“Subhanallah, walhamdulillah..” Imam itu khusyuk berzikir.
Mata ana tidak semena-mena terpandang ke bawah, satu sudut di tempat muslimin. Bukan kerana tertarik dengan sesiapa, tetapi ana tertarik kepada satu insiden.
Satu insiden yang benar-benar meruntun jiwa, juga mampu mengingatkan mereka yang hatinya dekat kepada Allah..
Bersungguh
Seorang mahasiswa yang tidak mampu berjalan, dan ana menjangka dia salah seorang yang menaiki kerusi roda, berusaha masuk ke masjid.
Dia tidak mampu bangun dan berjalan, tapi masih berusaha.
Saat dirinya tiba di sof solat lelaki, imam telah pun memberi salam. Ana tidak pasti apakah dirinya kecewa, tapi dia masih mencuba untuk bangun. Matanya melihat seorang muslimin yang menjadi makmum masbuk sebentar tadi.
Dia bangkit, berjalan menggunakan lututnya, duduk sebentar. Bangun lagi, tangannya ditinggikan, berusaha sedaya mungkin menyentuh bahu muslimin yang dilihatnya sebentar tadi sebagai tanda ingin berjemaah.
Kemudian, dia duduk kembali, memulakan solatnya.
Entah kenapa, ana benar-benar tersentuh. Ditambah lagi dengan alunan zikir imam yang mendayu. Tidak semena-mena bertakung air jernih di kelopak mata ana.
Ya Allah... Betapa ana malu kepada hambaMu yang bersungguh itu.
Betapa seorang ‘dia’ bersungguh-sungguh dalam menunaikan solat. Ana pasti dia sedar ganjaran untuk solat berjemaah adalah berganda-ganda nilainya berbanding solat bersendirian.
Kita Bagaimana
“Allah hu Akbar... Allah hu Akbar!” Suara bilal lantang kedengaran dari corong speaker masjid.
Tapi kita masih lagi leka berbual, leka menghadap komputer, leka dengan tidur yang semuanya bisa menggelapkan hati. Ya, melengah-lengahkan solat merupakan satu gambaran bahawa di dalam hati tidak ada lagi rasa rindu untuk bertemu Ilahi.
Mengapa begitu?
Seorang suami yang berjauhan dengan isterinya dan hanya dapat berjumpa seminggu sekali sahaja pasti akan mekar perasaan rindu di dalam hati. Tak sabar ingin berjumpa, Bila berjumpa dan tiba saat untuk berjauhan kembali, pasti merasa sedih dan tidak sabar menghitung hari untuk bertemu lagi dengan isterinya.
“Saya sayang Allah.”
“Saya cinta Allah.”
“Allah adalah segala-galanya bagi saya.”
“Cinta Allah dahulu, baru datang cinta kepada manusia.”
Nah! Mulut-mulut kita enak berbicara akan cinta yang Agung itu. Tapi sayang kerana hati dan perbuatan tidak membenarkan lisan yang berbicara.
Mari muhasabah sebentar..
Benarkah kita cinta Allah andai solat mampu dilengah-lengahkan?
Benarkah Allah adalah segala-galanya bila waktu solat tidak langsung dinanti?
Benarkah kita sayang Allah jika tidak mahu melakukan ibadat yang terbaik demi-Nya semata?
Ana bertambah sedih, apabila tibanya hari Jumaat dan melihat para pemuda yang seharusnya duduk di dalam masjid hanya berkeliaran di tangga-tangga masjid, duduk secara berkumpulan dan bersembang entah apa, tanpa menghiraukan imam yang sedang memberi khutbah. Imam yang memberi ilmu itu ibarat seorang guru, sedangkan imam syafie yang tinggi ilmunya masih sangat menghormati semua gurunya, siapa pula kita yang tegar berlaku kurang ajar terhadap insan mulia itu??
Ana bertambah sedih apabila melihat solat berjemaah tidak lagi menjadi satu kemanisan bahkan menjadi satu perkara yang dianggap menyusahkan. Secara saintifiknya, solat berjemaah mampu menstabilkan kembali ion di dalam badan kerana ion-ion mereka yang berjemaah akan keluar sewaktu berdiri rapat di dalam sof, dan menstabilkan kembali ion-ion yang terlebih dan terkurang.
Hebat bukan Allah? Bukan sahaja pahala diberi, malah kebaikan yang lain juga turut mengiringi.
Benar bukan.. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya, bahkan hambaNya yang selalu menzalimi diri mereka sendiri.
Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran? (Al-Qamar : 22)
Mari Menjadi Hamba
Mungkin kita terlupa pada satu hakikat yang nyata. Kita ini pada satu ketika dahulu dicipta dari setitis air yang hina, yang bila terkena pakaian kita basuh.
Mungkin kita lupa, pada satu ketika dahulu, kita ini dilahirkan suci tanpa dosa, semakin meningkat dewasa, semakin mata kita terbuka melihat keindahan dunia yang menipu, kita semakin terlupa siapa kita, siapa diri kita di hadapan Allah Yang Esa!
Kita terlupa... Bila susah, kita cari Allah, bila kita senang... Kita kembali kepada kemaksiatan. Kemudian Allah tegur dengan sedikit kesusahan, kita mengamuk dan menyalahkan Allah.
Sedangkan, Allah menegur tanda sayang, supaya kita U-turn ke jalan yang benar, satu jalan yang diredhaiNya.
Tapi sahabat.. sombongnya kita. Angkuhnya kita.. Kita merasa kita hebat, kita rasa kita cukup bagus tanpa sedar semuanya dari Allah. Matamu, mulutmu, telingamu, hartamu.. Semuanya dari Allah!
Kita ini hanyalah seorang hamba. Seorang hamba harus sentiasa mencari redha tuanNya. Tapi kita sering alpa, kita sering terlupa. Tapi baiknya Allah yang tidak putus-putus memberikan nikmat kepada kita.
Marilah menjadi hamba yang kenal penciptanya.. Marilah memiliki hati yang cinta kepada tuhannya. Marilah memiliki mata yang sentiasa basah mengenangkan dosa....
Bersungguhkah Kita Terhadap Allah
Lelaki berkerusi roda itu masih menggerakkan kerusi rodanya, menuju ke arah masjid, tanpa menghiraukan setiap mata memandangnya.
Dia masih tersenyum, satu senyuman yang redha dengan ujian...
Mengingatkan ana pada kelemahan diri, yang sering merungut ditimpa musibah.
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 71)
Wallahu'alam
Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)
Friday, June 25, 2010
Bersungguhkah Kita Terhadap Allah?
Labels:
Secebis Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment