Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Monday, June 29, 2009

Ucaplah Alhamdulillah



"Dah teruk dah dia, tak boleh bercakap... Kurus.."

Petah kakak ana bercerita sebaik sahaja balik daripada melawat sahabat karibnya. Allah.. Ana agak terkejut, apatah lagi kakak ana menambah bahawa sahibahnya itu sudah dua kali nazak tapi Allah masih panjangkan umurnya.

Ana terpana. Sedih. Kasihan. Bagaikan baru semalam melihat dia dalam keadaan ceria. Tersenyum. Ketawa. Dan kini dia menderita sakit yang tiada penawarnya. Ototnya tidak berfungsi dan sel-sel di otak semakin mati...

Allah.... Sekelip mata Allah mahu mengambil segala pinjamanNya. Ana terfikir, sudah bersediakah ana untuk menghadapNya? Tatkala insan-insan di sekeliling ana masih lagi terkapai-kapai minta ditolong tetapi ana pandang hambar. Tatkala bibir leka mengalun zikrullah dan hati leka dengan kemanisan dunia....

Bertambah sebak dalam hati tatkala melihat saudara seagama terlupa untuk mengucap sepotong ayat- Alhamdulillah tatkala mendapat nikmat yang menggunung.

"Alah, kenapa demam pulak ni, aku dah lah nak periksa" Rungut seorang pelajar tanpa disedari bahawa sakit yang menimpa merupakan kafarah dosa dan sakit itu hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang terlantar di hospital. Lupakah kita pada kisah Nabi Ayub a.s yang menderita sakit bertahun-tahun lamanya?

"Huh! Benci aku hidup macam ni" Rungut seorang insan yang ditimpa musibah tanpa disedari musibah yang menimpa adalah untuk memantapkan hati, agar lebih kuat menempuh hari mendatang... Lupakah kita pada nikmatNya yang banyak yang kita tidak sempat untuk bersyukur?

Yang penting sekali, bersyukurkah kita pada satu nikmat yang begitu besar sekali... Nikmat ISLAM! Kita dilahirkan sebagai seorang muslim sejati, bukan sebagai penganut agama lain yang terpaksa mencari sinar kebenaran itu bahkan mungkin diuji dengan pelbagai rintangan yang mampu menyesakkan jiwa...

Kita adalah Islam sejak lahir. Kebenaran itu terbentang di hadapan mata sejak azali lagi. Namun sedih ana melihat saudara-saudara seIslam ana mensia-siakan nikmat itu. Berpesta, berfoya-foya, bergaul bagaikan tidak mempunyai agama... Sedih.. Sedih sungguh... Apakah Rasulullah sedang menangis tika ini melihat umatnya begini?

Teringat ana pada kisah wanita ulung- Rabiatul Adawiyah.. Beginilah lebih kurang ceritanya.

Pada suatu hari Rabiatul Adawiyah berjalan-jalan dan terlihat seorang lelaki yang berbalut kepalanya. Rabiatul Adawiyah pun bertanya "Mengapa engkau membalut kepalamu?" Si lelaki tadi menjawab "Aku sakit". Rabiatul Adawiyah berasa sedih dan berkata "Adakah ketika engkau sihat engkau meletakkan sebarang tanda pada dirimu?" "Tidak" Jawab lelaki itu. "Jadi, adakah engkau ingin menunjukkan bahawa Allah itu kejam kerana memberi kesakitan kepadamu?"

Kita juga begitu bukan? Ketika kita senang, ketika kita sihat, kita bergembira...Kita sering bersuka-suka dan lupa pada Allah... Tetapi ketika kita sakit, kita susah.. Kita merintih, menangis-nangis, merayu minta ditolong....

Adakah kita ini manusia yang tidak tahu bersyukur???

Renung-renungkan... Fikir-fikirkanlah...

~Ucaplah Alhamdulillah, tanda syukur kepada Allah..~

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 57)

p/s : Doakan agar Allah mengembalikan kesihatan kepada Kak Nina Maleen agar dia mampu menjalani kehidupan seperti biasa, di sisi keluarga tersayang... amin..

Wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .