Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, September 25, 2010

Sahabat, Berjanjilah..


Puas ana menghadap laptop. Lama. Ana seolah-olah buntu mahu menaip apa..

Butang 'new post' ditekan, namun di hadapan ana hanyalah satu skrin putih yang ana tidak tahu apa mahu dicoretkan. kosong.

Cuma, entah kenapa.. Ana terasa mahu membelai lagi jiwa sahabat.. Tidak ada dalil yang ana ingin persembahkan. Hanya cerita keimanan, semoga ia mampu meresap jauh ke relung hati dan membangkitkan keimanan dalam diri..

Sahabat...

Saban hari yang kita lalui penuh dosa dan noda. Terkadang kemaksiatan yang kita lakukan seolah-olah kabur dari pandangan mata dan hati kerana kita sudah terbiasa dengan kemaksiatan itu. Terkadang kita sedar dosa yang dilakukan tapi kita terlalu ego dengan Allah, kita mengenepikan dosa.... Seolah-olah kita kebal dari seksa dan azab neraka.

Tapi.... Allah masih lagi bersabar, Allah memberi kita waktu untuk bertaubat.. Allah sentiasa ada untuk membantu waktu kita dalam kesusahan, waktu kita mengangkat tangan dan berdoa, Allah masih lagi mendengar dengan penuh setia....

Allah beri kehidupan. Allah beri udara untuk kita bernafas, Allah beri makanan agar kita tidak lapar, Allah beri kesenangan agar kita selesa. Allah beri kesusahan agar kita semakin kuat di hari muka..

Namun... Lumrahnya manusia tidak pernah kenal erti puas! kita merungut ketika diri ditimpa kesusahan, kita marah ketika Allah beri ujian, kita menyoal "Kenapa ini semua terjadi padaku?" sedang Allah sentiasa memerhati, kita memberontak saat Allah tidak perkenankan doa yang dipohon sedang Allah masih menunggu masa yang sesuai untuk memberi yang lebih baik...

Sahabat...

Egonya kita pada Allah terkadang melebihi ego sesama manusia. Egonya kita terkadang sehingga kita terlupa bahawa kita hanyalah seorang hamba... Kita melakukan dosa tanpa henti namun jarang sekali kita menyesali..

Ketika kita jatuh, mulut pantas menyebut "Allah.." Tangan pantas diangkat "Allah bantu aku.." Sejadah kembali dibentang...

Namun, tika Allah beri kembali kesenangan, kita lupa segalanya. Kita lupa diri... Dan yang paling menyedihkan, kita lupa Allah-Tuhan semesta alam!

Allah yang mencipta.
Allah yang memberi kesenangan.
Allah yang memberi ketenangan.
Allah lah segalanya.

Allah...Allah...Allah...

Kami ini lemah ya Allah... Kami ini hina... Terkadang nafsu merajai hati, terkadang syaitan bijak mempengaruhi diri. Kami lemah ya Allah... Kami lemah tanpaMu...

Allah..Allah...Allah...

Bantulah kami melawan nafsu, bantulah kami ya Allah.....

Sahabat...

Sedarlah... dunia ini hanyalah sementara cuma. Entah esok, entah lusa.. Kita akan kembali ke 'sana'. Namun, apa bekalan kita? Adakah kita akan berbangga dengan dosa dan maksiat yang menggunung tinggi yang akan memusnahkan diri? Adakah kita pasti segala kebaikan yang kita lakukan diterima.... Atau mungkinkah ia dilempar kembali lantaran riak dan ujub menguasai hati?

Sahabat...

Entah esok, entah lusa... Ana akan kembali ke sana... Ketika itu, mahukah dikau berjanji, walau apa pun yang terjadi, walau badai datang menghampiri, mengaku kalah tidak sekali, tetapkan hati, kuatkan kaki menempuh jalan ini!

Allah menantimu di sana, wahai sekalian penghuni syurga.... :)

Wallahu'alam..

Read More......

Sunday, September 19, 2010

Berusaha dan Bertawakallah.


"Wa, bangun..." Kakak ana mengejutkan ana yang sudah lena dibuai mimpi.

Terpisat-pisat ana bangkit. "Kenapa?"

"Tu.. Tengok tu." Jarinya menuding ke satu sudut dinding bilik yang paling tinggi. Dalam kesamaran mata yang baru bangun dari tidur, ana melihat satu objek yang agak besar melekat di sudut dinding itu.

"Lipas?" Ana bertanya.

"Hm, besar tu. tidur luar je lah." Kakak ana membalas.

Sememangnya, seisi keluarga sudah maklum akan kegelian ana yang melampau terhadap lipas. Ana tidak senang duduk jadinya. Ngantuk yang membuai tadi serta-merta terbang. Ana tidak mahu tidur di luar (ruang tamu). Bilik ana harus dipertahankan! :)

Puas sudah ana berpusing satu rumah mencari penyembur lipas. Dari depan ke belakang, ke depan kembali. Hampa. Norma kehidupan, apabila tidak dicari, ada sahaja benda itu di hadapan mata, apabila dicari, ia lesap entah ke mana. Akhirnya ana menemui satu botol penyembur lipas itu, tapi sayangnya isinya sudah benar-benar hampir habis.

Ana bertawakal, menyembur sahaja di sekeliling bilik.

Pintu ditutup. Ana bergerak ke dapur, membuka peti ais yang setia mendiami dapur itu, tangan ana mencapai puding yang baru dibuat. Kuahnya dituang. Ana makan sambil menunggu natijah :)

Masih di Situ

Usai makan, pintu bilik dikuak sedikit.

"Allah.." Ana mendengus. Lipas itu masih statik di situ. Ana buntu. Usaha tadi tidak mendatangkan hasil.

Apa lagi yang tidak lengkap?

Lantas, di saat berkeseorangan begitu, ana berdoa dalam hati. Sungguh-sungguh.


"Ya Allah..Keluarkanlah lipas itu dari bilikku, matikanlah ia dengan izinMu."


Ana memerhatikan gelagat lipas tersebut.

Allah ada bersama mereka yang percaya

Lipas itu bergerak perlahan-lahan, sedikit demi sedikit menuruni dinding bilik. Akhirnya,ia sampai ke satu lubang angin yang tembus ke dapur dan terus masuk ke situ. Sekejap sahaja, lipas itu sudah lenyap dari pandangan.

"Subhanallah.."

Ana mengumpul sisa kekuatan menuju ke dapur. Kelihatan lipas itu ada di dinding dapur. Dengan baki spray yang hampir habis, ana menyembur.

Malangnya, lipas kembali masuk ke bilik ana. Namun, kali ini dia tidak panjat tinggi-tinggi lagi. :)

"Buat apa tu?" Satu suara menyergah.

Subhanallah... ayah ana rupanya. Ana menceritakan semua. Selepas itu, kami bersama-sama mencari penyembur. Tiada.

"Abah pergi 7 eleven jap lah." Ana terdiam. Terima kasih abah kerana sanggup bersusah payah....

Terima kasih Allah kerana menghadirkan ku teman saat ku keseorangan...

Akhirnya, lipas itu berjaya ditewaskan :) :)

Alhamdulillah... Lantas ana teringat pada firmanNya ;

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah (Al-Imran :159)


Dan benarlah ;

...Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah?.. (At-Taubat : 111)


Sahabat, renungkanlah...

Sahabat, hakikatnya setiap cerita dan jalan hidup yang kita lalui hari-hari punya pengarajarannya yang tersendiri jika kita melihat dengan mata hati.

Lihatlah betapa berhikmahnya Allah menciptakan jari-jemari yang tidak sama panjangnya, begitu juga dengan lubang hidung, terletak elok di bawah, bukan di atas.. Jika tidak kita tidak akan mampu bernafas ketika hujan!

Peristiwa yang baru ana lalui benar-benar mengetuk hati.... Betapa Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya, DIA selalu ada di sisi cuma manusia terkadang tidak yakin pada firmanNya ;

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (Al-Qaf : 16)


Sahabat, dalam setiap apa yang kita ingin lakukan.. Percayalah pada Allah, pemilik seluruh alam.. Usah gusar dalam melakukan apa-apa yang membawa kita dekat dengan Allah biarpun seluruh dunia mencerca kerana hakikatnya, jika kita percaya pada DIA, DIA pasti akan menolong kita.

Pasti. Jangan digusari.

Cukuplah hanya Allah yang menemani hari-hari kita.
Cukuplah hanya Allah tempat kita bergantung harap.
Cukuplah hanya Allah yang selalu memahami..

Berusaha dan bertawakallah kepada Allah...

Wahai pemilik nyawaku..Betapa lemah diriku ini.....

Wallahu'alam

Read More......

Saturday, September 18, 2010

Maafkanku...


Sahabat....
Coretan ini aku tujukan buat dirimu... Meski aku tidak pasti, apa mungkin engkau membacanya atau tidak... Tahukah dirimu, bahawa aku benar-benar sayang kepadamu. Sayang yang tidak lain hanyalah bertunjangkan cinta dan rindu kepada Rabb.. Sayang yang menyeruku untuk merindui peranan dakwah seorang khalifah di muka bumi...

Sahabat....
Kita pernah melalui suka dan duka bersama, melalui rintangan demi rintangan.. Tapi entah mengapa, pada ketika 'itu' hatiku merasa sayu.. Sayu yang keterlaluan... Ku pujuk hati dengan zikrullah, ku belai jiwa dengan memuji Allah, tapi kenapa sahabat.. Kenapa air mata ini seolah-olah tidak berhenti untuk mengalir.

Aku mencintaimu sungguh-sungguh. Cinta yang benar-benar bukan berasaskan duniawi, jelasnya aku ingin ke syurga bersamamu.. Berpimpinan tangan dan tersenyum gembira tatkala Allah menunjukkan wajahNya... Seronok bukan sahabat, andai kita mampu bergembira bergelak tawa di satu negeri yang kekal abadi!

Sungguh aku tidak menyangkal, terkadang kaki ini tersalah langkah.. Terkadang hati merasa penat dan marah lantaran teguran demi teguran secara berhikmah engkau abaikan, terkadang egomu menggunung tinggi, mengenepikan perasaanku yang terus-terusan ingin mengajakmu menuju redhaNya... Lantas, suaraku terkadang meninggi tanpa ku sedari.. Sahabat ketahuilah hakikatnya hatiku terbakar melihat kemaksiatan itu!

Aku cuba bersabar dan bersabar, ku cuba mencicip sedikit sabar dan tauladan yang Rasululullah tunjukkan, ku cuba membelai jiwamu dan cuba mengenepikan segalanya namun sayang aku tewas lagi... Aku sedar, terkadang jiwaku kalut maka aku tidak memahamimu.. Terkadang tubuhku menjadi tempat dikau melepaskan ketidakpuasan hatimu padaku.. Sakit yang ku tanggung aku abaikan...Aku sungguh-sungguh tidak mampu membiarkan engkau dengan kemaksiatan kerana aku sayang padamu!

Sahabat, aku benar-benar gerun pada amaran Allah akan dosa-dosa yang manusia lakukan. Aku gentar membaca perihal hukuman-hukuman buat mereka yang berdosa.. Justeru sahabat, aku ingin menyelamatkanmu... Aku ingin sekali engkau bersamaku dalam mencari cintaNya... Aku akui kata-katamu..aku bukanlah sesiapa untuk menilaimu.... Aku bukan Allah yang tahu segalanya, justeru itulah hatiku terbakar melihat kemaksiatan yang engkau lakukan di hadapan mataku....

Maafkan aku sahabat, atas segala kekurangan diri... Aku juga insan biasa yang masih banyak dosa, bahkan mungkin aku lebih hina darimu disisi Allah. Maafkan aku atas kekuranganku. Maafkan teguranku yang engkau tidak dapat terima.. Maafkan aku kerana terlalu menyayangimu..

Dan maafkan aku jika aku masih menangis....

Salam sayang..

Read More......

Tuesday, September 14, 2010

Jom! Cover Aurah



“Kak wawa, kenapa pakai tudung dalam rumah?” Si kecil itu bertanya ramah. Mata beningnya menusuk ke dalam hati. Suasana di kampung yang hingar-bingar pada ketika itu tidak lagi menjadi perhatian ana. Persoalannya merentap jiwa.

Ligat otak ana berfikir untuk menterjemah kata ke dalam perkataan yang paling mudah sekali buat si kecil itu, tapi entah kenapa fikiran ana seolah-olah buntu. Ana diam seribu bahasa, sesekali mengukir senyuman buatnya. Tangan ana mengusap-usap rambutnya yang lembut.

Dalam hati tidak putus berdoa, agar dia memahaminya suatu hari nanti...

Batasan aurat

Umumnya, ramai wanita yang bertudung ketika di luar rumah, tidak mengenakan tudung di dalam rumah, meskipun ada tetamu yang hadir.

“Pak cik ana tu enti, takkan kena tutup aurat juga.”

“Pak cik yang bagaimana? Adik beradik dengan ibu ayah?”

“Tidak”

“Jadi?”

“Pakcik yang berkahwin dengan adik ibu.”

“Maka aurat kita adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.”

“Ha?”

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (An-Nur : 31)

Ringkasannya, wanita tidak boleh melihatkan auratnya kepada lelaki ajnabi kecuali ;

Ayah

Ayah di sini termasuk juga datuk baik dari sebelah ayah atau ibu, juga bapa-bapa mereka ke atas (moyang ke atas). Namun harus diingat, bapa angkat tidak termasuk dalam kategori ini berdasarkan firmanNya :
"Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu …. "[Al-Ahzab: 4]

Ayah suami

Sama seperti ayah, cuma di pihak suami. Maksudnya, ayah mertua, datuk mertua. Ayah angkat suami juga tidak termasuk dalam kategori ini.

Putera-putera mereka & putera-putera suami mereka

Anak-anak mereka, atau anak-anak suami mereka (Si wanita bercerai dan berkahwin dengan lelaki yang telah mempunyai anak, apabila si wanita telah bersetubuh dengan suaminya, maka anak-anak suami mereka-anak tiri tidak lagi termasuk dalam kategori lelaki yang boleh dikahwini) maka auratnya adalah dari pusat hingga lutut sahaja.

Saudara-saudara laki-laki mereka

Adik beradik baik seibu, sebapa, atau seibu sebapa. Adik beradik suami tidak termasuk dalam kategori ini.

Putera-putera saudara lelaki atau perempuan

Anak-anak abang atau kakak atau adik. Dalam hal ini, pakcik (suami kepada makcik yang merupakan adik/kakak kepada ibu/bapa) adalah lelaki yang bukan muhrim.

Wanita-wanita Islam

Aurat dengan wanita bukan Islam adalah sama dengan lelaki ajnabi.

Budak-budak

Hamba yang dimiliki

Pelayan-pelayan lelaki yang tak mempunyai keinginan

Para lelaki yang tidak lagi mempunyai nafsu kepada wanita.

Anak-anak yang belum mengerti akan aurat wanita

Kanak-kanak kecil yang belum baligh.

Rukhsah Aurat

“Enti, takkanlah nak buat kerja semua kena pakai tudung labuh-labuh, susahlah nak buat kerja. Takkan cuci pinggan nak kena pakai handsock, habis basah. Takkan nak pergi mencuci lantai pun pakai stokin?”

Jangan bimbang. Allah itu tidak zalim dan tidak pernah membebani hambaNya. Buktinya? Allah membenarkan solat qasar dan jama' atau juga dikenali dengan rukhsah solat (kemudahan dalam solat )ketika kita sedang bermusafir agar dimudahkan segala urusan.

Begitu juga perihal aurat. Teringat ana pada pesan seorang ustazah, apabila kita di dalam rumah (di kampung atau rumah sendiri atau rumah saudara) dan pada ketika itu kita mahu membuat kerja (cuci pinggan, basuh kain) ada rukhsahnya. Tidak apa tak memakai stokin dan lengan boleh dilihat dalam satu jengkal sahaja dari pergelangan tangan. Itu rukhsahnya, tapi kalau duduk-duduk tu, pandai-pandailah tutup aurat, labuhkan sikit kain agar kaki yang tak berstokin dapat ditutup sedikit.

Bagaimana pula dengan tudung? Ana rasa sekarang tidak ada masalah lagi untuk menutup aurat, hatta di dalam rumah. Asal sahaja tudung itu labuh menutupi dada dari pandangan hadapan, sisi dan belakang, tidak ketat dan tidak meleka-lekat sehinnga kelihatan bentuk tubuh, maka pakailah.

Islam itu mudah dan tidak memberatkan.

Tegur Dengan Akhlak Mulia

“Enti, susahlah.... Saudara mara ana tak faham Islam, nak tegur pun susah.” Bicara seorang muslimat, runsing memikirkan beban amanah seorang khalifah.

Jangan runsing saudaraku, ingatkah kita pada satu akhlak mulia yang telah menambat hati ramai orang bukan Islam pada suatu ketika dahulu untuk memeluk Islam? Ingatkah kita, dengan akhlaknya, nama Islam harum semerbak ke seluruh dunia? Ingatkah kita pada satu akhlak yang dikenang sehingga kini?

Benar, Rasulullah adalah satu figur yang berakhlak mulia yang layak dijadikan tauladan.

Baginda bukan hanya berdakwah dengan kata-kata tetapi juga dengan peribadinya yang mulia. Maka, andai kita tidak berani menegur, tunjukkanlah akhlak yang mulia. Tunjukkan walaupun dengan bertudung dan menutup aurat tidak membataskan pergerakan dalam membuat kerja.

Islam itu indah.

Moga Menjadi Hamba Allah Yang Taat

“Aisyah nak pakai tudung macam kak wawa.” Si kecil itu berlari ke bilik. Ana menuruti

“Tudung Aisyah yang ni,” Ana menunjuk pada tudung ber'owning' kecil dan berbunga-bunga.

“Tak nak” Tangannya ligat mencapai tudung berwarna hitam milik ibunya. Dikenakan ke kepala.

Ana tersenyum geli hati.

Aduh.. Labuh sungguh!


Semoga sahabat sekalian beroleh manfaat. Mari menjadi hambaNya yang taat dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Allah agar hidup sentiasa tenang dan terhindar dari gejala yang tidak elok.

Rasul telah beriman kepada Al Qur'an yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): "Kami tidak membeda-bedakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami ta'at." (Mereka berdo'a): "Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali. (Al-Baqarah : 285)


Wallahu'alam :)

Read More......

Wednesday, September 8, 2010

Sahabat, Ingin ku sentuh hatimu...


Sahabat...
Ingin ku sentuh hatimu dengan bicara hikmah,
Sungguh diri ini bukanlah sempurna,
Bukan jua ma'sum dan tidak punya dosa,
Hakikatnya diriku dan dirimu punya satu misi yang sama,
Memburu cinta dan redha Allah, Tuhan yang satu!

Sahabat...
Alangkah gentar hati ini pabila teringat satu sabda Rasulullah;
Aku tidak bimbang umatku akan berlaku syirik, tetapi aku bimbang andai dunia dibentangkan di hadapan mereka!
Lihatlah sahabat...
Islam menjadi semakin asing,
Fesyen-fesyen dimanipulasi agar nampak islami walau hakikatnya tidak,
Wanita semakin tidak kisah akan auratnya,
Lelaki tidak menjaga adab,
Seolah-olah ingatan Allah akan seksa neraka jahannam adalah suatu mainan!

Sahabat...
Aku mengerti,
Hatimu memberontak,
Menyoal itu dan ini,
Berfikir...apakah syariat itu benar menyeksa?
Lantas syaitan membisikkan azimat,
Lupakan Allah, jadi temanku!
Engkau termangu di situ,
Berfikir tak pernah jemu,
Terkadang engkau berjaya melawan nafsu,
Namun pernah jua engkau tersungkur lesu,
Terkadang mindamu bijak mencipta alasan,
Membenarkan apa yang salah,
Tapi ingatlah... hati yang masih hidup adalah hati yang menyedari kesalahan itu.

Sahabat...
Ingatkah kamu,
Bahawa Allah ada berfirman,
Dia lebih dekat dari pembuluh darah kita,
Justeru,
tatkala dirimu lemah,
Pandanglah jauh di sudut hati,
Agar kamu menyedari,
Kamu tidak pernah bersendiri....

Sahabat,
Mahukah dikau berjanji denganku??
Tatkala ku lemah dan bersedih,
Hiburkan aku dengan ayat pencipta,
Tatkala aku terlalu gembira,
Ingatkan aku pada azabNya,
Bimbinglah daku sahabat,
Agar aku tidak tersungkur di jalan yang salah,
Bukan bermakna aku tidak percaya kepada Allah,
Tapi kerana itulah sahabat dicipta, sebagai penguat dan pemberi pesan kepadaku,
Begitu juga yang berlaku kepada Rasulullah yang kita cintai...

Berjanjilah sahabat,
Peganglah Islam,
Walau derita menghambat,
Kerana di sana... Syurga tersedia buatmu....
Aku sayang kamu, kerana Allah semata.. :)

Read More......

Tuesday, September 7, 2010

Warkahku untukmu.

Sekadar catatan pendek.

Tiada gambar untuk menceritakan.

Tiada video yang menyayat hati.

Tiada jua lagu yang membuai jiwa.


Pertama sekali, ana ingin memohon maaf.. Allah izin, laptop ana rosak dan ana mengalami sedikit kesukaran untuk mengemaskini blog.

Maaf buat jiwa-jiwa yang mendamba setitis peringatan. Maaf buat hati-hati yang inginkan nasihat. Moga entri-entri ana yang lepas boleh dibaca semula buat hati yang mendambakannya.

Ana tidak tahu bila laptop akan kembali 'pulih', semoga ia cepat 'sembuh' agar ana bisa menulis semula...

Sahabat, di kesempatan ini suka ana mengingatkan bahawa Ramadhan semakin meninggalkan kita. Apakah persiapan kita? Sudahkah kita beramal di sepertiga malam terakhirnya, atau kita sibuk membuat kuih dan bermain mercun semata??

Sahabat, ramadhan akan datang.... Adakah sempat untuk kita bertemunya? Atau maut dahulu yang datang menjengah? Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang terbaik untuk kita semua dan semoga amalan-amalan baik sepanjang bulan Ramadhan ini dikekalkan sehingga di luar bulan Ramadhan.

Bawa peribadi Ramadhan itu ke mana-mana dan ingatlah! Kita bukan menjadi hamba kepada Ramadhan, kita adalah hamba kepada Allah, justeru itu, amal ibadat yang dilakukan janganlah hanya sekadar di bulan Ramadhan..

Sahabatku yang dirahmati Allah... Mari kita muhasabah kembali puasa yang telah kita lalui hampir sebulan. Adakah puasa itu hanya dipenuhi dengan lapar dan dahaga tanpa terisi dengan ibadah lain? Adakah kita tidak menjaga syariat di bulan Ramadhan? Adakah ketika bulan yang mulia ini, ketika rahmat ALlah terbuka siang dan malam, tika pengampunanNya dibuka seluas-luasnya, tika syaitan diikat untuk memudahkan kita, kita masih lagi berminat untuk melakukan maksiat dan mengundang murkaNya???

Sahabatku yang diredhai ALlah... Marilah, mari bersama mencapai redhaNya... Tangisilah Ramadhan yang kian pergi meninggalkan kita dan semoga syawal yang bakal tiba, bukan diisi dengan keseronokan dunia semata. Isilah dengan zikrullah dan tasbih memuji pencipta, itulah kegembiraan hakiki untuk bertemu ALlah di syurgaNya yang kekal abadi.

Salam sayang, Selamat memburu redha ALlah. Maaf zahir dan batin..

Read More......

Wednesday, September 1, 2010

Raya, Fesyen dan Islam


“Letihnyaaa…” Ana mengeluh. Satu nafas panjang ditarik.

Antara menahan letih dan menahan marah. Kedua-duanya berpadu menjadi satu keluhan yang amat berat. Merenung masa depan ummah yang semakin kelam, membuatkan ana meluahkan kata,

“Kita balik jelah mak, nanti cuba cari kat tempat lain pula.”

Pagi itu, puas sudah satu shopping complex dijelajahi oleh ana dan umi tercinta dengan niat mahu mencari baju raya buat ana. Tapi hampa.

Baju semua jarang.
Baju semua terlalu menarik perhatian dengan manik dan labuci di sana sini.


Ana sudah kesuntukan waktu untuk menempah baju sendiri, mesin jahit pula meragam di ketika ini.

Tiada lagi baju kurung beridentitikan Islam, labuh, longgar dan tidak jarang.

Hebat betul yahudi menggunakan fesyen untuk menyesatkan pemikiran ummat Islam.

Pakai Inner, bolehkah?

“Sekarang ni fesyen lah.. Pakai inner kat dalam, kain baju kurung jarang sedikit.” Pernah ana mendengar kata-kata itu diluahkan oleh seorang wanita ayu.

Fesyen? Benarkah itu fesyen yang digambarkan dalam Islam?

Teringat ana pada satu hadith ;


Telah berkata Aisyah RA “Sesungguhnya Asma’binti Abu Bakar menemui Nabi SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini , sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”


Benar, ya! Ana mendengar suara hatimu. Pakai inner pun menutupi tubuh. Tapi sahabat, ingatlah, inner itu selalunya benar-benar melekat pada tubuh, apabila disarung baju kurung yang berkain nipis itu, masih ternampak bentuk tubuh kita.

Apa bezanya dengan memakai t-shirt ketat sahaja?

“Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah, kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga, sedangkan bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh” (Riwayat Muslim)


Tabarruj, apa tu?

Tabarruj bererti menarik perhatian. Di sini, konsepnya luas. Tabarruj bergantung kepada tempat juga. Andai sesuatu tempat itu persekitarannya, wanita hanya memakai warna hitam dan menutup aurat, kita pun pakai warna biru cair, menutup aurat dan menjadi pandangan mata setiap manusia maka itu adalah tabarruj.

Tapi!

Andai di sesuatu tempat itu, semuanya tidak menutup aurat dan tidak memakai pakaian yang berlandaskan syariat, maka andai kita memakai tudung dan menutup aurat sesempurna mungkin, semua mata memandang dengan pandangan pelik, maka itu bukanlah tabarruj melainkan mempertahankan imej seorang Islam.

Islam itu datang dalam keadaan yang asing, dan akan kembali pula dalam keadaan yang asing. Maka, berbahagialah orang-orang yang asing. (HR Tirmidzi)


Jadi, memakai baju yang keterlaluan hiasannya, walaupun menutup aurat di Malaysia ini, menurut pandangan ana ia adalah tabarruj.

“Enti, Islam melarang kecantikan kah?”

Tidak. Bahkan Islam menggalakkan kecantikan, kebersihan dan kekemasan. Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka pada kecantikan.

Tapi kecantikan yang dimaksudkan di sini adalah kecantikan yang bersederhana, berpada-pada. Tidak salah andai memakai bedak, tapi berpada.

Pakailah pakaian sesederhana mungkin, agar mata lelaki tidak berpaling dua kali. Kita Hawa, jagalah mereka, tunjukkan sayangmu kepada lelaki dengan menjaga pandangan mereka. Tundukkan nafsu mereka, agar terlindung mereka dari menjadi mangsa syaitan laknatullah. Lelaki itu, biarpun akalnya 9 tapi mampu ditipu oleh nafsu yang satu.

Pakailah secantik mungkin, bersolek lah setebal mana sekalipun, hanya untuk suamimu, lelaki yang halal buatmu. Izinkanlah Hawa.... Izinkanlah suamimu seorang sahaja yang berhak melihat kecantikanmu.

Izinkanlah mata suamimu sahaja yang menatap betapa cantiknya dirimu Hawa, diciptakan oleh Allah Yang Maha Esa!

Hebatnya Syaitan


Syaitan ada dua jenis. Pertama, syaitan yang benar-benar syaitan. Kedua, syaitan bertopengkan manusia.

Lihatlah sahabat, pintarnya kedua-dua mereka, mereka tahu, andai dikatakan ; “Jangan pakai tudung!” ummat Islam akan memberontak dan mempertahankan hak masing-masing. Jadi, dalam menarik ummat Islam dari landasan yang benar, mereka buat secara perlahan-lahan.

Tak apa, pakai ketat sikit. Janji berlengan panjang dan bertudung.
Tak apa berwangi-wangian sedikit, janji pakai tudung.
Ala, tak apa pakailah make-up, baru nampak cantik, janji bertudung.
Tak apa, pakailah inner. Kan masih bertudung?
Pakailah baju berlip-lap lip-lap tu, barulah orang nampak, janji pakai tudung.

Dan kita pun menurut, dengan penuh kepercayaan, sedang di sana... Allah tidak redha dengan perlakuan kita. Terjadilah kita dalam kalangan orang-orang yang rugi kerana apalah gunanya hidup tanpa redha-Nya....

Selepas itu,

Bukalah rambut sedikit, pakai selendang je.
Tak apa pakai lengan sekerat ni.
Tak perlulah pakai stokin, panas.

Sungguh, Allah telah mengingatkan kita dalam Al-Quran- wadah penyejuk jiwa.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu (Al-Baqarah :120)


Sahabat.... Ana benar-benar menyayangi kalian. Justeru, catatan ini ana wujudkan, sebagai tanda kasih ana terhadap kalian, meski kalian bosan dengan tajuk aurat yang sering ana tulis, contohnya : sini Sungguh, ana tidak sanggup melihat kalian menjadi panahan-panahan syaitan dalam melemahkan iman Muslimin-pejuang Agama.

Ana tidak mahu lagi sahabat, melihat kamu hanya menjadi Islam atas dasar nama. Ana mahu berpimpinan tangan bersama kalian menuju syurga-Nya yang abadi....

Baju Raya

“Ambil sahajalah yang tu.” Ana menunjuk pada baju kurung berwarna merah jambu. Hanya bersulam, berlabuci sedikit sahaja dan tidak jarang.

Itu sahaja yang ada. Tetapi ana masih harus membuka jahitan di pinggangnya agar tidak terlihat bentuk tubuh.

Susah benar mencari pakaian berimej Islam sekarang.

Pada masa hadapan, bagaimana pula?

Runsing benar ana memikirkannya.

Allah...Peliharalah kami.

Wallahu’alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .