Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, August 30, 2010

Buat anak, ibu dan bapa...

Betapa susahnya ibumu melahirkanmu..

“Nak join tak buka puasa kat Melaka?” Mesej yang diterima ana tatap.

Pelik. Melaka? Jauhnya..

“Kat mana?” Ana membalas. Ringkas.

“Rumah orang-orang tua.”

Rumah Seri Kenangan. Satu nama yang meninggalkan kesan buat ana dan sahabat-sahabat yang mengikuti program jejak kasih Ramadhan ke rumah tersebut pada 21 Ogos 2010.

Dihuni oleh lebih kurang 200 warga emas, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan… Tidak kurang daripada asrama ketika ana bersekolah dahulu, ana pasti.. Mereka pasti merasa kesunyian…


Anak-Anak… Renungkanlah..

“Assalamualaikum mak cik” Ana dan 2 lagi sahibah menghampiri katil yang diduki oleh seorang warga emas. Makcik Fatimah.

“Waalaikumsalam…”Dia menjawab mesra. Petah sahaja mulutnya menyambung kata, “Mak cik dulu hidup susah. Zaman komunis. Pakcik tak bagi pakai cantik-cantik. Makan ubi.”

Nostalgianya di imbas kembali.

Ana dan sahibah hanya mendengar.

“Anak mak cik ada 3. Cucu ada 3. Anak mak cik yang lelaki tak kahwin lagi.”

“Kenapa dia tak kahwin lagi?” Ana cuba memberi respon.

Mak cik Fatimah tergelak, mungkin dirasakan soalan ana terlalu lucu. Kepalanya digeleng-gelengkan “Ish… takkan tak tahu, perempuan sekarang nak duit je. Masak tak pandai. Mak cik suruh dia cari yang pandai masak, nanti kalau susah, sekurang-kurangnya ada benda yang dia mahu makan.”

Ana mengangguk, pantas tangan ana menepuk sahibah di sebelah, “Mak cik. Kawan saya pandai masak.” Ana cuba bergurau.

Mak cik Fatimah tidak mendengarnya, atau mungkin lebih berminat menyambung cerita perihal anak dan cucunya. Dari sinar matanya… Kelihatan kerinduan yang tidak berbelah bahagi. Mana mungkin sama hidup bersama kawan-kawan dengan hidup bersama saudara sendiri.

Ana pernah merasainya dan ana pasti sahabat yang sedang menuntut ilmu jauh dari keluarga juga merasainya. Cuba tidak balik beraya bersama keluarga, bagaimana rasanya?

“Mak cik, anak makcik datang melawat tak?” Ana bertanya lagi.

Mak cik Fatimah diam. Renungannya panjang. Selepas beberapa saat terdiam, mulutnya dibuka kembali, “Kalau tak sibuk, dia datanglah…”
Sibuk.

Layakkah alasan itu diberi oleh seorang anak? Serta-merta ana teringat pada kata-kata timbalan penguatkuasa Rumah Seri Kenangan di Dewan tadi.

“Anak-anak beri alasan sibuk… Sedangkan ketika dulu ibunya lebih sibuk. Contohnya saya, adik-beradik 14 orang… Pagi-pagi ibu dah bangun pergi menoreh getah. Sambil ikat anak kat belakang, ibu cuci baju. Sambil suap anak, ibu lipat baju.. Ayah, pergi pagi balik malam. Solat di tengah-tengah kebun. Di sebelah semak dan di tepi jalan. Sesibuk-sibuk kita, sibuk lagi mereka satu ketika dahulu untuk membesarkan kita.”

Subhanallah… Ana kembali merenung diri, sudahkah selesai satu suruhan Allah;

Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa (An-Nisa’ :36)

Semoga kita semua terhindar daripada menjadi anak derhaka…

Ibu Bapa… Renungkanlah…

“Kau ni lembap! Menyusahkan orang! Tak guna!” Badan anak itu dilibas-libas. Rayuan dan esak tangisnya tidak lagi menjadi satu simpati ke dalam hati tuanya.

Sumpah seranah terkeluar laju dari mulutnya. Setelah habis teruk anak itu dibelasah, dia pergi keluar berfoya-foya di lorong-lorong gelap yang ada….

Hak anak diabaikan.
Didikan Agama langsung tidak diberi.
Tanggungjawab kepada Allah tidak diendahkan.

Justeru, apabila usia semakin menginjak, pada siapakah tempatnya mengadu? Diri masih lagi ego tidak mahu sujud kepada Sang Pencipta. Jiwa masih lagi sombong mempertikaikan hak seorang anak.

Anak yang membesar tanpa kasih sayang, masakan tahu bagaimana cara untuk memberi kasih sayang. Bukankah Rasulullah s.a.w telah bersabda (mafhumnya) ;

Barangsiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.


What you give, you get back!

Ana tidak berniat mahu menyebelahi siapa-siapa. Bukan jua penulisan ini dicipta kerana ana adalah seorang anak. Tidak. Ana sendiri sedar dan akui, jika diizinkanNya, ana pasti akan menjadi ibu kepada anak-anak ana kelak…

Ada juga pada usia mudanya, ibu bapa terlalu sibuk untuk memberi perhatian kepada si anak. Belum sempat anak meletakkan beg sekolah sudah disuruh macam-macam. Tidak ada pertanyaan khabar, tidak ada ciuman mesra.

Ada juga yang hanya mendidik anak dengan wang. Kononnya dengan wang, si anak boleh bergembira. Hakikatnya, harga kasih sayang itu tidak akan terbeli dengan wang. Sampai bila-bila.

Ibu bapa… sudahkah dirimu mendidik anak sebagaimana yang diajar di dalam Islam?

Ketika usia anakmu 1-7 tahun, beri dia sepenuh kasih sayang. Jika dia suka digeletek, geleteklah, jika dia suka naik atas belakangmu, izinkanlah, jika dia suka dikejar, kejarlah… Asalkan hubungan menjadi rapat.
Ketika usianya 7-14 tahun, didiklah dengan tegas. Katakan apa yang boleh dan tidak. Rotan jika perlu.
Ketika usianya telah melepasi 14 tahun, didiklah dia sebagai seorang kawan. Dengar ceritanya, fahami jiwanya…

Sudahkah tertunai didikan itu, wahai ibu bapa yang ana hormati?

Anak-anak yang tidak diberi kasih sayang akan menyimpan satu perasaan dendam di dalam hati dan kelak, apabila dia telah menginjak dewasa, dia tidak akan tahu cara untuk memberi kasih sayang kepadamu dan mungkin juga menunaikan dendam yang telah lama tersimpan.

Na’uzubillah….

Sabda Rasulullah s.a.w (mafhumnya):
Anak-anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang akan menyebabkan anak ini menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani.


Maka, tanggungjawab kepada Allah jangan sesekali ditinggalkan kerana akhirnya hanya kepadaNyalah tempat kita mengadu dan mengharap. Hanya kepadaNyalah tempat kita berserah dan hanya bertaqwa kepadaNya lah, kebaikan dalam mendidik anak dapat diperoleh.

InsyaAllah..

Buat anak dan ibu bapa…..

Buat anak-anak yang disakiti perasaannya…. Ana pasti, kalian pasti punya satu rasa dendam di dalam hati. Mungkin jua kalian tidak mahu langsung menyayangi ibu bapa kalian. Perasaan sayang itu adalah satu rasa yang tidak mungkin boleh dipaksa-paksa. Ia lahir dengan sendirinya tanpa perlu diberitahu.Jika tidak mampu menyayangi, cukuplah sekadar menghormati mereka. Mungkin hanya itu yang mampu dilakukan….

Buat ibu-bapa yang dihormati…. Jangan terlalu merasa bahawa setiap apa yang anda lakukan, maka itulah yang tepat dan benar. Anak-anak jua punya hati dan perasaan, yang apabila disakiti akan menjadi parah.. Ingatlah, apa yang diberi kita akan dapat kembali. Didiklah anak dengan cara yang Islam ajari, nescaya anak-anak itu membesar menjadi insan berguna….

Buat ana, kamu dan kalian…. Marilah bersama kita kembali kepada Allah. Kembali kepada pencipta. Mari tingkatkan iman dan ketaqwaan dalam hati. Mari kita bersama menjadi anak, ibu bapa dan hamba yang bertaqwa kerana hakikatnya kita semua menjunjung amanah- satu perkara yang tampak ringan di dunia tetapi amat berat di akhirat sana….

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat : 13)


Wallahu’alam..

Read More......

Wednesday, August 11, 2010

Salam Ramadhan dan....



Ku mengharapkan Ramadhan kali ini,
Penuh makna,
Agar dapat ku lalui,
Dengan sempurna.....


"Mak, kenapa kita kena puasa dulu baru raya?" Ana melontarkan pertanyaan ini kepada umi tercinta ketika ana baru sahaja berusia 5tahun.

"Sebab,kita kena rasa susah dulu, baru boleh gembira." Umi menjawab.

Susah, sebelum gembira. Ketika itu, ana masih samar-samar, tidak faham. Tetapi kepala masih dianggukkan, sebagai satu tanda ana mendengar dan masih mengingati..

Sahabat, moga kesusahan kita melawan nafsu pada bulan Ramadhan kali ini, dibalas dengan hari kemenangan-hari raya. Benar syaitan sudah diikat, tetapi ingatlah, nafsu di dalam diri tidak pernah kan berkurang kecuali kita sendiri berusaha untuk melawannya.

Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang sebelumnya. Moga amalan dapat dipertingkat seiring usia dan semoga amalan itu berkekalan sehingga di luar ramadhan. Kerana, kita bukan hanya menjadi Islam di bulan Ramadhan, tetapi kita adalah seorang Islam sepanjang masa.

Selamat beribadat, selamat beramal dan semoga istiqamah. Ameen.

Mohon Laluan


Ana meminta izin, untuk tidak mengemaskini blog dalam tempoh sebulan kerana mulai minggu depan, (16.8.2010) peperiksaan akhir semester akan bermula sehinggalah 25.8.2010. InsyaAllah, dalam tempoh itu ana mahu belajar kerana Allah dan mendapat keputusan yang baik kerana Allah dan Islam tercinta.

Sahabat, ana mohon doa dari kalian.

Moga sepanjang tempoh 'senyap' ini, kalian beristiqamah menjadi hambaNya yang bertaqwa. Hajat doa dan ingatan kalian.

Moga Allah kasih :)

Wallahu'alam


Read More......

Thursday, August 5, 2010

Buat Insan Bernama Adam....


Perempuan Sombong!
Jika itulah gelaran yang dikau berikan,
Maka aku menerima dengan redha,
Apalah lagi diri yang hina ini mampu berbuat?
Apakah layak untukku mengatakan,
“Berhenti! Jangan menganggapku begitu”

Perempuan Sombong!
Jika itulah tafsiranmu padaku,
Maka teruskanlah,
Apalah lagi yang mampu aku lakukan,
Selain berdiam dan berdoa,
Agar Allah merahmatimu sentiasa,

Perempuan Sombong!
Tidak tahu bersosial dan perasan bagus,
JIka itu yang terkeluar dari mulutmu,
Maka aku hanya mampu tersenyum hambar,
Meski di dalam hati berselimut duka…

Duhai insan yang bergelar Adam..
Ketahuilah hakikat yang tersurat,
Aku ini adalah Hawa yang dicipta dari tulang rusuk yang bengkok,
Diutus ke dunia sebagai perhiasan matamu,
Setiap saat diriku mampu menjadi fitnah dunia,
Setiap saat ku berjalan,
Mengharap pada redhaNya yang satu..

Aku bukan insan sempurna,
Bukan jua insan maksum yang tak punya dosa,
Dosaku menggunung tinggi,
Dalam keterbatasanku menjaga syariat,
Terkadang aku tersungkur dan terjatuh.

Duhai Adam,
Sombongku bukan mainan,
Sombongku adalah satu suruhan,
Suruhan dariNya agar tidak melekakanmu,
Agar engkau bisa melangkah gagah menegakkan kalimah Allah,
Agar engkau bisa menjadi perwira Islam sebenar,
Kerana aku,
Hanyalah seorang insan yang lemah….

Duhai Adam,
Tatkala usikanmu ku diamkan,
Tatkala perasaanmu ku abaikan,
Tatkala dikau memanggil dan aku melangkah pergi,
Ketahuilah…
Itulah hakikat sayangku pada insan bergelar Adam…….

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .