"Aaa"
Kapal terbang terhuyung-hayang. Sekejap-sekejap ke bawah, sekejap-sekejap menyenget ke kiri, sekejap-sekejap ke kanan. Angin tidak elok, di luar sana hujan turun lebat.
Saya memeluk tubuh. Mata memandang keluar tingkap, melihat pemandangan yang memutih, terlihat kipas di sayap kapal terbang berputar laju. Saya menarik nafas dalam.
"Tak takut ke?" Satu suara menegur, saya menoleh ke kiri. Senyum sambil menggeleng sedikit.
"Tak.." Balas saya perlahan.
"Oh dah biasa eh?"
Saya senyum lagi, jawapannya tidak berbalas. Hakikatnya saya sendiri tiada jawapan bagi persoalan itu.
Entah mungkin kerana biasa, atau mungkin kerana percaya pada Pilot yang sedang bertugas -- saya tidak tahu.
Entah kerana tahu kematian boleh berlaku di mana sahaja atau kerana badan terlalu letih -- saya tidak tahu.
Entah kenapa tidak timbul rasa gerun -- saya sungguh tidak tahu.
Namun hati saya cenderung pada jawapan percaya pada Pilot yang memandu, seperti mana dalam kehidupan ini kita dipandu oleh Allah Yang Maha Tahu.
Hidup ini biasalah --
Terkadang jatuh, terkadang keadaan diri tidak menentu, terkadang ke bawah, terkadang di atas, terkadang menyenget tak tentu hala.
Mula-mula mungkin rasa takut, rasa sedih nak meraung. Tapi lama-lama bila dah biasa, kita jadi tak hairan. Bukan berlagak diri sendiri kuat, tapi jauh di sudut hati kita sudah mula tumbuh rasa percaya --
Percaya pada Tuhan yang selalu membantu. Waktu kita jatuh, Dia yang bantu kita bangkit semula. Waktu kita sedih, dia yang memberi khabar bahagia.
Cuma Dia -- yang tahu segalanya. Yang ada waktu kita susah dan senang. Cuma Dia.
Lalu umpama seorang bayi, walau apa pun jua yang diperlakukan ke atasnya. Dia tetap redha, tak membantah, tak mempersoalkan apa. Meski dilambung tinggi, tetap sahaja tertawa kerana percaya pasti ada tangan yang menyambutnya.
Hingga satu saat yang mendamaikan, bila kita ditimpa ujian, kita mampu mengangkat tangan dan berdoa -- Tuhan, sungguh aku tidak mengerti, cuma aku mohon damaikan hatiku dengan setiap ketentuanMu. Kerana Engkau Yang Maha Tahu, setiap baik buruknya, apa adanya.
"Ladies and gentleman.. We have safely arrived in...."
Pengumuman itu bergema mengisi seluruh ruang pesawat. Alhamdulillah, pesawat selamat tiba di destinasi, walau melalui detik-detik yang menggerunkan.
Sekali lagi, saya tersenyum sendiri.
Sungguh -- percaya itu indah, ia mendamaikan hati, mententeramkan jiwa yang bergelora, memujuk akal agar tidak memikirkan yang tidak-tidak. Percaya, hingga akhirnya sampai ke destinasi.
Moga-moga percaya yang tumbuh kepada Rabb Yang Mencipta lebih lagi mendamaikan jiwa --
Hinggalah kita sampai ke destinasi yang dicita --
Akhirat sana.
Salam cinta :)
No comments:
Post a Comment