Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, August 7, 2009

Buatmu Sahibahku...


“Mas, Ayuni rindu Mas!” Suara sahibah yang jauh di corong telefon menyentap tangkai jantung ana. Satu perasaan yang aneh meresap ke dalam hati. Rindu. Ya, ana terlalu rindu pada sekalian sahibah yang telah banyak membantu menjahit kembali sejadah iman ana yang kian terkoyak.

“Mas... Ayuni sorang-sorang kat sini, takde sape nak ingatkan, takde sape nak kejut bangun qiam.”

“Ayuni tak pernah keseorangan, Ayuni sentiasa ada Allah bersama.” Ana cuba bersuara dengan baik, biarpun hati ana bergelora. Ana perlu kuat. Sahibah nan satu ini memerlukan kekuatan, bukan kelemahan.

“Tapi, Ayuni rindu Mas...” Sebak hati ana mendengar suara itu.

“Ayuni ni janganlah menangis, Ayuni ingat, sentiasa bawa Allah bersama!” Ana cuba berlawak, cuba menghiburkan hati sahibah serta hati ana sendiri.

Dalam tidak sedar, ana jua menangis dalam diam.

Sahibahku..... untuk pengetahuanmu, ana jua keseorangan di sini, keseorangan dalam menongkah arus, keseorangan dalam menegakkan syariat, keseorangan dalam melangkah peraturan-peraturan mengikat yang membunuh syariat. Ana keseorangan sahibahku...... Tiada siapa lagi yang mahu mengingatkan ana untuk membaca doa keluar rumah, ingat tak dahulu kita selalu berdiri di hadapan pintu bersama, menadah tangan dan berdoa “Bismillahi tawakkal tu ‘Alallah la haula wala quwataila billah hil aliyul ‘azim”. Seterusnya menyarung kasut dan beriringan menuju ke kelas. Ingat tidak sahibahku? Masih ingatkah ketika peperiksaan menjelang, Ayong akan membuat sarapan dan Umi akan mengingatkan ‘dah baca doa keluar rumah?’ dan Zahra sentiasa menjadi penguat semangat manakala Laili sentiasa menghiburkan hati. Ingat tidak kita ibarat satu keluarga? Kenangan itu terlalu manis untuk dilupakan..

Sahibahku pembela Agama..

Ana jua mencari sesuatu. Ana mencari kekuatan, tetapi setiap kali kekuatan itu mahu digapai, ia hilang entah ke mana. Ana jatuh dan tersungkur, mencuba untuk bangun kembali tapi gagal. Ana toleh ke belakang, mencari sesiapa yang boleh menolong ana untuk bangun kembali tapi hambar. Ana gagal menemui sesiapa, hanya bayangan-bayangan kalian sahaja yang kelihatan tersenyum dari jauh, seolah-olah berkata “Mastura kuat! Mastura kena bangun... Enti jangan biar syaitan menang!” Terkadang tangan ini cuba jua menggapai bayangan-bayangan kalian, tetapi semakin ana mendekati semakin bayangan itu hilang.. Tapi, berbekalkan semangat itulah ana terus jua merangkak menongkah badai yang semakin deras,dan ana terus-terusan mengukir senyuman dalam kepahitan. Menggapai apa-apa sahaja yang mampu menongkat diri ini...

Sahibahku sayang,

Sungguh, Allah tidak akan membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya. Benar, seringkali ana hampir tertewas, ana seringkali dimomokkan dengan kata-kata “Tak boleh lah tak berkawan dengan lelaki, nak jadi cikgu kenalah pandai bersosial” Dan ana kembali menangis di dalam hati, merintih, minta difahami.... Tidak, ana tidak perlukan teman lelaki yang rapat, ana tidak perlu bersosial dengan lelaki kerana ana sudah memiliki sahibah-sahibah yang hebat seperti kalian. Apa guna berteman rapat dengan muslimin andai itu mampu merosakkan hati dan menjauhkan ana daripada Allah. Tetapi tidak pula ana menolak terus untuk berhubung dengan muslimin atas urusan-urusan penting.

Sahibahku harapan ummah,

Ana tidak tahu mengapa sebak benar hati ana ketika ini, ingin sungguh diri ini berlari ke arah kalian, memeluk dan mendengar kata-kata hikmah dari bibir kalian sekaligus menghantar satu rasa kekuatan di dalam diri. Ana jua insan biasa, seringkali melakukan kesilapan dan ana memerlukan seseorang untuk mengingatkan, jua menegur segala kesilapan ana. Setiap hari ana bangun dan kembali tidur pada malam harinya. Menghadap 4 dinding yang tidak bergerak di dalam bilik. Hari-hari yang dilalui seolah-olah kosong. Tidak bermakna. Ana cuba bergelak ketawa tapi ia benar-benar hambar. Ana mencari diri ana. Ke mana ia menghilang sahibahku?? Adakah separuh daripada diri ini masih bersamamu? Bagaimana ana mahu ia kembali? Atau mungkin lebih elok biar sahaja ia bersama kalian, membiarkan separuh lagi yang bersama ana meniti hari-hari sepi tanpa kalian di sisi....

Sahibahku bakal bidadari syurga, insyaAllah,

Kenangan-kenangan bersama kalian sentiasa sahaja bermain di birai mata ini, sekaligus membuatkan mata ana sarat dengan air, menunggu saat untuk ia tumpah ke bumi... Tapi ana tahan, bukankah kalian berpesan agar ana perlu kuat!

Mengapa rindu benar ana pada kalian.... Bilakah rasa ini akan surut? Sahibahku sayang, moga kalian terus berusaha dan cekal dalam menegakkan kalimah lailahailallahmuhammadurrasulullah di muka bumi ini. Moga kalian terus gagah berda di jalan dakwah ini. Doakan ana jua begitu. Moga kita dapat berjuang bersama meskipun kini kita sudah jauh terpisah. Berjuang itu memang pahit, kerana syurga itu manis!!! Ingatlah sahibahku, daulah Islam pasti akan gemilang, dan ketika tiba saat itu nanti, Allah tahu kita pernah membanting tenaga dan menyeka air mata bersama...

Sahibahku, kuatlah!!!

Ana rindu dan sayang kalian kerana Allah.....

~Berjuang menempah susah, menanggung derita menongkah fitnah......~

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .