Assalamualaikum.
Selalu, kalau ada kelapangan, saya suka teman mak hantar abah pergi hospital. Bagi saya ia seolah satu terapi diri.
Acapkali saya cuba menyembunyikan air mata mendengar cerita makcik yang dihinggapi kanser tahap 4, namun dia masih tersenyum. mendengar luahan seorang ibu yang bayinya dijangkiti denggi berdarah, oh dan adik berumur 17 tahun yang kurus kering kesan kimoterapi, rambutnya tiada. Kansernya di tahap 3. Namun dia masih ke sekolah, tak putus asa.
Seringkali juga saya tertawa kecil mendengar cerita lucu uncle yang diragut, mendengar seloka makcik yang sakit perut dan mendengar suara ceria pak guard yang jual kerepek sedap di pondok kecilnya.
Ah, saya hampir sahaja tidak mampu membezakan apakah kegembiraan dan kesedihan di sini, kerana mereka semua tenang dan tersenyum. Ya, ada juga yang bermuram durja, tiada anak yang datang melawat, atau sedih mengenangkan bahagianya kehidupan di luar sana, tidak seperti di ruangan 4 dinding bernama bilik hospital.
Lalu, saya tertanya-tanya, bagaimana mereka mampu menjadi begitu kuat, menjalani kehidupan sehari-hari, tidak putus memanjatkan doa pada Ilahi, walau dia sedari nyawanya bersisa cuma beberapa hari...
Benarlah, sungguh benar firmanNya :
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya, dia mendapat pahala dari kebaikan yang dilakukannya dan mendapat dosa dari kejahatan yang dilakukannya (Al-Baqarah : 286)
Kesanggupan yang kita rasa bukan pada nilaian kita sebagai manusia, tetapi ia pada penilaian Allah Yang Maha Esa.
Percayalah, siapakah yang paling menepati janji selain Allah?
:)
No comments:
Post a Comment