Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, April 24, 2012

Al-Aqsa Menyeru



"Mutmainnah, apa yang kau menungkan?" Ah, Habibah. Kerap kali dia dapat menangkap kegelisahan di hatiku.

Aku hanya tersenyum. Kelat mungkin, entah aku tidak tahu.

"Aku rindu..."

Habibah kelihatan tersenyum. "Hah, kau rindu siapa pula? Ibu Ayah?" Sikunya hinggap tepat di lenganku.

"Aku benar-benar rindu...."

"Ya lah, kau rindu siapa?" Dia mencebik. Geli hatiku melihat gelagatnya.Lucu.


"Al-Aqsa..."

Sejenak, suasana hening. Tiba-tiba terasa basah kelopak mataku. Lantas jariku mengesatnya. Ah, cepat benar aku tersentuh kebelakangan ini. Sebut sahaja Al-Aqsa,pastinya basah mataku.

Al-Aqsa seolah-olah menyeruku.. Memangilku untuk menziarahinya. Seolah dia berkata 'Hai Mutmainnah, tidakkah kau rindu padaku?Adakah kau suka melihat aku kosong? Israel mahukan itu!'

Dan aku, tidak mampu membalas apa. Sekadar air mata,mungkin?

"Jadi,kau mahu ke sana?"

Aku mengangguk.

"Kau tak takut?" Habibah mengerutkan wajah. Aku mengoyak senyum. "Mahu takut apa?"

"Israel, bom, senapang?"

Aku tergelak,perlahan."Apalah hendak dibandingkan takut beberapa minit tu berbanding rakyat Palestin yang diselubungi ketakutan saban waktu?"

"Bukankah ada ulama' yang mengharamkan orang awam selain rakyat Palestin masuk ke Palestin, atas sebab menyumbang wang kepada Israel?"

"Benar..."

"Jadi, kau mahu sumbang wang pada Israel tu?"

Aku menggeleng. Habibah,habibah... tak sempat aku habis cakap, laju pula dia menembak. "Tapi itu ulama' luar. Ulama' Palestin menyeru orang Islam menziarahi Al-Aqsa kerana Israel mahu masjid itu kosong. Cuma kata mereka, pemimpin negara tidak digalakkan datang kerana datangnya mereka seolah-olah mereka mengiktiraf kerajaan Israel."

Habibah diam.

"Habibah... Kenapa aku rindu benar pada Al-Aqsa, aku rindu pada saudara di sana... Aku tak tahu, tapi aku seolah-olah terhenti daripada melakukan semua kerja kerana di minda aku hanya ada Al-Aqsa. Waraskah aku ini?"

Air mataku bergenang lagi. Ah, mengapa selalu benar ia hadir... Tolong aku ya Allah!

Habibah mendakapku. Erat.

"Semoga Allah memudahkan urusanmu, sahabat."

Dan air mata yang turun tadi, semakin deras... Melalui pipi lantas jatuh ke bawah.

Al-Aqsa, layakkah aku menjejakkan kaki di sana?

***

"Allahu Akbar... Allahu Akbar.."

Laungan azan itu mematikan lamunanku.

Habibah... Jika kau dapat dengar itu, itu laungan azan dari Al-Aqsa.

Habibah... Jika kau dapat dengar itu, itu seruan menuju kejayaan dari bumi Al-Aqsa. Bumi di mana Rasulullah menaiki buraq berjumpa Tuhan.

Habibah... Jika kau dapat dengar itu, itu adalah suara merdu dari Al-Aqsa.. Bumi di mana Umar dan Salahuddin Al-Ayubi pernah membebaskannya suatu ketika dahulu.

Ya, Al-Aqsa ini buktinya bahawa dahulu Islam pernah gemilang,dan aku kini berada di bumi itu..

Air mata itu gugur lagi. Terasa diri ini terlalu kerdil dan hina untuk menjejakkan kaki di bumi suci ini. Aku mengerling jam di tangan. Ada lagi setengah jam sebelum perlu berkumpul semula bersama para rombongan yang lain.

Terdengar iqamat dilaungkan. Pantas aku berdiri, bersama dalam satu saf bersama warga-warga Palestin yang tabah. Aku merasa diri semakin kerdil dan hina... siapalah aku di hadapan Tuhanku,apakah aku layak berada dalam satu saf bersama mereka?

Usai solat, aku melangkah longlai... Terasa amat berat hatiku ingin meninggalkan Al-Aqsa.

Habibah... Jika kau berada di sini, pastinya kau dapat merasa, udara di sini, udara yang penuh semangat. Udara peninggalan sejarah... Habibah, bumi ini.. bumi buktinya kegemilangan Islam. Namun kini, yang ada hanyalah kedukaan.
Bumi ini bumi buktinya indah hidup berTuhan, tapi kini yang tinggal hanyalah kelukaan....

Dan kaki ini melangkah, semakin jauh dari Al-Aqsa. Melihat sekeliling, anak-anak Palestin yang asyik bermain sesama mereka...

Ah Habibah. Mereka tidak takut lagi pada bom, senapang dan Israel, kerana mereka percaya Allah bersama mereka.. dan.. dan Habibah, mereka percaya bahawa semua umat Islam mengingati mereka dan berusaha sama untuk membebaskan Palestin.

Ah Habibah.. tulusnya kepercayaan mereka! Kudusnya jiwa mereka!

Air mataku gugur lagi. Al-Aqsa, bilakah lagi kita dapat bertemu...?

*******


-Cerpen pendek ini dihasilkan pada malam hari, kerana rasa rindu yang amat kepada Al-Aqsa. Doakan saya agar dapat menjejakkan kaki ke sana. Untuk semua... Maaf atas segala kekurangan, sungguh diri ini hanyalah umpama sebutir pasir di hadapan Tuhan... Penuh kekurangan, banyak kealpaan.. Maafkanlah... :') -

Tuhan...
Berikanku peluang..
Agar dapatku bersujud..
Di bumi Al-Aqsa..
Meski hanya sedetik cuma...


Wallahu'alam.

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .