Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, December 30, 2011

Mari Menyenangkan


Kadangkala kita menangis kesusahan,
Sedangkan ada insan lain yang lebih susah,
Namun di wajahnya masih terlukis senyuman...


"Dik,tolong ambilkan udang kering tu." Seorang makcik yang beratur di hadapan saya dan keluarga menunjuk ke arah peti sejuk di tepi kaunter pembayaran.

"Yang mana cik? yang ni?" Adik saya menunjukkan sebungkus udang kering yang hakikatnya tidak patut berada di situ.

"A ah yang tu. Makcik ingat tak jadi ambil tadi." Makcik itu membalas, seraya wajahnya sedang berkira-kira.

Suaminya yang berada atas kerusi roda ditolaknya perlahan. Si suami diam membatu, sakit mungkin. Namun makcik itu masih tabah menerima segalanya.

"Kalau kira yang ni jadi berapa?" Makcik itu bertanya pula pada kakak di kaunter, menunjuk kepada dua bungkus tauhu.

Kakak di kaunter laju memasukkan sejumlah lagi wang dalam perkiraan.

"Cukup tak?" Makcik itu meninjau-ninjau harga yang dipaparkan.

"Cukup kot..." Dia bicara lagi. Sendiri. Tangannya yang mula ditumbuhi kedutan mengeluarkan beberapa not rm5 dan rm1 yang diikat.

"Cukup tak dik? yang mee tu tak payah kira lah. tak jadi ambil."

"Er..tak cukup cik." Kakak di kaunter kelihatan serba salah.

"Lagi berapa sen tak cukup ya?" Makcik itu kelihatan resah.

Dan pada ketika itu,hati saya seolah-olah dihempas ke batu. Pecah berderai. Habis terbang semua nafsu untuk membeli. Syukur Allah menegur saya secara cash begitu.

Melihat makcik tersebut yang masih resah mencari lagi beberapa sen yang tidak cukup, saya berbisik kepada emak tercinta,

"Mak, apa kata mak bayarkan je mee makcik tu."

Emak yang berada di sebelah yang masih lagi memerhati makcik tersebut kelihatan tersentak. Emak ke hadapan sedikit,

"Dik,tak apalah dik, yang ni masuk dalam bil saya." Emak menunjuk ke arah mee yang diasingkan.

"Eh tak apa tak apa. tak apa, nanti saya boleh beli yang lain. saya meniaga depan ni je. tak apa." Makcik tersebut menolak.

"Eh tak apalah.." Emak masih kelihatan bersalah.

"Tak apa.. betul saya meniaga dekat sini je, nanti bila-bila boleh datang beli."Makcik tersebut masih menolak. Emak diam, tidak betah untuk memaksa.

"Lagi berapa sen dik tak cukup?"Makcik tersebut menyambung pertanyaan.

"Tak apalah cik..." Kakak di kaunter pembayaran bersuara.

"Terima kasih ya." Pantas makcik itu menolak kerusi roda suaminya dan berlalu. Si suami menunduk, entah apa yang difikirkan. Mungkin memikirkan nafkah yang telah pun beralih tangan.

Sungguh biar makcik itu susah,dia tidak mahu menyusahkan orang lain.

Dan semoga Allah memelihara makcik tersebut selamanya.

Dalam Senang,Ada Yang Susah


Saya suka pada satu pepatah : Kita menangis kerana tak punya sepasang kasut baru, sedangkan ada manusia di luar sana yang tak punya kaki.

Manusia takkan pernah terlepas dari kesusahan, ujian, dugaan dan cubaan.

Jika ubat itu dirasa pahit...Begitulah juga dengan segala ujian yang mendatang, tapi ingatlah tak semua kepahitan itu teruk. Sepahit-pahit ubat itu membawa kepada kesembuhan. Sepahit-pahit ujian itu juga membawa kepada kesembuhan hati yang kian jauh dari Tuhan.

Kita Yang Mana

Ada manusia... Tatkala dia berada di atas, dia melihat manusia yang sedang berada di bawah dengan perasaan yang jengkel. Dia tenggelam dalam keseronokan dunia yang tak pernah berkesudahan. Dia senang tetapi hidupnya tidak menyenangkan orang lain.

Dia menekan mereka yang di bawah, tidak mengendahkan titis jernih air mata yang mengalir. setiap penganiayaan itu bakal dihitung kelak,itu semua tidak dihiraukannya...


Ada manusia,yang bila senang dia menyusahkan orang lain. Senang cerita, dia senang atas kesusahan orang lain. menindas, berlaku zalim dan sebagainya...semua itu ditolak ke tepi. Asal dia senang, hati gembira, harta melimpah.

Ada manusia, yang bila senang dia menyenangkan orang lain, dia bersedekah dan membuat orang yang susah tersenyum. Walau sesaat, walau sedetik, kerana sungguh senyuman itu mententeramkan jiwa.

"Dah takdir aku takleh tolong diorang"

Takdir itu,selagi ia belum berlaku tidak dipanggil takdir. Kita ada hak untuk memilih takdir kita.

Contohnya sama ada mahu berjaya atau tidak. mahu belajar atau tidak. Dan di penghujung usaha itu barulah dipanggil takdir.

Bukankah telah Allah ingatkan : Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd:11)


Kamu ingin terus menjadi manusia yang menyenangkan atau menyusahkan orang lain?

Semuanya terletak pada diri sendiri.

Kerana hakikatnya, takdir itu hanya terjadi setelah kita yang memilih...

Belajar Lagi

"Ala nanti wak balik masjid wak nak pergi minum tak ada duit macam mana ni Adam" Abah saya bertanya, saja mengusik si kecil Adam yang asyik berlari sambil mulut tidak berhenti bercakap.

"aaaa... kejap eh kejap." Mulut ciliknya petah lagi berbicara. Kakinya lantas bergerak ke arah beg pakaiannya, tertonggeng-tonggek dia menyelongkar segala isi yang ada.. dan..

"Nah wak, ambik pergi minum." Tangan kecilnya menghulur not RM1 kepada abah saya.

Semua tertawa dengan keletahnya. Tapi ada pengajaran yang terselit ; meski kita susah, janganlah menyusahkan orang lain... Bila kita senang, jangan menyusahkan orang lain,senangkanlah mereka bersama.

Ingatlah duhai sahabat..

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba selagimana ia berusaha untuk menolong saudaranya."

(Riwayat Muslim)


Jom pasang azam tahun baru! --> letakkan senyuman di wajah setiap insan.

Wallahu'alam.

Kesatlah air matamu,
Lihatlah mereka di sana,
Bukankah mereka jua turut diuji?

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .