Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Saturday, January 2, 2010

AMANAH ; antara kita,DIA dan mereka


Azan maghrib berkumandang.

Seorang wanita berjubah coklat pekat, bertudung labuh berwarna krim masuk. Wudhuk diambil. dan solat ditunaikan penuh khusyuk.

Ana berteleku di atas sejadah sambil memerhatikan segala gerak-gerinya. Entah mengapa, mata ana bagaikan tidak mahu beralih daripada menatapnya.

Dia melakukan sujud terakhir. Lama. Mungkin sedang berdoa..

Entah mengapa, muncul air jernih di kelopak mata ana.

Amanah Terhadap Allah

Amanah nan satu itu, yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, hambaNya.. Adakah telah dilakukan dengan sebaiknya? Atau hanya dilakukan dengan sambil lewa?

Melihat muslimah solehah itu, ada satu rasa aneh menyelinap ke dalam hati. Terharu? Sayu? Entahlah... Tapi terkenang kembali solat-solat ana yang dahulu, yang ada kalanya dilakukan secara tergesa-gesa, ada kalanya fikiran menerawang entah ke mana..

Malu benar ana.... Ana malu untuk berkelakuan sumbang di hadapan manusia, tetapi ketika berhadapan dengan Allah ana mampu untuk bersambil lewa.. Hamba jenis apakah aku ini ya Allah......

Sedar tidak sedar, hakikatnya amanah nan satu itu... Yang merupakan soalan pertama yang akan ditanya nanti bukanlah sesuatu yang membebankan. Bahkan sesuatu yang menenangkan,jika dihayati sebaiknya..

Badan kita akan letih,lesu dan penat setelah seharian bekerja.. Justeru itu solat adalah penawarnya. Ketika sujud, darah mengalir ke otak, sekaligus memberi oksigen yang cukup dan akan membuat kita kembali segar.

Hati yang berzikir, mengalun nama Allah akan menimlbulkan satu rasa nan indah. Tenang. Damai. Bukankah Allah telah berfirman, bahawa hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang?

Lupakah kita?

Lagi pula, solat akan membuat kita lebih berdisiplin, akan membuat kita menghargai waktu... Mengapa? Kerana solat telah ditetapkan waktunya... Walau apa pun perkara yang kita sedang lakukan, kita tetap wajib menunaikan solat.

Sebab itulah digesa untuk solat di awal waktu ; adakah kita akan suka pada seseorang yang melengah-lengahkan waktu?

Amanah Kepada Keluarga


"Tikar getah dah beli?" Umi bertanya, sebaik melihat bilik asrama ana yang masih tidak bertikar.

"Em, belum"

Umi dan abah puas mencari tikar getah. Bukan itu sahaja, malah rak kasut, kain pengelap kaki dan macam-macam lagi untuk keselesaan ana di asrama.

Ana cuma diam. Terharu dengan keprihatinan mereka.

"Lepas ni wawa tinggal belajar je." Umi bersuara, penuh mengharap.

Ana mula merasa sebak... Selama ini adakah amanah ana sebagai seorang anak telah tertunai?

Amanah untuk menjadi anak yang solehah..
Amanah untuk belajar bersungguh-sungguh..

Mungkinkah selama ini ana telah mengabaikan harapan ibu bapa ana? Mungkinkah jua kalian selama ini telah mengabaikan amanah ini?

Ponteng kelas.
Belajar sambil lewa.
Tak buat assignment.
Tidak belajar.

Dan pelbagai lagi masalah yang dianggap 'hebat' malah kita bangga bercerita ;

"Tadi... aku tak pegi kelas.. aku ponteng, lepak kat midvalley. Tengok wayang."

Allah...

Dan mungkinkah... Wang yang diberi oleh kedua ibu bapa digunakan dengan sebaiknya? Mereka telah bersusah-payah demi kita...

Adakah kita berfikir?

Jangan Jadi Munafik


Salah satu sifat orang munafik adalah.. Apabila diberi amanah dia mengkhianati.

Hakiaktnya, sebagai seorang khalifah dan hamba.. kita menggalas pelbagai amanah.

Amanah sebagai seorang hamba dengan mentaatiNya...
Amanah sebagai seorang khalifah, menjaga Islam... mentaati ibu bapa... berperlakuan baik...

Dan banyak lagi.

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Tergolong dalam golongan munafik?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Mahu melihat kemurkaan Allah, mahu melihat tangisan Rasulullah?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Tegar memberi kegagalan kepada kedua ibubapa yang menanti penuh pengharapan... Yang rela berkorban apa sahaja demi melihat kesenangan kamu? Demi melihat kamu berjaya?

Apakah ana, kita, kamu, kalian..

Sudah terlalu lemah untuk merasainya?

Wallahu'alam :)

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .