Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, February 25, 2015

Cinta Mulia



Assalamualaikum.

sudah-sudahlah asyik update status di mana imamku, di mana tulang rusukku, mari, saya ceritakan sebuah kisah yang lebih menarik, lebih menyentuh hati.

Ia sebuah kisah cinta tulus seorang wanita yang gagah berani. Namanya Asma’ binti Abu Bakar, ya, dia puteri Abu Bakar sahabat Nabi.

Semenjak kecil lagi Asma’ telah dididik dengan baik oleh bapanya, lalu setelah menginjak dewasa, rasa kecintaan kepada Rasulullah semakin mendalam, sehinggalah suatu ketika Abu Bakar menemani Nabi berhijrah dan terpaksa bersembunyi dalam gua di bukit Thur kerana musuh terlalu hampir.

Pada ketika itu, Asma’ si wanita yang mulia tampil membantu bapanya. Dialah yang berulang-alik menghantar makanan. Oleh kerana Asma’ tidak mempunyai tali bagi mengikat makanannya, dia telah membelah tali pinggangnya menjadi dua. satu bagi mengikat bekas makanan dan satu lagi sebagai ikatan bekas simpanan air. Atas peristiwa ini, Asma’ digelar Dzatin-Nithaqain, bermakna gadis yang mempunyai dua belahan tali pinggang.

Dengan penuh ketabahan Asma’ melalui jalan dari Makkah ke Bukit Thur, memanjat bukit,sambil berhati-hati daripada musuh bukanlah perkara mudah. Kita nak panjat bukit yang dah siap jalan cantik pun termengah-mengah, apa lagi pada zaman dahulu Bukit Thur dipenuhi batu batan. Hatta lelaki yang gagah pun sukar melakukan apa yang Asma’ lakukan.

Suatu hari, dalam perjalanan pulang dari Bukit Thur, Asma’ telah ditahan oleh beberapa orang tentera Quraisy yang diketuai oleh Abu Jahal.

“Di manakah Muhammad?” Abu Jahal bertempik.

Asma’ diam. menggelengkan kepala. Meski diasak berkali-kali, Asma’ tetap mengunci mulutnya hingga Abu Jahal naik berang lalu ditampar Asma’ sekuat hati sehingga anting-anting Asma’ terpelanting. Kesakitan itu dirasakan Asma’ beberapa hari, namun dia tetap merahsiakan tempat persembunyian Rasulullah meski pun nyawanya terancam.

Perkara ini memberi kesan pada Asma’ dalam memilih jodohnya. Asma’ menerima Zubair bin Awwam sebagai suaminya. Siapakah Zubair? Zubair tidak terkenal malah tidak berharta. Dia hanyalah seorang pejuang Islam yang miskin, namun kaya dengan semangat perjuangan.

Walaupun Asma’ sering ditinggalkan sendirian kerana suaminya keluar berjuang, Asma’ tidak pernah berkeluh-kesah. Dengan rela hati dia melepaskan suaminya dan menjaga anaknya, Abdullah bin Zubair.

Hasil didikan ibu yang solehah, Abdullah menjadi ketua di Makkah dan Madinah dalam masa yang lama sehinggalah berlaku rampasan kuasa. Kemenangan berpihak pada Bani Umaiyah. Abdullah menjadi buruan. Lalu dia meminta pendapat ibunya,

“Wahai ibu, adakah aku harus terus berjuang atau terus sahaja mengaku kalah?”

Apa jawab Asma’? Dengan tenang Asma’ menjawab, “Wahai anakku, sekiranya engkau mendapati bahawa dirimu berada di pihak yang benar, maka teruskan berjuang kerananya. sesungguhnya mati kerana mempertahankan yang hak itu lebih bermakna daripada hidup yang terpaksa tunduk kepada kezaliman.”

Subhanallah. pada ketika itu Asma’ sudah pun mencecah usia 100 tahun, tetapi cintanya tidak pernah pudar. Ya. cinta begini yang mulia, yang membantu seisi manusia dekat pada Tuhannya.

Bukankah hakikat cinta itu mahu ke syurga bersama-sama? Lalu mengapa kau campakkan orang yang kau cinta ke neraka dengan maksiat yang ternoda?

Berusahalah meraikan cinta pada jalan yang diredhai, kerana cinta yang kau rasa adalah anugerah dari Yang Esa. Mengapa tergamak kau ketepikan-Nya?

Wallahu’alam :)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .