Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, June 27, 2012

Kembara Palestin -3-

Pintu masuk untuk ke lorong-lorong menuju ke masjid Al-Aqsa


Oh Palestin,
Dari jauh kau meratap,
Saudaraku, saudaraku,
Di manakah kalian?


“Wa, wa bangun.. dah nak subuh ni, kata nak solat kat Al-Aqsa?” Emak menggerak badan saya. Lembut.

Hendak menyesuaikan diri dengan waktu di sini memang agak payah pada mulanya. Subuh seawal jam 4 pagi, ah, berat mata nak terbuka. Tapi mengenangkan Al-Aqsa yang entah bila lagi dapat melawatnya, saya menggagahkan diri.

Subuh itu, hanya saya, emak dan adik sahaja berjalan menuju ke Al-Aqsa. Ahli rombongan lain rata-rata tidak sihat kerana masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sana. Subuh itu sejuk. Sunyi.

Sepanjang jalan, tiada manusia yang kelihatan. Hati saya mula gusar. Mujur, tatkala sudah hendak masuk ke pintu sebelum meredah lorong-lorong dalam kawasan Aqsa itu, kami terserempak dengan rombongan dari Indonesia. Dengan merekalah kami berteman :’)

“Where are you from?” di hadapan pintu masuk masjid Al-Aqsa, kami ditahan oleh polis Israel.

“Malaysia.”

Kami dilepaskan.

Ya, bukan semua orang boleh memasuki masjid Al-Aqsa, apatah lagi jika rakyat Palestin. Ada ketikanya, hanya mereka berumur 45 tahun ke atas serta kanak-kanak yang tidak berdaya sahaja dibenarkan memasukinya. Rakyat Palestin harus mempunyai permit untuk ke mana-mana. Hatta untuk memasuki masjid sendiri!

Bergerak dalam satu ‘penjara besar’ bernama Negara Sendiri bukanlah sesuatu yang indah. Bahkan merupakan sesuatu yang amat merobek hati. Apatah lagi apabila mereka digelar pengganas dan pemberontak oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab hanya kerana mereka ingin merdeka di negara sendiri.

Usai solat subuh, kami bergerak menuju ke hotel. Di hadapan kami tatkala itu ada 2 orang Arab yang sedang berjalan. Tiba-tiba dia diserbu oleh beberapa orang untuk mengambil gambar bersama.

Saya menjadi hairan. Siapa tu? Kenapa popular sangat?

Lama saya memerhati. Rupanya itulah Imam Nombor Satu Masjid Al-Aqsa. Subhanallah! Memang semenjak di Malaysia saya amat berharap untuk bertemu dengannya. Wajahnya indah berseri-seri, bibirnya menguntum senyum, tatkala orang menyerbu untuk mengambil gambar, dia tenang sahaja, tersenyum, dan berkata: Marilah.

Saya terpegun. Kaku. Terus tak dapat ambil gambarnya. Allah, balik ke hotel baru perasaan menyesal itu timbul. Namun Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Semenjak hari itu, setiap kali kaki digerakkan menuju ke Al-Aqsa saya sentiasa berdoa agar dipertemukan lagi dengannya, namun Allah lah yang merancang segalanya, saya tidak bertemu dengannya lagi. Moga-moga beliau berada dalam perlindungan Allah selamanya.

Pukul 8 pagi, kami bergerak menuju ke Hebron. Sepanjang perjalanan, kelihatan rumah-rumah Israel yang cantik-cantik. Besar dan Agam.

“Suatu ketika dahulu, rumah-rumah ini adalah milik rakyat Palestin” Pemandu pelancong kami bercerita. “Tapi, apabila Israel datang, mereka menghalau semua rakyat Palestin, merobohkan rumah mereka, membina penempatan baru dan memanggil semua Yahudi yang bertempiaran di 85 buah Negara untuk memenuhkan penempatan di Negara haram Israel.” Sambungnya.

Begitu hina rakyat Palestin diperlakukan. Rumah rakyat Palestin hanyalah rumah-rumah buruk yang kadangkala mungkin kita tak sangka itu sebenarnya adalah rumah, sedang mereka yang menjajah duduk senang lenang di rumah Agam hasil rampasan daripada insan yang tidak berdosa.

Tiba di Hebron lebih menyayat hati.

CCTV Israel di udara.. mereka lupa, CCTV Allah di mana-mana!

Hebron pada suatu ketika dahulu merupakan satu Bandar yang maju. Rakyatnya amat pandai berniaga. Namun, apabila Israel datang, mereka menutup semua kedai dan melarang rakyat berniaga hingga mereka jatuh miskin dan menjadi pengemis. Bandar Hebron menjadi sepi.

Di hebron ramai anak-anak kecil yang mengemis, dan mengekori pelancong untuk menjual souvenir yang ala kadar sahaja.

Kanak-kanak di Hebron.

Saya dieekori oleh seorang remaja. Pada awalnya saya takut untuk membeli kerana bimbang ‘diserbu’. Tapi remaja itu tidak putus asa. Saya amat bersimpati, tapi pada ketika itu semua berjalan laju dan kerana bimbang diserbu saya masih buat tidak tahu sehinggalah dengan tegas dia berkata, “Adakah anda tahu ada berapa ramai anak yatim di sini? Adakah anda tahu berapa ramai kanak-kanak yang kehilangan ibu, kehilangan ayah?”

Melihat mata tegasnya, benteng ‘buat tidak tahu’ saya runtuh. “Berapa?” Saya menunjuk pada satu gelang yang ditampal bendera Palestin di sekelilingnya. “Terpulang.” Katanya. Saya ambil satu, dan sehingga kini saya menyesal kerana ambil satu. Gelang itu tidak dijumpai lagi di mana-mana, dan mengenangkan anak itu, ah... Semoga hari ini dia masih hidup dan berada dalam perlindunganNya.

Di Hebron, kami melawat Masjid Ibrahim. Satu Masjid di mana telah dibahagi dua, Israel mengambil sebahagian masjid yang terdapat maqam Nabi Yaakub. Sehingga kini, umat Islam tidak dapat menziarahi maqam tersebut. Di masjid ini kami diperiksa dengan ketat sekali. Body scanner, periksa beg.. semuanya... umpama kami ke sana untuk bom masjid tersebut.


Pada mulanya melalui gerigi besi.

Selepas itu melalui body scanner dan pemeriksaan beg.

Israel menunjukkan taringnya lagi apabila masjid ini diharamkan untuk melaungkan azan pada hari sabtu kerana mereka membuat upacara di bahagian masjid yang mereka rampas itu.

“Allahu Akbar.” Beberapa orang yang sedang solat dhuha melakukan sujud.

Bang! Bang! Bunyi tembakan. Mereka rebah, darah terhambur keluar, membasahi ruang sembahyang di Masjid Ibrahim.

Di sinilah dahulu saudara-saudara kita ditembak.

Ya, pada tahun 1996 yang lalu peristiwa itu berlaku. Tatkala saudara-saudara kita sedang melaksanakan solat dhuha, Israel datang dan menembak tanpa sebab. Mereka berani mengotori ruangan suci masjid Ibrahim, dimana di situ terdapatnya maqam Nabi ibrahim, Nabi Ishak, serta Sarah isteri nabi ibrahim.

Ruang untuk ke maqam melalui bawah tanah telah pun ditutup.


Mereka sangka mereka menang, sedang mereka hakikatnya berada dalam tampuk kehinaan yang nyata.

Pulang dari Hebron, kami singgah di satu kedai kraftangan milik rakyat Palestin. Tiba-tiba seorang pakcik yang sangat tua datang menjual beberapa keychain dan sebagainya.

Saya betanya, “adakah anda rakyat Palestin?”

“Alhamdulillah.” Jawabnya.

Tidak lama kemudian dia berkata, "Du’a... Du’a... Du’a for Palestine.”

Pakcik inilah yang berkata : du'a for Palestine.

Hati saya berdarah. Seperti ditusuk-tusuk, melihat wajah sepi pakcik tersebut, mata saya mula digenangi air, dan suara seorang pakcik di lorong-lorong Aqsa pada waktu subuh yang lalu seolah-olah terdengar kembali :

“This is PALESTINE. No Israel. No! This is Palestine!”

Moga Allah mengampunkan saya yang selalu alpa...

To be continued....

Saudaraku, saudaraku,
Kami terpenjara di negara sendiri,
Apakah ada kami,
Dalam doamu?


wallahu'alam

Read More......

Wednesday, June 20, 2012

Kembara Palestin -2-

Sayu hati,
Pilu,
Tangisan itu berlari lagi,
Ah Al-Aqsa,
Apakah engkau sedang memanggil?


Anak ini datang tiba-tiba di dalam masjid Al-Aqsa ke arah saya. rupanya nak ambil gambar! ;)

“Allah.” Sayu kata-kata itu berlari keluar dari mulut. Seperti tidak percaya, benarkah? Benarkah kaki ini telah pun selamat berpijak di bumi Palestin? Benarkah? Benarkah hidung ini menghirup udara damai Palestin?

Sejujurnya, sebelum sampai ke imigresyen lagi saya sudah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang bakal dihadapi seperti tidak dapat menziarahi Al-Aqsa. Israel, tingkahnya tidak dapat diduga. Arahannya hanya ikut suka.

Terkenang saya pada seseorang yang pernah juga menjejakkan kaki di Masjid Al-Aqsa sebelum saya, tetapi dia lebih bertuah kerana dapat berjumpa dengan Imam nombor satu masjid Al-Aqsa. Katanya, ketika ditanya mengenai fatwa tidak boleh menziarahi Al-Aqsa buat masa ini, imam itu tersenyum dan berkata, benar.(nota : lihat adab ulama’ dalam perbezaan pendapat, dikatakan benar. Bukan salah. Hanya fatwa saya yang betul) dan disambung kata-katanya.. tapi itu fatwa ulama’ luar. Ulama’ Palestin berfatwa, datanglah menziarahi Al-Aqsa kerana Israel mahu masjid itu kosong!

Maka kita bebas memilih untuk beramal dengan mana yang kita senang dengannya. Tatkala mengetahui cerita mengenai Al-Aqsa dari satu figur yang solehah sebelum saya menjejakkan kaki ke Al-Aqsa, hati saya menangis. Pilu. Rindu. Semua bercampur baur, sehingga jika ada sesiapa menyebut Aqsa, maka berderailah air mata saya.

Ah Aqsa. Apakah dikau sedang menyeru.
Ah Aqsa. Apakah dikau memanggilku? Saya sering tertanya-tanya.

Ya begitulah bermulanya cerita, dan selepas itu Allah lah yang memudahkan segalanya. Dari awal perjalanan ke KLIA sehingga jejak ke Al-Aqsa, saya percaya Allah yang melindungi dan mengaturkan segalanya dengan cantik sekali.


Jericho, Palestin.

Sebaik tiba, kami dibawa makan ke Jericho, waktu itu hati menangis lagi. Bagaikan tidak percaya dapat melihat senyuman indah pada wajah rakyat Palestin yang telah sekian lama saya rindui. Bagaikan tidak percaya dapat merasa masakan mereka. Sungguh, sungguh.. rindu.

Di tempat makan itu, ada seorang lelaki yang asyik mengelap kawasan sinki, serta mengambil air dan sebagainya. Tidak duduk diam. Wajahnya indah berseri, biar pun di sebalik senyumannya saya kira ada kisah 1000 duka yang tersimpan. Dalam bahasa Arab saya yang berterabur, saya tanya :

“Adakah kamu orang Palestin?”

“Alhamdulillah. Ya.” Dia menjawab. Begitulah rakyat Palestin tatkala ditanya adakah kamu orang Palestin mereka akan menjawab Alhamdulillah. Sungguh bersyukur mereka menjadi rakyat di bumi barakah itu, hingga timbul cemburu di hati saya :’)

“Berapa umur kamu?”

“18” Pada ketika itu saya terkejut. Umur semudanya seharusnya sedang bertungkus lumus menghadapi peperiksaan untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi dia tidak. Kerjanya mencuci tandas, untuk menampung diri dan keluarga.

Dalam sebak saya cuba tersenyum. “kamu adalah seorang yang baik.”

Dia tersenyum. “Kamu dari mana?” katanya.

“Malaysia.”

Dia tersenyum lagi. “Terima kasih.” Katanya. Saya tidak mampu lagi berkata. Terima kasihmu itu wahai saudaraku, untuk apa? Kerana saya datang melawat? Seharusnya sayalah yang mengucapkan terima kasih. Terima kasih kerana masih bertahan. Terima kasih kerana tidak gentar menghadapi Israel, dan terima kasih yang paling utama kerana masih menerima saya sebagai seorang saudara seIslam biarpun saya sering lalai alpa daripada mengingati bumi barakah itu.



Pemandangan dari Bukit Zaitun


Tidak banyak yang dilakukan. kami dibawa ke laut mati dan kemudiannya bergerak ke kawasan bukit Zaiton. Daripada situ, dapat dilihat seluruh kawasan Aqsa. Hati mana yang tidak sayu, jiwa mana yang tidak meronta... tatkala Aqsa yang dirindui sekian lama dilihat di depan mata. Saya seperti hendak berkata “Cepat, bawa kami ke sana. Saya sudah tidak sabar lagi hendak menunaikan solat di ruangan saf yang kosong di Aqsa itu!”

Tapi itu hanya yang tersirat. Yang tersurat tidaklah begitu, nanti orang kata over pula. ☺ di bawah bukit ini terdapat banyak perkuburan Yahudi kerana mereka percaya bahawa dajjal akan keluar dari situ. Ya mereka menantikan kehadiran dajjal laknatullah walaupun saya kira mereka tahu bahawa dajjal itu juga akan kalah nanti.

“Israel can come and take anyone here that they like and shoot them.” Pemandu pelancong berbicara. Allah, Allah.. tidak sedarkah mereka, yang mereka tangkap dan bunuh itu adalah saudara saya. Saudara anda. Saudara kita semua. Ya Israel, anda boleh tangkap dan bunuh mereka. Tapi anda tak akan mampu membunuh jiwa kami terhadap bumi Palestin selamanya!

Selepas itu kami menuju pula ke maqam Nabi Musa. Maqam ini ditemui oleh satu figur terkenal – Salahuddin Al-Ayubi. Ya, ketika Salahuddin memasuki Jerusalem, diampunkan semua orang yang bersalah. Dia membersihkan Jerusalem daripada kehinaan. Dia mengangkat martabat Islam. Di bumi itulah Salahuddin pernah berpijak dan berjalan. Ya, di bumi itu. Bumi yang Israel cuba cemari.


Masjid dan Maqam Nabi Musa


Selepas kematiannya, Jerusalem kembali ditawan oleh musuh Islam. Namun atas kebijakan khalifah Umar Al-Khatab, Jerusalem jatuh kembali ke tangan orang Islam. Ketika khalifah Umar memasuki perkarangan Al-Aqsa, kawasan masjid itu dipenuhi sampah. Dengan tangannya sendiri – tangan seorang khalifah, dia mengutip semua sampah sehingga perkarangan masjid itu bersih.


Perkarangan Al-Aqsa

Allah. Tatkala kaki saya buat pertama kalinya menjejaki kawasan Al-Aqsa, saya berkira-kira, di sini dahulu salahuddin pernah berjalan, Umar pernah mengutip sampah. Air mata saya jatuh lagi.

“Macam tak percaya dapat solat kat masjid Al-Aqsa.” Kata saya kepada seorang makcik.

“Alhamdulillah kan.”

Malam itu saya bersolat maghrib di masjid Al-Aqsa dan isyak di dome of the rock (kedua-duanya adalah dalam kawasan Aqsa) di kawasan itulah peristiwa Israk dan Mikraj berlaku. Terlalu banyak sejarah peninggalan Islam di sini. Ya, Aqsa ini bukti kita pernah gemilang suatu ketika dulu. Aqsa ini bukti bahawa dalam sejarah Islam itu pernah unggul.

Hari itu, saya mendirikan solat bersama warga Palestin. Sungguh terasa diri ini kerdil. Terlalu sebak, ingin benar saya bertanya, “Adakah masih layak saya bergelar saudaramu?”

Selepas menunaikan solat Isyak, kami bergerak menuju ke tempat penginapan. Ah, esok, sempatkah lagi menuju ke Al-Aqsa?



Aqsa, Aqsa.
Rinduku terlerai,
Tangisku berderai,
Kini ku datang,
Menyahut seruanmu....


To be continued...

Read More......

Saturday, June 16, 2012

Kembara Palestin -1-


Sekitar Imigresyen nak ke checkpoint pertama.

“Tak sabarnya esok.” Masuk hari kedua pengembaraan, saya sudah merasa debaran untuk menjejaki bumi Palestin. Ya, bumi yang dirindui ummah.

“Tidur, esok nak bangun pagi.” Emak membalas ringkas. Kepalanya sudah direbahkan ke atas bantal. Lelap. Sungguh seharian jadual penuh dengan ziarah amat memenatkan.

Saya menarik selimut rapat ke dada. Cuaca agak dingin, sekitar 15 darjah celcius tatkala malam dan subuh hari.

Palestin

“I will accompany all of you until the Jordan’s immigration only, the bus driver will then take you to the Palestine’s border and drop you there and someone will pick you up.” Pemandu pelancong kami di Jordan memberi maklumat ringkas.

Agak lama juga berada di imigresyen Jordan. Kami tidak menyangka,sampai di sekatan yang dijaga Israel, penantian lagiii lama.

Check point pertama, bas ditahan, cermin besar dijulurkan ke bawah bas. Askar Israel memeriksa, mana tahu kot-kot ada bom di bawah bas. Saya terfikir, kalau orang bawa bom dalam bas bagaimana pula? Lucu sungguh Israel ini.

Saya melihat mereka daripada tingkap bas. Bengis.

Mahu saja saya lambai dan berkata : Hi, my name is Mastura and I am not a terrorist!

Apa-apa pun, Alhamdulillah check point pertama berjalan lancar. Kami lepas dengan jayanya. Perasaan seronok dapat lepas umpama jawab periksa yang susah sangat tiba-tiba keputusan keluar dapat A.

Bas berjalan sedikit, dan kemudian berhenti. Check point kedua dijejaki. Kali ini bas berhenti lama. Ah sudah, ramai di dalam bas menahan perasaan untuk buang air.

“Lama lagi ke, lama lagi ke.” Semua sudah tak senang duduk. Pemandu bas kami tidak tahu berbahasa Inggeris.

“Wa, driver tu kata lagi 50 minit baru bas boleh gerak.” Abang saya memberi maklumat setelah berbicara umpama ayam-itik dengan driver bas.

APA?! 50 MINIT?!

Rata-rata manusia di dalam bas mengeluh, hampir pengsan. 50 minit bukannya sekejap bagi seorang manusia untuk menahan perasaan ingin buang air. Ini serius.

“Wa, pergilah tanya dia dalam bahasa arab, boleh pergi bilik air tak?” Abang saya memberi cadangan. Nota : bahasa arab saya hanyalah suam-suam kuku. Asas sahaja.

“Bilik air apa eh dalam bahasa Arab?” Ah sudah. Bagai sudah jatuh dihempap tangga dan almari bersama. Sudahlah terseksa menahan derita 50 minit, tiba-tiba kepala blank semua kosa kata bahasa Arab.

Tiba-tiba seorang pakcik berbicara lagi bahasa ayam-itik bersama pemandu bas, dan pemandu bas menunjukkan bilik air di dalam bas tersebut! (terima kasih pakcik!)

Alhamdulillah. Lepas seksaan.

Bagaimana pula cerita dalam bas sahaja sudah seperti satu entri?

Masuk Imigresyen


Saya TERambil gambar -.-"

Mengambil gambar di kawasan imigresyen adalah dilarang, jadi saya tidak dapat tunjukkan bagaimana keadaan sesak di sana.

Imigresyennya tidak seperti imigresyen di Negara-negara yang biasa kita lawati. Imigresyennya, - manusia berpusu-pusu beratur di luar bangunan. Ya, luar! Dengan cuaca yang panas terik menunggu giliran untuk masuk.

Ketika orang terlalu penuh, kami duduk di dalam bas, tidak turun lagi. Dari dalam bas kelihatan seorang lelaki memakai baju biasa tetapi memegang senapang(Askar Israel).

“Ish ish ish, kesiannya diorang kena beratur panas-panas terik.” Saya dan abang berbual-bual mengenai sistem imigresyen di sana, sambil asyik melihat askar yang berbaju biasa tadi.

Tiba-tiba askar tersebut memanggil seseorang dan menunjuk-nunjuk ke arah bas kami.

“Eh eh dia tunjuk bas kita lah. Ehh” Umpama teruja ayat itu tapi sebenarnya tidak.

Sebentar kemudian, tempat letak bagasi dibuka, beg diturunkan oleh seseorang dan kami diarahkan turun dan beratur bersama di tengah terik mentari. ya padan muka saya, tadi kesiankan orang, sekarang kesiankanlah diri sendiri

“Wa, askar Israel memang penakut kan?” Tiba-tiba abang saya bersuara.

“Kenapa?”

“Tadi abang adi nak letak beg sandang ni ke bawah, askar tu dah menggelabah ke belakang sambil pegang senapang.”

Saya ketawa. Orang yang bersalah memang selalu diselubungi ketakutan.

Dalam Imigresyen

Apabila sampai giliran saya menunjukkan passport, saya lebih terkejut. Mereka tiada system komputer. Hanya seorang wanita duduk di kaunter (kaunternya satu saja!) dan menampal sticker di belakang passport kami tanda kami lepas pemeriksaan pertama. Susun atur di dalam imigresyen hanya sambil lewa. Seolah-olah ada satu mesej di situ : Anda mahu datang, hadapilah. Jika tak mahu, sila pulang.

Selepas itu, beg diperiksa. Kami masuk ke dalam body scanner. Ah, sudah. Masuk saja semua bunyi. Di hadapan saya ada seorang makcik yang saya rasa sudah buntu mahu buka apa, anting-anting semua dibuka tapi bila lalu body scanner tersebut, masih berbunyi : tiiiitttt.

Adoi makcik bila nak siap ni, saya nak lalu juga.

Dalam hati saya hanya berdoa : Allah mudahkanlah jangan Kau susahkan.

Askar Israel menyuruh saya masuk dahulu, saya pun masuk. Tiba-tiba : tiiittt. Hoi body scanner ni mungkin mensabotaj saya. Apa dia penyebab bunyi tersebut?

“Give me your passport.” Askar Israel memegang passport saya kerana mungkin itu salah satu penyebab bunyi tiitt itu.

Saya beri, dan masuk kembali. “TIIITTT” mesin itu berbunyi lagi. Mengapa bunyinya tiitt mengapa tidak bunyi lagu dondang sayang barulah kurang tegang suasana yang ada

Saya buka jam, dan lalu lagi. Alhamdulillah, lepas. Saya sangkakan semuanya akan berjalan baik selepas itu, tapi suasana benar-benar serabut, tak tahu perlu pergi mana dan mana dan saya hampir kehilangan beg.

Seorang kakak dalam rombongan kami ditahan pasportnya tanpa sebab. Lama pula tu. Bila ditanya kenapa ditahan, selamba mereka berkata, mereka pilih secara rawak dan kakak itu terpilih. Wah wah! Ingat cabutan bertuah ye?

Oh ya dan seorang lagi makcik ditahan dan dimasukkan ke bilik khas kerana bila lalu body scanner asyik berbunyi saja. Makcik tu kata :

“Askar Israel masuk-masuk je tanya, kau ada pistol? Ada pisau?”

Sedangkan punca bunyi itu hanyalah kerana corsetnya -.-“

Tiba ke perhentian ketiga dalam bangunan, kami berkumpul, seorang makcik bercerita kepada saya, “Tadi aunty dalam bas, habis semua doa aunty baca. Takut punya pasal.”

Saya tergelak, “Oh kira habis khatamlah quran tadi?”

Alhamdulillah, semuanya lepas dan di bumi Al-Aqsa itu, datang seorang pemandu pelancong menyambut ketibaan kami

Perjalanan diteruskan menuju ke Palestin…

To be continued..

Read More......

Saturday, June 9, 2012

Aura Positif dan Orang Arab.



Apa motif saya berada di entri ini kak? bisik hati kecilnya.

"Lagi 5 minit sampai Kuala Lumpur" Kami menghitung waktu. Menarik nafas lega apabila skrin di hadapan tempat duduk kami menunjukkan angka 5 minit untuk sampai ke Kuala Lumpur. 17 jam di dalam kapal terbang bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Sakit pinggang, bosan dan sebagainya.

Bangun, tidur bangun tidur, jalan raya pun belum kelihatan. -.-"

Kapal terbang yang pada mulanya sudah bersedia untuk mendarat, tiba-tiba naik semula ke udara. Ah, sudah. Skrin di hadapan tempat duduk yang pada mulanya menunujukkan angka 5 minit, berubah kepada 30 minit.

Sambaran kilat di luar kelihatan melalui cermin tingkap kapal terbang.

"Due to the bad weather, this flight cannot be landed safely. It has been delayed...." Begitulah lebih kurang pengumuman daripada juruterbang yang telah banyak berjasa. Saya memeluk bantal yang diberi erat-erat. Rabbi yassir wala tu'asir... itu sahajalah yang bergema di ruangan hati.

Touched Down

Sebaik touched down, masing-masing menghela nafas lega. Saya on handphone, berpusu-pusu mesej masuk, bertanya mengenai cerita di sebalik pengembaraan.

Saya tarik nafas. Hakikatnya malu pada mereka yang hatinya begitu ingin tahu mengenai saudara di sana. Untungnya memiliki hati seperti mereka, yang lunak dan cakna kepada kesusahan saudara sendiri.

Dan tulisan panjang di entri ini bukanlah untuk cerita mengenai saat cemas di dalam kapal terbang, atau ingin bercerita mengenai Palestin. Ya, saya tahu anda sudah tidak sabar lagi untuk membaca cerita pengembaraan di bumi Al-Aqsa itu, tapi, bertenang semua!! ;D kerana saya perlukan masa untuk menyusun cerita satu persatu dan memilih gambar terbaik untuk tatapan anda.

Sekarang, saya hanya mahu bercerita mengenai orang Arab.

Orang Arab dan Aura Positif


Mimbar Salahuddin Al-Ayubi ; Salahuddin dulu, walaupun berperang, tetap mahu berbaik dengan musuhnya.

Saya selalu 'dimomokkan' dengan khabar-khabar bahawa orang Arab itu panas baran. Orang Arab itu pentingkan diri. Orang Arab itu cakapnya suka jerit-jerit. Orang Arab itu suka bergaduh.

Hakikatnya, saya sendiri maklum berdasarkan pengembaraan-pengembaraan di bumi Arab suatu ketika dahulu. Pada waktu itu, saya masih belum cukup matang(hehe!) untuk tahu mengenai aura positif.

"Awak ni cakap panjang-panjang, aura positif tu apekebendee?"

Sabar ya sahabat. tahukah anda, apabila kita beranggapan kepada seseorang, diri kita akan memancarkan aura kepada mereka.

contoh, apabila ada seorang manusia yang dalam hatinya benci pada kamu, apabila kamu berselisih dengannya, aura benci itu akan terasa sehingga kamu merasa : eh, apesall macam tak best je dengan dia eh?

Lagi, apabila ada seorang manusia yang hatinya bersih sahaja dan apabila kamu menemuinya, kamu akan merasa : Ya Allah, tenangnya berada di sisi dia.

Ya. Itulah aura yang saya katakan. *Tepuk-tepuk*

Jadi, bertemu dengan orang Arab, saya cuba tersenyum dan beranggapan yang baik-baik saja kepada mereka. Dan berlakulah beberapa insiden, dan saya akan kongsikan beberapa daripadanya di sini.

Kisah 1 : Diskaun hebat

Seorang penjual barangan laut mati menerangkan dengan susah payah dalam bahasa Inggeris mengenai produk-produk yang ada. Tiba-tiba, dia berkata,"Beli satu gratis satu."

saya yang tersenyum, berubah kepada ketawa kecil.

"Oh no no no, gratis is in Indonesia, in Malaysia it is percuma."

"What?"

"Percuma."

"Per...?"

"Percuma."

"Okay percuma. Beli satu percuma satu." katanya dalam slang arab. Saya tergelak lagi. Sebentar kemudian, dia mengekori belakang saya dan berkata, "Do you need... er, percuma?" Sambil tangannya membuat gaya memegang bakul.

Saya tergelak lagi. "Bakul."

Dia tersengih dan menggaru kepala. Saya berjalan-jalan di sekitar kedai tersebut. Tiba-tiba dia berdiri di sebelah saya. "What do you want in this shop, just point at it, i will give you a special discount." Katanya.

"Err.." Saya terkebil-kebil, serba salah.

"No worries. Just point at it."

"Are you sure?"

"Yes, just tell me. Don't shy."

Saya diam serba salah. Tiba-tiba dia memecah suasana, "You can speak malay to me. I understand you."

"Really?"

"Yes."

"Apa khabar?" saya bertanya.

"I'm doing fine." Dia menjawab, selamba. "Oh, so you can understand but don't know how to reply, isn't it?" Saya kembali bertanya.

"Yes."

"Okay then, do you know that i can speak Arabic too?"

Dia membesarkan mata, "Really?"

"yes, ask me anything."

"Kaifa haluk(Apa khabar?)"

Saya tersenyum. "Bikhair, Alhamdulillah."

Dia tersenyum, "Wow, you have a good Arabic, you speak better than me." Dan saya tergelak. Pandai sungguh dia membodek ya. Saya meneruskan langkah, dan separuh menjerit dia berkata, " If you want anything, just tell me."

Kisah 2 : Penjual Buah

Seorang penjual buah sedang sibuk berkata mengenai kemanisan kurma, dan sebagainya. Saya hanya mendengar dan tersenyum, tiba-tiba dia berkata, "You have a smiling face." Dia bergerak menuju ke arah buah pisang, ambil satu dan beri pada saya. "This is for you."

"Thank you." senyum.

"How much is this?" Emak yang berada di sebelah saya pada ketika itu, bertanya mengenai satu kotak kurma yang kelihatan enak dan saiznya juga besar.

"For you sister, i give two boxes for 8 dollar." tangannya menunjuk ke arah saya. Tidak cukup dengan itu, dia ambil lagi gula-gula dan beri kepada saya.

Allah, berilah rezeki yang banyak kepadanya. :)

Kisah 3 : Restoran


I think this explains everything :')

Hari terakhir di bumi Anbiya', kami pergi makan malam di sebuah kedai kebab terkenal. Meja yang saya duduki gemar menyakat para waiters yang ada.

what is this, what is that. Mesra.

Tiba-tiba sampai satu hidangan main course. Ada daging, kentang, macam-macam.

"What is this?" Seorang pakcik bertanya, menunjuk kepada satu ketul daging yang dipotong panjang.

"Kebab, kebab." Waiter yang kurang mahir berbahasa Inggeris membalas.

"This is.. mutton, or beef?"

Si waiter diam sebentar. Dan tidak semena-mena dia berkata. "MBEEEKKKKKK."

HAHA!

Satu meja kami tergalak-gelak. Si waiter hanya memegang dada, dan mengangkat kening dua kali.

Aduh. Sakit perut.

Rembeskan Aura

Banyak lagi cerita, tapi cukuplah tiga ini sebagai satu tanda bahawa apabila kita merembeskan aura positif, orang lain akan tenang jua.

Jika tidak, masakan orang Arab Jahiliyyah boleh tertarik dengan Islam. Atas rembesan aura positif Rasulullah lah, mereka menjadi positif juga.

Tersenyumlah. Semua orang tidak sempurna, semua orang ada sisi positif dan negatifnya. Sekurang-kurangnya wujudkan rasa malu kepada bangsa Arab yang mahir bahasa Al-Quran, dan sentiasa akrab dengan zikrullah.

Membalas kebaikan dengan kejahatan adalah keji.
Membalas kejahatan dengan kejahatan adalah dendam.
Membalas kejahatan dengan kebaikan adalah hebat.

Teruskan memberi bunga, walau anda dibaling dengan pasu bunga!

Wallahu'alam.

Read More......

Monday, May 28, 2012

Mari Beristighfar


Bayu...
Bawaku jauh dari dunia,
Kerna hatiku merindui,
Yang Maha Esa...


Assalamualaikum kawan kawan. *cough cough*

Ehh mastura update blog lah. eh ada blog rupanya Mastura. -.-"

Baiklah kawan-kawan, jangan mengarut lagi. Marilah saya mahu ambil kesempatan di kesempatan ini, err,

Ha macamni ceritanya.


"Mastura, kenapa kita kena istighfar?"

"Best ke istighfar tu?"

Jeng jeng jeng. Duduk semua duduk, saya nak cerita satu cerita yang sangat ohsem.

Pada suatu hari, sang kancil dan sang buaya

Maaf, maaf, itu bedtime story Adam. Begini kisahnya....

Si Pembuat Roti Yang Suka Beristighfar

Pada suatu malam, Imam Ahmad bin Hanbal melalui satu rumah pembuat roti. Beliau mendengar pembuat roti itu asyikk beristighfar sepanjang malam. Lalu, beliau merasa hairan.

Keesokan harinya, Imam Ahmad berjumpa dengan si pembuat roti lantas beliau bertanya, "Wahai saudara, aku mendengar engkau asyik beristighfar sepanjang malam, mengapa engkau berbuat demikian?"

Si pembuat roti yang mendengar, tersenyum dan kemudian memberitahu, "Allah tidak pernah tidak memperkenankan doaku. Kecuali satu."

Imam Ahmad bin Hanbal bertambah hairan, apakah satu perkara yang tidak Allah perkenankan itu? Lantas beliau bertanya, "Apakah perkara itu wahai si pembuat roti?"

Si pembuat roti menjawab, "Aku minta agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal."

Mendengar itu, Imam Ahmad bin Hanbal menjawab "Sesungguhnya Allah telah memperkenankan doamu, dengan mengheret Imam Ahmad bin Hanbal untuk bertemu denganmu!"

Begitulah sahabat, Allah suka orang yang suka meminta maaf, dan ingat kepadaNya. Sebab itulah, dikatakan jika Allah mencintai seseorang hamba, Allah akan timpakan dugaan kepadaNya, supaya dia boleh bermuhasabah dan beristighfar..

Ya Allah.. apalah dosaku sehingga ditimpakan beban begini, ampunilah ya Allah..
Ya Allah.. Aku memerlukanmu, jangan tinggalkan aku ya Allah..
Ya Allah.. sabarkanlah hatiku dengan dugaanmu ini..

Manusia Yang Alpa

Ya sahabat. Manusia itu memang amaaaat pelupa. Jadi Allah ingin mengingatkan kita semula:

Wahai manusia! kamu ni banyak dosa, mintalah ampun sebelum tibanya hari yang tiada lagi pengampunan.

Allah cintakan kita sahabat. Cuma kita yang selalu terleka. Nak beristighfar, nak minta ampun pada Allah pun susah. Allah tahu, Allah nampak..Maka Allah beri dugaan dan ujian sebagai peringatan kepada kita, sebaliknya kita marah dan berkata :

Ahh.. kenapa semua ni berlaku kat aku. kenapa aku. kenapa tak jiran sebelah, atau jiran atuk aku. atau jiran kepada jiran atuk aku. kenapa aku. kenapa. Allah tak adil!

pang!

oh manusia. Bila agaknya kita ini akan sedar diri ya.

Kita selaluu berburuk sangka dengan Allah, sedangkan Allah dengan penuh kasih sayang telah menyampaikan dalam satu hadith Qudsi :

Aku menurut sangkaan hamba-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika ia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika ia mengingati-Ku dalam satu jemaah, Aku mengingatinya dalam jemaah yang lebih baik daripada mereka. Jika ia mendekati-Ku pada kadar sejengkal, Aku mendekatinya pada kadar sehasta. Jika ia mendekati-Ku pada kadar sehasta, Aku mendekatinya dalam kadar sedepa. Jika ia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan, Aku datang kepadanya dalam keadaan berlari.

Cintanyaa Allah pada kita. Dibalasnya segala kebaikkan dengan cara yang berganda. Cuba kita ambil contoh di dunia ini :

A : Kalau kau bagi aku satu hadiah,aku bagi kau dua hadiah. Kalau kau bagi aku rumah teres, aku bagi kau rumah banglo. kalau kau bagi aku seribu, aku bagi kau sejuta.

B : Ah, riba'!!

A : Hoi, ini bukan riba'. Aku memang suka balas kebaikan orang dengan lebih. Kau suka tak?

B : Eee.. shukenyeeww itteeww.

Memang. Kalau bab duniawi, memang semua manusia akan suka. Marilah sesekali kita jengah bab ukhrawi pula. Allah nak bagi, kita taknak, tapi lepas tu kita salahkan Allah. Wajarkah?

Mari Beristighfar

Kalaulah ada orang yang gemar meminta maaf, bila dia salah, dia minta maaf, bila kita salah pun dia minta maaf, sampai kita pun dah tak tahu nak maafkan dia apa.. Pastinya sejuk hati kita memandangnya, apa yang dia minta pun kita tak sampai hati tak tunaikan. (Bimbang dia minta maaf sebab kita tak dapat tunaikan)

Jadi..kita ini, dengan Allah.. banyak sangat dosa, sama ada yang kita sedar atau tidak.

Lalu, mengapa sombong untuk meminta maaf.

Bukankah setiap hari kita takkan mampu berdiri tanpa pertolonganNya?

Bayu..
Sampaikan pada manusia,
Bahawa kita hidup,
Sementara cuma...


Wallahu'alam.

Read More......

Sunday, May 20, 2012

Menangis dan Melangkahlah




Aku Ingin Segala Galanya damai
Penuh Mesra Membuah Ceria
Aku Ingin Menghapus Duka Dan Lara
Melerai Rindu Di Dalam Dada


eh eh.

hai kawan kawan.

Assalamualaikum wbt.

Hari ni saya rasa macam nak cerita sesuatu. Mungkin boleh juga jadi tips buat kawan-kawan semua. Tapi, kalau anda bukan seorang yang suka melihat tulisan, bolehlah berhenti setakat ini. T_T

Macam ni.. Pada Zaman Dahulu

Air Mata

"Tsk Tsk nangis berhingus"

Ya. Saya suka menangis. Atau dengan kata yang lebih sopan, saya mudah sangat menangis. Kadang-kadang menjadi kesukaran ye kawan-kawan, bagaimana pula mahu maintain macho di khalayak ramai.

Jujurnya, entah kenapa saya senang sangat menangis. eh seperti ayat di perenggan atas. Maafkan saya. Jadi, ketika saya di tingkatan 4, Allah izin saya ke MRSM Muar (hai warga mrsm muar!). Periksa, student life.. siapa yang tak tahu, semuanya membebankan. Apatah lagi di MRSM, anda perlu bersaing dengan sengit, suasana asrama pula, kalau tak pandai give and take memang boleh jadi gaduh.

Nak dijadikan cerita, masa periksa besar, kawan-kawan dapat banyak A, 9A, 10A, dan saya yang pada waktu itu berasa amat rendah diri kerana mendapat 7A.

Saya menangis. Bukan sebab saya nak menangis, tapi sebab fitrahnya hati saya mudah menangis.

Kawan-kawan saya yang ohsem dan baik-baik belaka datang merapati saya.... dan apa mereka cakap? adakah mereka cakap :

"janganlah nangis, oklah tu resultnya.."
"La... dahlah, life has to go on.."

Tidak tidak. Wrong answer.

Mereka datang rapati saya, kesat air mata saya, pegang bahu saya dan berkata :

"MAS, LAGI SETITIK AIR MATA KAU JATUH, AKU LEMPANG KAU."

Pang! rasa seperti halilintar menyambar bumi Walaupun mereka tidaklah melempang saya, tetapi ayat itu membuatkan saya tersedar.

Eh kenapa lemah sangat aku ni.
Eh aku ni tak pandai bersyukurlah.
Eh ada orang yang keputusan lagi teruk tapi masih tersenyum dan bersyukur.

Dan ayat itu buat saya tersenyum... Mereka juga tersenyum, walaupun saya lihat ada takungan air di mata mereka juga mungkin sebab terpengaruh dengan saya yang menangis.

Saya Hari Ini

Jadi, jika anda bertanya pada saya, : Adakah sekarang saya dah jadi kuat dan tak mudah menangis?

Jawapannnya tentulah TIDAK!

Sabar jangan baling tepung dulu.

Ya. Saya belum lagi menjadi kuat, hati saya fitrahnya masih begitu... tapi saya sudah menjadi kuat,sekurang-kurangnya lebih kuat daripada dahulu.

Bila dilanda musibah atau kesusahan tentu sahaja saya menangis. Tapi setakat itu sahaja, kemudian teruskan langkahan dan tidak menoleh ke belakang lagi.

Jadi jika anda tanya saya, apakah kita tidak boleh menangis?

Boleh. Untuk apa Allah ciptakan air mata? Bukan hanya bahagia yang wujud di dunia.

Jadi sahabat-sahabatku yang diredhai Allah... Andai ditimpa kesusahan, ditimpa musibah... Menangislah sepuas hati agar ringan sedikit bebanan yang ditanggung. Tapi jangan jadikan tangisan itu sebagai satu kelemahan. Jangan jadikan tangisan itu sebagai penghenti langkahan kaki anda. Jangan jadikan tangisan itu sebagai penyebab kejatuhan anda.

Jika dahulu saya asyik dengan menangis, di mana saya sekarang?
Jika dahulu saya asyik mengenang kesedihan, adakah sekarang saya mampu menaip ini?

Tangisan tidak mampu menyelesaikan masalah, ia hanya membantu meringankan beban di dada.

Jadi, habis sahaja menangis, buat perancangan untuk terus berlari di medan ini. Di hadapan sana..masih banyak peluang yang menanti. Allah tutup satu pintu buat kita, tapi Allah buka 10 lagi pintu yang lain... Cuma kita yang terlalu lama memandang pintu yang tertutup itu..

Ya, medan ini, dunia ini tidak pernah mudah... Tapi kita sentiasa ada Allah yang menjaga.

Jadi, bila menangis lagi.. tepuk dada, tepuk bahu dan katalah pada diri :

wahai diri,

Allah menguji tanda kasihnya Dia kepada kamu,
Ujian itu tanda ingatannya buat dirimu,
Lalu andai ada air mata yang mengiringi,
Biarkan ia terus berlari,

Dan selepas itu,
Tersenyumlah kembali.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. (Al-Bagarah : 286)

Wallahu'alam

Read More......

Wednesday, May 16, 2012

Dik, Akak Juga Pernah Merasa.



"Ish, boringnya. semua tak boleh. Itu tak boleh, ini tak boleh."

"Apa ni mak? Nak keluar dengan kawan pun tak boleh?"

"Ish, janganlah asyik telefon je. Orang tahulah nak balik."

Terkadang, apabila terdengar rungutan-rungutan sebegitu lahir dari mulut para remaja harapan Ummah itu, saya tersenyum.
Laju jari hendak menaip, khusus buat adik-adik belasan tahun yang rasa ingin tahunya sedang memuncak tinggi.

Khusus buatmu adik-adikku yang disayangi kerana Allah.

Dik, jika hari ini dikau merungut panjang, menarik muncung, dalam hati memprotes tindakan ibu bapa yang seperti tidak memahami gelodak jiwa remaja...

Dik, jika hari ini dikau memberontak, terfikir-fikir kenapa ibu bapa tidak melepaskanmu bebas,

Ketahuilah akak juga pernah merasa begitu. Malah mungkin lebih teruk lagi.

Dik, mahu tidak akak khabarkanmu satu perkara? Mahu tidak kamu dengarinya dik?

Adikku sayang...

Ibu mana yang tidak sayangkan anak yang dikandungnya selama 9 bulan 10 hari? Bapa mana yang tidak mengasihi anaknya yang dijaga semenjak kecil? Ketika dirimu masih bayi dan dikau jatuh sakit, tahukah dikau dik, ibumu bersengkang mata menjagamu siang malam dan bapamu selalu saja khuatir, bertanya kepada ibu bagaimanakah keadaanmu? perlukah dihantar ke hospital?

Semasa engkau menginjak dewasa, ibu dan bapamu melihat sekeliling. Jenayah merata-rata. Lantas ibumu gusar, bapamu risau. Bimbang jika dirimu disakiti. Bimbang jika dirimu kelak jauh hanyut di bawa arus duniawi, Kerana bukan itu yang ibu dan bapamu harapkan. Mereka mahu dikau membesar dengan elok. Mereka mahu itu.

Adikku yang dirahmati Allah...

Akak juga punya adik yang seusia denganmu... Ketahuilah dik, sewaktu dia keluar, hati akak begitu risau. Pukul berapa dia mahu balik, elokkah rakan-rakannya, ke mana kakinya melangkah... Semuanya berkumpul menjadi satu. Itu baru sahaja rasa risau seorang kakak kepada adiknya... Ibu dan bapa tentulah lebih lagi.

Dik,

Sewaktu akak seusia denganmu, tidak pernah akak keluar berpeleseran bersama rakan-rakan. Ibu dan bapa akak mengawal dengan begitu ketat dan akak juga sepertimu, marah, memberontak dan tertanya-tanya kenapa. Tapi ketahuilah... apabila dikau semakin dewasa dan ibu bapamu yakin dikau mampu menjaga diri, saat itu kebebasan akan diberi sedikit demi sedikit.

Pernahkah dikau melihat seekor anak burung dik?

Mulanya anak burung hanya tinggal di sarang. Ibunya berulang-aling mencari makanan, menyuapkan ke mulut. Ibunya mengajarnya terbang sehari demi sehari dan apabila sayapnya sudah mampu digunakan sebaiknya, saat itulah ibunya melepaskannya bebas, kerana anak burung itu sudah pandai menjaga diri.

Dik, simpanlah sayapmu sebentar, ia belum cukup kuat. Kuatkanlah dengan iman dan taqwa, supaya suatu hari nanti ibu bapamu mampu melepaskanmu dengan senang hati, mengetahui bahawa anaknya ini sudah kuat mampu menempuh arus duniawi yang semakin mencabar di luar sana...

Adikku yang Allah cinta,

Jangan marah-marah lagi. Berfikirlah secara positif. Ketahuilah dik, satu hari kelak..Apabila dikau sibuk menimba ilmu, sibuk menempa kejayaan, sibuk mengabdikan diri kepada Tuhan dan dikau melihat ummah yang semakin parah, dikau melihat maksiat berleluasa... Dikau akan berkata. "Alhamdulillah. mujurlah dahulu ibu bapaku mengawal ketat pergerakanku!"

Dik, sudahlah dik.. jangan menangis lagi. Lukamu, kecewamu, rasa hatimu akak memahami... Kerana akak juga pernah merasa.

Senyumlah dik. Hakikatnya Allah menyayangimu.

Salam cinta kerana Allah..


Read More......

Tuesday, May 8, 2012

Mengenang Syria dan Palestin



Anak ini syahid Disembelih.


Nak,
Jangan menangis sayang,
Umi sudah buntu mahu memujukmu,
Dan abi tidak ada,
Masih keluar berjuang….



Nak,
Semalam ada sahabatmu yang syahid ditembak,
Ada sahabatmu yang syahid dibakar hidup-hidup,
Dan umi khuatir akan keselamatanmu,
Apa esok engkau masih terus berada di sisiku?

Nak,
Satu saat nanti kakimu pasti melangkah ke sekolah,
Dan gurumu nanti akan mengajar,
A untuk Apple,
B untuk Bear,
Umi khuatir nak,
Mungkin sahaja engkau akan mengerutkan kening lantas bertanya,
Guruku,
Mengapa diajar sesuatu yang saya tidak mampu untuk membayangkan,
Mengapa tidak diajar A untuk army,
Dan B untuk bomb?
Bukankah itu sesuatu yang mudah dikenali?



Nak,
Seharusnya usiamu diisi keceriaan,
Seharusnya umi dan abi membelikanmu permainan,
Dan membawamu bersiar di taman,
Tapi kini,
Yang ada hanya kegusaran,
Dan dikau membesar dalam kehambaran…

Ah anak,
Hari sudah lewat malam,
Dan abi masih tidak pulang-pulang,
Lama benar dia keluar berjuang….

Nak,
Sebentar tadi jiran sebelah berkunjung tiba,
Dikhabarkan abi telah selamat menemui-Nya,
Tidak, umi menangis bukan kerana berasa hiba,
Hanya mengenangkan tanggungjawab yang kian dirasa,
Kini umilah umi,
Umilah abi.



Nak,
Apa mungkin esok umi akan berada di sisi?
Atau dikau kan ditinggalkan sepi?
Andai esok umi tidak lagi berdiri,
Ketahuilah sayang,
Umi cintakanmu setulus hati,
Akan umi tunggumu di satu tempat,
Bergelar Firdausi….




~mengenang Syria dan Palestin.

Angkat tangan dan berdoalah.

Bumi itu, bumi kita.

Wallahu’alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .