Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Thursday, August 27, 2009

Dia... Insan Istimewa.....



"Kak Mas!" Terdengar sayup-sayup suara adik ana, Hazim tatkala ghairah memanggil ana yang sedang berehat.

"Ya, kenapa?"

"Ni ha.. tengoklah" Serentak, tangannya menghulurkan envelope berwarna kuning cair. Ana menelan liur. Envelope itu seakan-akan pernah dilihat...

"Apa ni?" Terus, ana bertanya.

"Kan Kak Mas bagi Hazim dulu, waktu hari jadi Hazim."

Ana diam. Kad itu diberi ketika umurnya 12 tahun- 2 tahun yg lalu dan kad itu masih elok disimpannya. Tiada cacat-cela. Serentak satu perasaan aneh meresap ke dalam hati. Sedih? Terharu? Entahlah...

Hazim bukanlah sesempurna insan lain... Dia manusia istimewa. Sekurang-kurangnya, ana pasti dia amat istimewa pada pandangan Allah. Jika tidak, masakan ujian yang getir diturunkan kepadanya, yang mungkin tidak mampu ana menanggungnya.

Atas izinNya, Hazim amat sukar menumpukan perhatian pada pelajaran, amat gemar berimaginasi dan berkelakuan keanak-anakan. Atas sebab-sebab ini, pelajarannya amat berbeza dengan adik-beradik ana, satu ujian buat umi dan abi.

Perlakuannya amat membimbangkan, pelbagai cara dan usaha telah dilakukan, namun Allah masih belum beri keizinan untuk Hazim pulih seperti insan yang lain. Hazim amat gemar bercerita dengan ana. Terkadang hati ana sedih apabila mulut mungil itu menceritakan bagaimana dia didera secara mental oleh guru dan rakan.

Dia Dibuli

Ketika dia bersekolah rendah, suatu hari dia pulang dalam keadaan bajunya berdarah. Belakang badannya berlubang sedikit.

"Kenapa ni Hazim?" Ana bertanya gusar.

"Kawan Hazim, cucuk dengan pensil"

"Kenapa tak beritahu cikgu?"

"Tak apalah..." Dan air mata ana terus menitik, satu persatu... Adikku, sabarnya hatimu!

Terkadang Hazim menjadi tumpuan guru melepaskan kemarahan kerana markah peperiksaannya amat jarang sekali mencapai tahap lulus. Hazim hidup dalam kelompok insan-insan yang tidak memahami masalahnya. Terkadang dia dicela, dikutuk, namun hanya sesekali air matanya tumpah ke bumi.

Dan ana yang mengalirkan air mata melihat semua itu...

Biarlah... Biar semua orang meminggirkannya. Dia tetap istimewa di mata kami. Di mata umi ana. Hazim amat ringan tulang. Jarang sekali dia berkata tidak andai bantuan yang diharapkan. Dia akan membasuh pinggan, mengangkat kain, jua menghidang makanan tatkala kami adik-beradik tiada di rumah demi mencari setitis ilmu.

Namun, hidupnya sering dalam tekanan. Dikelilingi insan-insan yang berlainan latar belakang dan pengalaman amat menggusarkan hati ana. Hidup dalam tekanan terkadang membuatkan jiwanya memberontak. Kelakuannya menggusarkan.

"Nak jadi apa nanti? Tukang sapu sampah?" Satu suara menjerkah Hazim pada satu hari yang hening. Ana memandang tajam dan Hazim terus-terusan berdiam diri. Entah redha atau lali dengan kutukan ana tidak tahu. Tapi hati kecil ana menangis sendiri.. Tabahnya hatimu dik!

Hazim Dan Dakwah

"Hazim.. Dah solat belum?" Ana bersuara tatkala dia sedang asyik bermain dengan sepupu kami.

"Belum"

"Ha, bila nak solatnya?"

Segera, dia bergerak ke bilik air. Mengajak sekali sepupunya itu.

"Hazim, cepatlah solat. Kita nak solat pulak" Sepupu ana bersuara.

"Kita jemaah lah" Hazim membentangkan sejadah. Sepupu ana menarik sejadahnya kembali.

"Alah, sorang-soranglah"

"Jemaah dapat banyak pahala tau" Hazim kembali membentangkan sejadah, mengikut posisi imam dan makmum dan akhirnya mereka solat berjemaah. Ana tersenyum.

Ingatannya utuh pada insan tersayang

Hazim tidak pernah lupa pada sambutan hari ibu, jua hari bapa. Dia akan sedaya upaya menyediakan walau sekeping kad sebagai ingatan. Kad hasil buatannya sendiri, meski tidak secantik mana namun amat bermakna. Tahun ini, ketika hari jadi akak ana, Hazim mencipta satu origami sebagai hadiah ;



"Owh, hari jadi kak yah, Hazim bagi hadiah eh.. Hari jadi wawa, tak de pun bagi hadiah" Ana sengaja mengusiknya pada satu hari.

"Ala.. ni ha, kak mas Hazim bagi buku dengan kertas-kertas sekali" Ujarnya sambil mengeluarkan buku origami beserta kertas-kertas origaminya.

"Tak mau lah.." Ana pura-pura merajuk. Buku itu diletakkan di atas meja ruang tamu dan... Astarghfirullah, ana terlupa langsung padanya.

Hazim Kecewa

"Kak Mas...." Hazim membuka pintu bilik ana.

"Ya" Mata ana tidak lepas daripada memandang skrin laptop, sibuk mencari bahan untuk kerja kursus yang perlu dihantar.

"Ni.. Hazim dah bagi, ambiklah..." Lirih suara itu diiringi huluran tangan beserta buku origami.

"Aaa.. letak atas ni" Ana bersuara endah tak endah. Fikiran masih tertumpu pada bahan-bahan kerja kursus. Hazim meletakkan buku tersebut di atas meja dan berlalu pergi.

Ana terkedu. Seolah-olah baru tersedar dari khayalan. Allah... Tegarnya ana bersikap sebegitu kepada seorang insan bergelar adik. Hinanya ana ya Allah... Ana kembali mencari kelibatnya.

"Nak cium sikit!" Ana mengusik. Mujur, respon yang diberi positif petanda dia tidak menyimpan kecewa di hati. Adikku... Pemaafnya dirimu!

Adikku Sayang, Adikku Gemilang

Adikku... kau insan istimewa, diberi ujian kafarah dosa. Meski insan sekeliling memandang hina, namun yakinlah kau amat istimewa pada pandanganNya.

Hidup di dunia hanyalah sementara, jangan digundahkan cubaan yang sekelumit cuma, jangan berputus asa pada pertolonganNya, kerana nanti, kau dijanjikan pahala. Mungkin di sana nanti kau kan diganjari syurga, diangkat martabatmu lebih tinggi dari mereka yang memandangmu hina.

Adikku, usiamu barulah sedikit cuma. Perjalanan hidupmu masih jauh berliku, mungkin kini kau hanya mampu berdiri kaku tapi di pengakhirannya kau mampu berdiri megah di situ. Tiada siapa tahu, tiada siapa sangka. Jadi, jangan menangis, jangan lemah dengan ujianNya. Teruskan langkahanmu, kerana di sini ada hati yang menunggu, hati yang menyayangimu setulusnya. Biarkan insan lain mengeji, datanglah padaku, diriku sentiasa menunggu.....

Adikku sayang, moga nanti kau mampu bertindak seperti khalifah. Menegakkan Islam tanpa sedikit gentar. Membela nasib Islam yang makin tersungkur. Bersabarlah adikku, kerana sabar itu buahnya manis!

Berjuanglah menempah susah agar bergelar insan soleh dan muslih. Terima kasih kerana mengajar diri ini erti sabar, tabah dan maaf... Moga rahmatNya sentiasa bersama... Tinta ini kutulis kerana terlalu menyayangimu.....

Terlalu sayang kerana Allah...

P/S : Teman-teman, doakan bersama agar adik ana menjadi insan soleh(baik) dan muslih (mengajak kepada kebaikan).... amin! Jangan dipinggirkan atau dihina insan seistimewa adik ana...

5 comments:

adilah md shah said...

salam...kami sekeluarga tak pernah menganggapnya ada kekurangan pada adik ptama dla..Alhamdulillah, dia membesar dengan baik sekali. kekangan yg kami nampak bukan penghalang bagi dirinya. semoga insan istimewa dihati kita sentiasa dalam lindungan Allah..

Anonymous said...

Salam seindah ramadhan..
mas,sedih,sebak,terharu ana bc..
mg azim bile bsar nnti dpt jadi mujahid fisabilillah..
sama2 kite doakan..

-chy mlmku-

Mastura MY said...

Dila

Salam...

Doakan agar Hazim mampu membesar dgn baik jg... Dia sungguh istimewa..

chy mlmku

Salam sesuci titis qatrunada..

Amin! moga doa daripada insan sesolehah enti dimakbulkanNya..

Mohamad Hilmi said...

salam enti.

terharu ana baca..... diam.
enti tau tak. ana dan keluarga mmg dah lama berdepan dengan kanak-kanak seperti hazim. =)

ana faham perasaan enti macam mana, perasaan ibu bapa enti.

ana faham.

enti tau tak, hazim seorang insan yang istimewa di sisi Allah.

enti dan keluarga, jaga ia dengan baik sekali jangan sesekali beri hazim kecewa kerana setiap tutur katanya adalah doa yang mutajab kpd allah.

ini merupakan 1 rezeki buat keluarga enti. hazim ialah penyeri keluarga enti.

pervayalah, 1 hari nanti enti akan faham apa ana cakapkan ni.

salam. =)

Mastura MY said...

Salam ya akh...

Doakan agar kami tidak berputus asa berikhtiar, doakan juga agar kami sentiasa redha, sabar dan tabah dengan ujian ini... Mungkin ujian ini terlalu getir,apatah lagi buat kanak-kanak yang sedang membesar seperti Hazim.

Tapi ana percaya, Allah tidak akan memebebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya.

Jazakallah atas ingatan akh. Fi amanillah.

Salam..

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .