Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, June 30, 2009

Hijrahkan Dirimu...


1 message received
From Jannah.

Ana mengambil handphone dan menekan butang read.


Sekuat mana pun godaan yang kita hadapi, sekukuh apa pun cabaran yang harus kita jalani, sebesar mana pun kegagalan yang kita rasai, sejenuh mana pun hari-hari yang kita lalui, jangan pernah berhenti berharap pada pertolongan ILAHI, jangan pernah berhenti berdoa kepada ALLAH kerana harapan adalah masa hadapan, kerana harapan adalah sumber kekuatan, kerana DOA adalah pintu kebaikan dan kerana DOA adalah senjata orang yang beriman :)


Ana tersenyum membaca mesej daripada adik fasi ana itu. Butang back ditekan dan ana meneruskan kerja. Bagaikan tiada apa-apa.


Tapi hari ini ana buka peti mesej dan baca mesej yang dihantar oleh adik fasi ana itu berkali kali. berulang-ulang. Asma' ul Husna ana dengar berkali-kali, Lafaz zikrullah juga diperdengarkan... Ana mencari sesuatu. Ana mencari kekuatan di sebalik dugaan yang datang menjengah... Ya kekuatan...

Entah mengapa, hari ini rajin benar tangan ini menekan-nekan mouse dan menjelajah internet. Profile friendster orang, blog-blog yang ada dan macam-m
acam lagi. Natijahnya, hati ana kini bagaikan disiat-siat, dirobek-robek, ditikam-tikam sehingga menjadi cebisan-cebisan kecil yang sukar untuk dicantumkan.

Mengapa?

Sedih tidak terkira apabila melihat komen-komen di profil friendster para muslimin dan muslimah yang tidak segan-silu memaparkan ayat-ayat romantis kepada pasangan masing-masing (belum berkahwin) yang pastinya menjadi satu fitnah untuk Islam..Tegarnya, tegarnya jari-jemari itu menaip bait-bait kata yang bakal membuat insan lain memandang serong kepada Islam yang suci...

Bertambah pilu lagi apabila membaca bait-bait yang terdapat dalam blog para mukminin dan mukminah yang tanpa segan silu membuka aib (Bercerita yang tidak sep
atutnya) ditambah dengan komen-komen dari jantina yang berlainan yang amat berlanggar dengan syara'. Memalukan.

Na'uzubillah... Moga ia tidak berlaku pada ana, dan pada sahabat sekalian juga moga perkara ini tidak berulang kepada sesiapa yang pernah melakukannya.

Oh! Di manakah sifat malu yang seharusnya ada dalam diri seorang muslimah?! Dimanakah sifat mujahid di dalam diri para muslimin?! Di manakah dia bakal penegak kalimah lailahailallah muhammadurrasulullah? Di mana!

Apa kata mereka yang masih belum mengenal Islam?

"Ah, enti apa nak dengar cakap orang... Sendiri tahu sudahlah"

Bukankah ana ini cerminanmu? Kadang-kadang ada perlunya kita mendengar cakap orang.. Kita marah kalau ada orang cakap "Orang tak pakai tudung pun perangai lagi baik." Kita geram bila ada orang cakap "Buat apa pakai tudung? Biarlah tak pakai janji hati baik."

Kita marah. Kita geram. Kita sakit hati. Tapi adakah kita sedar apa yang telah kita lak
ukan??

Oh Rasulullah... Adakah pada ketika ini engkau sedang menangis melihat kami begini?

Ketika saudara-saudara kita di Palestin menangis, meratap agar kita bangkit berdiri, kita terus-terusan lemah dengan kelemahan yang kita cipta sendiri... Benarlah sabda baginda bahawa suatu hari nanti umat Islam ini sperti buih di lautan......

Yang berkata ini pastinya bukan yang terbaik, yang berkata ini hanyalah hamba Allah yang hina, yang berkata ini juga sering melakukan kesilapan... Namun yang berkata ini cuba memperbaiki diri daripda sehari ke sehari, maka tegur-tegurlah yang berkata ini juga dan ana harap kita semua mampu berhijrah ke arah yang lebih baik, demi Allah dan Rasulullah......

SALAM HIJRAH... SALAM JUANG... SALAM MAHABBAH...


wallahu'alam

Read More......

Monday, June 29, 2009

Ucaplah Alhamdulillah



"Dah teruk dah dia, tak boleh bercakap... Kurus.."

Petah kakak ana bercerita sebaik sahaja balik daripada melawat sahabat karibnya. Allah.. Ana agak terkejut, apatah lagi kakak ana menambah bahawa sahibahnya itu sudah dua kali nazak tapi Allah masih panjangkan umurnya.

Ana terpana. Sedih. Kasihan. Bagaikan baru semalam melihat dia dalam keadaan ceria. Tersenyum. Ketawa. Dan kini dia menderita sakit yang tiada penawarnya. Ototnya tidak berfungsi dan sel-sel di otak semakin mati...

Allah.... Sekelip mata Allah mahu mengambil segala pinjamanNya. Ana terfikir, sudah bersediakah ana untuk menghadapNya? Tatkala insan-insan di sekeliling ana masih lagi terkapai-kapai minta ditolong tetapi ana pandang hambar. Tatkala bibir leka mengalun zikrullah dan hati leka dengan kemanisan dunia....

Bertambah sebak dalam hati tatkala melihat saudara seagama terlupa untuk mengucap sepotong ayat- Alhamdulillah tatkala mendapat nikmat yang menggunung.

"Alah, kenapa demam pulak ni, aku dah lah nak periksa" Rungut seorang pelajar tanpa disedari bahawa sakit yang menimpa merupakan kafarah dosa dan sakit itu hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang terlantar di hospital. Lupakah kita pada kisah Nabi Ayub a.s yang menderita sakit bertahun-tahun lamanya?

"Huh! Benci aku hidup macam ni" Rungut seorang insan yang ditimpa musibah tanpa disedari musibah yang menimpa adalah untuk memantapkan hati, agar lebih kuat menempuh hari mendatang... Lupakah kita pada nikmatNya yang banyak yang kita tidak sempat untuk bersyukur?

Yang penting sekali, bersyukurkah kita pada satu nikmat yang begitu besar sekali... Nikmat ISLAM! Kita dilahirkan sebagai seorang muslim sejati, bukan sebagai penganut agama lain yang terpaksa mencari sinar kebenaran itu bahkan mungkin diuji dengan pelbagai rintangan yang mampu menyesakkan jiwa...

Kita adalah Islam sejak lahir. Kebenaran itu terbentang di hadapan mata sejak azali lagi. Namun sedih ana melihat saudara-saudara seIslam ana mensia-siakan nikmat itu. Berpesta, berfoya-foya, bergaul bagaikan tidak mempunyai agama... Sedih.. Sedih sungguh... Apakah Rasulullah sedang menangis tika ini melihat umatnya begini?

Teringat ana pada kisah wanita ulung- Rabiatul Adawiyah.. Beginilah lebih kurang ceritanya.

Pada suatu hari Rabiatul Adawiyah berjalan-jalan dan terlihat seorang lelaki yang berbalut kepalanya. Rabiatul Adawiyah pun bertanya "Mengapa engkau membalut kepalamu?" Si lelaki tadi menjawab "Aku sakit". Rabiatul Adawiyah berasa sedih dan berkata "Adakah ketika engkau sihat engkau meletakkan sebarang tanda pada dirimu?" "Tidak" Jawab lelaki itu. "Jadi, adakah engkau ingin menunjukkan bahawa Allah itu kejam kerana memberi kesakitan kepadamu?"

Kita juga begitu bukan? Ketika kita senang, ketika kita sihat, kita bergembira...Kita sering bersuka-suka dan lupa pada Allah... Tetapi ketika kita sakit, kita susah.. Kita merintih, menangis-nangis, merayu minta ditolong....

Adakah kita ini manusia yang tidak tahu bersyukur???

Renung-renungkan... Fikir-fikirkanlah...

~Ucaplah Alhamdulillah, tanda syukur kepada Allah..~

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 57)

p/s : Doakan agar Allah mengembalikan kesihatan kepada Kak Nina Maleen agar dia mampu menjalani kehidupan seperti biasa, di sisi keluarga tersayang... amin..

Wallahu'alam

Read More......

Beristikharahlah...



"Ahh... Buat apa nak istikharah, aku dah yakin dah dengan keputusan aku ni. Aku tahulah"

Pernah sekali ana mendengar kata-kata itu terlafaz daripada mulut seseorang. Ana terkejut.

Bukankah kita ini manusia biasa yang tidak mengetahui masa depan dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, baik yang tersembunyi atau yang nyata...

Dan kepunyaan Allah lah timur dan barat, maka kemana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui (Al-Baqarah : 115)

"Ah, aku dah istikharah tapi macam tak best je pilihan ni"

Ada dua kemungkinan di situ. Apakah anda telah beristikharah dengan seikhlasnya? Berapa kali anda beristikharah? seeloknya lakukanlah 7 malam berturut-turut. Keduanya, Allah tahu apa yang terbaik untukmu! Allah itu tidak memberi APA YANG KAMU MAHU tapi Dia beri APA YANG KAMU PERLU.

Seorang penyair sufi menghalusi mata hatinya ; Aku penuh kekuatan tapi Allah berikan aku kesulitan untuk jadikan aku gagah. Aku penuh cinta, Allah berikan aku mereka yang bermasalah untuk cari penawar duka, Aku penuh keteguhan hati, Allah beri bahaya untuk aku atasi. Justeru, Aku tak perolehi apa yang kuimpikan tapi aku mendapat segala apa yang kuinginkan....

Jadi mengapa masih ragu-ragu dengan rahmat Allah? Mengapa masih sombong dengan Allah? Mengapa?

Lupakah kita bahawa dahulunya kita ini tercipta daripada setitis air mani yang hina, yang jika terkena baju,kita basuh....

Lupakah kita bahawa kita ini dahulunya tercipta dari tanah, yang selalu dipijak-pijak, selalu dipandang hina...

Lupakah kita bahawa kita pernah berjanji bahawa hanya Allah Tuhan kita... Jadi mengapa masih sombong dengan Allah?

Dan Lupakah kita bahawa kita adalah juara semenjak di dalam perut lagi, daripada berjuta-juta sperma yang berlumba untuk mendapatkan satu ovum, kita telah menang! Jadi mengapa masih tidak boleh memerangi nafsu dan syaitan?

Lupakah kita..?

"Eh istikharah tu bukan untuk kahwin eh?"

Bukan bukan dan bukan.

Istikharah adalah untuk kita membuat pilihan yang terbaik, jalan yang ditunjukkan Allah untuk menolong kita yang lemah, jalan panduan Allah agar kita sentiasa menjadi hambaNya yang bertaqwa..

Biarlah Allah yang membuat pilihan untuk kita kerana Dialah yang menciptakan kita maka Dialah yang mengetahui segalanya tentang kita.

Bolehkah kita menghantar komputer yang rosak ke kedai membaiki kereta?

Apakah natijahnya nanti?

Begitulah diibaratkannya..... Maka beristikharahlah kerana Allah, beristikharah kerana mengharap bantuanNya, beristikharahlah untuk menjadi hambaNya yang bertaqwa dan jangan sesekali kita menyalahkan Allah atas pilihan yang diberi. Yakinlah... Yakinlah itu yang terbaik biar pun hati memberontak kerana satu hari nanti pasti akan terlihat keindahan pilihan itu...

"Dulu suami saya ni tak ada dalam senarai calon pun! Bila saya buat istikharah nampak dia, Allah.. Senak dada... Tapi kalau saya dapat kembali kepada zaman remaja dulu, suami saya ni akan tersenarai dalam calon pertama pilihan saya!"

Begitulah kata-kata lecturer ana....

Selamat Membuat Pilihan Kerana Allah! Moga diberkatiNya...

Wallahu'alam

Read More......

Bawa Allah Bersamamu..

"Mak suka kalau awak dapat masuk maktab perguruan"

Pernah pada suatu ketika umi berkata begitu. Ana diam.

Dan kini doa umi telah pun termakbul, alhamdulillah ana berjaya mendapat tempat di salah satu institut perguruan dan umi kelihatan begitu gembira sekali...

Tapi, pernah tak antum rasa betapa peritnya perpisahan? Perit sungguh apabila terpaksa merasakan perpisahan dengan para sahibah yang tercinta. Ana dan sahibah menangis semahunya pada malam terakhir ana di kuis.

"Ukhwah itu indah andai segalanya kerana Allah"

Itulah pesan salah seorang sahibah ana. Benar, ana sungguh-sungguh dapat merasai keindahan itu. Apabila jatuh ada yang menyokong, menangis bersama, berpesan-pesan andai terleka, mengejutkan bangun qiamullail... Semua kenangan itu membuatkan ana terfikir, mampukah ana terus berdiri tanpa mereka di sisi? Mampukah ana bangun andai ana rebah lagi?

Bawa Allah bersamamu...

Teringat ana pada satu kalimah agung yang pernah terlafaz daripada bibir ana sendiri... Ana tidak tahu apakah ana mampu untuk menjadi seorang yang kuat di tempat yang baru, adakah iman ana akan kekal sihat di tempat yang baru atau adakah sejadah iman yang dahulunya terkoyak tetapi telah terjahit kembali akan terkoyak lagi?

Ana tidak tahu. Tetapi apa yang ana tahu ana ada Allah bersama, di mana jua, setiap masa. Bukankah dia sebaik-baik penolong dan sebaik-baik tempat pengaduan? Ana juga ada pesanan-pesanan daripada para sahibah di dalam hati. Doakan ana agar terus kuat. Moga ini pilihan Allah yang terbaik untuk ana...

Laili : Mas nanti jangan lupa update blog ye.sehari mesti ada satu post.

insyaAllah Laili, andai masa mengizinkan ana akan cuba update blog selalu...

"Dahlah Mas jangan nangis lagi, kitorang redha lepaskan Mas, Mas jangan berubah ye"


Doakan. Doakan. Doakan.....

Program bersama adik-adik fasi






Bersama para sahibah tercinta ;
makan malam terakhir dan jalan-jalan terakhir


Semoga kita bersama dalam redhaNya!

~Ukhwah itu indah andai segalanya kerana Allah~

Read More......

Wednesday, June 24, 2009

Bersemangatlah Demi Islam!



“Rasa dah tepu otak ni banyak sangat baca” Keluh ana ketika sedang ralit membelek nota tarikh tasyrii’ (sejarah perundangan islam).

Sahibah ana memandang tepat ke wajah ana. “Mas tau tak, Elbert Einstein tu baru guna separuh daripada otak dia, kita ni guna tak sampai 0.01% pun lagi.”

Ana terdiam memikirkan kebenaran kata-katanya.

Dengan izin Allah, peperiksaan kali ini memberikan impak yang sangat besar kepada ana dan rakan-rakan. Masa yang digunakan hanya seminggu untuk menyelesaikan kesemua subjek yang kami pelajari. Entah mengapa, cepat benar ana berasa tertekan.

Pernah satu hari ana duduk di hadapan nota-nota tetapi ana tiada mood langsung untuk membeleknya dan terus-terusan merenung sehingga masa pun berlalu dengan pantasnya. Ana bimbang. Ana gusar. Mengapa begini jadinya? Ketika peperiksaan tarikh tasyrii’ sedang berlangsung, ana benar-benar berasa ingin menjerit. Mujur hati cepat beristighfar. Itu semua mainan syaitan!

“Mas, bagilah semangat sikit… tengah down ni” Suara daripada seorang sahibah yang penuh mengharap pada suatu malam membuatkan ana berfikir sejenak.

“Hm… mesti rasa bosan kan belajar banyak-banyak ni. Tapi ingatlah, kita buat semua ni kerana Allah, kita belajar kerana Allah. Bukan sebab nak periksa. Kalau kita belajar sebab nak periksa, keluar je dewan periksa nanti kita terus lupa apa yang kita dah baca tu.”

Ana berhenti sejenak.

“Ilmu Allah tu luas, diumpamakan macam lautan dan apa yang kita tengah belajar sekarang cuma setitik je daripada lautan tu, tapi cepat betul kita rasa penat. Cuba kita tengok orang-orang yang tak dapat belajar macam kita ni, mesti diorang rasa nak sangat belajar. Macam kat Palestin tu, kalau diorang dapat peluang belajar macam kita mesti tak akan dilepaskan. Kalau kita malas-malas belajar mesti diorang sedih kan? Diorang tak dapat belajar… Kita ni dapat belajar tapi malas.

Diam. Dalam masa yang sama ana cuba merenung jauh ke dalam diri, merenung hati yang ternoda, merenung diri yang sering leka….

Entahlah, dengan izin Allah ana betul-betul hilang mood untuk belajar pada waktu tu sehingga ana terasa seperti hendak termuntah sewaktu sedang mengajar seorang rakan. Pening. Mengalir air mata ana sewaktu bermohon pada Ilahi agar jangan dilunturkan semangat ana. Ana masih punya tanggungjawab sebagai seorang anak dan hamba. Mana mungkin ana tegar melihat wajah suram terukir pada kedua ibu bapa yang telah bersusah-payah demi ana. Mana mungkin ana tegar untuk menjadi fitnah dalam Islam yang amat ana kasihi.

Ana pasti ada di kalangan kita yang pernah merasa bosan dengan suasana yang ada. Teringat ana pada kata-kata Ali ibn Abi Thalib, “Hati itu boleh merasa penat dan bosan sama seperti tubuh badan. Oleh itu carilah segi-segi kebijaksanaan untuk kepentingan hati.”

Jadi ana cuba merehatkan diri, bertenang seketika. Ana lihat sekeliling, sahibah-sahibah juga sedang ralit membelek nota. Pasti mereka penat. Ana cuba menghiburkan hati mereka, jua hati ana. Melihat mereka tersenyum cukup menghiburkan hati… Terasa ringan kepala yang tadinya berat.

Tapi…. Semakin tegang sesuatu suasana, semakin ramai pula muslimah yang ana lihat bergayut dengan muslimin. Kawan? Teman Istimewa? Entahlah… Cumanya, bagi diri ana yang dhoif ini bercakap melalui telefon dengan lelaki ajnabi dalam waktu yang lama merupakan sesuatu yang memalukan malah mungkin boleh merosakkan iman. Suara wanita itu mampu membuatkan kopiah di kepala lelaki itu gugur ke bumi! Seorang wanita yang menggoda lelaki akan mendapat dosa. Bukankah Allah telah berfirman ;

Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,(Al-Ahzab : 32)

Ana tidak tahu, mungkinkah dengan bergayut itu mampu mententeramkan jiwa atau dengan mendengar suara lelaki ajnabi itu mampu merungkai segala tekanan… Entahlah… Cumanya, pada diri ana yang dhoif, kerdil serta hina ini… Bercakap dengan umi abi dan bercakap dengan Allah mampu membuat fikiran yang tadinya kusut menjadi lega…

Entahlah….

“Esok periksa pagi & petang ke?” Soal ana kepada seorang sahibah.

“A ah. Mas periksa pagi je?”

“Ha ah”

“Bestnya…”

“Tak apalah, Allah dah mengaturkan yang terbaik untuk hambaNya”

Kepada sahibah-sahibah yang ana kasihi, moga kita sama-sama beroleh manfaat daripada aturan Allah yang amat cantik ni…

Wallahu’alam…

p/s: ana dan rakan-rakan masih berbaki 1 lagi subjek untuk esok hari (ada yang habis periksa hari jumaat) doakan yang terbaik untuk kami.. :)

Read More......

Thursday, June 18, 2009

Warkah Buat Adik-Adikku..



Bismillahirrahmanirrahim…

Astarghfirullahalazim…

Ana mulakan kalam dengan lafaz istighfar kerana mungkin apa yang bakal dilafazkan banyak khilafnya, lantaran diri ini hanyalah seorang hamba yang sering melakukan dosa, yang sering lalai dan alpa…

Adik-Adikku harapan Agama,

Diri ini terasa terlalu hina untuk mengungkapkan barang sepatah dua kata buat dirimu yang jauh lebih baik daripada diri ini, dirimu yang selayaknya kurang dosa daripada diri yang sedang berkata-kata ini.

Ingatlah, hidup di dunia ini tidak lebih daripada seorang musafir yang sedang berjalan menuju ke destinasi, persinggahan kita di dunia ini hanyalah sementara dan akhirat itulah negeri yang kekal abadi, negeri di mana kita mendapat keputusan lulus cemerlang atau pun tidak mengikut piawaian Allah S.W.T, andai lulus, berbahagialaah kita atas janjiNya, jika tidak menderitalah kita kerana azabNya.

Adik-adikku pelapis Agama,

Persekolahan dan dugaan yang sedang dikau lalui atau baru sahaja ditinggalkan hanyalah sekelumit daripada dugaan berada di menara gading ini. Pada yang tinggal di asrama, mungkin suasana dan peraturan yang mengikat mampu mendisiplinkan dirimu dan jua mendekatkan dirimu kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim… Pada yang tinggal di rumah, ibu dan bapamu mungkin ada untuk meneliti.Namun adikku sayang fillah, ketahuilah, diri ini sungguh-sungguh terkejut dengan keadaan di university. Dikau akan bebas melakukan perkara yang disukai. Kawalan ada, tetapi terlalu longgar. Dikau akan berjumpa dengan pelbagai jenis manusia, dugaan akan datang silih berganti dan pada yang lemah mungkin akan tersungkur menyembah bumi.

Ketahuilah adikku, diri ini bukanlah insan yang sempurna, tetapi diri ini selalu sahaja menangis mengenangkan sahabat-sahabat seperjuangan yang tersungkur di medan menara gading ini. Tidak kiralah ketika di asrama dahulu dia bergelar imam atau ahli surau, dugaan duniawi yang indah dan sungguh menggoda benar-benar merangsang nafsu dan akhirnya iman yang menderita dibiarkan terus menderita… Tersungkur bukan dalam mata pelajaran tetapi tersungkur dalam aspek aqidah Islamiyyah! Dan diri ini tidak mahu dikau tersungkur jua. Perit, benar-benar perit menyaksikan saudara seagama terus lalai dan leka sedang diri ini tidak mampu melakukan apa-apa. Lemahnya imanku.

Duhai adikku penegak Agama,

Bukan niatku untuk menakut-nakutkan dirimu, tetapi sekadar memberitahu persiapan yang perlu dikau sediakan agar sejadah imanmu tidak terus-terusan terkoyak. Agar dikau membentengi diri dengan iman dan keyakinan kepada Allah bagi menepis anasir-anasir jahat yang datang menyerang. Terkadang sedih diri ini melihat wajah-wajah suci yang belum mengerti akan dugaan sebenar. Ingatlah, nafsu itu sifatnya tidak pernah puas. Nafsu sentiasa lapar, semakin kita beri, ia semakin lapar. Maka jangan terlalu dituruti nafsu yang buruk itu…..

Tidak kira selepas ini dikau belajar di mana, di kolej Islam, university luar negara atau dalam negara, mahu pun university biasa, bawalah Allah bersama, letakkan Allah di tempat pertama dalam hatimu, pagarilah dirimu dengan iman yang utuh dan ingatlah kembali tugasmu sebagai khalifah. Jangan sesekali meninggalkan solat yang 5 itu, kerana ia merupakan tiang agama. Andai solat tidak dapat dikau jaga, maka robohlah agama yang ada dalam dirimu…. Berkawanlah dengan semua orang, namun pilihlah sahabat mengikut piawaian daripada Rasululullah S.A.W ;

1)Apabila kamu melihatnya, kamu teringatkan Allah.
2)Apabila mendengar kata-katanya, akan bertambah ilmumu
3)Apabila kamu melihat amalan-amalannya, kamu teringat akan negeri akhirat"

“Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab” Begitulah pesanan sahabat nabi, Umar Al-Khatab, seorang yang selalu menyuruh sahabat-sahabatnya menghisab dirinya sebaik sahaja selesai solat. Contohilah sikap itu, jangan selalu berkecil hati dengan terguran yang membina, perbaikilah diri, perbaikilah hati, perbaikilah peribadi….

Duhai adikku bakal penghuni syurga,

Teringin sungguh diri ini memiliki sekeping hati seperti hatimu, yang sungguh lunak pada sebuah kebenaran. Teringin sungguh diri ini memiliki sepasang mata seperti matamu, yang sentiasa basah mengingatiNya, teringin sungguh diri ini memiliki lidah seperti lidahmu, yang tidak berhenti mengalunkan zikrullah….

Sabarlah dalam mengharungi dugaan. Perjuangan itu memang pahit, tetapi ingatlah bahawa syurga itu manis! Jadikan dirimu seperti ikan di laut masin, biarpun dikelilingi air yang masin, namun isinya tetap tawar...

Salam perjuangan, moga hati-hati kita bertaut kerana Allah….

Read More......

Manusia yang 'mudah'



Siaran terpaksa diaktifkan sebentar atas beberapa faktor :)

Mudah. Manusia itu memang seorang yang mudah. Mudah lupa, mudah terguris, malahan mudah untuk tidak bersyukur…. Tulisan ana dalam tips belajar mungkin menyemarakkan semangat untuk TIDAK SOMBONG DENGAN ALLAH. Alhamdulillah, moga berkekalan. Namun,apa yang merungsingkan ana tulisan itu hanya digunakan ketika perlu sahaja.

Apa maksud ana?

Terkadang apabila ana melihat mereka yang hanya mencari Allah tatkala susah, timbul satu perasaan yang merebak dalam hati ana. Kasihan.

Terkadang apabila ana melihat mereka yang memberontak menyalahi takdir, memarahi Allah, timbul satu perasaan yang merobek-robek jiwa ana. Kasihan.

Terkadang apabila ana melihat mereka yang mengambil keputusan singkat dengan meninggalkan ajaran yang diajar oleh Rasulullah atas perintah Allah Yang Esa kerana kecewa dengan apa yang terjadi, timbul satu perasaan yang amat nyilu di dalam hati ana. Kasihan.

Tapi begitulah lumrahnya hidup manusia di atas muka bumi ini, tidak pernah terlepas daripada beberapa sifat mudah itu. Mungkin ana, kamu, kita semuanya tergolong dalam golongan ‘mudah’ tadi.

Banyak…. Banyak benar simptom-simptom itu yang dapat dilihat pada hari ini. Khususnya buat para pelajar yang bakal menjalani peperiksaan-peperiksaan besar. UPSR,PMR,SPM,STPM,STAM. Bahkan mungkin jua kepada para pelajar university yang bakal menduduki peperiksaan. Lagi seminggu hendak periksa baru mahu melakukan solat hajat bahkan mungkin lagi sehari kaki bakal melangkah ke dalam dewan peperiksaan barulah berlumba-lumba untuk melakukan solat hajat, melakukan solat-solat sunat,berdoa, merintih…

Tidak… Ana tidak bermaksud tidak bagus melakukan solat hajat mahu pun amalan-amalan sunat yang lain, memang elok benarlah kita membersihkan hati,jiwa dan diri tetapi bukankah lebih baik andai segala amalan itu kita lakukan secara istiqamah. Lakukannya dengan benar-benar ikhlas, sebagai hamba yang bersyukur dengan ketentuanNya, sebagai hamba yang bersyukur atas nikmat Allah yang terlalu banyak. Lakukannya atas dasar seorang hamba. Itu sahaja.

Sedih benar ana melihat mereka yang bersungguh-sungguh melakukan amalan buat bekalan di akhirat atas urusan dunia,merebut segala amalan baik atas sesuatu sebab, periksa contohnya dan sebaik sahaja peperiksaan berakhir maka berakhirlah juga segala amalan-amalan itu.

Itukah tandanya seorang hamba yang bersyukur?

Itukah tandanya seorang hamba yang berikhtiar?

Itukah tandanya kita benar-benar berharap pada-Nya?

Tidakkah kita merasa malu kepada Rasulullah? Pada suatu ketika dahulu, Rasulullah melakukan solat sehingga bengkak-bengkak kaki baginda. Lantas, Aishah bertanya : “Ya Rasulullah, mengapa kamu melakukan solat sehingga bengkak-bengkak kakimu? Sedangkan engkau sudah dijanjikan syurga?”

Apa Rasulullah jawab?

“Wahai Aishah, salahkah aku untuk menjadi seorang hamba YANG BERSYUKUR?”

Subhanallah!

Malu… malu benar ana pada baginda… Antum semua malu tak? Kita hanya mencari-Nya ketika susah dan terkadang kita lupa bahawa kita ini adalah hamba, semua perkara yang kita lakukan adalah kerana-Nya semata, dan apabila kita diuji, cepat benar kita melenting, memarahi takdir, memusuhi diri sendiri bahkan ada yang mahu membunuh diri..kerana apa? Kerana kita terlupa bahawa kita adalah hamba! Hamba yang sememangnya layak diuji, hamba yang seharusnya yakin pada Allah 100%

Yang berkata ini bukanlah yang terbaik, yang berkata ini juga bukanlah seorang yang sempurna kerana yang berkata ini juga merupakan seorang hamba yang banyak khilafnya… Jadi hiduplah di alam realistik di mana tiada siapa yang sempurna. Ana, dia, kamu, kita… Semuanya ada kekurangan…

Ingat, beristiqamahlah dalam beramal, kerana Allah suka pada hamba-Nya yang istiqamah… Jangan lupa membaca bicara Allah untuk kita di dalam Kitab Suci Al-Quran.. Ingat, hidup di dunia hanyalah ibarat seorang musafir...

Selamat beramal dan beristiqamah!

Wallahu’alam :)

Read More......

Friday, June 12, 2009

Siaran Tergendala



Harap Maaf...

Lebih kurang seminggu lagi ana dan rakan-rakan akan menghadapi peperiksaan akhir semester (22 jun - 26 jun). Justeru itu, penulisan di blog haruslah dihentikan buat sementara waktu untuk memberi penumpuan kepada subjek-subjek yang akan dipertarungkan di dewan periksa nanti!

Doakan agar ana dan rakan-rakan membawa segala kelengkapan yang cukup untuk bertarung nanti. insyaAllah...

Periksa kerana ALLAH! Moga kita tidak menjadi fitnah kepada Islam tercinta. Jangan lupa untuk memperbaiki diri, memperbaharui hati, membuang karat-karat jahiliah... Salam perpisahan buat sementara, insyaAllah...

Siaran tergendala sebentar... Jangan betulkan komputer anda...

Fi Amanillah... :)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .