Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, July 13, 2015

Menunggulah dengan pasti

Hidup ini --


Jika kau ingin menunggu, jadilah seorang yang "aku akan tetap menunggu", pada seorang yang "aku pasti akan datang"

Sebab -- 

Bila kau menunggu tanpa kepastian, samalah seperti kau tunggu bas, di lapangan terbang. 

Akhirnya, kau buang masa, dan sendiri kecewa. 

Bergeraklah. Tahu arah tuju. Menunggu dengan pasti. Dan ketika kau menunggu, jadikanlah ia masa perbaiki diri. Sekurang-kurangnya, kalau pun orang yang berjanji akan datang tak muncul jua, kau telah berubah menjadi yang lebih baik --

Di sisi Allah Yang Maha Baik. 

~ i know, to be patient is not an easy job to do. You might feel so hurt until you dont realize that you are crying. You might feel so much pain that your chest gonna break, and your legs might feel weak until you kneel down. But hey, looking back to it, you are in a perfect position -- to pray. 

:)

Read More......

Wednesday, July 8, 2015

What is love?


Ramadhan day 21 -- what is love? 

Emak adalah seorang yang tak pandai memujuk dengan kata-kata. I mean it, seriously. 

Pernah satu ketika saya balik sekolah Agama sambil menangis. Emak tengah lipat kain sambil tengok tv.

"Kenapa?" Tanya mak. 

"Tadi exam hafazan, tak dapat sambung ayat ustaz baca. Blur. Ustaz tebuk kat tengah" 

"Oh tulah siapa suruh tak hafal betul-betul" jawab mak tiada perasaan sambil sambung tengok tv dan lipat kain. 

Maka menangislah saya seorang diri. Terasa tidak disayangi -- tak macam abah yang selalu concern. 

Tapi -- mak akan masak makanan favourite saya, mak layankan je saya nak pergi mana-mana, mak dengarkan je cerita saya sampai saya kembali senyum dan melompat tinggi. 

Semenjak hari itu, saya sedar sesuatu -- cinta itu bukan sekadar ucapan di mulut, ia dibuktikan dengan perbuatan. Love isn't something that you always have to say, it is something that you show, you do! 

Mak lah -- yang ambil cuti teman saya masuk tadika, maklah yang jaga saya waktu saya sakit, mak lah yang memeluk cium tatkala ambil result di sekolah. mak jarang sekali melafazkan cinta, tapi perbuatan mak menceritakan segalanya. 

Lalu saya tertanya-tanya -- 

Kita kata kita cinta Allah dan Rasulullah. Berbuih mulut cakap ya saya cinta Allah dan RasulNya. Tapi buktinya apa? 

Kita masih lalai, masih leka. Masih tak nak ikut ajaran Islam sesungguhnya malah tak mahu perbaiki diri. Kita gagal. Bukan gagal dalam melafazkan cinta, kita gagal membuktikannya!

Dan saya masih tertanya-tanya -- 

Kita kata kita cinta saudara kita, kita sedih Palestin, Syria, Rohingya dan banyak lagi negara dan saudara kita yang dalam kesusahan. Namun apa tindakan kita? 

Hei. Mereka derita. Kita akan didakwa di akhirat sana.

Dan ya, sekali lagi kita gagal. Bukan gagal dalam melafazkan cinta. Kita gagal membuktikannya. 

Hari ini, dalam mengambil semangat detik-detik akhir Ramadhan, jom kita ubah. Tak perlu banyak cakap ya saya cinta, kita buktikan dengan perbuatan nyata. 

Nak tak? ;) 

...dan yang aku gusar, adakah saat ini Rasulullah menangis melihat aku..?

*** 

Kata mak "tolong mak hias balang kuih raya ni..buat macam mak buat ni" 

Terasa diperli.,bukan emak tak tahu anaknya ini tidak berseni. Tapi sebab sayang itu bukan sekadar lafaz di mulut, ia dibuktikan dengan perbuatan nyata --

Maka ya, kena akur. Baiklah mak. Biar wawa hias balang kuih tahun ni. 

Moga sahaja tetamu tak confuse, antara balang kuih dan pokok kayu bakau -- tiada bezanya.

😞😞😞

Read More......

Menangislah jika itu yang kau mahu



Ramadhan day 20 -- jadilah laksana Umar, menangis di malam harinya, berjiwa waja di siang harinya.

~Everyone has pain. 
Smart people hide their pain in their eyes,
Brilliant people hide their pain in their smiles~

Menangislah, jika itu mahumu, 
Agar kelak hati yang gusar itu menjadi tenang, 
Agar kelak beban di bahu itu menjadi kurang,

Menangislah, jika itu mahumu, 
Tiada apa yang perlu kau malu, 
Tangisan itu bukan sesuatu yang jijik - pilu, 
Allah mencipta tangis itu, 
Kerana Dia tahu satu saat nanti itu yang kau perlu,

Menangislah, jika itu mahumu, 
Di dunia ini bukan ada bahagia cuma,
Sesekali dugaan menjentik hiba, 
Jangan kau simpan segala sesak di dada, 
Menangislah di hadapan Allah yang selalu ada,

Menangislah, jika itu mahumu, 
Kau tak pernah lemah kerana tangisan itu, 
Malah Allah tahu betapa selama ini kau begitu kuat menyembunyikannya di sebalik senyum girangmu, 
Maka menangislah -- cuci semula segala debu di tubuhmu itu,

Menangislah, jika itu mahumu, 
Namun jangan kau lupa bangkit semula, 
Jangan kau lupa segala nikmat yang ada, 
Jangan kau lupa -- dunia ini memang penuh pancaroba, 
Jangan kau lupa -- ummah menanti di sana,

Menangislah, jika itu mahumu, 
Setelah sudah, kesatlah air mata itu, 
Bangkitlah dan maju,
Berlarilah dengan lebih laju, 
Kerana tiada lagi beban di bahu,
Jadilah manusia bersemangat baru, 
Yang menyeru lainnya menuju Tuhan yang satu. 

~sometimes when everythig seems to be falling down, be patient! Everything is falling into the right place :) ~

Read More......

Lelaki vs wanita?



Tempoh hari,akibat badan terlalu penat --

Sementara menunggu masuk waktu Isyak di surau berdekatan rumah, saya bersila sebentar sambil tangan menongkat dagu. Mata saya pejamkan. Dapat tidur-tidur ayam pun jadilah. 5 minit pun tak apa. 

"Mengantuk ke??" Peha saya disentuh. Saya membuka mata. Senyum.

"A ah kak. Penat sikit."

Mata saya cuba pejamkan kembali. Kepala berat tak tertahan. 

"Tulah, akak pun penat. Dari pagi tadi bertungkus lumus kemas rumah semua. Suami tidur je tengah hari baru bangun."

Saya mencelikkan mata. Senyum hambar. Dalam hati berkata, akakk saya nak rehat kejap ni kakkk. Namun mulut berbicara, "oh takpelah, dia penat kot."

"Eh akak ni takkan tak tau penat. Ni awak nanti nak kahwin janganlahh cari suami yang pemalas. Cari suami yang rajin tolong."

"Ye kak. Nanti saya cari" minda separa sedar saya menjawab. Malas mahu melayan, takut-takut berlanjutan pula keburukan suaminya diceritakan. Ia adalah sesuatu yang perlu dihindar. Jika mahu cerita keburukan manusia lain untuk cari jalan penyelesaian, ceritalah pada orang yang dipercayai ; bukan orang yang tak dikenali-- entah siapa-siapa macam saya.

Dan akhirnya mata tak berjaya dilelapkan, kerana azan isyak sudah berkumandang, meski kakak tersebut masih bertih mulutnya. 

Selalu saya dengar wanita berkata -- 

Ingat lelaki je tahu penat, perempuan lagi penat. Keluar kerja balik kemas rumah lagi. 

Dan lelaki pula membalas -- 

Lelaki ni banyak berfikir. Banyak tanggungjawab. Tolonglah sikit. 

Ramai pula wanita yang menganggap menjadi lelaki adalah sesuatu yang menyeronokkan. Tak banyak kerja. Tak penat. Bila kahwin macam dapat orang gaji.

Dan lelaki pula beranggapan menjadi wanita lebih seronok. Tak banyak tanggungjawab. Tak banyak bebanan. Tak payah fikir macam-macam. 

Senyum.

Dulu -- tatkala lelaki keluar bekerja, isterinya berkata "abang, saya dan anak-anak tak kisah hidup susah, asalkan abang buat kerja yang berkat dan diredhai Allah. Biar sikit, asal berkat" 

Dan para suami pula -- seperti Rasulullah, meski penat, baju tetap dijahit sendiri, kerja rumah tetap dibantu. 

Tiada dengki mendengki, tiada iri hati. Tanggungjawab masing-masing digalas penuh erti. Mereka bantu-membantu dan saling menghormati.

Allah tak pernah zalim. Diciptakan lelaki dengan sombolik kekuatan, wanita pula dilengkapi dengan sifat kelembutan. Ia fitrah, ia kebanggaan bukan penghinaan. Kuatnya lelaki agar mampu melindungi wanita, lembutnya wanita agar mampu 'menyejukkan' ego lelaki,

Kita tak perlu pertikaikan aturan Tuhan. Yang kita perlu cuma jalankan tanggungjawab sendiri, barulah hidup harmoni, tiada cela lagi.

Lelaki -- tetap sahaja di paksi marikhmu.
Wanita -- tetap sahaja di paksi venusmu.

Kalau kau cuba keluar dari paksimu, yang kau jumpa nanti cuma rugi.

Dan moga sahaja kita memahami;

Lelaki dan wanita -- hakikatnya bukan dicipta untuk bersengkata ; melainkan untuk saling melengkapi sesama kita.

Ramadhan day 11 -- di mana tahap keimanan kita?

*malu nyorok belakang gobok. 

~you know what is so scary about Ramadhan?
It is when you know,
All this while it is not because of shaytan,
But it is just you -- your own self~

Read More......

Sejauh mana kebertanggungjawaban kita terhadap ilmu?



Ramadhan day 18 — sejauh mana kebertanggungjawaban kita terhadap ilmu?

“Mak, sakit tak bersalin?” saya gemar menyoal itu kepada ibu tercinta. Berkali-kali, malah saya sudah hafal jawapannya. Tidak tahu mengapa, saya tidak pernah bosan mendengar cerita bonda --

Walau mungkin untuk ke seribu kali sekali pun, dan emak — seperti lagaknya seorang emak yang penyabar, tetap sahaja bercerita bagaimana proses ketika mengandung sehinggalah sakitnya bersalin.

complete. 

Adik-beradik saya, semuanya lahir di hospital. Cuma anak pertama sahaja yang emak ‘dijahit’, kedua, ketiga dan keempat semuanya tidak dijahit, yang paling mengujakan.. saya lahir seberat 4kg, hampir ditahan di hospital kerana bimbang obesiti, 

“Mak tengok anak orang lain semua kecik je,, tengok awak dengan pipi tutup leher, dukung 10 minit pun tangan lenguh.” Kata emak, selamba. “Tapi awak lahir pun, mak tak ada kena gunting, kena jahit.”

Saya tersenyum, “Wawa kecik-kecik dah baik kan mak, lahir tak sakitkan emak.”

“Siapa kata tak sakit? mana ada bersalin tak sakit. Tipu lah tu. Semua sakit, sebab tu Allah hapuskan dosa.”

Saya tersengih. “Ye eh? tapi mak, sekarang ni sibuk orang nak bersalin kat rumah, unassisted. tak nak dengar cakap doktor, tak nak vaksin anak, semuanya sebab benda viral, sumber internet, konon-konon agenda Yahudi. takut bahan kimia, padahal dalam garam pun ada sodium kot. Diorang kata bersalin kat hospital selalu kena jahit” 

Emak terdiam. Merenung jauh. Sebelum nafasnya ditarik dalam, “Orang dulu bersalin kat rumah, ada bidan terlatih tengokkan.. Malam-malam pun ketuk rumah bidan. Mana ada doktor suka-suka nak gunting jahit, baik doktor tu balik rumah tengok tv.. Sekarang macam-macam penyakit datang balik, TB yang dulu dah tak ada pun, ada balik.” Emak menarik nafas lagi, dan seperti biasa, dia meninggalkan satu amanat penting, 

“Awak nanti, kalau nak bersalin pergi hospital, nampak semua okay tapi nanti bersalin tak tau boleh jadi apa, risiko tu ada. tumpah darah ke apa macam mana, dengar cakap doktor. Vaksinkan anak.” 

“Er mak, bab dengar cakap doktor tu kalau taknak makan ubat takpe kan?”

Emak ketawa, menggeleng kepala. 

Ironinya — saat ini, ketika ini, saya hampir putus asa. Hampir rasa nak deactivate semua akaun sosial. Hampir rasa mahu tinggalkan dunia penulisan. Baik saya duduk baca buku, malas mahu skrol ke bawah, melihat cerita-cerita ‘gah’ yang diviralkan, namun bila ditanya sumber, ia benar-benar meragukan. Mujurlah ada teman-teman yang membisik : mas dont give up ; just yet. Terima kasih :)

Masa saya dalam proses buat tesis dahulu, berapa banyak kali perlu dibetulkan semula. 

"Sumber ni dari mana?"
"Journal ni dah lama, tak berapa tepat"
"Siapa publisher journal ni? Tak diiktiraf"
"Macam mana awak tau sampling banyak ni mencukupi? Quote dari siapa awak ambil ni?"

Lalu pergilah saya dari satu perpustakaan ke satu perpustakaan, mencari satu journal ke satu journal, rasanya abang librarian pun terkejut tengok muka saya selalu berkampung di library. Tak pernah-pernah pun. Mungkin di hatinya berbisik, dah buang tebiat ke ape budak ini. 

Semuanya -- demi sebuah tanggungjawab terhadap ilmu. Demi sebuah tanggungjawab atas apa yang saya tulis dan bentangkan. Semuanya demi menjawab sebuah persoalan dengan jawapan yang konkrit dan sahih.

Itu tak cerita ketika viva bagaimana disoal-hentam. Bagaimana sesudah viva dipanggil lagi ke bilik lecturer untuk 'viva' secara personal dan dihentam lebih teruk lagi.

"Kenapa guna teori A tak guna teori B? Apa sudut penilaian awak terhadap sampling ni? Ni buku mana awak refer?"

Sehingga -- saya sampai ke satu kemuncak menitikkan air mata. Masih terasa begitu bodoh meski berkampung lama di perpustakaan. Namun, semuanya mendidik saya agar lebih berhati-hati ketika menyampaikan. Lebih berhati-hati bila nak tekan butang share, dan menimbulkan banyak persoalan bila ditujukan sesuatu yang baru. Juga, berlapang dada mengatakan "maaf saya tidak tahu" bila ditanya sesuatu di luar batas pengetahuan. 

Dan kini-- Saya juga rasa nak menitikkan air mata, melihat begitu ramainya manusia tidak bertanggungjawab terhadap ilmu. Butang share ditekan sesuka hati, perkara tidak sohih menjadi viral dan ditanamkan sebagai azimat. Lebih parah, bila makcik-makcik yang amat terbatas pengetahuan terhadap teknologi mula percaya semuanya bulat-bulat.

Dunia jadi huru-hara -- bila yang bukan ahli mula berhujah di sini sana. 

Mereka bukan Tuhan, true enough. Dan kita takkan nak jadi orang munafik -- menyebarkan cerita dusta? 

Gerunlah pada firmanNya ;

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Kita akan dipersoalkan nanti di akhirat sana. Sebelum tekan butang share, tarik nafas dan timbulkan banyak persoalan. Bertanggungjawablah terhadap ilmu. Kita bukan munafik, kan? 

Serahkan segalanya pada yang ahli -- sebelum dunia kalut di sana sini.

Berhati-hati ; ia sifat orang bertaqwa.

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, July 1, 2015

Ramadhan day 13



Ramadhan day 13 -- sejauh mana rasa percaya kita pada Allah yang selalu mencinta? 

Pernah suatu ketika, ketika dalam penerbangan menuju ke Johor Bahru, pramugari pun bersiap sedia menyediakan air buat para penumpang. Ada dua pilihan, oren dan epal. 

Saya yang pada ketika itu keletihan, ditambah dengan rasa perit pada tekak sebolehnya mahu menghindarkan air oren. Masam. Tapi, semakin pramugari sampai ke tempat saya, semakin pula saya lihat air epal berkurangan di dulang yang dihidang.

"Ya Allah, bagilah aku air epal, air oren masam, tekak aku sakit ya Allah.." Spontan saya berdoa. Tika itu -- entah pada siapa saya mampu berharap. Berseorangan, tiada teman.

Tiba-tiba, betul-betul saat pramugari sampai di barisan hadapan saya, penumpang di situ mengambil semua air di dulangnya. Habis. 

Datang pramugari lain dari arah belakang, menyambung tugas rakannya, air dibahagikan bermula dari barisan saya. Dan air yang diletakkan di dulangnya semua adalah air epal. 

Nangis. Betapa Allah membantu -- walau kita rasa yang ada cumalah jalan buntu.

Tanya pada diri. Sejauh mana keyakinan kita pada Tuhan? Bilakah kali terakhir kita berdoa penuh pengharapan? Bila pula kita tergesa-gesa melipat sejadah sebelum sempat bermesra dengan Allah yang setia menanti? 

Kita mungkin tak mampu --

Meletakkan sepenuh rasa percaya, seperti Nabi Ibrahim yang mahu dicampakkan ke dalam api, namun tetap mulutnya meratib "cukuplah Allah bagiku" -- hingga akhirnya api juga bertukar sejuk.

Kita mungkin tak mampu --

Meletakkan sepenuh jiwa raga, percaya pada Yang Esa, seperti Ismail yang rela disembelih namun akhirnya diganti dengan kibas, penebus sebuah cinta.

Kita mungkin tak mampu --

Meletakkan sepenuh cinta, laksana Hajar yang rela ditinggalkan di tanah gersang bersama Ismail. Berlari-lari antara safa dan marwa, hingga akhirnya dihadiahi air mukjizat -- kekal berharga sehingga kini.

Ya. Kita akui kita hamba yang lemah. Selalu tersungkur, selalu rebah. Kita akui kita tidak sehebat mereka. Kita akui kita tidak sekuat mereka.

Tapi --

Adakah kita terlalu lemah, hatta untuk mengambil sebuah pengajaran dari mereka?

Lemahkah kita -- atau sebenarnya yang beraja adalah sebuah keegoan di hati nan gersang?

Percayalah. Allah tak pernah pergi. Percayalah. Allah selalu di sisi. 

Hasbunallah wa ni'mal wakil. Cukuplah Allah bagiku.

Jom awak, kita slow-slow ya?

:)

Read More......

Friday, June 19, 2015

Buat kamu yang bernama aku.


Nota ini,
Buat kamu yang bernama "aku", 

Kelak bila hidup kau rasa gelisah, 
Ingatlah betapa Allah telah menyelamatkan kau dari resah,

Pada ketika Islamaphobia dimomokkan di sini sana, 
Pada ketika manusia memandang kau pelik segala, 
Masih ada yang menolong tunjukkan jalan tatkala kau tak tentu arah,
Masih ada yang membantu mengangkat beg yang berat semua,
Masih ada yang memudahkan saat semua perkara kau rasa payah,
Masih ada yang tersenyum,
Saat kau murung.

Nota ini,
Buat kamu yang bergelar "aku",
Pada saat kau mahu memukul rata semua manusia, 
Pada saat kau rasa semua manusia bersikap durjana,

Ingatlah,
Tiada manusia yang sempurna,
Allah melihat segala,
Bukankah hari ini kau masih berdiri di sana,
Sedang dahulu kau rasa dunia hancur semua,
Bukankah hari ini kau masih mampu ceria,
Sedang dahulu kau rasa segalanya nista.

Nota ini, 
Buat kamu yang bernama "aku",
Satu saat kau mungkin lelah, 
Kau mungkin bosan pada fananya dunia,
Kau akan terduduk dan mengeluh, 
Namun, 
Percayalah Allah akan membantu,
Asal sahaja jiwa kau tidak lesu,
Tetap percaya pada DIA yang satu, 
Bukankah di saat kau resah,
DIA hadirkan 'mereka' untuk membantu?

Dan bukankah amat benar kalam Rasul mulia ;

Jangan sedih. Sesungguhnya Allah bersama kita.

Bersangka baiklah, dan teruslah sebarkan kebaikan. 

:)

***
Ramadhan ni -- jangan cela orang yang ingin berhijrah. Mana tahu ia 'turning point' dia.

Mana tahu -- dia jadi lagi baik dari kita.

Kan?

Berdoalah yang baik-baik, bercakaplah yang baik-baik :)

***
I never wanna say goodbye,
Cause i never wanna see you cry~

See you soon all the good memories.
Its time to move on.

Hajat doa :)

Read More......

Tuesday, June 16, 2015

If you think you can..


Mak kata statement "dont talk to strangers" tak berfungsi pada saya. 

Sebab, dari kecik saya jumpa sesiapa saja, saya berbual macam dah lama kenal. Dia punya macam dah lama kenal siap drop honorifics, dah macam kawan lama gelak-gelak. Tapi lepas tu lupa nama. Dan sifat mazmumah itu terbawa-bawa sampai besar. 

Masa kat Paris -- dengan kadar Islamaphobia yang tinggi, ada seorang lelaki menegur ;

"Hey are you from Malaysia?"

"Yeah. Have you been to Malaysia?" 

"No. I'm afraid"

"Why?"

"Because if anything happen to me there, nobody will protect me, here i have a gang of gangster as a back up"

Masa tu, memang tahan sabar sangat. Yela Malaysia is a Muslim Country, kan. Macam nak jerit cakap i've had enough. Dari jejak kaki kat Paris, ada ajelah ujiannya. Tapi sabar. Takkan nak tunjuk memang betul Islam tu tak best kan. 

"Oh you dont worry about that" balas saya sambil tersenyum.

"Why?"

"Because in Malaysia, there's no gangster. Malaysia is full with good people, like me"

Gahh. Dia speechless dan blur. It seems like you had lost for words sir? Rasanya dah boleh nyanyi lagu Elsa.. Let it go.. Let it go.. That perfect girl is gone :p

Tapi, sebenarnya nak cakap -- actually sifat tu takdelah mazmumah sangat. Kadang-kadang bagus juga. Ada jumpa someone, non Muslim dari Malaysia, terus borak dengan dia, dia kata --

"Dulu i nak sangat masuk IPTA. Tapi tak dapat. I nangis hari-hari. I sambung STPM. That time semua orang cakap i bodoh, buang masa. Tapi lepas habis, i dapat offer pergi uk"

"Wahh bestnya you" saya membalas. 

Dan lepas tu, dia balas satu ayat paling win.

"You know what, bila Tuhan tutup satu pintu untuk you, dia open pintu lain. Dia dah arrange semua untuk you. You dont worry and if you think you can, you can."

Saya terkedu. "Yes. You are right"

Positif. Bila kau rasa kau boleh, kau boleh.

Dan Tuhan dah atur semuanya untuk kau. Dia tutup satu pintu, sebab nak buka pintu lain yang lagi best.

Keliru nak jalan mana? Pilih dan usaha dengan baik, akhirnya percaya -- pada DIA.

Bukankah Allah telah mengingatkan -- Aku bersama setiap sangkaan hambaKu.

Ah.

Allah, terima kasih atas peringatan ini..

:)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .