Indahnya cinta itu,
Jika cinta itu cintakan Allah...
Buku Travelog Dakwah Meniti Hari Esok karangan Muhd Kamil Ibrahim ana tutup. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, titis-titis air jernih yang kian bertakung di kelopak mata elok dikesat. Sungguh, cerita-cerita di dalamnya menyentuh hari ana,hati ana yang amat merindui suasana itu... suasana yang diselubungi dengan iman dan amal....
Ana rindu DIA
Alarm handphone ana berbunyi nyaring pada pukul 5.15 pagi, siap disertai dengan kata-kata 'SAYANG ALLAH!'Ana yang masih dalam keadaan separa sedar mentup jam dan kembali lena.. Allah.. Allah... ana merinduiNya...
Entah mengapa, lewat kebelakangan ini, susah benar untuk bangkit di penghujung malam untuk bertemu dengan kekasih nan satu itu. Entah, sedih, benar-benar sedih... Dahulu, ketika masih menuntut di KUIS, badan terasa ringan, ana bangun tanpa disuruh, terkadang bangun tanpa perlu untuk 'set' alarm. Ana buntu..
Adakah badan ana letih? Adakah hati ana sakit? atau adakah suasana mempengaruhi ana? Sudah beberapa kali kejadian itu berlaku.. Terkadang bunyi alarm sendiri pun ana tidak dengar. Mencari punca bagi kelemahan nan satu itu bukanlah satu perkara yang mudah.
"Tolong ye, kejut ana kalau enti bangun tahajud nanti" Pernah, ya pernah juga ana berpesan pada teman agar mengejutkan ana untuk sama-sama bertahajud, namun malangnya ana hanya terjaga ketika azan subuh berkumandang. Jiwa terasa lemah, badan terasa longlai.
Allah..
Keenakan bertahajud
Bangun pada penghujung malam dan bermunajat bukanlah sesuatu yang leceh dan menyusahkan, bahkan ia merupakan satu nikmat yang tidak terhingga. Nikmat bagi seorang hamba yang terasa hampir dengan pencipta...
Di penghujung malam itulah hati merintih, jiwa merayu, air mata menderu... dan rindu pun terurai. Diri terasa kerdil dan hina, satu perasaan yang cukup indah, yang membawa diri semakin hampir dengan pencipta. Pada ketika itu, mintalah.. mintalah apa sahaja kepada Allah, insyaAllah tidak akan dikecewakanNya.
Pada sepertiga malam,Allah turun turun ke langit dunia seraya berkata: “Adakah orang yang meminta ampun? Adakah orang yang bertaubat? Adakah orang yang meminta? Adakah orang yang berdo’a?” hingga terbit fajar. (HR. Muslim)
"Ala, enti ana takutlah, nanti ana mengantuk pula sebab tak cukup tidur"
Allah... Allah itu tidak zalim wahai saudara-saudaraku sekalian, masakan sesuatu yang baik itu akan merosakkan kehidupan anda.
Ana pernah mengalaminya ketika dahulu, alhamdulillah ana akan bangkit setiap malam untuk menunaikan tahajud dan kemudiannya, Atas keizinanNya, Allah beri secebis rasa gentar lantaran takut tidak lulus dalam peperiksaan. Tapi, ketika keputusan diambil, hati ana sebak.. sayu... kerana Allah telah membalas penat lelah ana dengan memberi pointer 3.85 pada semester itu.
Subhanallah! Allah itu baik bukan?
Tahajud pengubat hati nan lara
Jika hati kita sakit, maka tahajudlah pengubatnya.
Jika hati kita letih, maka tahajudlah pengubatnya.
Jika hati kita malas, maka tahajudlah pengubatnya.
Umpama set bijiran sihat, dalam tahajud mengandungi 'pelbagai vitamin' untuk menyihatkan hati. Jika hati sihat, maka badan pun sihat. Jika hati sakit, badan terasa lemah dan tidak berdaya.
Lantas, diri mudah menjadi berputus asa dan memandang segalanya pada sudut negatif. Nikmatnya bertahajud, sama seperti merasai nikmatnya kemanisan Iman. Jangan dilupa bahawa tahajud juga menjadi PENGUAT hati tatkala lemah. Menjadi PENGUAT diri tatkala lesu.
Jika tidak, masakan Nabi dan sahabat-sahabat dahulu mampu bertahan, biarpun dicemuh, biarpun dihina, biarpun dianggap asing. Mereka rajin bangkit di sepertiga malam, sebengis-bengis UMAR AL-KHATAB, dia menangis tatkala mengadu pada Allah di sepertiga malam.
Mereka lakukan tahajud. Tahajud menghampirkan diri kepada Allah.
Beruntunglah bagi sesiapa sahaja yang berjaya dalam pencarian cinta itu, mencari secebis cinta di penghujung malam, dan merugilah bagi sesiapa yang mengabaikan keistimewaan itu lantaran duniawi ini tiada selamanya....
Doakan ana agar berjaya mencicip kembali nikmat itu!
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya, di bawah mereka mengalir sungai-sungai di dalam syurga yang penuh kenikmatan. (Surah Yunus : 9)
Wallahu'alam.
Dunia terasa indah biarpun diri disisih,
Hati berasa senang biarpun diri dihina,
Kerana diri ada Allah,
Bukankah indah hidup bersama Ilahi?
Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)
Wednesday, November 18, 2009
Nikmatnya Bercinta.
Labels:
Cerita Hati,
Secebis Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment