"Letih." Suatu hari saya mengeluh tanpa sedar, menyedari kekurangan diri.
Berhadapan dengan dunia yang sememangnya fana sungguh sungguh amat meletihkan. Apatah lagi berhadapan dengan para manusia yang seolah-olah kehilangan rasa yang paling rendah iaitu common sense!
Terkadang tatkala kaki bergerak, sukar benar hendak mengikhlaskan hati bersama.
Saya bersandar... beristighfar di dalam hati.
Mengenang kembali sirah.. Bagaimana bersabarnya Rasulullah menjalankan amanah Allah.
Bagaimana pula khadijah, Fatimah, Aisyah sentiasa sabar dan redha,malah yakin dengan janji-janji Allah..
Terasa kerdil apabila mengenangkan Sumayyah yang jauh lebih besar ujianNya.. Melihat ahli-ahli keluarga sendiri diseksa di hadapan mata.
Sedang saya.. Allah baru sahaja memberi cubitan kasih-sayangNya, saya sudah merasa letih dengan dunia.
Sahabat... letih dengan dunia, apakah meninggalkan dunia itu adalah penyelesaiannya?
Berhadapan Dengan Masalah
Acapkali saya berkata : Jangan sesekali berkata oh Allah, besarnya masalahku, tapi katalah...hei masalah, aku ada Allah Yang Maha Besar!
"Saya tak mampu lagi dah...."
"Stress!"
Sahabat... Mari kita duduk dan berfikir serta belajar menjadi hambaNya yang bersyukur.. Tatkala saya ditimpa masalah yang seolah-olah tidak putus-putus, saya menerima satu mesej :
Hidup dalam dunia ini untuk bersyukur
Bersyukur kepada orang yang menyakitimu kerana dialah orang yang menabahkanmu.
Bersyukur kepada orang yang menipu kamu kerana dia yang meningkatkan pengetahuan kamu.
Bersyukur kepada orang yang tak endahkan kamu kerana dialah yang memupuk kamu untuk berdikari.
Bersyukur kepada orang yang menjatuhkan kamu kerana dialah yang memperhebatkan abiliti kamu.
Bersyukur dengan segala ujian darinya kerana semuanya meningkatkan iman kamu.
Moga Allah redha bersamamu...
Saya termuhasabah kembali... Hakikatnya siapa saya untuk mempersoalkan segala? Lupakah saya pada satu hakikat bahawa saya ini hanya seorang hamba... dan Allah lebih mengetahui segala sesuatu.
Andainya kita terus-terusan mengenang-ngenang masalah tersebut, sampai bila pun kita tidak akan tenang.
Bersyukur, bersabar... Itu adalah kunci penyelesaiannya.
Melihat Dari Sudut Yang Lain
Lihat gambar ini, apa yang anda nampak?
Saya pasti, saya akan menerima jawapan yang berbeza.
Mungkin ada yang berkata bola itu bulat.
Mungkin ada yang berkata padang itu cantik.
Mungkin ada yang terus berkata itu adalah bola sepak.
Hakikatnya sahabat... pandangan manusia semuanya berbeza.
Manusia yang biasa-biasa akan memandang masalah sebagai satu bebanan, tapi manusia yang hebat akan memandang masalah itu sebagai satu peluang.
Peluang untuk memperbaiki diri dan peluang untuk mempelajari sesuatu..
Yang kanan pasti ada kirinya.
Yang putih pasti ada hitamnya.
Yang hebat pasti ada yang lemahnya.
Maka... yang buruk pasti ada baiknya!
Mari sahabat, jangan pandang masalah itu sebagai masalah. Pandang ia sebagai satu nikmat untuk kita bersyukur.. Sesuatu yang memupuk hati dan diri untuk menjadi seorang yang lebih baik lagi di masa hadapan.
Menangis, mengadu dan merintihlah kepada Allah kerana Dia sentiasa ada untuk mendengar... Dialah yang terhebat sekali dalam menyelesaikan masalahmu, merungkai kekusutan jiwamu serta menenangkan hati sanubarimu...
Dan ingatlah janjiNya :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(As-Insyirah : 5-6)
Selamat menjadi hambaNya yang bertaqwa. :)
Wallahu'alam
1 comment:
Terbaikk!
-chy mlmku-
Post a Comment