Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, October 31, 2010

Awak Ingat Lagi Tak..


“Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yg telah dicari”- Saidina Ali

Ingat tak....
Awak...
Satu ketika dulu,
Kita sakit...
Tapi awak jaga kita.
Sungguh sungguh.
Awak selalu bawa nasi lemak untuk kita,
Masa awak sakit perut pulak,
Kita bagi awak air yang panas betul siap berasap-asap,
Kita cakap supaya awak cepat sembuh,
Tapi awak gelak,
Sebab panas sangat tak boleh nak minum,
Awak tahu tak..waktu tu kita risau sangat kat awak...

Waktu kita kena 'buli',
Awak selalu cakap,
"Mas, jangan lemah sangat! Pertahankan hak awak!"
Kita selalu cakap kita tak mampu,
Kita selalu cakap tak sampai hati,
Tapi..
Tapi awak selalu ada kat sisi kita,
Awak yang selalu 'back up' kita,
Awaklah pelengkap diri kita.
Tapi sekarang awak dah jauh,
Kita rasa seolah-olah diri kita tak lengkap..

Ingat lagi tak...
Kita selalu belajar sama-sama,
Kita selalu berlumba nak jadi yang terbaik,
Biarlah satu kelas cakap apa pun,
Tapi kita selalu rebut nak duduk depan kan..
Sampai satu saat,
Kawan-kawan sekelas siap sediakan tempat kita berdua kat barisan paling depan.

Awak tahu tak..
Sekarang kita dah ada kawan-kawan baru,
Diorang baik sangat, terlalu baik.
Diorang selalu ada di sisi kita waktu susah dan senang,
Kita harap awak pun macam tu,
Tapi awak nak tahu sesuatu?
Kita tetap tak dapat lupakan awak...

Awak tahu tak...
Entah kenapa hari ni kita rasa sungguh-sungguh rindu pada awak,
Rindu awak ambil air waktu kita nangis,
Rindu awak tegur kita,
Rindu nak tegur awak dan awak terima dengan redha,
Entah.
Kita rindu awak...

Harap-harapnya awak sihat selalu,
Biarlah kita sorang-sorang je yang rindu awak,
Sebab kita tak nak awak pun sedih..
Awak, jaga diri ya...
Harap-harapnya, kita berdua dapatlah jadi insan bertakwa sebab kita tak mahu bersama awak di dunia sahaja,
Tapi di akhirat juga....

Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.(Az-Zukhruf:67)


Maafkan segala kekurangan kita...
Moga ukhwah yang terbina adalah semata-mata ingin mengharapkan redhaNya.

Read More......

Wednesday, October 27, 2010

Bersyukur dan Bersabarlah..


"Laili sihat?" Entah kali ke berapa soalan itu terpacul keluar dari mulut sekalian sahibah yang ada.

Teman serumah ana sakit yang masih belum pulih.

"Sihat.." Katanya lemah, diiringi batuk yang masih belum jua mahu berhenti.

Allah.. Sayu melihatnya. Namun memikirkan semua itu adalah tanda kasih sayang Allah padanya, Ana kembali lega.

Laili.. Allah sayang laili. Sakit itu adalah satu nikmat, nikmat kafarah dosa.

Sakit itu adalah nikmat, jika kita semakin hampir denganNya.

Sakit itu sungguh benar adalah nikmat apabila kita memandangnya dengan pandangan iman.

Pandang Segalanya Dari Allah

Adakah mungkin Allah itu memberi sesuatu yang bakal menyakitkan hambaNya?

Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri. (Ar-Rum :9)


Setiap apa yang Allah turunkan pada kita, sama ada baik atau buruk semuanya itu adalah sesuatu yang baik bagi kita jika kita benar-benar berkeyakinan bahawa Allah lah penentu segalanya bagi seorang hamba....

Adakah kesenangan yang dikecapi saban hari itu merupakan satu nikmat dan sakit serta kesusahan yang menimpa merupakan satu penderitaan dan kezaliman yang diberi?

Tidak. Tidak.

Ingatkah kita pada kisah sahabat Nabi yang pada satu hari tidak ada satu kesusahan pun diturunkan padanya. Beliau berasa gelisah, apakah mungkin Allah sudah melupakannya? Segera, kakinya bergerak bertemu kekasih Allah- Rasulullah S.A.W.

"Ya Rasulullah! Hari ini aku berasa amat senang sekali, apakah Allah sudah melupakanku?"

Apa Rasulullah jawab?

Rasulullah tenang menjawab ;

Sesungguhnya kesenangan itu juga adalah satu ujian dariNya.


Ingatlah, orang yang bersyukur atas nikmatNya lebih sedikit beruntung dari orang yang bersabar atas kesusahan yang melanda.

Kenapa? Berapa ramai yang mampu mengingati Allah tatkala senang, berbanding dengan mengingati Allah tatkala susah?

Maka bersyukurlah...

Anggap kesusahan itu satu nikmat dan bersyukurlah... Moga darjatmu meningkat dari yang sebelumnya.

Bersabarlah

"Ustaz, macam mana mahu menghadapi ujian?" Seorang pelajar bertanya.

"Sabar" Ringkas ustaz menjawab.

"Kalau dah tak boleh sabar?"

"Sabar."

"Kalau betul-betul dah tak boleh sabar?"

"Sabar."

Benar, bersabarlah dengan segala ujian kerana akar bagi sabar itu sungguh amat pahit tetapi buahnya manis sekali.

Dan Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah : 249)


Apabila Allah telah berjanji, apakah lagi yang harus diragui? Bersabarlah biar di hadapan kelihatan gelap sahaja yang menanti, bersabarlah biar di hadapan duri-duri sedia mencucuki, bersabarlah biar di hadapan ada onak dan ranjau berduri.

Kerana ;

Allah menyukai orang-orang yang sabar.(Al-Imran : 146)


Jangan marah dengan situasi yang kelam kabut. Jangan marah dengan Allah atas ujian yang melanda. Ingatkah kita pada satu wasiat peninggalan Nabi ;

Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah. (Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari)


Bersabarlah... Dan janganlah marah kerana hakikatnya Allah sedang merancang yang terbaik untukmu.

Sakit Itu Tanda KasihNya

Terkadang... Dalam melangkah di dunia yang fana', kita tersadung dan tersungkur, kita terpesong dari landasan yang benar. Kita leka dari mengingati Allah, kita berjalan dan berjalan sehingga lupa padaNya.

Lalu, Allah yang sedar dan kasih pada kita hadirkan sakit. Hakikatnya Allah amat merindui kita.. Allah rindui rintihan hati kita, Allah rindu pengharapan kita, Allah rindu suara kita yang meminta padanya.

Allah hadirkan sakit, Allah hadirkan kesusahan, Allah amat suka apabila kita menyebut namaNya... Allah tahu bahawa kita manusia punya nafsu dan kita tersungkur seketika kerana tergoda dengan dunia. Atas dasar kasih, Allah mahu tarik kita ke jalan yang benar. Allah mahu kita sedar ;

"Wahai kamu! U-turnlah ke jalan yang benar. Aku menantimu."

Allah hadirkan ujian, Allah tidak mahu lagi kita melihat dengan mata biasa, Allah mahu kita pandang segalanya dengan mata hati.

Mata hati yang setulusnya. Yang bergantung pengharapan hanya pada Allah.

Ya! Ya! Allah rindu padamu.

Maka angkatlah tangan dan berdoa,

Allah rindu dan kasih padamu....

Laili, Allah sungguh-sungguh sayang Laili. Sabar ya sayang....

Moga cepat sembuh dan mampu beribadah dengan lebih baik.

Wallahu'alam.

Read More......

Thursday, October 21, 2010

Anak-Anak..Kembalilah..


"Wa,Dah habis ke barang?" Umi dan abi bertanya. Berpeluh mengangkat barang, membantu ana pindah masuk asrama.

"Ada lagi dalam stor." Umi tenang menjawab, "tak apalah, kita angkat sama-sama"

Ah, Satu rasa menyelinap ke dalam hati. Antara sayu dan terharu. Semuanya bercampur aduk membuatkan ana terpana. Ah, terasa ingin didakap erat tubuh umi dan abi.

Tidak mahu dilepaskan lagi.

Pengorbanan

Umi mengangkat baldi di tangan kanan, bakul di tangan kiri sementara ana terkial-kial mengangkat satu kotak yang penuh berisi buku. Abi menunggu di luar, ingin menyambut huluran barang dari kami.

Ah, basah sudah wajah dan tubuh umi dan abi. Semenjak siang menemani ana. Sejak dari pendaftaran kursus sehinggalah ke pengambilan kunci. Biarpun ada masalah sedikit, abi tetap berkata, "tak apa..sabar, sabar."

Kemarahan yang mahu meresap ke relung hati serta-merta hilang. Kepenatan yang ana lalui sedikit memuhasabah diri ; umi dan abi tentu lebih penat!

Situasi yang ana lalui, bukan sahaja dilalui oleh ana seorang. Apa yang dapat ana lihat, berduyun-duyun ibu bapa yang datang menghantar anak-anak memasuki semester baru. Mengangkat barang-barang yang berat biarpun terkial-kial. Namun senyuman tetap terukir di wajah biar badan letih lesu.

Ah.... Besarnya pengorbanan seorang ibu dan bapa.

Apakah anak-anak masih tidak mampu untuk melihat?

Saban hari, rumah-rumah orang tua semakin penuh terisi. Lupakah sudah si anak akan pengorbanan ibu dan bapa mereka?

Lupakah pada ibu yang mengandungkan 9 bulan, lupakah pada ayah yang bertungkus lumus mencari rezeki demi melihat hidup anaknya terbela.?

Anak vs ibu bapa

"Seorang ibu boleh jaga 10 orang anak tapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu." Abi bersuara di dalam kereta, menyatakan kekesalan pada anak-anak muda yang semakin lupa asal-usulnya.

Dalam diam ana mengiyakan. Betapa si ibu menatang anak-anaknya semenjak kecil. Mengasuh dengan kasih, tapi...Apabila si anak telah dewasa, berjumpa pula dengan kekasih hati... Mindanya terus tertutup untuk memikirkan pengorbanan si ibu semenjak dirinya kecil.

Hati ibu mana yang tidak terluka apabila anak-anaknya menengking-nengking, bercakap kasar, apatah lagi jika perbuatan buruk anaknya menjadi bualan mulut orang.

"Ah,Diorang tu memang suka cakap pasal orang lain! sibuk jaga hal orang! sibuk buat fitnah!" Katanya dengan ego.

Benar, benar sekali.. Dalam Islam kita dilarang menabur fitnah. Tapi harus diingat, Islam juga menyuruh kita agar melindungi diri daripada menjadi bahan fitnah.

Bagaimana?

Contohnya ; Tidak mahu difitnah melakukan bukan-bukan kerana pakaian yang tidak elok, maka pakailah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna.

Jika rasa dengan bermegah-megah dengan kelebihan mampu mendatangkan fitnah, maka merendah dirilah dalam segala hal.

Begitulah... Islam itu adil dan seimbang. Jika tidak mahu difitnah, jangan jadikan diri bahan fitnah.

Apabila orang sudah mula mengata, nilai kembali diri. Apakah mereka yang benar-benar salah, atau diri kita terlibat sama?

Yang mengata juga harus menilai diri. Jangan cepat benar menghukum. Hati manusia sungguh-sungguh tidak dapat ditembusi oleh minda manusia juga. Serahkan jagaannya pada Allah, pemilik seluruh alam..

Kembalilah...

Wahai anak-anak muda sekalian! Kembalilah menuju cintaNya. Kembalilah menggapai redhaNya dengan mendapatkan redha kedua ibu bapamu.

Apa ertinya hidup andai dipenuhi dengan benci dan dendam.
Apa ertinya hidup andai hati tidak tenteram.
Apa ertinya hidup andai diri sendiri tidak dapat memanusiakan diri.

"Jalan elok-elok. Jangan tidur masa drive." Ana memeluk erat umi dan abi. Sungguh ana sayang kalian sangat-sangat kerana Allah semata.

Maafkan segala kesalahan anakmu ini.....

Sahabat, kembalilah dalam dakapan ibu dan bapamu.

Biar hatimu pernah terguris.
Biar jiwamu hancur dihiris.

Selagimana suruhannya tidak melanggar perintah Allah, cubalah untuk taat.

Ingatlah.... Tanpa mereka, siapalah kita...

Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu- bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (al-Ankabut :8)


Wallahu'alam

Read More......

Thursday, October 14, 2010

Berhenti Menyesali Nasib



"Setiap yang berlaku pada diri kita, telah Allah tetapkan di Luh Mahfuz. Perjalanan hidup kita semuanya sudah tercatat di sana. Tapi, kita masih ada peluang untuk mengubahnya. Kita masih boleh berdoa agar diselisihkan daripada perkara yang tidak baik."

Ana meneliti setiap kata yang lahir dari ustaz yang berilmu itu. Benar sekali, Allah telah pun mengingatkan;

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd : 11)


Jangan Menyesali Nasib

"Ah, kenapa nasib aku begini."

"Ah, kenapa aku selalu ditimpa malang."

"Ah, tiada makna lagi aku hidup."

Apabila kita sudah selalu sangat merungut, akan timbul pula satu lagi idea baru iaitu untuk menyalahkan Allah. Minda di luar sedar yang dikuasai oleh emosi semata-mata akan mengeluarkan satu ayat nista, "Di mana Allah untuk membantuku?"

Selepas itu, bimbang pula iman menjadi goyah lantas berfikiran bahawa Allah tidak lagi menyayangi dan terus-terusan sahaja melakukan perkara yang Allah murka. Na'uzubillah.

Jangan, jangan sesekali menyesali nasib. Jika sesuatu yang kita minta itu tidak diperkenankan oleh Allah, berimanlah bahawa Allah ingin memberi sesuatu yang lebih baik lagi.

Ada Hikmahnya

Setiap yang berlaku itu, sungguh-sungguh ada hikmahnya. Yakinlah Allah itu tidak zalim bahkan setiap yang berlaku, walau tampak paling buruk di mata kita, ada terselit secebis cahaya yang bersinar.

“Sungguh pelik urusan orang mukmin, semua perkara baginya baik belaka, semua ini tidak didapati oleh orang lain kecuali orang mukmin: Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya, dan jika dia ditimpa kemudharatan, dia bersabar, maka itu baik baginya.”
(Hadith Riwayat Muslim)


Hayatilah satu kisah..

Seorang pemuda tekun menjaga kudanya. Satu-satunya kuda yang dia punya. Satu hari, atas izinNya, kudanya hilang tanpa dapat dicari. Pemuda itu berasa amat sedih, segera dia pulang dan memberitahu bapanya, "Ayah, kuda saya hilang." Hatinya seolah-olah berkecai seribu, ah! siapa yang bisa mengganti satu-satunya kuda yang dia punya.

Namun, ayah pemuda itu tersenyum, dan tenang menjawab, "Sabarlah nak.. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya" Pemuda itu berasa tertekan, "Hikmah apakah yang dimaksudkan? Satu-satunya kuda kesayanganku hilang, di mana hikmahnya?" Bisik pemuda itu di dalam hati.

Keesokan harinya, kuda pemuda itu pulang, tetapi kali ini, kuda itu membawa sekali beberapa ekor kuda liar yang lain! Pemuda itu berasa amat-amat seronok. "Ayah! Ayah! Lihatlah, kuda saya telah pulang, bahkan dibawanya sekali kuda liar yang lain." Ayah pemuda itu tenang. "Perkara ini tidak semestinya baik bagimu, namun setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya."

Ah, hikmah. balik-balik ayat itu yang dituturnya. Apakah yang cuba disampaikan?? Pemuda itu sedikit bosan. Masakan satu berita yang baik sebegitu mampu melukakan hati?

Si pemuda pun meneruskan aktivitinya iaitu menjaga kuda-kudanya. Satu hari yang hening, sedang dia ralit menjaga kuda-kuda peliharaannya, dia tergelincir, terjatuh lalu kakinya patah.

"Ayah....Mengapa malang sekali nasibku?" Pemuda itu menangis. Dengan kaki yang patah, pergerakannya menjadi terbatas. Ah, terkenang kembali saat berlarian dengan aman. "Sabarlah, setiap yang berlaku itu pasti punya hikmahnya." Nasihat yang sama meluncur keluar dari mulut ayahnya. "Nasibku begitu malang sekali ayah, apa yang baik yang kamu lihat?" Pemuda itu sudah bosan. Bosan dengan nasihat ayahnya yang sama. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Di mana buktinya?!

Tidak berapa lama selepas itu, datang sekumpulan orang jahat menyerbu ke kampung tempat tinggal pemuda itu. Semua anak muda diambil untuk dilatih menjadi ahli kumpulan mereka. Ya, semua sekali diambil kecuali seorang pemuda...Benar, pemuda yang patah kaki itu terlepas dari cengkaman penjahat yang durjana.

Nah, di situlah hikmahnya... Dalam tangisan, pemuda itu mengakui kebenaran kata-kata ayahnya.

Sahabat sekalian.... Jika kamu benar-benar memerhati setiap nikmat yang Allah telah tetapkan untuk kamu, kamu pasti tidak mampu lagi untuk berlaku sombong dengan Allah.

Ingatlah, Allah tidak memberi apa yang kamu mahu, sebaliknya Allah memberi apa yang kamu perlu.

Bersyukurlah

"Cepat ni nak kena bid kalau tak terlepas pula." Ana bersemangat menghadap skrin komputer yang memaparkan laman web e-bay.

"Kalau ada rezeki tu adalah. Sabar. Sabar." Abang ana bersuara, sekaligus mengingatkan ana yang sedang dibuai nafsu.

Benar, Setiap rezeki kita telah ditetapkan oleh Allah. Lupakah kita pada kisah Nabi Sulaiman yang mengurung semut di dalam satu bekas, disediakannya makanan yang cukup sehingga tempoh baginda akan datang kembali kepada sang semut? Ya. Apabila baginda datang melawat sang semut, makanan itu masih belum habis. Justeru Nabi Sulaiman bertanya, "Wahai semut, kenapa kau tidak habiskan makanan itu? Bukankah aku telah berjanji bahawa aku akan datang kembali dan memberimu makanan?" Apa jawab sang semut? Tenang dia menjawab ;

"Wahai Nabi Allah! Ketika aku tidak dikurung, aku tidak kisah pasal makananku kerana aku yakin Allah telah mengaturkan rezeki buatku. Tetapi, apabila aku dikurung, walaupun kamu telah berjanji, boleh sahaja kamu terlupa, atau berlaku sesuatu ke atasmu. Maka aku meninggalkannya sedikit untuk bekalan."

Nah! Betapa hebatnya iman sang semut, tiada keyakinannya melainkan kepada Allah semata. Setelah kita berusaha, namun kita tidak mendapat apa yang diimpikan... Yakinlah hakikatnya itu bukan milik kita, bersyukur dan berimanlah bahawa Allah ingin memberi yang lebih baik.

Pasti.

Berhenti Menyesali Nasib

Orang mukmin, tidak pernah gentar dengan nasib yang menimpa diri, kerana dalam hatinya penuh rasa cinta terhadap Allah, maka segala apa yang terjadi padanya, dianggap sebagai sesuatu yang baik.

Jika dia diberi kebaikan, maka itu dianggap sebagai satu ujian melihat sejauh mana dia bersyukur.
Jika dia diberi keburukan, maka itu dianggap sebagai satu ujian untuk melihat sejauh mana dia bersabar.

Bukan mudah untuk bersyukur dan bersabar. Hanya yang benar-benar beriman mampu melepasinya.

Bersyukurlah.... Kerana Allah menyukai hambaNya yang bersyukur.
Bersabarlah..... Kerana Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar.

Moga dengan kesyukuran dan kesabaran, Allah mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka..

Moga rezeki yang diperoleh, bukanlah satu istidraj (kemewahan yang Allah beri supaya manusia lebih jauh dariNYA)

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, October 12, 2010

Dariku Untukmu..



Allah... Di mana rasa itu hilang...

Adakah di sebalik langit membiru..

Atau mungkin di bawah lautan luas terbentang..

Di mana ruh itu pergi...

Hingga hilang rasa cinta di hati...

Hajat Doa Kalian

Allah benar-benar sedang menguji ana, mencubit ana dengan kasih sayangNya yang hakiki. Allah sedang mendidik hati ana agar bersifat tawadhuk dan istiqamah.

Allah... terkadang ana rasa tidak kuat untuk menghadapinya... Melihat blog dengan pandangan hambar. Tiada lagi nafsu yang membuak untuk menaip memberi pesan. Ah, melihat tarikh last di'update' benar-benar menyesakkan nafas. Di manakah rasa cinta yang membara? Apakah kian malap dek kesibukan dunia yang sementara? Atau masih terus berduka melihat ummah yang seolah tidak mahu diselamatkan..

Kasihan pada kamu yang sedang mencari beberapa patah perkataan untuk menjadi penguat hati. Allah, ana berdosa kerana mengabaikan peranan. Ampunkanlah ana saudaraku sekalian. Ana terlalu disibukkan dengan dunia sehingga ana kekeringan idea untuk menaip apa.

Rasa bersalah mengaburi diri melihat blog yang seolah-olah bersawang dan berhabuk. Lantas ana bangkit, beralih dari laptop. Cuba pula melakukan aktiviti lain, tapi rasa bersalah itu tetap tidak hilang. Justeru catatan pendek ini ana karang buat kalian yang sedang mencari... Khususnya buat kalian yang bernama wanita... Kerna ana, juga adalah seorang wanita, yang punya hati iras kalian..

Wanita... Di Mana Malumu?

"Wooooo..." Jeritan membingitkan itu menerjah ke gegendang telinga ana.

Ana menoleh sekilas. Beberapa orang wanita sedang terlonjak-lonjak kegirangan melihat pertunjukan sebentar tadi.

Yang lelaki, majoritinya hanya berdiam diri. Yang wanita majoritinya menonjol diri.

Sejenak, ana terpana... Apakah dunia sudah semakin terbalik? Wanita berseluar pendek. Lelaki berseluar panjang.

Ah, pening memikirkannya.

"Inilah aset" Kata mereka dengan megahnya. Menonjol diri tak pernah lupa, mengharapkan perhatian dari duniawi, sedang hati terlupa mengingati Ilahi..

Oh. Aset. Benar, aurat itu semuanya aset. Aset terbaik yang dikurniakan Allah, justeru itu ia harus ditutup dan disembunyikan dari pandangan yang bukan hak kerna di mana nilainya andai aset itu telah dipertonton kepada khalayak.

Tiada nilai. Umpama barang yang tidak berharga.

Ingatlah, malu itu sebahagian daripada iman. Jika malu itu sudah tidak lagi dirasa, maka itu bermakna hilanglah iman di dalam hati. Apa ertinya hidup andai tiada iman di hati. Apa ertinya hidup bila Allah tiada lagi di sisi?

Wanita...Mutiara Yang Terpelihara

"Kalau kami tak berpakaian dan berperangai begini, nanti tak ada lelaki yang mahu kan kami!"

Duhai wanitaku sayang... Duhai saudaraku yang dirahmati Allah sentiasa...

Percayalah kata-kataku ini sayang..

Sejahat mana pun lelaki itu, dia pasti mahukan wanita yang baik sebagai pendamping hidupnya. Itu fitrahnya manusia. Sentiasa mahukan yang terbaik.

Jodoh itu ketentuan Allah... Percayalah setiap manusia punya jodoh tersendiri. Jika tidak mendapatnya di dunia, Allah telah menetapkan jodoh yang lebih baik di akhirat sana...

"Kami mahu usaha!"

Usahalah untuk mendapatkan jodoh..tapi bukan dengan merendahkan martabat diri. Sewenang-wenangnya kamu ke hulu ke hilir bersama teman lelaki, bercakap berhu-ha, terkinja-kinja bukanlah satu usaha untuk mendapatkan jodoh, tetapi ia adalah usaha untuk menjatuhkan martabat diri. Memijak-mijak maruah malah meludah nama Islam yang kita sayangi.

Renungilah kisah buah epal yang letaknya di tempat tertinggi di atas pokok. Epal itu berasa sedih kerana tidak lagi dipetik sedangkan ia tidak tahu bahawa ramai yang mahu memetiknya tetapi tidak cukup hebat lagi untuk mencapainya,lalu epal itu menggugurkan dirinya ke tanah hingga tidak lagi dipandang tinggi dan dikagumi mata-mata yang memandang. Ia menjadi sama sahaja dengan epal-epal yang lain yang tidah dihargai...

Mawar Berduri

Cantik bukan sekuntum mawar yang berduri? Di pagari duri-duri. Tiada kumbang yang berani mendekati kecuali seekor sahaja yang benar-benar hebat untuk menjadi penawar kepada duri yang berbisa...


Jadilah seperti mawar itu, kembang mekar mengharumi dunia dengan akhlak dan iman yang jitu..

Abaikan penjajahan minda bahawa menjadi seperti mawar yang berduri adalah kolot dan ketinggalan zaman. Tidak! Jangan sesekali percaya dengan kenyataan itu! Islam tidak pernah kolot dan ketinggalan zaman. Islam sentiasa mengajar umatnya agar memiliki harga diri yang tinggi.

Jangan bimbang dipanggil asing...

Berbahagialah dengan sabda baginda ;


Islam itu datang dalam keadaan asing, dan akan kembali asing di akhir zaman. berbahagialah mereka yang asing itu


Berbahagialah menjadi orang yang asing, kerna di sebalik kekurangan dunia itu.. Allah memandangmu dengan kasih di 'sana'.

Wanita.... Pagari dirimu dengan rasa malu yang menggunung tinggi. Bentengi dirimu dengan malu yang bertempat. Hiasi dirimu dengan sifat malu yang cantik.

Malulah untuk bersosial.
Malulah untuk berpeleseran bersama yang bukan mahram.
Malulah untuk menjerit-jerit.
Malulah.... yang memagari dirimu dari kejahatan dunia.

Karangan ini, ana tujukan padamu atas dasar kasih... Moga ALlah juga mengasihi dirimu... Ana hajat doa yang terbaik dari kalian, atas dasar kasih kerana ALlah...

Wallahu'alam.

Read More......

Tuesday, October 5, 2010

Ajari Aku Sahabat...


Bangkitlah Wahai Pemuda!

Sahabat..
Ku lihat di birai matamu,
Ada lagi titisan jernih,
Kau menahannya,
Tapi ia jatuh jua...

Setitik demi setitik,
Merobek-robek hatiku,
Sahabat! Mulianya jiwamu,
Engkau masih berteleku di situ,
Bermunajat dengan penuh cinta,
Menyentuh hatiku yang kian alpa...

Duhai Sahabat,
Ajari aku erti sabar,
Ajari aku erti ikhlas dan redha,
Agar aku mampu menjadi sepertimu,
Menitiskan titisan jernih dari kelopak mata hanya untuk yang Hak.

Dalam menghadapi hidup ini,
Banyak sungguh dugaan yang dihadapi,
Hingga terkadang aku tersungkur dan menangis,
Ah, hinanya aku kerana menangis atas sebab duniawi,
Pimpini aku sahabat,
Agar aku bisa menangis hanya kerana Allah Tuhan yang Hakiki...

Ah, terasa sesak dada ini,
Terasa sempit seluruh jiwa,
Lantaran ujian yang datang menyinggah,
Aku tidak mahu menangis lagi sahabat,
Aku hanya mahu menangis tatkala berteleku di atas sejadah nan usang itu..
Aku tidak mahu menangis lagi sahabat,
Kerana dunia tidak layak untuk ditangisi!

Sahabat..
Ajari aku untuk melihat segalanya dengan hati,
Betapa Allah menyayangiku lantas diberinya ujian sebagai penguat jiwa,
Betapa Allah menyayangiku lantas diberinya peluang untuk mendekatiNya,
Benar sahabat,
Ajari aku akan hakikat dunia yang fana,
Juga akhirat yang kekal untuk selamanya.

Ah, indahnya dunia di mataku sahabat,
Tolong ajari aku akan keindahan di akhirat yang berkali ganda indahnya,
Malah ia kekal abadi,

Ah, peritnya ujian itu sahabat,
Ajarilah, tunjukilah dan pimpinlah aku sahabat,
Agar aku bisa benar-benar mengerti,
Ujian itu sungguh amat indah jika aku bawa Allah bersama........

Read More......

Friday, October 1, 2010

Jadilah Manusia Yang Patuh



Ana diam seribu bicara. Mendongak ke langit..

"Subhanallah... Indah sungguh ciptaan Yang Esa."

Awan di atas itu berarak lagi, seperti hari-hari sebelumnya. Berarak tidak pernah bosan. Terkadang kandungannya memberat mengandungi hujan rahmat buat semesta alam.

Sungguh, awan itu tidak pernah bosan menuruti segala perintahNya.Setiap detik, setiap saat.. Tidak pernah sekali ia mengingkari..



Manusia?

"Dah solat?" Pernah ana bertanya kepada seorang remaja yang sedang asyik menonton televisyen.

"Nantilah..Tunggu cerita ni habis dulu."

Ah, teringat ana pada pesan umi tercinta... Suatu ketika dahulu...

"Wawa tahu tak, sekarang ni ramai orang Islam yang lebih gemar sembah berhala berbanding Allah."

"Sembah berhala?" Ana bertanya pelik.

"Ya, televisyen umpama berhala, yang lebih diutamakan berbanding Allah."


Benarlah.... Majoritinya, manusia jarang sekali mahu berganjak dari televisyen selagi rancangan kegemarannya belum tamat. Apa yang lebih teruk, selepas satu rancangan tamat, jari-jemari pemberian Allah itu mudah sahaja menekan siaran lain pula.

Untunglah jika diri mahu berganjak mengambil wudhuk walaupun sudah di pengakhiran waktu solat dan hinalah mereka yang terus leka menonton televisyen, melupakan penciptaNya yang saban hari bersabar dengan karenahnya...

Rumit sungguh manusia yang tidak meneliti firmanNya ;

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
(Adz-Zariat : 56)


Di Mana Bukti Cinta?

Jujur, lewat kebelakangan ini ana seolah-olah buntu mahu menaip apa. Boleh dikatakan hari-hari ana melayari internet tetapi jiwa untuk menulis seolah-olah hilang.

Ana hampir patah semangat melihat orang Islam semakin melupakan tuhannya. Berita-berita di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen seolah-olah merobek-robek hati ana untuk membuahkan ilham.

Ah, rumit... Di manakah manusia dan akalnya? Di manakah hati yang fitrahnya penuh cinta?

Ana berfikir dan memuhasabah diri... Hati yang penuh cinta.. yang meminjam sedikit sifat AR-RAHMAN dan AR-RAHIM semakin hilang rasa lantaran manusialah yang menghilangkannya!

Sebelum kita dilahirkan ke dunia.... Satu perjanjian telah termatri antara kita dan Allah... Mengabdikan diri kepadaNya, itulah janji yang semakin dilepaskan!

"Demimu...lautan api sanggup ku renangi!" Bicara cinta seorang lelaki kepada kekasih hatinya. Saban hari tidak sabar ingin berjumpa, Apabila tidak bertemu kerinduan menjalar di relung hati... Sesaat umpama setahun.. Setiap detik dikira, bilakah pertemuan berikutnya.

Nah... Di mana bukti cintamu pada Allah, andai waktu solat -waktu 'berdating' bersama Allah sewenang-wenangnya dilengahkan?

Di mana bukti cintamu pada Allah andai pengorbanan meninggalkan cerita kegemaranmu sebentar sahaja pun tidak sanggup dilakukan?

Subhanallah.... Ana benar-benar rindu pada para mujahidin dan mujahidah yang rela berpisah dan meninggalkan perkara-perakra yang disayangi mereka kerana Allah..

Manusia.. Semakin hilang rasa cinta yang agung di dalam hati. Lantaran itu, perilakunya menjadi sumbang, membenihkan hasil yang menyayat hati, merobekkan jiwa yang mendamba keamanan malah mencincang halus semangat yang ingin berjuang...

Ingatlah ;

Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkahnya melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan. (At-Taubah : 54)


Penjelasannya : Sekiranya nafkah yang manfaatnya adalah untuk orang lain pun tidak diterima (salah satu sebabnya kerana malas menunaikan solat), Apatah lagi ibadah khusus yang dibuat untuk dirinya (bersedekah, berziarah dan lain-lain).

Ingat! Solat itu adalah tiang agama, tanpa tiang yang elok dan kukuh, runtuhlah dan sia-sialah rumah yang dibina.

Solat Bukan Mainan

"Aik.. Cepatnya solat?" Ana bertanya, pelik dengan seorang pelajar yang tidak sampai seminit habis sudah solatnya.

Dia tersengih.

"Akak, kalau bas ada bas ekspres.. kereta api ada kereta api ekspres, solat pun adalah solat ekspres!"

Astarghfirullah.... Ana hanya mampu tersenyum hambar. Moga Allah memberi hidayah dan petunjukNya kepada Dia.. Moga dia menjadi orang Islam yang benar-benar beriman. Ameen ya Rabb.

Solat bukanlah satu mainan, hakikatnya percaya atau tidak solatlah yang akan membentuk peribadi kita menjadi mukmin/ah yang gemilang.

Petanda solat yang diterima adalah kita akan merasa sangat damai dan tenteram, tidak sabar melakukan solat lagi dan sentiasa mahu meningkatkan amal.

Hati yang tenteram adalah hati yang penuh cinta Agung, dan hati yang penuh cinta Agung akan menghasilkan perbuatan-perbuatan yang indah dan penuh cinta...

Jadilah Manusia Yang Patuh

Jadilah seperti awan yang tidak pernah lupa berarak dan mengeluarkan air hujan atas perintahNya.

Jadilah seperti angin yang tidak pernah lupa bertiup atas perintahNya.

Jadilah seperti bumi dan matahari yang sentiasa beredar dan berpusing di tempatnya sendiri atas perintahNya.

Jadilah seperti rambut dan kening yang tahu had panjangnya atas perintahNya.

JADILAH MANUSIA YANG PATUH PADA PERINTAHNYA.

Tunaikan solat, itulah kewajipanmu yang utama selepas shahadah meniti di pinggiran bibirmu....

rebutlah ganjaran bersolat di awal waktu agar hidupmu lebih diredhaiNya...

Ingatlah Allah telah berpesan;

...dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepadaNya).(Al-A'raf : 29)


Taatlah, taatlah dan taatlah. Moga Allah menetapkan iman kita di kala manusia semakin hilang rasa cinta agung itu...

Ana hajat doa dari kalian jua...

Wallahu'alam

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .