“Akak…” Panggilnya seraya membuka telekung. Ana yang sedang melayari internet menoleh ke arahnya. Wajah manis satu tubuh yang masih berteleku di atas sejadah ana tatap penuh kasih.
“Ya?” Senyum.
Tapi, senyuman ana tidak berbalas, wajahnya berkerut seolah-olah mempunyai permasalahan di jiwa. Ya, masalah. Ana pasti itu.
“Akak.. kalau kita tak salah, kita kena minta maaf ke?”
Minta maaf, salahkah?
Ana tersenyum dan menggeleng. Wajah tulus itu ana tatap lagi, penuh sayang. Satu nafas yang dalam ditarik, berfikir untuk menyusun kata.
“Em.. Dalam Islam, orang yang meminta maaf tulah orang yang menang.” Akhirnya, ana bersuara.
Kedua-dua keningnya berkerut, seolah-olah ingin bercantum, “Tak fahamlah kak. Kenapa macam tu pula?”
“Macam ni.. bila kita minta maaf, dalam masa yang sama, kita menurunkan ego kita. Bila kita dah berjaya turunkan ego, bermakna kita dah berjaya lawan nafsu. Bila kita berjaya melawan nafsu, bermakna kita lah yang menang.”
Panjang lebar penjelasan ana, kali ini dia mengangguk.
“Tapi kak.. Kenapa ada orang cakap kalau dia yang salah, biarlah dia yang minta maaf?”
“Em.. Tu cakap orang yang tak faham Islam.”
“Oh..” Dia mengangguk, bangun, melipat sejadah dan telekungnya. Perbualan terhenti. Namun ana kembali terfikir, mengimbau kembali peribadi mulia Rasululullah s.a.w yang sentiasa memaafkan umatnya.
Kisah Rasulullah
Mari kita hayati salah satu daripada kisah manusia agung ini…
Satu hari, Rasulullah pulang lewat ke rumah kerana mempunyai urusan. Isterinya, Aishah sudah tidur. Tanpa niat mahu mengejutkan Aishah, Rasulullah membentang alas di hadapan pintu rumah baginda dan tidur di luar. Keesokan harinya, Aishah melihat Rasulullah tidur di luar rumah, puas Aishah meminta maaf, tetapi Rasulullah membalas, “Tak apa, saya minta maaf kerana pulang lewat.”
Bayangkan situasi kita di tempat baginda. Adakah kita akan meminta maaf andai kita pulang ke rumah kerana mempunyai urusan dan akhirnya perlu tidur di luar rumah? Ana pasti, ramai yang akan berkata.
“Saya penat, ada kerja, perlu pula tidur di luar rumah. Kenapa saya yang perlu minta maaf?”
Sering juga ana terdengar perkataan maaf yang begini, “Aku minta maaf, aku dah minta maaf, kau tak nak maafkan tu urusan kau lah dengan Tuhan.”
Aduh! Satu ayat yang mampu menambah dosa, menambah sakit hati insan lain malah memaparkan satu ketidakikhlasan dalam perkataan maaf itu sendiri. Meminta maaf, biarlah dengan kata-kata yang mampu menyejukkan hati.
Dewasa ini, manusia sering tewas dengan nafsu, berbanga dengan ego yang menggunung tinggi tanpa sedar semua itu adalah agenda syaitan dalam merosakkan hati. Apabila kita tidak mahu meminta maaf, ummah akan berpecah-belah. Itulah kegembiraan syaitan laknatullah!
Maafkanlah…
Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun. (Al-Baqarah : 263)
Jika kita ego dan tidak mahu meminta maaf, apabila datang seseorang meminta maaf, jangan pula kita berkata; “Ah! Aku taknak maafkan kau, biar kau rasa!”
Di mana akhlak kita sebagai seorang Islam? Di mana dia diri seorang muslim yang mahu mencontohi akhlak Rasulullah? Di mana dia seorang manusia yang menumpang di sebalik sifat penyayang dan pemaaf Allah s.w.t?
Hadirkan sedikit sifat malu dalam diri… Sedangkan manusia Agung, Rasulullah s.a.w bisa mengampunkan umatnya, sedangkan Allah s.w.t selalu suka mengampunkan hambaNya.. Siapa pula kita untuk tidak memaafkan?
Maafkanlah… Nescaya hatimu menjadi tenang.
Buangkan Ego
“Akak” Suara itu memanggil lagi. Ana menoleh ke arahnya. Wajah seriusnya ana tatap lama.
“Ya?”
“Kita dah minta maaf dah tadi dengan dia…”
“Lepas tu?”
“Dia buat tak tau je..”
Diam. Wajah suramnya menceritakan gelodak di hatinya.
“Rindu ke kat dia?” Ana bertanya walaupun sudah pasti akan jawapannya. Teman baik suatu ketika dahulu, masakan tidak punya perasaan rindu.
“Rindu kak.. kita sayang dia, memang nak jadikan dia kawan baik kita. Kenapa jadi macam ni?”
Dia termenung jauh..
Bersabarlah adikku… Allah sedang menguji ketahanan jiwamu, kecekalan hatimu dan keikhlasan dirimu dalam bersahabat..
Bersabarlah dan maafkanlah..
Wallahu’alam
Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)
Saturday, June 12, 2010
Maafkanlah...
Labels:
Secebis Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
"Bersabarlah adikku… Allah sedang menguji ketahanan jiwamu, kecekalan hatimu dan keikhlasan dirimu dalam bersahabat..
Bersabarlah dan maafkanlah"..
Subhanallah.Suka ayt tu sgt2. terkesan dlm hati. :)
-chy mlmku-
Post a Comment