Rasulullah s.a.w bersabda (yg bermaksud): Sampaikanlah pesanku walau 1 ayat :)

Friday, May 14, 2010

Mari Berukhwah


Langit kelam,
Awan hitam,
Adakah hati sekelam itu?


"Ah! Aku tidak perlukan manusia! Aku tidak perlukan sahabat! Aku hanya perlukan Allah" Jeritnya sambil menjauhkan diri. Dia terus-terusan memencilkan diri.

Adakah benar dalam hidup ini kita tidak perlukan manusia langsung? Adakah benar kita hanya perlu menjaga hubungan dengan Allah sahaja?

Mari kita berfikir sejenak...

Saling Memerlukan

Seorang pemuda hanyut ketika banjir sedang melanda. Tetapi nasibnya baik kerana sempat berpaut pada sebatang kayu yang sedang terapung. Dia lantas berdoa.

"Wahai Tuhanku, bantulah aku...."

Tidak lama kemudian, datang sebuah bot menghampirinya, pemuda di dalam bot menghulurkan tangan seraya berkata. "Mari saudara, mari saya bantu kamu."

Pemuda yang hanyut itu tersenyum lemah dan menggeleng. "Tidak.. saya yakin bahawa Allah akan membantu saya."

Bot itu pun berlalu pergi. Pemuda yang hanyut itu terus berdoa, "ya Allah..aku sudah tidak tahan lagi.. Bantulah aku ya Allah."

Tidak lama kemudian, sebuah helikopter merendahkan penerbangannya. Seorang pemuda dari dalam helikopter berteriak melawan kebisingan, "Saudara! Mari saya bantu kamu! Ayuh!"

Pemuda yang sedang berpaut pada sebatang kayu itu tersenyum lesu dan menggeleng. "Tidak.. saya mahu menunggu bantuan Allah."

Helikopter itu pun berlalu pergi dan akhirnya pemuda itu hanyut entah ke mana.

Saudaraku, kadangkala Allah menurunkan bantuanNya melalui insan lain. Allah mempunyai banyak cara dalam membantu kita. Kadangkala rezeki kita jua disalurkan Allah melalui perantaraan insan lain.

Renungi kisah pemuda tadi... Allah telah menzahirkan pertolonganNya sebanyak dua kali. Namun, kerana pertolongan itu adalah melalui manusia sepertinya, dia terus-terusan menolak tanpa sedar bahawa Allah begitu menyayanginya...

Nikmat ukhwah adalah nikmat terbesar selepas iman. Mempunyai sahabat yang mampu bersama ketika senang dan susah sungguh-sungguh adalah tanda kasih sayang-Nya kepada kita, seorang hamba yang kerdil dan sering melakukan dosa. Tetapi sahabat! Utamakanlah Allah dalam segala hal. Mengadulah kepada Allah terlebih dahulu sebelum mengadu kepada manusia. Kerana lumrahnya, manusia akan semakin bosan dengan rintihan tetapi Allah akan sentiasa suka mendengar rintihan hamba-hambaNya, tanpa bosan, tanpa jemu.

Rasulullah

Mari kita lihat kisah baginda Rasulullah yang amat kita rindui.. yang amat kita cintai. Yang tanpa usaha dakwahnya kita akan terus-terusan dalam kejahilan, yang sentiasa sabar melayani karenah umatnya....

Allah memberikan seorang wanita solehah sebagai pendampingnya yang pertama. Siti Khadijah, budinya seindah namanya.. Mari kita imbas kembali bagaimana Khadijah menyelimutkan Rasulullah ketika wahyu pertama turun, mari kita lihat bagaimana Khadijah tegar berjuang bersama Rasulullah dengan mengenepikan kekayaannya...

Lihat pula bagaimana hubungan sahabat-sahabat dengan baginda. Bagaimana Saidina Ali sanggup menggantikan tempat baginda ketika rancangan pembunuhan baginda oleh masyarakat jahiliyyah mahu dilaksanakan. Bagaimana saidina Abu Bakar menemani Rasulullah ketika malam pekat menyelubungi dunia...

Rasulullah s.a.w sendiri memerlukan manusia sebagai pendampingnya.

Ini tidak bermakna Rasulullah tidak memerlukan Allah. Bahkan, Rasulullah tegar beribadat sehingga bengkak-bengkak kaki baginda.... Cumanya, fitrah manusia memerlukan sedikit jasa manusia juga sebagai pengingat tatkala lupa, penguat tatkala lemah. Itulah juga hikmah di sebalik pelantikan Rasul daripada kalangan manusia.

Berukhwahlah


Ana amat gembira menerima e-mail daripada seorang muslimah (muslimah_9027). Mahu berukhwah katanya. Alhamdulillah.. Berukhwah kerana Allah sungguh-sungguh adalah nikmat terbesar buat diri ana yang sering alpa.

Tapi saudari, ana sedikit gusar dan muram kerana e-mail balasan daripada ana tidak dapat dihantar. Gmail mengatakan bahawa e-mai ukht tidak wujud. Justeru, ana mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas balasan e-mail yang tidak singgah di inbox ukht.. Mungkin ini adalah ujian dari Allah dalam memantapkan kesabaran dalam diri kita.

Sahabat-sahabat seIslamku.. Marilah kita berukhwah. Mantapkan ukhwah semantap ukhwah sahabat-sahabat Rasulullah. Berpesan-pesan dan saling tegur-menegurlah dengan berhikmah..

Betulkan semula niat kika untuk berukhwah kerana Allah, pasti semuanya akan indah.. Harta,pangkat dan kekayaan semuanya tiada erti andai kasih sayang itu tidak dimiliki. Berukhwahlah..kerana Allah semata, insyaAllah...

Cari Allah,
Carilah sahabat,
Untuk mengubat kegersangan hati...


Wallahu'alam

No comments:

 
Copyright It's Life... Wake up from the past =) 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .