Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, February 28, 2015

Kerana ini tanah kita.




Dah lama tak tulis tentang Palestin. Tak. Bukan tak ingat. Tapi setiap kali nak tulis hati rasa sebak sangat. Tak mampu. Tapi yelah, ramai yang dah lupa pada mereka di sana. Jadi harini saya nak cerita sesuatu. Tentang palestin, tanah kita. Maaf andai terlalu panjang.
***
Tentera yang dipimpin oleh khalid al-walid seramai 41000 orang berjaya menewaskan tentera rom yang berjumlah 70000 orang di Jordan. Melalui kemenangan itu, peluang terbuka luas bagi Islam meluaskan kuasa ke Baitulmaqdis, palestin.

Walaubagaimanapun, Patriarch Sophranus enggan menyerahkan kunci Al-Quds kepada tentera Islam. Bahkan dia meletakkan syarat agar khalifah Islam pada ketika itu - Saidina Umar sendiri datang bertemunya di baitulmaqdis.

Berita tersebut sampai kepada Umar, lalu Umar berbincang bersama sahabatnya.

"Jangan!" Uthman menghalang, namun saidina Ali memberikan cadangan,

"Pergilah bertemu rakyat di Jerusalem, ia bukan sahaja kota suci buat umat Islam, tetapi juga negeri yang disayangi oleh Yahudi dan Nasrani"

Umar bersetuju dan membuat persediaan. Apakah persediaan Umar? Umar tidak membawa bala tenteranya,tidak juga dengan pakaian yang mewah melambangkan keteguhan kerajaannya.

Malah, Umar hanya pergi dengan seekor unta, bersama seorang pembantunya, sedikit makanan, air dan kurma. Umar bergilir-gilir menaiki unta dengan pembantunya, jika Umar naik, pembantunya memegang tali unta, begitulah sebaliknya.

Sebelum tiba di kota Al-Quds, mereka melalui khemah tentera yang dipimpin oleh Abu Ubaidah. Pada ketika itu pula adalah giliran Umar menarik tali unta dan pembantunya menaiki unta. Pembantunya rasa bersalah dan berkali-kali menawarkan agar tempat mereka ditukar. Namun Umar terap berkeras, mahu mengikuti giliran seperti yang dijanjikan.

Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Umar yang penuh dengan debu dan luka, dia berasa simpati lalu menawarkan,

"Wahai Umar, jika kamu memerintahkan agar kami memapah dan mengiringi kamu sehingga ke kota Al-Quds, pasti akan kami lakukan. Biarlah mereka melihat keagunganmu sebagai khalifah."

Umar memandang Abu Ubaidah, tajam. Lalu Umar membalas,"demi Allah! Jika bukan kamu yang melafazkan kata-kata tadi pastilah aku sudah menghukummu sebagai pengajaran buat umat ini. Sesungguhnya kita semua adalah hina lalu dimuliakan kerana Islam, jika kita memilih untuk dimuliakan selain dengan Islam, pastilah kita dihinakan oleh Allah"

Lalu Umar meneruskan perjalanan. Sebelum sampai ke Kota Al-Quds, sekali lagi pembantunya meminta Umar menaiki unta, tetapi Umar menolak keras. Lalu tibalah Umar di kota Al-Quds dalam berkeadaan menarik tali unta dengan kedua-dua kakinya luka.

Umar berhenti di dimashq - Salah satu pintu masuk kota Jerusalem. Dia meninggalkan pembantunya dan untanya lalu masuk ke Jerusalem dengan wajah bersinar-sinar lambang keizzahan Islam.

Pembesar nasrani terpegun, sophranus sangat terharu sehingga menitiskan air mata, katanya "jika beginilah pembesar Islam, maka kerajaan kamu tidak akan tewas." 

Kunci Al-Quds pun diserahkan kepada Umar , perjanjian temeterai, Umar menjanjikan keselamatan buat seluruh umat meski bukan beragama Islam. 

kebetulan ketika Umar berada di sebuah gereja, azan berkumandang, mereka menawarkan agar Umar sembahyang di gereja sahaja. Tapi Umar menolak, bukan kerana tidak boleh tetapi bimbang menjadi ikut-ikutan umat. Umar sembahyang di luar gereja, lalu mereka mendirikan sebuah masjid di situ, bernama masjid Umar, benar-benar bersebelahan gereja di Kota Jerusalem. 

Dahulu, Islam dihormati kerana kuatnya hubungan umat dengan pencipta, sekarang Islam diinjak sesuka hati, kerana salah siapa? 

Anak-anak palestin, hari-hari ada yang menjadi yatim. Namun pergantungan mereka pada pencipta, lebih hebat dari kita. Bila ditanya,

"Kamu asal dari mana?"

"Alhamdulillah, palestin"

"Mana orang tua kamu?"

"Di syurga."

"Bolehkah kami tinggal di sini, berjuang bersama kamu?"

Jawab mereka,"ini tanah kamu, bila-bila kamu mahu datang dipersilakan, tapi pulanglah ke negaramu, JALANKAN TANGGUNGJAWABMU di sana, dengan itu kami akan beroleh kemenangan" 

Nangis. Maafkanku, palestin. 

Bantulah mereka, berikan sumbangan, demi Allah mereka amat memerlukannya. 


Read More......

Wednesday, February 25, 2015

Ia sesuai kesanggupanmu




Assalamualaikum.

Selalu, kalau ada kelapangan, saya suka teman mak hantar abah pergi hospital. Bagi saya ia seolah satu terapi diri.

Acapkali saya cuba menyembunyikan air mata mendengar cerita makcik yang dihinggapi kanser tahap 4, namun dia masih tersenyum. mendengar luahan seorang ibu yang bayinya dijangkiti denggi berdarah, oh dan adik berumur 17 tahun yang kurus kering kesan kimoterapi, rambutnya tiada. Kansernya di tahap 3. Namun dia masih ke sekolah, tak putus asa. 

Seringkali juga saya tertawa kecil mendengar cerita lucu uncle yang diragut, mendengar seloka makcik yang sakit perut dan mendengar suara ceria pak guard yang jual kerepek sedap di pondok kecilnya. 

Ah, saya hampir sahaja tidak mampu membezakan apakah kegembiraan dan kesedihan di sini, kerana mereka semua tenang dan tersenyum. Ya, ada juga yang bermuram durja, tiada anak yang datang melawat, atau sedih mengenangkan bahagianya kehidupan di luar sana, tidak seperti di ruangan 4 dinding bernama bilik hospital.

Lalu, saya tertanya-tanya, bagaimana mereka mampu menjadi begitu kuat, menjalani kehidupan sehari-hari, tidak putus memanjatkan doa pada Ilahi, walau dia sedari nyawanya bersisa cuma beberapa hari... 

Benarlah, sungguh benar firmanNya : 

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya, dia mendapat pahala dari kebaikan yang dilakukannya dan mendapat dosa dari kejahatan yang dilakukannya (Al-Baqarah : 286) 

Kesanggupan yang kita rasa bukan pada nilaian kita sebagai manusia, tetapi ia pada penilaian Allah Yang Maha Esa.

Percayalah, siapakah yang paling menepati janji selain Allah? 

:)

Read More......

Cinta Mulia



Assalamualaikum.

sudah-sudahlah asyik update status di mana imamku, di mana tulang rusukku, mari, saya ceritakan sebuah kisah yang lebih menarik, lebih menyentuh hati.

Ia sebuah kisah cinta tulus seorang wanita yang gagah berani. Namanya Asma’ binti Abu Bakar, ya, dia puteri Abu Bakar sahabat Nabi.

Semenjak kecil lagi Asma’ telah dididik dengan baik oleh bapanya, lalu setelah menginjak dewasa, rasa kecintaan kepada Rasulullah semakin mendalam, sehinggalah suatu ketika Abu Bakar menemani Nabi berhijrah dan terpaksa bersembunyi dalam gua di bukit Thur kerana musuh terlalu hampir.

Pada ketika itu, Asma’ si wanita yang mulia tampil membantu bapanya. Dialah yang berulang-alik menghantar makanan. Oleh kerana Asma’ tidak mempunyai tali bagi mengikat makanannya, dia telah membelah tali pinggangnya menjadi dua. satu bagi mengikat bekas makanan dan satu lagi sebagai ikatan bekas simpanan air. Atas peristiwa ini, Asma’ digelar Dzatin-Nithaqain, bermakna gadis yang mempunyai dua belahan tali pinggang.

Dengan penuh ketabahan Asma’ melalui jalan dari Makkah ke Bukit Thur, memanjat bukit,sambil berhati-hati daripada musuh bukanlah perkara mudah. Kita nak panjat bukit yang dah siap jalan cantik pun termengah-mengah, apa lagi pada zaman dahulu Bukit Thur dipenuhi batu batan. Hatta lelaki yang gagah pun sukar melakukan apa yang Asma’ lakukan.

Suatu hari, dalam perjalanan pulang dari Bukit Thur, Asma’ telah ditahan oleh beberapa orang tentera Quraisy yang diketuai oleh Abu Jahal.

“Di manakah Muhammad?” Abu Jahal bertempik.

Asma’ diam. menggelengkan kepala. Meski diasak berkali-kali, Asma’ tetap mengunci mulutnya hingga Abu Jahal naik berang lalu ditampar Asma’ sekuat hati sehingga anting-anting Asma’ terpelanting. Kesakitan itu dirasakan Asma’ beberapa hari, namun dia tetap merahsiakan tempat persembunyian Rasulullah meski pun nyawanya terancam.

Perkara ini memberi kesan pada Asma’ dalam memilih jodohnya. Asma’ menerima Zubair bin Awwam sebagai suaminya. Siapakah Zubair? Zubair tidak terkenal malah tidak berharta. Dia hanyalah seorang pejuang Islam yang miskin, namun kaya dengan semangat perjuangan.

Walaupun Asma’ sering ditinggalkan sendirian kerana suaminya keluar berjuang, Asma’ tidak pernah berkeluh-kesah. Dengan rela hati dia melepaskan suaminya dan menjaga anaknya, Abdullah bin Zubair.

Hasil didikan ibu yang solehah, Abdullah menjadi ketua di Makkah dan Madinah dalam masa yang lama sehinggalah berlaku rampasan kuasa. Kemenangan berpihak pada Bani Umaiyah. Abdullah menjadi buruan. Lalu dia meminta pendapat ibunya,

“Wahai ibu, adakah aku harus terus berjuang atau terus sahaja mengaku kalah?”

Apa jawab Asma’? Dengan tenang Asma’ menjawab, “Wahai anakku, sekiranya engkau mendapati bahawa dirimu berada di pihak yang benar, maka teruskan berjuang kerananya. sesungguhnya mati kerana mempertahankan yang hak itu lebih bermakna daripada hidup yang terpaksa tunduk kepada kezaliman.”

Subhanallah. pada ketika itu Asma’ sudah pun mencecah usia 100 tahun, tetapi cintanya tidak pernah pudar. Ya. cinta begini yang mulia, yang membantu seisi manusia dekat pada Tuhannya.

Bukankah hakikat cinta itu mahu ke syurga bersama-sama? Lalu mengapa kau campakkan orang yang kau cinta ke neraka dengan maksiat yang ternoda?

Berusahalah meraikan cinta pada jalan yang diredhai, kerana cinta yang kau rasa adalah anugerah dari Yang Esa. Mengapa tergamak kau ketepikan-Nya?

Wallahu’alam :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .