Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, September 19, 2015

Kerana Allah


~Mungkin ikhlas itu ibarat mutiara,
Perlu kau selam jauh di lautan sana,
Baru kau jumpa ia yang berharga~

Suatu ketika dahulu ketika peristiwa hijrah.. Nabi yang amat kita cintai ada bersabda yang diriwayatkan oleh Imam bukhari dan Muslim.. Kata Nabi —

Sesungguhnya, setiap amalan bergantung kepada niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan mendapatkan Allah dan Rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diraihnya atau wanita yang ingin dinikahinya…..

Ops. Kita berhenti sekejap. 

Kalau ikut logik akal kita sebagai manusia, apabila ayat pertama dah dikatakan jika hijrahnya kerana Allah dan Rasul, maka ia mendapatkan Allah dan Rasul, justeru jika hijrahnya kerana dunia atau wanita pastilah dia akan mendapatkan dunia atau wanita yang ingin dinikahinya, kan?

Namun sungguh Rasulullah itu diutus sebagai pembawa rahmat, yang tak ingin sekali pun memutuskan harapan buat orang-orang yang tersalah. Baginda tidak ingin menghempas jatuh mereka yang mempunyai niat selain Allah dan Rasul-Nya di dalam hati. Malah baginda membentangkan kalimatnya seluas timur dan barat. Sabda baginda —

Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diraihnya, atau wanita yang ingin dinikahinya.. MAKA HIJRAHNYA ADALAH KEPADA APA YANG DIA NIATKAN UNTUK BERHIJRAH. 

Alangkah sejuknya peringatan ini. Alangkah indahnya kesempatan untuk memperbaiki diri, memperbetulkan apa yang tersalah. Jika pada mulanya berniat kerana dunia semata, masih sempat tukar semuanya kerana Rabb pemilik alam semesta…maka hijrahnya tetap adalah kepada apa yang dia niatkan untuk berhijrah.

Begitu pula, tatkala seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah —

“Ya Rasulullah” Katanya. “Ada tiga orang yang berperang bersamamu, namun ketiga-tiganya punya niat yang berbeza. Yang pertama berperang kerana kehidupannya yang sempit lalu berharap mendapatkan harta rampasan perang. Yang kedua berperang kerana ingin membela kaumnya yang teraniaya. Yang ketiga berperang kerana ingin diakui sebagai lelaki yang berani. Manakah di antara ketiganya di sebut sebagai mati di jalan Allah?”

Jika dilihat tidak ada satu pun yang berniat berperang kerana Allah, lalu bukankah boleh sahaja Rasulullah menjawab; “Ketiga-tiganya tidak mendapat pahala!” 

Namun sekali lagi Baginda menyatakan kalimat yang menyejukkan, seperti layaknya sifat orang soleh itu — kata-katanya selalu sahaja diibaratkan seperti air dingin yang membasahi tekak nan kontang. Baginda dengan penuh lembut menjawab, 

“Siapa pun yang berperang agar kalimat Allah menjadi tinggi, maka dia mati di jalan Allah.”

Betapa mulianya sifat Sang Nabi, mengingatkan kita pada Penciptanya yang jauh lebih mulia, firman Allah dalam surah Ibrahim ayat ketujuh —

Dan ingatlah tatkala Rabb kalian memaklumkan, “Sesungguhnya jika kalian bersyukur, pasti Kami akan menambahkan nikmat kepada kalian. Dan jika kalian mengingkari, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.

Sekali lagi, ia adalah sebuah kalimat yang terbuka. Allah kata jika kalian bersyukur, Aku tambah nikmat, tapi Allah tak kata jika kalian engkar, Aku akan seksa kalian. Allah sekadar mengingatkan, azab-Ku sangat pedih. Ia sebuah peringatan sebagai tanda kasih-Nya Dia kepada kita. Kita masih boleh bertaubat. masih boleh kembali bersyukur. masih boleh pulang ke pangkal jalan.

Ah. Maka tak perlu kau gusar jika kau pernah tersalah niat. Masih sempat diperbetulkan. Dulu masa saya belajar, roomate akan selalu ingatkan setiap kali saya nak pergi kelas, “Mas, hari ni dah perbaharui niat? Niat belajar kerana Allah je tau.” 

:) Sebab kita manusia. Banyak dosa. Kita bukan maksum, hari-hari kita pasti ada tersalah langkah, tersalah niat. Maka hari-harilah kita perlu perbaharui niat. Baru lebih terasa segarnya hidup bertuhan!

Dan kita — yang konon-konon baik ni, jangan gemar menghukum. Apa pun niat orang untuk berubah, kita jangan marah. Sekurang-kurangnya dia mahu berubah. Bimbinglah agar niatnya kembali berpasak hanya untuk Allah dan Rasul-Nya.

Dan kau yang ingin berhijrah — apa pun manusia kata untuk menarik kau jatuh, apa pun manusia ingin ajak kau gaduh dengan dalil-dalil keras mereka walhal kau juga ada dalil kau sendiri yang kukuh dan kau percaya, maka teruskan berjalan, senyum dan kata :

Mujurlah, sungguh mujurlah Allahku tak pernah memaksa!

~Dan mungkin ikhlas itu ibarat emas,
Berharga setelah melalui panas,
Dibakar sehingga kerak dakinya terlepas,
Hingga kilaunya bertukar jelas,
Walau mulanya ia terseksa lemas~

Salam cinta, kerana Allah :)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .