Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, November 23, 2011

Ramadhanku



nota diri : saya bagai terdengar suara berkata ; mastura..buat assignments. tp entah kenapa saya masih menaip cerpen ini T_T artikel adik-adikku : aurat pun belum lagi bersambung. Maafkan kekurangan saya ini..

***

“Woi! Tunggula..!” Terkedek-kedek Ibtisam, anak kecil berumur 8 tahun itu menuruni anak-anak tangga rumah kayunya untuk menuju ke bawah- tempat di mana teman-teman sepermainannya sedang asyik bermain bunga api.

Umar tersengih sumbing, “Kau ni ibtisam, cubalah sopan sikit. Aku tengok tak macam perempuan pun.”

“Apa kau kata?” Bulat mata ibtisam memandang Umar. Marah ditegur begitu biarpun Umar setahun tua darinya .

“Aku kata.. Kau ni tak macam perempuan.” Selamba Umar mengulangi tuturnya.

“Apa?”

“La… Sejak bila kau jadi pekak ni. Aku kata kau ni tak macam…..”

‘Pok!’

Tepat kasut berjenama bata ibtisam itu mengenai wajah Umar.

“Adoi!” Umar mengusap-usap wajahnya. Posisinya yang sedang berdiri diubah kepada mencangkung.

Ibtisam serba-salah.

“Er…. Sakit ke?”

Umar diam.

“Umar.. Kau sakit ke?”

“Tak”

“Oh, lega aku.” Lurus bendul jawapan ibtisam menaikkan kemarahan Umar.

‘Pok’

Sekelip mata kasut saiz berjenama bata itu tepat mengenai peha gadis cilik itu.

“Hoi! Sakitlah!” Ibtisam menggosok-gosok pehanya.

“Aku ingat tak sakit.” Sekejapan, Umar hilang dari pandangan mata.

***

“Amboi…. Termenung jauh nampak?” Puan Salmah mengusik anak gadisnya yang semakin menginjak dewasa.

Ibtisam tersenyum. Pandangannya masih ditumpukan ke kawasan lapang halaman rumahnya.

Umar- teman sepergaduhannya suatu ketika dahulu kini menjadi tunangannya. Jarak memisahkan mereka, Umar sekarang berada di tahun akhir di Universiti Jordan sedang ibtisam menuntut di Malaysia. Namun, ibtisam tidak peduli. Baginya, cukuplah pertemuan dan kemanisan percintaan selepas berkahwin nanti.

“Sekejap je masa berlalu kan umi…”

“Iya. Dulu ibtisam comot je.. Ganas pula tu. Sekarang dah lain dah anak umi seorang ni.” Puan Salmah tersenyum sendiri, mengenangkan kelincahan anak gadisnya suatu ketika dahulu.

Ibtisam diam.

“Umi….”

“Ya nak..”

Ibtisam mendengus. “Sekejap je Ramadhan dah nak tinggalkan kita… Entah dapat ke tidak ibtisam bertemu dengan Ramadhan akan datang.”

Puan Salmah menggeleng. “Ibtisam muda lagi nak.. Umi yang sepatutnya risau begitu.”

“Umi…”

“Ya nak…”

“Adakah mati kenal pada usia?”

Puan Salmah menggeleng. Dalam hatinya, dia bersyukur dikurniakan anak sebegini. Lantas dia bangkit dari duduknya, dan beralih posisi ke sebelah ibtisam. Rambut ibtisam dielus lembut.

Pantas, ibtisam merebahkan kepalanya ke ribaan umi tercinta.

“Sayang…”

“Ya umi..” ibtisam memejamkan matanya sedikit. Terkesan dengan kelembutan tangan Puan Salmah.

“Tak lama lagi, ibtisam jadi milik orang.”

Ibtisam tersentak. Baru dia tersedar, lebih kurang sebulan sahaja lagi pernikahannya dengan Umar akan berlangsung. Matanya kembali dicelikkan. Dia duduk menghadap Puan Salmah.

“Umi, ibtisam takut…”

“Jangan takut nak… Berkhidmatlah untuk suamimu sedayamu. Jangan sesekali sakiti hatinya. Jika ada perbalahan, bincanglah sebaik mungkin. Jangan mengeluh itu dan ini. Jangan meminta itu dan ini. Belajarlah untuk bersyukur..Sayangku, contohilah peribadi Siti Khadijah yang membenarkan Rasulullah tatkala semua orang mengingkarinya, yang rela berkorban segalanya untuk Islam. Contohilah Saidatina Aisyah, yang kemanjaannya dan keletahnya sentiasa menghiburkan baginda Rasulullah. Ibtisam, jadilah isteri cerdik yang solehah.” Tulus, Puan Salmah menyampaikan amanat.

Mata ibtisam berkaca. “Umi, Allah terlalu baik kerana membenarkan ibtisam lahir dari rahim umi.”

Puan Salmah memeluk anaknya penuh kasih.

***

‘Kring! Kring!’ Telefon rumah berbunyi nyaring.

“Ibtisam… angkat telefon tu.” Puan Salmah berteriak sambil tangan masih lagi mencantas rumput-rumput yang tumbuh meliar di pasu bunganya.

‘Kring!’

“Ya Allah mana budak ibtisam ni…” Puan Salmah merengus, tangan pantas mencapai tuala kecil yang disangkutkan pada kerusi berdekatan. Kotoran di lap, dan kakinya segera melangkah ke arah bunyi telefon yang semakin membingit.

“Hello Assalamualaikum…”

Puan Salmah khusyuk mendengar bicara seseorang di sebelah talian.

“Allah..Allah..” Perkataan Allah tidak henti-henti keluar dari bibirnya.

“Sabar ya. Ya, nanti saya beritahu ibtisam. Assalamualaikum”

Gagang diletakkan.

Hati Puan Salmah hancur. Dia membayangkan hati ibtisam pasti lebih hancur lagi. Berita yang didengarnya sebentar tadi...

Ah.

Puan Salmah meraup wajah. Punggungnya dilabuhkan sebentar di atas lantai, memikirkan cara yang terbaik agar hati si anak tetap terjaga baik.

“Umi..” Bahu Puan Salmah disentuh lembut. Puan Salmah tersentak. Birai matanya yang mula digenangi air dikesat.

“Umi okay ke?” Redup mata ibtisam yang masih bertelekung dan memegang selembar Al-Quran di tangannya memandang umi tercinta.

“Ibtisam...” Bergetar suara Puan Salmah menyebut nama puteri kesayangannya.

“Ya Umi.. Kenapa ni umi?” Ibtisam melabuhkan punggung di sebelah Puan Salmah.
Kepalanya dilentokkan ke bahu uminya. “Ibtisam ada buat salah ya umi?”

Puan Salmah menggeleng perlahan. “Ibtisam buat apa tadi?”

“Ibtisam solat dhuha umi kat bilik.”

Puan Salmah mengangguk.

“Ibtisam..”

“Ya Umi..”

“Kalau umi ada bagi ibtisam pinjam barang, kemudian umi minta kembali barang tu... Ibtisam bagi tak?”

“Mestilah. Kan barang umi... em, ibtisam pinjam apa ya umi? Oh, baju kurung umi ya! Subhanallah terlupa pula.” Ibtisam mengerut-ngerutkan keningnya sambil mulutnya tidak berhenti bercakap.

Hati Puan Salmah hancur lagi... Bagaimana mungkin dia menghentikan keceriaan di wajah puteri tercinta.

“Ibtisam tahu kan... Di dunia ni tak ada satu pun yang menjadi milik kita.. Semuanya Allah beri pinjam je.”

Ibtisam mendengar tekun.

“Sayang... Umar..”

“Umar?” Mata ibtisam bercahaya mendengar nama itu. Umar yang ditunggu sekian tahun bakal pulang ke Malaysia. Hari ini. Ya sepatutnya jejaka itu sudah berada di dalam kapal terbang ketika ini. “Umar dah sampai Malaysia ke umi?”

Puan Salmah menggeleng lagi. Wajahnya dipalingkan sedikit, tidak sanggup lagi melihat wajah ibtisam. “Umar kemalangan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Queen Alia. Dia... Dia maut di situ juga kerana kehilangan darah yang banyak.” Puan Salmah memandang raut bersih wajah ibtisam.

“Innalillah...” Ibtisam menjawab tenang. Namun di hatinya hanya Allah yang tahu. Puan Salmah sedar, ibtisam menggenggam erat Al-Quran di tangannya, di bawa rapat ke dada. Diciumnya Al-Quran itu bertalu-talu.

Puan Salmah sedar, hati puterinya itu hancur berkecai. Puan Salmah tahu, ibtisam sedang berlagak tenang meski hakikatnya dia mahu menangis semahunya.

“Ibtisam... Kalau mahu menangis, mari menangis di bahu umi.”

Ibtisam menggeleng. “Tidak umi... Allah pinjamkan Umar di dunia ini sementara cuma, sekarang Allah mahu mengambilnya kembali.. Apakah layak ibtisam mengeluh?”

Ibtisam memandang ke bawah, menahan sekeping hati yang calar. Puan Salmah diam seribu bahasa.

“Umi.. Ibtisam minta izin masuk bilik dulu ya.”

Puan Salmah mengangguk.

***


dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.


Surah Al-Baqarah Ayat 216 itu direnungnya lama. Ibtisam masih berteleku di atas sejadah. Sebentar tadi setelah mendapat perkhabaran menyedihkan daripada umi tercinta, ibtisam segera menunaikan solat dua rakaat.

Dia ingin merawat hatinya yang calar,tapi entah kenapa makin berdarah.

Dia ingin menyeka air matanya daripada tumpah, tapi entah mengapa makin melimpah.

Ibtisam nanar. Dia tidak suka berperasaan begini.

Allah.. Bantulah hambaMu ini...

Ibtisam berbisik perlahan, air mata yang tumpah dikesatnya. Terkadang memori bersama Umar enak bermain-main di mindanya. Segera, ibtisam beristighfar.

Umar... tanggungjawabmu di dunia sudah tamat. Moga tenang di sana, bersama orang-orang yang soleh.

***
Masa berlalu pantas. Setahun sudah peristiwa pahit itu berlalu. Kini, Ramdhan datang lagi, melakar memorinya yang tersendiri...Namun hati ibtisam masih lagi tidak sembuh.

“Assalamualaikum warahmatullah...” Ibtisam memberi salam ke kanan, dan kemudian ke kiri.

Dia meraup wajahnya. Berdoa buat dirinya, keluarga, sahabat... dan juga.. Umar.

Segera telekungnya dibuka dan dilipat bersama sejadah. Almari pakaiannya dibuka. Ibtisam mengeluarkan sehelai jubah, disarungnya ke tubuh.

Tudung labuh berwarna hitam yang sedia tergosok diambil dan dipakai. Kunci kereta myvi kesayangannya yang terletak di atas meja dicapainya pantas. Kakinya diatur menuju ke luar.

Ibtisam mencari-cari kelibat uminya.

“Umi..” Pinggang Puan Salmah dipeluk dari belakang. Puan Salmah yang sedang menjalankan rutin harian bersama pokok-pokok di perkarangan rumah terkejut.

“Ish! Ibtisam.. boleh sakit jantung umi macam ni.”

“Biar sakit jantung, jangan sakit hati.” Ibtisam tersengih.

“Ada je nak menjawab yaa dia ni.” Puan salmah mencubit lembut pipi ibtisam.

“Umi, ibtisam nak keluar sekejap..”

“Pergi mana?”

“Ambil angin kat pantai jap.. boleh ya umi?”

Puan Salmah mengangguk. “Hati-hati, jaga diri.”

Ibtisam tersengih. Segera tangannya diangkat dan membuat tabik hormat. “Baik tuan!”
Puan Salmah tergelak kecil. Ibtisam mengambil tangan Puan Salmah dan dikucupnya perlahan.

“Pergi dulu Umi...”

***

“Ah!” Keluhan dari mulut mungil ibtisam keluar juga. Ingin sahaja dia menjerit sekuat hati,melepaskan segala tekanan yang bersarang di jiwa.

Ombak laut yang bergelora itu, begitu jualah gelora hatinya. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup tidak langsung menenangkan jiwanya.

Ibtisam duduk beralaskan pasir nan putih. Diraupnya wajah dengan tangan mulusnya. Matanya dipejamkan, menahan mutiara jernih itu daripada tumpah lagi.

Tidak…cukuplah dikau mengalir. Cukup!

Ibtisam nekad.

Dia tahu selama setahun ini dia berpura-pura gembira. Dia tahu betapa sukarnya merawat hati nan calar. Dia tahu betapa banyak kali dia cuba bersangka baik dengan apa yang berlaku.

Dan dia juga tahu… Dia sekadar seorang manusia biasa yang punya hati yang biasa. Sehebat mana pun manusia memandang dirinya, hanya Allah jualah yang mengetahui duduk sebenar dirinya.

Angin yang bertiup semakin garang membuatkan tudung labuhnya terangkat-angkat sedikit. Ibtisam menahan menggunakan tangan.

Setiap insan, pasti merasa.. saat perpisahan terakhir..

Lirik lagu kumpulan Rabbani itu berkumandang. Telefon bimbit Blackberry 9700 nya dikeluarkan dari beg kecil berwarna biru. Ibtisam tersenyum memandang nama si pemanggil ; umi.

Butang hijau ditekan.

“Assalamualaikum umi..ibtisam sihat lagi ni, nanti ibtisam balik ye” Belum sempat Puan Salmah mengeluarkan kata, ibtisam terlebih dahulu menyudahkan bicara.

“Waalaikumussalam… hish kamu ni ibtisam, tak sempat umi nak bercakap.”

Ibtisam tergelak kecil “Ala, ibtisam tahulah umi risau kan ibtisam…”

“Memanglah, tapi ada perkara yang lebih penting lagi.” Suara Puan Salmah tegas. Hati ibtisam kecut. Dia masih lagi trauma dengan berita yang Puan Salmah khabarkan setahun yang lalu.

Ah, Apakah lagi ya Allah..

“Em, ya umi… umi tak mahu tunggu ibtisam balik dahulu?”

Puan Salmah diam sejenak. “Tak apa, umi beritahu sekarang sahaja ya?”

“Baik umi, apa dia?”

“Ada orang datang merisik.”

“Alhamdulillah… baguslah tu umi, umi pun perlukan tempat bergantung. Abi dah lama tak ada.”

“Hish, apa pula umi. Kamulah”

“Ha? Ibtisam? Siapa yang datang umi?” Hampir bercantum kening ibtisam memikirkan gerangan empunya diri yang merisik dirinya.

“Ramadhan”

“Ramadhan?” Ibtisam tambah pening. Seakan pernah didengar nama itu... Adakah mungkin...
“Dia senior waktu kamu sekolah dulu.”

Ah! Ibtisam tersentak. Memori mengenai seorang jejaka soleh bernama Ramadhan semakin berlegar-legar di ruangan mindanya.

Dia ingat... Ramadhan itulah yang menjadi kegilaan para pelajar wanita. Ramadhan yang menjadi murid contoh. Disegani kerana ketokohannya,kepandaiannya serta sifat tawadhuk yang ada dalam dirinya.

Ramadhan itu... “Ramadhan ketua unit Badan Kerohanian dan Dakwah?” Spontan ayat itu meluncur laju dari mulutnya.

“A ah, dia baru habis belajar di Mesir.”

Mata ibtisam berkaca.

Allah..Sungguh engkau tidak pernah menzalimi hambaMu.

“Ibtisam” Suara Puan Salmah di hujung talian menariknya ke alam realiti.

“Ya Umi.”

“Ibtisam fikir-fikirkanlah ya sementara mencari ketenagan di luar tu. Minggu depan insyaAllah dia hantar rombongan meminang.”

Mata ibtisam yang berkaca mula mengalirkan titis-titis jernih, mengalir laju ke pipinya. Terasa sungguh Allah itu amat dekat dengannya.

“Baik umi.. Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam.”

Telefon bimbit dimasukkan kembali ke dalam beg. Air mata yang mengalir diseka. Dia segera bangun, mengibas-ngibas sedikit belakang bajunya yang dilekati pasir.

Kakinya bergerak laju ke surau berdekatan dan ingin segera melakukan sujud syukur. Tanda terima kasih kepada Allah yang sentiasa memahami dirinya dan mengatur yang terbaik buat dirinya.

Air mata yang bersisa dikesatnya lagi. Ibtisam tersedar, manusia sering mengeluh apabila apa yang dihajati tidak diperkenankan Allah, hakikatnya Allah sedang mengatur yang terbaik buat diri mereka.

Dan..Akhirnya air mata yang ditahan-tahan itu tumpah jua. Kali ini bukan kerana luka, malah bahagia...

Jika setahun yang lalu Ramadhannya mengundang luka,Ramadhan ini benar-benar bermakna, apatah lagi akan dilengkapi dengan seorang jejaka bernama Ramadhan yang soleh.

Ibtisam senyum.

Terima kasih ya Allah....

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(Al-Baqarah : 186)


2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum..

Lama x tinggal jejak....

wahh...berbunga2 artikel yg terbaru nih...hihihi...

Moga sihat dlm mengharungi ujian dan cabarah.... ^-^

-kodama-

Mastura MY said...

waalaikumussalam...

lama tak tinggal jejak sebab sibuk menjalankan tugas sebagai khalifah Allah? Alhamdulillah...

artikel berbunga2? mungkin terpengaruh dengan bunga-bunga para graduan di kolej ni :)

ameen... terima kasih atas doanya, moga Allah kembalikan keberkatan doa itu kepada anda jg...

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .