Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, April 3, 2011

Indahkan Bahasa


"Mak, kenapa orang panggil bulan tu, bulan?" Adik bertanya ketika saya dan emak mahu menghantarnya ke pusat tuisyen.

"Kenapa orang panggil darah tu, darah?" Dia menyambung lagi.

Saya hanya berdiam diri. Pening kepala pada ketika itu memaksa saya untuk bersandar pada kusyen kereta sahaja.

"Siapa yang bagi ilham?" Emak bertanya kembali.

Indahnya Bahasa

"Bulan tu, bahasa cina panggil lain, bahasa india panggil lain.. Siapa yang bagi ilham?" Emak menyoal lagi.

"Lepas tu mak, macam mana Allah faham?"

"Allah kan Maha Mengetahui.. Allah faham semua bahasa, tapi bahasa yang paling indah adalah bahasa Arab, tu nanti kat syurga pun pakai bahasa Arab." Panjang lebar emak menerangkan.

"Habis mak,nanti dalam kubur malaikat soal marabbukaa, macam mana nak faham?"

"Ha... tulah mak tanya, siapa bagi ilham?"

Hazim diam berfikir.

Bahasa

Orang kata bahasa jiwa bangsa. Ada yang kata bahasa nadi kehidupan.

"!@$#@%@@^^@@^"

Tapi malangnya, entah apa yang merasuk jiwa anak muda sekarang ini sampai tiada lagi keindahan bahasa. Terkadang carutan itu melebihi mesej yang ingin disampaikan. Atas dasar apakah semua ini berlaku?

"Ak ala... kau janganla skema sangat.!#$#%@%@%"

Entah, terkadang saat jari-jemari rajin melayari blog dan vlog, hati dipamit rasa sedih. Orang Islam. Ya. Islam, mahu menjadi lebih Amerika dari Amerika sendiri.

"Hey you! !#$@%@@@" Teriaknya penuh bangga. Bagaikan merasa satu kemegahan tatkala mulut petah mencarut,apatah lagi carutan berbahasa Inggeris.

Mentaliti apakah ini?

Carutan itu tidak indah sahabat, bahkan ia seolah-olah satu garisan tajam yang mencalari seluruh keindahan yang ada.

Carutan itu tidak indah sahabat, bahkan ia adalah satu belati yang menarik calar pada seketul daging bergelar hati..

Yang tua semakin tidak dihormati, carutan menjadi siulan mulut saban waktu. Dunia, apakah ini pengakhirnya?

Ingat, setiap kata yang lahir dari mulut kita merupakan doa, maka indahkan bahasa agar doa kita menjadi indah juga...

Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.(Maryam : 97)


Dengan Bahasa...

Dengan bahasa manusia berbicara...
Dengan bahasa manusia berdoa...
Dengan bahasa manusia membela diri...
Dengan bahasa manusia mengadu itu ini...

Namun jangan dilupa,
Pada pemberi bahasa itu sendiri.

Allah yang mengilhamkannya..Maka peliharalah ia, jangan sesekali dikotori.

Benarlah, semakin banyak manusia bercakap, semakin ia menunjukkan kebodohannya. Tin yang kosong jika diketuk mengeluarkan bunyi yang bising,tapi isinya tiada.

Jadilah seperti ubi, diamnya berisi.. bunyinya bermakna...

Ketahuilah...Bahasa yang indah menunjukkan indahnya kehidupan beragama... :)

Allah Itu Indah

"Nanti kat syurga, semua orang dapat bercakap bahasa Arab, Allah yang ilhamkan." Emak berkata sambil mata masih fokus terhadap jalan di hadapan.

"Siapa yang cipta bahasa?" Sekali lagi Hazim bertanya.

"Siapa yang ilhamkan?" Soalan berbalas soalan. Jawapannya pasti sudah ada di dalam hati, cuma kita sendiri yang menyembunyikan realiti.

Dan jangan pula kita mencela bahasa lain. Kerana perbezaan bahasa itulah, kehidupan menjadi lebih indah dan berwarna-warni.. Manusia yang menyedari semuanya adalah daripada rahmat Allah akan berasa syukur dan malu untuk merosakkannya, tawadhuk bertambah, kenikmatan dihayati, bahasa dipelihara, dan Islam kembali berdiri.

Allah itu indah, dan Dia suka pada keindahan. :)

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui. (Ar-Rum :22)


Wallahu'alam.

Read More......

Saturday, April 2, 2011

Kenapa Saya Sayang Adik Saya


Assalamualaikum sahabat!

Moga sentiasa sihat selalu.. Hari ni, entah kenapa tiba-tiba saya datang mood pula nak tulis mengenai adik saya. satu-satunya adik yang saya ada. Dialah racun dialah madu.

Dialah pelaku penyakit hati, dialah juga yang menghiburkan hati.

Bagai masih teringat lagi sewaktu saya kecil, adik masih lagi berada di dalam kandungan emak...

"Wa..meh sini." Satu ketika, emak memanggil.

"Kenapa mak?" Saya berjalan ke arah emak. Sewaktu itu usia saya baru sahaja 5 tahun dan kandungan emak sudah pun mencecah 9 bulan. Tak sabar menunggu....

Emak pantas mengambil tangan saya dan meletakkanya ke perut.

"Rasa tak?"

Saya tergelak kecil, terasa perut emak berbonggol-bonggol. "Apa tu mak?"

"Entah, siku agaknya... "

Allah menguji

Baru sahaja beberapa hari adik saya Hazim lahir ke dunia, dia disahkan menghidap sakit kuning. Sedihnya hati hanya Allah yang tahu, melihat dia terasing di dalam wad bayi itu... Ah adikku...

Semakin lama Hazim semakin besar, Allah menguji lagi, kepekaannya terhadap pelajaran sangat tumpul.

"Kak Mas.." Satu hari dia bersuara.

"Hm?"

"Hazim taknak sekolah lagi."

Saya tersentak. "Kenapa?"

"Cikgu cakap, buat malu sekolah je, baik keluar je."

Allah..Dalam hati saya hanya mampu berdoa, moga Allah beri petunjuk dan hidayah kepada cikgu tersebut dan moga Allah pelihara adik saya dunia dan akhirat.

Kenapa Saya Sayang Adik Saya

Cukup dengan cerita sedih. Mari saya ceritakan kenapa saya sayang adik saya.

kes 1

"Wa, bila balik?" Satu hari dia bertanya, sewaktu itu saya masih lagi di kolej.

"Em..Kenapa?"

"Taklah, hazim tak rindu pun..."

Saya tergelak kecil.. Alahai Hazim...

kes 2

Hazim terkenal dengan pencipta vocabulary baru.

"Mak, tadi kan Hazim main badminton kat sekolah." Ceria dia berkata sebaik sahaja punggung dilabuhkan di dalam kereta.

"Ye ke? main macam mana?" Saya bertanya.

"Em, tadi Hazim main BERDEGU."

Saya dan emak tergelak besar.

"Berdegu tu apa zim?" Emak pula bertanya.

"Ala, yang berpasangan lah."

Saya dan emak tergelak besar lagi.

"Hazim dapat nombor 3 tau." Dia menyambung.

"Dari berapa orang?" Emak bertanya sambil tersengih.

"3"

Dan kami sekali lagi tergelak besar......

***

Hazim melabuhkan kepalanya ke ribaan saya sewaktu saya sedang menonton televisyen.

"Ish apa ni zim?" Saya mengusik jerawatnya yang cantik tumbuh di wajahnya.

"Sakitlah..jerawat ke tu?"

"A ah kot."

"Kak Mas picitlah.."

"Ish taknaklah, nanti kang ada parut."

"oh.. biar dia MENETAS sendiri eh kak mas?"

"HAHAHA.." saya tidak dapat menahan ketawa lagi. Dan emak juga turut tergelak besar...

"Ha..nanti kang menetas beranak-pinaklah tu." Emak menyambung kata.

Banyak lagi perkataan-perkataan baru yang telah diajar Hazim kepada kami, tak larat saya mahu mencatatnya satu persatu. Tapi itulah penghibur hati...

kes 3

Hazim tak pernah lupa membelikan saya makanan jika dia membeli untuk dirinya. Jika dia terlupa sekali pun, makanan yang dibeli itu akan dikongsi bersama.

Dan hari ini....

"Kak mas, hazim beli roti."

"Roti apa?"

"Roti hotdog."

"Nak..."

"Tak boleh Hazim beli satu je."

"Em takpelah..."

Saya terus ke bilik dan menghadap laptop. Tiba-tiba..

"Kak mas." Hazim masuk ke bilik dan meletakkan satu plastik yang penuh berisi roti ke meja tulis saya.

Itulah sebabnya kenapa saya sayang adik saya. :D

Setiap insan ada keistimewaan dan kekurangan masing-masing. Belajarlah untuk menyayangi seseorang kerana kekurangannya kerana kelak kita akan dapat melihat kelebihannya, jangan menyayangi seseorang kerana kelebihannya kerana kelak apabila kita ditunjukkan kekurangannya, kita akan pergi menjauhkan diri......

Pautan : Dia..Insan Istimewa..

Wallahu'alam

Read More......

Thursday, March 31, 2011

Komunikasi dan Psikologi


"Kau tau tak..aku sedihla, ada ke dia buat tak tau je kat aku.." luah seorang rakan.

"Alah, kau tu yang over emo, biasa je aku rasa. kau ni tah ape ape jela." Balas si pendengar.

Terkedu si sahabat tadi. Luahan rasa terbantut, ditambah pula dengan segaris calar di hati.

Ah, betapa pentingnya ilmu komunikasi. Satu ilmu yang sering dipandang enteng oleh para pendakwah sekarang.

Ilmu

"Adoi..kenapa kena belajar ni, communication, psychology.. macam takde kena mengena je dengan kos ni?" Saya masih ingat lagi, begitulah luahan rasa saya dan sahabat-sahabat sewaktu Asasi dahulu..Pelajar Asasi di kolej saya wajib mengambil mata pelajaran tersebut.

Subjek yang dari zahirnya terlihat seperti tidak ada kena mengena dengan kursus yang diambil, tapi hakikatnya... Ia amat diperlukan dalam kehidupan seorang pendakwah..

Komunikasi... bagaimana cara kita berbicara, bagaimana cara untuk menjadi pendengar yang baik, bagaimana memberi pendapat yang sempurna.. Semua itu perlu. Sangat perlu bagi seorang pendakwah yang mahu mendekati seseorang.

"Saya dulu..teruk.. macam-macam dosa pernah buat.. "

"Astarghfirullahalazimmmm.... bertaubatlah sebelum terlambat. Azab Allah itu amat keras."

Kerap kali saya melihat suasana sebegitu.

Teringat pula pada pesanan sahibah kepada saya, untuk mengenalkan seseorang kepada Islam, terangkan dulu keindahan Islam. Bukannya asyik cerita azab tu azab ni, Islam bukanlah sekadar azab sahaja. Masakan mungkin! sedangkan nikmat Allah itu amat luas dan pengampunan Allah itu lebih besar dari segala dosa hambaNya.

Dan kita siapa... Untuk menghukum mereka?

"Hei kamu!!! kenapa pakai macam ni!! kenapa pakai tu bonggol bonggol atas kepala tu? ha ni kenapa tudung tak tutup dada!! kenapa?!! ya Allah geramnya akuu!!!"

Pernah juga saya melihat seorang pendakwah, marah-marah dan tengking-tengking pada seseorang yang ingin ditegurnya dan keputusannya apa? Adakah orang yang ingin ditegur itu menjadi lembut hati, insaf lalu terus berubah, pulang ke rumah terus tukar tudung? Tidak! Bahkan orang yang ingin ditegur itu memberontak dan marah-marah kembali. Lalu terjadilah insiden saling berbalah di situ.

Islam menjadi fitnah sekali lagi...

Allah...


Psikologi... Bila masa yang sesuai, bagaimana membuat seseorang berasa selesa berbicara dengan kita, itu juga perlu.

Seseorang yang tidak peka dengan perasaan orang lain, bakal menuturkan patah kata yang amat berbisa. Ya, mungkin sebenarnya ia tidak terlalu berbisa, tapi lantaran emosi yang masih tidak stabil, cakaplah apa pun... Semuanya menjadi seolah-olah belati tajam yang menusuk terus ke hati.

"Ish Ish Ish... apalah kau ni keluar tak pakai stokin.." Bicara A.

"Kau sibuk apesal?! stokin aku bukan stokin kau!" Balas B.

"Kau ni kenapa emo sangat? hati dah tertutup ni, dah gelap hati tu agaknya."

Gedegang! pintu rumah dihempas kuat oleh B. Sakit hati dengan bicara temannya,.. A berbicara sesuka hati, tanpa mengetahui sebenarnya B sedang menahan gelodak perasaan setelah mengetahui ibunya sakit teruk.

Allah...

Islam itu indah sekali, mengapa manusia mengotori?

Duhai Da'ie...

Wahai da'ie... dengarilah...

Tiada insan yang sempurna, begitu juga diri kita.

Ramai insan merasa diri mereka sempurna, hingga memandang rendah orang lain. Yang pernah berzina dipandang jijik. Yang pernah masuk penjara dipandang hina. Yang pernah menderhaka dipandang serong.

Hati manusia..bukan kita yang mengubahnya. Itu hak Allah. Itu kehendak Allah. Sedangkan Allah mampu mengubah hati orang kafir menjadi Islam dan menjadi kafir semula, siapa kita untuk mempertikaikan hati seorang manusia yang pernah atau sedang melakukan kesilapan?

Pandanglah mereka dengan pandangan penuh kasih sayang. Usah dihiraukan kisah silam mereka... Adalah tidak mustahil bagi mereka untuk berubah menjadi lebih baik daripada kita. Seorang pendakwah yang cemerlang, yang merasa dirinya hina lagi penuh dosa akan sentiasa berdoa agar orang yang ingin didakwahnya menjadi lebih baik daripada dirinya sendiri.

Kita di mana?

Menghukum manusia tanpa lelah..

Seolah kita tidak menanggung dosa!

Lupakah kita pada kisah Saidina Umar? Betapa dia pernah membunuh anaknya sendiri ketika zaman kejahilannya dahulu. Betapa dia pernah amat membenci Islam..

Dan akhirnya? Dia adalah sahabat terhebat! Yang dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t.....

Sahabatku yang dirahmati Allah..... Ingatlah,kita tidak pernah ada kuasa untuk menghukum sesama manusia..

"Ish, tengok tu teruknya pakai macam tu."
"Ish amende la ni dating-dating ni."

Kita boleh menegah, tapi jangan mengutuk kerana kelak, Allah akan timpakan dosa itu kepada kita semula. Kenali siapa yang ingin didakwah.. Ambil hatinya. Pegang hatinya. Jangan gopoh menegur, ikuti dahulu rentaknya... Kenalkan ajaran Islam yang indah padanya.... Jangan hanya memperkenalkan azab dan seksa Allah, sedang itu adalah pilihan yang paling akhir Allah beri kepada manusia...

Berilah peluang kepada mereka.... dan ingatlah ;

Serendah-rendah ukhwah ialah berlapang dada terhadap saudaramu.Setinggi-tinggi ukhwah ialah ithsar (melebihkan orang lain mendahului diri sendiri ). - Imam As-Syahid Hasan Al-Banna)

Wallahu'alam :)




Read More......

Monday, March 28, 2011

Iktibar Bandung -Hari 4 (Akhir)-



Mereka kata....
Kita harus bersyukur dengan kemewahan yang dikecapi kini,
Tapi,
Mengapa hati terasa sayu,
Meninggalkan bumi yang jauh ke belakang dari tempat tinggalku itu...


Hari keempat. Terakhir. Pilu rasanya memasukkan satu-satu pakaian ke dalam beg.

"Harini kita ke pasar baru ya?" Pemandu pelancong kami bertanya.

Check out hotel telah pun dilaksanakan seawal jam 9 pagi. Penerbangan sekitar jam 2 petang.

Ah, berlegar-legar di pasar baru... Kami hanya mengambil masa sekitar satu jam untuk membeli segala keperluan, buah tangan dan menghabiskan baki duit indonesia yang ada.

Jam belum pun menunjukkan pukul 12. Kami duduk sementara menunggu adik menghabiskan bakso nya.

Bertolak ke Lapangan Terbang.

"Lebatnya hujan..." Saya berkata sambil mendengar bunyi 'tik tok tik tok' di atas bumbung kereta. Deras sekali air hujan turun.

"Iya... Kepulangannya ditangisi." Pemandu pelancong berbasa-basi.

Kami diam. Sebak menguasai hati.. Ah, banyak sungguh iktibar yang didapati di sini, pengajaran yang menusuk ke hati dan langsung meninggalkan bekas.

"Eh, macam mana boleh naik motor sampai 4 orang tu?" Emak saya memecah sepi. Matanya melihat ke arah kanan, di mana seorang lelaki bersama isteri dan anaknya menaiki satu motor.

"Oh,itu biasa." Tenang, pemandu pelancong menjawab. "Saya juga macamtu. Lagi badan anak-beranak besar-besar. Dari Jakarta ke Bandung naik motor."

"Dari Jakarta ke Bandung? 2 jam macam tu?" Emak seakan terkejut.

"Iya... Hanya itu saja yang kami ada."

Kami diam lagi.

Allah... Allah..Allah...

Betapa di hadapan mata saya, selalunya melihat manusia yang sudah terbiasa hidup senang, dan tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada... Tidakkah kita melihat, ada insan yang jauhh di sana, mengharapkan walau sedikit belas dan peringatan kita bersama...

"Kita sudah mahu sampai." Pemandu pelancong memecah suasana. Sekejap dia memberhentikan keretanya, menekan butang untuk tiket parkir keluar. "Saya minta maaf atas segalanya, kalau saya terlewat, kalau saya ada tersalah cakap, saya minta maaf."

Saya memandang keluar tingkap kereta. Memerhatikan rintik hujan yang semakin galak turun ke bumi.. Duhai hati, kuatlah!

"Kami juga macamtu ya.." Abah bersuara mewakili kami sekeluarga.

"Selamat ya...semoga selamat sampai ke Malaysia. Moga kita jumpa lagi." Pemandu pelancong bersuara lagi setelah mengeluarkan semua beg kami dari dalam kereta.

Tiba Waktunya Untuk Pulang



"Kita nak solat kat mana?" Saya bersuara.

"Kat mana surau ya?" Emak saya bertanya kepada salah seorang pekerja di lapangan terbang tersebut.

"Oh, di balai berlepas nanti ada. Di sini tak ada." Kakak manis itu tersenyum sambil membalas pertanyaan.

Balai Berlepas Airport Bandung

"Macam mana?"

"Takpe, kita check in dulu tengok."

Allah....

Surau di sana campur antara lelaki dan perempuan. Hanya ada satu sahaja seperti kepungan yang dibuat untuk solat. Berwudhu' di bilik air.

Pada waktu itu, terlalu ramai orang yang ingin menunaikan kewajipan nan satu itu.

"Kita solat jama' takhirlah nanti kat KLIA." Emak bersuara.

Saya mengangguk.

Penerbangan

Selamat tinggal Bandung, moga sentiasa dalam barakahNya.

Lampu pasangkan tali pinggang keledar asyik menyala beserta dengan pengumuman ; Semua penumpang diharap duduk dan memakai tali pinggang keledar. Cuaca di luar tidak baik.

Allah... Dalam hati hanya mampu berdoa, 'Ya Allah..kami tak solat lagi... sempatkanlah kami sampai kerana kami tak mahu mati dalam keadaan masih belum menunaikan solat.'

Saya merenung ke sebelah, melihat sayap kapal terbang yang membelah awan.

Awan... Apakah dikau sedang marah pada ummah yang semakin parah?

"Harap maaf, pemesanan air panas tidak dapat disiapkan kerana cuaca yang buruk." Pengumuman daripada pramugari pula bergema.

Kapal terbang bergerak dalam keadaan yang sungguh memeningkan.

Saya bersandar. Cuba untuk memejam mata, namun sungguh perasaan gerun itu masih bertandang.

Teringat kembali pada kisah kaum terdahulu, yang mengaku beriman tatkala berada dalam kesusahan dan apabila Allah mencabut kesusahan itu, mereka kembali lupa daratan.

Dan apabila mereka dilamun ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya maka tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai di daratan, lalu sebagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar. (Luqman : 32)


Allah...janganlah kami menjadi begitu.

Touch Down

KLIA

Alhamdulillah....Alhamdulillah...Alhamdulillah...

Tiada kata yang lebih agung apabila pesawat berjaya menjejakkan rodanya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur dengan izin Allah.

Kami bergerak mencari surau.

Penerbangan pulang ke Johor Bahru sekitar jam 9 malam. Dengan izinNya juga, kami selamat tiba di negeri yang banyak sungguh Allah timpakan nikmat.





Allah beri lagi peluang untuk meneruskan hidup.

Menjalankan tugas sebagai seorang khalifah.

Melihat kemajuan ummah.

Dan memberi satu peringatan ;

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah. (Luqman : 33)


Alhamdulillah....

Allah..Letakkan dunia di tangan kami agar kami bisa menggenggamnya.
Jangan kau letakkan dunia di hati kami, agar kami tidak terpedaya dengannya.

Benarkah manusia kan bahagia,
Apabila hati dipasakkan kepada dunia,
Jikalau begitu,
Mengapa mereka merosakkan diri sendiri pula....


Wallahu'alam

Read More......

Saturday, March 26, 2011

Iktibar Bandung -Hari 3-


Oh Alam...
Betapa engkau cuba memberitahu..
Lihatlah aku,
Betapa hebatnya Allah menciptakan...


"Kita pergi tempat lain nak?" Saya bersuara.

Hari ini hari ketiga. Dalam tentatif program, hari ini semuanya hari melawat gedung-gedung dan pusat membeli belah. Oh, kami ke sana bukan sekadar untuk membeli-belah. Keajaiban alam ciptaan Tuhan masih terlalu banyak yang belum diteroka..

"Nak pergi Safari?" Emak bertanya. Teringat cadangan pemandu pelancong kami.

"Boleh juga." Saya menjawab.

"Nanti tengok bajet dulu."

Alhamdulillah... Segalanya berjalan lancar. Safari, segala haiwan di dalam sana.. nantikan kedatangan kami! :)

Perjalanan
"Berapa lama nak ke Safari?" Bapa saya bertanya sebaik punggung di labuhkan di dalam kereta Hyundai berwarna hitam itu.

"Dalam 2 jam" Pemandu pelancong menjawab. "Kita seharian di sana ya? Rasa rugi sudah datang jauh-jauh tapi sekejap saja."

"Okey." Semua bersetuju.

Perjalanan pada hari itu diriingi cuaca yang sederhana,. Panas tidak, sejuk pun tidak. Seperti biasa, di sekeliling jalan kelihatan para peniaga yang ingin menjual barang-barang perniagaan mereka. Keropok, permainan..dan.. Ah, keringat itu yang mengalir demi memberi makan anak dan isteri.

Mereka berjalan ke sana-sini, tidak hiraukan terik mentari mahu pun hujan yang membasahi bumi. Jika mereka berehat, maka menangislah anak dan isteri...

"Saya bukan mahu memperkecil mereka, tapi meniaga di tepi jalan begitu... Berapa sangat keuntungan yang dapat. Tapi mereka masih mampu beri makan anak isteri." Spontan, pemandu pelancong bersuara. "Rezeki dari Allah." Dia menyambung kata.

Benar... Rezeki dari Allah. Entah tiba-tiba saya teringat. Ada orang yang risau pada rezekinya sendiri,

"Ish,lepas habis belajar nak kerja apa eh? Takde masa depan la kerja ni. Nanti hidup susah."

"Kita ni..belajar saja, kerja, rezeki nanti Allah yang tentukan. Belajar untuk ilmu." Satu hari teman saya memberi satu ayat yang saya semat sehingga kini.

Siapa manusia untuk menentukan seseorang itu bahagia atau tidak? Ada manusia yang hidup dikelilingi kemewahan, wang, harta keliling pinggang tapi hati masih tidak tenteram. Duit selalu terasa tidak cukup.

Ada pula manusia yang kehidupannya sederhana, tidaklah dikelilingi harta tapi hatinya sentiasa tenang. Jika ada keperluan, wang sentiasa ada.

Semua itu bergantung pada BARAKAH yang Allah beri. Allah mengukur keikhlasan kita dalam menyelusuri hidup dan mencari rezeki.. Manusia sungguh tidak ada kuasa untuk menentukan itu!

Semakin Tiba

Kabus mulai turun. Tingkap kereta dibuka untuk merasa kesejukan udara di luar.

Kabus


Nikmat, nikmat sekali udara segar yang datangnya daripada pokok-pokok menghijau. Udara di atas gunung sungguh nikmatnya!

"Ni semua kedai jual jagung." Pemandu pelancong memecah kesunyian. Kami memandang ke sebelah kiri kereta. "Tapi semuanya buka malam, dan yang jual semuanya perempuan. Itu yang saya bingung."

"Kenapa? Lelaki semua dah bercucuk tanam ye?" Emak mengagak.

"Entahlah... eh ada kedai yang buka siang?" Pemandu pelancong membalas dan memperlahankan sedikit pemanduan. Entah, saya kurang berminat dan terus memandang ke sebelah kanan. Menyaksikan tumbuh-tumbuhan yang masih belum diteroka.

"ya Allah...macam tu pakaiannya?" Tiba-tiba terdengar suara emak seakan terkejut.

"Iya..sebab itulah saya bingung." Pemandu pelancong kami membalas. Sinis.

"Ha? Kenapa?" Saya yang tidak tahu apa-apa tiba-tiba merasa sangat ingin tahu.

"Hah, rugi wawa tak tengok." Adik berkata seraya tergelak kecil, saja mencurah minyak dalam api ingin tahu saya.

"Eleh tak pe.. tak kisah pun." Saya membalas dan memandang kembali ke arah kanan kereta.

Entah, mungkin pakaian wanita penjual jagung itu agak menjolok mata sehingga emak terkejut. Entah.. Manusia, apabila terlalu terdesak mampu melakukan apa-apa, sehingga kadangkala menghalalkan apa yang Allah haramkan. Mungkin sedar mungkin tidak rezeki yang diambil itu bakal diberi kepada keluarga,yang akan membentuk darah daging.

Atas sebab itulah masyarakat kian parah. Ummah semakin bermasalah.

Tapi, jangan memandang mereka dengan perasaan jelek dan benci. Mungkin mereka tidak tahu, maka bersangka baiklah wahai para pendakwah sekalian!

Safari

Segalanya berjalan lancar. Segalanya indah,alhamdulillah. Hujan yang turun rintik-rintik, menggamit kesejukan. Apatah lagi safari itu letaknya di atas gunung.



Subhanallah..hebatnya Allah yang mencipta.

Skrol gambar untuk lebih lanjut :)

Hippo~
Binatang-binatang pandai ambil turn tunggu kereta sampai :)








Masuk kandang singa kena tutup tingkap.

Adik terasa sangat cool dapat pegang harimau macam kucing parsi -.-"

Kesukaan saya.

Pemandangan dari dalam cable car.





Mengurut

"Adoi sakitnya kaki...nak pergi urut boleh tak mak?" Saya meminta izin, berserta kaki yang sengal-sengal akibat tak biasa berjalan banyak :)

"Pergilah.." Emak memberi izin.

Saya pantas mencapai telefon di hotel dan terus bersambung ke pusat urutan yang disediakan.

"Hello.. malam ni ada kosong tak?"Saya memulakan bicara.

"Ada... Mahu tempah?"

"Saya mahu tempat tertutup. Saya mahu datang dengan adik saya. Adik saya, tukang urut dia mahu lelaki boleh?"

"Tukang urut lelaki semuanya balik, penat kerja."

"Kalau macamtu, tak jadilah..." Saya sedih. Kaki masih berbisa.

Telefon diletak kembali ke tempatnya.

Tanpa disangka-sangka, tak lama kemudian, telefon berdering.

Oh, tukang urut lelaki sudah tiba!

Moga Allah kasih

"Akak asal Bandung?" Saya bertanya kepada kakak yang baik hati, bertugas untuk mengurut kaki saya.

"Iya." Dia tersenyum.

"Cantik." Senyumannya saya balas.

"Adik lebih cantik lagi." Dia membalas, katanya terhenti di situ. Kepala ditundukkan, "Nampak manis berkerudung."Dia menyambung dengan nada yang sebak.

Saya diam. Terpaku melihat kakak tersebut seolah-olah melayan perasaannya.

"Saya tak pernah urut lelaki." Dia memulakan bicara.

"Baguslah." Saya senyum, senang hati mendengar itu.

"Saya tak mahu.. "Dia menyambung.

Saya mengangguk.

Saya tahu dia kekok dengan pakaiannya. -Skirt pendek, kerana dia seorang wanita dan saya juga begitu..

"Adik, sudah siap.. adik rehatlah dulu."

Saya akur, berehat sambil menonton televisyen sementara menunggu adik saya yang masih belum siap lagi. Kakak itu ke bahagian belakang dan dia kembali dengan pakaian yang lain.

Lengkap bertutup semua,hanya tidak bertudung.

Benar telahan saya, dia tidak selesa dengan pakaian kerjanya sendiri. Allah...Allah..moga Allah kasih pada kakak tersebut,memberinya hidayah dan petunjuk agar kuat mengharungi dunia yang semakin rakus menipu.

"Akak dah nak balik?"


Dia senyum dan mengangguk.

Adik saya sudah pun selesai urutannya. Kami bergerak menuju ke bilik semula. Malam semakin lewat.

Dalam hati terus-terusan berdoa.

"Akak! Moga Allah kasih..."

Maka ni'mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-rahman : 16)

Terkadang manusia alpa..
Pada kepahitan dunia kerana terleka dengan setitik madu berbisa,
Ah,
Katakan pada awan nan biru itu,
Mengapa terus bersinar walau alam kian tercemar...

Bersambung......

Pautan : Iktibar Bandung -Hari 1-, Iktibar Bandung -Hari 2-

Read More......

Thursday, March 24, 2011

Koreksi Diri


Melihat ini, saya menangis.

*Iktibar Bandung ditangguh ke suatu masa nanti....

"Allah..." Mood saya jatuh. Berdepan dengan permasalahan demi permasalahan, terkadang membuatkan saya lemah untuk berdiri semula, melihat sekeliling.

Melihat ummah....

Di penghujung muhasabah itu,ada air mata yang mengalir...

"Kenapa.." Terkadang pantas mulut saya mempersoalkan itu dan ini. Terkadang terasa diri tersisih, terkadang terasa seolah-olah nasib tidak memihak kepada diri.

Namun... Melihat kembali segala nikmat yang telah Allah kurnia, masihkah layak untuk diri ini merasa tidak cukup, masih layakkah diri ini menyesali nasib yang menimpa?

Sungguh,tiada siapa yang mampu memahami saya sebagaimana Allah memahami keseluruhan diri ini.

Saya sedar dan akui,apalah sangat secubit rasa kasih ini daripada Ilahi berbanding dengan segala nikmat yang diberi. Saya tidak berhak untuk mempertikai dan saya juga tidak mahu mempertikai apa-apa.

Cuma...Saya perlukan tangan-tangan yang dahulu, yang mengangkat saya tatkala jatuh. Yang menghulur tangannya seraya berkata "Bangkit Mastura, Bangkit berdiri dan berlari. Jalan dakwah ini bukan mudah! Bukan untuk orang yang manja!"

Saya pendam satu-satu kelukaan dan masalah jauh di lubuk hati. Mencuba untuk memadamkannya dengan begitu payah, mencuba untuk mengukir senyum tatkala hati teruk berdarah.

Ah, siapa kata pendakwah tidak punya perasaan.

Saya sedih melihat usaha yang masih kurang untuk Islam, melihat betapa lemahnya diri menempuh badai, menghitung dosa-dosa yang kian menggunung. Sedih memikirkan permasalahan ummah, memikirkan betapa hodohnya perilaku diri menghadapi dunia fana, memikirkan bekalan yang masih kurang untuk menempuh akhirat sana.

Ah, siapalah yang benar-benar memahami melainkan Allah semata. Manusia senang memberi hukum, "Oh, selama ni tolong ada makna." Sewaktu saya berhenti melakukan pertolongan kerana mahu menenangkan hati.

Dengan begitu payah saya merangkak untuk berdiri, memaut segala yang ada di sisi. Ah, saya mahu berdiri kembali..melangkah gagah di medan ini!

Pemberian tanpa penerimaan umpama satu tubuh yang tidak lengkap. Saya perlu. Perlu pada peringatan dan nasihat daripada para sahabat. Saya perlu pada tazkirah-tazkirah kecil yang memberi nikmat pada hati.

Kini saya mencari dan mencari, ada tapi masih belum cukup. Justeru iman saya memberontak,memberi satu rasa tidak enak dalam hati. Penulisan menjadi hambar.

Ah, rindunya saya pada bumi KUIS tercinta...

Memikirkan itu semua, saya kembali terluka.

Sahabat, berilah saya peringatan.

Saya tidak mahu hanya memberi tanpa diingati. Saya insan alpa dan lalai. Tanpa nasihat dan peringatan maka hanyutlah saya dibawa arus dunia.......

Saya perlukan bimbingan, bukan hanya membimbing. Berbicaralah sahabat, berbicaralah dengan hikmah agar tenang kembali hati ini, agar iman kembali menjamah makanannya.....

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, March 22, 2011

Iktibar Bandung -Hari 2-

Kami disapa pokok teh sepanjang perjalanan. Damai.

Indahnya alam yang luas terbentang,
Juga langit yang gah berdiri sendiri,
Pada camar yang girang ke sana sini,
Ah, apakah manusia masih tidak menyedari?


Pagi itu, hari kedua kami di Bandung. Subuh di sana seawal jam 5 pagi, selepas Subuh, terus bersiap-siap untuk bersarapan dan bertolak ke Tangkuban Perahu sekitar jam 9 pagi.

"Nanti di sana, akan ada local tourist guide yang jaga ya." Pemandu pelancong kami berbicara.

"Kenapa ye?" Abah betanya, mewakili kepelikan kami semua.

"Nanti di sana, semua berebut-rebut nak jual barang, jadi bingung."

Kami diam.

Tangkuban Perahu


Kabus sudah turun.. Sungguh dingin!

"Pak, beli pak.. ini murah pak.."

Allah....

Benar seperti dikata, berpusu-pusu peniaga datang menjual barang, dari tanam-tanaman sehinggalah ke kraftangan. Walau dengan harga yang murah, mereka sanggup asal sahaja dapat melihat keluarga tidak kelaparan.

Allah...Allah...

Salah satu kawah gunung berapi di Tangkuban Perahu.

Betapa susahnya mereka mencari secicip rezeki buat menampung kehidupan sekeluarga. Teringat juga nasib-nasib saudara-saudara yang bertebaran di serata dunia.

Mereka parah, mereka derita, meraka sengsara menunggu bantuan yang hanya kan kunjung tiba melalui kepentingan semasa.

Strawberi yang merah dan sedap ini hanya dijual dengan harga RM3 sekotak penuh.

Mungkinkah.. Mungkinkah para pemimpin dunia sekarang sudah semakin lupa.. sudah semakin lupa, bukan melupakan rakyatnya tapi melupakan satu amanah besar yang tergalas di bahu.

Teringat pula pada kisah Umar Al-Khatab yang sanggup memikul gandum di pundaknya lantaran rasa bersalah membiarkan seorang rakyatnya kelaparan.

Pandangan dari atas.

Teringat pula pada Umar Al-Aziz yang berpakaian lusuh walau berpangkat besar.

Oh Benarlah!

Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa.(Al-Qasas : 83)


Pokok Batik


Inilah dia pokok batik tu!

"Ek eh, cantiknya dia ukir-ukir kayu ni." Saya berkata sebaik sahaja melihat banyak kraf tangan berasaskan kayu-kayu berukir.

"Ini bukan diukir, ini asli dari pokok" Pemuda yang mengiringi kami menjelaskan.

"Ha?"Saya terkejut. "Memang potong je pokok terus ada corak ni?"

"Iya.. pokok ni ada pelbagai motif batik."

Subhanallah... kata apa lagikah yang layak saya keluarkan. Allah memberi nikmat tanpa putus. Meski mereka tertindas dek rasuah, tapi Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui memberi mereka banyak hasil bumi untuk menampung keperluan hidup.

Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Rabbmu yang Maha Besar. (Al-Waqiah : 96)


Subhanallah... Alhamdulillah.. Allahuakbar!
Mendaki

"Aduii penatnya.." Emak berkata seraya mendaki tangga menuju ke puncak gunung itu.

"Ala mak ni, kata nak bersenam" Saya membalas seraya tergelak kecil, lucu melihat emak yang sengaja melakonkan watak keletihan.

Saya berjalan sedikit ke hadapan.

Saya lupa nama pokok ini, tapi ia amat berkhasiat dan hanya tumbuh di kawasan yang ada belerang. Subhanallah.

"Kamu sudah kerja?" Pemandu pelancong yang mengiringi kami tadi bertanya kepada saya.

Saya menggeleng." Belum, masih belajar."

"Di universiti?"

"Iya."

"Kalau di sana, ada bantuan kewangan?" Dia bertanya lagi.

Saya mengangguk.

"Di sini hanya yang ada duit sahaja mampu masuk ke universiti."

Allah...

Dia juga merupakan salah seorang peniaga yang berniaga di situ. Dengan sabar dia melayan kami, mengambil gambar dan bercerita itu ini, tidak lupa juga menceritakan khasiat ulam-ulaman yang berada di situ.

Semua itu... untuk bekalan seisi keluarga.

Saya lantas teringat pada kisah pemandu pelancong yang menngiringi kami sejak hari pertama yang diceritakan di kereta semasa dalam perjalanan.

"Sebelum saya ambil bapak di airport, saya muntah-muntah. Tidak sihat, saya baru hantar tetamu lain pulang."

"Tak penat?"

"Saya perlu gerakkan semua tubuh, tenaga.. kalau tidak, anak saya tak minum susu."


Allah...

Walau sepuluh sen bagi mereka begitu berharga. Tapi kebanyakan kita, sepuluh sen jatuh di lantai buat tidak endah sahaja...

Mari kita lihat betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan secara percuma. Allah tidak meminta kita membayarnya dengan harta dunia, Allah tidak minta kita membayarnya dengan berteleku di tikar sembahyang 24 jam, Allah tidak meminta yang susah-susah.

Allah hanya mahu kita TAAT. Dan pengakhirannya, Allah beri lagi ganjaran;

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam tempat yang aman, (yaitu) di dalam taman-taman dan mata-air-mata-air; mereka memakai sutera yang halus dan sutera yang tebal, (duduk) berhadap-hadapan,demikianlah. Dan Kami berikan kepada mereka bidadari. (Ad-Dukhan : 51-54)


Jangan jadi seperti orang utan, yang menggenggam ketat dahan tempat berpaut tatkala angin kencang menyapa, tapi tidak mengendahkan pegangan pada dahan tatkala angin sepoi-sepoi datang menyinggah, dan pengakhirannya rebah ke tanah lantaran terlupa pada bahaya yang mendatang.

Kolam Air Panas

Kolam air panas terbuka.

"Lepas ni kita ke mana?" Abah bertanya sewaktu kami dalam pulang dari Tangkuban Perahu.

"Sari Ater Hot Spring."

"Ada tempat mandi tertutup tak?" Saya bertanya, teringin juga hendak merasa mandi air panas yang berpunca daripada gunung berapi ni :)

"Ada...ada kamar khas."

"Baguslah." Saya girang. Bolehlah saya dan emak mandi dengan aman tanpa terlihat oleh mana-mana insan yang tidak harus melihat aurat kami.

Tidak, bukan kami ketinggalan zaman, bukan kami terlalu jumud dalam berfikir, tetapi lantas dengan keimanan yang masih setipis kulit bawang, dengan kesedaran bahawa Islam itu indah, kami merenung satu hadith yang tidak lagi menjadi tumpuan ummah;

Barangsiapa beriman kpd Allah dan hari akhirat, maka janganlah ia masuk ke tempat mandi tanpa mengenakan sarung penutup aurat. Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia membawa masuk isterinya ke tempat mandi umum. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia duduk di meja hidangan yang disuguhnya khamr di atasnya. [Hadits hasan, riwayat at-Tirmidzi]


Kenapa dalam hadith itu wanita dilarang memasuki tempat mandi umum?

Pakaian kita, jika terkena air..pasti melekat-lekat ke tubuh, adakah melekat-lekat ke tubuh itu menepati syara'?

Sahabat semua bijak... pasti punya jawapannya :)

Pulang

Badan yang letih berjalan, terkena pula penangan air panas daripada gunung berapi adalah sesuatu yang membuatkan kita hanya mahu mencari katil dan bantal.

Kami semua keletihan, termasuk pemandu pelacong yang asyik menguap ketika memandu.

Namun Alhamdulillah berkat doa semua, kami selamat juga tiba di hotel selepas makan malam yang menyelerakan.

Ikan-ikan comel di tempat makan.

Bersiap sedia untuk tidur, mungkinkah esok membawa lebih pengajaran?

Oh Insan..
Lupakah dikau melihat gunung yang hebat berdiri,
Atau hujan rintik di celah pagi,
Atau tanaman yang memunculkan diri,
Ah, mengapa sukar benar memuji Ilahi?


Bersambung...

Pautan : Iktibar Bandung -Hari 1-

Read More......

Monday, March 21, 2011

Iktibar Bandung -Hari 1-

Permusafiran itu...
Adakalanya membawa duka..
Adakalanya bahagia tiba...
Ruginya mereka yang berjalan..
Tapi menyisihkan Allah




nota:perbualan dengan mereka yang berbangsa indonesia telah ditukar ke dalam dialek melayu agar memudahkan semua. Moga Allah kasih


"Cepat-cepat, masukkan beg dalam kereta." abah menggesa, takut terlewat untuk masuk ke balai berlepas. Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi, penerbangan insyaAllah sekitar jam 8 pagi.

Beg Kami di Lapangan Terbang Senai

Kami menuruti, memasukkan beg ke dalam kereta dan bertolak ke lapangan terbang Senai,Johor Bahru.

Dipendekkan cerita, dengan izin Allah, diiringi doa sahabat sekalian yang soleh dan solehah, kami selamat tiba di lapangan terbang Kuala Lumpur sekitar jam 9 pagi, penerbangan ke Bandung dijangka jam 12 tengah hari.

KLIA

Rezeki di dalam kapal terbang.

Dari dalam kapal terbang... merenung jauh ke bawah..

Terkadang kapal terbang bergerak dalam keadaan tidak stabil lantaran cuaca yang kurang baik. Berada setinggi itu membelah awan, terkadang ramai yang terlupa untuk melihat ke bawah.

Membelah Awan

Saya terfikir, begitukah situasi kita yang sebenarnya? tatkala berada di atas, lupa terus mereka di bawah.. Biarkan sahaja mereka yang berada di bawah, itu bukan masalah kita, yang penting,apa yang kita mahu tercapai. Begitukah?

Ramai manusia memasang cita-cita setinggi langit, berusaha itu dan ini sehingga terlupa kepada Yang Satu. Sehingga, apabila angan-angan setinggi itu yang tidak diiringi kasih Sang Pencipta jatuh terhempas ke bumi, ramai yang memberontak.... Lupakah kita, pada Penyelamat Jiwa yang tidak pernah jemu mendengar rintihan hati kita?

Allah...Allah...Allah...

Langit yang terbentang luas itu, berdiri teguh tanpa tiangnya..

Lupakah manusia mengambil pengajaran?

Tiba Di Bandung

Umi.. Alhamdulillah selamat tiba di Bandung

"Mak, tu.." Saya menunjuk kepada seorang lelaki yang sedang memegang kertas yang tertera nama ayah saya.

Kami bergerak ke arahnya dan dia membalas dengan senyuman.

Kaki bergerak, melangkah laju menuju ke kereta yang akan membawa kami berjalan sekitar bandung.

"Eh, itu polis buat apa kat situ?" Ayah saya bertanya sewaktu melihat polis bersama seorang pramugari tidak berapa jauh dari tempat kami berada.

"Oh itu perkara biasa"

"Melindungi...lagi apa tu?" Ayah saya cuba membaca tulisan yang tertera pada kereta polis-polis tersebut.

"Itu bukan melindungi, tapi memeras!" Pemandu pelancong kami sedikit berjenaka.

"Iye ke?" Ayah kembali bertanya.

"Iya... tiup je wisel, priitttt... nah, dapat Rp 200,000."

"Saman ke?"

"Iye.. tapi kalau masuk kepada kerajaan saya ikhlas, ini masuk poket mereka, saya tak ikhlas."

Kami diam.

Dan saya kembali berfikir... Indahnya Allah, hebatnya Allah, Bijaksananya Allah.

Sesuatu itu diharamkan pasti bersebab.

Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (Al-Baqarah : 188)


Diperjelaskan lagi dalam hadith pesanan Baginda Rasulullah kekasih allah.

Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran,
kehakiman dll) ( HR At-Tirmidzi)


Amalan rasuah yang diamalkan.... memudaratkan banyak pihak, yang susah semakin susah, yang senang semakin senang. Itukah keadilan yang manusia mahukan?

Petang

Setelah makan,kami kembali ke hotel untuk menunaikan solat.

Perjalanan petang itu, disulami udara yang dingin benar-benar menyamankan. Pergi ke beberapa Factory Outlet hanyalah sekadar untuk melihat-lihat. Tidak banyak barang yang dibeli..

Ikan di salah satu Factory Outlet

Perjalanan yang mendamaikan.... Diiringi makan malam yang sungguh memuaskan hati..

Abaikan adik saya yang suka berposing pelik. T_T

Tempat basuh tangan yang unik

Makanan Sunda, makan bersila begitu benar-benar merapatkan ukhwah yang tercipta. Lauk-pauk yang tidak begitu hebat seperti di Malaysia namun tetap sangat menyelerakan, bukan kerana lapar tapi kerana barakah Allah mungkin terletak di situ, menyedari keperluan berbanding kemahuan, menyelami kepahitan hidup rakyat di sana..



Ah, hidangan itu benar-benar menyelerakan!

Terima kasih Allah yang memberi tanpa henti.
Yang masih menghidupkan manusia untuk meniti hari....

Oh Musafir!
Lihatlah itu...
Pada matahari yang terbenam indah,
Pada awan yang berdiri megah,
Masihkah hatimu tertutup,
Dari melihat hebatnya Allah?


Bersambung.....

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .