Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, May 9, 2009

Dalam Pahit Ada Manis...



“Kenapa orang Islam kalau solat ada arah dia sendiri? Bukankah dunia ini berbentuk sfera… menghadap ke mana-mana pun akan berjumpa juga dengan kaabah… Bukankah begitu?” Tulus suara Mei Lin bertanya. Sesekali wajahnya yang bujur sireh berkerut-kerut dek bahang panas mentari yang membakar wajahnya yang putih bersih itu.

Nurul Iman diam. Sungguh tidak disangka, Mei Lin sanggup menahan perjalannya ke kafetaria semata-mata untuk bertanya soalan itu.


“Mari kita pergi kafetaria dulu…” Nurul Iman cuba beradab semanis mungkin. Sejujurnya dia sendiri tidak tahan pada terik mentari yang lain benar hangatnya pada hari itu. Terdetik juga di fikirannya, bagaimanakah nanti tika di Padang Mahsyar sewaktu hari pembalasan, di mana telah digambarkan bahawa matahari hanya sejengkal sahaja daripada kepala manusia….

Fikiran Nurul Iman ligat beroperasi seiring dengan langkahan kakinya..

“Maaf ya Nurul… Saya betul-betul keliru tentang solat yang biasa dilakukan oleh orang Islam. Sebetulnya saya baru sahaja baca buku ni..” Tangan Mei Lin menghulurkan buku Panduan Solat Bagi Wanita kepada Nurul Iman. Nurul Iman menyambutnya, senyuman manis terukir di wajahnya yang bercahaya.

“Mana awak dapat buku ni?”

“Perpustakaan”

Berbunga hati Nurul Iman melihat progress rakannya yang satu ini. Kecenderungan Mei Lin terhadap Islam telah menarik minat Nurul Iman sehingga dia tidak pernah merasa bosan melayan karenah Mei Lin.

“Jom order air dulu…” Nurul Iman mempelawa sebaik sahaja kaki mereka berpijak di kafetaria Selera.

* * *

“Mei Lin, awak pernah tak tengok acara sukan lumba lari 200 meter?” Nurul Iman bersuara sebaik sahaja memabasahkan tekaknya dengan air barli ais.

“Pernah.. Kenapa?”

“Hm, dalam lumba lari tu semua kena berlari ke arah yang sama kan? Tidak boleh ada yang mengundur ke belakang, lari ke kanan atau ke kiri… tak boleh kan?”

“Mestilah Nurul! Itu kan peraturan… Peliknya kalau ada yang berlari mengundur ke belakang” Mei Lin tergelak kecil, cuba membayangkan peserta lumba lari berlari mengundur sedangkan peraturannya haruslah berlari maju ke hadapan.

“Tapi bukankah sama je, berlari mengundur ke belakang, ke tepi, ke kanan… 200 meter juga.”

“Nurul, I don’t know why you ask me this kind of question. You are a smart student, aren’t you? Whatever it is, rule is rule… Kucar-kacirlah nanti kalau semua lari ikut suka.” Mei Lin tidak dapat menahan ketawa. Semakin kecil matanya yang sudah semulajadi sepet.

“Begitu jugalah dengan solat. Allah telah menetapkan satu arah yang sama untuk menunjukkan bahawa setiap umat Islam itu harus bersatu dalam apa jua keadaan dan menunjukkan bahawa Islam itu merupakan satu agama yang mempunyai peraturan, atau dengan erti kata lainnya teratur..” ringkas tetapi padat penerangan Nurul Iman.

Mei Lin berhenti ketawa. Fikirannya ligat memikirkan kebenaran kata-kata Nurul Iman.

“Nurul… Solat itu wajib kan? 5 kali sehari kalau tak silap saya”

“Betul… Tepat sekali”

“Tapi kenapa room mate saya jarang-jarang je solat?”

Soalan itu seolah-olah satu tamparan hebat kepada Nurul Iman. Sel-sel darah merahnya pantas menyerbu wajahnya membuatkan wajah gadis itu menjadi merah. Nurul Iman menunduk ke bawah, malu dengan sikap saudara seagama sendiri…

“Hm, cuba kita lihat di kolej ini sendiri, berapa ramai sahaja yang mematuhi peraturan? Tengok sampah yang dibuang merata-rata. Hanya segelintir sahaja yang mampu menhan nafsu, membuang sampah di tempat yang sepatutnya dan mereka itu adalah golongon yang dianggap ganjil, kan?”

“Ya”

“Begitu jugalah dengan orang Islam itu, tidak ramai yang mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Contohnya seperti solat. Jika di kolej ini tidak mematuhi peraturan mengenai pembuangan sampah akan menyebabkan kolej kotor tetapi bagi kami orang Islam, tidak mematuhi peraturan Allah akan mengotorkan hati. Sebab itulah kadang-kadang hidup jadi serba tak kena”

“Oh, patutlah room mate saya pernah mengugut nak bunuh diri sebab putus cinta”

Nurul Iman beristighfar di dalam hati…

Oh Allah, kurniakan kepadaku kesabaran….

* * *

“Yea!! Kak Nurul datang!!!” Girang suara kanak-kanak menyambut kedatangan Nurul Iman di Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang ditadbir oleh ibu angkatnya.

Nurul Iman memeluk dan mencium satu demi satu anak-anak kecil yang beumur sekitar 2 hingga 7 tahun itu. Kasihnya kepada mereka sudah seperti saudara kandung sendiri.

“Kak Nurul kenapa dah lama tak datang?” Haikal yang berumur 4 tahun memulakan pertanyaan.

“Kak Nurul sibuk sayang…” Nurul Iman mengusap-usap rambut Haikal.

“Kak Nurul sibuk buat apa?” Shahiza-anak kecil berumur 3 tahun itu pula bertanya.

“Akak belajar, kan akak nak ajar adik-adik akak ni… sebab tu akak kena belajar dulu.”

“Hei tak sempat Kak Nurul tu nak salam ibu ni haa” Terdengar suara Puan Khadijah daripada dapur.Puan Khadijah masih mampu bergerak aktif meskipun menghidap penyakit kencing manis yang kronik. Nurul Iman sungguh kagum pada wanita berusia itu.

“Ala….” Serentak, semua kanak-kanak di situ mengeluh.

“Sekejap ya, akak nak jumpa ibu. Sekejap lagi akak datang balik okey?”

“Janji?” Haris mengerdipkan matanya minta dikasihani.

“Janji!” Nurul Iman mengangkat tangan kanannya seperti berikrar, membuatkan semua kanak-kanak itu bersorak riang…

* * *

“Akak, tengoklah ni…” Haikal bersuara sebaik sahaja terlihat kelibat Nurul Iman yang telah keluar daripada dapur. Nurul Iman senyum dan melabuhkan punggungnya di sisi Haikal. Kanak-kanak lain turut berdampingan di sisi Nurul Iman. Tangan kanannya mengambil pamphlet yang dihulur Haikal.

GAZA MENANGIS

Nurul Iman membaca sebaris tajuk yang tertulis pada pamphlet tersebut.

“Mana Haikal dapat ni sayang?”

“Hari tu… Haikal jalan-jalan dengan Umi kat Jusco, lepas tu ada orang bagi ni… Umi cakap ni pasal saudara kita di Palestin. Haikal tak fahamlah Kak Nurul. Kenapa semua orang kena bunuh?”

Nurul Iman menghela nafas berat. Fikirannya ligat berputar. Bagaimanakah mahu menerangkan satu isu dunia yang berat pada kanak-kanak sekecil ini….

“Baiklah… nak dengar cerita tak?” Nurul Iman membuka bicara.

“Nakkkkkk!!!!” Semua kanak-kanak di situ menjerit.

“Kalau nak… semua duduk buat bulatan.”

Semua akur. Dalam masa yang sekejap, satu bulatan telah dibentuk dan mata-mata suci itu memandang wajah Nurul Iman menuntut janji yang dicipta…

“Ok.. semua orang tengok jari masing-masing.”

Serentak, semua mengangkat tangan untuk melihat jari-jari mereka.

“Semua orang Islam ni ibarat jari-jari yang ada kat tangan kita ni… Kalau satu jari kita hilang, susah tak kita nak buat kerja?” Nurul Iman cuba menarik perhatian mereka.

“Susah lah Kak Nurul.Nanti macam mana adik nak pegang botol susu.” Shahiza bersuara.

“Kalau ada jari kita yang luka, kita rasa sakit tak?”

“Sakit!! Hari tu Haziq tolong mama kat dapur,lepas tu terkena pisau kat jari… Darah, sakit…Mama letak ubat, tapi ada kesan lagi… Kak Nurul tengok ni..” Petah kanak-kanak berusia 6 tahun itu berbicara sambil menunjukkan jari telunjuknya yang berparut.

Nurul Iman mengusap lembut jari Haziq. “Syafakallah adikku.”

“Jadi, macam tulah kita dengan orang-orang Islam, bukan sahaja di Palestin, tapi di seluruh dunia. Haziq, Shahiza, Syahinda, Syafiqah,Haikal, Mu’az, Afiq, Taqwa, Kak Nurul… Semua bersaudara. Cuma saudara-saudara kita di Palestin tu dah teruk dibuli oleh Israel. Kalau diibaratkan macam jari tadi, dah nak hilang dah jari-jari kita ni…”

“Isk… Isk….” Shahiza mula menangis, membayangkan jari-jari yang hilang… Nurul Iman pantas mengesannya dan segera diambil Shahiza untuk duduk di pangkuannya. Rambut Shahiza dibelai lembut, Nurul Iman mencium penuh kasih pipi Shahiza yang mula dibasahi air mata.

Maafkan akak sayang, andai penerangan tadi terlalu berat untukmu…

“Macam mana kita nak tolong mereka Kak Nurul?” Taqwa yang dari tadi diam membatu mula bersuara.

“Hm, kita memang tak boleh pergi ke Palestin. Tapi kalau kita mampu untuk menderma, mendermalah sebab mereka sangat kekurangan keperluan asas. Selain tu, barang-barang yang bagi Israel duit,kita jangan belilah.. macam Milo, KFC, McD.”

“Ha? Tapi Mu’az suka Milo…” Sedih Ahmad Mu’az yang berusia 5 tahun bersuara..

“Takpe Mu’az, Mu’az boleh minum Vico. Sedap juga tau… kalau Mu’az tahan nafsu
sekarang semata-mata kerana Allah, nanti dapat pahala. Semua orang suka pahala kan?”

“Suka!! Ustazah kata siapa ada banyak pahala boleh masuk syurga.” Syahinda bersuara.

Nurul Iman menarik nafas lega. Tidak susah berbicara dengan kanak-kanak di situ kerana masing-masing telah mendapat pendidikan agama yang sempurna.

* * *

Nurul,we need to talk.

Ringkas tetapi padat mesej yang dihantar oleh Mei Lin kepada Nurul Iman.

Nurul Iman menarik nafas panjang.

Ok, you can come to my room now.

Tidak lama kemudian, terdengar pintu biliknya diketuk seseorang. Nurul Iman mengatur langkah dan sebaik sahaja tombol dipulas, retina mata Nurul Iman dapat melihat sesusuk tubuh Mei Lin.

“Jemput masuk” Nurul Iman membuka pintu luas-luas.

“Thanks Nurul, sorry for disturbing you. It’s just that I can’t sleep well thinking of this matter.” Serius wajah Mei Lin berbicara.

“What’s the matter, dear?”

“Macam ni Nurul.. Benarkah ajaran Islam itu mengajar kepada keganasan? Benarkah umat Islam itu disuruh melakukan keganasan? Benarkah umat Islam di Palestin itu merupakan pengganas?”

Nurul Iman diam berfikir…. Tangannya mencapai dua kotak air teh krisantimum dan salah satunya diserahkan kepada Mei Lin.

“Mei Lin, tidak ada satu agama pun dalam dunia ni yang mengajar perkara terkutuk..”

Nurul Iman diam seketika, cuba mencari jawapan yang mudah kepada soalan yang diajukan oleh Mei Lin.

“Cuma… ayat-ayat Al-Quran telah disalah tafsirkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Musuh-musuh Islam terlalu ramai,Mei Lin dan mereka tidak pernah akan berhenti memfitnah Islam selagi kami tidak mengikut telunjuk mereka. Jika Mei Lin nak tahu… Dahulu 2/3 daripada dunia ini dikuasai oleh orang Islam. Biarpun orang Islam berperang, tapi Allah telah tetapkan syarat bahawa wanita dan kanak-kanak serta mereka yang tidak berkemampuan tidak boleh dibunuh. Yang boleh dibunuh hanyalah mereka yang ada di medan perang itu sahaja.”

Nurul Iman menghirup sedikit air teh krisantimum untuk membasahkan tekaknya yang hampir kering.

“Tapi, jika Mei Lin lihat contoh di Palestin sekarang, banyak wajah-wajah yang tidak berdosa yang telah terkorban. Nasib mereka tidak terbela. Ibu-ibu di sana sudah menanamkan dalam hati, andai anak mereka keluar pada sebelah pagi,tidak mustahil anak-anak itu tidak akan pulang pada sebelah petang. Jadi apabila mereka ini bangkit untuk mempertahankan hak mereka, layakkah mereka itu digelar pengganas?”

“Mereka cuma mahu negara mereka dikembalikan. Mereka menjerit, mereka rindukan salahuddin Al-Ayubi, seorang tokoh Islam yang telah memerdekakan Palestin daripada cengkaman orang-orang yang kejam. Mereka rindukan keamanan. Dahulu Islam amat gemilang, tapi kerana umat Islam yang mudah leka dan mereka diasak oleh media dan persekitaran yang memandulkan sifat kemanusiaan, satu persatu negara Islam telah jatuh.”

“Sama juga hal nya jika kita belajar matematik tapi kita tidak mahu amalkan apa yang kita belajar. Waktu periksa kita mesti fail. Begitulah diibaratkan umat Islam sekarang yang Mei Lin tengok ramai yang rosak, mereka belajar tentang Islam tapi tidak mahu beramal dengannya. Tapi tidak semua begitu, Mei Lin rasa saya ni pengganas ke?” Nurul Iman cuba memancing Mei Lin yang sudah berkaca matanya.

“Tidak… Nurul, awak terlalu baik… awak selalu bersabar melayan soalan-soalan saya.” Suara Mei Lin sudah mula bertukar sebak.

“Mei Lin, Islam telah mengajar saya untuk bersabar dan berbuat baik kepada semua insan.”

Mei Lin memeluk erat Nurul Iman.

* * *

“Nurul, ibu tenat sekarang…” suara kakak angkatnya, Kak Sumayyah di corong telefon cukup untuk menyentap jantung Nurul Iman.

“Astargfirullahalazim… Kak, Nurul tak dapat datang hari ini. Jadual Nurul penuh. Esok insyaAllah Nurul datang. Akak jaga ibu baik-baik ya?” Nurul Iman cuba menahan sebak di dada. Terbayang-bayang wajah Puan Khadijah yang ceria, terbayang-bayang wajah Puan Khadijah yang terpaksa dipotong jari-jari kakinya kerana telah busuk.

“Ya Nurul. Nurul pun jaga diri baik-baik. Assalamualaikum”

“Waalaikumsalam” Setitik demi setitik air mata gadis yang bernama Nurul Iman jatuh jua menyembah bumi…

Ibu…

* * *

Telefon bimbit Sony Ericsson yang berbunyi nyaring pada jam 3 pagi mengejutkan Nurul Iman dari tidur.

Nama Kak Sumayyah terpampang di skrin telefon bimbitnya. Hati Nurul Iman berdegup kencang..

“Assalamualaikum…” Nurul Iman cuba bertenang..

“Waalaikumsalam dik…” Sebak suara di corong telefon itu.

“Ya kak.. ada apa?”

“Nurul… ibu… ibu dah takde dik… dia baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir pukul 2.30 tadi”

“Innalillah…… Kak, nanti Nurul datang ya kak… Akak tunggu Nurul, Nurul nak tengok wajah ibu… Akak tunggu Nurul ya?” Nurul Iman tidak dapat menyembunyikan tangisannya.

“Ya, akak tunggu Nurul…..”

* * *

Usai solat subuh, Nurul Iman bersiap-siap untuk pergi ke rumah arwah ibu angkatnya.

“Nurul, awak nak ke mana?”

Mei Lin yang hendak keluar membeli sarapan menegur Nurul Iman yang kelihatan gelisah.

“Mei Lin.. saya.. saya nak pergi rumah arwah ibu angkat saya… Dia.. dia dah meninggal.” Gugur lagi air mata milik gadis itu…

“Saya teman awak ya?”

Nurul Iman mengangguk.

* * *

Nurul Iman mencium penuh kasih jenazah Puan Khadijah. Sejuk. hampir-hampir sahaja air mata Nurul Iman gugur lagi, namun dia sempat menahannya.

Ibu… Nurul tak nak menangis pada jenazah ibu.. nanti ibu sakit…

Nurul Iman tidak tegar melihat jenazah itu lebih lama lagi. Bagaikan dirobek-robek hatinya. Nurul Iman menangis semahu-mahunya di bahu Mei Lin. Mei Lin mengusap lembut belakang Nurul Iman, biarpun dirinya sendiri sebak melihat Nurul Iman yang sudah lebam mata.

“Nurul….” Mei Lin memanggil lembut.

Nurul Iman tidak mampu menyahut. Esakannya kedengaran.

“Nurul, bukankah dahulu awak pernah cakap, Islam mengajar awak erti kesabaran?”

Nurul Iman mendengar. Dikesat air matanya. Wajah mulus itu memandang wajah Mei Lin.

“Terima kasih Mei Lin…”

“Nurul…” Mei Lin memanggil lagi.

“Ya..”

“Saya mahu memeluk Islam minggu depan. Ibu bapa saya tidak menghalang.”

Bersinar mata Nurul Iman mendengar perkhabaran itu. Bibirnya lantas mengukir senyum, tubuh Mei Lin dipeluk erat… seerat ukhwah yang dibina kerana Allah..

Hari ini Nurul Iman menerima dua berita, satu baik dan satu buruk....

Ya Allah… Indahnya aturanMu…

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .