Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, June 18, 2009

Warkah Buat Adik-Adikku..



Bismillahirrahmanirrahim…

Astarghfirullahalazim…

Ana mulakan kalam dengan lafaz istighfar kerana mungkin apa yang bakal dilafazkan banyak khilafnya, lantaran diri ini hanyalah seorang hamba yang sering melakukan dosa, yang sering lalai dan alpa…

Adik-Adikku harapan Agama,

Diri ini terasa terlalu hina untuk mengungkapkan barang sepatah dua kata buat dirimu yang jauh lebih baik daripada diri ini, dirimu yang selayaknya kurang dosa daripada diri yang sedang berkata-kata ini.

Ingatlah, hidup di dunia ini tidak lebih daripada seorang musafir yang sedang berjalan menuju ke destinasi, persinggahan kita di dunia ini hanyalah sementara dan akhirat itulah negeri yang kekal abadi, negeri di mana kita mendapat keputusan lulus cemerlang atau pun tidak mengikut piawaian Allah S.W.T, andai lulus, berbahagialaah kita atas janjiNya, jika tidak menderitalah kita kerana azabNya.

Adik-adikku pelapis Agama,

Persekolahan dan dugaan yang sedang dikau lalui atau baru sahaja ditinggalkan hanyalah sekelumit daripada dugaan berada di menara gading ini. Pada yang tinggal di asrama, mungkin suasana dan peraturan yang mengikat mampu mendisiplinkan dirimu dan jua mendekatkan dirimu kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim… Pada yang tinggal di rumah, ibu dan bapamu mungkin ada untuk meneliti.Namun adikku sayang fillah, ketahuilah, diri ini sungguh-sungguh terkejut dengan keadaan di university. Dikau akan bebas melakukan perkara yang disukai. Kawalan ada, tetapi terlalu longgar. Dikau akan berjumpa dengan pelbagai jenis manusia, dugaan akan datang silih berganti dan pada yang lemah mungkin akan tersungkur menyembah bumi.

Ketahuilah adikku, diri ini bukanlah insan yang sempurna, tetapi diri ini selalu sahaja menangis mengenangkan sahabat-sahabat seperjuangan yang tersungkur di medan menara gading ini. Tidak kiralah ketika di asrama dahulu dia bergelar imam atau ahli surau, dugaan duniawi yang indah dan sungguh menggoda benar-benar merangsang nafsu dan akhirnya iman yang menderita dibiarkan terus menderita… Tersungkur bukan dalam mata pelajaran tetapi tersungkur dalam aspek aqidah Islamiyyah! Dan diri ini tidak mahu dikau tersungkur jua. Perit, benar-benar perit menyaksikan saudara seagama terus lalai dan leka sedang diri ini tidak mampu melakukan apa-apa. Lemahnya imanku.

Duhai adikku penegak Agama,

Bukan niatku untuk menakut-nakutkan dirimu, tetapi sekadar memberitahu persiapan yang perlu dikau sediakan agar sejadah imanmu tidak terus-terusan terkoyak. Agar dikau membentengi diri dengan iman dan keyakinan kepada Allah bagi menepis anasir-anasir jahat yang datang menyerang. Terkadang sedih diri ini melihat wajah-wajah suci yang belum mengerti akan dugaan sebenar. Ingatlah, nafsu itu sifatnya tidak pernah puas. Nafsu sentiasa lapar, semakin kita beri, ia semakin lapar. Maka jangan terlalu dituruti nafsu yang buruk itu…..

Tidak kira selepas ini dikau belajar di mana, di kolej Islam, university luar negara atau dalam negara, mahu pun university biasa, bawalah Allah bersama, letakkan Allah di tempat pertama dalam hatimu, pagarilah dirimu dengan iman yang utuh dan ingatlah kembali tugasmu sebagai khalifah. Jangan sesekali meninggalkan solat yang 5 itu, kerana ia merupakan tiang agama. Andai solat tidak dapat dikau jaga, maka robohlah agama yang ada dalam dirimu…. Berkawanlah dengan semua orang, namun pilihlah sahabat mengikut piawaian daripada Rasululullah S.A.W ;

1)Apabila kamu melihatnya, kamu teringatkan Allah.
2)Apabila mendengar kata-katanya, akan bertambah ilmumu
3)Apabila kamu melihat amalan-amalannya, kamu teringat akan negeri akhirat"

“Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab” Begitulah pesanan sahabat nabi, Umar Al-Khatab, seorang yang selalu menyuruh sahabat-sahabatnya menghisab dirinya sebaik sahaja selesai solat. Contohilah sikap itu, jangan selalu berkecil hati dengan terguran yang membina, perbaikilah diri, perbaikilah hati, perbaikilah peribadi….

Duhai adikku bakal penghuni syurga,

Teringin sungguh diri ini memiliki sekeping hati seperti hatimu, yang sungguh lunak pada sebuah kebenaran. Teringin sungguh diri ini memiliki sepasang mata seperti matamu, yang sentiasa basah mengingatiNya, teringin sungguh diri ini memiliki lidah seperti lidahmu, yang tidak berhenti mengalunkan zikrullah….

Sabarlah dalam mengharungi dugaan. Perjuangan itu memang pahit, tetapi ingatlah bahawa syurga itu manis! Jadikan dirimu seperti ikan di laut masin, biarpun dikelilingi air yang masin, namun isinya tetap tawar...

Salam perjuangan, moga hati-hati kita bertaut kerana Allah….

1 comment:

D.K. said...

bangkitlah adik-adikku dari empok tilam hidupmu...kami perlukan kamu...

salam ukhwah...

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .