Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Wednesday, February 22, 2012

Mengenang Syria dan Palestin


Saudaraku... Jika saat ini dikau berduka, bersabarlah... Moga kelak di syurga sana kita kekal bahagia. Abadi. Selamanya...

Negeri itu menangis.

Menangis membasahi bumi nan tandus,
Tangisannya yang kian lebat ibarat darah-darah yang memancut keluar dari tubuh si mangsa..

Dahulu....
Negeri yang menangis itu hanyalah Palestin,
Kini Syria menyusur sama,
Peperangan,
Kekejaman,
Ketandusan akhlak dan Iman..


Ah,

Saudaraku!
Saudaraku!
Saudaraku!

Di mana kamu?
Tidakkah terlihat kami sedang dikejami,
Tidakkah di hatimu terasa bahawa kami sedang disakiti..

Jeritan itu,
Ya jeritan itu,
Seolah ia sayup-sayup membisik,
Bersama hembusan angin di telinga,

Bisikan senyap itu,
Seolah berubah menjadi bingit,
Dan ia semakin membingit,
Namun kali ini suara itu tidak menerobos gegendang telinga,
Tetapi ia menikam jauh ke lubuk hati.

Ah, sakit...

Syria, Palestin...
Apa khabarmu di sana?
Deritakah?
Masih adakah ahli keluarga disisimu?

Wahai Syria, Wahai Palestin,
Ingatkanlah kami,
Tegaskanlah hati kami,
Katakanlah kepada kami :

Cukuplah. Hentikan segala hiburan yang melekakan,
Kerana di syria dan palestin,
Jeritan manusia serta tembakan senapang itulah,
Yang menjadi 'hiburan' kami sepanjang hari.

Wahai Syria, Wahai Palestin...
Sudikah dikau memaafkan kami?

Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah.(Al-Furqan : 27)


wallahu'alam

Read More......

Wednesday, February 15, 2012

Bertelagah? Contohilah Si kecil


"AAAA!!" Jeritan Aisyah nyaring kedengaran,mungkin hampir sahaja menggegarkan bas yang kami naiki.

Saya menoleh ke kanan, melihat tempat duduk si kecil itu yang bersebelahan dengan saya, cuma dipisahkan oleh satu laluan. Di sisinya, Adam sedang menarik kuat rambut Aisyah yang lurus, berebutkan tempat duduk!

"UWAAA!!!" Seperti dijangka jeritan itu akhirnya bertukar kepada tangisan.

Saya tersenyum, jujurnya tidak tahu mahu ketawa atau simpati. Aisyah yang terkenal dengan sifat manjanya bergaduh dengan Adam yang terkenal dengan keaktifannya membuahkan hasil - Aisyah melolong dan Adam hanya buat muka tak bersalah. Siap melunjur kaki di atas kerusi!

Memujuk si kecil

Tangisan Aisyah yang semakin 'hebat' membuatkan fikiran saya yang berkira-kira mahu ketawa atau tidak tadi menjadi semakin lelah. Ini tak boleh jadi, jika dibiarkan boleh gawat seluruh bas.

"Aisyah meh sini duduk dengan kak wawa" saya menarik tangannya lembut. Aisyah hanya menuruti, duduk di ribaan saya. Rambutnya yang halus itu saya usap-usap perlahan.

"Dah Aisyah jangan nangis lagi ya" sekejap sahaja, tangisannya beransur reda.. Ah,lumrahnya wanita berjiwa halus, sering mengharapkan perhatian.

Si bujang Adam itu, lumrahnya gemar menyakat, sudah tidak ada idea lagi mahu bertelagah, dia berlalu pergi dari kerusi yang direbutkan tadi, sambil tersengih dan meneruskan usahanya menjadi 'pramugara' di dalam bas.

Ah, lucu. karenah anak-anak kecil memang hakikatnya menghiburkan.

Tidak sampai sesaat.....

Melihat Adam pergi, aisyah kembali ke kerusinya.

Tidak sampai sesaat....

"Adam... Adam tengok ni"

Aisyah menoleh ke belakang, mencari-cari Adam yang sedang 'bertugas'.

"Apee" Adam berlari mendapatkan Aisyah.

Dan mereka kembali bercerita, seolah Adam tidak pernah berebutkan kerusi Aisyah.

Seolah Aisyah tidak pernah menangis tadi.

Seolah tangan kecil Adam tidak pernah menarik kuat rambut Aisyah,

Ah anak- anak ini..... Karenah mereka benar-benar menyedarkan saya sesuatu.

Gemar Bermasam Muka

"Eh kenapa kau tak tegur dengan dia, bukan dia kawan baik kau ke?"

"Tu dulu"

"Kenapa kau tak kawan dengan dia lagi?"

"Dialah hutang duit aku tak bayar."

"Dah berapa lama kau tak kawan dengan dia?"

"Baru je... 3 TAHUN."

Situasi di atas hanyalah contoh. Tapi tak mustahil ia pernah benar-benar berlaku dalam kehidupan manusia. Terkadang kerana wang manusia bermasam muka, terkadang kerana hal yang remeh sebuah persahabatan mampu terbatal.

Ada yang bergaduh hanya kerana pinggan tak bercuci.

Ada yang bergaduh hanya kerana lupa tutup lampu sebelum tidur.

Ah, orang dewasa rupanya lebih keanak-anakan berbanding anak-anak!

Bertelagah? Contohilah si kecil

Memang lumrah hati manusia itu mampu berasa sakit, terluka dan macam-macam lagi. Fitrah itu tidak salah, yang salah adalah kita mendorong fitrah kepada fitnah. Ingatlah persoalan hati yang tidak mampu kita kawal tidak akan dihisab, tetapi perbuatan kita akan dihisab.

nak rasa sakit hati? Nak tegur kawan? Nak marah kerana sayang?

Silakan jika semuanya kerana Allah.

Cuma jangan biarkan kemarahan itu berleluasa... Jangan dilayan rasa sakit di dalam hati,kerana kelak, rasa sakit itu akan membuahkan perbuatan yang tidak elok.

sebelum kita nak marah orang lain, fikirkanlah segala kebaikan yang dia pernah lakukan... Pasti rasa sakit di dalam hati akan sembuh sedikit.

"Tapi saudari.... Dia memang tak ada kebaikan langsung!"

Oh maka fikirkanlah... Kita ini tidak adakah menyakiti hati manusia lain?

Dan ingatlah :

Daripada Abu Hurairah, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat,” Bagi­nda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis riwayat Bukhari).


Wallahu'alam

Read More......

Saturday, January 28, 2012

Ku Pinang Engkau Dengan Al-Quran



"Sekarang ni mahal betul kos kahwin." Emak saya memulakan bicara, saja berbual dengan seorang makcik di kenduri kahwin.

"A ah betul tu. Perempuan pula minta hantaran tinggi-tinggi." Balas makcik tersebut.

Saya tersenyum. Hantaran mahal umpama tradisi sekarang. Seolah-olah ia menjadi salah satu dari rukun nikah.

Teringat saya pada satu kisah. Nak tahu? Jom baca!

Seorang Wanita Meminang Rasulullah

Pada suatu hari yang tenang, sedang Rasulullah duduk bersama sahabat, datang seorang wanita dan berkata,

"Ya Rasulullah, aku menawarkan diriku padamu."

Rasulullah melihatnya dan mengangguk-angguk kemudian baginda duduk. Hakikatnya, baginda tidak berhasrat menikahinya.

Melihat hal itu, seorang sahabat berdiri dan berkata, "Wahai Rasulullah.Jika engkau tidak berhasrat menikahinya, maka nikahkanlah dia denganku."

Rasulullah kembali bertanya, "Apakah yang kamu ada sebagai mahar untuk wanita ini?"

"Demi Allah ya Rasulullah, aku tidak punya apa-apa" Ujarnya sedih.

Rasulullah berkata, "Pulanglah ke rumah dan lihat jika ada apa-apa yang boleh dijadikan hantaran."

Lelaki itu pulang dengan satu hasrat. Ingin mencari mahar untuk wanita tersebut.

Tatkala dia kembali kepada Rasulullah, dia tidak membawa apa-apa dan dengan sedih dia berkata, "Aku tidak temui apa-apa ya Rasulullah."

Rasulullah kembali berkata,"Carilah... meski pun hanya sebentuk cincin besi."

"Aku punya sehelai kain." Jawabnya.

"Apalah yang boleh dilakukan dengan sehelai kain? Jika engkau memakainya, isterimu tidak dapat memakainya, jika isterimu memakainya engkau tidak dapat memakainya."

Lelaki itu diam, raut wajahnya kelihatan sedih. Dia kembali duduk diam.

Ku Pinang Engkau Dengan Al-Quran


Rasulullah melihatnya dan bertanya, "Apakah yang engkau ada dengan Al-Quran?"

"Aku hafal surah ini dan surah ini."

"Jika begitu aku nikahkan engkau dengannya dengan mahar ayat-ayat Al-Quran yang telah kau hafal.

Dan akhirnya lelaki itu pun menikahi wanita tersebut, dengan ayat-ayat Al-Quran yang dihafaznya..

And they lived happily ever after.

the end.

:)

Seronok bila semuanya kerana Allah.

Perkahwinan yang berlandaskan harta itu menampakkan materialistik. Seolah-olah kebahagiaan itu disandarkan kepada harta. hilang harta, hilanglah bahagia.

Wallahu'alam

Read More......

Tuesday, January 17, 2012

Kerana Allah.


"AAAA... ya Allah ya Allah malasnya." Sahibah yang sedang baring di atas lantai bersuara. Mungkin akibat badan yang terlalu letih setelah seharian minda fokus di kelas menjadikan badan agak letih untuk kembali mengulangkaji pelajaran di bilik pula.

Saya memahami, kerana saya juga kerap merasa begitu.

Tiba-tiba ada satu idea datang. Saya tersengih. "Ha. Belajar kerana apa ni? Kalau kerana Allah tak boleh malas-malas." Peringatan yang keluar pertama sekali semestinya buat diri saya sendiri juga.

Sahibah yang dikasihi diam sebentar.

Tidak lama kemudian dia kembali bersuara "SAHAJA AKU BELAJAR KERANA ALLAH TAALA." Yakin benar suaranya, lantas dia bangun,duduk dan kembali membuka buku.

Terhibur hati saya melihatnya.

Kerana Apa

Seorang ulama' terkenal Ibnul Qayyim Al-Jauziyah berkata :

Cinta itu boleh lenyap bersama lenyapnya sebab.


Kita cintakan ilmu, kan?

Tapi mari kita tanya kembali.. cinta kan ilmu itu kerana apa? Adakah kerana nak dapat kerja? nak dapat 4.0? nak dapat pujian rakan?

Nah, andai itulah sebabnya, percayalah rasa cinta kepada ilmu itu akan lenyap kerana sebab-sebab kita cintakan ilmu itu pun tidak akan kekal.

Yang kekal hanya ada satu.
Yang abadi itu hanya satu.

Ya.. Allah. Jika cinta kepada ilmu itu kerana Allah sahajalah akan kekal selamanya... Bukankah Allah tidak akan lenyap?

Yakinlah

Ada manusia, yang bila ditanya : Adakah kamu yakin dengan Allah?

Dengan pantas dia menjawab : Ya, sudah pasti.

Tapi..seharian hidupnya, apabila ditimpa musibah, dia mengadu kepada manusia. Apatah lagi di zaman teknologi ini, semuanya dicatatkan di dinding-dinding facebook. Sedang dia kata dia yakin kepada Allah, dia tanpa sedar hakikatnya lebih banyak mengadu kepada manusia.

Tidak salah untuk kita mengadu, meminta pandangan sesama manusia, tetapi apa-apa pun utamakanlah dahulu Allah. Allah ni sifatNYA sangat cemburu. Justeru, apabila ada hambaNya yang lebih utamakan manusia daripadaNya, Allah cemburu sangat.

Bukankah Allah itu lebih Maha Mendengar, Maha Mengetahui?

Mari kita lihat satu situasi :

Andainya kita, anda, saya, atau sesiapa sahaja sedang berjalan berseorangan, terlihat pula anjing liar di hadapan, oh ada pula orang yang mencurigakan berdekatan, orang itu tersengih panjang.

Ha, pada saat itu, adakah kita lebih mengharapkan kehadiran polis atau lebih mengharapkan pemeliharaan Allah?

Percayalah sahabat, kerana pemeliharaan Allah itulah akan dihadirkannya bantuan dari manusia. Allah tidak zalim, malah Allah amat memahami hatimu.

Tidak terlihatkah kita pada pertolongan Allah di Palestin yang telah lama berperang namun rakyatnya masih tidak lagi habis-habis?

Tidak terlihatkah kita pada pertolongan Allah saat seorang isteri sedang sakit melahirkan, banyak urat-uratnya putus namun dia masih boleh tersenyum akhirnya melihat bayi yang selamat dilahirkan?

Yang paling penting, tidak terlihatkah kita, saban hari Allah masih menolong kita bergerak dalam dunia ini walau hakikatnya kita banyak melakukan dosa?

Maka.... Dalam kita belajar dan melakukan apa pun, yakin yakin dan sentiasa yakinlah bahawa Allah akan membantu. Bukankah Allah telah berfirman :

Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Yunus : 107)


Hanya Kerana Allah.

Alat penghawa dingin di kelas rosak. Kipas pula tiada. Cuaca di luar sangat panas sehingga bahangnya terasa di dalam kelas.

Saya dan sahibah keluar sebentar menghirup udara segar di luar.

"Ya Allah...letihnya." Tanpa sedar saya mengeluh. "Eh, tak boleh tak boleh cakap letih." Tersedar kesilapan, saya memuhasabah diri kembali.

Tatkala berdiri di hadapan pintu kelas, tatkala tangan memegang tombol pintu itu, segera mulut berkata "Sahaja aku masuk kelas kerana Allah Taala."

Dan sahibah di sisi tersenyum, seolah berkata : Jom sayang, kita belajar kerana Allah :)

Hanya kerana Allah. Allah. Hanya Dia yang kekal tidak akan lenyap...

Selepas ini apabila ada orang bertanya, kamu buat perkara itu(kebaikan) kerana apa? Maka yakinlah menjawab : Kerana Allah.

Jawab bukan sekadar di mulut, tapi sematkannya di dalam hati juga.

Moga Allah kasih.

Wallahu'alam

Read More......

Saturday, January 7, 2012

Saya Ingin Berubah...Tapi...


"Hee" bayi itu tersengih. Tangan kecilnya yang gebu menongkat tanah. Punggungnya terangkat, menegakkan kaki untuk berdiri.

"Tatihh..tatih.." Si ibu bersuara girang,menjulurkan tangan ke hadapan, bersedia menyambut ketibaan si anak kecil.

"Ihik" si bayi tersengih,menunjukkan 2 batang gigi yg baru tumbuh. Kakinya melangkah setapak ke hadapan.

'Gedebuk'

Dia terselingkuh dan jatuh. Di birai matanya wujud titis jernih.. "Isk isk" tangisnya mula kedengaran.

"Takpe,takpe sikit je.. Bangun bangun" si ibu setia menanti,mengharapkan anaknya bangun kembali.

Dan proses itu berterusan berulang begitu, sehingga si anak kecil mampu berjalan dan berlari.

Si anak kecil itu sendiri mungkin tidak menyangka bahawa tangisannya mampu bertukar menjadi gelak tawa. Derita itu mampu bertukar menjadi bahagia..

Iman Itu Turun Naik

Seperti itu jugalah sifat iman kita. Terkadang naik, hati rasa bahagia. Iman terasa subur. Beribadah rasa senang. Hatta ketika dicemuh pun hati mampu tenang.

Tapi... Seperti langit yang terkadng disapa hujan, begitu juga perihalnya iman. Tatkala iman dilanda mendung bergelora, hati rasa derita, iman menjadi layu, beribadah rasa payah. Hatta ketika ditegur sedikit rasa sedih menggunung.

Manusia yang kuat tidak akan menyerah begitu sahaja. Kelemahan itu bukanlah diberi untuk kita bersedih dan mencerca diri,bahkan kelemahan itu diberi agar kita sentiasa muhasabah dan mengambilnya untuk mempertingkatkan diri.

Tapi.... Bagaimana?

Ayuh Segarkan Iman

Antara sedar dan tidak, perkara-perkara mungkar yang terjadi adalah berpunca dari satu permasalahan. Iman. Dan iman itu letaknya di situ,di dalam dada anda. Ya, hati.

Bak kata opick, Ubat hati itu ada lima perkara :

1-Baca Quran dan maknanya. Baca quran tanpa tahu makna umpama anak kecil yang melihat buku bergambar, indah dan menarik,tapi isi ceritanya tidak langsung difahami. Rugi.

2-Solat malam dirikanlah. Rasulullah adalah manusia yang tak punya dosa. Tapi solat malam menjadi kewajipan baginya. Hakikatnya,solat malam mampu menjernihkan hati,melapangkan fikiran serta memberi satu booster pada iman :)

3-Berkumpullah dengan orang soleh. Rasulullah pesan,kalau kita berkawan dengan tukang pembuat besi, bau besi akan terlekat pada kita, tapi jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi,bau wangi yang akan melekat pada kita. Tidak salah untuk berkawan dengan semua orang,tapi dalam pencarian seorang sahabat.. Carilah yang soleh kerana sahabat adalah salah satu faktor penting yang akan mempengaruhi kehidupan kita.

4-Perbanyaklah berpuasa. Ya sahabat! Tahu tak,syaitan berjalan mengikut salur darah kita, bila kita berpuasa, salur darah menjadi sempit dan ini menyukarkan syaitan untuk berjalan-jalan cari makan dalam salur darah,sekaligus mampu membantu kita melawan nafsu.

5- zikir malam perpanjanglah. Telah Allah ingatkan ; hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang :

Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Ar-Ra'd :28)


maka berzikir,bermuhasabahlah.. Tanya pada hati, wahai hati, di mana engkau letakkan Allah?

Terpulang

"Jap mak jap cerita ni best" mata saya terpaku pada kaca televisyen. Bebelan emak tercinta supaya baca buku umpama angin bayu di tepi tasek kuis.

Dan emak tanpa jemu mengeluarkan ayat yang sama "kata pepatah,kita boleh bawa kuda ke air,tapi nak paksa kuda minum takkan boleh"

Atau emak akan berkata "kalau diri sendiri taknak belajar,malaikat turun dari langit ajar pun tak ada guna"

Ya. Begitu hebat hiperbola dan sastera emak. Kata-kata yang bisa menusuk hati. Biarpun saya tersengih,dalam hati sudah berdarah-darah seperti sungai nil yang mengalir. Karut.

Jadi begitulah sahabat, hakikatnya,semuanya akhirnya terpulang pada diri sendiri. Orang lain hanya mampu tunjukkan jalan.

Untuk terus menjadi lemah dan ikutkan nafsu,atau bangkit menjadi kuat dan tidak menjadikan nafsu raja, semuanya terpulang pada diri sendiri.

Dan ingatlah:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.(Ar-Ra'd : 11)


Psssttt.. Nak tahu rahsia? Syurga itu dibaluti oleh perkara yang nafsu TAK SUKA. Neraka pula dibaluti oleh perkara yang nafsu SUKA.

Kita nak yang mana?

Tepuk dada tanya iman,jangan tanya aiman,nanti dia jawab.. "Aiman tak kisah"

Wallahua'alam

Read More......

Friday, December 30, 2011

Mari Menyenangkan


Kadangkala kita menangis kesusahan,
Sedangkan ada insan lain yang lebih susah,
Namun di wajahnya masih terlukis senyuman...


"Dik,tolong ambilkan udang kering tu." Seorang makcik yang beratur di hadapan saya dan keluarga menunjuk ke arah peti sejuk di tepi kaunter pembayaran.

"Yang mana cik? yang ni?" Adik saya menunjukkan sebungkus udang kering yang hakikatnya tidak patut berada di situ.

"A ah yang tu. Makcik ingat tak jadi ambil tadi." Makcik itu membalas, seraya wajahnya sedang berkira-kira.

Suaminya yang berada atas kerusi roda ditolaknya perlahan. Si suami diam membatu, sakit mungkin. Namun makcik itu masih tabah menerima segalanya.

"Kalau kira yang ni jadi berapa?" Makcik itu bertanya pula pada kakak di kaunter, menunjuk kepada dua bungkus tauhu.

Kakak di kaunter laju memasukkan sejumlah lagi wang dalam perkiraan.

"Cukup tak?" Makcik itu meninjau-ninjau harga yang dipaparkan.

"Cukup kot..." Dia bicara lagi. Sendiri. Tangannya yang mula ditumbuhi kedutan mengeluarkan beberapa not rm5 dan rm1 yang diikat.

"Cukup tak dik? yang mee tu tak payah kira lah. tak jadi ambil."

"Er..tak cukup cik." Kakak di kaunter kelihatan serba salah.

"Lagi berapa sen tak cukup ya?" Makcik itu kelihatan resah.

Dan pada ketika itu,hati saya seolah-olah dihempas ke batu. Pecah berderai. Habis terbang semua nafsu untuk membeli. Syukur Allah menegur saya secara cash begitu.

Melihat makcik tersebut yang masih resah mencari lagi beberapa sen yang tidak cukup, saya berbisik kepada emak tercinta,

"Mak, apa kata mak bayarkan je mee makcik tu."

Emak yang berada di sebelah yang masih lagi memerhati makcik tersebut kelihatan tersentak. Emak ke hadapan sedikit,

"Dik,tak apalah dik, yang ni masuk dalam bil saya." Emak menunjuk ke arah mee yang diasingkan.

"Eh tak apa tak apa. tak apa, nanti saya boleh beli yang lain. saya meniaga depan ni je. tak apa." Makcik tersebut menolak.

"Eh tak apalah.." Emak masih kelihatan bersalah.

"Tak apa.. betul saya meniaga dekat sini je, nanti bila-bila boleh datang beli."Makcik tersebut masih menolak. Emak diam, tidak betah untuk memaksa.

"Lagi berapa sen dik tak cukup?"Makcik tersebut menyambung pertanyaan.

"Tak apalah cik..." Kakak di kaunter pembayaran bersuara.

"Terima kasih ya." Pantas makcik itu menolak kerusi roda suaminya dan berlalu. Si suami menunduk, entah apa yang difikirkan. Mungkin memikirkan nafkah yang telah pun beralih tangan.

Sungguh biar makcik itu susah,dia tidak mahu menyusahkan orang lain.

Dan semoga Allah memelihara makcik tersebut selamanya.

Dalam Senang,Ada Yang Susah


Saya suka pada satu pepatah : Kita menangis kerana tak punya sepasang kasut baru, sedangkan ada manusia di luar sana yang tak punya kaki.

Manusia takkan pernah terlepas dari kesusahan, ujian, dugaan dan cubaan.

Jika ubat itu dirasa pahit...Begitulah juga dengan segala ujian yang mendatang, tapi ingatlah tak semua kepahitan itu teruk. Sepahit-pahit ubat itu membawa kepada kesembuhan. Sepahit-pahit ujian itu juga membawa kepada kesembuhan hati yang kian jauh dari Tuhan.

Kita Yang Mana

Ada manusia... Tatkala dia berada di atas, dia melihat manusia yang sedang berada di bawah dengan perasaan yang jengkel. Dia tenggelam dalam keseronokan dunia yang tak pernah berkesudahan. Dia senang tetapi hidupnya tidak menyenangkan orang lain.

Dia menekan mereka yang di bawah, tidak mengendahkan titis jernih air mata yang mengalir. setiap penganiayaan itu bakal dihitung kelak,itu semua tidak dihiraukannya...


Ada manusia,yang bila senang dia menyusahkan orang lain. Senang cerita, dia senang atas kesusahan orang lain. menindas, berlaku zalim dan sebagainya...semua itu ditolak ke tepi. Asal dia senang, hati gembira, harta melimpah.

Ada manusia, yang bila senang dia menyenangkan orang lain, dia bersedekah dan membuat orang yang susah tersenyum. Walau sesaat, walau sedetik, kerana sungguh senyuman itu mententeramkan jiwa.

"Dah takdir aku takleh tolong diorang"

Takdir itu,selagi ia belum berlaku tidak dipanggil takdir. Kita ada hak untuk memilih takdir kita.

Contohnya sama ada mahu berjaya atau tidak. mahu belajar atau tidak. Dan di penghujung usaha itu barulah dipanggil takdir.

Bukankah telah Allah ingatkan : Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd:11)


Kamu ingin terus menjadi manusia yang menyenangkan atau menyusahkan orang lain?

Semuanya terletak pada diri sendiri.

Kerana hakikatnya, takdir itu hanya terjadi setelah kita yang memilih...

Belajar Lagi

"Ala nanti wak balik masjid wak nak pergi minum tak ada duit macam mana ni Adam" Abah saya bertanya, saja mengusik si kecil Adam yang asyik berlari sambil mulut tidak berhenti bercakap.

"aaaa... kejap eh kejap." Mulut ciliknya petah lagi berbicara. Kakinya lantas bergerak ke arah beg pakaiannya, tertonggeng-tonggek dia menyelongkar segala isi yang ada.. dan..

"Nah wak, ambik pergi minum." Tangan kecilnya menghulur not RM1 kepada abah saya.

Semua tertawa dengan keletahnya. Tapi ada pengajaran yang terselit ; meski kita susah, janganlah menyusahkan orang lain... Bila kita senang, jangan menyusahkan orang lain,senangkanlah mereka bersama.

Ingatlah duhai sahabat..

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba selagimana ia berusaha untuk menolong saudaranya."

(Riwayat Muslim)


Jom pasang azam tahun baru! --> letakkan senyuman di wajah setiap insan.

Wallahu'alam.

Kesatlah air matamu,
Lihatlah mereka di sana,
Bukankah mereka jua turut diuji?

Read More......

Wednesday, December 28, 2011

Sebelum Air Mata Itu Gugur...

Sahabat...
Sebelum kamu menangis kerana seorang manusia,
Sebelum kamu bersedih kerana seorang insan,
Tahan air matamu dari gugur!

Marilah bersamaku,
Mari kita fikirkan sejenak...

Pada satu hakikat yang kita selalu terlupa,
Selain Allah,
Rasulullah adalah yang paling mencintai kita umatnya..

Tapi berbalaskah cinta baginda?
Adakah kita juga mencintai baginda,
Hingga tidak tegar kita menyakiti baginda..

Atau sewenangnya kita berbuat dosa,
Dan di sana...
Baginda sedang menangis hiba,
Bukan kerana baginda bersedih kita mengingkarinya,
Tetapi baginda menangis kerana memikirkan,
Apakah azab yang bakal kita terima..

Duhai sahabatku yang dicintai...
Sebelum gugur air matamu itu kerana dugaan yang sedikit cuma,
Terbayangkah kita pada cercaan,hinaan dan makian yang baginda terima,
Tidak menitis air mata baginda kerana ujian itu,
Tetapi baginda menangis kerana risaukan kita umatnya...

Duhai sahabatku yang dicintai...
Ingatkanku andai terleka,
Tolong,
Tolong kejutkanku yang kian alpa,
Katakan padaku..

Wahai sahabat!
Sudahkah engkau mencintai Allah dan RasulNya?

p/s: Sahabat, doakan saya..Moga-moga Allah terima saya yang hina,moga-moga Rasulullah kelak mampu berbangga dengan umatnya...


Read More......

Saturday, December 24, 2011

I Love You, Mom, Dad..


Raut wajah tua itu,
Mengingatkanku pada sesuatu,
Dulu wajah itu yang tersenyum senang menyambut kepulanganku,
Dulu tangan itu yang sentiasa tidak jemu menyokongku,

Tatkala mata ini menatap wajah tua ayah,
Melihat wajah tua ibu,
Hati seolah direnggut sembilu,
Wajah itu... Semakin dimamah usia,
Sedang aku masih di sini,
Entah jasa apa yang dilakukan untuk mententeramkan mereka,

Saat tangan ayah ku salam,
Saat tangan ibu ku kucup,
Mengalir air mata dalam hatiku,
Tangan itu sudah tidak lagi seperti dahulu,
Kedutan di kulit jelas kelihatan,
Kasarnya tangan itu menyedarkanku sesuatu,
Ah, betapa kerasnya mereka bekerja,
Untuk menjadikanku seperti aku sekarang...

Tahun semakin berlalu,
Masa tidak pernah akan terhenti,
Dan usia pasti akan terus berjalan...

Tuhan...
Pinjamkan mereka lebih lama lagi kepadaku,
Jangan Kau ambil mereka sebelum sempat aku menabur jasa,
Jangan Kau ambil mereka sebelum sempat aku memberi bakti,
Andai Kau mahu mengambil mereka,
Ambillah dalam keadaan iman mereka sejahtera,
Agar aku tahu mereka tenang di sana...

Tuhan...
Jadikan aku anak yang mengenang jasa,
Jangan Kau biarkan aku menyakiti mereka,
Cukuplah mereka teruji dengan kenakalanku semasa kecil dahulu..

Wahai sahabat rakan dan taulan,
Mari hargai ibu,
Mari hargai ayah,
Sungguh mereka pasti pernah melakukan kesalahan,
Mengguris hatimu,
Mengundang titis jernih matamu,

Tapi sahabat,
Lumrahnya manusia tidak sempurna,
Sayangi mereka atas kekurangannya,
Agar dikau mampu tenang sentiasa..

Bukankah suatu ketika dahulu,
Engkau bertatih dan terjatuh,
Engkau sakit dan demam,
Engkau menangis yang entah bila kan berhenti..

Dan ibumu tenang di sana,
Ayahmu pula masih tersenyum menerima kekurangan itu?

dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Israa :23)

Read More......
 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .