Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, April 26, 2010

Manusia dan Hatinya



"Wa.. cuba rasa air ni." kakak ana menolak gelasnya ke arah ana mengharapkan ana merasa air yang dipesannya di R&R itu.

"Ha?" Ana terpinga-pinga. "Manis sangat ke?"

Kakak ana tersenyum, menggeleng. "Rasalah."

Tangan ana mencapai gelas berisi air itu, mendekatkannya sedikit dengan ana. Ana tercari-cari sesuatu.

"Mana strawnya?"

Air Tanpa Straw


Air itu umpama kita, dan straw pula umpama hati. Tanpa straw, ana sedikit ralat kerana sudah biasa minum air sejuk menggunakan straw, kecuali ketika berada di rumah.

Sebelum disuruh merasa air itu, ana tidak sedar akan ketiadaan strawnya.

Begitu jugalah kita dan jasad. Jika kita tidak kenal pada diri kita sendiri, masakan mungkin kita sedar akan ketiadaan hati. Manusia yang berjalan dan hidup tanpa hati tidak akan sedar pada kemaksiatan yang dilakukan.

Malah, tidak akan bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah, Tuhan semesta alam. Malah, tidak tahu apakah makna cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah. Manusia tanpa hati, tidak mahu mencari malah sering mementingkan diri.

Perjalanan Itu



Feri itu terumbang-ambing di lautan yang luas terbentang. Menunggu detik jam 9 pagi untuk bergerak ke destinasi.

Ana sedikit pening, mabuk laut. Tapi sungguh, melihat ciptaan-Nya yang sungguh indah dan patuh kepada-Nya membuatkan hati ana tunduk dan berazam percutian ini biarlah percutian seorang manusia bersama hatinya.

Enjin mula dihidupkan, feri mula bergerak.

"Kak Mas, jom naik atas." Hazim mengajak. Matanya penuh mengharap.

"Best ke kat atas?"

"Best, banyak angin." Hazim masih tidak putus asa mengajak.

Kaki ana menuruti langkahan Hazim, naik tangga untuk ke tingkat 2 feri yang bergerak ke Tanjung Pinang itu.

Subhanallah! Tiada kata yang lebih indah melainkan pujian kepada-Nya semata. Air laut yang tenang berkocak, biru warnanya membuatkan hati ana sebak. Angin yang bertiup menggetarkan hati

Kepala didongakkan ke atas, memandang indah langit yang berdiri tanpa tiang. Mata ana menangkap kelibat kapal terbang yang membelah awan. Subhanallah, subhanallah.

Banyak sungguh nikmatnya yang diberi percuma. Tiada bayaran.

Tanjung Pinang Menggamit Rasa


"Kak Mas, tengok tu.." Jari telunjuk Hazim menunjuk ke arah laut yang berbeza warnanya.

"Kenapa ada dua warna?" Ana bertanya. Jujur, tidak tahu.

Biru pekat dan biru cair

"Sebab yang warna biru pekat tu ada banyak karang." Hazim menjelaskan ilmu itu, satu ilmu yang diperoleh hasil keramahannya dengan insan sekeliling.

Hati ana mula bergetar, kagum dengan Allah yang mencipta semua itu. Laut yang berbeza warnanya, memudahkan kapal untuk bergerak. Yang biru pekat itu, banyak karang. Cetek. Kapal tidak boleh lalu.

Subhanallah... Nikmat Tuhan yang mana lagikah yang kita dustakan?

Ketika kami melawat istana peninggalan sultan di Pulau Penyengat, kekuasaan Allah terserlah lagi. Seorang sultan yang gemar mencipta gurindam nasihat, seorang sultan yang adil sudah tentu akan dikasihi oleh makhluk di dunia dan di langit sana.

Di bawah istana itu terdapat satu perigi yang sangat hampir dengan laut. Perigi yang dibuat menghadap kiblat oleh sultan itu tiada langsung rasa masin, airnya telah dikaji oleh pelbagai pakar namun tiada bakteria yang ditemui. Ia selamat diminum tanpa perlu dimasak. Malah, airnya tidak pernah kering walaupun musim kemarau tiba.

Perigi

Subhanallah! Allah telah menunjukkan pelbagai kekuasaannya yang mampu dilihat oleh mereka yang menyedari..

Oleh mereka yang memiliki hati...

Pasar


Ana melihat jubah itu, cantik warna nya. Lembut. Coraknya ringkas sahaja.

"Kak, nak tengok jubah tu." Pantas, mulut ana bergerak, mengeluarkan suara meminta agar jubah yang dipakaikan pada patung itu di bawa hampir ke arah ana.

Akak itu tersenyum, mengambil 'penyangkut' dan mengambil jubah yang tergantung itu.

"Mak.. Kenapa wawa beli jubah tu?" Hazim berbisik kepada umi tercinta, namun masih kedengaran suaranya.

"Kenapa?" Ibunda hairan.

"Kan menampakkan bentuk tubuh tu." Serius wajah Hazim menuturkan kata-kata itu.

Ana tergelak, memandangnya penuh kasih. "Hazim.. dia pin baju tu ke belakang la, sebab tula nampak 'bentuk tubuh' patung tu."

Hazim tersengih-sengih. Matanya memandang ke arah lain. Mungkin malu kerana ana terdengar bisikannya.

Semoga jadi insan soleh dan muslih ye Hazim

Namun, kata-kata itu sebenarnya meninggalkan kesan ke dalam hati ana. Zaman ini, ketika ini, tidak ramai insan yang sensitif pada isu pakaian. Asalkan panjang lengannya sudah dikira okey meski pun baju ketat dan sendat.

Bapa tidak kisah anaknya berpakaian begitu.
Wanita pula semakin ramai yang keliru tentang aurat.
Dunia semakin kacau bilau.

Ah! Rumitnya.

Manusia dan Allah


Antara aku dengan Allah adalah hal aku dengan Allah, kalian tiada hak menentukannya. Ujar mereka dengan penuh rasa pentingkan diri. Teguran demi teguran tegar diketepikan.

Allah memandang hati bukan fizikal, jangan menilai buku melalui kulitnya. Begitulah hujah yang diberi.

Apakah tandanya kita menyayangi seseorang andai kata-katanya tidak kita pedulikan?

Apakah tandanya kita menyayangi Allah andai syariat-Nya kita tinggalkan?

Syariat itu perlu dijaga. Allah tidak rugi andai kita mengengkarinya, bahkan perbuatan itu bakal membinasakan diri kita sendiri.

Manusia dan Air Tanpa Straw


"Akak, boleh minta straw?" Ana senyum, meminta sebatang straw dari kakak yang menjual air itu.

Straw dimasukkan ke dalam air dan ana menyedutnya.

Air itu sudah dilengkapi dengan straw.

Kita pula, adakah sudah dilengkapi dengan hati yang cintakan Allah dan Rasul-Nya?

Renung-renungkan, fikir-fikirkan...

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (Al-Imran : 144)


Wallahu'alam

8 comments:

Anonymous said...

salam..
ana ske ayt ni " percutian seorang mnusia bersama hatinya" i likeee hehe =))

-chy mlmku-

Mastura MY said...

hehe..

=) rindu kamu

Anonymous said...

hehe..rindu ape tu?
rindu nk cubit org ke rndu nk sakat org? haaa ;))

-chy mlmku-

Mastura MY said...

em..kalau pilih kedua-duanya sekali, bole? ;)

cahaya hati said...

Manusia dan hati...
Manusia yang hatinya sihat...pasti gembira dengan hati yang dimiliki..
macam mana pulak manusia dan hati yang ditimpa penyakit??

Mastura MY said...

cahaya hati

manusia yang hatinya ditimpa penyakit berasa berat dengan ibadat.. berasa susah dengan kebaikan malah sering leka dengan kelalaian dan kemaksiatan...

hati itu umpama sehelai kertas, andai 1 kertas yang bersih, diconteng sedikit pun pasti kelihatan contengannya.. tetapi jika kertas yang sememangnya telah dikotori, contengan yang baru dibuat akan sukar dilihat..

begitulah hati... contengan itu pula kemaksiatan. Mari kita bersihkan hati dengan zikrullah...

insyaAllah..

MiftahusSyifa' said...

subhanallah..entry yg sgt bermanfaat buat semua~~ahsanti ya ukht mastura^^
...salam ziarah juga...

[::anamiftahussyifa'::]

Mastura MY said...

alhamdulillah, moga mendapat manfaat bersama..
syukran atas ziarahnya =)

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .