Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, March 2, 2015

Dia bernama Asiah



“Kembalilah mengakui bahawa aku Tuhanmu!” Tempik Firaun, membuak-buak kemarahan dalam hatinya tatkala mendapati isterinya telah pun beriman dengan Allah- Tuhan Nabi Musa.

“Tidak. Allah lah Tuhanku, sedang kau tak berkuasa.” Asiah berkeras.

Firaun naik berang, dia benar-benar menyayangi Asiah, telah diberinya segala kemewahan, malahan Firaun telah membina sebuah istana di tebing Sungai Nil yang airnya mengalir terus ke istana, bagaikan gambaran di dalam syurga, segalanya buat wanita yang begitu dicintainya.

Kini, segala cintanya seperti sia-sia. Terasa-rasa dirinya dikhianati oleh wanita yang paling dicintai. Firaun mula berlembut, memujuk Asiah. Asiah tetap berkeras, api kemarahan Firaun meluap-luap lalu diperintahkan agar semua tahanan yang telah memeluk Agama Islam termasuk isterinya diseksa sehingga kembali mengakui dirinya Tuhan.

Asiah bersahaja. Tidak gentar, malah kata Asiah,

“Tidakkah kau tahu bahawa jiwa ragaku dalam penjagaan Tuhan Yang Maha Agung? Sekiranya engkau potong tubuh badanku sekalipun tidak akan melenyapkan cintaku kepada Allah.”

Mendengarkan itu, tambah membaralah kemarahan Firaun. Firaun lantas memerintahkan agar seksaan ke atas Asiah ditambah. Asiah diikat pada sebatang kayu dan diseksa oleh kepanasan siang, ditusuk oleh kesejukan malam.

Namun, apa yang menjadi kebimbangan Asiah pada ketika itu bukanlah pada nyawanya yang bakal hilang, atau pada tubuh badannya yang menanggung seksa, tetapi dia risau pandangan Allah terhadapnya, apakah Allah redha atau murka. Lalu, tatkala terlihat kelibat Nabi Musa yang melintasi tahanan-tahanan Firaun, Asiah memanggil,

“Wahai Musa! Beritahu kepada aku, apakah Allah redha atau murka melihat aku?”

Nabi Musa menjawab, “Wahai Asiah, ketahuilah bahawa semua malaikat di langit merinduimu dan Tuhan memujimu, DIA berkata mohonlah kepadaKu akan Aku perkenankan.”

Mendengarkan itu, Asiah segera berdoa seperti yang direkodkan dalam Surah At Tahrim ayat 11, “Wahai Tuhanku, dirikanlah buatku sebuah rumah di dalam syurga. Selamatkan aku daripada Firaun dan perbuatannya. Selamatkan aku daripada kaum yang zalim.”

Beberapa hari seksaan berlangsung, Asiah tidak putus mendongakkan kepalanya ke langit dan berdoa, “Wahai Tuhanku! dirikanlah buatku sebuah rumah di dalam syurga…” Hatinya menjadi aman dan tenteram, tidak terasa seksaan yang dilalui apabila membayangkan rumahnya di syurga sana, sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Buat kamu, ya kamu yang sedang dilambung ombak kehidupan, yang mungkin sedang mencari-cari pertolongan, yang hampir lemas, yang mengalir air mata dek ujian yang menimpa,

moga sahaja Allah memperlihatkan rumah buatmu di dalam syurga, sehingga tidak terasa ujian yang menimpa. Bersabarlah, kelak kegembiraan pasti datang, seperti siang yang mengganti gelapnya malam.

Demi waktu Dhuha! dan demi malam apabila telah sunyi,Tuhanmu tidak meninggalkan engkau dan tidak pula membencimu, dan sungguh yang kemudian itu lebih baik bagimu dari yang permulaan, dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaanNya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas. (Ad Dhuha : 1-5)

Salam sayang kerana Allah <3

:)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .