Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, October 23, 2011

Cahaya Yang Tidak Terpadam


Dia berjalan dalam kegelapan, mencari sinar yang menyembunyikan diri.

Melihat manusia yang kian rakus, dia semakin takut untuk menghampiri. Ah,alam yang damai... Mengapa begitu menyenangkan hati? Sedikit air yang berkocak, pada sungai yang tenang alirannya mengusik hati kecilnya.

Tenang. Dia merasakan itu. Cemburunya pada alam melebihi kecintaan manusia kepada dunia.

Dunia...yang satu saat nanti pastikan lebur, menjadi debu.

Dan gadis itu masih tersenyum..... Mencari-cari cahaya berseorangan.

Mencari kedamaian apakah yang alam ini hadiahkan, dari manakah ketenangan ini hadir. Hatinya koyak melihat manusia, manusia yang seolah-olah tiada hala tuju kehidupan. Manusia yang lupa bahawa kehidupan ini Bertuhan.

Dan.... gadis itu terduduk, bersama sekeping hati yang hancur.

Segaris cahaya telah hadir dalam hatinya namun dia masih ragu-ragu. Mencari kekuatan yang seolah-olah rapuh, susah baginya membayangkan,bagaikan menjadi cendekiawan di kalangan jahiliyyah. Bagaikan menjadi cahaya di sekeliling kegelapan. Bagaikan menjadi musuh dalam keluarga sendiri.

Ah, kakinya menyepak air yang tenang, sekawan ikan berlari-lari bertebaran. Dia mengguris senyum, indahnya menjadi ikan.. Tidak perlu memikirkan rawannya dunia, tidak perlu memikirkan sesaknya hati.

Ah!

Wajahnya diraup, kekuatan...kemana kau menghilang?

Segaris cahaya di dalam hatinya memujuk agar segera bertenang. Dia mengehela nafas. Ragu-ragu. Benarkah, benarkah perasaan ini? Apa mungkin dia tidak salah? Atau mungkinkah kelak dia akan menangis lagi. Sendiri.

Rumitnya permasalahan, tapi dia tahu inilah yang mengajarnya pada sebuah kehidupan.

Ah alam.... berikanku ketenangan, tunjukkanku jawapan. Hati kecilnya berbisik sayu, air jernih mula bertakung di kolam matanya, air mata..pergilah,pergilah bersama bebanan yang ada. Pergilah,pergilah...

Awan di atas berwajah hitam, menandakan hujan mungkin akan turun bila-bila masa sahaja. Si gadis melihat ke atas, senyumnya terkoyak lagi. Oh awan, bagaikan kau mengerti gundahnya hati.

Tap, setitik air dari awan itu jatuh mengenai pipinya. Dia mengesat dan tersenyum lagi. Tidak ada beza air hujan itu dan air matanya. Hujan yang semakin lebat turun memaksa si gadis berlari-lari anak, berlindung di sebalik pokok yang rendang.

Angin bertiup. Sejuk. Dingin. Sedingin hatinya.

Ah alam, temani aku, ah alam.. tenangkan aku. Si gadis menangis lagi.

Cahaya...hadirlah dikau menemani kegelapanku. Esakannya berterusan,tapi anehnya esakan itu membangkitkan kekuatan. Dia bangkit, nekad. Biarlah apa pun yang berlaku dia sudah pasti. Cahaya itu harus digenggam kemas, tidak boleh dilepaskan lagi. Biar, biar apa sahaja yang berlaku, dia pasti dia tidak akan berseorangan.

Dan dia berjalan, dengan sebuah kepastian. Walau dia akan keseorangan, dia pasti Tuhan pencipta alam ini tidak akan membiarkannya sendirian.

***

"Alhamdulillah cahaya itu hadir, dan alhamdulillah saya bertemu Islam dahulu sebelum bertemu dengan orang Islam."

"Alhamdulillah... saya dah nak masuk Islam, Islam banyak penyelesaian kepada permasalahan saya."

Satu persatu ayat-ayat dari saudara-saudara baru kita menerjah masuk ke gegendang telinga saya. Ada yang dibuang keluarga, tidak kurang juga yang merangkak bersendirian, demi sebuah cahaya yang pasti tidak akan padam. Namun mereka masih kuat,meski orang Islam sendiri tidak mahu menolong,kerana keyakinan mereka pada Allah teguh, bukan serapuh sebiji pinggan, dihempas pecah berderai.

"Orang Islam tidak menghargai Islam kerana dari kecil dah dapat nikmat tersebut, sedang kami harus bertatih mencari."

Saya tersentak. Malu.

Dan mereka ini masih bergerak, dengan sebuah kepastian yang jitu...Membangkitkan satu rasa dalam diri. Segan. Indahnya punya hati seperti mereka.

Dan mereka ini terkadang berjalan berseorangan...tiada siapa yang mahu membantu, sudah dibuang keluarga, umat islam yang rata-rata tidak faham islam pula tidak mengendahkan mereka.

Terguris. Terhiris. Hati mereka...hanya Allah yang tahu. Kelak suatu ketika, pasti semua ini akan dibicarakan... pada satu mahkamah yang hanya punya kepastian.

Ayuh sahabat, mari kita bantu saudara-saudara baru kita. Berikan mereka kekuatan kerana mereka seolah-olah bayi kecil lagi, cuma bezanya hati mereka sangat ampuh.

Mari...mari menjadikan Islam kehidupan dan hiduplah dalam Islam yang sebenar.

Selamat kembali kepada fitrah duhai saudara baru kami. Moga terus hidup dalam sebuah cahaya yang tidak akan terpadam :')

Wallahu'alam

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .