Saya cinta Allah.”
“Allah adalah segala-galanya bagi saya.”
“Cinta Allah dahulu, baru datang cinta kepada manusia.”

Nah! Mulut-mulut kita enak berbicara akan cinta yang Agung itu. Tapi sayang kerana hati dan perbuatan tidak membenarkan lisan yang berbicara.

Mari muhasabah sebentar..

Benarkah kita cinta Allah andai solat mampu dilengah-lengahkan?
Benarkah Allah adalah segala-galanya bila waktu solat tidak langsung dinanti?
Benarkah kita sayang Allah jika tidak mahu melakukan ibadat yang terbaik demi-Nya semata?

Ana bertambah sedih, apabila tibanya hari Jumaat dan melihat para pemuda yang seharusnya duduk di dalam masjid hanya berkeliaran di tangga-tangga masjid, duduk secara berkumpulan dan bersembang entah apa, tanpa menghiraukan imam yang sedang memberi khutbah. Imam yang memberi ilmu itu ibarat seorang guru, sedangkan imam syafie yang tinggi ilmunya masih sangat menghormati semua gurunya, siapa pula kita yang tegar berlaku kurang ajar terhadap insan mulia itu??

Ana bertambah sedih apabila melihat solat berjemaah tidak lagi menjadi satu kemanisan bahkan menjadi satu perkara yang dianggap menyusahkan. Secara saintifiknya, solat berjemaah mampu menstabilkan kembali ion di dalam badan kerana ion-ion mereka yang berjemaah akan keluar sewaktu berdiri rapat di dalam sof, dan menstabilkan kembali ion-ion yang terlebih dan terkurang.

Hebat bukan Allah? Bukan sahaja pahala diberi, malah kebaikan yang lain juga turut mengiringi.

Benar bukan.. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya, bahkan hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka sendiri.


Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran? (Al-Qamar : 22)


Mari Menjadi Hamba


Mungkin kita terlupa pada satu hakikat yang nyata. Kita ini pada satu ketika dahulu dicipta dari setitis air yang hina, yang bila terkena pakaian kita basuh.

Mungkin kita lupa, pada satu ketika dahulu, kita ini dilahirkan suci tanpa dosa, semakin meningkat dewasa, semakin mata kita terbuka melihat keindahan dunia yang menipu, kita semakin terlupa siapa kita, siapa diri kita di hadapan Allah Yang Esa!
Kita terlupa... Bila susah, kita cari Allah, bila kita senang... Kita kembali kepada kemaksiatan. Kemudian Allah tegur dengan sedikit kesusahan, kita mengamuk dan menyalahkan Allah.

Sedangkan, Allah menegur tanda sayang, supaya kita U-turn ke jalan yang benar, satu jalan yang diredhaiNya.

Tapi sahabat.. sombongnya kita. Angkuhnya kita.. Kita merasa kita hebat, kita rasa kita cukup bagus tanpa sedar semuanya dari Allah. Matamu, mulutmu, telingamu, hartamu.. Semuanya dari Allah!

Kita ini hanyalah seorang hamba. Seorang hamba harus sentiasa mencari redha tuanNya. Tapi kita sering alpa, kita sering terlupa. Tapi baiknya Allah yang tidak putus-putus memberikan nikmat kepada kita.

Marilah menjadi hamba yang kenal penciptanya.. Marilah memiliki hati yang cinta kepada tuhannya. Marilah memiliki mata yang sentiasa basah mengenangkan dosa....

Bersungguhkah Kita Terhadap Allah


Lelaki berkerusi roda itu masih menggerakkan kerusi rodanya, menuju ke arah masjid, tanpa menghiraukan setiap mata memandangnya.

Dia masih tersenyum, satu senyuman yang redha dengan ujian...

Mengingatkan ana pada kelemahan diri, yang sering merungut ditimpa musibah.

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 71)


Wallahu'alam


Read More......

Saturday, June 19, 2010

Bilakah Giliran Kita?


“Perhatian kepada semua mahasiswa, Jenazah Almarhum dijangka tiba di Masjid Al-Azhar Kuis sebelum atau selepas solat zohor.”

Pengumuman pada pagi itu menyentap tangkai jantung ana. Baru sahaja kelmarin pengumuman dibuat, juga asbab pemergian seorang mahasiswa yang masih lagi muda umurnya.

Sungguh, kaki dirasakan longlai. Jantung berdegup pada kelajuan yang luar biasa. Tubuh seolah-olah menggeletar, puas dipujuk hati agar berlagak biasa, tapi minda seolah-olah tidak berhenti berfikir ;

Bila pula giliranku?, pada waktu itu apakah aku akan pergi dalam keadaan diredhai atau dimurkai?


Terkenang semula kata-kata ustaz yang mengajar akan azab kubur. Terfikir-fikir keadaan di padang mahsyar kelak. Terbayang-bayang bagaimana kaki ini mahu melintasi titian sirat. Terasa, adakah Rasulullah mahu mensyawaatkan?

Allah.. Allah.. Allah..

Giliran

“Ala.. masa muda ni lah kita enjoy. Nanti, esok-esok dah tua kita taubat lah!” Kata anak muda itu dengan angkuh. Mendabik dada sambil tangan erat merangkul tubuh yang haram baginya.

Yakin sungguh kita pada hari tua yang kononnya akan tiba. Siapa yang menjanjikan usiamu akan menjejak tua? Siapa yang mengatakan bahawa hari esok, matamu pasti akan terbuka lagi? Siapa yang memastikan bahawa esok, nafasmu akan berhembus lagi?

Siapa?

Mari kita hayati satu kisah... Kisah seorang manusia yang luhur budi pekertinya. Dia.. seorang manusia yang sebelum memeluk Islam amat keras hatinya, tetapi setelah mengenal Islam, cintanya kepada Allah dan Rasul tidak berbelah bahagi.

Dia.. adalah Khalifah Umar Al-Khatab.

Pada suatu malam, Umar berjalan bersama pembantunya ke sekeliling kawasan pemerintahannya untuk melihat adakah lagi rakyatnya yang hidup menderita. Tiba-tiba, beliau terdengar tangisan seorang kanak-kanak dari satu rumah,

“Ibu.. saya lapar.. saya lapar...”

Umar pun menjenguk. Kelihatan seorang ibu yang sedang menggoreng batu untuk ‘memperdaya’ anaknya sehingga mereka tertidur lantaran tidak punya wang untuk membeli makanan. Umar berasa bersalah kerana amanah sebagai seorang khalifah tidak mampu dilaksanakan sebaiknya. Lantas, beliau terus ke tempat penyimpanan gandum, lantas memasukkan gandum ke dalam guni. Pembantunya hairan dan bertanya, “Wahai Umar, apa yang mahu kau perbuat dengan gandum ini?”

Umar menjawab, “Aku mahu memberikannya kepada wanita tadi.”

“Tetapi tidak sekarang bukan? Kau masih punya esok hari.” Pembantunya membalas.

Umar berang dan bertegas, “Apakah kau dapat menjamin bahawa Allah tidak akan menyabut nyawaku pada malam ini??”

Sahabat, masihkah tidak bergetar di dalam hati.. Masihkah tidak tersedar lagi diri kita.. Di sekeliling kita, banyak sungguh petunjuk yang mampu dijadikan bukti.
Pesakit di hospital bukan semuanya insan yang berusia. Jenazah yang dihantar ke kuburan bukan semuanya bertongkat belaka.

Bayi, kanak-kanak, dewasa dan tua.. Semuanya punya potensi untuk berhenti bernafas seketika lagi. Adakah kita sudah bersedia? Sudah cukupkah amal sebagai bekalan di sana? Apakah nanti di alam baru kita bahagia atau terseksa?

Giliran mereka telah pun tiba... Giliran kita, bilakah pula???

Kematian Tidak Mengenal Siapa


Ingatlah sahabat..

Siapa pun kita...

Orang ternama,
Manusia terkaya di dunia,
Perdana Menteri sebuah negara,
Manusia terhormat,
Rakyat biasa,
Kanak-kanak juga dewasa.

Apabila telah ditetapkan tarikh kematian kita... Kita bersembunyi di dalam rumah, berselubung di dalam selimut, tidak mahu menegur sesiapa pun, kita tetap tidak akan dapat mengelak dari ketentuan Allah.

Saat nyawa ditarik.. Bermula dari kaki sehingga lah melewati ubun-ubun kepala, hijab terbuka. Terlihat di hadapan mata apa yang dijanjikan dahulu.

Syaitan pun datang ingin mempengaruhi kita, dia menjelma menjadi ibu..menjadi ayah..menjadi semua yang kita sayang, di tangannya di bawa air, kerana saat itu kita akan menjadi haus yang teramat sangat.

“Mari nak..ikut ibu, minum air ini..” syaitan tidak akan putus-putus mempengaruhi. Saat itu, ketika itu, hanya amalan sahaja yang mampu mempertahankan keimanan kita, jika kita pergi tanpa sempat mengucap LAILAHAILALLAH... maka termasuklah kita dalam kalangan orang-orang yang rugi. Di akhirat kelak, mungkin kita lah yang akan menjerit “ya Allah! Alangkah eloknya jika aku dijadikan sebagai tanah!!”

Na’uzubillah hi min zalik...

Sahabat, ingatlah... Kematian benar-benar tidak mengenal siapa kita. Saat kematian kita, adakah nyawa akan direntap dengan ganas, atau ditarik dengan lembut?
Allah telah memberi peringatan;


Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku (Al-Qamar :16)


Anda yang menentukan!

Mari beramal kerana Allah... Agar di sana kelak, kita tidak termasuk dalam kalangan orang yang rugi, agar di sana kelak, kita mendapat syafaat Nabi, agar di sana kelak, kita berpeluang melihat wajah Ilahi...

Wallahu’alam..

Read More......

Wednesday, June 16, 2010

Bosan Dengan Dunia?


“Saya dah bosan dengan dunia ini!” Ujarnya sayu. Sesekali satu keluhan berat
dilepaskan.

“Kenapa?”

“Bbbaaannnyakk sangat masalah. Kan bagus kalau saya mati saja.” Dia menunduk sayu.

“Bosan dengan dunia, matikah penyelesaiannya?”

Diam.

Dunia ini hanya sementara


Ana yakin dan pasti, insyaAllah semua yang membaca tahu bahawa sifat dunia itu adalah sementara. Sesuatu yang sementara, pastinya mudah mengundang bosan di hati. Sama juga diumpamakan seperti kita kecil dahulu. Merengek-rengek kita mahukan mainan. Mula-mula tidur pun bersama mainan kesayangan. Tidak lama lepas tu, sudah mula letak mainan jauh sedikit dan akhirnya kita bosan dan mahukan mainan yang baru pula!

Sesuatu yang sementara.. Entah di mana seronoknya..


Dunia ibarat penjara bagi orang Islam dan syurga bagi orang kafir (HR Muslim).


Mari kita hayati.. Kita ini orang apa? Orang Islam kan? Sekurang-kurangnya kita adalah seseorang yang berjiwa Islam…

Adakah penjara itu sifatnya menyeronokkan sehingga kita tidak sabar-sabar untuk masuk ke penjara dan tidak sesekali mahu meninggalkannya? Tidak bukan?

Dunia ini sungguh-sungguh penuh dengan tipu daya, penuh dengan keseronokan yang bersifat sementara, yang pada mulanya kita ambil dunia itu dan letakkan di hati sehingga kita merasa seronok pada keseronokan yang sementara dan akhirnya mengundang padah pada diri sendiri.

“Ah, aku bosan dengan dunia. Bosan dengan hidup ini!”

Akhirnya kita mengeluh. Malah, yang lebih parah ada yang sanggup untuk memberhentikan perjalanannya ke dunia, tidak sabar-sabar untuk menuju ke ‘dunia’ akhirat yang kekal abadi.

Persoalannya : Adakah kita benar-benar pasti tindakan itu akan mengundang tenang?

Fikir Panjang


Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan? Mata mana yang tidak pernah menangis? Hati mana yang tidak pernah dibasahi air mata?

Hari yang panas, pasti ada juga hujan. Hari yang hujan, tidak selamanya begitu.
Begitulah lumrahnya… Diri yang ditimpa masalah, tidak akan selamanya dibelenggu dengan masalah itu. Percayalah, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya, Cuma kita yang harus bersabar…

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.
(Al-Baqarah : 286)


Mari kita teliti ayat di atas, ketika ujian menimpa, kita akan mendapat pahala dengan kebaikan yang kita lakukan. Bersabar, mengadu kepada Allah itu semua dikira sebagai kebaikan.. Baiknya Allah ini sahabat, hatta jari yang tercucuk jarum, dosa akan terhapus. Maka, anggaplah ujian itu sebagai penghapus dosa kita yang terlalu banyak.

Jika kita alpa, lantas melakukan kejahatan… Mengeluh,mencaci, mencerca. Nah! Gagal lah kita dengan ujian tanda kasih sayang Allah, ujian yang diberi sebagai penghapus dosa menjadi penghapus pahala pula.. Mahukah kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi??

Bosan Dengan Dunia, Matikah Jalan Penyelesaiannya?


Mari kita kembali meneliti diri…

Kembali merenung ke lubuk hati yang paling dalam..

Diri kita, jiwa kita, bosankah mereka dengan dunia? Atau sebenarnya iman kita yang kelaparan meminta makanannya..

Diri kita, jiwa kita, bosankah mereka dengan dunia? Atau sebenarnya batin kita sudah sakit kerana jasad yang lupa kepada Allah..

Diri kita, jiwa kita, bosankah mereka dengan dunia? Atau sebenarnya tubuh kita sudah tidak lagi digunakan ke arah kebaikan…

Tanya betul-betul pada diri… Bosan dengan dunia, benarkah mati jalan penyelesaiannya?

Ayuh tingkatkan amalan, lazimkan zikrullah, jangan biar iman kelaparan, jangan biar batin terseksa lantaran jasad yang lupa kepada Tuhannya, jangan lagi tubuh digunakan kea rah kejahatan dan kemaksiatan.

Kerana hakikatnya.. Dunia ini tidak membosankan kerana banyaknya tugasan sebagai seorang khalifah yang perlu kita laksanakan!

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh
(Al-Ahzab : 72)


Jagalah amanat itu.. Sungguh, dunia ini bukanlah satu tempat untuk kita merasai kebosanan. Dunia adalah satu tempat untuk dilaksanakan amanah yang terpikul… Seorang yang sibuk menjalankan tugas, mana mungkin sempat merasai kebosanan?

Renung-renungkan..
Fikir-fikirkan…

Wallahu’alam..

Read More......

Saturday, June 12, 2010

Maafkanlah...


“Akak…” Panggilnya seraya membuka telekung. Ana yang sedang melayari internet menoleh ke arahnya. Wajah manis satu tubuh yang masih berteleku di atas sejadah ana tatap penuh kasih.

“Ya?” Senyum.

Tapi, senyuman ana tidak berbalas, wajahnya berkerut seolah-olah mempunyai permasalahan di jiwa. Ya, masalah. Ana pasti itu.

“Akak.. kalau kita tak salah, kita kena minta maaf ke?”

Minta maaf, salahkah?


Ana tersenyum dan menggeleng. Wajah tulus itu ana tatap lagi, penuh sayang. Satu nafas yang dalam ditarik, berfikir untuk menyusun kata.

“Em.. Dalam Islam, orang yang meminta maaf tulah orang yang menang.” Akhirnya, ana bersuara.

Kedua-dua keningnya berkerut, seolah-olah ingin bercantum, “Tak fahamlah kak. Kenapa macam tu pula?”

“Macam ni.. bila kita minta maaf, dalam masa yang sama, kita menurunkan ego kita. Bila kita dah berjaya turunkan ego, bermakna kita dah berjaya lawan nafsu. Bila kita berjaya melawan nafsu, bermakna kita lah yang menang.”
Panjang lebar penjelasan ana, kali ini dia mengangguk.

“Tapi kak.. Kenapa ada orang cakap kalau dia yang salah, biarlah dia yang minta maaf?”

“Em.. Tu cakap orang yang tak faham Islam.”

“Oh..” Dia mengangguk, bangun, melipat sejadah dan telekungnya. Perbualan terhenti. Namun ana kembali terfikir, mengimbau kembali peribadi mulia Rasululullah s.a.w yang sentiasa memaafkan umatnya.

Kisah Rasulullah


Mari kita hayati salah satu daripada kisah manusia agung ini…

Satu hari, Rasulullah pulang lewat ke rumah kerana mempunyai urusan. Isterinya, Aishah sudah tidur. Tanpa niat mahu mengejutkan Aishah, Rasulullah membentang alas di hadapan pintu rumah baginda dan tidur di luar. Keesokan harinya, Aishah melihat Rasulullah tidur di luar rumah, puas Aishah meminta maaf, tetapi Rasulullah membalas, “Tak apa, saya minta maaf kerana pulang lewat.”

Bayangkan situasi kita di tempat baginda. Adakah kita akan meminta maaf andai kita pulang ke rumah kerana mempunyai urusan dan akhirnya perlu tidur di luar rumah? Ana pasti, ramai yang akan berkata.

“Saya penat, ada kerja, perlu pula tidur di luar rumah. Kenapa saya yang perlu minta maaf?”

Sering juga ana terdengar perkataan maaf yang begini, “Aku minta maaf, aku dah minta maaf, kau tak nak maafkan tu urusan kau lah dengan Tuhan.”

Aduh! Satu ayat yang mampu menambah dosa, menambah sakit hati insan lain malah memaparkan satu ketidakikhlasan dalam perkataan maaf itu sendiri. Meminta maaf, biarlah dengan kata-kata yang mampu menyejukkan hati.

Dewasa ini, manusia sering tewas dengan nafsu, berbanga dengan ego yang menggunung tinggi tanpa sedar semua itu adalah agenda syaitan dalam merosakkan hati. Apabila kita tidak mahu meminta maaf, ummah akan berpecah-belah. Itulah kegembiraan syaitan laknatullah!

Maafkanlah…


Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun. (Al-Baqarah : 263)


Jika kita ego dan tidak mahu meminta maaf, apabila datang seseorang meminta maaf, jangan pula kita berkata; “Ah! Aku taknak maafkan kau, biar kau rasa!”

Di mana akhlak kita sebagai seorang Islam? Di mana dia diri seorang muslim yang mahu mencontohi akhlak Rasulullah? Di mana dia seorang manusia yang menumpang di sebalik sifat penyayang dan pemaaf Allah s.w.t?

Hadirkan sedikit sifat malu dalam diri… Sedangkan manusia Agung, Rasulullah s.a.w bisa mengampunkan umatnya, sedangkan Allah s.w.t selalu suka mengampunkan hambaNya.. Siapa pula kita untuk tidak memaafkan?

Maafkanlah… Nescaya hatimu menjadi tenang.

Buangkan Ego


“Akak” Suara itu memanggil lagi. Ana menoleh ke arahnya. Wajah seriusnya ana tatap lama.

“Ya?”

“Kita dah minta maaf dah tadi dengan dia…”

“Lepas tu?”

“Dia buat tak tau je..”

Diam. Wajah suramnya menceritakan gelodak di hatinya.

“Rindu ke kat dia?” Ana bertanya walaupun sudah pasti akan jawapannya. Teman baik suatu ketika dahulu, masakan tidak punya perasaan rindu.

“Rindu kak.. kita sayang dia, memang nak jadikan dia kawan baik kita. Kenapa jadi macam ni?”

Dia termenung jauh..

Bersabarlah adikku… Allah sedang menguji ketahanan jiwamu, kecekalan hatimu dan keikhlasan dirimu dalam bersahabat..

Bersabarlah dan maafkanlah..

Wallahu’alam

Read More......

Tuesday, June 8, 2010

Dirimu Amanahku


“Aiman!!! Balik! Kau nak jadi apa ni? Balik lewat, belajar malas. Dah besar nanti kau nak jadi tukang sapu sampah?!” Bulat mata Encik Ramli memandang gelagat anak bongsunya yang berlari terkedek-kedek ke arah rumah pada pukul 7 malam.

“Menyusahkan!!”

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu masuk ke rumah dengan hati yang bungkam. Batinnya menjerit minta difahami. Bukannya dia sengaja tidak mahu membaca buku. Tetapi mindanya tidak boleh fokus terhadap pelajaran. Dia tidak tahu mengapa.

Tiba-tiba wajah arwah ibunya bermain-main di birai mata. Hanya wanita itu yang selalu membelanya. Tapi semenjak setahun yang lalu, selepas ibunya meninggal dunia akibat barah payu dara, Aiman keseorangan tidak terbela.

Ibu… Aiman rindu ibu…
‘Kau nak jadi tukang sapu sampah?!!” Terngiang-ngiang suara itu di dalam fikirannya.

‘Kau nak jadi tukang sapu sampah?!!’

“Tak nak!!!” Tiba-tiba Aiman menjerit.

“Aiman!! Kau buat apa lagi tu? Kalau tak menyusahkan orang tak boleh ke?”

Aiman diam.

* * *

“Abi….” Mujahid melabuhkan punggung di sebelah Encik Sufyan yang sedang ralit membelek akhbar.

“Ya sayang..” Encik Sufyan mula menutup akhbar di tangan dan mengusap lembut rambut anaknya yang berusia 12 tahun itu.

“Abi, tak baik kan ayah Aiman selalu marah Aiman?”

“Mujahid, tak baik mengumpat” Kedengaran tegas suara Encik Sufyan menasihati.
Terkebil-kebil mata Mujahid memandang wajah Encik Sufyan yang tenang. Dia faham benar bahawa ayahnya tidak suka dia melakukan perkara-perkara yang Allah tidak suka.Dia tahu.

“Tapi abi… Mujahid kesian tengok Aiman selalu sorang-sorang kat taman.”

“Hm? Mujahid tak kawan dengan dia ke?”

“Dah cuba tegur dia tapi dia tak layan lah abi…”

Mujahid tunduk memandang lantai. Masih segar di ingatannya wajah jiran sebelah rumahnya itu yang menolak untuk bersalaman dengannya. Bahkan Aiman seringkali kelihatan bercakap seorang diri.

“Mujahid, solat pun kita wajib lakukan hari-hari untuk kebaikan fizikal dan rohani kita. Tak kan untuk berukhwah cukup kita mencuba sekali sahaja?”

Angguk.

“Abi, Aiman sakit ke? Mujahid tengok dia bercakap sorang-sorang.”

“Mungkin.”

“Sakit apa?”

“Skizofrenia”

“Ha? Apa tu abi?”

Berkerut-kerut dahi Mujahid mendengar satu perkataan pelik tu, bagaikan ingin tercantum kedua-dua kening miliknya.

Encik Sufyan tergelak kecil melihat gelagat anaknya. Kerjayanya sebagai seorang ahli psikologi memungkinkan kenyataannya sebentar tadi. Aiman menghidap penyakit skizofrenia, satu penyakit yang berpunca daripada budaya, faktor biologi atau faktor sosial yang mana menyebabkan individu itu hilang daya tumpuan, mendengar gemaan suara dalam fikirannya bahkan mungkin akan kerap bercakap seorang diri.

“Abi?”

Lamunan Encik Sufyan terhenti.

“Er, ya?”

“Apa abi cakap tu tadi?”

“Erm, tak ada apa-apa. Mujahid, kenapa abi bau busuk je ni ya?”

Sengih.

“Ala, yelah… Nak pergi mandi lah ni”

Pantas kakinya dihayun menuju ke bilik air.

* * *

‘Pang!’

Satu tamparan hinggap di wajah kecil milik Aiman. Perit.

“Kau asyik gagal periksa aje! Buat malu aku! Kau nak sekolah ke tak nak ni?”

Membara api kemarahan Encik Ramli melihat keputusan Aiman yang teruk.

“Nak…”

“Nak?! Kalau nak kenapa keputusan teruk macam ni? Ha?! Aku suruh belajar tak nak belajar, asyik main je… Belajar sikit, main banyak. Kau asyik menghabiskan duit aku je. Kau dah hidup senang macam sekarang ni pun kau malas lagi. Kau tau tak dulu aku hidup susah… Boleh je berjaya!”

“Zaman ayah lain…” Entah bagaimana suara Aiman terkeluar. Aiman terkesima.
Wajah Encik Ramli memerah. Rotan di sebelah dicapai dan..

‘Zapp’

Satu libasan mengenai badan Aiman.

“Kau menjawab aku cakap!”

Satu libasan lagi mengenai wajah Aiman.

“Ayah.. sakit ayah… sakit…”

Deras air mata kanak-kanak berusia 12 tahun itu mengalir membasahi pipi.

‘Zapp!’

“Ayahhhhh… sakittt….”

Namun Encik Ramli tidak terkesan dengan rayuan Aiman. Libasan-demi libasan mengenai badan kecil Aiman sehingga dia berasa puas.

* * *

Aiman berjalan terjengket-jengket. Bisa libasan rotan di seluruh badannya masih terasa. Minyak gamat yang terdapat di dalam laci biliknya di capai dan di sapu pada luka-luka yang ada. Sakit.

Ibu… Aiman rindu ibu….


Air mata itu mengalir lagi….

‘Kau ni tak guna… tak guna…’

Suara itu bergema lagi di dalam fikiran Aiman. Aiman rimas.

‘Kau anak tak guna… Memalukan… Kau tak guna…’
Aiman menarik rambutnya.

‘Kau tak guna… tak guna….’

“DIAMMMM!!!!”

* * *

“Assalamualaikum…” Mujahid menghampiri Aiman yang sedang bermain pasir berseorangan di taman permainan.

Diam.

“Assalamualaikum…” Mujahid menghulurkan tangan.

Sepi.

“Awak nak tahu tak kenapa Allah ciptakan jari-jari kita ni berbeza saiznya. Ada yang kecil, ada yang besar?” Mujahid menggerak-gerakkan jarinya.

“Kenapa?” Wajah Aiman berkerut menanti jawapan.

Mujahid senyum. Umpannya mengena.

“Hm… Supaya jari-jari ni boleh tolong-menolong. Cuba bayangkan kalau satu jari kita ni tak ada, mesti agak susah kan kita nak buat kerja?”

Angguk.

“Macam tu jugalah saya dengan awak.”

“Ha?” Aiman terkejut.

Apa kena-mengena aku dan dia dengan jari.


Mujahid tergelak kecil melihat wajah Aiman yang kelihatan bingung. “Betul lah, Allah ciptakan manusia dan arahkan untuk saling menolong kan? Kalau awak susah, saya tolong. Kalau saya susah awak tolong. Betul kan?”

Angguk.

“Saya kena balik.” Tiba-tiba Aiman bersuara.

“Kenapa?”

“Nanti ayah marah.”

Mujahid angguk dan Aiman mula mengatur langkah untuk pulang.

“Aiman!” Mujahid memanggil. Aiman menoleh ke arahnya.

Mujahid menghampiri Aiman yang sudah menjauh beberapa langkah daripadanya. Tangan dihulur. Aiman senyum dan huluran tangan itu disambut.

“Jumpa esok…”

* * *

“Mujahid, kenapa kawan-kawan kat sekolah selalu cakap saya gila?” Aiman duduk di bangku yang disediakan di taman permainan sambil menggoyang-goyangkan kakinya yang kecil. Angin yang bertiup pada senja itu menyapu wajahnya yang bersih.

Mujahid diam. Wajah Aiman disebelahnya ditatap lama. Nafas ditarik sedalam-dalamnya.

“Mereka tak tahu, mereka tak kenal Aiman. Mereka tak tahu Allah sayang Aiman…Aiman berdendam ke dengan kawan-kawan Aiman?”

Angguk.

“Aiman, Allah tahu perkara yang sebenarnya, memaafkan itu merupakan ubat yang paling berkesan untuk merawat hati yang luka.”

Aiman mengangkat kedua-dua keningnya. Tidak faham.

Mujahid senyum. “Begini, kalau kita tak memaafkan orang lain, kita akan sentiasa terfikir dan membuat hati kita semakin sakit bahkan mungkin melihat wajah insan yang menyakitkan hati kita tu sudah cukup untuk menambah luka di hati. Tapi andai kita sudah memaafkan, hati kita mesti jadi lebih tenang dan mampu memberi senyuman yang benar-benar manis...”

Diam.

“Aiman”

“Ya”

“Masih berdendam dengan kawan-kawan awak?”

Geleng.

Mujahid senyum. “Ha, macam ni lah...”

“AIMAN!!!”

Suara Encik Ramli lantang memotong percakapan Mujahid. Serentak, Mujahid dan Aiman menoleh ke belakang. Kelihatan wajah merah Encik Ramli memandang tajam ke arah Aiman. Mujahid dan Aiman mula menggeletar apabila melihat Encik Ramli mengatur langkah menuju ke arah mereka.

‘PANG!’

Satu tamparan hinggap lagi di wajah bersih milik Aiman. Mujahid terkedu. Seumur hidupnya, Encik Sufyan tidak pernah berkasar dengannya. Matanya mula terasa berat dek takungan air kerana melihat Aiman yang membisu menahan kesakitan.
Encik Ramli mematahkan ranting pokok yang bersebelahan dengannya dan tangannya mula melibas kaki Aiman.

“Ni kaki yang degil, tak dengar cakap aku kata jangan balik lambat”

“Tolong ayah.. sakit..”

Rintihan Aiman membuatkan jiwanya memberontak. Kakinya dihayun selaju mungkin menuju ke rumah.

***

“Abi... Abi...” Mujahid memanggil sambil mencari-cari kelibat Encik Sufyan.

“Abi kat belakang ni”

Mujahid lantas mengatur langkah menuju ke stor. Kelihatan Encik Sufyan sedang meletakkan periuk belanga di dalam almari kayu dengan cermat.

“Abi”

“Ya”

“Mari ikut Mujahid”

“Abi banyak kerja ni sa..”

Mujahid menarik tangan Encik Sufyan. Dalam keterpaksaan, Encik Sufyan menurut langkah Mujahid menuju ke taman permainan.

“Astarghfirullahalzim” Terbeliak mata Encik Sufyan melihat Encik Ramli sedang memukul Aiman dengan teruk sekali. Jiran-jiran yang lain hanya mampu melihat dari sebalik jendela rumah kerana takut dengan Encik Ramli yang terkenal dengan sikap panas barannya. Encik Sufyan mengurut dada seraya berzikir.

“Ramli.. dah Ramli... mengucap” Tangan Encik Ramli dipegang bagi mengelakkan ranting kayu itu hinggap di kaki Aiman lagi.. Mujahid menarik Aiman jauh dari situ. Air matanya tumpah jua melihat kaki Aiman yang berbirat-birat.

“Kau tepi! Kau anak-beranak jangan nak menyibuk pasal aku” Mata merah Encik Ramli memandang Encik Sufyan dan Mujahid bagaikan hendak ditelannya.

“Sudah Ramli, mengucap.. jangan biar syaitan memperngaruhi kau”

“Ah! Kau diam! Kau apa tahu? Kalau kau nak sangat budak ni, kau ambiklah! Aku dah tak larat nak bela dia lagi!” Encik Ramli menunjuk ke arah Aiman sambil mulutnya tidak berhenti-henti mengeluarkan kata-kata kesat.

“Mengucap Ramli, mengucap”

Encik Sufyan cuba mengusap belakang Encik Ramli namun Encik Ramli lebih pantas menolak tubuh Encik Sufyan ke belakang.

“Ptuih” Encik Ramli meludah dan berlalu meninggalkan mereka.

“Abi...” Mujahid memanggil.

Encik Sufyan menoleh. Bergetar jiwa seorang ayah yang dimilikinya apabila melihat Aiman terbaring lemah, mengerang kesakitan sambil air mata tidak berhenti mengalir daripada sepasang mata sayu miliknya.

“Aiman, mari balik...” Encik Sufyan mengajak lembut

“Pak Cik...”

“Ya Aiman”

“Kaki Aiman sakit... Tak boleh bangun...”

Allah! Encik Sufyan beristighfar di dalam hati. Mindanya tidak tercapai untuk memikirkan kesakitan yang ditanggung oleh Aiman.

“Pak Cik dukung Aiman ya?”

Angguk.

Encik Sufyan pantas mengangkat Aiman dan menuju ke rumahnya diikuti oleh Mujahid.

* * *

Encik Sufyan duduk di kaki lima rumahnya sambil menunggu kepulangan jirannya, Encik Ramli. Ada perkara penting yang harus disampaikan. Sudah 3 hari Aiman demam dan kini telah ditempatkan di hospital, namun apa yang menyedihkan adalah...

‘vroom’

Deruman kereta Encik Ramli memasuki perkarangan rumahnya mematikan lamunan Encik Sufyan. Encik Sufyan bingkas berdiri dan menanti Encik Ramli keluar dari keretanya.

“Ramli”

Encik Ramli menoleh sekilas dan meneruskan langkahnya untuk membuka pintu rumah. Panggilan daripada Encik Sufyan diabaikan.

“Ramli.. Aiman..”

Encik Ramli menoleh. Nama itu kerap kali bermain di mindanya. Rindu dan sayang bercampur aduk membuatkan dirinya semakin tidak keruan dari hari ke hari. Namun ego membatasi segalanya.

“Kenapa dengan Aiman?” Pantas, dia bersuara.

“Aiman dah 3 hari dia demam tak baik-baik... Aku risau tengok kaki dia mula membiru,aku bawa dia pergi hospital... Dan..”

“Dan apa?”

“Kakinya terpaksa dipotong akibat kecederaan yang teruk. Doktor perlukan persetujuan kau”

Encik Ramli terduduk. Tangannya diraup ke muka. Seribu penyesalan menyentap tangkai hatinya..

Allah.. apa yang telah aku lakukan...


“Sufyan...” Lemah suara itu memanggil

“Ya”

“Bawa aku melawat Aiman....”

* * *

Encik Ramli tidak senang duduk menunggu proses pemotongan kaki Aiman. Dia mundar-mandir, fikirannya berserabut mengenangkan masa hadapan anaknya yang satu itu. Penyesalan demi penyesalan menerjah kotak hatinya membuatkan fikirannya benar-benar berserabut.

“Sufyan”

Encik Sufyan yang sedang duduk di hadapan bilik pembedahan memandang wajah Encik Ramli yang kusut.

“Aku... Aku minta maaf”

Encik Sufyan bangun dan menggosok-gosok belakang Encik Ramli.

“Yang sudah tu sudahlah...”

“Terima kasih... terima kasih banyak-banyak” Encik Ramli memeluk erat tubuh Encik Sufyan dan air mata lelakinya gugur lagi...

* * *

Aiman tersenyum melihat ayahnya memasuki bilik wad di mana dia ditempatkan. Segala perlakuan buruk Encik Ramli terhadap dirinya telah pun dilupakan. Aiman nekad tidak mahu berdendam.

“Ayah....”

“Ya, ayah datang ni.. Aiman rasa okey dah sekarang?”

Angguk.

“Ayah baru balik kerja?”

“Tak. Ayah cuti hari ni... Ayah nak jaga Aiman”

“Terima kasih ayah”

Senyum.

“Ayah..”

“Ya sayang”

Tangan Encik Ramli ligat memotong buah-buahan yang dibawanya.

“Aiman minta maaf... Ayah pulangkanlah kaki Aiman balik. Aiman janji tak nakal-nakal lagi... Aiman janji tak balik lambat... Ayah pulangkan ya? Nanti macam mana Aiman nak pergi taman, pergi sekolah..”

Encik Ramli kaku. Tangannya terhenti daripada terus memotong buah. Tubuh Aiman dirangkul dan dipeluknya erat..

Ya Allah... Maafkan aku kerana telah mengabaikan amanah ini...


“Maafkan ayah”

Dan air matanya gugur lagi... Setitik demi setitik jatuh ke bumi....

Read More......

Thursday, June 3, 2010

Di Pondok Kecil


“Kita nak nyanyi lagu apa eh?” Ana yang ketika itu berumur 8 tahun berkumpul bersama-sama rakan-rakan sepermainan di rumah asuhan kanak-kanak sebaik sahaja pulang dari sekolah agama.

“Em.. Nyanyi nak kena buat gaya tak?” Sahabat ana bertanya.

“Buatlah.” Kakak ana menyampuk.

“Nyanyi Di Pondok Kecil jom!” Ana bersuara.

“Jom!”

Di pondok kecil… Di pantai ombak.. Berbuih Putih.. Beralun-alun…
Di suatu hari.. ayah berkata, jaga adikmu sayang.. ayah kan pergi jauh…


Bukan Lagi Satu Ilusi

Kami menyanyi, siap dengan aksi dan gaya yang tersendiri. Satu perkara yang lucu buat satu masa dahulu. Tapi tidak lagi kini..

Mendengarkan lagu Di Pondok Kecil tidak lagi menjadi satu bentuk halwa telinga malah menjadi seperti satu duri yang menerobos, masuk ke pelusuk hati yang paling dalam. Memikirkan kenangan lama itu tidak lagi menjadi satu kenangan indah, malah ia menjadi satu kepahitan yang terpaksa ditelan.

Oh ya Allah!

Ana benar-benar rindu pada para aktivis yang tanpa gentar berjuang ke Palestin, ana benar-benar rindu pada saudara-saudara kita yang telah sekian lama menderita di sebalik tembok besar, satu tempat yang tidak layak didiami oleh seseorang bernama manusia.

Ana cuba tidak membayangkan bahawa di dalam kapal-kapal itu adalah saudara-saudara kita. Ana cuba tidak membayangkan bahawa di dalam kapal itu bukanlah mereka yang seperti ayah, ibu, datuk dan juga adik-beradik ana. Ana cuba tidak membayangkan bahawa pihak rejim zionis menyerang para aktivis dengan penuh keganasan. Ana cuba menangkis bahawa para aktivis ditahan dan dibunuh.

Oh ya Allah.. Semakin ana cuba untuk tidak membayangkan, lambaian-lambaian tangan mereka, wajah-wajah mereka serta semangat mereka seolah-olah menari-nari di hadapan mata ana, meresap ke dalam hati, sekaligus melahirkan air jernih di kelopak mata ana. Bahkan, ana sentiasa gentar dan menggeletar untuk menerima berita para aktivis yang terbaru.

Ya Allah. Ana tidak sanggup lagi mendengar para aktivis terseksa, terbunuh, terbiar..

Ana tidak sanggup lagi menerima hakikat bahawa mereka bersusah payah ke sana, ditahan, kemudian terpaksa berpatah balik tanpa sempat memberi bantuan ke Gaza, tapi ana hanya duduk di sini, mendengar khabar dari jauh.. Oh Tuhan.. Mulianya mereka kerana dipilih untuk berjuang di jalan-Mu..

Bait-bait lagu Di Pondok Kecil bukan lagi satu ilusi tetapi ia adalah satu realiti yang terlalu sukar untuk dihadapi!

Jangan Putus Harap


Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku
(Al-Baqarah : 186)


Doa adalah senjata orang mukmin dan siapakah yang paling memegang janji daripada Allah?.Dan sungguh, selain memboikot, hanya itulah sahaja yang kita mampu lakukan buat masa ini. Kita tidak terpilih untuk menyertai perjuangan mereka pasti punya sebab yang tersendiri.

Kita di sini perlu berganding bahu, memerah keringat membuktikan bahawa umat Islam itu bersatu-padu, Umat Islam itu ibarat satu tubuh, andai mereka sakit, maka kita turut merasa sakit. Justeru, rasa sakit itu disalurkan melalui perbuatan. Boikot, boikot, dan boikotlah. Berjihad, berjihad dan berjihadlah. Lakukan sehabis daya kerana hakikatnya umat Islam itu bukanlah satu umat yang lemah. Bahkan umat Islam merupakan satu umat yang dipelihara Allah.

Mohon, mohon dan mohonlah pada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar. Dia mendengar rintihanmu, Dia mendengar permintaanmu. Segalanya pasti akan dimakbulkan.

“Ana dah puas berdoa enti, solat hajat dah berapa banyak kali dah, tapi tak ada perubahan pun?”

Jangan sesekali berputus harap pada Allah.

Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.
(Yusuf : 87)


Bukan Allah tidak mengabulkan doamu, tetapi Dia mahu melihat kesungguhanmu. Malah, jika kita renungkan semula, benar sabda Rasulullah s.a.w : Sungguh pelik bagi orang mukmin, kerana bagi mereka semuanya baik.

Mengapa semuanya baik? Mati pun baik kah?

Jika dilihat dari mata kasar, memang benar ia merupakan satu perkara yang menyeksakan.. Tapi renunglah dengan mata hati. Mereka yang gugur itu gugur syahid, mereka yang gugur syahid dijanjikan syurga, bahkan mungkin sedang bersenang-lenang di sana. Jika benarlah medan itu satu medan yang menyeksakan, ana pasti rakyat Palestin tidak akan mahu lagi untuk berjuang.

Bersangka baiklah saudaraku.. Janganlah berputus asa dari rahmat Allah kerana janji Allah adalah kepastian..

Di Pondok Kecil


Wahai abangku.. Ke mana ayah.. Ku rindu ayah.. ku cinta ayah...


Bait-bait lagu itu menjengah lagi ke dalam ingatan. Melihat dua situasi dalam satu masa yang sama, satu perkara saudara-saudara kita yang sedang berjuang bermati-matian menegakkan kembali martabat Islam, dan satu lagi perkara melihat saudara-saudara kita yang sedang menjatuhkan martabat Islam. Pergaulan bebas, maksiat dan pembuangan bayi. Ana menjadi semakin bingung, antara sedih dan risau. Antara di sana dan di sini..

Oh Allah, Selamatkanlah saudara-saudara kami, selamatkanlah ya Allah, Selamatkanlah ya Rahman, selamatkanlah ya Rahim.

Saudaraku.. Tidak mahukah kalian mendokong ana tatkala lemah, menasihati ana tatkala ana tersasar, menghiburkan ana dengan kalamullah tatkala ana gundah, jua mengingatkan ana akan azab Allah tatkala ana terlalu gembira...

Saudaraku... Semoga kita bersatu di Jannah kelak!

Ana rindu pada kalian....

Wallauhu’alam..

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .