Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Sunday, March 22, 2015

Of aiskrim pasu, patience and faith


Of aiskrim pasu, patience and faith.

Dah lama saya teringin nak makan aiskrim pasu. A ah, terpengaruh tengok orang post gambar kat fb dengan insta. 

So, merata cari area jb. Sampai malam-malam kawan whatsapp kat mana ada, saya sanggup drive pergi cari, mengidam mengalahkan orang mengandung mak cakap.

Tapi Allah izin, tak pernahnya jumpa. Setiap kali pergi, setiap kali tu hampa. Sampai terdetik kat hati, hai lah Tuhan, apalah yang Kau tengah aturkan ni. Pujuk hati untuk redha. Takpe, telan liur je bila teringin, Allah lebih tahu yang terbaik, saya pujuk hati. 

Sampailah semalam, dah alang-alang tidur melaka ajak mak abah pergi jalan jonker walk, ajak abah ambil angin. Tiba-tiba, hah! Kanan kiri depan belakang semua jual aiskrim pasu. Punyalah tergamam sampai tak tahu nak beli kat mana. Eh rasa macam nak beli kat semua kedai. Lulz. Allah ni memang sweet, suka buat surprise :)

Nak cakap kat sini, Allah lebih tahu apa yang kita perlu. Allah tahu bila nak makbulkan doa, di masa yang tepat dalam suasana yang tepat. Maybe kalau saya dapat aiskrim tu kat jb saya tak nikmati sangat, tapi kat Melaka dahlah tengah penat,panas, dapat aiskrim pasu lagi, macam kat syurga dah rasa. 

Sabarlah, walaupun kita rasa kat depan tu cuma jalan buntu, sabarlah walaupun kita rasa dah tak tahu nak buat apa. Allah tahu macam mana nak bantu. Bila kita ada sesuatu kegusaran, beritahu Allah, kemudian rileks je sebab bila kita dah mengadu, Allah akan uruskan semua. Cuma kita kena yakin. Hei, siapakah yang paling baik dalam menguruskan masalah iteww? ;) 

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (Al-Baqarah : 216) 

When Allah doesnt give you what you want, it is exactly not what u need. 

Have faith! Okay? :)

P:S: gambar ehsan gugel sebab tak sempat ambik gambar dah habis makan. Buruk sangat perangai awak, mastura. :')

Read More......

Tuesday, March 17, 2015

Kerinduan Bilal terhadap Nabi


Bilal bin Rabah mengorak langkah, sesekali kakinya berhenti melangkah, kepala ditoleh ke belakang, sayu meninggalkan Kota Madinah.

Namun apakan daya, hatinya sudah tidak tertahan lagi. Tinggal di Madinah bererti hatinya bakal pecah dengan kerinduan yang mendalam terhadap Rasulullah. Tinggal di madinah bererti jiwanya bakal robek dengan segala kenangan yang tercipta bersama baginda Rasulullah.

Lalu Bilal nekad melangkah, tinggallah Madinah, tinggallah kenangan…. Bilal berhijrah ke Kota Syam.

Suatu hari, Bilal tersedar dari tidurnya lalu menangis. 

“Mengapa kau menangis wahai Bilal?” Tanya isterinya.

“Aku mimpikan Rasulullah…” Jawab Bilal. Bermimpi Rasulullah, menurut banyak para ilmuwan hadith dan dicatatkan dalam banyak kitab-kitab Hadith - bermimpi tentang Rasulullah adalah benar kerana baginda pernah bersabda, barangsiapa yang bermimpi melihat aku, maka dia benar-benar melihat aku kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku.

Bilal menyambung kata “Rasulullah berkata, wahai Bilal, kegersangan apakah ini? Sudah tiba masanya kau menziarahi aku…”

Siapakah yang mengaku mencintai Nabi, tetapi tidak pernah memasang niat menziarahi Baginda? Cintakah begitu?

Bilal menangis resah. Lalu kakinya melangkah, bermusafir untuk menziarahi makam baginda Rasul yang tercinta.

Setibanya Bilal di sisi makam Rasulullah, Bilal menangis dan rebah sebelum dirinya meracau-racau. Bukanlah maksudnya di sini kita boleh meracau-racau di sisi kubur, kita berpegang pada pendapat para ulama’ antaranya Imam An-Nawawi tentang adab-adab di kubur.

Berdiri sekurang-kurangnya 3 hasta, tidak meracau, menundukkan kepala dan menghormati kubur. Kenapa? sekiranya kita berhadapan dengan mereka yang masih hidup adakah wajar kita meracau-racau di hadapan mereka? Namun bukanlah mengusap-usap kubur itu haram, tidaklah pula ia jatuh syirik, melainkan hanya tidak sempurna adabnya dalam menziarahi kubur.

Tetapi Bilal bin Rabah… Akibat kerinduan yang memuncak telah jatuh rebah dan hilang kawalan diri. Rindunya sungguh-sungguh. Cintanya begitu mendalam. Dia tewas dalam kerinduannya yang mendalam tatkala kakinya menjejaki Madinah dan berhadapan dengan makam Rasulullah tercinta.

Para sahabat yang tahu akan kehadiran Bilal menyuruh Bilal melaungkan azan sebagaimana yang Bilal selalu lakukan pada saat Rasulullah masih ada. Bilal menolak kerana berasa sungguh tidak mampu melakukannya.

Tiba-tiba, cucu-cucu Baginda Rasulullah - Hassan dan Hussein datang berlari-lari ke arah Bilal, Bilal tersenyum, senang hati melihat waris Baginda Nabi. Hassan dan Hussein menyuruh Bilal melaungkan azan. Mengenangkan mereka adalah cucu Nabi, Bilal langsung bersetuju.

Tatkala Bilal melaungkan azan, seluruh penduduk madinah terkejut dan keluar dari rumah masing-masing. Mereka menuju ke masjid. Sangka mereka, Rasulullah kembali hidup.

Sebaik sahaja Bilal melaungkan Allah hu Akbar, seluruh penduduk terdiam. Kali kedua Bilal melaungkan Allah hu Akbar, bercucuran air mata para sahabat, dan apabila bilal melaungkan Asyhadu anna Muhammadur Rasulullah!, Bilal terus terduduk dan menangis teresak-esak. Para sahabat datang meluru dan bertanya kenapa, lalu Bilal menjawab, 

“Aku AMAT merindui Rasullullah dan aku seperti terlihat-lihat baginda datang bersembahyang bersama kita…”

Ah, berapa kalikah kita yang mengaku mencintai Nabi, mengalirkan air mata penuh kerinduan?

:’)

Read More......

Berdoalah!


Ada orang mengeluh, "kenapa ehhh Allah tak makbulkan doa saya?"

Malah, ada yang lebih parah mengancam, "mas, awak ni tipu. Allah tak makbulkan pun doa saya. Saya dah malas nak berdoa."

Dan saya hanya mampu tersenyum. Diam. Kadang-kadang lebih baik diam dari memberi penjelasan pada mereka yang tak mahu mendengar.

Doa tak dimakbulkan? Allah tak dengar? 

Tolak ke tepi beberapa sebab yang semua orang dah tahu macam banyak dosa, tak khusyuk, dan tak amalkan adab berdoa. saya cuma mahu bicarakan tentang 2 point yang mungkin kita terlepas pandang.

Pertama, ada orang berdoa saja tapi tak berusaha. Doa nak result bagus tapi setiap hari duduk depan tv makan popcorn. Hm. Kita mungkin terlupa Allah dah ingatkan bahawa Allah takkan ubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. 

Pernah suatu ketika saidina Umar singgah di masjid, dilihatnya para pemuda duduk-duduk di masjid, lalu umar bertanya, "tidakkah kalian keluar bekerja?" 

"Kami zuhud" jawab mereka. Umar naik berang, kata Umar, "aku mengenali Uthman yang lebih zuhud dari kalian, tapi dia seorang yang kaya raya. Apakah kalian mengira bahawa emas akan turun dari langit?" 

Ok bab zuhud kita bincangkan nanti. Tengok point yang penting bila Umar kata apakah kau mengira emas akan turun dari langit? Bagaimana Allah nak makbulkan doa bila kita tak berusaha? Berilah 'sebab' pada Allah untuk tidak menghampakan kita, ingat, tanda-tanda Allah memakbulkan doa kita adalah apabila kita telah mula BERUSAHA ke arah apa yang didoakan.

Kedua, Allah lebih tahu apa yang kita PERLU. Ada orang yang berdoa nak jadi kaya, tapi sebenarnya dia nak bahagia, cuma dia ingat bila dia kaya dia akan bahagia. Allah bagi dia wang, tapi tak berapa banyak, namun hatinya bahagia. Allah dah perkenankan, cuma dia tak perasan. Ada orang minta kekuatan, Allah beri kesusahan. Dengan kesusahan tu dia jadi kuat. Allah dah perkenankan, cuma dia tak perasan.

Kerana Allah lebih tahu, sedang batasan akal manusia begitu terbatas. Cuba fikir dah berapa banyak kesusahan yang kita lalui tapi hari ini kita masih berdiri, malah mungkin kita dah pun lupa sebahagian besar dari doa-doa kita dahulu.

Berdoalah, meski kita rasa semuanya adalah jalan buntu. Tidakkah kita belajar dari kisah Nabi Musa, tatkala di hadapannya adalah lautan, dan di belakangnya musuh mengejar. Musa mengangkat tangan dan berdoa, lalu Allah beri jalan keluar.

Berdoalah, meski yang kita rasa cuma kegelapan. Tidakkah kita belajar dari kisah Nabi Yunus, dalam kelam perut ikan paus dia berdoa, lalu Allah beri jalan keluar.

Berdoalah, meski yang kita rasa cuma kesepian. Tidakkah kita belajar pada kisah Adam dan Hawa, dipisahkan di dunia, dan kerana doa tulus mereka, mereka disatukan semula.

Berdoalah dan jangan berputus harap, bukan Allah saja-saja biar kita terluka. Bukan Allah tak tahu setiap tangisan kita. Tapi semuanya bersebab, 
Syaitan yang derhaka pun Allah perkenankan permintaannya, takkan hang yang sembahyang Allah nak hampakan? 

Bila Allah tak beri yang kita minta, Allah mesti nak beri yang lagi baik, yakin okay? Allah tidak akan sesekali menghampakan hambaNya..

Dan berbahagialah dengan firmanNya;

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Al-Ghafir : 60)

Siapakah yang paling menepati janji selain Allah? 

;)

Read More......

Monday, March 2, 2015

Dia bernama Asiah



“Kembalilah mengakui bahawa aku Tuhanmu!” Tempik Firaun, membuak-buak kemarahan dalam hatinya tatkala mendapati isterinya telah pun beriman dengan Allah- Tuhan Nabi Musa.

“Tidak. Allah lah Tuhanku, sedang kau tak berkuasa.” Asiah berkeras.

Firaun naik berang, dia benar-benar menyayangi Asiah, telah diberinya segala kemewahan, malahan Firaun telah membina sebuah istana di tebing Sungai Nil yang airnya mengalir terus ke istana, bagaikan gambaran di dalam syurga, segalanya buat wanita yang begitu dicintainya.

Kini, segala cintanya seperti sia-sia. Terasa-rasa dirinya dikhianati oleh wanita yang paling dicintai. Firaun mula berlembut, memujuk Asiah. Asiah tetap berkeras, api kemarahan Firaun meluap-luap lalu diperintahkan agar semua tahanan yang telah memeluk Agama Islam termasuk isterinya diseksa sehingga kembali mengakui dirinya Tuhan.

Asiah bersahaja. Tidak gentar, malah kata Asiah,

“Tidakkah kau tahu bahawa jiwa ragaku dalam penjagaan Tuhan Yang Maha Agung? Sekiranya engkau potong tubuh badanku sekalipun tidak akan melenyapkan cintaku kepada Allah.”

Mendengarkan itu, tambah membaralah kemarahan Firaun. Firaun lantas memerintahkan agar seksaan ke atas Asiah ditambah. Asiah diikat pada sebatang kayu dan diseksa oleh kepanasan siang, ditusuk oleh kesejukan malam.

Namun, apa yang menjadi kebimbangan Asiah pada ketika itu bukanlah pada nyawanya yang bakal hilang, atau pada tubuh badannya yang menanggung seksa, tetapi dia risau pandangan Allah terhadapnya, apakah Allah redha atau murka. Lalu, tatkala terlihat kelibat Nabi Musa yang melintasi tahanan-tahanan Firaun, Asiah memanggil,

“Wahai Musa! Beritahu kepada aku, apakah Allah redha atau murka melihat aku?”

Nabi Musa menjawab, “Wahai Asiah, ketahuilah bahawa semua malaikat di langit merinduimu dan Tuhan memujimu, DIA berkata mohonlah kepadaKu akan Aku perkenankan.”

Mendengarkan itu, Asiah segera berdoa seperti yang direkodkan dalam Surah At Tahrim ayat 11, “Wahai Tuhanku, dirikanlah buatku sebuah rumah di dalam syurga. Selamatkan aku daripada Firaun dan perbuatannya. Selamatkan aku daripada kaum yang zalim.”

Beberapa hari seksaan berlangsung, Asiah tidak putus mendongakkan kepalanya ke langit dan berdoa, “Wahai Tuhanku! dirikanlah buatku sebuah rumah di dalam syurga…” Hatinya menjadi aman dan tenteram, tidak terasa seksaan yang dilalui apabila membayangkan rumahnya di syurga sana, sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Buat kamu, ya kamu yang sedang dilambung ombak kehidupan, yang mungkin sedang mencari-cari pertolongan, yang hampir lemas, yang mengalir air mata dek ujian yang menimpa,

moga sahaja Allah memperlihatkan rumah buatmu di dalam syurga, sehingga tidak terasa ujian yang menimpa. Bersabarlah, kelak kegembiraan pasti datang, seperti siang yang mengganti gelapnya malam.

Demi waktu Dhuha! dan demi malam apabila telah sunyi,Tuhanmu tidak meninggalkan engkau dan tidak pula membencimu, dan sungguh yang kemudian itu lebih baik bagimu dari yang permulaan, dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaanNya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas. (Ad Dhuha : 1-5)

Salam sayang kerana Allah <3

:)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .