Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, August 22, 2012

Istimewa raya ; Berbahagialah dengan takdirmu.

Ilmu Allah itu sangat luas, mungkin ada yang kita belum terokai... Maka bersangka baik dan berbahagialah selalu.

Assalamualaikum.

maaf lama blog tak berupdate. Jujurnya terasa diri begitu lemah, untuk membahagikan waktu pun saya tidak mampu. Malunya saya dengan kalian.

okay baiklah mari kita proceed dengan jawapan berkenaan takdir dalam post sebelum ini ya?


Teman-teman seperjuangan di sini asyik meneka siapa yang lebih dan paling bersalah. Ada yang kata Nabi Musa bersalah. Ada yang kata pemuda berkuda bersalah, ada yang kata yang paling tak bersalah adalah orang tua.

Apa-apa pun, Allah rewind balik kisah tersebut kepada beberapa tahun sebelumnya.

Si pemuda yang berkuda itu baru saja pulang dari merompak sebuah rumah, uncang emas itu adalah hasil rompakannya.

Budak kecil itu pula sedang berjalan-jalan di tepi sungai, tiba-tiba dia terlihat sesuatu "Eh, ini macam uncang emas keluarga aku ni." Lalu diambilnya pulang ke rumah.

Orang tua yang terlihat sebagai orang yang paling tak bersalah pula pada suatu masa dahulu adalah seorang ketua penyangak. Dialah yang membunuh kedua ibu-bapa pemuda berkuda tersebut.

Baiknya Allah

Allah selalu memberi sesuatu tanpa kita meminta, bahkan Dia selalu sahaja memberi yang terbaik. Meski suatu ketika dahulu kita menangis, terjatuh dan tidak tahu bagaimana harus bangun semula.

Tapi hakikatnya, hari ini kita mampu tersenyum, menjadi lebih kuat dan gagah dan mampu berlari kencang di medan ini. Kita pun terlupa bahawa suatu ketika dahulu kita pernah jatuh sehingga seolah-olah hilang arah.

Mengapa begitu?

Bukankah Allah telah berfirman ;


Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan (Al-Insyirah : 5-6)

Dan siapakah yang paling menepati janji selain daripada Allah?

Berbahagialah dengan takdirmu

Dulu, saya selalu tertanya-tanya, kenapa saya diletakkan di MRSM sedangkan subjek yang paling saya tak suka adalah sains.

Saya berusaha untuk keluar dari MRSM, yang saya rasa seolah-olah satu 'penjara' hebat buat seorang remaja seperti saya dahulu. Memberontak dengan peraturan yang mengawal. Saya rasa terseksa.

Tapi usaha-usaha untuk keluar dari MRSM Allah gagalkan sehinggalah saya berjaya bergraduasi(Alhamdulillah) dengan jayanya.

Kemudiannya saya kembali penasaran, Allah campakkan saya ke bumi KUIS. Bumi yang sungguh indah tarbiyyahnya sehingga hati saya sangat gembira, selepas itu dalam keadaan diri yang saya kira belum bersedia untuk 'terjun' dalam lapangan dunia realiti sebenar yang menyakitkan, Allah letakkan saya di salah satu Institut perguruan di Malaysia.

Saya kira, ramai yang sedia maklum, saya jadi stres. Saya disuruh itu dan ini bahkan waktu solat juga jarang dapat saya jaga di awal waktu. Saya dipaksa melakukan perkara yang tidak syar'ie, bahkan dituduh jumud kerana tidak mahu bersukan beraksi yang bukan-bukan di hadapan lelaki. Hari-hari saya dipenuhi air mata. Tapi syukur Allah kurniakan sahabat-sahabat yang baik sebagai penguat saya tatkala itu. Alhamdulillah. Baiknya Allah

Berat badan saya turun teruk. Reputasi pelajaran saya jatuh. Mata saya sembab. Saya sering dikejarkan ke hospital kerana tekanan darah jatuh mendadak. Tubuh saya lemah, ketika itu saya tertanya-tanya lagi : Allah, kenapa Engkau letakkan aku di sini.

Saya berusaha untuk keluar. Bukan mudah kerana seluruh pengajian saya ditaja. Tapi kali ini Allah bantu, saya dibenarkan berhenti tanpa perlu membayar walau satu sen. Baiknya Allah yang selalu memahami.

Dan kini saya jadi akur pada aturanNya. Memang kita boleh berdoa, boleh berusaha untuk mendapat takdir yang lebih baik, tapi jika doa seolah-olah tidak dimakbulkan, teruslah percaya... Allah sedang merancang yang terbaik!

Di MRSM lah saya kenal erti sebuah kehidupan dan sebuah persahabatan. Di situlah sedikit demi sedikit nilai keIslaman disuntik ke dalam diri.

Di Institut Perguruan itulah saya kenal dunia realiti. Allah mahu sedarkan saya yang selalu leka dan mahu jadi baik sendiri, mungkin. Allah mahu sedarkan saya medan ini bukannya mudah. Saya perlu lebih persiapkan diri. Di situlah saya belajar untuk tidak selalu menjatuhkan hukum kerana saya amat memahami, dahulu mungkin saya juga seperti mereka.

Dan Allah campakkan saya kembali ke bumi KUIS, agar saya dapat lebih memantapkan diri, mencedok ilmu dari pada asatizah untuk diamalkan di masa hadapan, mudah-mudahan. Allah selalu membantu hingga terkadang saya jadi malu. Layakkah nikmatNya itu dicicip oleh seorang hamba yang hina ini?

Maka sahabat, berbahagialah dengan takdirmu. Yakinlah aturan-Nya itu selalu yang terbaik. Apabila kita sudah mampu menyerahkan seluruh kehidupan kepada Allah(setelah kita berusaha) maka di situlah kita temui ketenangan.

Salam rindu Ramadhan. Moga Allah kasih selalu.

wallahu'alam

1 comment:

依之汉 said...

Sungguh murni cerita ini. Jazakallah...

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .