Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, November 21, 2008

Wahai Ukhti Muslimah..


Perlahan kaki Ahmad melangkah dari satu kedai ke satu kedai, mencari seutas jam tangan untuk dipakai. Gaji yang dikumpul sudah banyak. Memudahkannya untuk membeli barang-barang yang telah lama diingininya.


Sebaik kakinya melangkah masuk ke sebuah kedai jam tangan terkemuka, matanya tertancap pada seutas jam tangan. Cantik. Biarpun cantik, hati Ahmad sedikit kecewa. Jam tangan itu telah dibelek-belek malah kecantikannya telah menjadi tontonan ramai…


“Tokei, takde ke jam tangan yang elok bersampul” Justeru Ahmad bertanya. “Ada..ada!” Sebaik jam tangan yang elok bersampul diserahkan, mata Ahmad terpaku. Barang yang di dalam sampul itu sama sahaja jenamanya dengan jam tangan yang telah menjadi bahan pameran. Namun, pada pandangan Ahmad, jam yang di dalam sampul itu tampak lebih berharga. Lebih berkualiti. Tanpa banyak soal, wang dihulur dan jam tangan yang elok bersampul itu menjadi kepunyaan Ahmad. Dipakai dengan penuh kemegahan.


Ahmad berjalan lagi, mencari-cari kereta idaman hati. Sebuah kereta yang menjadi bahan pameran menarik hati Ahmad. Langkahnya diatur menuju sasaran.
“Adik, nak beli kereta ke?” Penjual kereta menyapa. Ahmad mengangguk. “Kalau nak yang murah, yang ni lah, ni barang second hand je, tapi murah la jugak. Kereta ni ok lagi, tak pernah rosak lagi” Ahmad merenung. Biarpun kereta ini tidak pernah rosak. Mana kan sama kereta second-hand dengan kereta first hand. Mana kan sama kereta baru dengan kereta yang telah dipegang orang. Mana kan sama kereta mahal dengan kereta yang telah di pandu uji!

***


Wahai ukhti muslimah…
Jadilah seperti jam tangan yang elok bersampul itu. Elok dijaga dari pandangan orang ramai. Tampak bernilai pada pandangan para lelaki soleh… Pada asasnya, semua wanita adalah sama. Cuma yang membezakannya adalah nilai keimanan dalam diri. Adakah imanmu membenarkan dirimu dibelek-belek, dibiarkan sahaja menjadi tatapan kumbang-kumbang perosak?


Jadilah juga seperti kereta yang baru. Tidak pernah dipandu uji, tidak pernah dibelek-belek orang. Jagalah auratmu sebaik mungkin.Mungkin, ada muslimah yang mengatakan bahawa Allah itu memandang pada hati, tidak menutup aurat pun tidak mengapa asalkan hati itu baik.


Wahai ukhti muslimah, ketahuilah menutup aurat itu adalah arahan dari Allah untuk kita, bukankah salah satu sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam ialah Allah tidak semata-mata sebagai sembahan bahkan merupakan kuasa tertinggi dalam penciptaan hukum-hakam. fikirkanlah…. Jika anda hanya menyembah Allah tanpa menuruti arahanNya yang lain adakah anda telah mencakupi sifat mereka yang hidup untuk Islam-ALLAH merupakan kuasa tertinggi dalam penciptaan hukum-hakam.


Bayangkan….
Jika anda mempunyai seorang orang gaji yang sangat baik. Mungkin terlalu baik pada pandangan mata anda, tidak pernah mahu menyakitkan hati anda. Tetapi, pada satu hari, anda menyuruh orang gaji anda mengemas rumah yang agak bersepah kerana anda bakal menerima tetamu. Namun, natijahnya, orang gaji anda hanya bergayut di telefon sepanjang hari dengan teman lelakinya. Marahkah anda? Orang gaji anda terlalu baik hati. Tidak pernah tinggi suara, tidak pernah engkar arahan anda selama ini. Cuma pada hari itu dia telah mengengkarinya dengan mengutamakan teman lelakinya lebih dari anda.Akibatnya anda terpaksa menanggung malu pada tetamu anda…. Sedangkan anda telah membayar gaji orang gaji anda yang sangat baik hati itu…


Jika anda tidak mahu menutup aurat. Samalah anda dengan orang gaji itu. Pelbagai nikmat telah anda terima, namun arahanNya agar anda menutup aurat, anda engkari… Biarpun anda sangat menjaga hubungan dengan masyarakat sekalipun, sanggupkah anda mengundang kemurkaan Allah s.w.t?


“Ah, buat apa pakai tudung.. Orang pakai tudung tu perangai lagi teruk dari aku yang tak pakai tudung ni”


Wahai ukhti muslimah… Ingatlah, tudung itu hanyalah sehelai kain, fahamilah nilai tudung itu sendiri. Jika seorang wanita mahu menzahirkan keimannya dengan bertudung, biarpun kelakuannya sedikit sumbang, bagaimana pula dengan yang tidak bertudung? Mengertilah. Nilai tudung itu adalah menjaga kehormatan diri kita, zahir dan batin… Menjaga percakapan,menjaga tingkahlaku,menjaga pandangan jua pendengaran… Nilailah tudung dengan nilainya yang tersembunyi…

Jika telah tahu bahawa tidak elok melakukan perkara-perkara yang mungkar, tinggalkanlah… Bukankah telah tercipta pepatah yang elok dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Maka pakailah tudung,tutuplah aurat dan jangan ditiru perbuatan yang anda sendiri tidak menggemarinya, kerana saya percaya,Allah telah mengurniakan anda dengan akal fikiran yang mampu membuat anda berfikir dengan baik… Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w bahawa hati itu gelisah jika melakukan kejahatan. Maka nilailah hatimu dengan sebaik-baiknya, jangan biarkan imanmu terseksa… Kasihanilah jua bakal suamimu yang harus membayar mahar yang mahal namun hanya mendapat barang second hand, yang telah dibelek-belek,dilihat-lihat orang atau mungkin jua yang telah dipandu uji!

Akhir sekali wahai ukhti muslimah… JANGAN DIFIKIR APA YANG ANDA LAKUKAN ITU MERUPAKAN DOSA KECIL ATAU BESAR… TAPI FIKIRLAH ARAHAN SIAPA YANG ANDA TELAH ENGKARI….

Read More......

Wednesday, November 19, 2008

Ubat Bagi Hati


Anak kecil yang comel itu berlari penuh girang. Tawanya jelas kedengaran. Entah apa yang menggembirakan hatinya, hanya dia dan penciptanya sahaja yang mengetahui. Kaki dihayun selaju mungkin, menuju matlamat yang tidak pasti…
Namun, sedang tawa menghiasi diri, kaki pula tersadung batu. Lalu si anak kecil itu terduduk kesakitan. Lututnya berdarah. Gelak tawa yang tadi penuh menghiasi alam diganti pula dengan tangisan yang syahdu. Mata bening itu tetap sahaja menatap luka di lutut. “Apakah salahku” Bicara si anak kecil..
Masa terus berlalu dan lututnya semakin pulih, sehinggakan tiada langsung kesan yang menandakan lutut itu pernah tercedera.. Anak kecil itu kembali gembira….


***


Dalam kehidupan ini, seringkali kita menghadapi situasi seperti anak kecil itu. Namun mungkin situasi kita lebih parah kerana kita sering sahaja terluka di tempat yang tidak kelihatan lukanya.Hati. Di situlah kita sering terluka kerana semakin kita menginjak usia dewasa, semakin pula bermacam-macam jenis perasaan datang menjengah.


Ada yang terluka kerana kawan.
Ada yang terluka kerana keluarga.
Ada yang terluka kerana nasib diri.
Ada yang terluka kerana kekasih.


Lantas, natijahnya sama seperti si anak kecil itu, air mata mengalir deras menuju pipi. Seringkali pula kita terlupa untuk menitiskan air mata demi Allah. Seringkali juga kita terlupa bahawa kita semakin jauh dariNya dan seringkali terlontar ayat “Apakah salahku” dari mulut kita. Kita sering sahaja merenung luka di hati kita tanpa kita sedari mungkin ada sekeping hati milik insan lain yang terluka lantaran kebiadapan kita.


Kita seolah-olah batu yang disadung anak kecil itu. Tapi,kita sering terlupa…
Apabila hati terluka, senang sahaja jiwa menyalahkan takdir. Menyatakan bahawa Allah tidak adil! Sedangkan diri kita sendiri yang tidak pernah mencari sinar kebahagiaan itu… Diri kita sendiri yang sering memandang negative pada setiap perkara… Pada saat iman menjerit-jerit minta difahami, nafsu meronta-ronta minta dituruti, mengapakah hati itu terlalu cenderung dengan tuntutan nafsu lantas membiarkan iman terkulai kesedihan…


Jika lutut yang terluka bolehlah diletak minyak atau iodine utk mengubati luka yang berdarah. Di hati bagaimana? Sahabatku, ubatilah hatimu dengan bacaan-bacaan dari kitab suci Al-Quran, jua zikir-zikir yang membawa hati lebih dekat kepadaNya. Di situ pasti akan ditemui sebuah kedamaian yang dicari-cari... Jangan dituruti hawa nafsu, tapi berilah makanan kepada imanmu… =) Bukankah telah tertulis dalam Kitab Suci Al-Quran ;


Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram(Al-Ra’d:28)

Read More......

Saturday, November 15, 2008

Perjuangan Ini Bukan Mudah..


Sahabatku..
Jalan yang kita tempuh tidak semudah yang disangka,
Jalan yang kita tempuh tidak selicin lebuhraya,
Bahkan dipenuhi onak duri jua debu-debu kotor..
Kadangkala kita jua tersungkur, tersungkur dalam mencari secebis sinar penyuluh kehidupan,
Kadangkala kita jua mengaduh sakit terkena duri-duri tajam,
Kadangkala kita menangis akibat debu-debu kotor yang melekat di tubuh…

Tapi ingatlah sahabatku,
Jalan yang sukar itu tanda cintaNya kepada kita,
Jalan yang berliku itu ujian tanda kasihNya pada kita,
Untuk menjadikan kita tabah serta sabar dalam menghadapi dunia yang kian ganas..
Dunia ini hambar tanpa ujian,
Hati ini keras tanpa deraian air mata,
Ayuhlah kita berpimpin tangan berganding bahu demi menuju redha yang Esa,
Jangan bersedih wahai sahabat andai kau jatuh tersungkur,
Jangan berduka andai kau rebah menyembah bumi,
Kerna setiap langkah kakimu diambil kira oleh Allah..

Ayuh bangkit sahabat,
Kita tinggalkan gelak tawa mereka yang galak mengejek,
Kita terus mara ke hadapan demi matlamat yang satu,
Kita tinggalkan langkah yang lesu,
Kita padamkan angan-angan palsu,
Biar 1000 dugaan datang menjengah,
Jangan kau melatah,
Ku harap dikau akan terus tabah,
Kerna perjuangan ini BUKAN MUDAH....
PERJUANGAN INI BUKAN MUDAH....!

Read More......

Tuesday, November 11, 2008

Sehelai Kain Putih...



Alhamdulillah… ana dah selamat menjalani program anak angkat selama 4 hari 3 malam anjuran rakan muda… Suasana di desa memang cukup member kesan pada diri ana,apatah lagi di sinilah pengalaman ana menghalau kambing.. :)


Namun,dalam suka pasti ada duka nya… Mungkin tempoh 4 hari terlalu singkat untuk ana membuat penilaian penduduk kampong ini.. ana tidak nafikan mereka sangat baik,peramah,ringan tulang.. Namun apa yang menyebakkan hati ana sebak adalah akhlak yang tersasar dari ajaran Islam itu sendiri.. Ana semakin sebak apabila ana diberitahu bahawa pada sesiapa remaja perempuan yang menutup aurat dengan sempurna pasti akan diejek dan dipulaukan…


Ya Allah…


Dan air mata ana tidak dapat ditahan-tahan lagi apabila majlis penutup menjadi sebuah konsert yang membawa sekalian manusia semakin jauh dari Allah… Imam kampong juga terlibat! Kata-kata akak halaqah bagaikan terngiang-ngiang di telinga ana “Jauhkanlah diri dari majlis yang membawa anda jauh dari Allah”.. Saat remaja-remaja harapan agama terjerit-jerit ana menangis kehibaan, lantas ana meninggalkan dewan…


Teringat ana pada si kecil yang berusia 4 tahun, Aishah…


Aishah datang ke bilik sewaktu ana sedang berkemas-kemas untuk pulang semula ke kuis..


“Aishah dah makan?”


“Dah”


“Aishah makan apa?”


“Nasi”


Dan ana kembali melayan anak kecil itu, dukung, timang sehingga ana berasa sedikit letih…


“Aishah, akak penatlah… akak tak makan lagi, Aishah makan apa tadi?” Sengaja ana mengulangi soalan ana menguji kejujurannya..


“Mee”


Ana tersenyum..


“Aik? Aishah kata makan nasi tadi.. Aishah tipu eh.. Tak baik tipu tau…”


“Aishah tak bohong. Janji” Si kecil masih mahu mempertahankan hujahnya. Ana diam.


“Akak.. Aishah nak kahwin dengan abang handsome” Terkejut ana kerana ayat itu keluarnya dari si kecil yang berumur 4 tahun, namun ana masih cuba mengawal perasaan.


“Kenapa nak kahwin dengan abang handsome? Tak nak kahwin dengan abang beriman? Nanti dia boleh bawa Aishah masuk syurga” Ana cuba mengasuhnya serba sedikit dengan ayat yang ana rasa ringkas namun mungkin tidak bagi si kecil itu. Wajahnya berkerut.


“Aishah tahu syurga tu apa?”


“Tah tahu”


“Kat syurga best tau.. Nak apa je dapat.. Aishah kalau nak gula cakap je nak gula nanti terus ada.. Best kan? Aishah nak masuk syurga?” Aishah mengangguk.. “Kalau nak masuk syurga, kena buat baik, tak boleh bohong, tak boleh lawan cakap mak..” Pada waktu ini, kak dayah menghulurkan Aishah sebiji coklat. Aishah mengambilnya dan mencampakkannya “Taknaklah”


“Aishah.. tak baik macamtu, budak baik nak masuk syurga tak boleh buat macam tu, kalau orang bagi barang kena cakap apa?”


Aishah kembali mengambil coklat itu.. “Terima kasih akak” Ana terharu…


“Akak.. Aishah takut hantu” Ana terkesima. Si kain putih itu telah diasak dengan wajarnya takut kepada hantu, si kain putih itu tidak diajar takut pada Allah, saying pada Allah.. tidak diajar apa itu syurga mahupun neraka..


“Aishah jangan takut dengan hantu. Allah kan ada.. Allah jaga Aishah.. Aishah sayang Allah?” Aishah yang masih duduk di riba ana terus mengatakan sayang! Tapi..


“Akak, Allah kat mana?” Mata beningnya memandang tepat mata ana. Mengharapkan satu jawapan yang pasti..


“Ada kat atas langit,sayang..” Ana menerangkan seringkas mungkin. Semoga dia memahami…


“Akak, jom nyanyi”


“Ok.. Aishah ikut ye.. Subhanallah, walhamdulillah…” ana teruskan mengalunkan zikrullah dan diikuti oleh suara comel milik Aishah.. Subhanallah, ana merasa satu getaran dalam hati ana.. Rasa apakah itu ya Allah?....


Selepas segalanya siap dikemas, ana turun ke bawah untuk menikmati sarapan. Aishah sedang sibuk bermain dengan anak patungnya, dan tiba-tiba ana terdengar Aishah mengajar anak patungnya..


“Ta baik bohong tau.. tak baik bohong..”


Subhanallah!


Betapa pentingnya mencorakkan sehelai kain putih, Agar coraknya cantik tersusun..


Betapa pentingnya mendidik si kecil harapan agama agar apabila dewasa nanti dapatlah bersama-sama menegakkan agama Islam tercinta..


Hati ana kian sebak memikirkan nasib anak-anak muda di kampong itu.. Mungkinkah mereka tidak mendapat didikan agama yang sebaiknya atau mereka terpengaruh dengan dunia yang semakin ganas.. Pergaulan antara perempuan dengan lelaki bagaikan tiada batasan, kata-kata kesat bagaikan air meluncur laju dari mulut mereka… Semoga adik-adik angkat ku masih ingat lagi pesanan yang ditinggalkan buat mereka... amin!


Ya Allah, semoga taufiq dan hidayahMu singgah jua di hati mereka.. amin!


Read More......

Wednesday, November 5, 2008

Hati seorang ayah......

Beratnya untuk melepaskan dia pergi. Selama ini, tangan ini yang membelainya. Selama ini, hati ini yang selalu bimbangkannya. Sejak suara tangisnya yang pertama, sejak ku laungkan azan di telinganya, aku begitu mengasihinya. Ya, dia adalah permata hatiku. Namun, dia bukan selamanya milikku….

Rumah ini, cuma persinggahan dalam perjalanannya menuju kedewasaan. Dan kini sudah hampir masanya kau pamit. Walaupun di hatiku tercalar sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan waktu? Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaan? Maafkan aku wahai anak…. Bukan aku tidak tega, tetapi kerana terlalu cinta!

Hatiku tertanya-tanya, apakah ada insan lain yang boleh menjaganya sepenuh hati. Sejak bertatih, aku melihat jatuh bangunnya tanpa rasa letih. Siapakah yang membalut luka hatinya dalam kembara itu nanti? Aku jauh……bila segalanya bertukar tangan, amanah akan diserahkan. Aku tahu saat itu aku mesti mula melepaskan. Itu satu hakikat.


Cinta seorang ayah bukan bererti mengikat..


Cinta bukan bereti mengikat… tetapi melepaskan, membebaskan. Kau umpama anak burung yang telah bersayap, telah mampu terbang membelah awan, meninggalkan sarang. Apakah aku terlalu dungu untuk terus membelenggu?

Puteriku… kau terpaksa ku lepaskan…. Apakah si dia mampu menyayanginya seperti aku? Ah, mengapa rasa curiga ini datang bertandang. Bukankah segalanya telah di putuskan sejak dia membisikkan bahawa hatinya telah diserahkan kepada ‘si dia’- lelaki pilihannya? Bukankah segala perbincangan musim lalu telah terungkai dan keputusannya telah dimeterai?

Namun… hati ayah…. Hati abah… pasti ada gundah. Sudah pasrah, tapi diguris goyah. Bolak-balik hati ini wahai anak… terlalu laju untuk dipaku.

Tepatkah plihanmu? Tepatkah keputusanku? Namun siapakah kita yang boleh membaca masa depan? Layakkah kita mengukur kesudahan di batas permulaan?

Sangka baik jadi penawar. Kau anak yang baik, insyaAllah pilihanmu juga baik. Tuhan tidak akan mengecewakanmu. Jodohmu telah ditentukan. Dan ketentuan Allah itu pasti ada kebaikan!

Kekadang, aku diserbu seribu pertanyaan. Apakah aku masih di hatinya setelah dia bersuami nanti? Atau aku hanya akan menjadi tugu kenangan yang dijengah sekali-sekala? Bukan, bukan aku membangkit, jauh sekali mengungkit…upayaku mendidikmu bukan suatu jasa. Itu hanya satu amanah.

Namun, ketika usia menjangkau senja, aku pasti semakin sepi…… aku akan mengulang-ulang kisah lama yang penuh nostalgia. Diulit oleh kenangan indah musim lalu, ketika dia begitu manja di sisi. Aku ingin mendengar lagi suaranya yang dulu-dulu. Mengadu tentang ini dan itu. Bercerita dan berkisah, dengan lidahmu yang petah dan lagak yang penuh keletah.

Pergilah. Aku rela. Allah bersamamu.

Doaku mengiringi setiap langkah di alam rumah tanggamu nanti. Moga si dia akan menjaganya seperti aku menjaga ibunya.umminya. aku akan bersangka baik. Justeru Allah itu menurut sangkaan hamba-hambaNya. Aku bersangka baik, insyaAllah, dia dan aku akan mendapat yang terbaik. Di situ, noktahlah kebimbangan hati seorang ayah. Seorang abah!

(diambil daripada:www.iluvislam.com)

Read More......

ya Allah.. bantulah hambamu ini..


Ana pening. Fikiran serabut. Masalah datang menimpa-nimpa.. terkadang terasa ingin mengalah dengan arus dunia.. Mujur, Allah masih memberi ana peluang untuk memuhasabah diri....

Hati sebak tidak terkira lantaran diri menjadi bahan fitnah dunia... Terkadang terlintas di fikiran mengapakah ana diciptakan jika hanya untuk menjadi penyumbang kepada penyakit hati mereka.. Air mata tidak dapat ditahan, lantas ana menangis di hadapanNya...

"Oh Allah.. Mungkinkah Kau sudi untuk mendengar rintihanku yang hina ini?" Ana tidak semulia wali-wali Allah.. Jauh sekali dari tahap mulia itu.. Tapi jauh di sudut hati, ana terlalu mendambakan kasihNya.. Mungkinkah ujian ini tanda sayangNya kepada ana ataupun sebagai tanda peringatan bagi ana yang banyak terlalai.. Oh Allah.. aku tidak tahu,mungkinkah Kau menerima cintaku ya Ilahi......

Di saat hati meronta-ronta dengan kekejaman arus dunia, ana teringat pada sesuatu...

TANDA-TANDA INSAN BERTAQWA:-

1-Beriman kepada Allah
2-Beriman kepada malaikat
3-Beriman kepada kitab-kitab Allah
4-Beriman kepada para Rasul
5-Beriman kepada hari akhirat
6-Mendirikan solat
7-Menunaikan zakat
8-Menginfaqkan harta kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang miskin
9-menepati janji
10-Bersabar dalam menghadapi penderitaan dan kemiskinan
11-Jujur dengan Allah
12-Menjunjung tinggi syiar Allah
13-Memberikan infaq,baik di waktu kecukupan atau kekurangan
14-Menahan marah
15-Memaafkan orang lain
16-Beriman kepada risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w berupa hal-hal ghaib.

Sedikit sebanyak, hati ana terpujuk... Baiknya Allah... Doakan ana semoga sentiasa sabar dan tabah mengharungi arus dunia....

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami...............

Read More......

Sunday, November 2, 2008

Sahabatku Muslimah....


Sahabatku Muslimah...
Izinkanlah diri ini mencoretkan barang sepatah dua kata buat tatapan dirimu di sana..

Sahabatku Muslimah...
Ketahuilah bahawa diri ini terlalu menyayangimu,
Lantaran itu hati ini yang sarat dengan cinta kepadamu keranaNya tidak tegar melihat dirimu terus-terusan melakukan kemungkaran kerana diriku dan dirimu tahu bahawa janji Allah itu benar...
Aku akui,
Diriku tidaklah sehebat Rabiatul Adawiyah yang menaruh segala cintanya kepada Allah yang Esa,
Tidak juga sehebat Siti Khadijah yang berkorban segalanya demi Islam tercinta,
Masih jauh ketinggalan di belakang Aishah, yang menemani Rasulullah sehingga ke akhir hayat baginda..
Tidak juga setaraf dengan Siti Hajar yang berlari-lari antara Safa dan Marwa demi Ismail tercinta..
Tapi ketahuilah bahawa rasa sayang kepadamu melebihi rasa cinta Shah Jehan kepada isterinya,
Jika Shah Jehan sanggup membina Taj Mahal demi isteri tercinta,
Maka diriku sanggup bersusah-payah bersamamu demi syurga yang hakiki......

Sahabatku Muslimah...
Betapa hancur luluhnya hatiku tatkala melihat bunga yang seharusnya kembang mekar di taman larangan dihisap madunya oleh kumbang-kumbang jalanan..
Setiap kali mengenangkannya, setiap kali itu jugalah sekeping hati milikku ini sebak tidak terkira..
Mengapa tergamak kalian menyakiti ALLAH dan RasulNya?
Ayuh! kita bersama-sama berpimpin tangan demi menegakkan syariatNya...

Sahabatku Muslimah...
Jadilah seperti permata di celahan kaca, kemilau cahayanya masih bisa kelihatan, membezakannya dengan kaca yang tidak berkualiti..
Jadilah seperti ikan di laut masin, isinya tetap tawar biarpun hidupnya dikelilingi air yang masin..
Jadilah seperti mawar yang berduri, durinya bisa melindungi dirinya daripada dinodai oleh makhluk-makhluk ganas...

Sahabatku Muslimah...
Mengapakah auratmu masih didedahkan sedangkan tuntutan menutup aurat itu adalah tanda kasih sayangNya kepadamu..
Aku percaya, jika dirimu menyayangi sesuatu, pasti barang itu akan dibalut dengan elok dan disimpan di tempat khas..
Begitu juga denganNya, disuruh kita menutup aurat agar tidak terdedah seperti barang yang selalu dihinggapi habuk dan debu..
Disuruh pula menundukkan pandangan agar tidak menjadi tatapan para lelaki yang mempunyai penyakit dalam hatinya, sama seperti barang yang terdedah kepada tontonan umum, nilai keistimewaannya pasti berkurangan...

Sahabatku Muslimah...
Janganlah dikau berani bermain mata dengan lelaki,
Kerana aku sungguh bimbang dari mata akan turun ke hati, dan dari hati akan berlakulah pelbagai perkara yang tidak diingini...
Jadikanlah dirimu seperti permata yang berharga, dibalut dengan kain baldu dan disimpan di tempat khas, bukan seperti kaca yang selalu dibelek orang sehingga tiada nilainya...
Namun, apa yang aku bimbangi,
Permata juga semakin hilang sinarnya, sehingga kadangkala sukar untuk membezakan antara permata dan kaca........................

Read More......

Saturday, November 1, 2008

Maksiat oh Maksiat


“Alhamdulillah…kita akhiri majlis kita dengan tasbih kafarah dan surah al-asr” Majlis ilmu dalam Halaqah pada hari khamis itu sungguh bermakna. Selepas bersalam-salaman ana berserta sahabat-sahabat ana melangkahkan kaki pulang ke kediaman kami. Damai rasa hati..

“Allahuakbar! Allahuakbar!” suara muazin jelas kedengaran dari corong-corong speaker yang sedia terpasang di kawasan kolej tercinta. Kami mempercepatkan langkah, ingin segera membersihkan badan dan menunaikan solat fardhu Maghrib. Langkah dihayun dan sebaik sahaja melintasi café…

“Astarghfirullah” Pandangan mata ana yang menangkap pasangan yang sedang berdating segera ana alihkan ke tempat lain. Hati yang pada mulanya damai kembali bergelora. Azan dilaungkan. Nama dan kebesaran Allah disebut-sebut namun para pelaku maksiat masih terus enak melakukan perbuatan mungkar. Kaki terus melangkah dan hati terus diburu satu rasa yang sukar ditafsirkan.. sedih? Marah? Entahlah…..

“Jom turun makan” Telekung ana belum pun dibuka, tapi teman-teman serumah ana sudah siap manis bertudung labuh.. Handphone berbunyi..

Dah siap belum?

Message daripada teman sekelas ana membuatkan ana tergesa-gesa.

“Aduh!”

Makanan dipesan, tempat duduk pun telah diambil.. Namun… “Astarghfirullah!!”

Banyak sungguh pasangan yang berdating. Kami mengambil tempat di belakang café demi mengelakkan terpandang perbuatan-perbuatan sumbang di sebelah hadapan café.. Rupa-rupanya, telahan kami benar-benar silap.. Hati yang sudah sebak kian sebak.. Ana hanya memandang pada makanan. Tidak sanggup lagi melihat kemungkaran di depan mata dan ana tidak mampu melakukan apa-apa melainkan mencegah dengan hati.. Itulah selemah-lemah iman..

Ya Allah moga kau ampuni dosaku berserta sahabat-sahabatku..

***

Inikah kita?...

Ibu Bapa kita bersusah payah menghantar kita belajar.. Siang malam mereka tidak pernah putus mendoakan kejayaan kita…. Namun, bunga yang diberi, najis yang dibalas.. Sampainya hati melukakan sekeping hati milik ayahbonda.. Sampainya hati membusukkan nama ayahbonda yang telah melahirkan serta menjaga kita…

Inikah kita…

Pada nama terletak bin dan binti,menandakan diri seorang muslim dan muslimah.. Namun, nama hanya tinggal nama, solat 5 waktu diabaikan, berdating dengan Allah sanggup tinggalkan asalkan tidak terlepas berjumpa si buah hati, sedangkan semua sudah maklum dunia tidak kekal abadi, yang ada hanyalah akhirat yang pasti..

Inikah kita…

Dari kecil sudah diajar mengenal Allah berserta RasulNya,namun sanggup pula menderhakaiNya serta menyakiti RasulNya… Agama yang diajar agar menjadi penyuluh jalan yang gelap ditinggalkan terbiar sepi, Rasulullah dibiarkan, Allah diabaikan..

Inikah kita..

Ayah dikecam, ibu dilawan, Allah dicabar.. Sedangkan bumi dipijak segalanya bukan milik kita, bumi yang dicipta untuk mengejar akhirat dibiarkan sia-sia, bila ditegur, bibir memuncung, dendam membara, sedangkan di kubur nanti akan ditanya “APA BEKALAN YANG DIBAWA” masa tu, menyesal pun tak guna, merayu-rayu nak balik ke dunia… Baru tau langit tu tinggi ke rendah..

Inikah kita..

Menghabiskan masa dengan perkara sia-sia sedangkan Dia begitu rindu mendengar rintihan kita…. Kembalikanlah hatimu kepada fitrah asalnya.. Kepada Allah S.W.T…

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .