Tempoh hari, sepupu saya ditahan di hospital kerana kemalangan. Lalu dalam masa yang terbatas, saya berkejaran ke hospital usai tamat waktu kerja diiringi seorang sepupu cilik berusia 7 tahun. Namanya Adam.
Dalam perjalanan menuju ke wad, hati saya berdegup kencang, Adam sudah begitu teruja untuk menziarahi sepupu kami yang sakit, tetapi Adam adalah anak kecil yang dilarang memasuki kawasan wad pesakit.
"Cik, cik" kedengaran pengawal bertugas memanggil saya,
Saya menoleh "ya?" Senyum.
"Cik, budak kecik tak boleh naik atas"
Saya angguk, mengerti. Lantas mendail nombor telefon sepupu yang sedia ada di wad untuk turun menjaga Adam, agar saya dapat pula berziarah.
Tapi saya perasan sesuatu. Wajah Adam bertukar kelat, dia mula agresif, seolah matanya menyimpn seribu macam kesedihan.
Perlahan, saya memeluk tubuhnya. "Adam, tau tak kenapa adam tak boleh naik atas?"
Saya bertanya sekadar ingin menguji. Adam geleng. "Kenapa kak wawa boleh?" Rajuknya lagi.
Otak saya ligat berfikir bagaimana mahu menerangkan segalanya pada anak sekecil Adam. "Kat atas tu, banyakkkk kuman. Adam kecik lagi, nanti kuman senang nak lekat kat Adam, nanti Adam sakit."
"Habis kuman tu tak lekat kat kak wawa ke?"
"Kak wawa dah besar, badan kak wawa dah kuat nak lawan kuman, Adam kecik lagi, tak kuat lagi nak lawan kuman."
Adam mengangguk. "Ohhh nanti bila Adam dah besar baru Adam boleh tumbuk tumbuk tumbuk kuman kan kak wawa?"
Saya tersengih. Er, saya kira dia mengerti. Dia akur menunggu di bawah. Alhamdulillah.
Saya kira, diplomasi dalam kehidupan harian adalah penting, anak kecil akan belajar daripada orang dewasa. Bertumbuk, bergaduh, suka viralkan perkara yang tidak pasti dan sebagainya, atau berbincang, bertanya dan selesaikan segalanya secara baik terpulang pada kita.
Terkadang saya tertanya sendiri, apa yang manusia dapat dengan perkara buruk semua? Puaskah hati yang membara? Selesaikah masalah yang menerpa?
Entah. Ironinya, ramai antara kita yang setuju bila dikatakan "kalau tak belajar betul-betul ilmu Agama, jangan sewenangnya berhujah itu ini."
Tapi, bagaimana dengan ilmu yang lainnya? Tidak apakah orang yang bukan dalam bidang ilmu itu komen secara berlebihan malah meminggirkan segala ulasan orang yang memang dalam bidangnya?
Kita mungkin lupa pada satu pesan Allah --
“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)
Tetaplah dalam bidangmu. Bertanyalah pada yang tahu. Berbincang jika perlu. Mungkin sahaja kau tidak tahu -- dengan berkata 'maaf aku tidak tahu' juga merupakan salah satu cabang ilmu.
Berhentilah viral yang tidak-tidak. Orang yang kau viralkan juga punya jiwa...
Dan punya keluarga.
***
"Adam good boy eh?" Saya berkata seraya mendepangkan tangan merangkul si cilik itu. "Sebab adam good boy kak wawa belikan air"
"Yeayy. A ah adam good boy, adam tunggu sambil tengok fish je." Dia menyeringai sambil melompat-lompat gembira dapat beli air di vending machine.
Manusia, memang lumrahnya gemar dihargai. Belajarlah menghargai, sebelum segalanya terlewat dan tiada gunanya lagi menyesal di kemudian hari.
Salam cinta :)
No comments:
Post a Comment