Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, September 19, 2013

Percayalah..


Saat kau jatuh,
Saat kau hiba,
Saat kau menangis,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar...

Tatkala doa kau ucapkan,
Tatkali hancur hati kau katakan,
Tatkala kau rasa dirimu bersendirian,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar,


Biarpun terkadang kau rasa Dia tidak sayang,
Biarpun kau rasa doa tidak dimakbulkan,
Biarpun kau rasa berat sungguh dugaan,
Percayalah,
Allah sentiasa mendengar..

Bukankah dahulu senyum kau ukirkan?
Bukankah dahulu kau punya nikmat yang membahagiakan?
Bukankah dahulu hati kau tenang membahagiakan?
Lalu alasan apa lagi untuk kau ucapkan,
Bahawa Allah tidak mendengar?

Kau kata doa kau tak dimakbulkan,
Kau kata Allah tinggalkan kau sendirian,
Kau kata hati kau hancur berkecai,
Lalu kau kata :
Ahhh! Allah tidak mendengar permintaanku!

Aduhai kawan,
percayalah,
Allah sentiasa mendengar...

Bukannya DIA tak mahu makbulkan permintaan,
Bukannya DIA tak tahu kau hiba sendirian,
Tapi,
DIA mahu beri apa yang kau perlu,
Bukannya sekadar yang kau mahu,
Kerana DIA tahu,
Apa yang terbaik untukmu..

Lalu untuk apa lagi kau menangis?
Mengapa kau berhenti berjalan?
Teruslah berlari meski kau rasa sendiri,
Teruslah berlari meski kau rasa penat dengan semua ini,
Kerana,
Allah tidak pernah berhenti mendengar...

Satu saat kelak,
Tatkala kau kembali bahagia,
Jangan pernah kau lupa,
Bahawa Allah sentiasa mendengar...

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.(Al-Mu'min : 60)

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, September 10, 2013

Sebagai Manusia...


Sebagai manusia...
Kita sering merasa,
Bahawa kita ini ditinggalkan,
Oleh rakan dan juga taulan,
Sedangkan,
Allah tidak pernah meninggalkan,
Sentiasa menanti penuh sabar,
Bilakah kita mahu menyerah...


Sebagai manusia...
Kita sering kecewa,
Pada dunia yang sering menipu,
Sedangkan,
Allah tidak pernah mengecewakan,
Malah sentiasa membahagiakan,
Pemilik hati orang beriman...

Sebagai manusia...
Kita sering menangis,
Pada sesuatu yang sungguh remeh,
Sedangkan,
Allah sentiasa menanti,
Bilakah kita mahu mengadu lagi,
Kerana DIA tidak sabar mahu memakbulkan,
Doa-doamu wahai insan...

Sebagai manusia...
Kita sering merasa,
Bahawa Allah tidak lagi sayang,
Mengapa Allah tidak perkenankan doa,
Sedangkan,
Kita lupa,
Setiap detik nafas siapa yang jaga?
Berapa banyak nikmat yang kita alpa?


Ah,
Kita memang manusia yang alpa,
Tapi kita sering sombong bongkak,
Pada Allah yang menanti di sana...

Wahai Allahku,
Ampunkan daku...

Read More......

Sunday, September 8, 2013

Terfitnah?



"ya Allah, peritnya hati ini." Pernah saya merintih sebegini dahulu. Merintih dan terus merintih. Hingga terasa lemah kaki yang berjalan, terasa longlai jiwa yang mengharap.

Dan kini, saya kerap mendengar luahan sahabat, "Mas, saya kena fitnah, begini begitu."

"Mas, apa yang mereka cerita semuanya bohong."

"Mas, doakan kita kuat."

Fitnah itu dugaan yang besar. Saya sendiri pernah difitnah. Tatkala mata-mata memandang jelek, tatkala masyarakat menganggap kita umpama sampah yang bertebaran, tatkala hati-hati mereka membenci.... Ah, siapa yang tidak lelah?

Kekuatan Sejarah

Buatmu yang sedang lelah, mari.. di sini ada suatu cerita gembira.

Fitnah itu adalah ujian buat para Nabi dan Ulama, senang cerita..Allah menimpakan ujian tersebut pada mereka yang DIA cinta. Saya suka pada satu cerita Rasulullah s.a.w :

Di hujung sebuah pasar ada seorang wanita buta yang tidak henti-henti mulutnya mengatakan yang buruk-buruk pada Nabi yang kita cinta, of courselah cerita-ceritanya tu semuanya dusta. Nabi kan maksum, tiada dosa.

Maka Nabi S.A.W mengunjungi wanita tersebut, membawa makanan, dan tanpa sepatah kata menyuap wanita itu makan sehingga habis. Nabi melakukannya setiap hari, tanpa jemu, tanpa letih...Meski pun telinganya sendiri menangkap kata-kata pedih wanita tersebut.

Suatu hari, Nabi pun wafat. Sahabat bertanya kepada isteri Nabi adakah amalan Nabi yang selalu Nabi lakukan? Maka dikhabarkan kepada sahabat bahawa Nabi selalu menyuap wanita buta di tepi pasar itu makan.

Sahabat pun melakukan perkara yang sama, tetapi wanita itu bertanya, "Kamu siapa?"

"Aku adalah orang yang selalu memberimu makan." Balas sahabat.

"Kamu bohong!"Marah si wanita,"Orang yang selalu datang memberiku makan bersikap lembut denganku, makananku selalu dikunyahkan dahulu maka senang aku menelannya."

Mendengarkan itu, sahabat pun menangis, "Ya, orang itu telah pun wafat. Orang itu ialah orang yang selalu kamu caci. Dialah baginda Rasulullah.."

Mendengarkan itu, wanita tersebut pun terkejut dan menyesal. Lalu, syahadah pun diucapkan.

Nak dengar cerita lagi?

Kita kenal Imam Syafie yang sangat soleh dan tinggi tingkat ilmunya....

Beliau juga pernah difitnah menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan Bani Abbasiyah. Lalu beliau ditangkap, diikat kaki dan tangannya malah dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Jauh tahu?

Tetapi Imam Syafie bersabar, dan dengan izin Allah Imam Syafie terlepas daripada hukuman, malah orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal.

Bersabarlah, Allah itu Adil

Kita percaya Allah itu adilkan?

tapi kita tertanya-tanya kenapa sampai sekarang kita masih difitnah?

Mari, pertama sekali kita muhasabah diri. Bagaimana akhlak kita terhadap fitnah? adakah kita mengeluh tak tentu hala, adakah kita maki-maki orang yang memfitnah? atau adakah kita bersabar dan merintih kepada Allah?

Jangan tunjukkan level kita sama dengan orang yang memfitnah. Jangan. Kerana itu akan membuat orang yang memfitnah itu gembira.

"Heh..tengok, aku dah kata akhlak dia tu buruk."

Cubalah untuk tersenyum, ya ia pasti mengambil masa untuk hatimu sembuh, tetapi tersenyumlah... kerana senyuman itu amat ditakuti oleh para pemfitnah.

yang kedua, bersabarlah... suatu saat pasti Allah akan tunjukkan kebenarannya. Sama ada cepat atau lambat, Allah pasti tunjukkan.

Yakin, percaya.

Hei...kita ada Allah kan? Siapa yang ada Allah,tak perlukan apa-apa lagi dalam dunia ni. :)

Rileks, nanti Allah pasti membelamu! ;)

Dan Allah pun berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar (Al-Baqarah :153)

Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .