Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, July 31, 2010

Antara Dua Jalan


“Nak lalu jalan mana ni?” Ana dan sahibah berhenti di permulaan jalan yang berpecah kepada dua bahagian.

Kepala ligat berfikir, yang mana satu jalan yang dekat untuk tiba ke destinasi. Manusia yang berpusu-pusu menempuh jalan tidak kami hiraukan.

“Er, yang mana dekat eh?” Ana bertanya.

“Ikut Mas lah.” Sahibah menjawab.

Masa semakin suntuk. Kita sudah tidak ada masa untuk buang masa. Kami akan lewat ke kelas jika kami terus berdiri di situ tanpa ada keputusan yang nyata.

“Em, Ikut kananlah.” Akhirnya ana bersuara. Jalan dipilih, menuju ke destinasi itu –kelas.

Hidup Ini


Situasi yang ana lalui itu sebenarnya adalah satu situasi sebenar dalam kehidupan ini. Memilih antara dua jalan – Hitam dan Putih benar-benar sesuatu yang sukar jika hidup kita tidak berpaksikan iman, jika taqwa bukan lagi penyeri jiwa, jika Allah tidak lagi diletakkan di tempat yang utama.

“Ahh!! Stresnya!”

Satu ayat yang mungkin sama, yang terlahir dari dua insan yang berbeza, sudah pasti natijahnya adalah tidak serupa. Insan pertama mungkin akan menyesakkan hati dan jiwa dengan hiburan yang sementara. Dia sangka dia gembira. Bersosial, berdusta, bergaul dengan ahli maksiat... Hakikatnya, hatinya kekosongan, imannya derita, jiwanya mencari secebis taqwa.. Batin meronta, menjerit minta difahami agar carilah Allah – cinta yang kekal abadi.

Satu insan yang lain yang juga mengalami masalah yang sama, bertafakur, berserah diri kepada Allah, berlapang dada dan semakin dekat dengan Allah.. Hati dirasakan tenang, iman dirasakan subur. Benarlah ;


Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra’d :28)


Sahabat, mari kita merenung ke dalam diri... Ana pasti tidak ada satu orang pun yang tidak punya masalah sendiri. Tapi, bagaimana kita menghadapi masalah itu, dengan jalan yang baik atau tidak.

“Ahhhhhhhh”

Mereka menjerit di sana sini. Situasi semakin hampir dengan peperiksaan membuatkan ramai pelajar stres. Menjerit sana sini, seolah-olah mampu melepaskan tekanan di dalam diri.

Dusta! Itu semua dusta.

Menjerit di sana sini itu memanggil syaitan. Cuba duduk dan bertafakur. Duduk dan beriman sebentar. Lazimkan zikrullah, kerana itulah asbab penenang hati yang sebenar...

Antara Hitam dan Putih


Jika ana bertanya, antara dua jalan, yang gelap dan yang terang, yang mana satu akan dipilih untuk dilalui?

Ana pasti- ramai yang memilih jalan yang terang. Siapa yang mahu melalui jalan yang gelap dan tidak tentu selamat.? Begitulah kehidupan...

Kita sering diberi pilihan untuk memilih jalan yang gelap atau yang terang. Manusia yang celik hatinya akan mampu melihat sudut-sudut terang sesuatu jalan dan seterusnya meneruskan langkah dengan tegar dan selamat.

Tetapi... Manusia yang buta hatinya, tidak mampu membezakan jalan yang terang dan jalan yang gelap. Yang terang itu dirasakan gelap, yang gelap itu dirasakan terang. Ingatlah peringatan Allah ;

Dan barangsiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, niscaya di akhirat (nanti) ia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (Al-Israa :72)


Bagaimana hati boleh menjadi buta?

Maksiat itu adalah kegelapan ; cuba bayangkan sebuah cermin di hadapan kita. Andai cermin itu bersih dan jernih, kita akan dapat melihat wajah kita dengan mudah, “Eh ada jerawatlah.” Lantas kita cepat-cepat pakai krim itu dan ini untuk membersihkan jerawat. Tapi cuba bayangkan… Andai cermin yang digunakan itu kelam dan gelap, jangan kata jerawat bahkan mungkin wajah kita pn samar-samar sahaja kita nampak.

Begitulah hati.... Andai hati itu jernih dan bersih, kita akan dapat merasa andai ada ‘jerawat’ yang hinggap di dalam hati, lantas kita akan bersihkan dengan zikrullah dan ibadat yang lain. Tapi andai kita biarkan satu demi satu ‘jerawat’ hinggap tanpa ada proses pembersihan... Lama kelamaan, kita tidak akan dapat merasa ‘kekotoran’ yang ada. Kita sudah biasa dengan semua itu. Maka, segala nasihat yang diberi pun menjadi susah untuk meresap ke dalam hati yang terhijab dengan segala kekotoran yang kita tidak mahu bersihkan.

Begitulah hati menjadi buta...

Sahabat sekalian... Ketahuilah, fitrahnya manusia itu suci dan bersih. Begitu juga dengan hati. Maka, andai hati merasa tidak tenang, gundah gulana, bermakna hati mahu pulang ke fitrahnya yang suci.. Bawalah ia... Bawalah hatimu kembali ke fitrahnya.....

Antara Dua Jalan


Allah tidak memaksa kita untuk mematuhiNya, bahkan Allah tidak akan berkurang atau bertambah sama ada kita mematuhiNya atau pun tidak. Hakikatnya, segala arahan dan perintah dari Allah merupakan tanda-tanda kasih sayangNya yang tidak berbelah bahagi.

Sama sahaja situasinya ketika kita melawan cakap ibu yang menasihati. Hakikatnya, arahan ibu itu adalah sebagai tanda kasih sayangnya kepada kita. Jangan main api. Jangan balik lewat. Semua itu baik untuk kita, tapi kita yang terlalu eg o untuk mengakuinya...

Allah mengurniakan akal untuk kita menilai, Dia kurniakan hati untuk kita meneliti. DikurniakanNya juga deria agar kita dapat merasa, yang mana satu yang benar dengan hakikat yang sebenar dan yang mana satu yang palsu serta menipu.

Antara dua jalan itu – murka atau redhaNya.. Kita berhak memilih. Mahu tinggal selesa di dunia yang sementara atau mahu tinggal selesa selamanya di syurga sana.

Pilihan di tangan kita. Lihatlah dunia dari jendela akhirat..

Ingat lah pada satu ayat di dalam kitab suci AL-Quran ;

Dia mengatakan: "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan (amal saleh) untuk hidupku ini". (AL-Fajr :24)


Semoga kita sahabat, bukanlah dari golongan yang berkata itu... Ameen!

Jangan gadaikan tawaran menjadi bidadari syurgaNya, semata-mata untuk menjadi bidadari dunia yang pasti akan pudar sinarnya...

Wallahu’alam :)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .