Semut hitam itu masih berusaha. Mengangkat bangkai temannya yang tersadai di sisi.
Jatuh.
Ia mencuba, mengangkat lagi. Jatuh lagi. Ia mundar-mandir, berpusing-pusing di sekeliling bangkai temannya. Sekali lagi, dengan kudrat yang ada, semut hitam itu mengangkat bangkai temannya, melangkah setapak demi setapak ke hadapan tanpa menghiraukan ana yang memerhati, tanpa gerun bahawa kemungkinan ana akan membunuhnya lalu menjadi bangkai sama seperti temannya.
Ana kagum pada ciptaan-Nya yang satu itu! Betapa semut hitam itu memiliki sifat penyayang yang tinggi!
Kita dan Semut
Lewat kebelakangan ini, ana gerun melihat dada-dada akhbar yang memaparkan berita-berita ngeri mengenai pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata umpama sampah oleh mereka yang tidak gentar pada balasan Allah.
Ana sedih melihat satu demi satu nyawa diragut oleh tangan-tangan mereka yang kasar. Setelah dikandung selama 9 bulan lamanya, dilahirkan dengan payah, tegar pula bayi itu ditinggalkan sendirian. Kesejukan, tidak berteman... Entah selamat entah tidak, atau mungkin mati digigit semut!
Sayu. Benar-benar sayu.
Kita ini seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliyyah. Ke zaman di mana wanita hanyalah dianggap sebagai pelacur. Zaman di mana bayi-bayi perempuan ditanam hidup-hidup kerana bimbang akan membawa malu kepada keluarga.
Kini.. bayi-bayi itu dibuang kerana malu kepada masyarakat.
Bayi itu.. Bayi yang tidak berdosa.
Bayi itu.. Adalah satu nyawa.
Bayi itu.. Bukannya sampah!
Bayi itu.. MERUPAKAN AMANAH ALLAH.
Jika semut itu sanggup mengangkat bangkai temannya dengan penuh susah payah, manusia pula sanggup meninggalkan satu nyawa sehingga tersadai menjadi mayat. Tertanam tanpa tahu asal-usulnya.
Kita ini.. Lebih hinakah daripada seekor binatang?
Allah telah berfirman ; sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya . (At-Tiin : 4)
Allah menciptakan kita dengan sebaik-baiknya, malah dikurniakan akal dan hati agar mampu berfikir dan menimbang dengan sebaiknya. Tapi malangnya, manusia tidak tahu bersyukur, hati dan akal selalu sahaja dikotori sehingga tidak mampu lagi melihat yang mana hitam, yang mana putih.
Jagalah Hati
Jika ada satu garisan pada satu kertas yang putih, kita akan cepat melihat kotoran itu. Tetapi andai ada satu garisan pada kertas yang penuh dengan contengan, kita tidak akan mampu melihat garisan itu.
Hati kita umpama kertas itu, hati yang bersih akan cepat menangkap segala kemaksiatan yang berlaku pada diri. Lantas melakukan pelbagai usaha untuk kembali mensucikan hati.
Tetapi, hati yang kotor menganggap kemaksiatan itu bukanlah satu perkara yang serius, yang harus dipandang berat. Lantas, mereka bermaharajalela... Mengecap kebahagiaan dunia yang sementara cuma, tidak adil dalam membahagikan amal dunia dan akhirat. Dan mereka itulah dalam golongan orang-orang yang rugi.
Ingatlah, di dalam anggota badan manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah keseluruhan jasadnya. Jika rosak daging itu, maka rosaklah keseluruhan jasadnya. Ketahuilah, bahawa ia adalah HATI (Riwayat Bukhari)
Kemaksiatan dan kemungkaran yang melanda melambangkan kerosakan hati.. Kerosakan hati pula merupakan faktor kepada keruntuhan moral.
Runtuhnya MORAL umat Islam
Masihkah kita ingat pada satu akhlak yang sangat baik? Yang membalas segalanya dengan kebaikan, hatta dirinya diperlakukan dengan zalim.
Dia.. Pernah dibaling batu.
Dia.. Pernah dibaling najis.
Dia.. Pernah ada cubaan untuk dibunuh.
Tetapi, Dia..
Tetap menadah tangan, berdoa kepada Allah agar Allah mengampunkan dosa mereka yang menganiayanya. "Mereka tidak tahu,ya Allah." Itulah kata-kata yang sering dilontarkan. Ketika tidur, dia menangis memikirkan masalah ummah, ketika sedar dia ke sana-sini menghampiri ummah. Dia sanggup merasa segala kesakitan asalkan seluruh umat Islam merasakan kebahagiaan.
Dia banyak mengajar nilai-nilai murni, tetapi setelah Dia tiada... Banyak ajarannya yang telah kita tinggalkan.
Dia adalah Baginda Rasulullah s.a.w....
Baginda bersusah-payah mengajar kita cara yang terbaik dalam mengharungi arus duniawi, tapi kita engkar.. Kita lebih gemar mentadbir diri dan dunia dengan cara kita sendiri. Nah! Terimalah padahnya sekarang.
Baginda mengajar kita bagaimana untuk berpakaian ;
Aisyah meriwayatkan, bahawa saudaranya iaitu Asma' binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Rasulullah S.A.W dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya. Kemudian beliau berpaling dan mengatakan: "Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini - sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Al-Hadith)
Sesuai dengan firman Allah ;
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." (An-Nur :31)
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Al-Ahzab : Ayat 59)
Sungguh, Allah menciptakan lelaki dan wanita dengan gelodak perasaan yang berbeza. Kaum wanita mungkin berasa tidak kisah berpakaian seksi, tetapi tanpa sedar, perlakuan itu bisa menaikkan nafsu syahwat lelaki.
Lumrahnya, lelaki mampu terangsang dengan hanya melihat, tetapi wanita akan terangsang dengan sentuhan.
Dua perkara yang berbeza yang mahu disamaratakan. Umpama minyak dan air. Masakan boleh!.
Wahai wanita, berpadalah...
"Ala, yang diorang pergi tengok kenapa?" Dia mencebik sambil membetulkan skirt pendeknya.
Tidak dapat tidak, andai seseorang wanita itu berpakaian seksi disertai pula dengan haruman yang berlebih-lebihan, seorang lelaki yang mahu melalui jalan yang sama pasti akan terlihat juga keseksian itu. Apatah lagi jika situasi itu berlaku di sebuah shopping complex. Ketika menaiki eskalator, si lelaki dikelilingi wanita-wanita seksi. Pandang depan salah, kiri salah, kanan salah, belakang pun salah.
Aduh! Kasihannya si Adam.
Bagi lelaki yang beriman, mungkin akan menundukkan pandangan, tetapi bagi mereka yang kurang imannya akan terus-terusan membiar nafsu merajai diri. Seterusnya, gadis yang lain yang tidak bersalah pula yang menjadi mangsa pemuasan nafsu si lelaki kerana terangsang dengan penampilan si wanita seksi. Tidak dapat dilepaskan kepada si pesalah, orang lain pula yang menjadi mangsa.
Syahdu.
Wahai wanita..Kembalikan sifat malumu, kembalikan akhlak indahmu... Agar dunia kembali tenang....
Resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.
Renung-renungkan, fikir-fikirkan...
Wallahu'alam
Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)
Sunday, April 18, 2010
Antara Manusia dan Haiwan
Labels:
Cerita Hati,
Secebis Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
like this entry sooo much =)
-chy mlmku-
Alhamdulillah, terima kasih krn sudi membaca duhai pengegak agamaNya.
InsyaAllah.. sama-sama kita doakan supaya kemaksiatan semakin surut.. ameen.
=)
Post a Comment