Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, May 2, 2009

Bangkitlah Dari Lenamu...


“Isk… Isk….”

Deras air mata Maryam mengalir membasahi bantal di atas katil rumah sewanya..

“Maryam, sabarlah… Ingatlah kembali firmanNya.. لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا .. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ” Lembut suara Syahirah memujuk. Bahu Maryam diusap lembut, manalah tahu usapan itu mampu melegakan sedikit kesedihan sahibahnya itu…

Gerak langkahmu memikat hati
Lirik senyum manis sekali

Namun kini aku menyedari

Ia adalah ranjau berduri


Yang semestinya daku lalui

Untuk menguji iman di hati

Setinggi mana ketaqwaan

Sekuat mana keimanan


Janganlah kau cuba menggoda diriku

Membuang waktu dan tenagamu

Cintaku hanya cinta abadi

Cinta Allah Allahurabbi

Allah ya Rahman Allah ya Rahim ( 3x )

Senyumanmu itu racun berbisa
Menggugat naluri menggoda jiwa
Walau rupamu amat menawan

Namunku tetap pilih yang beriman


Tiba-tiba kedengaran lagu Ranjau berduri dendangan Nowseeheart daripada laptop Harlinda. Sengaja dia memasang lagu itu untuk mengingatkan Maryam bahawa apa yang dilalui itu semuanya adalah ujian dari Yang Maha Esa, untuk menguji tahap keimanannya.

“Isk… Ira... Linda..” Tiba-tiba Maryam bersuara. Dia bangun dan bersandar pada dinding. Bantal yang menjadi peresap air matanya diambil lantas dipeluk erat. Menyedari itu, Syahirah dan Harlinda bingkas menghampiri Maryam. Tangan Maryam digenggam kemas..

“Ira.. Linda.. Ana bukannya nak merungut, apatah lagi nak menyalahkan takdir. Tapi ana benar-benar terluka… Mengapa ana masih diganggu oleh Muslimin? Pukul 3-4 pagi masih miscalled ana, hantar-hantar mesej… Telefon tapi senyap je… Ana tak layan tapi mereka tak pernah berhenti…” Maryam diam seketika. Mengesat sisa air mata yang masih tidak mahu berhenti.

“Ana tak tahu… Di manakah syabab harapan agama? Antunna cuba tengok mesej yang selalu ana dapat… Ana sampai tak larat nak padam” Bederai lagi titisan air matanya.

Maryam menghulurkan handphone Motorola v3i nya… Syahirah dan Harlinda memeriksanya tanpa tapisan…

Hai tengah watpe?

Awak ni comel lah…


You are so cute…

“Astarghfirullahalazim…” Terkeluar sebaris istighfar dari bibir Syahirah. Harlinda menekup mulutnya dan memegang tangan Maryam dengan lebih kejap lagi…

“Ana tak tahu sampai macam ni sekali anti diuji… Ana ingat mereka cuma kacau anti biasa-biasa sahaja dalam kelas tu.. Bersabarlah anti, Allah sentiasa bersamamu… Anti sangat tabah, ana rasa… kalau ana jadi anti ana tak tahu lah nak buat apa lagi” Bergenang kelopak mata Harlinda semasa mengucapkan kata-kata semangat buat sahibahnya yang satu itu…

“Maryam… kenapa Maryam tak bagitahu kami?” Kedengaran agak terkilan suara yang datangnya dari Syahirah.

Maryam yang sejak tadi hanya menunduk mula mengangkat kepala. Wajah solehah Syahirah dan Harlinda ditatap penuh kasih.

“Maafkan ana… ana bukan tak mahu cerita… tapi ana teringat pesan umi, kalau kita susah jangan bagitahu orang kita susah, tapi kalau kita senang kita kena kongsi dengan semua orang…”

“Ya Allah…” Serentak, gugur air mata Syahirah dan Harlinda…

* * *
“Sekian sahaja pembentangan kami. Terima kasih atas tumpuan kalian” Sopan Maryam berucap mewakili ahli kumpulannya sempena pembentangan berkaitan remaja rosak akhlak. Pembentangan yang berbentuk lakonan mengenai seorang remaja perempuan yang terjebak dalam kancah maksiat sehingga mengandung namun akhirnya kembali ke pangkal jalan telah mendapat pujian pensyarahnya.

“Bagus! Memang begitulah realiti kehidupan remaja zaman sekarang. Mudah tergoda”

Maryam tersenyum puas. Hasil kerja kerasnya bersama ahli kumpulan yang lain membuahkan hasil. Namun hakikatnya bukan pujian yang Maryam harapkan kerana dia lebih mengharapkan agar mesej lakonan itu sampai kepada audien. Muslimin dan Muslimat. Hujung mata Maryam dapat menangkap seorang muslimah hampir menitiskan air mata.

Syukur..

“Maryam” Gegendang telinga Maryam menerima satu gelombang bunyi sewaktu dia ingin melangkah ke tempat duduknya. Maryam buat endah tak endah.

“Maryam” Sekali lagi suara itu memanggil. Segera Maryam menoleh.

Kelihatan Khairurrijal menghulurkan bunga. –bunga yang digunakan untuk pembentangan tadi.

Allah… ni bunga Asiah… nak ambil ke tak…

Maryam berkira-kira di dalam hati. Mual dia melihat gaya Khairurrijal menghulurkan bunga…

Bismillah…

Maryam mula mengatur langkah. Kepalanya ditundukkan agar tidak memandang dan tidak dipandang sesuatu yang tidak sepatutnya. Hujung bunga dipegang dan cepat-cepat dia meletakkan bunga itu di atas meja Asiah. Sewaktu dia kembali ke tempat duduknya, kolam matanya terisi lagi..

Allah.. apalah dosa yang telah hamba lakukan sehingga mereka terhijab daripada menerima mesej lakonan tadi…. Khairurrijal… Lelaki yang baik… Mengapa perlakuanmu tidak memaknakan namamu…?

* * *
“Allah…” Spontan ayat itu keluar dari mulut Maryam sebaik sahaja membaca mesej yang baru diterimanya.

From : +6012345678
02/03/09
09:35 PM

Assalamualaikum Maryam… rindulah… mesti bertambah comel

Segera dipadam mesej tersebut. Kepala diletakkan pada buku yang sedang di baca. Menitis lagi air mata seorang gadis penegak Agama..

“Maryam….” Teman sebiliknya, Harlinda bersuara namun tidak mendapat respon daripada Maryam. lantas dia bangun meninggalkan buku Accountancy di atas meja untuk menghampiri sahabat yang tercinta..

Tanpa berkata apa-apa, Harlinda mengelus lembut rambut Maryam, memicit-micit bahunya dan menggenggam erat tangan sahibah nan satu… Jauh di sudut hati, timbul rasa simpati yang amat pada Maryam… Peperiksaan semakin hampir namun para pengacau tidak pernah putus mengacau sahibahnya itu… Mahu sahaja Harlinda mengarahkan Maryam menukar nombor telefon bimbitnya. Namun apakan daya, tugas Maryam sebagai majlis tertinggi pelbagai persatuan pasti menyulitkannya nanti… Harlinda menghela nafas berat…

Bersabarlah sayang….

* * *
“Maryam… Bila nak sampai kolej ni, kita tengok result sama-samalah” Girang sungguh suara Syahirah menelefon Maryam. Kedengaran suara Harlinda di sebelahnya yang sesekali mencelah perbualan mereka.

“Ala… Ana takutlah.. Anti cekkan ana lah ye”

“Ala.. tak best lah macam ni…”

“Takpelah anti… ana takut sungguh ni… ana baru je nak bertolak pergi stesyen bas.. anti cek kan lah ye”

“Hm, yelah.. nanti anti sampai je kat rumah, ana bagitahu ye”

“Jazakillah… ni yang buat ana sayang sangat kat anti”

“Yelah… Oklah, jumpa nanti ya Maryam”

“InsyaAllah… Assalamualaikum”

“Waalaikumsalam”

Butang merah pada telefon bimbit ditekan. Syahirah dan Harlinda mengatur langkah menuju ke pejabat demi tujuan yang satu…

Memeriksa keputusan semester 2!

* * *
“Subhanallah… Maryam dapat 3.85” Syahirah hampir sahaja menjerit melihat keputusan Maryam… Benarlah Allah sentiasa bersama hambaNya yang bertaqwa…

“Alhamdulillah… Ana dapat cukup-cukup makan.. 3.5… Anti?” Ramah Harlinda bertanya.

“Ana pun sama dengan anti… Tak sabar nak tunggu Maryam balik. Mesti dia suka”

Dendangan lagu Puteriku Sayang daripada telefon bimbit Syahirah mengejutkan mereka…

“Siapa pula telefon ni… Assalamualaikum…”

“Waalaikumsalam… Kak Ira…” Terdengar suara remaja perempuan yang sedang menahan tangis.

“Kak… Ni Adah.. adik kak Maryam”

“Oh.. Adah, maaf akak lupa nak save nombor Adah… Ada apa ye?”

“Kak… Kak Maryam…”

“Kenapa dik?”

“Teksi yang dinaiki Kak Maryam berlanggar dengan lori. Kak Maryam meninggal di tempat kejadian kerana kehilangan darah yang banyak”

Terlepas genggaman telefon bimbit di tangan Syahirah… Syahirah terduduk, hampir sahaja pitam…

“Ira? Kenapa ni?” Harlinda kerisauan…

“Linda… Maryam… Maryam…”

“Kenapa dengan Maryam?”

“Maryam dah takde… Accident”

Harlinda terpaku. Bagai ingin luruh jantungnya mendengar perkhabaran itu… Baru sebentar tadi mereka mendengar suara Maryam, sekarang Maryam telah pergi buat selama-lamanya… Ya Allah, Kau memanggil kami tanpa mengira masa dan usia…

“Sabar Ira… Kalau beginilah caranya Allah ingin melepaskan Maryam daripada seksa dunia, kita tidak harus menangis… Maryam pergi sebagai wanita yang bermartabat… Dia wanita solehah!”

Maryam… Semoga kau bahagia di sana…. Nantikan kami di Jannah!

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .