"Eh, jom nanti kita picnic kat Brighton." Saya memberi cadangan meski sedar angin musim bunga masih terasa dinginnya.
"Okay. Nak bawak apa nanti?"
"Nasi gorenglah. Tapi before pergi kite masak nasi lemak dulu then tapau nasi goreng." Saya membalas. Berkira-kira bahawa nasi goreng lebih mudah untuk dibungkus, dan nasi lemak terpaksa masak sebab ada orang mengidam 😑
Kami bertolak menaiki kereta api dari Portsmorth ke Brighton. Tepat tiba di stesyen kereta api Brighton, angin menderu-deru kerana bentuk muka buminya yang hampir dengan laut.
Menggeletar. Berkira-kira mahu teruskan rancangan berkelah atau tidak tapi keegoan merajai diri. Kaki diteruskan melangkah sehingga tiba di persisiran pantai yang dipenuhi batu.
"Ha jomlah makan kat sini."
Bekas berisi nasi goreng pun dibuka. Angin bertiup. Nasi terbang. Nice.
Dalam keadaan bersusah payah menyuap nasi ke mulut, seorang teman bersuara, "eh nah ni serunding daging."
Plastik serunding daging pun dibuka, serunding terbang masuk lubang hidung. Omg.
Namun, dalam keadaan susah payah itu, tetap juga habis nasi goreng dan serunding daging dimakan. Sambil tersengih seorang teman bersuara, "mesti semua orang ingat kita orang gila kan, mana ada orang picnic time macam ni."
"Mencuba jadi golongan ganjil di akhir zaman lah tu." Saya menyeringai.
Di samping menghargai nikmat ukhwah yang tercipta meski setiap satunya berbeza karakter, saya justeru teringat pada sesuatu -- menjadi golongan ganjil di akhir zaman. Ghuraba', seperti yang Nabi sabdakan --
Saya menjadi semakin gusar apabila ramai yang menggunakan sabda Nabi ini dalam keadaan yang salah. Asal terlihat ganjil, asal dikecam kerana menyimpang dari kelompok yang ramai semuanya dipetik hadith Ghuraba' ini.
Walhal, ganjil yang dimaksudkan adalah tetap berada pada paksi yang benar, berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Contohnya semua orang di sekeliling minum arak, tapi kita tidak. Atau semua orang di sekeliling mempergunakan nama Nabi, tapi kita tidak. Atau semua orang menipu sesuka hati, tapi kita tidak.
Lalu bagaimana tatkala seorang yang ahli menegur "kamu salah." Dengan bangganya mereka membalas, "tak pelah di akhir zaman ni biarlah saya menjadi golongan yang ganjil."
Seolah seorang anak murid yang selalu datang lambat ke sekolah lalu di marah guru disiplin, "kawan-kawan kamu boleh datang awal, kenapa kamu datang lambat? Kamu perlu didenda!"
Lalu anak murid itu membalas, "takpelah, tak semestinya ramai orang buat tu betul, Nabi kata di akhir zaman, Islam akan kembali asing dan beruntunglah orang-orang yang ganjil."
Sedangkan, yang benar itu jelas benar. Yang salah itu jelas salah.
Sedangkan, keganjilannya merupakan satu kerosakan, ibarat barah yang memakan diri. Ibarat serunding terbang yang masuk ke dalam lubang hidung. Menyakitkan.
Seorang mukmin itu pastilah berhati-hati dalam berkata, kerana dia sedar, setiap apa yang dibicara akan dipersoal di akhirat sana apatah lagi bila ia melibatkan nama Nabi.
Berendah hatilah terhadap ilmu. Belajarlah dari Imam Malik -- tatkala utusan dari jauh datang menemuinya dan mengajukan 40 soalan, cuma 8 sahaja dijawab, selebihnya Imam Malik menjawab "tidak tahu"
Lalu, utusan itu pun kecewa,"jauh sudah aku menempuh perjalanan semata-mata kerana ingin menemuimu Malik, untuk bertanya soalan bagi pihak kaumku. Apa yang akan aku beritahu kepada mereka?"
Imam Malik membalas, "katakan sahaja bahawa Malik tidak tahu."
Begitulah akhlak orang berilmu, redha Allah lah yang lebih dirindu. Bukannya mengejar menjadi 'ganjil' dalam setiap sesuatu.
Sesungguhnya "aku tidak tahu" juga adalah sebahagian dari cabang-cabang ilmu.
Dan sesungguhnya -- ada sebuah garisan jelas yang memisahkan antara keganjilan dan kejahilan...
Duhai khalifah! Tetaplah berada pada paksi yang benar. Jika tersasar segeralah kembali, kerana kita tak pernah tahu bilakah ajal akan datang menemui diri.
Sudah sediakah bersoal-jawab bersama Ilahi?
Salam sayang :)
No comments:
Post a Comment