Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, October 1, 2010

Jadilah Manusia Yang Patuh



Ana diam seribu bicara. Mendongak ke langit..

"Subhanallah... Indah sungguh ciptaan Yang Esa."

Awan di atas itu berarak lagi, seperti hari-hari sebelumnya. Berarak tidak pernah bosan. Terkadang kandungannya memberat mengandungi hujan rahmat buat semesta alam.

Sungguh, awan itu tidak pernah bosan menuruti segala perintahNya.Setiap detik, setiap saat.. Tidak pernah sekali ia mengingkari..



Manusia?

"Dah solat?" Pernah ana bertanya kepada seorang remaja yang sedang asyik menonton televisyen.

"Nantilah..Tunggu cerita ni habis dulu."

Ah, teringat ana pada pesan umi tercinta... Suatu ketika dahulu...

"Wawa tahu tak, sekarang ni ramai orang Islam yang lebih gemar sembah berhala berbanding Allah."

"Sembah berhala?" Ana bertanya pelik.

"Ya, televisyen umpama berhala, yang lebih diutamakan berbanding Allah."


Benarlah.... Majoritinya, manusia jarang sekali mahu berganjak dari televisyen selagi rancangan kegemarannya belum tamat. Apa yang lebih teruk, selepas satu rancangan tamat, jari-jemari pemberian Allah itu mudah sahaja menekan siaran lain pula.

Untunglah jika diri mahu berganjak mengambil wudhuk walaupun sudah di pengakhiran waktu solat dan hinalah mereka yang terus leka menonton televisyen, melupakan penciptaNya yang saban hari bersabar dengan karenahnya...

Rumit sungguh manusia yang tidak meneliti firmanNya ;

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
(Adz-Zariat : 56)


Di Mana Bukti Cinta?

Jujur, lewat kebelakangan ini ana seolah-olah buntu mahu menaip apa. Boleh dikatakan hari-hari ana melayari internet tetapi jiwa untuk menulis seolah-olah hilang.

Ana hampir patah semangat melihat orang Islam semakin melupakan tuhannya. Berita-berita di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen seolah-olah merobek-robek hati ana untuk membuahkan ilham.

Ah, rumit... Di manakah manusia dan akalnya? Di manakah hati yang fitrahnya penuh cinta?

Ana berfikir dan memuhasabah diri... Hati yang penuh cinta.. yang meminjam sedikit sifat AR-RAHMAN dan AR-RAHIM semakin hilang rasa lantaran manusialah yang menghilangkannya!

Sebelum kita dilahirkan ke dunia.... Satu perjanjian telah termatri antara kita dan Allah... Mengabdikan diri kepadaNya, itulah janji yang semakin dilepaskan!

"Demimu...lautan api sanggup ku renangi!" Bicara cinta seorang lelaki kepada kekasih hatinya. Saban hari tidak sabar ingin berjumpa, Apabila tidak bertemu kerinduan menjalar di relung hati... Sesaat umpama setahun.. Setiap detik dikira, bilakah pertemuan berikutnya.

Nah... Di mana bukti cintamu pada Allah, andai waktu solat -waktu 'berdating' bersama Allah sewenang-wenangnya dilengahkan?

Di mana bukti cintamu pada Allah andai pengorbanan meninggalkan cerita kegemaranmu sebentar sahaja pun tidak sanggup dilakukan?

Subhanallah.... Ana benar-benar rindu pada para mujahidin dan mujahidah yang rela berpisah dan meninggalkan perkara-perakra yang disayangi mereka kerana Allah..

Manusia.. Semakin hilang rasa cinta yang agung di dalam hati. Lantaran itu, perilakunya menjadi sumbang, membenihkan hasil yang menyayat hati, merobekkan jiwa yang mendamba keamanan malah mencincang halus semangat yang ingin berjuang...

Ingatlah ;

Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkahnya melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan. (At-Taubah : 54)


Penjelasannya : Sekiranya nafkah yang manfaatnya adalah untuk orang lain pun tidak diterima (salah satu sebabnya kerana malas menunaikan solat), Apatah lagi ibadah khusus yang dibuat untuk dirinya (bersedekah, berziarah dan lain-lain).

Ingat! Solat itu adalah tiang agama, tanpa tiang yang elok dan kukuh, runtuhlah dan sia-sialah rumah yang dibina.

Solat Bukan Mainan

"Aik.. Cepatnya solat?" Ana bertanya, pelik dengan seorang pelajar yang tidak sampai seminit habis sudah solatnya.

Dia tersengih.

"Akak, kalau bas ada bas ekspres.. kereta api ada kereta api ekspres, solat pun adalah solat ekspres!"

Astarghfirullah.... Ana hanya mampu tersenyum hambar. Moga Allah memberi hidayah dan petunjukNya kepada Dia.. Moga dia menjadi orang Islam yang benar-benar beriman. Ameen ya Rabb.

Solat bukanlah satu mainan, hakikatnya percaya atau tidak solatlah yang akan membentuk peribadi kita menjadi mukmin/ah yang gemilang.

Petanda solat yang diterima adalah kita akan merasa sangat damai dan tenteram, tidak sabar melakukan solat lagi dan sentiasa mahu meningkatkan amal.

Hati yang tenteram adalah hati yang penuh cinta Agung, dan hati yang penuh cinta Agung akan menghasilkan perbuatan-perbuatan yang indah dan penuh cinta...

Jadilah Manusia Yang Patuh

Jadilah seperti awan yang tidak pernah lupa berarak dan mengeluarkan air hujan atas perintahNya.

Jadilah seperti angin yang tidak pernah lupa bertiup atas perintahNya.

Jadilah seperti bumi dan matahari yang sentiasa beredar dan berpusing di tempatnya sendiri atas perintahNya.

Jadilah seperti rambut dan kening yang tahu had panjangnya atas perintahNya.

JADILAH MANUSIA YANG PATUH PADA PERINTAHNYA.

Tunaikan solat, itulah kewajipanmu yang utama selepas shahadah meniti di pinggiran bibirmu....

rebutlah ganjaran bersolat di awal waktu agar hidupmu lebih diredhaiNya...

Ingatlah Allah telah berpesan;

...dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepadaNya).(Al-A'raf : 29)


Taatlah, taatlah dan taatlah. Moga Allah menetapkan iman kita di kala manusia semakin hilang rasa cinta agung itu...

Ana hajat doa dari kalian jua...

Wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .