Terkadang..
Saat kemarahan menjelma,
Kita terlupa pada satu erti SABAR...
"Mak, cuba tengok dah okay ke belum?" Saya menggayakan jubah yang baru dibeli, ingin memotong sedikit bahagian bawah yang terlalu labuh.
"Labuh sangatlah.." Emak memberi komen.
Aduh. Penat sudah saya mengukur, melipat, pin dan segalanya harus dibuat semula.
"Mak, dah okay belum?" Saya bertanya lagi, setelah membetulkan lipatan untuk kali yang entah ke berapa.
"La, kenapa jadi pendek pulak ni? depan terjungkit."
Subhanallah!
Gelora hati semakin membuak... "Ya Allah mak... bila lah nak siap ni." Saya bersuara, malam sudah pun semakin lewat.
Entah kenapa, Allah uji susah benar ingin membetulkan jubah yang satu ini. Di sebalik kepayahan itu, Allah membuatkan saya berfikir...
Sedia siap lebih mudah daripada mengubahnya setelah siap
Siapa di kalangan sahabat saya yang sedang membaca ini tahu atau gemar menjahit? setuju tidak jika saya katakan, mengukur baju dan menjahitnya lebih mudah daripada membetulkan baju yang telah siap dijahit?
Sejujurnya, pada diri saya sendiri, saya lebih rela menjahit baju yang belum siap daripada membetulkan baju yang telah siap dijahit.
Nak menetas, menjahit kembali, ukur kembali. Aduhai.... saya menyerah kalah!
Tapi sahabat, mari kita ambil pengajaran daripada kesukaran ini...
Anak-anak kecil adalah ibarat kain yang belum lagi siap dijahit, jika kita 'menjahit'nya dengan elok dan rapi, maka akan jadilah dia baju dengan ukuran yang betul-betul kita mahukan.
Namun, jika tersalah 'jahitannya', maka kita terpaksa pula membetulkan 'jahitan' yang silap dijahit itu..
Dan itu pastinya mengundang seribu satu permasalahan lain. Dalam kita membetulkan jahitan itu, mungkin kita akan tersalah jahit kembali, tersalah potong, dan perlu berkali-kali mengukurnya dan menjahit kembali..
Jika kita tidak sabar, maka jahitan itu akan kekal rosak dan tidak menawan...
Bersabarlah Dalam Mendidik
Jadi duhai para khalifah yang membawa Islam rapat-rapat di dalam hati!
Lihatlah sekeliling kita... Berapa ramai manusia yang seolah-olah kain yang silap dijahit?
Dalam kita membetulkannya, mungkin ada yang mudah dan ada yang sukar. Tanpa kesabaran yang jitu, akan tinggallah 'kain-kain' itu tidak terbela.
Melamar sabar, bukanlah sekadar menguntum senyum tatkala sukar, tapi juga melibatkan proses hati yang berpanjangan.
Tatkala diherdik, dicaci atau dipinggirkan... Bersabar dan muhasabahlah kembali, mungkin ada cara kita yang tidak kena pada tempatnya.
Dan ingatlah, mereka yang ingin kita dekati... Sudah berapa tahun hidupnya begitu, takkanlah dengan hanya menegur beberapa kali, mampu mengubah rutin hidup mereka yang sudah beberapa tahun sebati di dalam jiwa.
"Saya dah penat. Penat dengan semua ini."
Jika itulah yang meniti daripada mulut sahabat semua, saya tidak ada jawapan lain melainkan SABAR.
"Saya dah tak boleh sabar lagi."
Dan saya masih akan terus berkata : SABAR.
Hanya itu ubatnya. Hanya itu penawarnya. Sabar, sabar itu indah sekali... Namun akar sabar itu adalah pahit. Sama macam menanam pohon manggis, penat bukan? Harus melihat, menjaganya daripada pohon itu kecil sehingga besar, tetapi apabila ia telah berbuah, kita mampu tersenyum sambil memetik buah-buah yang ranum itu.
Segala jerih payah seakan terlupus dari fikiran....
Benar sahabat, sabar itu akarnya amat pahit sekali, tetapi sebaik berbuah.. Subhanallah, buahnya amat manis sekali.
Allah Bersama Orang-Orang Yang Sabar
"Alhamdulillah." Hanya itu yang mampu diucapkan sebaik sahaja jubah yang baru dibeli itu siap dibetulkan.
Mata pun sudah semakin mengantuk, tidak sangka siap juga akhirnya...
Begitulah sahabat... Di pengakhirannya, pasti usaha kita akan mendatangkan hasil, kerana dalam kita usaha itu, Allah sentiasa ada untuk menjadi pemerhati yang setia. Mohonlah padaNya kerana Dia sentiasa ada.Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (Al-Baqarah : 153)
Jangan pernah terfikir untuk berehat dalam medan dakwah ini sahabat, kerana ketahuilah... Syaitan itu tidak pernah berehat!
Mengundang Sabar,
Menghitung Redha,
Bukan semudah ucapan semata...
Wallahu'alam
Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)
Saturday, July 9, 2011
Sabar Itu Indah
Labels:
Secebis Tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
subhanallah..cantik analoginya mas,mengubah yang siap lebih sukar dari menjahit yang belum siap =)
Sabar dalam mengubah..
kita ini makhluk Allah..
matlamat kita mardhatillah....
sabarlah dalam Berubah!
Mg terus thabat=)
kunci kehidupan kte adalah kesabaran...penuh hikmah jika ianya dapat tersemat dalam diri,namun ianya akan hilang jika kemarahan menguasai diri..sme2 belajar pupuk sabar dalam stiap sesuatu perkara..Insya-Allah kita akan sntiasa drahmati-Nya..
Ilham
subhanallah..ameen..moga terus thabat juga dalam medan ini :)
sea_lavender
betul... marah tidak pernah ada manfaatnya. terima kasih atas peringatan.
:)
subhanallah. :)
Salwa
:)
wallahualam...susah itu tarbiah, sabar itu indah
masyaAllah sedap sungguh nama anahiettah ni ya. terbelit lidah saya :D
Alhamdulillah..betul tu, xmampu untuk tidak setuju pada kata-kata itu...
terima kasih kak..
Terima kasih dik^^
Post a Comment