Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, July 6, 2010

Berpesan-Pesanlah


“Eh, makanan kau dah sampai.” Bicara salah seorang daripada adik-adik yang tinggal serumah bersama ana di KUIS tercinta ini, memanggil temannya untuk mengambil makanan yang ditempah.

“Nanti! Nanti! Aku nak solat dulu, kang mak aku marah tu.” Bicara yang lainnya sambil menjeling ke arah ana dan tersengih-sengih.

Ana tersenyum.

Teringat kembali kata-kata yang biasa ana lontarkan.

“Dah solat?”

“Belum.” Katanya sambil menghadap komputer.

“Em, kalau tengah buat assignment, lepas tu meninggal tak sempat solat macam mana?”
Dia tersengih-sengih.

“Kejap kak, lagi sikit je, lepas ni terus solat.”

“Akak jom makan!”

“Dah solat?”

“Belum.”

“Nanti kalau tengah makan, tercekik, meninggal tak sempat solat macam mana?”

“Yelah, yelah.” Dia tersengih memahami maksud ana.

Berpesan-pesanan


Sungguh, ana bukanlah seorang manusia yang sempurna bahkan ana mempunyai beribu kekurangan, dan memerlukan para sahibah untuk menegur dan membetulkan kesilapan ana.

Justeru, peranan seorang sahabat kepada sahabat yang lainnya adalah saling melengkapi, jika ada kekurangan, tutupilah, jika ada kecacatan, rawatlah.

Terkadang kita diuji dengan sahabat yang kurang memahami Islam, tetapi itu tidak bermakna kita harus meninggalkannya. Sebagai seorang khalifah yang telah diberi petunjuk dan hidayah dari Allah, kita harus membimbing sahabat kita, berpesan-pesan agar sama-sama menjadi manusia yang dikasihiNya.

Seorang sahabat yang membiar sahabatnya terus-terusan leka dengan dunia dan nafsu bukanlah sahabat dalam erti kata yang sebenar. Seorang sahabat, pasti tidak sanggup melihat sahabatnya yang lain berada dalam kemurkaan Allah, dan ingatlah! Andai kita tidak menegur, satu hari, di hari pengadilan yang seadil-adilnya, sahabat kita boleh mendakwa kita ;

“Aku dulu kawan dengan dia, tapi kenapa dia tak tegur pun aku?”


Mungkin akibat dari perbuatan kita yang ‘mementingkan diri’ di dunia bakal menjadi penghalang kita memasuki syurgaNya. Na’uzubillah..

Mendapat hidayah,dan menjadi baik hakikatnya adalah ujian juga buat kita. Adakah kita mahu menjadi baik seorang diri atau kita mahu orang lain menjadi baik juga agar sama-sama boleh berpimpin tangan memasuki syurgaNya..

Contohilah Rasulullah, saban waktu baginda berfikir bagaimana mahu semua manusia memasuki Islam dan bagaimana mahu membuat semua orang masuk syurga, sehingga ketika tidur pun baginda menangis. Subhanallah!

Nilai kembali diri kita, kita mampu tidur nyenyak sedangkan di luar sana kemungkaran bermaharajalela. Kita mampu tertawa riang sedang sahabat lemas dengan nafsu. Kita tegar menunaikan solat sedang sahabat masih di dalam lena yang panjang.

Siapa kita di hadapanNya?

Ibu Bapa


Ana bertambah sedih, apabila ibu bapa tidak memainkan peranannya.Peranan apa? Peranan menegur anak-anak, terutamanya tentang solat.

“Biarlah dia tidur, dia penat tu..” Ujar si Ibu yang baru sahaja menunaikan solat subuh sedang anaknya masih berdengkur.

Hakikatnya, ibu bapa yang tidak menegur anak-anak yang tidak mahu menunaikan solat bukanlah tanda sayang kepada mereka bahkan itu adalah tanda kebencian yang nyata!

“Mengapa begitu ukhti?”

Ibu bapa yang tidak mahu menegur anak-anak mereka, ibarat memimpin tangan-tangan anak-anak mereka menuju ke neraka. Melawan perintah Allah, apatah lagi pada urusan sepenting solat benar-benar mengundang kemurkaan Allah.

“Ala, dah besar takkan nak kena ingatkan lagi.”

Proses berpesan-pesanan, dan tegur-menrgur bukanlah satu proses yang perlu dilakukan hanya ketika anak-anak kecil bahkan perlu berterusan sehingga ke tiang lahad kerana manusia itu mudah lupa, manusia mudah lalai, itulah gunanya berpesan-pesanan.

Hakikatnya, anak-anak yang lebih gemar tidur dan melakukan perkara lain daripada menunaikan solat adalah hasil daripada anak-anak yang tidak dididik, ditegur dan diperingatkan semenjak kecil. Maka tebuslah kesilapan lalu dengan mengingatkan mereka saban waktu. Tegur mana yang salah, kerana mungkin kamu telah melakukan kesilapan suatu ketika dahulu..

Jangan nanti, kelak di padang mahsyar, anak-anak akan mencari ibu bapa yang tidak menegur mereka ;


“Ibu.. Ibu.. Kenapa ibu tidak menegur saya tidak menunaikan solat? Ayah.. Ayah.. Kenapa ayah tidak menyuruh saya agar menutup aurat? Ibu.. Ayah.. Mari, mari kita terjun ke dalam neraka yang panas membakar!”


Na’uzubillah...

Adik-Beradik


Mungkin ada di kalangan sahabat yang bertuah kerana diberi hidayah oleh Allah sedang seisi keluarga masih berada dalam kesesatan.

Galaslah amanah itu sahabat! Galaslah amanah yang diberi Allah itu! Tegurlah keluargamu di mana yang salah. Kuatkan hatimu, teguhkan aqidahmu.

Ana sedar, bukan mudah berdiri memegang syariat berseorangan tapi ingatlah Allah sentiasa bersama, tegurlah keluarga dengan cara yang paling berhikmah, ana pasti kalian yang lebih memahami sifat setiap ahli keluarga. Dalam masa yang sama, terus memantapkan iman kalian..

“Ana dah cuba ukhti, tapi susah.. Mereka tak mahu dengar cakap.”

Maka, tunjukkanlah qudwah hasanah (ikutan yang baik). Cakaplah dengan sopan, buatlah perkara-perkara kebaikan. Ana yakin, insyaAllah, suatu hari nanti hati mereka akan terbuka melihat kebaikan-kebaikan yang ditonjolkan.

Lihat sahaja bagaimana mulianya Akhlak Rasulullah s.a.w ketika menjalankan dakwah. Akhlak yang mempesona itulah yang banyak menawan hati-hati masyarakat Arab pada ketika itu untuk memeluk Islam kerana hakikatnya hati kita fitrahnya suci dan bersih dan suka kepada perkara-perkara kebaikan.

Jangan berputus asa, tugas dakwah itu bukanlah mengambil masa seminggu dua, bahkan mungkin bertahun-tahun lamanya. Andai sudah ditegur tapi masih tiada perubahan, ingatlah;

Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang (An-Nahl : 82)


Manusia hanyalah sebagai pemberi peringatan, sedang Allahlah yang memberi hidayah. Allah tidak melihat kepada keputusan, tetapi Allah melihat pada usaha yang kita lakukan untuk membawa mereka pulang ke pangkuanNya.

Berdoalah dan teruslah berdoa untuk mereka. Jangan nanti adik-beradik kita menarik kita ke dalam neraka,

“Adik..Adik.. Kenapa tak tegur akak dulu, kenapa biar akak lalai? Mari dik, mari kita bersama masuk ke neraka yang panas membakar!”


Na’uzubillah..

Semoga Kita Terus Bersama


“Akak!!” Suara adik serumah ana itu memanggil ana yang sedang khusyuk menghadap laptop.

“Kenapa?” Ana bertanya ringkas.

“Tengok ni.. Tengok dia ni nak meninggal sambil dengar earphone.” Ujarnya sambil menunjuk ke arah temannya yang sedang mendengar lagu menggunakan earphone dan masih belum menunaikan solat Asar.

Ana tersenyum. Berbesar hati kerana dia sudah mula menunaikan tugasnya sebagai seorang khalifah.

Teruslah berpesan-pesanan dan tegur-menegur dengan penuh berhikmah..

Moga di ‘sana’ nanti, kita masih bersama..

Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. (Az-Zukhruf : 67)


Wallahu’alam.

1 comment:

Nur Sakinah Nabilah, said...

Mabruk ukht, syidda heilak! :)

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .