Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Tuesday, June 2, 2009

Hindarkan Dirimu Dari Meniru...!!!


Pada waktu itu, Kami mengunci mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.
(Surah Yaasin: ayat 65)


Ana mulakan kalam dengan firmanNya dalam kitab suci Al-Quran, agar sama-sama kita renungi diri...

Meniru. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi para pelajar zaman moden ini, bahkan juga mungkin sudah terbiasa lantaran sudah terdidik sejak kecil lagi.

"Ala, biasalah tu meniru bukannya apa.."

Wahai Para Penuntut Ilmu sekalian,

Fikirkanlah... Amanah itu sememangnya kelihatan ringan di dunia namun begitu berat di akhirat kelak!

Lupakah kita pada sifat-sifat orang munafik ;

1) Apabila berkata ia berdusta
2) Apabila berjanji ia mungkiri
3) Apabila diberi amanah ia mengkhianati

Sukakah kita menjadi orang munafik? Bukankah kita yang mengatakan

"Aku rindu Rasulullah!"
"Aku cintakan Islam"
"Oh Allah, rindunya diriku padaMu"

Di manakah buktinya? Andai amanah sekecil 'JANGAN MENIRU' yang diberi oleh guru/pensyarah tidak mampu untuk kita turuti,apatah lagi amanah-amanah berat yang lain... Kitakah itu yang pada dahulunya berjanji untuk menjadi khalifah Allah yang mampu mentadbir bumi dan pada akhirnya tersungkur dek amanah yang kecil, tergoda dengan mainan syaitan!

Tidakkah kita sedar bahawa kita telah menyakiti Rasululullah?

"Enti tak faham.. Ana perlu dapat markah tinggi!"

Hendak dapat markah tinggi, maka berusahalah dan selepas itu bertawakallah. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk kita, mungkin kita mahu markah yang tinggi kerana merasakan itu yang terbaik, tapi Allah kata TIDAK, itu bukan yang terbaik untukmu.. Mungkin kamu akan riak jika mendapatkannya.

Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah: "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung." (At-Taubah :129)

Sama juga seperti seorang anak kecil yang mahu bermain berlari-lari di tengah jalan raya, dia merasakan itu satu keseronokan, satu kemestian! Tetapi ayahnya melarang kerana dia tahu itu bukan yang terbaik untuk anaknya, dan si anak kecil ini pun terus-terusan menangis, memberontak bahkan mungkin berguling-guling di atas lantai, tapi ayahnya tetap berkata 'Tidak anakku, itu bukan yang terbaik untukmu..' Dan apabila sudah besar, dan mampu untuk berfikir, akan terbuktilah kebenaran kata-kata si ayah tadi..

Betul kan?

Sahabatku sekalian,

Ukurlah kembali niat kita, sejauh mana ikhlasnya kita untuk menuntut ilmu keranaNya semata? Sejauh mana pula niat kita menuntut ilmu demi mengejar segulung ijazah semata?

Andai niat kita tulus kerana Allah, pastinya kita mencari SEBUAH KEBERKATAN, bukannya sebuah penghargaan daripada masyarakat. Maka, andai mendapat markah yang tinggi lantaran meniru sekalipun, terfikirkah kita...

Apakah berkat ilmu itu? Bagaimana nanti di alam pekerjaan pula? Dan apakah yang akan berlaku di akhirat nanti,pada ketika mulut-mulut tidak mampu untuk bersuara....

Biar sedikit, asal berkatnya ada daripada banyak tapi tiada nilainya... Erti kejayaan bukan pada waktu kita menaiki pentas mengambil segulung ijazah atau penghargaan, tapi erti kejayaan sebenar adalah pada saat kita menerima keputusan LULUS CEMERLANG mengikut piawaian Allah di akhirat nanti...

Fikir-fikirkanlah, renung-renungkanlah...

Wallahu'alam...

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .