PAM!
Berdentum pintu biliknya akibat dihempas dengan kuat. Naimah pergi ke katilnya, di situ terhambur segala tangisan yang cuba disimpan kemas di dalam hati. Tercalar sudah sebuah keegoan milik seorang wanita, hancur semua lakonan ketabahannya tadi.
Bagaikan terngiang-ngiang suara doktor berbicara…
“Puan Naimah, kami sudah tiada jalan penyelesaian yang lain. Puan Naimah menghidap penyakit kencing manis yang kronik. Sebab tulah luka di kaki Puan Naimah susah untuk sembuh dan dah semakin membusuk. Kami terpaksa memotong kaki Puan.”
Naimah diam. Tangan suaminya di sebelah digenggam kemas. Naimah buntu, baru sahaja jari kakinya dipotong atas sebab yang sama.
Oh Tuhan.. Dugaan apakah ini….Apakah suamiku redha dengan ketentuanMu?
Naimah menangis lagi. Bimbang andai dirinya bakal menyusahkan orang lain, terutama suaminya.
‘Kreeek’
Pintu bilik dibuka seseorang, pantas Naimah memejamkan mata. Berpura-pura tidur.
“Sayang….” Terdengar suara suaminya memanggil lembut. Naimah diam.
Tangan suci milik suaminya pantas membelai rambutnya dengan penuh kasih sayang.
“Sayang, abang tak pernah menyesal mengambil sayang menjadi suri dalam hidup abang, abang redha dengan ketentuan Allah dan abang harap sayang pun redha…”
Air mata Naimah mengalir deras.
* * *
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumsalam” Helwani menjenguk ke luar tingkap. Kelihatan di halaman rumah,sesusuk tubuh milik Maisarah, gadis yang dijaganya sejak kecil yang juga menjadi anak angkat keluarganya .
“Masuklah” Pantas Helwani membuka pintu. Senyum.
“Nah, ni ada sikit buah tangan, penat Mai buat tadi tau!”
“Amboi, rajin adik akak ni buat, ada apa-apa ke?” Helwani mengusik nakal sebaik melihat sebiji kek coklat di dalam tupperware. Serentak, tangan Maisarah mencubit pinggang Helwani.
“Akak ni asal orang buat baik je mulalah anggap bukan-bukan. Cuba husnu zon sikit” Maisarah mencebik.
“Yelah ustazah!”
“Akak, emak macam mana? Ok ke?” wajah Maisarah bertukar serius. Kelihatan kerut-kerut di dahi, bimbang benar dia pada Puan Naimah-seorang wanita yang telah dianggap seperti ibunya sendiri.
“Hm.. Macam tulah dik, risau juga akak, abah pun dah tak ceria macam selalu… Ada juga makmum kat masjid tu cakap kat akak,abah banyak kali tersasul masa mengimamkan solat..” Mata Helwani mula berkaca-kaca.
“Hari tu pun masa jari mak nak kena potong, mak jerit-jerit sebut nama anak-anak. Akak pesan kat mak, sebut nama Allah…” Helwani mula mengelap hujung matanya dengan kain tudung yang dipakai.
Hati Maisarah mula sayu. Fikirannya mula menerawang mencari seraut wajah bersih milik Puan Naimah, rindunya dia pada senyuman wanita itu hanya Allah yang tahu..
“Akak…”
“Ye dik…”
“Mai nak tengok mak”
“Jom..”
Pantas Helwani bangun menuju ke bilik ibunya. Maisarah mengikutnya daripada belakang. Pintu bilik di buka dan kelihatanlah wajah sayu Puan Naimah yang duduk di atas katil.
“Emak…” Maisarah cuba mengawal hiba di dada.
Puan Naimah berpaling dan cuba mengukir senyuman.
“Mak, mak dah makan?”
“Dah, Mai,mak kena makan ubat… banyak.. Mai tengok lah” Tangan Puan Naimah mencapai sebekas ubat-ubatan hariannya.
Hati Maisarah bertambah hiba.
“Ya Mak, Mai tahu… Mak makanlah, nanti mak sihat, kita boleh masak sama-sama lagi kan? Mai rindu masakan mak…”
“Mai…” Puan Naimah memanggil. Sayu.
“Ya Mak..”
“Mana mak boleh sembuh lagi.. Mak dah takde jari..” Puan Naimah menjulurkan kakinya yang berbalut. Helwani bingkas bangun dan keluar, tidak sanggup dia menanti bicara seterusnya daripada Puan Naimah, bimbang andai dia menangis. Puan Naimah harus diberi kekuatan, bukan didedahkan dengan sikap-sikap lemah sebegitu.
“Tak mak, mak boleh sembuh. insyaAllah. Percayalah mak…” Maisarah cuba memujuk.
Puan Naimah hanya menunduk.
“Mak, Mai pergi dapur sekejap ya? Mai nak tengok Kak Wani tu buat apa. Nanti dia susah-susah je nak hidangkan Mai makanan. Sekejap lagi Mai datang lagi ya?” Maisarah cuba menahan air matanya daripada jatuh.
Puan Naimah mengangguk.
* * *
“Assalamualaikum. Patutlah rumah riuh je daripada tadi, Mai datang rupanya.” Encik Muhammad mengukir senyuman.Maisarah membalas.
“Biasalah abah, kalau Mai tak datang abah rindu pula.” Maisarah cuba berjenaka
biarpun hatinya penuh tanda tanya. Bagaikan ada kekurangan pada senyuman ayah angkatnya. Tidak seperti biasa.
“Mai ni kalau tak kena kan abah tak boleh agaknya. Dah makan belum ni?”
“Dah. Abah baru balik masjid ke?”
“A ah. Banyak urusan kat masjid tadi.” Encik Muhammad menghirup air teh yang dihidangkan Helwani.
“Yelah, abah kan imam masjid yang bekaliber” Maisarah mencebik.
“Pandailah tu. Oklah, abah nak tengok mak sekejap.” Pantas, Encik Muhammad bingkas dan bergerak menuju ke biliknya.
* * *
“Assalamualaikum”
Puan Naimah menoleh ke pintu. Senyuman diberikan kepada suaminya.
“Waalaikumsalam, abang baru balik? Penat ke abang?” Bertalu-talu soalan keluar dari bibir mungil itu.
“Tadi penatlah, tengok muka sayang je terus jadi tak penat” Encik Muhammad melabuhkan punggungnya di sisi isterinya. Puan Naimah tersenyum.
“Sayang dah makan?”
Angguk.
“Kenapa abang balik lambat?”
“Tadi ada hal sikit dekat masjid. Abang nak pergi mandi sekejap ya?” Encik Muhammad tersenyum senang.
Puan Naimah diam membatu.
* * *
“Akak, macam mana progres kaki emak? Jadi ke nak potong?” Tanya Maisarah cemas.
Petang yang hening itu membawa seribu macam kedukaan dalam dua keping hati itu.
Maisarah dan Helwani berat berfikir.
“Ntahlah Mai, nampak gaya macam abah tak bagi…”
“Kenapa kak?”
“Abah takut mak jadi rendah diri pula, orang lain ada kaki dia tak ada.”
Bunyi kereta memasuki perkarangan rumah menarik perhatian Maisarah dan Helwani. Pantas, kedua-keduanya bangun dan menuju ke pintu.
Kereta Suzuki Swift berwarna silver bergerak megah memasuki perkarangan rumah Helwani.
“Eh, macam Abang Aiman baliklah” Helwani bersorak riang.
Maisarah tersenyum, terbayang-bayang di wajahnya 2 orang anak kecil milik Abang Aiman dan Kak Shariza yang comel. Akmal dan Imfitah, sungguh menghiburkan.
“KAK MAIIIIIIII !!!!!!!!!!!!”
Akmal yang berusia 5 tahun dan Imfitah yang berusia 3 tahun berlari terkedek-kedek menuju ke arah Maisarah sebaik sahaja turun daripada kereta.
Maisarah menyambut tenang. Kedua-dua pipi milik anak-anak kecil itu dikucup penuh kasih.
“Hai.. dah tukar makcik ke?” Tiba-tiba Helwani bersuara.
Maisarah tergelak.
* * *
Puan Naimah bersendirian di kaki lima rumahnya. Sejenak, matanya menangkap seorang yang kudung kedua-dua belah kaki mengengsot di tepi jalan untuk menuju ke destinasi.
Puan Naimah tergamam.
Insan yang kudung kedua-dua belah kakinya itu masih mampu mengukirkan senyuman tanpa terlihat bibit-bibit kerisauan di wajahnya.
Tiba-tiba titisan-titisan jernih yang lama berada di kelopak mata Puan Naimah menitik setitik demi setitik.
“Allah… Lemahnya hambaMu ini, maafkan aku kerana selalu merungut menyalahkan takdirMu”
Dan air mata itu terus-terusan mengalir bagaikan tidak mahu lagi untuk berhenti….
* * *
“Mai…” Helwani bersuara lemah.
Maisarah yang sedang bermain dengan Akmal dan Imfitah menoleh sekilah.
“Kenapa kak?”
Akmal dan Imfitah tertawa riang. Masing-masing cuba mengambil tempat di atas ribaan Maisarah. Maisarah tersenyum senang.
“Akak risau…”
“Hm? Risau apa kak?” berkerut-kerut dahi Maisarah memikirkan ayat yang dilontar Helwani.
“Mak…” Helwani tunduk. Titik-titik jernih mula membasahi pipinya.
“Kenapa ni kak?”
Tangan Maisarah mula mengusap lembut belakang badan Helwani. Bergetar badan Helwani menahan tangis yang sudah mula deras.
“Mak… tadi, mak dah mula keluar najis hitam. Bukankah itu tandanya masa mak semakin hampir?” Mata Helwani yang merah akibat tangisan menatap sayu mata Maisarah.
Maisarah gamam. Dalam hatinya tidak henti-henti mengalunkan zikir sementara tangannya mengusap-usap lembut belakang badan Helwani.
“Kak Mai, kenapa Mak Su menangis?” Petah Akmal bertanya.
“Takde apa-apa sayang…”
Allah… Kuatkan hati kami dengan dugaanMu.
* * *
Bacaan Yasin jelas kedengaran.. Maisarah tersandar lemah. Baru sebentar tadi Helwani memeluknya.
“Mai, akak dah tak ada mak…”
Bagaikan terngiang-ngiang suara itu di telinganya.
Sekujur tubuh yang telah kaku di hadapannya di tatap. Fikirannya kosong.
Mak, cepat benar mak tinggalkan Mai. Tak sempat Mai nak tunjukkan kejayaan Mai pada mak.
Maisarah memandang ke arah dapur. Suara Imfitah yang menangis tidak henti-henti daripada tadi mencuri perhatiannya. Lantas, langkah diatur.
“Kak, kenapa Imfitah?” Maisarah bertanya. Kelihatan Kak Shariza yang gelisah.
“Ntahlah dik, dia tahu nenek dia dah tak ada kot.”
Maisarah tersentak dengan jawapan tersebut. Air matanya tumpah lagi…
* * *
Suara Encik Muhammad jelas kedengaran mengimamkan solat jenazah buat isterinya.
Selesai solat, Encik Muhammad pergi berdekatan dengan jenazah Puan Naimah.
Wajah arwah isterinya ditatap lama. Satu ciuman diberi.
“Sayang, abang redha dengan pemergian sayang. Bukankah sayang adalah hak milik Allah yang dipinjamkan kepada abang? Abang bersyukur kerana sayanglah sebaik-baik pinjaman. Abang redha dengan segala apa yang sayang buat. Sayang isteri yang terbaik. Semoga syurga menjadi milikmu.Sabarlah, nanti pasti abang akan menyusul.Abang pasti merinduimu.”
Satu ciuman lagi diberi.
Dan air mata Encik Muhammad gugur jua mengiringi isterinya…….
p/s: Al-Fatihah buat arwah ibu angkat ana, Puan Khadijah.
Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)
Monday, May 25, 2009
Kita Berhak Diuji.
Labels:
Koleksi cerpenku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment