Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, January 17, 2012

Kerana Allah.


"AAAA... ya Allah ya Allah malasnya." Sahibah yang sedang baring di atas lantai bersuara. Mungkin akibat badan yang terlalu letih setelah seharian minda fokus di kelas menjadikan badan agak letih untuk kembali mengulangkaji pelajaran di bilik pula.

Saya memahami, kerana saya juga kerap merasa begitu.

Tiba-tiba ada satu idea datang. Saya tersengih. "Ha. Belajar kerana apa ni? Kalau kerana Allah tak boleh malas-malas." Peringatan yang keluar pertama sekali semestinya buat diri saya sendiri juga.

Sahibah yang dikasihi diam sebentar.

Tidak lama kemudian dia kembali bersuara "SAHAJA AKU BELAJAR KERANA ALLAH TAALA." Yakin benar suaranya, lantas dia bangun,duduk dan kembali membuka buku.

Terhibur hati saya melihatnya.

Kerana Apa

Seorang ulama' terkenal Ibnul Qayyim Al-Jauziyah berkata :

Cinta itu boleh lenyap bersama lenyapnya sebab.


Kita cintakan ilmu, kan?

Tapi mari kita tanya kembali.. cinta kan ilmu itu kerana apa? Adakah kerana nak dapat kerja? nak dapat 4.0? nak dapat pujian rakan?

Nah, andai itulah sebabnya, percayalah rasa cinta kepada ilmu itu akan lenyap kerana sebab-sebab kita cintakan ilmu itu pun tidak akan kekal.

Yang kekal hanya ada satu.
Yang abadi itu hanya satu.

Ya.. Allah. Jika cinta kepada ilmu itu kerana Allah sahajalah akan kekal selamanya... Bukankah Allah tidak akan lenyap?

Yakinlah

Ada manusia, yang bila ditanya : Adakah kamu yakin dengan Allah?

Dengan pantas dia menjawab : Ya, sudah pasti.

Tapi..seharian hidupnya, apabila ditimpa musibah, dia mengadu kepada manusia. Apatah lagi di zaman teknologi ini, semuanya dicatatkan di dinding-dinding facebook. Sedang dia kata dia yakin kepada Allah, dia tanpa sedar hakikatnya lebih banyak mengadu kepada manusia.

Tidak salah untuk kita mengadu, meminta pandangan sesama manusia, tetapi apa-apa pun utamakanlah dahulu Allah. Allah ni sifatNYA sangat cemburu. Justeru, apabila ada hambaNya yang lebih utamakan manusia daripadaNya, Allah cemburu sangat.

Bukankah Allah itu lebih Maha Mendengar, Maha Mengetahui?

Mari kita lihat satu situasi :

Andainya kita, anda, saya, atau sesiapa sahaja sedang berjalan berseorangan, terlihat pula anjing liar di hadapan, oh ada pula orang yang mencurigakan berdekatan, orang itu tersengih panjang.

Ha, pada saat itu, adakah kita lebih mengharapkan kehadiran polis atau lebih mengharapkan pemeliharaan Allah?

Percayalah sahabat, kerana pemeliharaan Allah itulah akan dihadirkannya bantuan dari manusia. Allah tidak zalim, malah Allah amat memahami hatimu.

Tidak terlihatkah kita pada pertolongan Allah di Palestin yang telah lama berperang namun rakyatnya masih tidak lagi habis-habis?

Tidak terlihatkah kita pada pertolongan Allah saat seorang isteri sedang sakit melahirkan, banyak urat-uratnya putus namun dia masih boleh tersenyum akhirnya melihat bayi yang selamat dilahirkan?

Yang paling penting, tidak terlihatkah kita, saban hari Allah masih menolong kita bergerak dalam dunia ini walau hakikatnya kita banyak melakukan dosa?

Maka.... Dalam kita belajar dan melakukan apa pun, yakin yakin dan sentiasa yakinlah bahawa Allah akan membantu. Bukankah Allah telah berfirman :

Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Yunus : 107)


Hanya Kerana Allah.

Alat penghawa dingin di kelas rosak. Kipas pula tiada. Cuaca di luar sangat panas sehingga bahangnya terasa di dalam kelas.

Saya dan sahibah keluar sebentar menghirup udara segar di luar.

"Ya Allah...letihnya." Tanpa sedar saya mengeluh. "Eh, tak boleh tak boleh cakap letih." Tersedar kesilapan, saya memuhasabah diri kembali.

Tatkala berdiri di hadapan pintu kelas, tatkala tangan memegang tombol pintu itu, segera mulut berkata "Sahaja aku masuk kelas kerana Allah Taala."

Dan sahibah di sisi tersenyum, seolah berkata : Jom sayang, kita belajar kerana Allah :)

Hanya kerana Allah. Allah. Hanya Dia yang kekal tidak akan lenyap...

Selepas ini apabila ada orang bertanya, kamu buat perkara itu(kebaikan) kerana apa? Maka yakinlah menjawab : Kerana Allah.

Jawab bukan sekadar di mulut, tapi sematkannya di dalam hati juga.

Moga Allah kasih.

Wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .